Tidak dapat dinafikan teknologi maklumat melalui internet mencorak senario politik di negara ini.
Internet juga boleh mencorak budaya masyarakat di negara ini. Masyarakat dewasa ini dilanda dengan pelbagai penyakit masyarakat antaranya masalah sosial, penagihan dadah, konflik rumah tangga, dan masalah akidah.
Internet juga digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan. Yang kerap menjadi mangsa golongan yang lemah dan mudah terpedaya terutamanya para remaja dan golongan wanita.
Tidak dapat dinafikan pihak jabatan agama Islam serta majlis agama Islam telah pun mempunyai khidmat kaunseling secara konvensional.
Akan tetapi dengan perkembangan teknologi terkini serta cabaran masa kini yang menyebabkan ramai remaja hanyut dengan kelekaan dan kealpaan, tidak dapat tidak, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta majlis agama Islam negeri serta jabatan agama Islam negeri haruslah mengambil inisiatif untuk mengadakan perkhidmatan kaunseling dalam talian (online) secara percuma.
Perkhidmatan kaunseling maya ini penting kerana, budaya masa kini, kita dapati golongan remaja kurang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada para ustaz dan ustazah di masjid, surau atau pejabat agama.
Mereka lebih gemar mendapatkan khidmat nasihat daripada kawan-kawan mereka secara dalam talian melalui ruang sembang di alam siber, e-mel dan sebagainya.
Jakim, dan jabatan-jabatan agama Islam tidak seharusnya menumpukan usaha dakwah dan khidmat nasihat di masjid semata-mata.
Mereka haruslah keluar daripada kepompong pendekatan konvensional dengan mengikuti perkembangan teknologi masa kini, demi menyelamatkan generasi umat Islam ketika ini yang hanyut dibawa arus pemodenan, hedonisma, hiburan melampau, pergaulan bebas dan sebagainya.
Apa yang menyedihkan terdapat laman web jabatan agama yang tidak dikemaskini dari masa ke semasa seperti laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (http://www.ns.gov.my/jabatan/jheins/).
Kegagalan ini menunjukkan agensi kerajaan yang berkaitan untuk menjaga kepentingan umat Islam di negara ini tidak begitu bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjaga kepentingan umat Islam.
Jakim bawah kepimpinan menteri yang baru iaitu Datuk Ahmad Zahid Hamidi haruslah mengorak langkah untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan untuk kepentingan umat Islam agar umat Islam dapat dijadikan contoh kepada penganut agama lain di negara ini secara khusus dan dunia secara amnya.
Dalam menyahut cabaran perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat saya turut menyediakan sesi kaunseling secara online ( melalui yahoo messeger atau hotmail messenger – boleh dilaksanakan melalui sidang video ) anda boleh membuat temu janji untuk mengadakan sesi secara on line. Para pelawat blog ini boleh emailkan sebarang masalah dan kemuskilan melalui email : khairul_ippm@hotmail.com atau khairulippm@gmail.com .
No comments:
Post a Comment