PERKAHWINAN dibina disebabkan pelbagai alasan. Apa pun alasan tersebut, tujuannya adalah untuk mencapai sebahagian daripada kesempurnaan hidup.
Perkahwinan yang dibina secara terpaksa, biasanya tidak kekal kerana tiadanya kesediaan untuk bertolak ansur atau saling memberi dan menerima.
Apabila pihak-pihak bersetuju untuk membina perkongsian hidup, setiap pihak akan menentukan sejauh mana kesediaan masing-masing untuk berkongsi dan bertasamuh.
Kesediaan ini bergantung kepada beberapa asas antaranya, tahap ilmu kekeluargaan, keimanan, sikap semula jadi, pengalaman hidup sebelum (termasuk pengalaman orang lain yang dijadikan panduan) dan tidak kurang juga penerimaan nasihat dan pengaruh orang di sekeliling dan dipercayai.
Perubahan gaya hidup semasa sangat memberi kesan kepada persepsi kebanyakan orang mengenai perkongsian hidup. Hakikat kehidupan masa kini sangat mencabar garis panduan yang dikemukakan syariah dalam menyusun kehidupan berkeluarga.
Contoh yang paling mudah apabila pengenalan tanggungjawab dan hak suami isteri secara tradisi dicabar dengan hakikat hari ini yang memperlihatkan kaum Hawa juga bekerja seperti kaum Adam. Kaum lelaki mula mempertikai secara akli tanggungjawab yang terpikul di atas bahu mereka selama berabad-abad.
Mereka bertanya, "Apakah adil dalam keadaan suami isteri bekerja bersama-sama, tetapi pendapatan yang diraih oleh kaum suami perlu diagih kepada pelbagai bentuk nafkah, tetapi sebaliknya, kaum isteri boleh menikmati pendapatan mereka secara mutlak? Kesediaan isteri untuk memberi sumbangan hanyalah atas dasar sukarela (tabarru'), tidak wajib walaupun sememangnya berpahala."
Sebaliknya, apabila isteri bekerja maka tugas-tugas yang secara tradisi dilakukan oleh kaum ibu telah berpindah tangan. Penyediaan keperluan rumah yang biasanya dilakukan secara manual oleh isteri telah diganti dengan pelbagai bentuk pilihan, antaranya oleh pembantu rumah, pembelian dari kedai, perkhidmatan secara bergerak, taman asuhan dan sebagainya.
Fenomena ini menimbulkan rungutan oleh kaum bapa yang sangat merindui hasil tangan isterinya. Sehingga sumbangan material atau kos lepas yang diberikan isteri daripada hasil titik peluhnya bekerja tidak mampu menyaingi hasil tangan isteri tersebut.
Fenomena ini secara zahir seolah-olah bertentangan dengan maksud Hadis riwayat al-Bukhari yang menyatakan bahawa kaum lelaki penjaga kepada ahli keluarganya dan isteri pula penjaga rumah tangganya.
Dalam kita mencari tokoh-tokoh wanita Muslim yang dijamin masuk ke dalam syurga, antaranya adalah dari kalangan mereka yang sangat patuh dan setia terhadap suami masing-masing.
TercabarDunia perkahwinan pada hari ini mungkin tercabar dengan kisah-kisah tradisi Islami yang kebanyakannya memperlihatkan tentang sifat wanita yang lembut atau naif, berbanding dengan sifat wanita hari ini yang jauh lebih canggih atau sofistikated.
Malah pandangan kaum lelaki semasa tentang wanita juga begitu ketara bezanya. Rata-rata lelaki pada hari ini lebih bangga sekiranya memiliki pasangan yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi mempunyai kedudukan dari segi sosial yang baik, berpendidikan tinggi, memiliki kerjaya yang mantap dan dipandang tinggi masyarakat.
Dari satu sudut yang lain pula dikatakan surirumah sepenuh masa mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mengalami kemurungan (depression) berbanding wanita yang mempunyai pekerjaan tertentu.
Sebaliknya, memiliki pekerjaan boleh dikatakan bahawa seseorang itu dapat meluaskan 'dunia hidupnya'; ada cabaran yang harus diselesaikan dan ia memberi kepuasan dan kebahagiaan selain imbuhan daripada penyelesaian terhadap masalah (tugas) tersebut.
Pekerjaan yang dimiliki memberikannya dunia perhubungan yang lebih luas dan hebat; pelbagai ragam manusia menjadi sebahagian daripada pengisian diari hidup dengan pelbagai corak dan warna.
Kemuncak kepada pekerjaan itu ialah pengiktirafan terhadap kewujudannya dalam dunia kerjaya yang diceburi dan ia metafora kepada kepuasan dan keceriaan minda dan emosi.
Malangnya, wanita yang sudah memiliki keluarga, cantik dan berjaya juga turut berdepan dengan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Tidak sedikit wanita yang memiliki kelebihan-kelebihan ini sering didatangi dan didampingi lelaki-lelaki yang teruja terhadap wanita sebegini.
Ruang semakin besar untuk mendampinginya sekiranya rumah tangga mempunyai masalah, dan tentunya jati diri wanita tersebut semakin tercabar. Maka tidak hairan jika kajian menunjukkan bahawa sebahagian sebab, yang harus diberi perhatian, daripada perceraian yang berlaku antara pasangan adalah kerana pertelingkahan berlaku dalam rumah tangga tetapi perbincangan untuk mencari penyelesaian gagal untuk dilakukan. Dan pada masa yang sama orang ketiga menjadi pemangkin yang hebat dalam membesarkan belenggu rumah tangga.
Puteri Rasulullah SAW, Fatimah az-Zahrah bertanya kepada ayahandanya tentang wanita yang dijamin masuk syurga dan Baginda menunjukkan seorang wanita tanpa menceritakan ciri-ciri yang dimiliki oleh wanita tersebut. Demi mendapatkan jawapan, Fatimah menziarahi wanita itu dan melalui beberapa detik pengalaman.
Apa yang beliau dapati sebenarnya sangat mudah bagi seorang wanita yang menjadi isteri untuk memasuki syurga; menunggu kepulangan suami dari bekerja dengan penuh sabar dan bercantik-cantik untuk suami, mendapatkan izin daripada suami untuk membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan hak suami dan menawarkan diri untuk dihukum sekiranya pada anggapan suami, dia telah berbuat salah.
TradisiMalangnya, keadaan ini sangat dicabar oleh perubahan masa. Antara persoalan yang timbul, adakah disebabkan wanita mempunyai kebebasan untuk bekerja maka ia mengundang kepada kemungkinan yang besar untuk menjadikan wanita sebagai isteri yang tidak taatkan suami, dan yang jauh lebih buruk mengundang secara senyap kepada gejala sosial?
Adakah masyarakat akan menjadi lebih tenteram sekiranya wanita pada hari ini lebih digalakkan untuk memainkan semula peranan tradisi mereka? Dan kisah-kisah silam wanita yang bekerja atau menjadi usahawan juga kurang kita dapati dan ia tidaklah popular.
Bagaimana pula sekiranya negara memerlukan sumbangan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu sekiranya kepakaran itu hanya dimiliki oleh orang tertentu dan mereka dari kalangan wanita?
Sehubungan dengan persoalan ini juga, bagaimana halnya bagi wanita yang memiliki kebijaksanaan yang tinggi untuk menyempurnakan kebijaksanaan mereka sekiranya kita bersetuju bahawa negara akan menjadi lebih aman apabila unit keluarga yang menjadi teras negara berada dalam bentuk institusi keluarga Islami secara tradisi?
Tidak dinafikan wujudnya wanita sebagaimana yang ditemui oleh Fatimah az-Zahrah dan rela dihukum oleh suami demi mendapatkan keredaan Allah SWT dalam hidupnya.
Namun, rata-ratanya kita pada hari ini lebih memilih prinsip hidup saling percaya-mempercayai dan hormat-menghormati kerana kita mempunyai ilmu tentang kebebasan asasi dan hak sama rata dan ia juga dilindungi oleh syariah.
Wanita hari ini sangat berharap agar kaum lelaki menghormati mereka dan harapan yang sangat tinggi itu lahir daripada keadaan yang kita lihat pada hari ini; begitu banyak perdayaan dan penganiayaan yang berlaku terhadap kaum wanita termasuk di kalangan isteri.
Semakin naif atau lurus wanita itu, maka semakin banyak penganiayaan yang diterimanya. Kenyataan ini tidaklah menafikan tentang wujudnya suami yang cedera parah kerana kezaliman secara jasmani oleh pihak wanita/isteri, tetapi kajian lebih banyak menunjukkan penganiayaan yang berlaku adalah di pihak yang satu lagi.
Saranan yang disediakan oleh agama Islam adalah seawal mencari pasangan hidup. Apabila Baginda Rasulullah SAW menyarankan kepada pemuda Muslim supaya mengutamakan agama sebagai syarat utama dalam mencari pasangan hidup, ia juga seharusnya dijadikan sebagai saranan yang popular kepada gadis Muslim.
Kini sudah tidak sesuai bagi kaum Hawa hanya menjadi penurut dengan anggapan keredaan itu adalah jambatan mutlak untuk meraih pahala di dunia.
Suami yang salih sebenarnya adalah wadah yang paling mudah bagi golongan wanita untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Dan ia disokong oleh faham kufu yang dijelaskan secara terperinci oleh para ulama supaya kesaksamaan berlaku kepada kedua-dua belah pihak, suami dan isteri.
Sebenarnya, ada sesetengah perkara yang disyariatkan oleh Allah melalui Kitab-Nya yang harus diterima dengan penuh keimanan dan ketundukan. Apabila lelaki dipertanggungjawab oleh Allah sebagai ketua keluarga dengan beban tanggungjawab yang besar, seharusnya ia diterima tanpa sebarang pertikaian.
Hikmah yang tersembunyi di sebalik pertanggungjawaban tersebut melalui wahyu yang diturunkan tidak terjangkau oleh sifat munasabah akal manusia. Begitu juga sebaliknya bagi kaum Hawa pula, setinggi mana pangkat yang dikecapi, tinggi lagi makam syurga untuk dicapai
No comments:
Post a Comment