12 October 2008

HARGA MINYAK, KRISIS EKONOMI DAN POLITIK DI MALAYSIA

Setiap hari harga minyak di pasaran global menunjukkan kadar penurunan. Walau bagaimanapun harga minyak di Malaysia masih lagi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan diturunkan.

Harga minyak ditutup di bawah AS$78 setong (RM273.78) hari ini ekoran pelabur kini lebih bersikap pesimistik terhadap persekitaran ekonomi global yang dijangka menghadapi kegawatan.

Minyak mentah berkualiti Light Sweet untuk penghantaran bulan November ditutup rendah pada AS$77.70 (RM272.72) setong di New York Mercantile Exchange.

Ini merupakan harga terendah yang dicatatnya bagi kontrak hadapan sejak 10 September 2007.

Di London, minyak Brent rugi sebanyak AS$8.57 (RM30.08) untuk ditutup pada $74.09 (RM260.06) setong di ICE Futures Exchange.

Menurut penganalisis, harga minyak kini semakin murah diniagakan di pasaran antarabangsa sejak 13 bulan lalu dengan penurunan sebanyak 47 peratus daripada paras tertingginya yang menghampiri rekod AS$150 (RM526.50) setong, iaitu $147.27 (RM516.92) setong, pada 11 Julai lalu.

Presiden Tenaga Strategik dan Kajian Ekonomi dari Winchester Massachusetts, Michael Lynch berkata, pelabur kini begitu bimbang dan situasi tersebut memberi tekanan terhadap pasaran minyak.

''Selagi krisis kewangan ini berterusan, kami jangkakan harga minyak akan terus turun pada paras AS$60 (RM210.6) setong,'' katanya.

Apa –apa pun kita menunggu janji Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna yang berkata kerajaan akan menurunkan harga minyak terutama petrol kepada RM 1.92 jika harga minyak di bawah AS $ 72 setong seperti yang dikatakan kelmarin.

Jadi, kalau kita mahu menikmati semula harga RM1.92 seliter itu pada hari ini, maka harga minyak dunia perlu cecah AS$72 setong. Harga minyak dunia semakin menurun dan penurunan harga boleh berlaku sekiranya kurang permintaan di negara maju seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat," katanya. Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian selepas merasmikan bangunan kilang zip, YKK (Malaysia) Sdn Bhd, bernilai RM6.4 juta, di Larkin di sini, semalam.

Apa yang menyebabkan kerajaan payah sangat nak turunkan harga minyak ? Adakah dengan menurunkan harga minyak akan menyebabkan pendapatan negara akan terjejas sehingga mewujudkan kegawatan kepada ekonomi negara ? Logiknya, pendapatan cukai daripada hasil minyak merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ). Kita mungkin terlupa dengan hakikat ini, penurunan harga minyak di pasaran dunia akan menyebabkan Malaysia dijangka berhadapan dengan krisis ekonomi yang lebih teruk. Hal ini kerana Malaysia terlalu bergantung kepada sumber minyak yang dikuasai oleh Petronas.

Apakah kerajaan mampu untuk menangani masalah kemelesetan ekonomi yang sedang melanda dunia hari ini ? Mungkin ini yang menyebabkan kerajaan sukar untuk menurunkan harga minyak di negara ini.

Rakyat di Negara ini dijangka akan berhadapan krisis ekonomi yang lebih hebat berbanding yang pernah dialami pada tahun 1997 lalu. Keadaan ini dijangka bertambah meruncing dengan susutnya rizab simpanan negara dari semasa ke semasa , kelemahan matawang dan juga kelemahan pengurusan kewangan negara. Lantaran itu, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah mengesa agar matawang negara ditambat seperti yang pernah dilakukan oleh beliau sebelum ini bagi mengelakkan krisis,manipulasi dan spekulasi berterusan yang boleh menjejaskan ketahanan dan kemampuan ekonomi negara menghadapi kemelesetan ekonomi dunia.

Justeru itu, tindakan Pak Lah menyerahkan pos kementerian kewangan kepada Najib dengan mengambil alih Kementerian Pertahanan merupakan satu tindakan bijak agar kegawatan dan kemelesetan ekonomi negara kesan iklim kejatuhan ekonomi dunia yang melanda sekarang akan diletakkan di bahu Najib dan bukan lagi kepada beliau. Sekaligus ini menyebabkan Najib akan dilihat lemah dan gagal dalam mengurus dan menjana ekonomi negara. Maka ramalan Najib menjadi 'kambing hitam' dan mangsa pecaturan politik Pak Lah seperti analisis beberapa tokoh politik dan ekonomi negara adalah sesuatu yang kita tidak boleh dipandang remeh.

Keadaan ini juga pastinya akan menjejaskan populariti Najib pada tanggapan umum. Maka adalah sesuatu yang tidak mustahil jika ini menjadi kenyataan, maka kegagalan Najib mengurus dan menghadapi kegawatan ekonomi negara akan dijadikan alasan oleh Pak Lah untuk menangguhkan atau menyebabkan berlaku proses 'U Turn' dalam proses peralihan kuasa seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.


 


 

No comments: