12 March 2009

MUHYIDDIN PILIHAN JAWATAN NO. 2: ALI RUSTAM NAK KE MANA?


Andai kata tinjauan Merdeka Centre benar-benar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan, Ali Rustam pastinya orang yang tidak senang duduk sekarang.

Kajian Merdeka Centre menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Mahathir calon-calon pilihan untuk mengetuai persaingan merebut dua jawatan utama Umno dalam pemilihan parti hujung bulan ini, kata satu tinjauan. Muhyiddin mendapat 52 peratus sokongan responden untuk timbalan presiden Umno, berbanding dua lagi pencabarnya Tan Sri Muhammad Muhd Taib (7%) dan Datuk Ali Rustam (11%).

Jika kajian ini terbukti tepat, maka survival politik Ali Rustam semakin suram dan tergugat menuju ke penghujung. Kecuali jika Najib ( kalau sempat) menjadi Presiden Umno memberikan ehsan dengan melantik Ali Rustam sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno melalui kuota Presiden.

Namun begitu, Ali Rustam tidak perlu bimbang jika hilang jawatan Ketua Menteri Melaka kerana masih banyak jawatan kosong menanti beliau. Paling tidak pun menjadi pelobi kepada artis-artis luar negara yang ingin mendapat anugerah Datuk dari Melaka.

Walau bagaimanapun, Ali Rustam tidak perlu susah hati kerana tidak seorang pun responden melalui kajian Merdeka Centre itu yang terdiri daripada perwakilan Umno. Apa-apapun tak bermakna Ali Rustam boleh mendapat laluan mudah...Apa yang pasti Muhyiddin masih calon popular. Mungkinkah Melaka bakal mendapat ketua menteri baru?

11 March 2009

SPRM MEMBEBASKAN MUSA DAN GHANI DARI MEMALSUKAN BUKTI

Dato Seri Anwar Ibrahim kini berhadapan dengan pertarungan dan percaturan politik semakin sengit apabila SPRM 'membersihkan' Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Ghani Patail dari salah guna kuasa dengan memalsu bukti isu 'mata lebam' DSAI.

Perkara ini diumumkan oleh Datuk Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di parlimen hari ini.

"Setelah mengkaji dengan teliti dan mendalam, majoriti ahli-ahli panel memperakukan bahawa Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara dan Tan Sri Musa Datuk Haji Hassan, Ketua Polis Negara tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah sepertimana yang didakwa oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim," kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM juga berpendapat tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-duanya.

Menurut SPRM, panel tersebut terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya oleh Peguamcara Negara.

Mereka ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan Dato' Abdul Kadir Sulaiman dan Dato' Mohamad Noor Abdullah serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Wira Mohd Noor Ahmad.

Ini bermakna kedua-duanya terutama Ghani kini 'bebas' dalam mengendalikan kes Liwat 2 yang melibatkan DSAI. sebelum ini Pak Lah telah mengarahkan Musa dan Ghani tidak terlibat dalam perbicaraan tersebut berikutan laporan salah laku keduanya yang dikemukakan oleh DSAI kepada SPRM.

Namun begitu, pada pandangan saya keputusan 'panel bebas' masih belum mampu mengikis tanggapan bahawa Musa dan Ghani tidak terlibat dalam memalsukan bukti isu 'mata lebam' DSAI.

Pertama panel ini dilantik oleh Peguam Cara Negara yang merupakan 'orang bawahan' kepada Peguam Negara. Walhal dalam kes ini yang sedang disiasat ialah Peguam Negara. Beranikah orang bawahan 'lawan tokey'? Sepatutnya dalam kes berprofil tinggi satu suruhanjaya diraja ditubuhkan dan bukannya 'panel bebas' ini.

Kedua, dalam situasi SPRM kebelakangan ini didakwa bersekongkol dengan BN dan UMNO seperti kes MB Selangor dan di Perak serta mewujudkan penyiasatan dan pendakwaan 'terpilih'maka pengumuman SPRM 'membebaskan' Ghani dan Musa sebenarnya akan menguatkan teori bahawa SPRM turut terlibat dalam konspirasi untuk memburukan dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

10 March 2009

KEPUTUSAN SPM 'MENINGKAT' AKAN 'MENGHALALKAN' PPSMI?

Pada hari khamis ini ( 12 Mach 2009 ) keputusan SPM akan diumumkan. Calon-calon peperiksaan SPM pastinya berdebar-debar dengan keputusan yang bakal diumumkan. Tetapi saya rasa debaran Hishamuddin lebih kencang berbanding dengan calon peperiksaan berkenaan.

Keputusan SPM bakal menentukan hala tuju PPSMI pada masa depan. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan keputusan SPM terutama subjek matematik dan sains menjadi penentu masa depan Hishamudin dalam pemilihan jawatan naib presiden Umno tidak lama lagi.

Apa akan berlaku jika kualiti calon cemerlang dan kuantiti calon lulus dalam subjek sains dan matematik merosot dalam SPM? Sudah pasti akan menyemarakkan penentangan pelbagai lapisan masyarakat yang cintakan bahasa kebangsaan terhadap PPSMI.

Berdasarkan risik-risik yang diterima jumlah calon cemerlang dan lulus bagi subjek matematik dan sains dalam SPM tahun lalu meningkat dengan begitu 'membanggakan'. Jika ini menjadi kenyataan Hishamuddin boleh menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya menjadi 'modal' menjelang pemilihan Umno penghujung Mach ini.

Kemungkinan dasar PPSMI akan dikekalkan adalah tinggi jika keputusan matematik dan sains dalam SPM lusa ini akan dijadikan sebagai kayu pengukur. Kerajaan mungkin akan menggunakan keputusan SPM bagi subjek sains dan matematik untuk menjadi dalil untuk 'menghalalkan' PPSMI.

Apa-apapun keputusan subjek matematik dan sains dalam SPM nanti ia bukan dalil dan hujah kepada kerajaan untuk menghalalkan PPSMI. Lagipun sehingga hari ini kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran seperti cuba menyembunyikan markah lulus sebenar bagi subjek matematik dan sains dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM daripada pengetahuan umum.

09 March 2009

PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI 35 BILLION? SIAPA YANG AKAN TERANGSANG?

Dalam persidangan Dewan Rakyat esok Dato' seri Najib TPM dan juga Menteri Kewangan dijangka akan membentangkan Belanjawan Mini yang dianggarkan sekitar RM 30 - 35 billion. Satu jumlah yang sangat besar dalam memulihkan kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara.

Apa-apa pun sama-sama kita tunggu strategi dan pelaksanaan Pakej Ekonomi yang bakal dibentang untuk dilaksanakan. Peruntukan tambahan RM 7 billion yang diumumkan sebelum ini oleh Najib masih gagal untuk memulihkan ekonomi negara. Sehingga hari ini tidak ada sebarang kenyataan dan pengumuman tentang kejayaan atau kegagalan daripada peruntukan RM 7 billion sebelum ini.

Nilai RM 30-35 bilion adalah jumlah yang sangat besar. Adakah pakej ini berjaya merangsang ekonomi negara? Adakah pakej ini lebih kepada untuk menyelamatkan kroni yang pastinya terangsang untuk mengetahui 'habuan' yang bakal diperolehi di tengah-tengah kemelut ekonomi negara.

Sebagai rakyat Malaysia, saya mengharapkan ada sesuatu 'keajaiban' yang mampu dilakukan melalui peruntukan tambahan yang bakal diumumkan esok.

EHEM...TAK SAMPAI SEBULAN MELOMPAT DAH JADI JUTAWAN...


Masih ingat lagi dengan Adun Jelapang Hee Yit Fong? Menurut sumber di antara faktor yang menyebabkan beliau melompat menjadi 'adun bebas' kerana tidak berpuas hati kerana tidak mendapat kemudahan kereta Toyota Camry baru Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Sebagai timbalan speaker ketika itu, Hee merasa diketepikan kerana hanya diberikan kemudahan kereta Perdana V6 yang dikatakan sering rosak.

Hari ini setelah sekian lama menyepi diri dari tempat persembunyian, Hee mucul di Pusat Khidmat Masyarakat di DUN Jelapang. Selain disambut dengan cacian dan makian daripada penduduk setempat semalam sehingga memaksa Hee tak sampai sejam di situ, Hee hadir dengan penampilan dengan cukup bergaya...dengan kereta Mercedes siri terbaru! Hebatkan? Tak sampai sebulan melompat dah boleh pakai Mercedes....Dari mana agaknya Hee boleh dapat duit sebanyak tu ya? SPRM tak nak siasat ke? Tak cukup bukti dan tak ada prima Facie?????

07 March 2009

MEDIA PRO BN KATA 2 RIBU JE HADIR DEMO PPSMI????

Kebanyakan media pro BN seperti Berita Harian , Utusan Melayu dan sewaktu dengannya melaporkan hanya 2000 je yang hadir himpunan membantah PPSMI di ibu kota hari ini. Gambar-gambar di bawah menceritakan bahawa lebih 100 ribu yang hadir himpunan aman seperti laporan media alternatif hari ini adalah berasas.


















Saya cadangkan agar wartawan pro BN pergi sekolah ambil kelas mengira semula ! Nak menipu dan nak mengampu pun biarlah secara 'profesional'.



PPSMI BUKTI KERAJAAN MENGKHIANATI MELAYU!

Hari ini berlangsung peristiwa bersejarah dalam negara. Keranda 152 diusung kembali setelah 44 tahun berlalu. Himpunan yang berlangsung hari ini menghimpunkan ribuan rakyat yang cintakan kedaulatan bahasa kebangsaan agar kembali dimarbatkan.

Tetapi kerajaan BN yang diterajui oleh Umno yang kononnya membela Melayu ternyata hipokrit dan bersikap talam dua muka! Rakyat yang ingin membela dan menjunjung bahasa kebangsaan 'dihadiahkan' dengan semburan air kimia dan gas pemedih mata sebagai menghargai perjuangan mereka untuk mendaulatkan bahasa.

Tidak malukah pemimpin Umno yang pastinya Melayu yang masih mempertahankan PPSMI? Walhal dalam masa yang sama hari ini terdapat wakil NGO Cina dan India yang turut sama membantah PPSMI?

Apa lagi yang ingin dipertahankan oleh kerajaan dalam PPSMI? Usahlah berlakon lagi mengatakan penguasaan anak Melayu dalam Matematik dan sains meningkat dalam UPSR dan PMR. Cabaran saya dan pelbagai pihak agar Kementerian Pelajaran mengumumkan markah lulus untuk kedua-dua subjek dalam peperiksaan UPSR dan PMR masih belum mendapat sebarang respon.

Kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membantah PPSMI tahniah dan syabas diucapkan. Teruskan usaha dan perjuangan kalian!

06 March 2009

SU POLITIK DATO AZALINA DITAHAN SPRM

Setiausaha Politik Dato Azalina Othman ditahan oleh SPRM pada Rabu lalu dan dibebaskan kelmarin.

Pembantu kanan menteri itu disiasat kerana melibatkan sogokan wang sejumlah RM 70,000 ribu yang dipercayai berkaitan dengan pemilihan Umno tidak lama lagi.Setiausaha menteri berkenaan berasal dari Kelantan dan pernah menjadi wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila menang dalam pilihan raya umum 2004.

Walau apa pun tindakan yang bakal diambil oleh SPRM kepada SU Politik berkenaan ia tidak akan mampu membersihkan reputasi dan imej SPRM yang tercalar selagi tidak melepaskan diri daripada menjadi kuda tunggangan dan alat kepentingan pihak tertentu.

05 March 2009

NAJIB TAK SEMPAT JADI PM?


Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Itu yang sering diungkapkan. Jika beberapa hari lalu ramai pihak beranggapan agak mustahil untuk menghalang Najib menjadi bakal PM Malaysia yang keenam.

Namun sehari dua ini, perkembangan yang berlaku cukup menggusarkan Najib. Pertama berkaitan dengan permohonan injuksi mahkamah yang difailkan oleh dua ahli Umno untuk menghalang Mesyuarat Agong yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Mac ini. Persoalannya adakah dua ahli Umno itu bertindak sendiri tanpa ada pihak yang menyokong di belakangnya?

Hari ini, berita yang disiarkan oleh yang diterbitkan di Perancis di dalam keluarannya hari ini mendakwa timbalan perdana menteri pernah bertemu mangsa bunuh Altantuya Shaariibuu di sebuah kelab di Paris pada 2005 bersama Abdul Razak Abdullah Baginda.Datuk Seri Najib Razak didakwa pernah bergambar bersama mereka berdua, yang didakwa pasangan kekasih, bertentangan dengan penafian tokoh politik itu sebelumnya.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution, hari ini mengemparkan Dewan Rakyat apabila menimbulkan perkara tersebut yang mana laporan itu dikatakan diperolehi dari sumber yang bocor dari polis Malaysia. Saifuddin telah membaca petikan kisah bagaimana Altantuya telah memohon bantuan dimana dikatakan mangsa waktu itu sedang mengandung sebelum dia ditembak mati.

Jika laporan akhbar tersebut palsu, saya menyarankan agar Najib menyaman akhbar tersebut kerana ia merupakan satu laporan yang berat lebih-lebih lagi melibatkan soal kepentingan negara! Jika tidak ada sebarang tindakan pada akhbar tersebut saya merayu kepada Pak Lah agar memikirkan semula cadangan untuk menyerahkan kuasa kepada Najib. Kita tidak mahu nasib negara diperjudikan dengan melantik Najib menerajui negara.

Jika tidak pun, proses peralihan kuasa wajar ditangguhkan oleh Pak Lah sehingga nama Najib dapat dibersihkan dari laporan akhbar Peranchis yang sangat berat ini.


04 March 2009

KERAJAAN 'PASOLA' DI PERAK

Pernah menonton cerita Laksamana Do Re Mi, lakonan Allahyarham P. Ramlee? Saya menontonnya masa masih di bangku sekolah rendah lagi.

Di antara adegan dalam cerita tersebut ialah kisah Raja Pasir Dua Butir yang terpaksa 'bersidang' di bawah pokok kerana gara-gara diserang oleh Raja Pasola dari Negeri Pasir Berdengung.

Ceritanya mencuit hati menyebabkan ramai yang ketawa geli hati. Ingatkan cerita itu hanya cerita komedi biasa yang mustahil berlaku dalam zaman moden. Ternyata andaian saya dan ramai pihak silap.

Hari ini, skrip dalam cerita itu seperti berulang kembali. Gara-gara rampasan kuasa, maka Speaker DUN Perak, 27 wakil rakyat dan Menteri Besar Perak Dato Seri Ir Nizar Jamaludin terpaksa 'bersidang' di bawah pokok.

Cuma dalam skrip ini, tidak ada 'pertumpahan darah' berlaku. Persidangan 'kerajaan buangan' di bawah pokok ini disebabkan terdapat pihak yang terlalu kemaruk untuk berkuasa. Rampasan kuasa yang dilakukan oleh 'Raja Pasola' dari negeri Pasir Berdengung begitu caca marba sehingga menjadi lawak jenaka dan perhatian dunia. Pertembungan yang melibatkan kuasa dan maruah.

Sekali lagi saya nak kemukakan soalan kepada 'kerajaan Raja Pasola' di Perak, kenapa takut dengan sidang DUN? Kenapa takut untuk membubarkan DUN? Tidakkah anda mempunyai maruah dan harga diri. Menjadi kerajaan yang menjadi bahan kejian dan kutukan rakyat? Tidak malukah kalian? Atau kalian memang tidak mempunyai maruah dan harga diri?

Buktikan secara 'anak jantan' bahawa kerajaan "Raja Pasola' di Perak mendapat sokongan rakyat. Hanya mereka yang dayus dan bacul sahaja yang tidak berani bersemuka dengan rakyat melalui dalam pilihanraya! Mereka tenyata telah melakukan kesilapan besar dengan merampas kuasa tanpa perancangan yang teratur dan teliti. Hanya pilihanraya dengan pembubaran DUN Perak sahaja yang dapat menebus dosa dan kesilapan yang telah dilakukan.

Jika DUN tidak dibubarkan maka selepas ini dunia akan menyaksikan lebih banyak persidangan DUN di bawah pokok macam dalam cerita Laksamana Do Re Mi. Mungkin akan datang bakal diadakan di bawah pokok durian atau pokok ketapang pula!