30 November 2009

APABILA MAHATHIR KATA UMNO BUSUK SEHINGGA KE USUSNYA...


Tun Dr. Mahathir menyifatkan Umno kini kian parah dan digambarkan 'busuk hingga ke ususnya'. Apa benda yang ada dalam usus tu? Tak lain dan tak bukan ialah segala kotoran yang meloya dan menjijikan. Bila sebut benda busuk ini saya teringat kepada bekas guru saya Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad atau saya panggil Cikgu semasa di USM dulu. Dalam era Mahathir sebagai Perdana Menteri beliau menghasilkan sebuah buku berjudul 'SHit'. Ketika itu riuh rendah seluruh negara terutama di kalangan pemimpin Umno yang menuduh Shanon sebagai penulis yang tidak beretika dan menulis sesuatu yang dianggap jijik dan kotor. Maka pelbagai celaan dan tohmahan dilemparkan sehingga wujud desakan agar gelaran Sasterawan Negara ditarik balik. Bagi mereka yang pernah membaca novel berkenaan sedar 'shit' dan 'kepala shit' yang dimaksudkan oleh Shahnon adalah merujuk kepada pemimpin Umno ketika itu.

Kini setelah lebih 10 tahun novel Shit ditulis barulah Dr. Mahathir mengakui bahawa 'shit' memang wujud dalam Umno...Mereka menyertainya untuk kepentingan dan agenda peribadi. Cantas mencantas dan gila kuasa serta menindas dan menipu rakyat. Kalau tidak mana mungkin perasuah dan mereka terlibat dengan skandal boleh dilantik dan dimuliakan dalam Umno.

Hanya benda benda busuk yang menjijikkan sahaja yang sanggup dan mampu tinggal di dalam usus. Biasanya yang duduk dalam usus lambat laun akan keluar atau terkeluar dan tempatnya tak lain dan tak bukan dalam loji kumbahan yang perlu dirawat dan dikitar semula.

INUL DIBENARKAN GOYANG GERUDI KETIKA UMAT ISLAM NEGARA INI MENYAMBUT AIDIL ADHA

Aksi goyang gerudi Inul ketika umat Islam di Malaysia sedang menyambut Aidiladha

Akhirnya cita-cita Inul Daratista untuk membuat goyang gerudi di Malaysia tertunai ketika umat Islam di negara ini sedang menyambut Hari Raya Aidiladha dan menghayati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim as.

Bertempat di KL Live, Life Centre, Jalan Sultan Ismail, semalam Inul mengoyangkan 360 darjah gerudinya yang memukau kira-kira 5,000 penonton. Persembahan itu diadakan secara percuma kononnya untuk pekerja Indonesia di negara ini.

Tiket percuma dan terhad kepada warga Indonesia bukan isunya. Isunya, ia diadakan di negara ini ketika umat Islam sedang menyambut Aidiladha. Persembahan Inul yang terkenal dengan imej aksi goyang gerudi dengan kelucahan melampau ternyata menghiris hati dan perasaan umat Islam di negara ini. Siapa yang membenarkan persembahan itu diadakan di negara ini? Adakah kerajaan 1Malaysia yang diterajui Umno yang mendakwa mereka parti Islam tidak mengetahui bahawa Majlis Ulama Indonesia sendiri telah memberi fatwa bahawa goyang gerudi adalah haram? Kenapa ulama Umno yang mengampu pemimpin mereka dalam isu doa Tuan Guru Nik Aziz senyap seolah-olah buta dan tuli dalam isu goyang gerudi ini? Adakah mereka sudah jumpa fatwa dan hujah yang menghalalkan dan mengharuskan goyang gerudi ini?

Adakah dengan membenarkan Inul membuat konsert di negara ini semalam merupakan salah satu syarat pengorbanan yang menjadi tuntutan dan ajaran Islam.?Jika itu syaratnya, maka dengan konsert ini semalam lengkaplah 'rukun' korban yang dilakukan oleh pemimpin Umno untuk tahun ini.


29 November 2009

BERDOA PUN PERLU TAULIAH?


Senyap sekejap isu tauliah yang membabitkan bekas Mufti Perlis, Ustaz Dr. Asri Zainal Abidin. Kini timbul pula isu doa yang melibatkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hari ini pemimpin Umno dan 'ulama' Umno mempertikaikan doa TGNA terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno agar dibinasakan Allah jika mengkhianati rakyat Kelantan dalam isu tuntutan royalti.

Ikut suka TGNA nak doa kepada Allah SWT, yang pemimpin Umno sibuk-sibuk apa pasal? Dalam era 1Malaysia bukan sahaja tokoh agama perlu tauliah nak berceramah, nak berdoa pun kena dapat tauliah dari Umno dulu!

NAJIB DAN UMNO TAK PERLU TAKUT DENGAN DOA TOK GURU


Perdana Menteri Dato Seri Najib dan Umno tidak perlu risau dengan doa Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tak perlulah Datuk Hishamudin gundah dengan menuduh tindakan TGNA tak masuk akal.Jika mereka berada di pihak yang benar mereka tak perlu bimbang dan risau. Allah SWT lebih mengetahui segala-galanya. Tetapi jika mereka menipu, merampas hak rakyat Kelantan dan terus menindas rakyat maka patut bersedia menanti akibatnya. Doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT.

28 November 2009

Ayah Kickdefella ialah Kolonel Mat yang Dimaksudkan TGNA?


Blogger Kickdeflla atau Syed Azidi Syed Aziz mengesahkan bahawa ayahnya yang juga kolonel bersara Syed Abdul Aziz Syed Razak yang juga dikenali sebagai 'Kolonel Mat' adalah individu yang dimaksudkan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai perancang konspirasi menjatuhkan kepimpinan Tuan Guru. Berita lanjut sila baca dalam Malaysian Insider.

KENAPA PEMIMPIN UMNO BERIA-IA MEMPERTAHANKAN BTN?

Sehari dua ni polemik tentang BTN hangat diperkatakan. Setakat ini pimpinan Pakatan Rakyat sama ada dari PAS, PKR dan DAP sebulat suara dan senada meminta BTN dimansuhkan. Bagi mereka yang pernah menghadiri kursus BTN mengakui bahawa BTN merupakan program perkauman dan propaganda politik murahan Umno. Jadi langkah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengharamkan BTN ibarat menggugat segala kempen dan kempen murahan Umno terutama terhadap pelajar pengajian tinggi yang baru menamatkan pengajian atau kepada kakitangan kerajaan yang baru berkhidmat.

Saya merupakan pelajar IPTA yang terselamat dari program BTN. Walaupun sebelum ini pernah diugut oleh pihak pentadbiran universiti bahawa jika tidak mengikuti kursus BTN akan berhadapan kesukaran untuk mendapat kerja. Ternyata itu semua cuma pembohongan dan taktik lapuk semata-mata. Bagi rakan-rakan yang pernah mengikuti BTN rata-rata meluahkan rasa kesal kerana BTN dijadikan alat UMNO untuk 'membasuh' pemikiran supaya menyokong Umno.

Jadi tidak hairanlah hanya Umno sahaja yang beria-ia dan bermati-matian mempertahankan BTN. Manakala pimpinan MCA,MIC dan Gerakan serta komponen BN yang lain hanya membisu dan tidak mengulas apa-apa tentang kewajaran BTN diteruskan.

Gelagat pemimpin Umno menggunakan BTN untuk kepentingan politik sempit sebenarnya tindakan terdesak dan menyalah gunakan duit rakyat yang menjadi pembayar cukai. Tindakan berkenaan bukan sahaja tidak beretika tetapi juga melampaui batas. Jika mereka berani sila buat kajian atau tinjauan berapa peratus rakyat negara ini yang bersetuju kursus BTN diteruskan dan berapa peratus yang setuju Umno menggunakan duit rakyat sebagai sumber menyebar propaganda mereka.

Untuk makluman pembaca blog dan pemimpin Umno yang beria-ia mempertahankan BTN, saya baru-baru ini telah diundang untuk menyertai satu kumpulan 'think tank' untuk menjadi penceramah kepada kakitangan kerajaan yang baru berkhidmat dan pelajar universiti yang sedang mengikuti pengajian di pusat pengajian tinggi. Apa yang lebih melucukan saya melepasi tapisan keselamatan dan senarai penceramah yang 'black list' pro pembangkang.Saya diminta agar 'membasuh' pemikiran kedua-dua golongan ini supaya menyokong kerajaan (Umno@BN). Insyaalllah saya akan guna kesempatan ini untuk menjelaskan betapa teruknya kerajaan umno@BN yang ada sekarang yang menjadi penyumbang kepada pelbagai masalah dan kegawatan sosial, politik dan ekonomi yang melanda negara.

27 November 2009

MB NEGERI SEMBILAN DISIASAT ISU DUIT RM 10 JUTA


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Hassan disiasat oleh Bank Negara berkaitan pemindahan wang berjumlah RM 10 juta yang dilakukan melalui Pengurup wang, Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd pada tahun 2008 ke London. Tindakan tersebut ternyata melanggar undang-undang negara kerana setiap pemindahan wang ke luar negara melibatkan jumlah yang besar perlu melalui prosedur dan kebenaran Bank Negara. Malahan pemindahan wang melibatkan jumlah yang besar menimbulkan persoalan iaitu dari mana Mohamad Hassan dapat duit sebanyak itu dan apa tujuannya duit tersebut dihantar ke London?

Bank Negara dalam satu kenyataan semalam mengesahkan syarikat pengurup wang itu, Salamath Ali telah melanggar Seksyen 30 Akta Pengurupan Wang 1998 dan lesennya telah dibatalkan pada 26 Oktober.

Isu terkini melibatkan Mohamad Hassan seperti mengulangi episod bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhamamad Taib yang pernah ditangkap ketika sedang pikul guni duit di Brisbane Australia. Cuma Mohamad Hassan cerdik sedikit dari Mohamaad Taib kerana tidak pikul duit ke luar negara tetapi melalui orang tengah. Saya yakin isu ini akan tenggelam dan hilang macam tu sahaja melainkan ada pihak tertentu yang tidak mahukan lagi Mohamad Hassan menjadi MB Negeri Sembilan.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EIDUL ADHA


Kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Menyambut Hariraya Eidul Adha kepada semua muslimin/ muslimat pengunjung blog ini. Marilah sama-sama kita tingkatkan pengorbanan untuk meningkatkan keimanan dan menjana taqwa di sisi Allah SWT. Lakukan pengorbanan dalam pengertian yang lebih luas dalam kehidupan kita. Insyaallah walaupun pengorbanan itu dilihat kecil tetapi sekiranya dilakukan dengan niat yang tulus ikhlas nilainya tinggi di sisi Allah SWT. Pengorbanan yang besar perlu dimulakan daripada pengorbanan yang kecil-kecil. Latih dan biasakan diri untuk melakukan pengorbanan Insyallah kita akan dapat merasakan nikmat dan kemanisan iman.

25 November 2009

ANWAR MENANG SAMAN: AKHBAR PRO UMNO DISERU TINGKATKAN FITNAH

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari memerintahkan NSTP membayar RM 100 ribu kerana artikel berunsur fitnah yang disiarkan pada tahun 2002. Kemenangan saman fitnah ini merupakan yang ketiga bagi pimpinan Pakatan Rakyat. Sebelum ini, Dato Mahfuz Omar dan Datuk Mustafa Ali turut Berjaya dalam kes saman fitnah pada akhbar yang sama pada tahun ini. Banyak lagi kes saman fitnah yang telah difailkan dan sedang dibicarakan di mahkamah termasuk saman yang dibuat oleh YAB Tuan Guru Dato Nik abdul Aziz Nik Mat terhadap akhbar Utusan Malaysia.

Selepas ini saya menyeru akhbar-akhabr pengampu dan penipu meningkatkan fitnah mereka kepada pimpinan Pakatan Rakyat supaya dapat memberi dana kepada Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan Umno@BN dalam pilihanraya umum akan datang. Kemenangan demi kemenangan kes saman fitnah terhadap akhbar pro Umno@BN ini membuktikan bahawa akhbar berkenaan tidak mempunyai integriti dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan telus kepada rakyat di negara ini. Sekaligus mendedahkan bahawa segala berita yang disiarkan tidak mempunyai nilai berita dan selayaknya edisi cetak akhbar berkenaan perlu diboikot. Daripada perabis duit beli akhbar pengampu dan penipu ini ada baiknya duit itu digunakan untuk beri pada fakir miskin atau sara anak isteri makan, ada juga faedah dan Insyaallah ada juga pahalanya.

24 November 2009

'HANTU' BAKAL BERKELIARAN DI KOTA SIPUTEH

Walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pilihanraya kecil Kota Siputeh ia tidak sama sekali mengubah keputusan asal Mahkamah Tinggi yang telah mengisitharkan bahawa DUN tersebut kosong. Bagi saya keputusan Mahkamah Rayuan boleh diumpamakan seperti sebuah rumah yang telah tinggal kosong dan tak berpenghuni tetapi masih lagi didapati 'berpenghuni'. Bila rumah kosong didapati berpenghuni maka boleh jadi yang berpenghuni itu adalah penunggu atau hantu.

Bermakna hantu-hantu itu hanya menunggu masa untuk keluar menyakat dan mengilai. Boleh jadi hantu-hantu itu akan keluar beramai-ramai pada hari pengundian nanti. Macam mana hantu ini boleh bebas berkeliaran? Pastinya hantu-hantu itu ada tuan dan pemiliknya. Jadi jangan memandai dan cuba menyakat dan menghalau yang bakal banyak berkeliaran di Kota Siputeh nanti kerana pastinya tuannya akan mengamuk nanti....Siapa pemiliknya? Mudah je nak kenal walaupun tak ada orang yang akan mengaku.Siapa yang menafi dan marah-marah bahawa wujud hantu di Kota Siputeh dialah pemiliknya. Biasanya pemilik hantu akan marah kalau ada orang yang membuat upacara menghalau hantu...Tak percaya nanti tengoklah...