Sumpah dan sesumpah, dua perkataan yang hampir sama bunyinya tetapi jauh berbeza dari segi makna. Bersumpah dilakukan dalam keadaan untuk membuktikan kebenaran, menguatkan hujah dan mengukuhkan pengakuan yang dibuat.
Dalam Islam, bersumpah merupakan cara terakhir apabila semua cara atau pintu penyelsaian lain sudut tertutup. Misalnya, tidak mempunyai saksi dan mahkamah tidak dapat membuat keputusan. Selagi terdapat cara lain,maka bersumpah adalah tidak perlu.
Sementara itu, di sudut perundangan apabila disebut surat sumpah, akuan bersumpah dan angkat sumpah maka bermakna seseorang itu mengaku dari sudut tulisan dan lisan bahawa setiap kenyataan yang dibuat adalah benar dan terpelihara dari kepalsuan.
Namun, realiti hari ini biasanya orang akan terdesak untuk bersumpah ( apa juga cara dan kaedahnya ) apabila merasakan dirinya tidak dipercayai ataupun orang lain meragui kejujuran dan kebenaran yang diperkatakan . Maka bersumpah adalah cara terakhir untuk membuktikan bahawa dirinya 'suci' dan 'bersih'.
Dari segi psikologi, orang yang suka bersumpah sebenarnya ada masalah keyakinan pada dirinya sama ada tidak mempercayai diri sendiri dan merasakan dirinya tidak dipercayai. Dalam konteks ini, sepanjang terlibat dalam bidang kaunseling hal-hal sebegini adalah lumrah.
Antaranya bertujuan untuk menarik simpati, ingin mendapat perhatian dan mempunyai sesuatu agenda atau kepentingan peribadi. Dalam kaunseling disebut 'self mechanism' atau 'helah bela diri'. Justeru itu, semua ini menyebabkan saya lebih berhati – hati dengan mereka yang mudah dan suka bersumpah.
Sementara itu, sesumpah pula adalah sejenis binatang yang boleh dan cepat menyesuaikan diri atau mengubah warna mengikut suasana persekitaran. Dalam hal ini, sesumpah dapat mengelakkan diri dari serangan musuh dan ancaman lain.
Dalam masyarakat kita, bila sesorang itu dilabel sebagai sesumpah maka dia dianggap sebagai tidak boleh dipercayai atau ' lidah bercabang'. Hari ini cakap lain dan esok cakap lain atau memberitahu perkara yang sama tetapi dengan versi yang berbeza pada orang yang berlainan. Orang ini dianggap sebagai berpura – pura dan hipokrit.
Namun, saya melihat dari sudut positif orang seperti sifat 'sesumpah' adalah mereka yang cepat menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran baru. Misalnya seorang guru, dia dapat menyesuaikan diri dengan sekolah baru, rakan setugas baru dan gaya kepimpinan guru besar atau pengetua yang baru dan berbeza.
Sekiranya sifat sesumpah yang positif dapat diamalkan, individu akan merasai kepuasan dan keseronokan bekerja. Tidak timbul persoalan tekanan akibat gaya kepimpinan ketua , rakan baru dan suasana baru yang berbeza.
Apa yang sering berlaku, tekanan perasaan, gangguan emosi dan stres dialami apabila sesorang gagal atau lambat menyesuaikan diri seperti sesumpah . Implikasinya, hilang motivasi untuk bekerja, bersikap ala kadar, mudah marah – marah dan cepat sensitif dan melenting tak tentu pasal walaupun hanya hal –hal kecil yang remeh temeh.
Sekiranya ia berlaku kepada seorang guru, maka dia cenderung mengasingkan diri, lambat masuk ke kelas, sering ponteng ( ambil MC awal minggu dan hujung minggu…Isnin atau Jumaat ) dan jalan pintas yang sering diambil ialah minta tukar sekolah lain. Adakah masalahnya selesai ?Jawapannya tidak, di sekolah baru muncul pula masalah baru…
Kesimpulanya, berhati –hati dengan sumpah atau orang yang mudah bersumpah. Sebaliknya jadilah seperti sesumpah untuk meningkatkan kualiti dan harga diri serta mewujudkan keceriaan dan kebahagiaan dalam hidup.
No comments:
Post a Comment