26 January 2010

ZULKIFLI NORDIN TERUS MENDEDAHKAN TEMBELANG SEBENARNYA


Sejak awal-awal lagi saya mendapati ada yang tidak kena di sebalik perwatakan sebenar Zulkifli Nordin ahli parlimen Kulim Bandar Baru yang semakin kerap beritanya dalam media-media milik Umno@BN.Akhir-akhir ini nada beliau senada dan seirama dengan pemimpin Umno, malah kadang-kadang bercakap seperti juru cakap Umno.

Beliau cuba menampil imej seorang pejuang Islam tetapi hakikatnya sikap yang ditunjukkan tidak mencerminkan akhlak yang sebenar. Isu kalimah Allah isu yang sengaja dipolemik untuk kepentingan politik dan bukan dalam erti kata memperjuangkan Islam yang sebenar. Bila berhujah gunakan hujah berdasarkan Al Quran dan hadis dan pandangan ulama muktabar. Kalau sekadar hujah dengan terjemahan yang tidak betul bersandarkan akal serta ditambah dengan pandangan ulama terompah kayu dan ulama upahan dalam Umno baik tak payah.

Bagi saya kehadiran Zulkifli Nordin dalam Pakatan Rakyat ibarat barah yang jika terus dibiarkan akan menyebabkan penyakit yang lebih kronik kepada Pakatan Rakyat. Biar hilang satu kerusi parlimen daripada menyimpan seorang wakil rakyat yang tidak faham konsep musyawarah dan berorganisasi serta tidak menghormati ketua. Saya cadangkan beliau masuk sahaja Umno atau menjadi ahli parlimen bebas seperti Ibrahim Ali yang tidak mempunyai maruah dan harga diri.

Dalam isu ini Zulkifli Nordin kena jelaskan benarkah wujud 'perjanjian' selepas Datuk Aziz Kadir Syeikh Kadir, calon Umno parlimen Kulim Bandar Baru yang 'bersetuju' tidak meneruskan petisyen di mahkamah selepas pilihannraya umum ke 12 kerana kegagalan Zulkifli Nordin menyediakan laporan kewangan kepada SPR semasa bertanding dalam pilihanraya 2004 yang menyebabkan beliau kehilangan kerusi parlimen berkenaan?

24 January 2010

TAHNIAH KERAJAAN PR KEDAH

Tahniah dan syabas kepada kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Razak kerana telah berjaya memenuhi 80 % janji dalam manifesto yang dijanjikan dalam pilihanraya umum 2008.

Walaupun belum 24 bulan mengambil alih pemerintahan Kedah dari Umno-BN kejayaan mencapai 80% janji manifesto adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Lebih-lebih lagi kerajaan PR Kedah sering diasak dan diserang dari pelbagai penjuru oleh pihak Umno-BN. Kalau markah periksa di sekolah atau universiti kerajaan PR Kedah sudah dapat A! Perkara itu diumumkan oleh exco Kerajaan Negeri, Siti Aishah Ghazali semasa berucap merasmikan Pasti Al Munnawarah Taman Lagenda Padang Serai Kedah.

Di antara janji dalam manifesto yang telah ditunaikan ialah :

1. Memperuntukkan sebanyak RM600 ribu setahun kepada sekolah agama rakyat. Disamping itu sebanyak 12.5 juta telah diperuntukkan kepada guru KAFA dan juga guru-guru Quran di kampung-kampung.

2.Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak 8.75 juta kepada Universiti Insaniah bagi pengurusan dan pentadbiran supaya institusi ini akan menjadi salah sebuah institusi yang terbaik setanding dengan IPT yang lain

3. Pada tahun 2009 yang lalu peruntukan sebanyak 26.5 juta kepada Maktab Mahmud telah ditambah kepada 28.5 juta pada tahun 2010 bagi menambahbaikkan institusi pendidikan agama tersebut di negeri ini.

Semoga kecemerlangan kerajaan PR Kedah akan turut menjadi contoh kepada kerajaan PR di negeri lain untuk membuktikan kepada pengundi dan rakyat di negara ini PR boleh menerajui dan mentadbir negara dengan baik seterusnya membuka langkah dalam persiapan mengambil alih Putrajaya selepas pilihanraya umum akan datang.

22 January 2010

SURAU DIBAKAR DI MUAR BAKAL DAPAT SETENGAH JUTA?


Selepas reda sekejap isu bakar gereja, semalam dua buah surau di Muar pula dibakar pada awal pagi. Dalam kejadian bakar gereja yang pertama di ibu kota, Perdana Menteri Dato Seri Najib yang membuat lawatan ke gerejaMetro Tabernacle Church Taman Malawati mengumumkan bantuan sebanyak RM 500,000 untuk memindahkan gereja berkenaan ke tapak baru.

Bagi saya tindakan bakar gereja dan bakar surau mempunyai agenda yang sama. Membuat khianat untuk mewujudkan suasana panik dan huru hara dalam negara. Cuma saya berharap kerajaan 1Malaysia tidak bersikap double standard dalam menyalurkan bantuan. Jika gereja diberi setengah juta maka surau juga boleh mendapat bantuan yang sama. Kalau tak RM setengah juta RM 50 ribu pun ok juga. Kalau tak boleh juga RM 5 ribu pun boleh untuk tabung surau. Lebih-lebih lagi surau yang dibakar dan dikhianati itu terletak dalam kawasan parlimen Timbalan Perdana Menteri.

21 January 2010

KEBAKARAN YANG TERUS MENIMBULKAN MISTERI




Kapal pengangkut terbesar Malaysia KD Inderapura telah pun 'bersemadi' di perairan Selat Melaka. Kapal ini terpaksa ditenggelamkan kerana kebakaran yang hampir memusnahkan kapal itu sama sekali. Kerugian dianggarkan puluhan juta ringgit.

Dalam Lima 2009 baru-baru ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi mengumumkan hasil siasatan menunjukkan kebakaran kapal itu berpunca dari litar pintas. Bila sebut litar pintas ia boleh berlaku tanpa dijangka. Lebih-lebih lagi bagi kapal yang telah lanjut usia seperti KD Inderapura. Aspek penyelenggaraan dan pendawaian juga boleh menjadi punca litar pintas. Hal-hal pendawaian dan penyelenggaraan kapal pastinya dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh kerajaan. Pegawai Pemerintah kapal tidak ada kuasa untuk menentukan siapa yang diberi tender untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.

Tetapi hari ini Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengumumkan bahawa Pegawai Pemerintah KD Inderapura akan dihadapkan ke mahkamah tentera atas kebakaran yang berlaku. Memanglah pegawai pemerintah bertanggungjawab penuh terhadap kapalnya tetapi dalam kes ini timbul kesangsian kerana Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa faktor fizikal kapal yang menjadi punca kebakaran dan bukan faktor kecuaian.

Sepatutnya yang disiasat ialah siapa yang melantik kontraktor terbabit. Adakah berlaku penyelewengan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan ? Saya bukan hendak membela pegawai pemerintah terbabit, tetapi apa yang dibimbangi pegawai itu sekadar menjadi 'kambing hitam' di sebalik kejadian yang berlaku. Dalam hal ini Panglima TLDM dan Menteri Pertahanan mempunyai tanggungjawab penuh atas segala yang berlaku.

BERSEDIA UNTUK NAIK MINYAK


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan 1Malaysia akan memperkenalkan mekanisme harga baru petrol sebelum bulan Mei ini. Menurut beliau Majlis Ekonomi Negara akan menentukan sama ada harga petrol akan naik atau sebaliknya. Berdasarkan perkembangan harga semasa di pasaran dunia, harga petrol terus menunjukkan peningkatan. Jadi pengumuman kerajaan sebelum Mei nanti sudah boleh dijangka, harga minyak akan naik! Kecualilah, kalau betul-betul rakyat didahulukan dan gimik menjadi juara rakyat diutamakan maka harga minyak akan turun. Bila harga minyak naik maka faham-fahamlah, harga barang akan melambung dan seterusnya inflasi akan meningkat. Tetapi yang peliknya, menteri yang sama kelmarin berkata harga barang dijangka tidak naik lagi selepas ini. Tak tahulah siapa penasihat ekonomi menteri ini atau menteri ini memang tak belajar bab ekonomi. Bila harga minyak naik, kita wajar beterima kasih kepada kerajaan 1Malaysia kerana berterusan menjaga kebajikan rakyat agar kita terus berterima kasih dan mengundi parti juara rakyat ini pada pilihanraya umum akan datang. Maka semua rakyat di negara ini perlu bersiap sedia untuk naik minyak!

19 January 2010

INDIA BELI LAGI JET MIG 29N, MALAYSIA NAK LUPUS...


Rusia akan membekalkan 29 buah pesawat tempur jenis MiG-29 kepada tentera laut India menerusi perjanjian yang dicapai minggu ini bernilai AS$1.2 bilion (RM3.96 bilion).India sebelum ini telah menggunakan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) sejak tahun 1980-an lagi lebih awal daripada pembelian yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

Tentera udara India berjaya membangunkan program R&D dan pemindahan teknologi hasil daripada pembeliaan dan penggunaan pelbagai pesawat pejuang dari Russia. Oleh itu, pesawat keluaran negara bekas Komunis itu berjaya dioperasikan dengan baik sehingga hari ini.

Malangnya, negara ini yang turut memiliki 17 buah MIG 29N sehingga kini tidak mampu untuk terus menggunakan jet pejuang berkenaan atas alasan kos penyelenggaraan yang tinggi. Maka Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa pesawat berkenaan akan dilupuskan pada penghujung tahun ini. Langkah kerajaan ini mengundang kritikan termasuk daripada bekas PM Tun Dr. Mahathir yang menyifatkan sebagai satu pembaziran dan membuktikan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

Keputusan kerajaan untuk melupuskan pesawat berkenaan saya kira kena pada masanya kerana dibimbangi jika pesawat berkenaan terus di simpan di pengkalan TUDM ada kemungkinan enjin jet itu akan dilarikan ke luar negara!

18 January 2010

SEJARAH PASTI TERCIPTA JIKA NAJIB MELAWAT MONGGOLIA


Esok akan membuka sejarah baru hubungan diplomatik Malaysia-Chennai ibu kota negeri Tamil Nadu di selatan India. Dato Seri Najib Tun Razak akan mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri pertama negara yang melawat negeri berkenaan.

Bagi peminat filem Tamil kira-kira sedekad lalu pasti mengenali pelakon MGR ( M.G.Ramachandran) yang juga pernah menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu. Sebut MGR, pasti akan terbayang kehebatannya berlakon yang dapat menewaskan musuh yang berpuluh mungkin beratus bilangannya dengan sorang diri. Terkenal kerana tembak tak lut dan paling istimewa menjadi pujaan ramai wanita.

Tidak dapat dipastikan apa motif utama lawatan Najib ke Chennai. Boleh jadi ingin mengambil aura MGR yang cukup terkenal satu ketika dulu.

Memang lawatan berkenaan mencipta sejarah bukan sahaja seorang perdana menteri Malaysia yang melawat negeri berkenaan tetapi mungkin lepas ini ada MOU dan peluang perniagaan dan pelaburan akan terbuka di antara kedua-dua pihak.

Tetapi bagi saya lawatan Najib ke Monggolia adalah lebih bermakna jika dibandingkan melawat Chennai. Ini kerana sehingga hari ini di Malaysia belum wujud kedutaan di antara Malaysia - Monggolia. Monggolia cukup terkenal dengan nilai sejarah dan mempunyai pelbagai tarikan serta destinasi menarik.

Malangnya akhir-akhir ini hubungan Malaysia agak renggang berikutan tragedi menimpa Altantuya. Jadi jika Najib melawat Monggolia sedikit sebanyak akan mengubah persepsi negatif rakyat Monggolia kepada negara ini dan akan menjernihkan kembali hubungan Malaysia-Monggolia. Persoalannya bersediakah Najib melawat Monggolia ?

17 January 2010

LAIN KALI LANTIKLAH MENTERI YANG CERDIK SIKIT...


Menteri Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Ismail Sabri meminta rakyat negara ini bersikap positif dengan mengurangkan mengambil gula berikutan kenaikan harga gula 20 sen baru-baru ini. Betullah tu dengan mengurangkan mengambil gula dapat meningkatkan kesihatan. Isu yang dibangkitkan ialah harga gula mahal bukannya kempen kurangkan mengambil gula. Menteri kena belajar bab ekonomi, bila harga gula naik maka semua produk berasaskan gula akan naik juga. Bagi peniaga gerai bawah pokok ketapang tak ada masalah untuk mengekalkan harga teh 0 atau kuih donat walaupun harga gula naik tetapi bagaimana peniaga atau pengusaha produk berskala besar?

Kalau macam tu cara menteri berfikir maka secara logiknya bila harga makanan naik, rakyat kena kurangkan makan, bila harga air naik rakyat kena kurangkan minum air, bila harga beras naik rakyat kurangkan makan nasi dan bila harga pakaian naik rakyat kena kurang berpakaian?

Inikah cara menteri Umno yang ingin menjadi juara rakyat?Lain kali lantiklah menteri yang cerdik sikit...

16 January 2010

CIKGU TAK ADA KERJA KERANA MENTERI BERGASAK SESAMA SENDIRI.

Isu ini bukan isu baru, cuma kini dibangkitkan semula apabila bertambah kritikal. Semalam timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zakarshi menyalahkan IPTA yang terus menawarkan program ijazah pendidikan di negara ini sehingga menyebabkan 'lambakan' guru.Apabila Kementerian Pelajaran dan Pendidikan Tinggi diasingkan maka wujud masalah kerana tidak ada keselarasan. Mungkin setiap menteri yang mewakili kementerian terbabit mempunyai agenda politik tersendiri.

28 Institut Pendidikan Guru kekal di bawah KP yang kini dinaik taraf untuk melahirkan graduan dalam ijazah pendidikan untuk ditempatkan di sekolah rendah .Penempatan guru,sekolah rendah dan menengah juga terletak di bawah KP. Dalam masa yang sama IPTA,IPTS termasuk UPSI yang terletak di bawah KPT terus menawarkan program ijazah pendidikan.

Memandangkan IPG merupakan produk KP, sudah pasti keutamaan diberikan dalam urusan penempatan. Lebihan atau saki baki kekosongan baru ditawarkan kepada KPT. Maka berlakulah hari ini apa yang diistilahkan lambakan graduan IPTA/IPTS dalam bidang pendidikan. Jika dulu bidang pendidikan adalah 'pasport' untuk menjadi guru kini tidak lagi.

Sepatutnya masalah tak berlaku, KP atau KPT dua-dua di bawah kabinet 1Malaysia. Apa yang mereka buat dan bincang masa mesyuarat kabinet? lainlah kalau KP di bawah kerajaan Umno@BN dan KPT di bawah Pakatan Rakyat. Sudah pasti wujud diskriminasi. Nama je kabinet 1Malaysia tetapi masalah ini pun tak boleh selesaikan. Menjadi mangsa adalah ribuan graduan pendidikan yang sehingga hari ini menjadi penganggur. Adakah kerajaan nak suruh mereka jual burger? Jika tidak pun minta mereka jangan pilih kerja, kerajaan 1Malaysia syorkan buatlah apa yang patut tanam kangkung atau jual kacang putih?

Timbalan Perdana Menteri yang juga MP turut bertanggungjawab terhadap KPT. Kalau KPT tak penting atau tidak sehaluan dengan dasar, mansuhkan terus pos kabinet ini tak perlu diadakan. Hari ini kedua-dua menteri KP dan KPT dari parti 'juara rakyat' yang bangga dengan slogan rakyat didahulukan terus mempersendakan rakyat di negara ini. Selesaikan dulu masalah dari parti dan kabinet dari sibuk-sibuk nak jadi juara rakyat.

14 January 2010

TERGAMAK NAJIB DAN MUHYIDDIN KE LUAR NEGERI

Negara hari ini berada dalam situasi yang tidak stabil. Isu nama Allah boleh mengundang suasana konflik dalam negara.Buktinya sudah wujud cubaan untuk menimbulkan api permusuhan di antara agama. Gereja dibakar dan dilontar bom sebagai provokasi pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam situasi ini, saya melihat pemimpin Tertinggi Pakatan Rakyat lebih ramai turun padang berbanding pemimpin Umno@BN untuk meredakan keadaan selain menghulurkan simpati. Langkah ini wajar dipuji kerana jika isu ini gagal ditangani dengan baik maka tidak mustahil boleh mengundang tragedi 13 Mei kedua di negara ini.

Malangnya ketika negara berada dalam suasana tidak menentu, pemimpin nombor satu dan nombor dua boleh berada di luar negara. Seorang ke Jeddah dan seorang lagi di Kota London. Walau atas tujuan apa sekalipun sama ada tugas rasmi atau peribadi, ketiadaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ketika ini adalah sesuatu yang janggal.Dalam masa yang sama Menteri Dalam Negeri dan beberapa menteri lain juga 'tumpang sekaki' mengiringi PM dan TPM di luar negara.

Apakah yang lebih didahulukan?Tak bolehkah kunjungan tersebut ditangguhkan sehingga suasana dalam negara kembali reda? Pemergian ke luar negara ketika ini juga tidak wajar ketika rakyat dan negara sedang bergelut dengan krisis kewangan. Langkah berkenaan juga tidak selaras dengan dasar penjimatan yang kononnya diamalkan oleh kerajaan ketika ini. Rakyat disuruh berjimat, perbelanjaan kerajaan untuk rakyat disekat tetapi mereka boleh 'senang hati' berada di luar negara.