18 July 2009

MACHESTER UNITED DAN MANEK URAI : DUA-DUA MENANG TIPIS


Sebelum ini negara kita demam dengan MU (Manek Urai). Ramai yang berspekulasi siapa yang akan menang dalam pilihanraya kecil berkenaan. Pas menjadi calon favourite di situ berdasarkan MU dikatakan kubu kuat kepada Pas. Ada yang meramal Pas akan menang mudah di MU. Segala-galanya dilihat memihak kepada Pas. Dari calon sehinggalah isu yang dibangkitkan. Maka ramai yang meramalkan Pas akan menang mudah di MU dengan prestasi lebih baik berdasarkan keputusan PRU yang lalu. Tetapi setelah selesai undi dikira pada 7 Julai lalu, Pas hanya menang tipis yang disifatkan nyawa-nyawa ikan dengan hanya meraih 65 undi majoriti.

Hari ini pula berlangsung perlawanan persahabatan di antara pasukan kelab gergasi England MU ( Machester United). Berdasarkan kekuatan dan reputasi ramai yang meramalkan pasukan hingusan Malaysia akan jadi mangsa ratahan MU. Ada yang meramalkan paling kurang pun 5 gol keatas. Tetapi sebaik sahaja wisel penamat ditiup, pemain dan pengurus MU merah padam muka kerana nyaris diaibkan oleh pasukan hingusan Malaysia. Itupun dengan gol kemenangan saat-saat akhir. Saya lihat ada masalah persefahaman dalam pasukan MU.Dalam bab ini saya mengucapkan syabas kepada pasukan Malaysia.

Dalam kes pilihanraya di MU (Manek Urai) dan perlawanan di antara MU (Machester United) dua-dua seolah-olah ada persamaan iaitu pilihan untuk pemenang hanya menang tipis? Dalam situasi di Manek Urai, jentera Pas mungkin gagal dari segi strategi dan teknik menghadapi serangan agresif pihak lawan. Pas juga berhadapan dengan persefahaman yang kurang mantap sewaktu di Manek urai sama ada dalam Pas sendiri atau dalam Pakatan rakyat. Begitu juga Machester United yang kelihatan gagal menggunakan strategi yang betul ketika di padang sehingga nyaris diaibkan. Mungkin pasukan MU hanya bermain separuh hati atau tidak bersungguh-sungguh.

Kesimpulannya, Pas menang tipis di Manek Urai tidak bermakna Umno kuat tetapi ada sesuatu yang perlu dilakukan 'post mortem' kenapa Umno hanya tewas tipis. Begitu juga dalam perlawanan MU-Malaysia petang tadi, MU tewas tipis tidak bermakna Malaysia sebuah pasukan yang kuat. Kalau kuat tentu tidak terperosok ke rangking berapa ratus tahh...Cuma semangat,kerjasama mantap dan serta strategi yang betul serta kelalaian pasukan MU dimanafaatkan sebaiknya.

Dalam hal ini, walaupun Pas dan pakatan Rakyat hari ini dilihat semakin kuat tetapi kelalaian dan kesilapan strategi boleh menjerat diri yang mungkin dapat dimanafaatkan oleh Umno@BN. Maka Pas dan Pakatan Rakyat perlu bijak menggunakan peluang untuk bersiap bagi menewaskan Umno@BN dalam PRU akan datang kerana UMN0@BN kini begitu lemah dan kini bukan lagi pilihan untuk menang dalam PRU akan datang.

BN SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA...

Kemasukan Dr Chua Jui Meng menyertai PKR merupakan satu tamparan yang cukup hebat kepada Umno@BN. Umno@BN bukan sahaja mengalami krisis keyakinan di kalangan rakyat bawahan tetapi mereka yang selama ini cukup setia kepada BN. Tempoh 23 tahun sebagai Ketua MCA Bahagian Bakri, pernah menjadi Naib Presiden MCA dan menjadi menteri membuktikan bahawa Umno@@BN hari ini semakin hilang taring dan sengat.Rekod serta kesetiaan pimpinan Umno@BN hari ini semakin goyah dengan perkembangan yang berlaku.

Isu kematian 'mengejut'Teo Beng Hock, 30 tahun sudah cukup mengejutkan Umno@BN apabila reaksi spontan dari pelbagai lapisan masyarakat sama ada dari dari Umno@BN dan pihak pembangkang yang semakin meluat dengan gelagat dan tingkah laku Umno@BN sepanjang lebih setengah abad memerintah negara.

Apa yang berlaku dalam negara tidak lagi boleh diterima sehingga menyebabkan rakyat bertindak berani bangkit menolak kepimpinan Umno@BN yang selama ini cukup selesa menerajui negara. Saya dapat merasakan akan ada lagi pemimpin Umno@BN mengikut jejak langkah Dr Chua Jui Meng untuk memacu Malaysia ke arah perubahan mewujudkan sistem pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan menjaga kebajikan rakyat.

17 July 2009

SELEPAS TAHANAN POLIS KINI TAHANAN SPRM PULA..


Jika sebelum ini kita sering kali mendengar berita tahanan polis 'mati mengejut' ketika berada dalam tahanan sewaktu masih dalam proses soal siasat. Itu belum lagi dikira tahanan yang mendakwa dibelasah dan 'dikerjakan' sewaktu berada dalam tahanan polis. Malah sebelum ini kita pernah mendengar tahanan wanita yang dibogelkan dan diminta ketuk ketampi dalam keadaan mengaibkan dan dirakam secara sulit untuk mendapatkan 'bukti'. Malangnya semua dakwaan dan bukti yang dikemukakan seperti kes A.Kugan akhirnya senyap begitu sahaja.

Semalam, negara digemparkan lagi tentang kematian 'mengejut' tahanan sewaktu sedang disoal siasat. Cuma kali ini bukan dalam tahanan polis tetapi sewaktu dalam soal siasat SPRM. Apakah ini satu lagi kes kematian 'mengejut'? Teo Beng Hock, 30 tahun (gambar) ditemui mati ketika berada di tingkat 14 pejabat SPRM di Shah Alam. Persoalannya bagaimana Teo boleh jatuh? Lebih malang, dia dijadualkan melangsungkan perkahwinannya hari ini. Bagaimana seorang yang berada di bawah kawalan SPRM boleh mati 'mengejut'? Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar awal-awal lagi mengklasifikasikan ia sebagai kematian 'mengejut'. Bagaimana beliau boleh membuat kenyataan 'mengejut' sebelum siasatan forensik dan bedah siasat belum lagi dilakukan?

Bagi saya, apa pun yang berlaku kepada Teo dalam hasil bedah siasat nanti, sama ada terjatuh, menjatuhkan diri atau dijatuhkan, SPRM perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana Teo berada di bawah kawalan dan siasatan SPRM ketika itu yang sedang menyisat kes berkaitan rasuah yang didakwa melibatkan Exco Pakatan Rakyat Selangor. Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang membuat spekulasi berkaitan kematian ini kerana ini bukan kematian biasa tetapi mati 'mengejut'.

16 July 2009

SIAPA KATA PAS MEMERINTAH PELABUR TAK DATANG?


Pelabur lari, pelabur takut datang dan tak ada pembangunan merupakan sebahagian daripada slogan dan momokan Umno khususnya kepada orang kampung dan pengundi di Manek Urai baru-baru ini jika negeri atau negara di perintah oleh Pas atau Pakatan Rakyat.

Maka terhangguk-hangguk le pak cik dan mak cik terpesona dan termakan dengan propaganda yang dimainkan oleh Umno.Analisis awal kemenangan tipis Pas di Manek Urai salah satunya dikaitkan dengan janji projek dan pembangunan kepada penduduk di situ.

Namun, semalam perjanjian perjanjian pelaburan bernilai RM 35.7 bilion di antara kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Pas dan Merapoh Resources Corporation untuk membina loji penapisan minyak terbesar di negara ini seharusnya membuka mata semua pihak. Dalam keadaan kegawatan ekonomi yang menyaksikan ramai pelabur gulung tikar, kesediaan Merapoh Resources Corporation melabur dalam jumlah yang besar membuktikan keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat.Ini memberi kredit yang besar kepada kepimpinan Ustaz Dato seri Azizan Razak yang teruk dilanyak oleh media milik Umno@BN.

Kenapa pelabur ini tidak melabur di negeri yang diterajui oleh Umno@BN? Kenapa pelabur tak mahu melabur di negeri yang diterajui oleh kerajaan mahkamah di Perak? Begitu juga di negeri lain seperti Pahang dan Johor? Semua ini sepatutnya mencelikkan pemimpin dan orang Umno bahawa pelabur mula lari dari negeri dikuasai mereka kerana masalah birokrasi, korupsi dan sikap mementingkan diri.

Senario hari ini sudah terbalik, pelabur tidak lagi berminat lagi membuat projek berskala besar di negeri dikuasai oleh Umno@BN tetapi lebih meyakini kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat yang mementingkan ketelusan, kebajikan serta kemakmuran rakyat jelata

14 July 2009

MANEK URAI 'UNIVERSITI POLITIK' PAKATAN RAKYAT


Kejayaan Pas mengekalkan Dun Manek Urai harus diraikan dengan penuh rasa kesyukuran walaupun kali ini Pas menang dengan majorti yang tipis. Pilihanraya kecil dan pilihanraya umum sesuatu yang berbeza. Aliran corak pemikiran pengundi boleh berubah dengan tiba-tiba terutama kepada penduduk atau pengundi di Kelantan. Cara dan corak pemikiran politik mereka berbeza berbanding dengan penduduk lain di negara ini.

Mungkin kali ini dalam pilihanraya kecil Manek Urai mereka sebelum ini terutama golongan atas pagar atau pengundi luar merasa 'tak apa' kalau pangkah Umno@BN kerana undi tersebut tidak akan menjejaskan kerajaan Pas di bawah pimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat.Andaian mereka,kerajaan Tok Guru masih utuh dan stabil jika satu kerusi terlepas kepada umno@BN. Mungkin juga ada benarnya, aliran pengundi kali ini ingin menyampaikan sesuatu mesej yang saya rasa tidak sukar untuk difahami khususnya oleh pimpinan Pas khasnya dan pimpinan Pakatan Rakyat amnya.

Berbeza dalam Pilihanraya Umum yang lalu, golongan muda khususnya yang menetap di luar Kelantan balik umpama pesta untuk mempertahankan kerajaan Pas pimpinan Tok Guru dari dirampas oleh Umno@BN. Mereka berpusu-pusu dan berbondong-bondong dengan kesesakan yang luar biasa sepanjang perjalanan serta ada yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyelamatkan kerajaan Pas di Kelantan.

Kepada pimpinan Pas dan Pakatan Rakyat di semua peringkat saya berharap agar tidak menunding jari kepada Umno@BN yang menipu, membeli undi, politik ugut dan sebagainya. Ini kerana itu sudah memang cara dan gaya Umno@BN berpolitik. Apa yang penting semua pihak dalam Pas dan Pakatan Rakyat perlu membuat post mortem terperinci berhubung dengan kemenangan tipis ini. Saya tidak melihat isu 'perselisihan' yang sengaja direka oleh pihak Umno@BN di antara Tuan Guru dan Ustaz Nasharudin menjadi faktor utama kemenangan tipis ini. Tetapi saya melihat pengundi Melayu di Manek Urai kurang senang dengan gelagat rakan Pas dalam pakatan khususnya DAP seperti yang berlaku di Kedah.

Pengundi Melayu terutama golongan atas pagar atau tidak berparti yang sebelumnya menyokong Pas dalam pilihanraya umum lalu mengalami konflik dan dilemma apabila isu yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

Ini merupakan pengajaran yang sangat penting kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan dan pendapat khususnya hal yang sensitif. Mereka perlu mengeratkan muafakat dan kerjasama untuk memastikan matlamat menumbangkan kerajaan Umno@BN dalam pilihanraya umum akan datang benar-benar menjadi kenyataan. Hentikan segala polemik dan perdebatan secara terbuka sebaliknya setiap isu yang wujud perlu ditangani melalui rundingan dan semangat setiakawan.

Apa yang lebih penting segala ilmu dan pengalaman sepanjang pilihanraya kecil Manek Urai perlu dijadikan muhasabah dan renungan dengan menjadikan ia sebagai 'universiti politik' untuk rujukan pada masa akan datang.

JAMBATAN DI MANEK URAI AKAN DIBINA HASIL LELONGAN RUMAH KHIR TOYO?


Sehingga lewat petang ini, ramalan sebelum ini bahawa Pas akan memenangi kerusi DUN Manek Urai sudah semakin pasti, cuma keputusan rasmi yang masih menjadi teka teki.

Apa yang pasti Tan Sri Muhyiddin dikhabarkan awal-awal lagi sudah angkat kaki seolah-olah mengerti Manek Urai Umno akan tewas lagi.

Tetapi apa yang bakal menjadi misteri, apakah penduduk Manek Urai akan mengidam dan kempunan mendapatkan jambatan baru seperti yang dijanjikan oleh Muhyiddin jika Umno menang di Manek Urai?

Penduduk Manek Urai tak perlu rasa terkilan kerana maruah anda terbukti tidak boleh dijual beli lebih-lebih lagi ditukar ganti dengan sebuah jambatan. Peluang penduduk Manek Urai untuk menggunakan jambatan baru masih ada. Saya mencadangkan hasil lelongan rumah Khir Toyo nanti boleh digunakan untuk diberi kepada penduduk di Manek Urai. Jika rumah Khir Toyo dapat dijual dengan harga RM 15 juta dari anggaran RM 24 juta saya kira ia sudah lebih cukup untuk sebuah jambatan baru. Tolak kos RM 3.5 juta dan diberi sekali ganda kepada Khir Toyo RM 7 juta masih ada RM 8 juta lagi. Bukan sahaja jambatan baru malah boleh dihias dengan lampu yang berkelip-kelip di sepanjang jambatan!

MANEK URAI: PAS DI AMBANG KEMENANGAN.

1. Polis mula mengeluarkan amaran berulang kali tidak membenarkan perarakan kemenangan calon di Manek Urai

2. Pemimpin kanan Umno dan BN mula meninggalkan Manek Urai petang tadi disebabkan 'urusan yang tak dapat dielakkan'.

3. Laporan dari unit peti undi yang bertugas sebagai 'polling agent' bahawa Pas diramalkan menang dengan majoriti lebih 2000 undi.

4. Peti-peti undi yang mula dikira sebentar tadi menunjukkan Pas mendahului selesa setakat ini.

Insyaallah sebelum 7.30 keputusan tidak rasmi yang lebih terperinci akan dapat diketahui....Teruskan doa dan zikir Insyaallah Pas di ambang kemenangan.

13 July 2009

TUAN GURU LEBIH MENGHAYATI 1MALAYSIA DARI PENGASASNYA SENDIRI!


Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada kepimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan yang mengistiharkan esok 14 Julai sebagai 'cuti am' bagi semua kakitangan kerajaan negeri, persekutuan dan swasta di Kelantan.

Langkah ini bertepatan dengan mendahulukan rakyat dan mementingkan pencapaian didalam pilihanraya kecil di Manek Urai. Apa guna sama ada Pas atau BN menang tetapi ramai rakyat dinafikan hak mereka untuk mengundi kerana hari pembuangan undi adalah hari bekerja. Sudah pasti mereka yang tinggal dan bekerja di daerah lain di Kelantan tidak dapat membuang undi atau terpaksa mengambil cuti semata-mata untuk mengundi. Ini bermakna pencapaian tidak diutamakan dan rakyat diketepikan.

Pihak SPR sepatutnya lebih peka dalam memilih hari pembuangan undi. Saya yakin SPR tidak bertindak sendirian dalam menentukan hari pembuangan undi yang seperti sengaja ditetapkan pada hari bekerja. Untuk apa tujuannya, sudah dimaklumi bahawa pengundi luar yang rata-rata golongan muda majoriti besarnya merupakan penyokong kuat kepada pakatan Rakyat.Umno@BN berharap tarikh hari bekerja akan memberi keputusan yang memihak kepada mereka terutama pengundi yang telah lanjut usia dari saluran 1 dan 2.

Walaupun keputusan Manek Urai tidak mampu mengubah kerajaan Pas di Kelantan, keputusannya adalah sangat penting kepada Umno sebagai kayu pengukur sejauh mana sokongan rakyat khususnya orang Melayu yang dikatakan mula kembali kepada Umno. Tetapi saya yakin tindakan Tuan Guru mengistiharkan cuti umum di Kelantan esok bakal menguatkan tanggapan bahawa Umno akan sekali lagi kempunan di gelanggang demokrasi.

12 July 2009

PRK MANEK URAI :DUIT RAKYAT JADI MACAM DUIT UMNO


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiidin Yassin hari ini dalam ucapan di Manek Urai berjanji bahawa kerajaan akan membina jambatan baru di Manek Urai bernilai antara RM 7 juta hingga RM 7 juta. Tetapi beliau meletakkan syarat penggundi Manek Urai mesti memberi kemenangan kepada calon BN dari Umno pilihanraya kecil berkenaan.

"Kita boleh bagi (jambatan baru), insya-Allah, tetapi ada syarat. Yang itu senang saja, pangkah saja (BN). Kita nak beritahu semua, mu (kamu) nak lalu sini, mu kena pangkah BN.

"Kalau tidak, esok dia tak dapat jambatan. Nak jambatan, pangkah BN," katanya di hadapan 200 penyokong BN petang tadi.

Nampaknya pemimpin Umno tidak pernah belajar daripada pengajaran yang diberi oleh rakyat dalam pilihanraya umum lalu. Mereka masih menganggap rakyat boleh digula-gulakan hanya mengikut sahaja seperti kerbau dicucuk hidung.

Kenyataan Muhyiddin mencerminkan seolah-olah duit rakyat, duit pembayar cukai adalah duit Umno. Mereka boleh guna untuk pancing undi. Pemimpin Umno tidak dapat bezakan antara duit milik negara dengan duit milik Umno. Ternyata Umno masih tidak dapat memisahkan daripada pendekataan lama menawarkan projek pembangunan kepada rakyat. Adakah dalam dunia ini hanya Umno sahaja yang boleh tawarkan pembangunan boleh memajukan negara? Adakah negara maju seperti Jepun, Amerika, Peranchis dan Jerman maju kerana Umno memerintah di sana?

Selain itu, janji politik Muhyiddin ini menunjukkan Umno masih mengamalkan politik diskriminasi. Membangunkan sesuatu kawasan secara berpilih. Slogan 1Malaysia yang kononnya rakyat diutamakan semakin terserlah hanya retorik dan omong kosong.

Saya yakin majoriti rakyat Manek Urai khasnya dan negara amnya sudah semakin meluat dengan pendekatan lama Umno ini. Semoga pemimpin Umno mengekalkan gaya kepimpinan seperti ini supaya lebih cepat riwayat mereka ditamatkan dalam pilihanraya umum akan datang.

APA YANG MENARIK SANGAT TU?


Dalam kesibukan hujung minggu ini saya berkesempatan membawa anak-anak dan keluarga dari kampung untuk berjalan-jalan. Kalau nak ikut badan memang malas maklumlah kepenatan dalam memenuhi undangan ceramah dan pelbagai program lain. Lebih -lebih lagi dengan menularnya wabak H1N1 sekarang. Singgah di sebuah pusat membeli belah terkenal, sambil menunggu anak-anak pergi ke kedai buku, saya tertarik melihat gelagat orang ramai di kedai elektrik bersebelahan yang saya perhatikan terpaku dan tidak berganjak dari tadi. Ada jualan murah atau lelong ke? Rugi kalau terlepas peluang ni.

Ohhh... tengok konsert Micheal Jackson rupanya! Saya perhatikan sikap mendewa-dewakan artis begitu menebal pada orang Melayu ni..Seolah-olah tak dapat terima hakikat Micheal Jackon dah mati.