11 November 2008

KELANTAN KEKAL REKOD TANPA RASUAH SELAMA 18 TAHUN-MALAYSIAKINI


Tahniah dan syabas diucapkan kepada kepimpinan YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat kerana sejak Pas memerintah Kelantan dari tahun 1990 tidak ada sebarang laporan rasuah direkodkan yang melibatkan kakitangan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu tiada laporan salah laku atau kegiatan rasuah di kalangan kakitangan pentadbiran awam sejak 1990 sehingga sekarang.

"Setiap kali mesyuarat Exco bersidang lebih 100 surat dari pelbagai jabatan diangkat ke mesyuarat itu.

"Malah kadang-kadang melebihi 200 kertas berhubung permohonan rakyat dibincangkan," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kualiti Peringkat Negeri 2008 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Menurutnya perkembangan itu membuktikan kakitangan kerajaan negeri tekun melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai penjawat awam

Inilah hasil daripada keberkatan kepimpinan ulama' yang meletakkan Islam sebagai teras pemerintahan. Memberi keadilan dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira batasan agama.

Walaupun menerima pelbagai kritikan dan tohmahan khususnya daripada Umno dan Barisan Nasional sepanjang menerajui kerajaan negeri, gaya dan kepimpinan YAB Tuan Guru terus disegani kawan dan lawan.

Pihak Umno dan Barisan Nasional khususnya di Kelantan perlu malu kepada diri sendiri kerana ternyata segala tohmahan kepada kerajaan negeri selama ini tidak berasas. Kerajaan yang bebas dan bersih daripada rasuah selama 18 tahun adalah satu rekod yang begitu membanggakan. Jadi tidak ada alasan sebenarnya kepada BN untuk merampas kembali Kelantan daripada diterajui oleh Pas.

Berbeza dengan negeri yang dikuasai oleh BN, salah laku rasuah yang melibatkan kakitangan awam adalah perkara biasa. Malah sesuatu yang 'ajaib' jika tidak ada kes rasuah direkodkan.

Sementara itu, kerajaan negeri yang turut dikuasai oleh Pakatan Rakyat iaitu Kedah,Pulau Pinang, Perak dan Selangor perlu mengambil contoh gaya kepimpinan dan sistem pentadbiran kerajaan negeri Kelantan agar dapat menjadi model pemerintahan amanah dan berkebajikan yang diperjuangkan selama ini.

MUHYIDDIN SEMAKIN TERASA BAHANG-MALAYSIAKINI


Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin runsing apabila menyedari laluan berliku menjelang Persidangan agung Umno Mac depan. Jika sebelum ini beliau agak 'celupar' dan lantang untuk membawa reformasi dalam Umno, tetapi akhir-akhir ini nada Muhyiddin semakin lunak dan kata-katanya lebih 'beralas'.

Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini mahukan pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden tidak dicemari dengan sebarang unsur fitnah dan memburuk-burukkan calon berikutan tempoh kempen yang panjang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata sebarang amalan yang tidak sihat dikhuatiri akan menyebabkan perpecahan dalam parti.

"Ini bukan satu pertandingan tetapi merupakan satu proses penawaran diri.

"Saya berharap ia berlangsung dalam suasana kekeluargaan. Apa yang penting ialah nak pastikan tidak berlaku perpecahan dalam parti.

"Diharap tidak ada amalan tidak sihat seperti fitnah dan memburuk-burukkan rakan yang bertanding kerana tempohnya (kempen) yang agak lama.

"Saya mahu ia berjalan dalam suasana yang sihat," katanya kepada pemberita selepas pra pelancaran Ekspo Kesenian Antarabangsa Malaysia Kedua (AEM) 2008 di sini hari ini.

Walaupun pelbagai gesaan dan nasihat dari semua pihak dalam Umno, perpecahan dan perbalahan menjelang Persidangan Agong Umno semakin sukar untuk dielakkan dan dijangka akan berpanjangan ke satu tempoh yang lama. Ramai penganalisis dan pemerhati politik dari dalam dan luar Umno berpendapatan perpecahan dan pergolakan yang berlaku dalam Umno hari ini merupakan yang terburuk sepanjang sejarah kewujudan Umno.

10 TUNTUTAN KEPADA PENGERUSI SPR BARU-MALAYSIAKINI


Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang dilantik pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR menggantikan Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkuatkuasa 31 Disember ini.

Abdul Aziz, 58, merupakan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri yang bersara wajib pada 24 Januari 2006 sebelum dilantik semula ke jawatan sama secara kontrak.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pelantikan Abdul Aziz dibuat kerana Ab Rashid telah tamat tempoh perkhidmatannya apabila mencapai umur 66 tahun pada 30 Disember ini.

Menjadi harapan saya sebagai rakyat Malaysia yang diberi amanah sebagai pengundi berdaftar untuk memilih pemimpin negara agar pengerusi SPR yang baru tidak mengulangi kesilapan dan kontroversi pengerusi SPR sebelumnya.

Perasaan tidak puas hati dan marah kepada SPR di kalangan sebahagian rakyat di negara ini masih membara kerana kegagalan SPR berperanan sebagai sebuah badan bebas dan telus dalam mengendalikan siri-siri pilihanraya yang lalu.

10 tuntutan dan harapan kepada pengerusi SPR baru ialah :

1.Memansuhkan sistem undi pos
2.Membersihkan daftar pemilih dari sebarang anasir penipuan dan penyamaran.
3.Melaksanakan pilihanraya yang benar-benar bersih dan adil.
4.Memastikan tidak berlaku insiden 'pengundi hantu'
5.Memastikan calon yang bertanding mendapat layanan sama rata.
6.Memastikan jentera milik kerajaan tidak digunakan mana-mana parti politik.
7.Menghapuskan budaya rasuah dalam pilihanraya.
8.Memperkenalkan sistem 'dakwat' semasa hari mengundi
9.Membenarkan semua wakil parti politik mendapat liputan sama rata dalam media massa
10.Tidak menjadi alat kepada mana-mana parti politik

WANITA UMNO SEMAKIN BERGOLAK-MALAYSIAKINI


Tengok tu, semalam kata lain! Hari ni kata lain:Mungkin itu agaknya sebenarnya yang dikatakan Rafidah kepada Sharizat

Kelmarin kata selesai dah. Keputusan 'sebulat suara' hasil 'pemuafafakatan' dalam wanita Umno.Hari ini lain pula jadinya.Awalnya Sharizat setuju menunggu hingga 2009 untuk megambil alih jawatan Ketua Wanita. Tetapi apabila melihat sokongan dan pencalonan yang menggalakkan daripada wanita Bahagian, Sharizat merasakan inilah masa yang terbaik untuk mendesak Rafidah mempercepatkan peralihan kuasa atau beliau bersedia dengan kehendak akar umbi untuk mencabar Rafidah untuk jawatan ketua wanita Mac depan.

Semalam bila semua AJK wanita Umno menyatakan sokongan padu pada Rafidah, Shahrizat terpaksa akur dengan kehendak agar 'bersetuju' dengan pelan asal.Tetapi tak samapi 24 jam selepas itu Shahrizat menyatakan sebaliknya iaitu beliau akan mendengar pandangan akar umbi untuk membuat keputusan sama ada mencabar Rafidah atau tidak.

Walaupun apa keputusan Shahrizat nanti sama ada bertanding atau tidak jawatan ketua Wanita Umno, apa yang pasti Wanita Umno sudah pun bergolak dengan wujud dua puak. Rasanya apa yang berlaku dalam Wanita lebih hebat berbanding apa yang berlaku dalam pemuda dan peringkat pusat. Cuma diharap tidak berlaku aksi berselising lengan dan adegan tarik rambut serta baling kasut tumit tinggi di antara satu sama lain.

APA AKAN BERLAKU JIKA KES ALTANTUYA DIBICARAKAN DI ICJ?-MALAYSIAKINI


Isu pembunuhan kejam Altantuya bakal membawa episod baru apabila kerajaan Monggolia bercadang merujuk kes berkenaan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa(ICJ) di The Haque, Belanda.

Surat rasmi juga telah dihantar kepada Menteri Luar, Datuk Syed Hamid Albar tentang hasrat kerajaan Monggolia untuk merujuk kes berkenaan ke ICJ.

Kerajaan Monggolia bercadang mengambil tindakan tersebut kerana hilang keyakinan kepada sistem perundangan di negara ini dalam memberi keadilan kepada kes pembunuhan yang menimbulkan pelbagai misteri dan teka-teki.Lebih-lebih apabila Razak Baginda, satu-satunya individu yang dikenali Altantuya seperti yang didakwa bapanya di negara ini telah dibebaskan dari tuduhan kes ini.

Apa akan berlaku jika kes ini diterima untuk dibicarakan di ICJ?

1.Sistem kehakiman atau perundangan kita akan dibicara dan dimalukan di peringkat antarabangsa.
2.Wajah bekas polis Chief Inspektor Azilah dan koperal Sirul yang memakai pakaian ala 'ninja' akan dapat ditatap oleh umum.
3.Razak Baginda akan didakwa kembali dalam kes ini
2.Datuk seri Najib dan isterinya akan dipanggil sebagai saksi(tertuduh?) utama perbicaraan.
4.Kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan tinggi untuk menampung semua kos guaman dan kos berkaitan.
5.Persidangan Agung Umno pada bulan Mac depan mungkin akan ditangguhkan.
6.PAK LAH AKAN KEKAL SEBAGAI PRESIDEN UMNO DAN PERDANA MENTERI!!!!

TURUN TARIF ELEKTRIK:RAKYAT TERUS DITIPU-MALAYSIAKINI

Pada Julai lalu semasa kerajaan mengumumkan untuk menaikkan tarif elektrik kerajaan menjelaskan kenaikan sebanyak 10% tidak dapat dielakkan kerana kenaikan harga minyak di pasaran global.

Semua orang walaupun berat hati dengan kadar baru itu terpaksa akur dengan tindakan kerajaan yang didesak oleh Tenaga Nasional Berhad(TNB) untuk menaikkan kadar tarif kerana kononnya TNB mengalami kerugian kerana kenaikan bahan bakar itu.

Semalam, lain pula jadinya. Setelah pelbagai desakan dibuat kepada kerajaan agar menurunkan tarif elektrik kerana harga minyak telah turun lebih sekaliganda berbanding Julai lalu kerajaan memberi alasan yang begitu mengecewa dan mengelirukan.

Menterinya berkata Kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan untuk menurunkan tarif elektrik sekiranya harga pasaran arang batu jatuh di bawah paras AS$75 (RM264.75) setan untuk satu jangka masa yang panjang.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, setakat ini, kerajaan tidak akan membuat kajian semula ke atas tarif elektrik memandangkan harga pasaran bahan mentah itu masih berada di paras antara AS$100 (RM353) hingga AS$120 (RM423.60) setan.

Menurutnya, tarif elektrik pada masa ini sebenarnya diambil kira berdasarkan harga pasaran arang batu sebanyak AS$75 (RM264.75) setan.

Masa nak naik tarif elektrik tak sebut pun tentang arang batu,kerajaan kata terpaksa naik tarif kerana harga minyak naik!Bukannya harga arang batu!Nampaknya sekali lagi rakyat Malaysia tertipu dan terus ditipu.

Mungkin selepas ini bila harga arang batu turun, kerajaan akan beri alasan harga besi naik, harga gas naik, harga kos pekerja naik dan serba serbinya naik. Maka kerajaan kena tunggu semua harga turun baru kerajaan boleh turunkan harga tarif elektrik. Rasanya hanya ada satu sahaja cara rakyat Malaysia akan merasa kadar tarif elektrik turun iaitu dengan menurunkan kerajaan yang ada sekarang!

10 November 2008

ALI RUSTAM NAFI WUJUD KEM DALAM UMNO.-MALAYSIAKINI


Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam yakin pertandingan jawatan timbalan presiden Umno akan berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan tidak akan mewujudkan kem-kem tertentu.

"Ini kerana keutamaan ahli adalah kepada parti dan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti adalah proses demokrasi dalam mana-mana parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ali yang juga naib presiden Umno adalah antara tiga calon yang akan bertanding merebut jawatan tersebut dalam pemilihan Umno Mac depan.

Dua calon lagi ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Jika tidak wujud kem atau puak dalam Umno bermakna seolah-olah selama ini Ali Rustam buat kerja sorang-sorang sehingga mendapat 46 pencalonan dari bahagian Umno untuk jawatan timbalan presiden. Hebat sungguh ketua menteriku ini kerana berjaya menggunakan segala kudrat dan tenaga yang ada berkerja siang dan malam tanpa mengira hujan atau ribut, tanpa mengenal penat dan lelah menjelajah dari bahagian ke bahagian menjelaskan misi dan visi selaku calon timbalan presiden.

Keikhlasan beliau bekerja dan berkempen tanpa menggunakan mana-mana bantuan serta terlibat dalam mana-mana kem atau puak yang dikatakan wujud dalam Umno berbaloi apabila layak bertanding jawatan nombor dua. Apa yang lebih penting lagi beliau tidak menggunakan pengaruh politik wang untuk naik keatas seperti yang dilakukan pemimpin Umno lain.

Kepada Datuk Ali, kalau kenyataan itu dibuat kepada murid tadika mungkin semua akan angguk dan angkat tangan tanda bersetuju. Muhyiddin Yassin, Md. Taib dan Ruhanie Ahmad pula macam mana? Apa...Tak percaya ke ?

RESTORAN MAMAK TURUNKAN HARGA:KERAJAAN BILA LAGI?-MALAYSIAKINI

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) melalui 1400 pengusaha yang bernaung dengannya hari ini mengumumkan untuk menurunkan harga teh tarik dan roti canai sebanyak 10 sen dan nasi kandar 20 sen. Berita ini pastinya memberi sedikit kelegaan kepada pengemar makanan dan minuman berkenaan di seluruh negara. Walaupun jumlahnya kecil tetapi sedikit sebanyak akan dapat 'meringankan' beban mereka.Hakikatnya harganya masih tetap 'mahal'kerana kenaikan yang dibuat di antara 20 -80 sen akibat kenaikan harga barang sebelum ini. Walaupun rangkaian restoran 'mamak' ini terkenal dengan harga 'cekik darah' tetapi kesediaan mereka menurunkan harga patut dipuji kerana turut prihatin dengan beban pengguna.

Bagaimana pula dengan harga barang keperluan lain seperti minyak masak,beras, gula, tepung dan susu?Barang ini semua berada di bawah kawalan kerajaan. Harganya masih mahal dan membebankan terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah. Penurunan harga barangan ini sudah pasti akan mendorong peniaga barangan berasaskan barang kawalan berkenaan akan menurunkan harga. Tetapi sikap membisu kerajaan untuk menurunkan harga menyebabkan para peniaga berada dalam dilema untuk mengambil langkah yang sama walaupun menyedari keperitan yang dialami oleh pengguna.

Kerajaan sepatutnya perlu lebih peka dan sensitif terhadap kehendak dan keperluan pengguna di negara ini dengan mencari jalan untuk menurunkan barangan pengguna daripada memukul gendang kosong isu perpaduan dan ketuanan Melayu.

Walaupun harga minyak telah diturunkan sebanyak tiga kali dari RM 2.70 kepada RM 2.15 tetapi harga barang masih tidak terdapat tanda-tanda untuk diturunkan. Malah ada peniaga terus meletakkan harga yang tinggi akibat kelesuan penguatkuasan kerajaan.

Jika kita perasan dalam tempoh dua tiga minggu ini tidak ada kedengaran langsung operasi menagani kenaikan harga barang dilakukan oleh kerajaan. Ini menunjukkan operasi penguatkuasaan yang digembar-gemburkan sebelum ini hanyalah bertujuan untuk mengkaburi mata orang ramai. Orang ramai terus tertipu dan ditipu oleh kerajaan yang seolah-olah bermain silap mata menangani kenaikan harga barang.Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.

'KATA DUA' SHARIZAT BERTUKAR JADI KELU TAK TERKATA-MALAYSIAKINI


Jika sebelum ini Sharizat memberi 'kata dua' kepada Rafidah tentang proses peralihan kuasa wanita agar dikaji semula atau dipercepatkan. Ramai beranggapan jika Rafidah kekal dengan pendiriannya untuk menetapkan proses peralihan kuasa seiring dengan peralihan kuasa dalam Umno yang sebelumnya dijadualkan pada 2010 maka akan berlaku pertarungan dan pertembungan di antara Rafidah-sharizat untuk jawatan ketua wanita.

'Kata dua' Sharizat dikatakan berpunca daripada desakan akar umbi. Kelantangan Sharizat juga disebabkan beliau mendapat 73 pencalonan daripada wanita bahagian. Jadi inilah masa yang dianggap sesuai untuk 'mengertak' Rafidah agar mempercepatkan proses peralihan kuasa. Shahrizat seolah-olah ingin menggunakan skrip yang sama seperti versi peralihan kuasa Pak Lah-Najib.

Tetapi apa yang berlaku pada hari ini lain pula jadinya. Dari kata dua, Shahrizat jadi kelu tak terkata seperti kerbau dicucuk hidung apabila melihat sokongan padu yang diterima Rafidah di kalangan AJK wanita Umno dan bahagian-bahagian. Walaupun Sharizat dikatakan bersetuju dengan 'pemuafakatan' yang berlaku pada hari ini tetapi realiti sebenarnya ibarat 'api dalam sekam'. Di luar nampak elok tetapi di dalam panas membahang.

PERALIHAN KUASA OBAMA-BUSH VS PAK LAH-NAJIB-MALAYSIAKINI


4 November lalu seluruh dunia menyaksikan kemenagan besar Barrack Obama sebagai presiden Amerika dari parti Demokrat. Susulan daripada kemenangan besar itu satu mesyuarat di antara Obama dan Bush akan diadakan minggu ini untuk membincangkan proses peralihan dan penyerahan kuasa.

Proses peralihan kuasa di antara Obama dan Bush berlangsung dalam suasana yang harmonis tanpa berlaku sebarang masalah besar walaupun Bush daripada parti Republikan. Tidak ada isu berangkit. Tidak timbul istilah rumah siap pahat masih berbunyi. Jauh sekali wujud situasi baling batu sembunyi tangan atau tikam dari belakang.Serba serbinya nampak elok dan berjalan lancar.

Berbeza dengan proses peralihan kuasa yang dicanang di antara Pak Lah-Najib. Walaupun Pak Lah menyifatkan Najib sebagai teman setia di waktu susah dan senang tetapi seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena tentang proses peralihan kuasa ini. Sepatutnya apabila kedua-duanya daripada parti politik yang sama berbeza dengan Obama dan Bush proses peralihan kuasa Pak Lah-Najib sepatutnya lebih lancar lagi.

Inilah padahnya apabila berlaku proses peralihan kuasa 'setuju dalam paksa'. Umum mengetahui Pak Lah pada awalnya memutuskan untuk berundur pada tahun 2010 kerana merasakan banyak tugasnya untuk parti dan negara masih belum selesai. Tetapi disebabkan desakan hebat yang dipercayai didalangi oleh Najib, Pak Lah dengan 'senyuman dalam tangisan' bersetuju mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Najib pada Mac tahun depan.

Bush mengundur diri sebagai presiden Amerika kerana tempoh jawatannya telah tamat. Tetapi Pak Lah terpaksa mengundur diri walaupun merasakan tugasnya masih belum selesai. Kesannya, apa yang kita saksikan pada hari ini. Sehingga wujud pelbagai istilah dan masalah proses peralihan kuasa Pak Lah-Najib. Serba serbinya macam tak kena.

Walaupun proses peralihan kuasa ditakdirkan benar-benar berlaku pada Mac depan di antara Pak Lah-Najib, pergolakan dalam Umno dijangka akan terus berpanjangan di antara kem Najib dan Pak Lah tanpa diketahui kesudahan jalan ceritanya. Apa yang pasti yang menjadi mangsa adalah rakyat Malaysia walaupun mereka bukan ahli Umno!