25 October 2008

ZAKAT MENINGKAT : ORANG MELAYU MASIH PALING RAMAI MISKIN DI MELAKA


Kerajaan Melaka berbangga dengan kutipan zakat di Melaka yang sehingga 23 Oktober ini berjumlah RM 17 juta berbanding tahun lalu pada masa yang sama kira-kira RM 14 juta. Dari jumlah berkenaan hanya RM 6 juta diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Melaka ( MAIM ) untuk pemberian zakat asnaf fakir dan miskin seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Menteri Melaka semalam.

Walau bagaimanapun pada masa yang sama kadar kemiskinan di Melaka adalah melebihi 25% jika berdasarkan Kadar Garis Kemiskinan ( PGK ) RM 1500 untuk seisi rumah.Ini berdasarkan satu jawapan di parlimen yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amirsham Abdul Aziz dalam satu jawapan di parlimen pada bulan Jun lalu.Angka ini adalah sangat tinggi berbanding penduduk Melaka yang tak sampai pun sejuta orang.

Di samping itu, orang Melayu di negeri ini kekal sebagai penduduk tertinggi yang paling miskin berbanding kaum-kaum lain.

Apa guna saban tahun kerajaan berbanggga dengan kutipan zakat yang semakin meningkat tetapi dalam masa yang sama orang Melayu Islam di negeri ini masih ramai yang merempat dan melarat.

Justeru itu, kerajaan negeri Melaka perlu mencari formula yang sewajarnya bagi mengatasi masalah kemiskinan di negeri ini daripada memberi perhatian kepada projek pembangunan dan pelancongan yang tidak perlu bernilai ratusan juta ringgit yang akhirnya terbiar begitu sahaja seperti yang saya dedahkan sebelum ini.

TURUN HARGA MINYAK : MENTERI LIDAH BERCABANG


Semasa Datuk Sharil Samad dilantik menggantikan Datuk Shafie Afdal sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna ( KDHEP) saya menaruh sekelumit harapan beliau akan membela dan menjaga nasib pengguna di negara ini.

Sebaliknya, apa yang berlaku bukan dua kali lima malah lebih teruk dengan Shafie. Shafie yang sebelum ini saya kira gagal membendung kenaikan harga barang terutama barang kawalan. Di zaman beliau juga berlaku kekurangan barang keperluan di pasaran seperti minyak masak, gula dan tepung yang tidak sepatutnya berlaku.

Apa yang berlaku semasa Shahril menjadi menteri semakin teruk dengan peningkatan harga barang yang semakin tidak terkawal yang gagal ditangani dengan berkesan. Manakala janji untuk mengumumkan penurunan harga barang semalam hanya omong-omong kosong.

Hari ini beliau berkata, penurunan harga minyak seperti dijangka pada penghujung bulan ini atau awal bulan depan tidak boleh melebihi 15 sen. Alasannya untuk mengelakkan pengusaha stesen minyak mengalami kerugian.

Sharil mungkin terlupa dengan kenyataannya sebelum ini, bahawa kerajaan akan menurunkan harga minyak kembali pada harga asal seperti pada Jun lalu iaitu sekurang-kurangnya RM 1.92 untuk petrol jika harga minyak di pasaran global di bawah $ US 72. Hari ini harga minyak di pasaran ialah $ US 65 setong !

Inilah jadinya kalau kerajaan tidak menghiraukan nasib rakyat. Masa nak naik harga minyak dulu pelbagai justifikasi dan hujah diberi oleh kerajaan. Seolah-olah orang lain tak pandai ekonomi. Sebaliknya bila rakyat mendesak harga minyak diturunkan berdasarkan fakta dan pasaran global, nampak perwatakan sebenar mereka yang dikatakan pandai mengurus ekonomi dalam kerajaan.

Alasan yang sama diberikan, kalau turun harga minyak kepada kadar yang lebih munasabah, pengusaha stesen minyak akan mengalami kerugian.Dulu alasan ini juga yang digunakan. Carilah alasan lain yang lebih sesuai, jangan cuba hendak perbodohkan rakyat. Sekarang bukan lagi zaman mesin taip. Hari ini zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan.

24 October 2008

PELANCONG ANGKASA DAN ANGKASAWAN MALAYSIA..



Richard Garriott :PELANCONG ANGKASA


Syed Muzzafar : ANGKASAWAN MALAYSIA

Hari ini Richard Garriott, jutawan permainan video dari Amerika Syarikat selamat kembali ke bumi. Media seluruh dunia menggelarnya sebagai pelancong angkasa.

Dia pergi angkasa lepas di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa ( ISS ) menggunakan roket Soyuz milik Russia selama 12 hari. dengan segala perbelajaan sebanyak AS$ 35 juta ( RM 119 juta ) dengan menggunakan duit poket sendiri. Di samping itu,sepanjang di ISS dia turut melakukan beberapa kajian terutama berkaitan tekonologi permainan video yang dihasilkan oleh syarikatnya. Tak de pulak dengar dia dipanggil angkasawan atau astronaut.

Berbeza dengan Syed Muzzafar yang turut ke stesen ISS selama 10 hari juga dengan Roket Soyuz milik Russia.Berlepas dari stesen yang sama dan kembali ke bumi di tempat yang hampir sama dengan Garriott! Perbelanjaan mencecah hampir RM 120 juta yang turut membuat beberapa eksperimen, balik-balik je terus dapat gelaran angkasawan atau astronaut. Sehingga hari ini diusung ke hulu ke hilir menceritakan pengalamannya sebagai angkasawan.

Kenapa Richard Garriott dipanggil pelancong angkasa dan Syed Muzzafar dapat gelaran angkasawan. Bila fikir-fikir balik, barulah saya faham Syed Muzzafar dapat gelaran angkasawan sebab dia pergi ke ISS guna duit negara, duit rakyat! Manakala Richard Garriott pergi guna duit sendiri sebab itu dia tak layak dipanggil angkasawan !

23 October 2008

ISU TAPAK PELUPUSAN SAMPAH :BUKAN TUTUP LAGI BESAR RUPANYA


Dalam lawatan ke Pusat Pelupusan Sampah Krubong di Melaka pada 7 September lalu Ketua Menteri, Datuk Ali Rustam menyalahkan kelewatan Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai punca kelewatan pembinaan Insinerator moden di Sungai Udang yang telah tertangguh sekian lama bagi menggantikan tapak berkenaan.

Hari ini lain pula jadinya, bukan nak ditutup malah tapak sedia ada akan dibesarkan lagi dari 54 ekar kepada 76 ekar, bertambah 22 ekar !( Sila rujuk dalam akhbar Melaka Hari ini bertarikh 23 Oktober 2008, mukasurat 2 )

Rakyat Melaka khususnya penduduk di Taman angkasanuri, Taman Merdeka, Taman Tambi Chik Karim dan penduduk sekitar Durian Tunggal nampaknya di tipu hidup-hidup oleh Ali Rustam.

Masalah bau busuk dari pusat pelupusan berkenaan mungkin terpaksa ditanggung tujuh keturunan lagi penduduk di kawasan berhampiran. Inilah sikap talam dua muka yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri yang kononnya menjaga dan memperjuangkan masalah rakyat.

Saya menyeru pengundi di kawasan berkenaan agar terus menolak pemimpin sebegini seperti yang ditunjukkan dalam PRU ke 12 yang lalu untuk memberi peringatan agar tidak menipu dan mempelekehkan rakyat.Kepada bakal pembeli rumah di taman perumahan yang berhampiran pusat pelupusan sampah ini anda mungkin belum terlambat untuk membatalkan hasrat membeli rumah di kawasan berkenaan.

ALI RUSTAM SURUH PILIH PEMIMPIN YANG MEMPUNYAI REKOD BAIK


Ali Rustam semalam menyarankan agar perwakilan Umno untuk memilih pemimpin yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Persoalannya siapa dalam Umno yang mempunyai rekod baik ? Najib ?Ali Rustam ? Md. Taib ? Rahim Tamby Chik ? Rafidah Aziz ?

Sekadar beberapa nama...Anda pilihlah sendiri...sebelum ini dalam posting yang lalu saya ada meminta agar dicadangkan pemimpin yang bersih dalam Umno. Setakat ini tak ada lagi calon yang sesuai. Adalah seorang penjenguk blog ini mencadangkan Pak Lah, kira ok lah tu orang pun panggil MR Clean. Tapi Mr Clean pun tak diterima dalam Umno....didesak supaya menyerahkan kuasa pada Najib...Najib Mr Clean yang seterusnya ? Jawabnya punah ranah negara ini nanti. Jika Najib menjadi PM, beliau merupakan PM yang diselubungi paling banyak kontroversi...Altantuya, komisyen pembelian jet Sukhoi, kapal selam Scorpene, Eurocopter dan terbaru pengeluaran Dana KWSP lebih RM 5 Bilion semuanya berkait rapat dengan Najib.

Ali Rustam mempunyai rekod baik ? Anda fikirlah sendiri....Isu banjir kilat yang tak sudah-sudah akibat pembangunan tidak terancang, projek gajah putih yang semakin banyak di Melaka dan Isu babi di Paya Mengkuang yang berlanjutan merupakan sebahagian dari rekod 'baik' Ali Rustam sepanjang menerajui Melaka...

HARGA MINYAK DAH BAWAH $US 72...


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk sharil Samad sebelum ini berkata kerajaan akan menurunkan harga minyak seperti pada jun lalu iaitu RM 1.92 untuk petrol jika harga minyak di bawah US $ 72 setong.

Hari ini harga minyak dah mencecah $ US 67.42 ! Bila lagi nak turunkan harga minyak ?

Sekarang adalah masa yang tidak sesuai bagi pemilik kenderaan mengisi penuh tangki minyak kenderaan masing-masing kerana harga minyak yang semakin susut dari semasa ke semasa di pasaran global. Kemungkinan kerajaan akan menurunkan harga minyak pada bila-bila masa tetap ada. Walau bagaimanapun kerajaan masih membisu dengan penurunan harga minyak di negara ini dan menyebabkan rakyat ternanti-nanti apa yang sedang berlaku dalam kerajaan sehingga payah sangat untuk menurunkan harga minyak.

Esok, kerajaan akan mengumumkan penurunan beberapa harga barang, tetapi perlu diingat bahawa harga yang boleh diturunkan adalah harga barang kawalan sahaja seperti gula, tepung, beras dan minyak masak. Langkah ini dijangka tidak banyak membantu orang ramai menghadapi kesan inflasi dan kenaikan harga barang melainkan kerajaan mengambil sikap lebih bertanggungjawab dengan menurunkan harga minyak pada kadar yang lebih munasabah berdasarkan pasaran semasa.

22 October 2008

RM 12 UNTUK BANDUAN : RM 8 UNTUK MANGSA BANJIR

Itulah nilai dan perbezaan serta layanan yang diberikan oleh kerajaan terhadap OKT ( Orang Kena Tahan ) di lokap-lokap polis yang setaraf banduan dan mangsa banjir di negara ini.Setiap OKT diberi peruntukan RM 12 sehari untuk kemudahan makan minum sepanjang ditahan di lokap. Berbeza mangsa banjir hanya mendapat peruntukan RM 8 sehari kemudahan makan minum sekiranya ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

Golongan OKT yang terlibat dengan pelbagai tuduhan, jenayah dan kesalahan mendapat layanan lebih istimewa berbanding mangsa banjir yang mengalami musibah serta kerosakan dan kemusnahan harta benda akibat banjir.

Dalam hal ini, kerajaan wajar mengkaji semula peruntukan yang disediakan untuk mangsa banjir. Mereka yang menjadi mangsa banjir bukan minta disediakan makanan yang enak dan lazat tetapi sekurang-kurangnya mereka disediakan makanan yang berkhasiat dan sesuai.

Berdasarkan pengalaman sebagai mangsa banjir besar di Melaka pada 26 Disember 2006 lalu menu yang disediakan di pusat pemindahan banjir memang ala kadar sahaja serta makanan yang disediakan adalah agak terhad.

Kerajaan sepatutnya lebih serius dalam menjaga kebajikan dan menyediakan kemudahan dan peruntukan yang mencukupi untuk mangsa banjir daripada membazirkan wang kepada projek kroni dan pembangunan yang tidak dapat dinikmati oleh semua rakyat. Apa yang lebih membimbangkan terutama di Melaka akhir-akhir ini banjir berlaku tanpa mengira musim.

BALING KERUSI DALAM MESYUARAT UMNO ! BIASALAH TU...

Sabtu lalu, Persidangan Wanita Umno Bahagian Kuala Selangor kecoh dengan insiden baling kerusi dan tindakan keluar dewan oleh beberapa perwakilan cawangan berpunca daripada bantahan mereka terhadap tindakan Pengerusi Tetap bahagian itu, Zaini Khalid yang tidak memberi peluang kepada perwakilan terbabit untuk mencadangkan 10 nama perwakilan cawangan bagi menghadiri mesyuarat bahagian.


Sehari sebelum itu, persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang turut menyaksikan tindakan agresif sekumpulan individu dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati mereka membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah hingga menyebabkan pihak polis terpaksa menggunakan Unit Tindakan Ringan Antirusuhan untuk mententeramkan keadaan.

Biasalah tu, kalau tidak ada adegan baling-baling kerusi maka hilanglah seri dan tidak sempurna agenda dalam mesyuarat-mesyuarat Umno. Mungkin selepas ini akan menyusul adegan yang lebih dasyat dalam mesyuarat Umno akan datang.

Inilah akibatnya apabila perjuangan asal membela nasib Melayu telah menyimpang. Apa yang diperjuangkan hari ini adalah kerana kuasa dan nama. Sudahlah Islam semakin terpinggir dalam Umno, perjuangan membela nasib Melayu pun sudah semakin terpesong. Sebab itulah agaknya Datuk Rais Yatim mencadangkan agar semua jawatan dalam Umno dibuat secara tender. Semuanya kerana wang dan harta, yang menjadi mangsa adalah orang Melayu yang terus tertipu dengan sandiwara dan lakonan Umno membela nasib orang Melayu.

APA NAK JADI JADILAH...MELAKA TETAP BERI DATUK PADA SHAH RUKH KHAN


Walaupun menerima pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak, Ali Rustam tetap dengan pendirian bahawa kerajaan Melaka akan tetap memberi gelaran Darjah Mulia Seri Melaka ( DMSM ) yang membawa gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan.

Katanya, kerajaan Melaka serius dengan penganugerahan itu sebagai satu pengiktirafan kepada Shah Rukh Khan yang telah mempromosikan Melaka secara percuma melalui filem lakonannya bertajuk One 2 Ka 4 yang difilemkan di A'Famosa, Alor Gajah beberapa tahun lepas.

"Beliau (Shah Rukh Khan) pun dah setuju, satu dunia pun sudah tahu, jadi kalau ditarik balik tak elok bagi kerajaan negeri dan bagi Shah Rukh Khan, macam kita tak fikir dulu sebelum beri, dah beri kemudian tarik balik, tak elok, buruk siku.


Shah Rukh Khan dikatakan telah bersetuju untuk datang ke Melaka pada bulan depan untuk menerima gelaran tersebut walaupun sebelum ini artis yang banyak berjasa kepada Melaka ini dikatakan turut terkejut dengan anugerah yang bakal diterima.Hal ini kerana walaupun lebih banyak menjadikan negara sendiri dan negara lain terutamanya di Eropah sebagai lokasi penggambaran filem beliau namun jasa dan sumbangan beliau mempromosi dan mengharumkan negara sendiri dan negara lain tidak mendapat pengiktirafan seperti yang diberi oleh kerajaan Melaka.

Maka selepas in pasti Shah Rukh Khan dan pengeluar filem Bollywood yang lain akan berpusu-pusu datang ke Melaka untuk membuat penggambaran filem untuk mendapat lebih banyak anugerah dan darjah dari kerajaan Melaka.

Selepas ini kita akan dapat menyaksikan dominasi filem dan drama Indonesia yang selama ini menguasai stesen TV tempatan akan dikuasai dan diambil alih oleh filem dan drama Bollywood pula kerana banyaknya penggambaran filem Bollywood di negara ini khususnya di Melaka.

Tak sabar rasanya nak menonton Shah Rukh Khan dan pelakon Bollywood lain selepas ini akan menari terkinja-kinja di Pulau Melaka atau di dalam Melaka Digital Mall, berguling-guling menyanyi di atas Bukit Cina dan berpusing-pusing di dalam 'Eye On Malaysia'di Bandar Hilir. Secara tak langsung seluruh dunia tahu betapa banyaknya projek gajah putih di Melaka.

21 October 2008

UMNO UNTUK DILELONG ?

Datuk Rais Yatim hari ini secara sinis mencadangkan agar jawatan Umno dibuat secara tender. Sesiapa yang banyak duit boleh kemuka tender untuk mendapat jawatan yang dipertandingkan. Beliau berkata demikian kerana telah muak dengan gejala rasuah dan lobi melobi yang berlaku dalam Umno.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_28.htm

Cadangan baik juga tu…macam mana kalau tender tak laku ? Mungkin ada pula cadangan bukan sahaja jawatan dalam Umno ditender tetapi dengan Umno dan pemimpin-pemimpinnya sekali dilelong. Agak-agaknya ada tak yang berminat ?Rasanya mungkin ramai yang tak setuju tetapi tak mustahil lebih-lebih lagi dalam keadaan Umno yang makin tenat.Apabila Umno sudah hilang kuasa, taring telah dicabut dan sumber kewangan semakin terhad pada masa itu tak ada siapa lagi nak bersama dengan Umno. Masa itu mungkin jawatan dalam Umno terpaksa dilelong kerana tidak ada lagi yang berminat.