Saya merasa kasihan kepada pelajar UiTM di seluruh Negara yang berdemontrasi membantah cadangan Menteri Besar Selangor , Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membuka kuota 10 % kepada bukan bumiputera. Perasaan kasihan ini kerana mereka ibarat 'pak turut' atau menjadi 'alat' untuk kepentingan pihak tertentu.
Mengapa baru hari ini pelajar UiTM berani berdemontrasi ? Sudah sekian lama UiTM sunyi dan sepi dari gerakan pelajar baik isu masyarakat atau isu mahasiswa .
Malah dalam beberapa tahun kebelakangan ini hampir semua kampus UiTM di seluruh Malaysia dalam Pilihanraya Perwakilan Pelajar ( MPP ) berlangsung dalam suasana hambar. Kebanyakan calon yang pro dan ditaja pihak pentadbiran UiTM menang percuma. Manakala calon yang mempunyai idealis yang bertentangan dengan pihak pentadbiran dihalang dan disekat serta dikenakan syarat –syarat yang sengaja diadakan. Hal ini menyebabkan suara pelajar bertambah layu dan lesu. Justeru itu, MPP UiTM sebenarnya tidak mewakili suara pelajar tetapi hanya menjadi 'boneka'dan 'alat' kepada pihak pentadbiran UiTM.
Hal ini berbeza dengan IPTA lain, walaupun menerima pelbagai tekanan dan sekatan, suara pelajar masih lantang dan digeruni oleh pihak atasan IPTA. Dalam perjuangan membela hak rakyat dan mahasiswa serta demontrasi –demontrasi aman sebelum ini, wakil dan suara dari IPTA lain adalah lebih menyerlah berbanding dengan UiTM. Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan tidak ada langsung.Maka, jadilah mereka seperti kerbau dicucuk hidung dengan mengikut sahaja kehendak dan arahan pihak atasan UiTM.
Dalam hal ini, saya ingin bertanya pelajar UiTM yang merelakan diri mereka menjadi alat atau dipaksa hadir dalam siri –siri demontrasi baru –baru ini yang kononnya membela hak mereka dan hak Melayu.
- Di mana suara anda apabila mata pelajaran sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris yang sama sekali merendahkan martabat bahasa dan bangsa Melayu ?
- Di mana suara anda apabila Matrikulasi dibuka kepada bukan Bumiputera ?
- Di mana suara anda apabila MRSM dibuka kepada bukan Bumiputera ?
- Di mana suara anda apabila biasiswa yang sebelum ini diberi kepada orang Melayu dan Bumiputera ditarik balik ?
- Di mana suara anda apabila dasar Meritokrasi diperkenalkan dalam pemilihan ke IPTA yang menyebabkan ramai anak melayu yang tercicir ?
- Di mana suara anda apabila Universiti dikopratkan yang menyebabkan orang melayu khususnya terpaksa hutang keliling pinggang untuk melanjutkan pengajian ke universiti ?
- Adakah anda tidak perasan di kampus anda ada pelajar luar Negara ? Kenapa anda tidak bantah?
Sekiranya, 'kebangkitan' pelajar UiTM adalah datang dari kesedaran mereka sendiri, saya adalah orang yang tumpang gembira. Sebaliknya, jika ini dilakukan sebab mengikut arahan dan kehendak pihak tertentu ia merupakan sesuatu yang sangat malang sekali dalam dunia pendidikan. Lebih – lebih lagi mereka adalah golongan terpelajar dan intelektual. Maka, memang patutlah 'ranking' IPTA dalam Negara terkeluar dalam senarai 100 IPT terbaik di dunia. Berbeza dengan Universiti Nasional Singapura yang berada pada ranking ke 18 di dunia.
No comments:
Post a Comment