24 February 2010

SANA UNTUNG SINI UNTUNG TETAPI EKONOMI MERUDUM

MAS diumumkan mencatatkan keuntungan RM 610 juta, Proton syarikat yang tradisinya mencatat kerugian saban tahun sebelum ini dilaporkan turut mencatat keuntungan. Petronas yang selama ini menjadi 'lubuk duit' kerajaan 1Malaysia sudah dijangka terus meningkat dari segi keuntungan. Bila banyak untung maka sepatutnya banyak le kerajaan 1Malaysia menuai hasilnya sama ada dari segi cukai atau 'pinjaman boleh ubah'.

Bila dah banyak untung maka sepatutnya ekonomi negara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Begitu juga dengan indeks komposit yang terasnya hasil komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit juga menunjukkan peningkatan harga di pasaran semasa.

Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Harga minyak dalam negara dijangka hanya menunggu masa yang sesuai untuk dinaikkan. Harga tarif elektrik diumumkan ditangguhkan kenaikannya buat sementara waktu. Maknanya naik tetap naik. Paling lewat selepas pilihanraya umum ke 13. Kemenangan besar Barisan Nasional bermakna 'lesen' kepada kerajaan untuk menaikkan apa-apa yang ditangguhkan sebelum ini. Maka kalau nak merasa ' nikmat' kenaikan kos sara hidup ' Undilah Barisan Nasional'.

Dalam situasi yang lain perbelanjaan dan kedudukan kewangan kerajaan menunjukkan situasi yang membimbangkan. Perbelanjaan mengurus yang diluluskan dalam belanjawan sebelumnya dipotong sehingga dua kali ganda seperti perbelanjaan untuk institusi pendidikan.

Dalam pada itu, hari ini Perdana Menteri 1Malaysia mengumumkan ekonomi negara menguncup 1.7 peratus. Tetapi menurut pandangan beberapa pakar ekonomi sebenarnya kadarnya lebih tinggi lagi.

Jadi persoalannya yang untung sini sana tu mana pergi duitnya?

TIBA-TIBA JE MIG29N BOLEH TERBANG SEMULA


MIG29N Pesawat Tempur Pelbagai Guna (MRCA) boleh terbang! Sebelumnya, pesawat itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan akan ditamatkan perkhidmatan penghujung tahun ini. Bukan kerana enjinnya hilang atau rosak tetapi kerajaan berkata kos penyelenggaraan RM 260 juta setahun tidak berbaloi ditanggung oleh kerajaan.

Pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini untuk menamatkan perkhidmatan pesawat MRCA itu mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab memperkenalkan teknologi ketenteraan Russia di negara ini.

Akibat desakan pelbagai pihak akhirnya kerajaan 1Malaysia terpaksa akur untuk menggunakan pesawat berkenaan sekurang-kurangnya untuk tempoh 5 tahun lagi. Walau bagaimanapun, mengulas isu yang sama, Panglima TUDM berkata hanya 10 pesawat yang dapat beroperasi. Manakala bakinya yang 8 buah lagi tidak akan digunakan. Tak tahulah mungkin dijadikan tukun atau dikitar semula untuk dijual sebagai besi buruk. Polis dan SPRM kena siasat juga, mana lah tahu enjin pesawat itu dah hilang!

Bayangkanlah jika rakyat khususnya pimpinan Pakatan Rakyat tidak membangkitkan isu ini berapa banyak lagi duit negara lebur di tengah kegawatan ekonomi. Bagi saya jika betul duit itu 100% digunakan untuk menambah aset ketenteraan baru itu tidak perlu dipertikaikan. Tetapi apa yang mengundang kritikan ialah bayaran komisyen yang tinggi kepada pihak yang tidak sepatutnya yang buat untung atas angin.

22 February 2010

LAGI KES ENJIN HILANG

Selepas kehilangan dua buah enjin pesawat pemintas F5E milik TUDM, negara dikejutkan sekali lagi dengan kes kehilangan enjin. Tetapi yang hilang kali ini bukan enjin pesawat pejuang tetapi enjin kilang. Kejadian ini berlaku di sebuah kilang milik syarikat dari Jepun di Melaka.

Kilang Kwe Pie yang beroperasi di kawasan Perindustrian Serkam menghasilkan produk makanan berasaskan mayones mengalami kerugian kira-kira RM 100,00 akibat kehilangan enjin kilang berkenaan yang disedari pada 18 Febuari lalu.

Tetapi apalah yang perlu dihairankan, kalau enjin pesawat pejuang yang dibawah kawalan dan prosedur keselamatan ketat tentera boleh dilarikan sampai ke Uruguay inikan pula kilang yang dikawal oleh mat bangla.

Apa-apa pun kejadian terbaru ini pastinya mencalar imej Melaka khasnya dan Malaysia amnya kerana memberi imej negatif berkaitan isu keselamatan melibatkan pelabur dari luar. Walaupun kes ini agak terpencil tetapi ia perlu diberi perhatian ketika negara sedang bergelut untuk menarik pelabur ke negara ini akibat kegawatan politik dan ekonomi.

21 February 2010

KES NASIR SAFAR PENUH MADAH BERHELAH

Kes menghasut yang melibatkan bekas pegawai khas Perdana Menteri belum menampakkkan apa-apa perkembangan yang menyakinkan. Walaupun Ketua Polis Melaka dalam satu kenyataan baru-baru ini mendakwa bahawa polis telah siap membuat siasatan dan telah menyerahkan hasil siasatan kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Ini bermakna ada kemungkinan Nasir Safar tidak akan didakwa di mahkamah jika Peguam Negara memutuskan tidak meneruskan pendakwaan kes berkenaan. Berbeza dengan dakwaan menghasut kepada blogger Aduka Taruna, pihak polis dan Peguam Negara bertindak sepantas kilat begitu efisen menyiapkan siasatan dan mendakwa Aduka Taruna ke mahkamah.

Sebaliknya dalam kes Nasir Safar semua pihak yang terlibat dalam siasatan dan pendakwaan bergerak umpama kura-kura yang kepenatan. Kenapa dan mengapa mereka yang terlibat lebih mengetahuinya. Aduka Taruna tidak ada apa-apa kaitan dengan Perdana Menteri atau dengan mana-mana tokoh politik kerajaan. Kalau ada pun mungkin bau-bau bacang je. Berbeza dengan Nasir Safar yang bukan sahaja kawan rapat Dato Seri Najib sekian puluhan tahun malah diberi kepercayaan menjadi pegawai khas Najib.

Saya yakin jika tidak ada desakan dari kaum lain termasuk dari MCA dan MIC kemungkinan besar kes ini akan dilengah-lengahkan atau ditutup terus. Mendakwa Nasir Safar di mahkamah bermakna menjejaskan imej dan reputasi Najib. Jika tidak didakwa pula akan meningkatkan bantahan dan protes dari kaum lain yang terhina dari kenyataan Nasir Safar. Situasi sekarang umpama buang mati emak diluah mati bapak.

Oleh itu tidak hairanlah, semua pihak yang terlibat terus bermadah dan berhelah untuk menjaga kepentingan dan periuk nasi masing-masing. Jika kenyataan yang dibuat oleh Nasir Safar dilakukan oleh pimpinan Pakatan Rakyat saya yakin semua media siang dan malam akan memukul gendang tentang isu perkauman dan serta merta akan diseret ke mahkamah.

'USTAZ' UMNO TOLONG NASIHATKAN SHAHRIZAT


Isu sebat masih belum reda lagi. Isunya bukan berkaitan isu pelaksanaan hukuman sebat mengikut peruntukan syariah yang sebenar tetapi berkaitan dengan isu sebatan mengikut enakmen undang-undang Islam negeri-negeri yang sebenarnya tidak menepati kehendak seperti termaktub dalam landasan syariat sebenar .

Apa-apapun, isu sebatan ini sekurang-kurangnya menjadi mukadimah kepada pelaksanaan syariat seperti yang dituntut dalam Islam. Namun apa yang lebih menjegilkan, isu sebatan ini mendapat tentangan dan kritikan bukan daripada orang bukan Islam tetapi daripada 'ustazah-ustazah' Umno yang jambul terjojol keluar dan kain terbelah tepi. Ada di kalangannya yang berlindung di sebalik nama NGO seperti Sister In Islam. Tetapi kita tahu SIS ini merupakan 'perwakilan tetap' setiap kali dalam perhimpuan Wanita Umno saban tahun.

Salah seorang penyokong kuatnya, tak lain tak bukan ialah Datuk Shahrizat Jalil, Ketua Pergerakan Wanita Umno. Dalam satu kenyataan semalam beliau sekali lagi mempertikaikan hukuman sebat yang telah dilaksanakan oleh Penjara Kajang terhadap tiga orang wanita yang berzina. Cuma kenyataannya mungkin sedikit 'berlapik' apabila meminta mereka yang bersalah ini diberi permulihan seperti kaunseling.

Kalau itu kaedahnya maka selepas ini saya mengesyorkan agar hakim-hakim di mahkamah syariah di negara ini tidak lagi menjatuhkan hukuman sebaliknya memadai dengan dijatuhkan hukuman mengikuti sesi kaunseling. Kalau tak cukup kaunselor, hakim sendiri pun boleh jadi kaunselor juga!

Maka selepas ini orang Islam negara ini tak kisah dan tak takut-takut lagi nak berzina, berjudi dan minum arak kerana mereka tidak lagi akan disebat, denda atau penjara cukup sekadar mengikuti sesi kaunseling untuk menebus dosa-dosa mereka.Maka akan meriahlah nanti bilik-bilik kaunseling dengan tangisan dan jeritan anak-anak zina yang bersama dengan ibu mereka mengikuti sesi kaunseling.

17 February 2010

BANYAKNYA BERUK BERDEMONSTRASI


Semasa demonstrasi BERSIH lalu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin menggelar mereka yang berdemonstrasi sebagai beruk. Hari ini beliau mengetuai demontrasi bersama dengan anggota pemuda Umno, MCA dan MIC di hadapan kedutaan Australia. Jadi hari ini yang berdemonstrasi Khairy nak panggil apa beruk atau kera?

16 February 2010

BUKTI ELAUN GURU TAKMIR MELAKA TINGGAL RM 10


ELAUN GURU TAKMIR MELAKA TINGGAL RM 10!


Bermula minggu ini semua elaun guru takmir di Melaka dipotong daripada RM 50 tinggal Rm 10 je. Perkara ini dinyatakan oleh Majlis Agama Islam Melaka melalui surat yang diedarkan kepada semua guru takmir yang terlibat mengajar di surau dan masjid di seluruh Melaka. Langkah itu sebagai langkah penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka dalam menangani krisis kegawatan ekonomi.

Saya mencadangkan, cek yang dipulangkan oleh kerajaan Negeri Selangor yang 'didermakan' oleh kerajaan Melaka untuk membayar tunggakan cukai tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan digunakan untuk menampung kos membayar elaun guru takmir di Melaka.

Saya rasa itu lebih besar pahalanya jika dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk seri Muhd. Ali Rustam kerana mengutamakan keperluan dalam negeri daripada menjaga kepentingan negeri lain.

Jika kerajaan negeri sanggup berhabisan puluhan ribu ringgit hanya untuk program 'Gegau 1 Melaka' baru-baru ini tak kanlah kerajaan Melaka tak mampu nak bayar elaun guru takmir? Ada baiknya Ketua Menteri Melaka belajar daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagaimana kaedah menaikan elaun guru takmir dan para penghafal Al Quran di Pulau Pinang seperti yang dilakukan kerajaan negeri.

KELANTAN TAK BUAT PERARAKAN MAULIDUR RASUL: BERANIKAH UMNO BERDEMONSTRASI?

Kerajaan Pas Kelantan pada tahun ini tidak akan mengadakan Perarakan Maulidur Rasul seperti amalan kebiasaan sebelum ini. Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakub di Kota Bharu hari ini.

“Secara rasmi tiada perarakan yang ditaja oleh kerajaan negeri. Sebaliknya kami akan adakan syarahan agama di Stadium Sultan Muhammad IV pada 25 Feb dan disusuli dengan sembahyang khas,”

Timbalan Menteri Besar Kelantan menambah perarakan itu bukan satu kemestian. “Umat Islam boleh memilih untuk mengadakan ataupun tidak. Tetapi apa yang penting ialah mereka berpegang teguh pada ajaran yang dibawa Nabi Muhammad,” .

Jadi saya mencabar Umno, Datuk Ibrahim Ali yang menjadi presiden Perkasa serta mereka yang sewaktu dengannya untuk berdemonstrasi di Kelantan untuk membantah bahawa kerajaan pimpinan YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tidak Islamik atau tidak mengikut lunas Islam serta sunnah Nabi SAW. Umno mesti berdemontrasi di Kelantan agar tidak dituduh hanya berdemonstrasi di Pulau Pinang hanya kerana fahaman politik sempit. Saya juga teringin mendengar komen YB Zulkifli Nordin yang sebelum ini senada dengan Ibrahim Ali apabila YAB Lim Guan Eng dituduh berdolak dalih dalam isu perakan Mauludir Rasul. Saya juga teringin mendengar komen dari 'ulama-ulama' Umno berkaitan pendirian kerajaan Pas Kelantan tahun ini yang tidak akan menganjurkan perarakan Maulidur Rasul.

Jika Umno hendak berdemonstrasi di Kelantan berkaitan isu Perarakan Maulidur Rasul,saya cadangkan agar polis Kelantan memberi permit dan tempat khas untuk Umno dan kuncu-kuncu berdemonstrasi. Kepada Umno, selamat berdemonstrasi!

15 February 2010

CIKGU MAKAN NASI BUNGKUS...........

Tidak ada lagi makan secara buffet dan ala carte kepada semua guru yang hadir berkursus atau mengikuti apa sahaja program anjuran jabatan dan Kementerian Pelajaran. Ini berikutan langkah penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia berikutan krisis kegawatan ekonomi.

Maka mungkin ada komen dan ulasan, guru di Malaysia patut bersyukur kerana masih lagi diberi makanan ketika berkursus berbanding dengan guru di beberapa negara lain yang tak diberi makan langsung!

Bagi saya jika benar keadaan negara berada dalam gawat semua pihak tanpa mengira ideologi politik perlu menerima hakikat dasar penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia. Tapi apa yang saya pelik dalam masa yang sama ketika guru-guru disuruh makan nasi bungkus, kerajaan 1Malaysia terus menunjukkan sikap membazir dan pengurusan kewangan yang tak masuk akal.

Misalnya, gaji dan elaun polis meningkat berkali ganda ketika perkhidmatan kerajaan lain disuruh berjimat cermat dan perbelanjaan mengurus dipotong. Ada yang berkata, bersyukur dan tak usah berdengki itu dah rezeki polis. Ini bukan soal dengki dan sebagainya. Saudara mara saya ada yang jadi pegawai kanan polis. Malah dengan pendapatan saya sekeluarga sekarang mencecah lima angka, apa yang diperolehi lebih dari cukup,Allahamdullillah.

Apa yang saya perhatikan kerajaan 1Malaysia terus menunjukkan sikap membazir dan boros. Contoh program Juara Rakyat yang dijadikan road show ke seluruh negara yang merupakan agenda Umno yang menggunakan duit rakyat sesuka hati. Kos puluhan ribu ringgit untuk mengangkut orang ramai, makan minum, promosi dan persiapan tempat. Program berkenaan adalah program Umno kenapa perlu kerah dan paksa kakitangan kerajaan ke program berkenaan?

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran buat-buat terkejut apabila kajian menunjukkan 60 % pelajaran Tahun 1 tidak menguasai 3M. Kenapa nak buat-buat terkejut, bukankkah kerajaan dah habis lebih 5 bilion untuk laksanakan PPSMI? Sibuk sangat dengan bahasa inggeris sehingga ramai murid Tahun 1 yang pastinya majoriti anak Melayu masih lagi buta huruf.

Apabila murid tak kuasai 3M, guru dikritik kerana tak laksanakan tanggungjawab. Kesian pada cikgu-cikgu sentiasa jadi mangsa bila sesuatu program Kementerian Pelajaran kerajaan 1Malaysia menemui kegagalan. Kepada cikgu-cikgu yang sanggup ke pedalaman, berpisah dan berjauhan dengan suami isteri dan anak tercinta, bawa kerja ke sekolah sehingga ke rumah dan seringkali terpaksa mengorbankan cuti untuk melaksanakan tugas mendidik anak bangsa bersyukurlah kerana masih lagi dapat makan nasi bungkus!