11 October 2009

FAKTOR PAS TEWAS DI BAGAN PINANG

Seperti yang saya jangkakan PAS agak sukar untuk menang di Bagan Pinang. Berikut adalah faktor ketewasan calon PAS di Bagan Pinang: Ini merupakan faktor dominan iaitu :-

1. Calon Pas bukan perasuah seperti calon Umno

2. SPR senget sebelah kepada Umno@BN- Bakal menjadi komponen BN?

3. Undi Pos???? Malas nak cerita... askar pencen berbelas tahun masih jadi pengundi Pos?

Faktor lain yang perlu diberi perhatian :

1. Calon Pas bukan anak tempatan

2. Strategi gerak saraf Pas perlu diberi perhatian.

3. Petugas PAS yang datang dari seluruh negara kurang efisen - Hanya meramaikan majlis ceramah, memenuhi gerai jualan dan beriadah di pantai Port Dicksons

4. Kesesakan di hadapan markas Besar Pas akibat pembinaan gerai jualan dan kenderaan yang diletakkan sesuka hati menimbulkan kemarahan kepada penduduk / pengundi tempatan.

5. Isu pembinaan kuil di Selangor yang dibangkitkan kepada pengundi India di Bagan Pinang.

6. Isu 'perbalahan' Pakatan Rakyat di Kedah dan Selangor yang didedahkan oleh media????

Walau bagaimanapun bagi semua pimpinan dan petugas yang ikhlas kita tidak pernah tewas dan tidak kalah cuma tidak menang. Allah SWT tidak melihat hasil atau kemenangan sebagai balasan ganjaran dari-Nya. Tingatkan usaha dan keikhlasan ...Kita berjuang bukan kerana sanjungan dan pujian manusia kita berjuang kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT. Teruskan perjuangan....

10 October 2009

BAGAN PINANG:PELUANG SEIMBANG

Sebelum ini Umno begitu mendabik dada Bagan Pinang adalah lubuk dan kubu mereka. Kini tak sampai 24 jam masa pengundian peluang untuk kedua-dua parti bertanding adalah seimbang. Mood penggundi masih sukar diramal. Pas dijangka boleh membuat kejutan di Bagan Pinang. Jika Pas mampu meraih 35 % undi Pos dan mengekalkan sokongan pengundi Cina dan India yang menunjukkan sokongan memberansangkan di Bagan Pinang peluang untuk mencapai kemenangan ke 8 pasca pilihanraya umum sesuatu yang semakin hampir untuk dicapai.

Kemungkinan swing undi protes dari penyokong Datuk Chua Soi Lek kepada Pas yang berjaya 'mengajar' kem Datuk Ong Tee Keat dalam EGM luar biasa hari ini sesuatu yang cukup dibimbangi oleh Umno@BN di Bagan Pinang.

Dijangkakan malam ini akan berlaku 'gempa duit' yang dijangka melebihi 9 skala richter di Bagan Pinang. Oleh itu diminta semua petugas dan penyokong Pas serta Pakatan Rakyat meningkatkan kawalan keselamatan sama ada di pos parti dan rumah-rumah pengundi atas pagar yang menjadi sasaran Umno@BN untuk memastikan aib tidak terpalit kepada Umno. Umno pastinya akan berhabis-habisan untuk mengelakkan mereka mendapat malu besar di Bagan Pinang. Insyaallah sebentar lagi saya akan ke Bagan Pinang untuk melihat perkembangan terkini di sana.

MELAKA ANUGERAH MENTERI BESAR HARAM PINGAT


Hari ini Melaka mencipta satu lagi sejarah apabila Kerajaan Melaka melalui TYT Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun. Mohd. Khalil Yaakob., menganugerahkan Menteri Besar Kudeta Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengetuai senarai 1,230 penerima darjah bintang dan pingat kebesaran sempena Hari Jadi ke-71.

Zambry menerima anugerah tertinggi Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama empat lagi penerima.


Anugerah ini tidak akan diberi tanpa ada cadangan daripada Kerajaan Melaka yang diketuai oleh Ketua Menteri yang terpalit rasuah, Datuk Seri Muhd. Ali Rustam.

Mungkin anugerah ini sebagai menghargai jasa Zambry merampas secara 'melanun' kerajaan dipilih rakyat di Perak. Umum mengetahui rampasan kuasa di Perak bermula dengan teknik ugut dan merasuah 3 bekas adun dari Pakatan Rakyat dan adun-adun lain di Perak. Pepatah Melayu berkata ' hanya jauhari yang kenal manikam'. Hanya perasuah yang tahu menghargai kaki rasuah!

Mungkin juga kerana usaha yang mendapat perhatian seluruh dunia apabila berjaya melantik speaker baru melalui kaedah baru iaitu 'cekik dan heret'. Memandangkan usaha Zambry tidak pernah dibuat orang atau oleh mana-mana pemimpin dunia maka memang wajarlah Zamby dianugerahkan pingat berkenaan.

Selepas ini saya mencadangkan kepada Ali Rustam untuk memberi anugerah tertinggi kepada Ketua Putera Umno kerana lakonan mantapnya dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Tahniah Zamby dan takziah untuk orang Melaka...

09 October 2009

SPR SEMAKIN HAMPIR UNTUK MENJADI KOMPONEN BN


Perjalanan pilihanraya Bagan Pinang terus bercelaru dan haru biru. Semua ini bukan kerana kerancakan kempen pilihanraya kecil tetapi sikap senget sebelah SPR kepada UMNO@BN. Sepatutnya SPR menjadi menjunjung dan melaksanakan proses demokrasi di Malaysia.

Apa yang berlaku menunjukkan SPR semakin hampir untuk menjadi komponen BN walaupun tidak diwartakan secara rasmi. Lihatlah Undang-undang yang dibuat dikhianati oleh SPR sendiri. Wujud peraturan pelik yang tak masuk akal. Yang ada ditiadakan yang tiada diadakan.

Dalam undang-undang pilihanraya tidak termaktub parti politik yang tidak bertanding boleh berkempen dengan menaikkan bahan kempen seperti bendera tetapi SPR kata ada peraturan begitu.

PAS melalui pengarah pilihanrayanya mendedahkan 253 nama yang bertindih dalam buku daftar pemilih beserta dengan bukti. SPR kata mana ada! Semalam PAS membantah kerana Menteri dan Menteri Besar berkempen dalam kem tentera beserta bukti audio yang dirakam. Tetapi SPR seolah-olah hanya memekakkan telinga.

Hari ini Pas bantah lagi daftar pemilih semasa penamaan calon untuk undi pos bercanggah dengan buku daftar hari pengundian. Walhal jelas dalam peraturan pilihanraya menjelaskan tindakan SPR itu bertentangan dengan Peraturan 14A Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981.

Statut tersebut berbunyi: "Daftar Pemilih yang dikemukakan kepada calon pada hari penamaan calon HENDAKLAH merupakan naskah sahih daftar pemilih yang akan digunakan oleh pegawai pengurus dan ketua tempat mengundi sesuatu tempat mengundi pada hari mengundi..."Apa alasan dan dalih SPR kali ini.

Pengerusi SPR dalam berita semalam menuduh PAS sengaja bising-bising kerana takut kalah. Nak tanya pada pengerusi SPR sejak bila PAS bertanding pilihanraya takut kalah? Kalah menang sudah asam garam PAS sepanjang menyertai pilihanraya. Malah PAS selalu hilang deposit sebelum ini bila bertanding di Negeri Sembilan!

Apa yang dilakukan ini jelas menunjukkan bahawa SPR kini bertindak sebagai komponen BN di Bagan Pinang. Apa yang berlaku semakin menghakis kepercayaan majoriti rakyat negara ini kepada SPR dan demokrasi serta pilihanraya di negara ini.

08 October 2009

DAKWAAN AZEEZ DIPUKUL UNTUK MENGHALALKAN TINDAKAN SAMSENG UMNO DI BAGAN PINANG?


Semasa penamaan calon Bagan Pinang Ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa dipukul oleh 9 orang yang didakwanya penyokong Pas. Tetapi sehingga hari ini beliau tidak dapat membuktikan kesahihan dipukul. Tawaran sehingga RM6500 kepada sesiapa yang tampil bersama bukti Azeez dipukul. Polis berkata, suspek telah dikenal pasti. Kalau dah kenal pasti maksudnya ada bukti dan saksi tetapi kenapa tak ambil tindakan sehingga sekarang?

Bagi saya semua ini adalah skrip yang telah sengaja dirancang awal oleh Umno untuk menggambarkan bahawa Pas sebuah parti yang ganas. Buktinya selepas itu dari sebesar-besar tokoh Umno sehinggalah kaki angguk semua membawa cerita yang sama bahawa Pas bertindak samseng di Bagan Pinang. Kalau Berita RTM dan TV3 tak payah ceritalah...malah cerita Azeez dipukul lebih banyak mendapat liputan berbanding tragedi gempa di Padang yang mengorbankan ribuan nyawa.

Semua ini terbukti bahawa selepas itu ada sahaja provokasi yang dilakukan oleh Umno yang bernaung di bawah ketiak SPR dan pihak berkuasa tempatan yang menurunkan bendera rakan Pas dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi apa yang berlaku malam tadi makin mendedahkan kebiadapan dan kesamsengan penyokong Umno yang pastinya tidak bertindak tanpa arahan dari pihak atasan yang menyerbu bilik gerakan Pemuda Pas Pusat di Bagan Pinang. Tindakan menetak dengan parang dan membelasah petugas Pas sehingga cedera parah merupakan tindakan tidak bertamadun yang dilakukan oleh Umno.

Kenapa akhbar tak buat liputan dan menyiarkan gambar pemuda yang teruk dibelasah? Tetapi Azeez yang kononnya dibelasah sehingga terbaring dan kemudiannya bangun semula disiarkan secara meluas.

Saya yakin menjelang hari pengundian lebih banyak tindakan provokasi dan samseng akan dilakukan oleh Umno dan saya mengingatkan semua jentera Pas dan Pakatan Rakyat terutama petugas keselamatan agar bersiap sedia dengan provokasi yang bakal dilakukan. Semua ini menunjukkan bahawa Umno cukup terdesak untuk menang di Bagan Pinang.

07 October 2009

1DUNIA DAH TAHU...

Apabila idea 1Malaysia diperkenalkan maka semua kaki angguk di bawah turut bercakap idea yang sama. Sehinggakan ucapan Assalamualaikum pun dah bertukar kepada Salam 1Malaysia. Sahabat saya yang belajar di Timur Tengah kata dia pun tak tahu macam mana nak jawab salam tu...

Maka semua program, tema dan kain rentang semuanya memuji-muji idea 1Malaysia sehingga Islam Hadhari tak kedengaran lagi. Semua kadi dan mufti yang berkhidmat di bawah telunjuk Umno@BN tidak lagi bercakap Islam Hadhari semua kini bercakap tentang gagasan Islam 1Malaysia.

Begitulah penangan yang dibawa oleh idea 1Malaysia. Semalam dalam Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-35 di Paris, Datuk Seri Najib ingin 'menjual' pula gagasan 1Rantau,1Dunia.

Bagi saya tak perlu jual pun sebab 1 dunia dah tahu apa yang berlaku di 1Malaysia. Perasuah boleh jadi pemimpin. Ada rasuah halal dan ada rasuah haram. Seperti ada rasuah yang boleh dimaafkan dan ada rasuah yang tiada maaf bagimu.

1Dunia tahu apa yang dilakukan oleh Umno@BN di Perak. 1Dunia juga dah tahu apa yang berlaku kepada Altantuya. 1Dunia juga dah tahu apa yang berlaku dalam 1Malaysia yang sistem kehakimannya caca marba. IDunia juga dah tahu bahawa ada hakim di 1Malaysia boleh 'diajak berunding', dibawa melancong dan sebagainya.1Dunia juga dah tahu ada orang tak semena-mena tanpa gempa bumi dan taufan boleh jatuh tiba-tiba dari bangunan SPRM. 1Dunia juga tahu SPR kini menjadi alat kepada Umno@BN.

Kesimpulannya....tak perlu jual idea 1Malaysia....1Dunia dah tahu....Orang kampung saya pun tahu jugak......

06 October 2009

NAJIB: ISA PERLU DIBERI PELUANG....UNTUK SONGLAP DUIT RAKYAT?

Perdana Menteri 1Malaysia meminta agar pengundi di Bagan Pinang memberi peluang kepada Tan Sri Isa Samad untuk diplilih sebagai wakil mereka dalam pilihanraya kecil berkenaan.

Apa tak cukup lagi tempoh 22 tahun sebelum ini sebagai wakil rakyat dan Menteri Besar? Orang Negeri Sembilan mengakui sepanjang tempoh Isa Samad jadi Menteri Besar, Seremban contohnya yang menjadi ibu negeri Negeri Sembilan dikenali sebagai bandar mati berbeza dengan hari ini.

Apa tak cukup lagi Isa Samad songlap duit rakyat sepanjang jadi wakil rakyat dan Menteri Besar? Nak bagi peluang apa lagi? Nak tunggu sehingga khazanah dan duit rakyat habis licin?

BAGAN PINANG IBARAT MEDAN PERANG

Mantan Perdana Menteri, tun Dr. Mahathir terus melancarkan peperangan terhadap Tan Sri Isa Samad calon Umno di Bagan Pinang. Semalam Dr Mahathir menegaskan dia akan terus boikot untuk berkempen di Bagan Pinang. Beliau tidak mahu berkempen kerana ia seperti menyokong pelaku rasuah. Perasuah menurut beliau tidak layak dipilih menjadi pemimpin walaupun telah menjalani hukuman. Hari ini kempen hari ketiga pilihanraya kecil Bagan Pinang terus dicemari dengan rasuah sama ada secara terang dan nyata. Dalam masa yang sama beliau menyalahkan Pak Lah yang menjadi punca rasuah berluasa dalam Umno sekarang.

Golongan yang paling banyak mendapat habuan pastinya tentera atau bekas tentera yang dikatakan menjadi nyawa kepada Umno untuk menang di Bagan Pinang. Pelbagai bantuan, sumbangan dan janji mula ditabur untuk meraih undi. Poket penduduk dan pengundi Bagan Pinang dijangka akan terus bergegar tidak henti-henti seperti gempa bumi di Padang Sumatera.

Bagi saya memang bertepatan Port Dickson diistiharkan sebagai Bandar Tentera Darat sempena pilihanraya kecil Bagan Pinang. Tentera tidak dapat dipisahkan daripada peperangan. Dalam erti kata lain, Pakatan Rakyat berperang melawan rasuah yang kini didaulatkan dan menjadi kiblat Umno. Apabila sebut tentang perang, tentera yang ramai, senjata yang canggih dan duit yang banyak belum tentu menjamin kemenangan. Ini semua bergantung kepada strategi peperangan.

Oleh itu kepada semua jentera Pakatan Rakyat, mantapkan strategi, serang dan bertahan dengan cara yang betul, Insyallah kemenangan akan menyusul.

04 October 2009

CONFIRM! KETUA PUTERA UMNO PEMBOHONG!


Saya dah lama tak menonton Buletin Utama TV 3. Cuma hari ini tertengok apabila bertandang ke rumah jiran. Kalau semalam Ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa beliau dipukul oleh penyokong Pas semasa penamaan calon semalam dengan menunjukkan 'merah-merah' di leher dan badannya. Dalam hati saya apabila berita beliau dipukul sebelum ini disiarkan, saya berkata macam mana 'Putera Umno' yang berlagak samseng semasa bertanding di Parlimen Baling dalam pilihanraya umum lalu dan menjadi juara membela mat rempit boleh kena pukul? Saya langsung tak percaya kerana walaupun 'dibelasah' oleh lapan lelaki seperti didakwa beliau masih kelihatan sihat waalafiat seperti yang dirakamkan oleh media dalam sidang akhbarnya semalam.

Naib Presiden Pas, Saudara Shalehudin Ayub menyifatkan Abdul Azeez seorang pembohong kerana sengaja ingin menimbulkan provokasi untuk memberi imej negatif kepada Pas.

Tiba-tiba hari ini dalam Buletin Utama disiarkan Abdul Aziz terbaring di hospital dalam keadaan cukup lemah dan tak bermaya. Ehhh...rupa-rupanya Abdul Azeez mengalami kecederaan serius selepas 24 jam...Mungkin orang yang memukul Abdul Azeez ilmunya hanya mujarab selepas sehari! Hebat betul lakonan! Kalau tak silap saya masa pilihanraya kecil di Terangganu Abdul Azeez turut mengemukakan dakwaan yang sama seperti di Bagan Pinang. Bila keluar berita ni sekali lagi muncul di Bagan Pinang saya nasihatkan agar Abdul Azeez lebih layak bertanding jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan akan datang.

GEMPA DI SUMATERA TETAPI YANG RUNTUH BANGUNAN DI TERANGGANU

Masjid Kampung Batu Putih Kerteh Kemaman yang runtuh semalam

Kehilangan nyawa dan bangunan runtuh dua perkara yang berlaku setiap kali berlakunya gempa bumi seperti terbaru yang berlaku di Padang Sumatera Barat. Banyak nyawa yang terkorban dan bangunan yang runtuh atau tertimbus.

Tetapi lain pula yang berlaku di Terangganu, gempa bumi tidak, taufan tidak dan ribut pun tidak tetapi sering sahaja berlaku bangunan runtuh. Kalau sebelum ini bumbung sekolah dan stadium yang runtuh kali ini bumbung masjid pula yang runtuh.

Kejadian terbaru berlaku di Masjid Kampung Batu Putih tiba-tiba runtuh dan menimpa tiga buruh warga Indonesia yang datang untuk membaiki binaan itu di Kemaman, semalam. Kebetulan kejadian ini berlaku dalam parlimen Kemaman yang Menteri Besarnya berasal dari sana.

Pakar kaji bumi pastinya pening kepala dengan 'misteri' dan ' peristiwa pelik' yang berlaku di Terangganu. Selalu benar bangunan runtuh di Terangganu. Tak pasti le pulak sama ada masjid ini dibina era Datuk Idris Jusoh atau Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Jika begini keadaannya tidak mustahil 'tsunami' juga boleh melanda Terangganu bila-bila masa lebih-lebih lagi apabila senario politik di Terangganu di dalam Umno yang 'gempanya' tidak pernah berhenti menggoyangkan kepimpinan Ahmad Said sekarang.