06 April 2010

RM 100 SETAHUN LEBIH MULIA DARI NILAI SEHELAI KAIN BATIK DAN PELIKAT SETIAP LIMA TAHUN SEKALI

Dalam kesibukan tugas sebenarnya saya kesuntukan waktu untuk update blog ini. Tetapi apabila membaca kenyataan Shahrizat Jalil yang memperlekeh pemberian RM 100 oleh kerajaan Pulau Pinang kepada warga emas saya merasa terpanggil untuk menyatakan pandangan.

Pemberian RM 100 oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang diketuai oleh YAB Lim Guan Eng sebagai memenuhi janji dalam manifesto pilihanraya lalu. Menurut Guan Eng kerajaan Pulau Pinang dapat memperuntukkan sejumlah wang kepada warga emas kerana hasil penjimatan dan usaha menghapuskan rasuah yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini di Pulau Pinang.

Memanglah pemberian itu tidak seberapa. Tetapi bagi warga emas yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap atau berpendapatan rendah nilai itu sangat besar di sisi mereka. Ini terbukti sejak kelmarin ribuan warga emas mengunjungi cawangan Maybank berhampiran untuk mendapatkan wang RM 100 yang dijanjikan.

Bagi pemimpin Umno seperti Shahrizat mungkin RM 100 tidak ada apa-apa nilai. Umpama sisa makanan di celah gigi sahaja yang dicungkil guna anak lidi yang kemudiannya di ludah ketepi. Maklumlah dah biasa buat untung 'atas angin' dengan mendapat projek dan saham tanpa perlu mengeluarkan walaupun setitik peluh. Malah dengan cuma bermodalkan syarikat dua ringgit mereka boleh mengaut keuntungan berjuta ringgit.

Sekurang-kurangnya Lim Guan Eng meletakkan nilai yang tinggi kepada warga emas RM 100 setahun berbanding Umno yang meletakkan nilai pengundi terutama warga emas di kampung-kampung cuma sehelai kain pelikat atau sehelai kain batik setiap lima tahun sekali!

04 April 2010

KEMELAYUAN UMNO BAKAL LAYU DI HULU SELANGOR

Pilihanraya kecil Hulu Selangor bakal menyaksikan orang Melayu dalam Umno bakal terkulat-kulat apabila impian mereka agar Umno bertanding tidak akan menjadi kenyataan. Walaupun orang Melayu mewakili 53.94% pengundi di situ. Saya cukup yakin BN tidak berani meletakkan calon lain selain daripada calon MIC. BN akan berhadapan risiko kekalahan yang lebih besar jika calon Umno bertanding.Tan Sri Muhyiddin Yassin awal-awal lagi mengumumkan bayangan bahawa MIC bakal bertanding.

Teorinya mudah, rasa tak puas hati Hindraf kepada Pakatan Rakyat kebelakangan ini dan peningkatan sokongan pengundi India di pilihanraya kecil Bagan Pinang akan dijadikan modal utama BN untuk memastikan pengundi India kekal bersama BN. Dalam erti kata lain BN lebih bimbang sokongan 18.98% pengundi India daripada pengundi Melayu yang sejumlah 53.94%. BN beranggapan orang Melayu akan tetap menyokong calon MIC dalam pilihanraya kecil nanti. Bagi pemimpin 1Malaysia semangat Melayu yang sedang meluap-luap dalam Umno akan dapat disejuk bekukan atas semangat BN, orang Melayu dalam Umno kena mengenepikan seketika kemelayuan mereka. Dalam erti kata lain, di Hulu Selangor sikap kemelayuan tidak lagi penting yang utama BN akan dapat menewaskan Pakatan Rakyat.

Ini bermakna semangat Melayu dalam Umno umpama biskut chipsmore, kejap ada kejap tak ada...Ada ketika menyerang dan menghentam Pakatan Rakyat tetapi hilang tiba-tiba kemelayuan itu apabila berhadapan risiko tewas dalam pilihanraya sama ada pilihanraya kecil atau pilihanraya umum. Pilihanraya kecil Hulu Selangor akan menyaksikan sekali lagi Umno akan mengenepikan kemelayuan mereka.

Benarkah dengan mengenepikan kemelayuan dalam Umno di Hulu Selangor, BN akan menang dalam pilihanraya kecil ini? Sebenarnya mereka tidak mempunyai pilihan, hanya MIC kini tersemat di hati ....

03 April 2010

DI ANTARA G PALANIVEL DAN MD TAIB : SIAPA BAKAL TERSUNGKUR?

Dalam keghairahan BN untuk menawan kerusi parlimen Hulu Selangor kini mereka berdepan konflik dan dilemma parti mana dari BN yang layak bertanding. Sebaliknya di pihak Pakatan Rakyat tidak timbul sebarang isu parti mana yang bakal bertanding. Dato Seri Tuan Guru Hj. Hadi, Dato Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang semuanya seia sekata, mencapai muafakat Hulu Selangor adalah kerusi milik PKR.

Sama ada MIC atau Umno bakal mencetuskan pergeseran terbaru dalam BN. Jika MIC melalui calonnya Datuk G Palanivel yang bertanding sudah pasti Umno yang mendakwa pejuang Melayu menerima tamparan hebat.Tetapi saya yakin, pengundi dari Umno yang tegar kalau BN mencalonkan tunggul kayu pun mereka tetap akan pangkah juga!

Sebaliknya jika Umno yang bertanding melalui calon pilihan utama Tan Sri Muhamamad Md. Taib sudah pasti akan mencetuskan undi protes di kalangan pengundi kaum India. Ahli dan penyokong MIC pasti merasakan mereka cuma komponen kelas tiga dalam BN. Bukan sahaja memberi kesan kepada pengaruh pengundi India kepada BN dalam pilihanraya kecil ini tetapi juga dalam pilihanraya umum akan datang.

Apa yang menarik kem Palanivel dan Md. Taib sudah memulakan kempen yang agresif di Hulu Selangor. Cuma kita menanti siapa yang bakal tersungkur dan siapa yang bakal bertepuk tangan dan bersorak gembira sama-sama kita tunggu.Kalau soal calon pun tak boleh nak selesai dan mencapai sefahaman bagaimana kita hendak mengarapkan mereka mentadbir negara?Ternyata perpaduan yang mereka cuba tunjukkan selama ini cuma retorik dan lakonan semata-mata.

02 April 2010

PROJEK MEE SEGERA MENCURAH-CURAH DI HULU SELANGOR


Umno-BN ternyata sudah tandus dan kering modal setiap kali menghadapi suasana pilihanraya. Sama ada pilihanraya umum atau pilihanraya kecil. Setiap kali pilihanraya mereka mula menabur janji dan 'merasuah' pengundi dengan projek-projek mee segera. Istilah yang dipopularkan oleh Perdana Menteri 1Malaysia sendiri yang dikatakan menyebabkan rakyat muak dan meluat kepadaUmno-BN.

Apa yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri 1Malaysia dalam kempen politik di Hulu Selangor hari ini menunjukkan Umno masih lagi beranggapan rakyat di Malaysia masih dungu dan jahil yang akan termakan umpan apabila ditaburkan dengan projek pembangunan.

Bertempat di SMK Sains Hulu Selangor hari ini beliau seakan-akan memulakan pesta projek mee segera dengan berjanji bahawa kerajaan 1Malaysia akan membina empat sekolah iaitu tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah rendah. Lebih memualkan beliau dengan muka tak tahu malu secara terang-terangan meminta kira-kira 500 guru yang dikerah ke majlis berkenaan supaya mengundi BN dalam pilihanraya kecil akan datang.

Tidak cukup dengan itu, dalam lawatan di Kampung sentosa beliau dengan rasa 'murah hati' menjanjikan RM 2 juta bagi mengatasi masalah banjir di kampung berkenaan. Sikap 'murah hati' diteruskan dengan menghadiahkan masjid As-Sajdin peruntukan serta merta RM 100 ribu. Sungguh hebat sikap pemurah dan baik hati kerajaan 1Malaysia...

Saya yakin ini semua cuma mukadimah, selepas ini mungkin pak cik mak cik yang dah tak ada gigi dapat subsidi gigi palsu. Jamban yang nak runtuh akan digantikan dengan jamban batu. Titi batang kelapa akan digantikan dengan jambatan besi keluli. Selepas ini juga pak cik mak cik di Hulu Selangor tak perlu gaduh-gaduh dan bising-bising jalan becak atau berlubang kerana pastinya kerajaan 1Malaysia bersedia untuk buat jalan tar sehingga depan muka pintu!

30 March 2010

HULU SELANGOR: PAKAR NEUOROLOGI VS PAKAR PIKUL DUIT?

Bahang pilihanraya kecil Hulu Selangor makin kuat dirasai. Ketika muafakat jelas terbentuk dalam Pakatan Rakyat bahawa kerusi parlimen berkenaan milik PKR sebaliknya berlaku dalam BN yang masih bermain tarik tali calon parti mana yang bakal bertanding.

Bagi MIC itu adalah kuota atau kerusi mereka dulu kini dan selamanya. Ini ditegaskan oleh oleh Datuk Seri Samy Vellu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Bahagian MIC Hulu Selangor kelmarin. Tanpa berahsia, Samy Vellu menyebut kerusi itu akan ditandingi oleh G.Palanivel yang juga timbalan presiden MIC. Kenyataan Samy Vellu juga disokong oleh Dato Seri Muhd. Khir Toyo.

Walau bagaimanapun wujud desakan kuat agar kerusi itu ditandingi oleh calon Umno. Pengaruh MIC yang makin terhakis dan semangat Melayu yang sedang meluap-luap sekarang dalam Umno menjadi hujah agar Umno diberikan kerusi berkenaan.

Parti mana pun yang bertanding mewakili BN dijangka akan mencetuskan konflik terbaru di dalam BN setelah pergolakan hebat dalam MCA.

PKR kelihatan tidak ketandusan tokoh untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Antara nama yang menjadi pilihan ialah Datuk Dr Halili Rahmat pakar neurologi/bedah saraf anak tempatan yang juga Bendahari PKR bahagian.

Jika Umno bertanding maka calon pilihan mereka pula ialah Tan Sri Muhd. Taib. Siapa yang tak kenal Md. Taib? Beliau merupakan bekas Menteri Besar Selangor dan tidak dilupakan jasanya melarikan anakanda Almarhum Sultan Selangor satu ketika dulu. Tak kurang masyurnya, kehebatan Md. Taib memikul duit bernilai jutaan ringgit yang dianggarkan berat melebihi 10 kilogram sewaktu cuba meninggalkan Australia. Sehingga hari ini belum ada mana-mana individu dalam negara yang berjaya memecahkan rekod berkenaan.

Jika spekulasi ini menjadi kenyataan maka pertarungan di Hulu Selangor bakal menyaksikan pertarungan di antara pakar Neurologi dan pakar pikul duit. Sudah tentu banyak yang menarik jika telahan ini menjadi kenyataan.

29 March 2010

CHUA SOI LEK AKAN JADI MENTERI?

Datuk Chua soi Lek telah membuat kejutan dengan menewaskan dua calon pilihan presiden MCA. Pastinya Datuk Ong Ka Ting dan Datuk Ong Tee Kiat termenung dan tidak lena tidur memikirkan kekalahan mereka semalam.

Secara tradisi, presiden MCA akan dilantik sebagai menteri bagi mewakili kuota komponen BN dalam kabinet 1Malaysia. Mungkinkah Ong Tee Keat akan digugurkan dan digantikan dengan Chua Soi Lek? Kemungkinan itu hampir pasti sekarang. Adalah sesuatu yang janggal jika Ong Tee Keat kekal menjadi menteri kerana perlantikan beliau atas kapisiti sebelum ini sebagai presiden MCA. Adalah lebih bermoral dan akan mengangkat imejnya jika beliau meletak jawatan sebagai menteri secara terhormat sebelum beliau terpaksa digugurkan dari kabinet.

Jika Chua soi Lek dilantik sebagai menteri, apakah jawatan yang paling sesuai untuk beliau? Saya mencadangkan beliau dilantik ke kementerian baru yang boleh diwujudkan oleh Perdana Menteri 1Malaysia. Perlantikan beliau sebagai menteri wajar memandangkan rekod cemerlang sebelum ini sewaktu menjadi menteri. Beliau bukan sahaja sanggup turun padang menguji ubat-ubatan yang ada di Kementerian Kesihatan yang disandang sebelum ini. Cuma beliau sebelum ini terpaksa meletak jawatan kerana dirakamkan kerana menguji ubat-ubatan di luar waktu pejabat!

28 March 2010

INIKAH BAKAL PRESIDEN MCA? MCA KINI BERPECAH TIGA


Keputusan siapa yang memenangi kerusi presiden MCA akan diketahui bila-bila masa dari sekarang. Pelbagai spekulasi mula tersebar siapa yang menang dan siapa yang bakal tersungkur. Spekulasi tetap spekulasi boleh jadi betul dan mungkin salah.

Apa yang pasti yang bukan lagi spekulasi yang kini menjadi realiti MCA sekarang berpecah tiga. Sudah ada tiga kem dalam MCA iaitu kumpulan Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dan Ong Ka Ting. Jika sebelum ini MCA hanya berpecah dua di antara pertarungan Chua Soi Lek dan Ong Ka Ting. Pastinya selepas pemilihan MCA hari ini MCA makin bergolak dan berkecamuk. Bila berlaku pergolakan dan MCA pastinya BN juga bakal menerima nasib yang sama. Adalah sukar dalam keadaan sekarang untuk menyatukan MCA. BN boleh berlakon bahawa wujud perpaduan di kalangan mereka tetapi mereka perlu ingat pengundi dan rakyat di luar bukannya tunggul yang tetap memilih calon BN seperti 20-30 tahun dulu.

Siapa pun yang menang dalam pemilihan MCA ini nanti sudah tidak membawa apa-apa makna lagi, rakyat sudah cukup muak dan bosan dengan apa yang berlaku. Pastinya mereka akan beralih angin kali ini maka senario yang berlaku memberi isyarat cukup jelas tentang kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam piliahnraya akan datang.

Tetapi selalu diingatkan, Pakatan Rakyat mesti kuat dan jitu disebabkan oleh kekuatan dan muafakat sesama sendiri dan bukan semata-mata akibat kehancuran dari pihak lawan.

MUKTAMAR PEMUDA PAS BUKIT KATIL


Antara kepimpinan DPP Bukit katil


YB Khoo dari DAPSY dan Farhan Ketua AMK Bukit Katil

Hari ini 28 Mac 2010 bersamaan 19 Rabiul akhir 1431H bertempat di sebuah resort di Melaka sedang berlangsung Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil. Muktamar kali ke 6 ini bertemakan 'Memperteguhkan Ukhuwah, Merintis Kemenangan' sebagai iltizam Pemuda Bukit Katil untuk merintis kemenangan di bumi Melaka.

Muktamar kali ini dirasmikan oleh Hj. Shaharudin, Bendahari Pas Melaka. Turut hadir menyerikan muktamar ialah saudara Sofi Wahab, YDP Pas Kawasan Bukit Katil, YB Khoo Adun Ayer Keroh wakil Pemuda DAPSY Melaka dan saudara Farhan Ketua AMK Bukit Katil Melaka.Muktamar kali ini turut dihadiri oleh beberapa mantan ketua pemuda dan mantan ahli DPP Bukit Katil

Siru ala barakatillah....

27 March 2010

MEMANG BETUL UMNO-BN BANYAK 'BAHAN' DI PRK HULU SELANGOR

Akhirnya Umno-BN 'terpaksa' berhadapan dengan rakyat dalam pilihanraya kecil di Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya dari PKR sebelum ini Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad.

Sebelum ini Umno-BN dilihat cukup fobia dan gentar untuk berhadapan rakyat dalam pilihanraya kecil.

Pilihanraya kecil ini menjadi kayu ukur kepada Pakatan Rakyat dan BN sejauh mana perkembangan isu terkini mempengaruhi sokongan rakyat kepada kedua-dua parti berkenaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin awal-awal lagi meluahkan keyakinannya untuk menawan kembali parlimen Hulu Selangor kerana mendakwa bahawa Umno-BN kini mempunyai banyak 'bahan' untuk berhadapan dengan PKR-PAS-DAP.

Dalam hal ini saya amat bersetuju dengan Muhyiddin bahawa Umno-BN mempunyai banyak bahan dalam pilihanraya kecil ini.

Secara tradisi, 'bahan-bahan' yang dijangka membantu Umno-BN ialah polis yang kini mendapat pelbagai intensif dari kerajaan 1Malaysia. Selain itu juga SPRM dijangka kekal akan turut sama menjadi 'bahan' penting kepada Umno-BN.

Dalam hal ini saya tak menafikan peranan media pengampu dan penipu seperti Utusan, Berita Harian, RTM, TV3 dan yang sewaktu dengannya yang pastinya akan melipat gandakan usaha agar dilihat sebagai 'bahan' yang paling berguna kepada Umno-BN.Cerita-cerita tentang lembu, rampasan tanah YBK dan pembinaan kuil dijangka akan terus.menjadi 'bahan' kempen Umno-BN kali ini.

Namun dalam banyak-banyak bahan, saya yakin bahan yang paling penting pastinya beberapa spesis yang mendakwa kini menjadi wakil rakyat bebas. Pastinya mereka akan menjadi kuda tunggangan yang akan diseret ke serata ceruk agar menjadi 'bahan' kempen yang paling lawak Umno-BN dalam pilihanraya kecil kali ini.

Memandangkan Umno-BN mempunyai pelbagai 'bahan' dalam pilihanraya kecil ini maka seluruh jentera Pakatan Rakyat di seluruh peringkat perlu melipat gandakan usaha dalam memenangi hati rakyat khususnya pengundi di parlimen Hulu Selangor. Ini penting untuk memastikan 'bahan-bahan' yang dimiliki oleh Umno-BN akan menjadi bahan buangan tak terpakai!


25 March 2010

TITI TINGGI BUKTI UMNO-BN FOBIA DENGAN PILIHANRAYA

Ramalan ramai pihak bahawa tidak akan berlaku pilihanraya kecil di Dun Titi Tinggi ternyata kebenarannya. Setelah dipujuk rayu akhirnya ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn telah menarik balik surat peletakan jawatannya. Lebih menarik lagi beliau hanya mengirim SMS kepada Speaker DUN Perlis, Datuk Yazid Mat tentang pembatalan meletak jawatan yang diumumkan kelmarin

Pasca pilihanraya Umum ke 12 menunjukkan Umno-BN cukup gentar berhadapan rakyat dalam pilihanraya. Lihat sahajalah apa berlaku di Perak, mereka bermati-matian mengelakkan pilihanraya kecil. Begitu jugalah di tempat lain. Walaupun speaker sudah memaklumkan kekosongan kerusi yang wujud belum tentu pilihanraya akan diadakan. Kota Seputeh turut menjadi contoh Umno cukup takut dengan pilihanraya untuk berhadapan dengan rakyat. Walaupun ia melibatkan Dun atau parlimen yang didakwa kubu kuat umno-BN.

Usaha Umno untuk mengelak menghadapi pilihanraya kecil ternyata mendapat sokongan padu dari SPR dulu kini dan selamanya. Malah langkah kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang untuk mengembalikan demokrasi dan mewujudkan ketelusan dengan mengadakan pilihanraya pihak Berkuasa tempatan juga turut dihalang.

Semua ini menjadi bukti nyata Umno-BN yang mendakwa diri selama ini mereka kuat sebenarnya berada dalam keadaan yang cukup lemah. Walaupun cuba memainkan isu dan sentimen perkauman, memanipulasi media itu tidak mencukupi untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno-BN. Justeru itu dalam suasana Umno-BN dalam keadaan lemah dengan mood penolakan rakyat,pelbagai helah dan taktik kotor dilakukan untuk memastikan tidak berlaku sebarang pilihanraya dalam masa terdekat.