05 August 2008

Erti Kemerdekaan Semakin Hilang ?


31 Ogos , tarikh kemerdekaan Negara semakin hampir, lebih kurang tiga minggu dari sekarang. Tahun – tahun sebelum ini bila tiba bulan Ogos malah bermula bulan Julai lagi kemeriahan bulan kemerdekaan begitu dirasai. Bendera Kebangsaan berkibar di mana –mana, bangunan kerajaan atau premis pensendirian juga di kenderaan di jalan – jalan raya.

Pelbagai program diatur sama ada organisasi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah dan tadika turut tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.

Namun, hari ini suasana sambutan kemerdekaan nampak lesu dan muram. Cuma di bangunan milik kerajaan suasana kemerdekaan sedikit dirasai tetapi pada pandangan saya lebih kepada 'menurut perintah' atau 'ambil syarat' sahaja.

Kenderaan yang mengibarkan bendera kebangsaan di jalan raya ? Adalah sebuah dua, jarang – jarang sekali jumpalah sebuah yang memasang bendera.

Media massa pula lebih sibuk mengulas dan memaparkan berita – berita yang memualkan seperti kes liwat pemimpin politik, isu muzakarah dan Muqabalah, rasuah menjelang pemilihan UMNO dan keretakan Jambatan MRR2. Rencana atau berita tentang sambutan kemerdekaan tidak begitu mendapat tempat. Malah, Kementerian Kesenian dan Pelancongan yang bertanggungjawab kepada sambutan kemerdekaan seperti lepas tangan dan membuatnya seperti ala kadar sahaja.

Adakah rakyat Malaysia sudah hilang patriotisme mereka ?

Menurut rakan – rakan, kegawatan politik dan ekonomi kesan kenaikan harga minyak menyebabkan berlaku suasana lesu sambutan kemerdekaan kali ini. Mereka membuat protes secara senyap sebagai bantahan dan manifestasi rasa kurang senang terhadap apa yang berlaku dalam senario politik Negara dan tekanan ekonomi yang mereka alami.

Walaupun ada beberapa insentif seperti bayaran rebat kepada pemilik kenderaan dan bantuan RM 200 kepada nelayan semua ini tidak mampu untuk mengubat luka rasa tidak puas hati mereka.

Semua ini menimbulkan tanda tanya kepada saya. Apakah tahun ini ada sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ? Atau ada kejutan akan berlaku menjelang 31 Ogos atau sebelum 16 September nanti. Sama – samalah kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku…


 

04 August 2008

Retak Lagi !!!


Pengguna MRR2 terpaksa menempuh kesesakan di bawah jambatan MRR2 yang retak

Perdana Menteri, Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi meluahkan kemarahan disebabkan keretakan terbaru Jambatan MMR2.

"Dulu ketika rosak, kita telah mengeluarkan belanja RM70 juta dan ini adalah satu perbelanjaan yang besar. Dan sekarang ini retak lagi, mengikut apa yang dimaklumkan oleh pengguna jalan raya.


 "Sebenarnya masalah ini boleh dielakkan jika sekiranya pihak yang bertanggungjawab berhati-hati dalam memastikan apa yang telah dibaiki itu sudah teguh dan tidak akan berlaku lagi sebarang keretakan atau kerosakan dalam masa yang singkat," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

"Menakutkan jika berlaku runtuhan atau kemalangan lagi, jadi, sudah tentulah ini tidak baik," beliau dipetik sebagai berkata ketika mengulas mengenai MRR2 yang dibina dengan kos RM238 juta dan telah dibaikpulih menggunakan belanja tambahan RM70 juta mengalami keretakan sekali lagi.

Kelmarin , lebuhraya jejambat itu yang menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur sepanjang 1.7 kilometer serta jalan di bawahnya ditutup kepada semua lalulintas berikutan keretakan baru itu.

Pada bulan Ogos 2004, laluan berkenaan ditutup buat pertama kali berikutan masalah keretakan rasuk tiangnya.

Pada Februari 2006, ia sekali lagi ditutup akibat masalah yang sama yang memerlukan struktur itu dibaik pulih dengan kos RM70 juta.

Rakyat dan pengguna laluan tersebut semestinya lebih marah lagi. Bukan sahaja terpaksa merasai keperitan kenaikan harga minyak baru- baru ini. Kini, mereka terpaksa menempuh kesesakan teruk dan terkandas berjam-jam sewaktu pergi dan balik dari tempat kerja. Bayangkan dengan harga minyak yang mahal, berapa banyak minyak yang terbuang dan terbazir disebabkan kesesakan yang berlaku. Berapa banyak masa pula yang terbuang akibat masalah ini ? Berapa banyak lagi duit rakyat akan digunakan serta dibazirkan kepada perkara yang tidak sepatutnya ?

Cuba kita kira, dengan kos pembaikan pertama sebanyak RM 70 juta seperti yang dimaklumkan oleh PM, apa yang dapat dilakukan dengan wang sebanyak itu.

  1. Membina rumah rakyat miskin yang tidak mempunyai rumah sebanyak 2333 buah dengan kos anggaran RM 35 ribu sebuah.
  2. Memberi biasiswa kepada pelajar miskin yang melanjutkan pelajaran di universiti seramai 4375 orang dengan anggaran kos RM 16 ribu sepanjang tempoh pengajian.
  3. Bantuan kepada penduduk miskin seramai 29166 orang sebanyak RM 200 untuk seisi rumah selama setahun.
  4. Mungkin dapat menyelamatkan nyawa 1750 pesakit kronik yang memerlukan bantuan untuk kos perubatan dan pembedahan dengan anggaran kos RM 40 ribu seorang.

Ini belum lagi termasuk kos gantirugi kerana pembatalan 'Jambatan Bengkok' merentangi Tambak Johor sebanyak RM 238 juta, kos kerugian penjualan saham Agusta yang mencecah RM 500 juta yang terpaksa di tanggung oleh kerajaan ( duit rakyat ) dan banyak lagi.

Masalah ini tidak akan berlaku, sekirannya pihak yang terlibat benar – benar bertanggungjawab dan jujur melaksanakan tugas serta amanah yang diberi. Dalam hal ini yang menjadi mangsa adalah rakyat terutamanya golongan bawahan yang berpendapatan rendah.


 


 

Malam Pertama Setiap Insan


Di antara kata-kata Rasulullah pada setiap kali baginda berkhutbah " Aku tinggalkan tempat tidurku pada suatu hari. Lalu keheningan kubur menghampiriku pada malam pertama. Demi Allah, apakah yang berlaku ?".

Membayangkan malam pertama di dalam kubur, para ulamak akan menangis dan orang-orang bijak akan mengeluh. apa tidaknya kita sedang berada di dua persimpangan dan di dua dunia yang amat berbeza.

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap gulita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan berbantalkan tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Oleh itu beramallah dan ingatlah kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR.
"

10 Tips Memilih Pasangan


Kebanyakan daripada rumah tangga runtuh yang bermasalah sejak hari pertama tak lain tak bukan adalah kerana kedua-dua orang yang terlibat tersalah pilih pasangan, itu sahaja.

Pilihan pasangan hidup anda adalah lebih penting dari apa jua yang anda lakukan untuk membahagiakan rumah tangga anda. Itu mungkin bunyinya seperti mudah sahaja dilakukan, tetapi anda akan terkejut dengan peratusan tinggi orang yang tidak sabar sabar melangsungkan perkahwinan sehingga mereka tidak menumpukan masa dan usaha yang diperlukan untuk membuat keputusan yang baik.

Jika anda ingin memastikan perkahwinan yang memuaskan dan berkekalan, timbangkan faktor-faktor berikut :

1. TEMPOH MASA PERKENALAN.

Kajian menunjukkan bahawa pasangan yang telah berkenalan selama dua tahun atau lebih kesemuanya lebih berpuas hati dengan perkahwinan berbanding pasangan yang berkenalan dalam jangka masa yang lebih pendek. Apabila pasangan bersedia mengambil keputusan yang melibatkan perkahwinan selepas hanya berkenalan selama beberapa bulan, keputusan itu kebanyakannya lebih berdasarkan khayalan dan kurang berdasarkan hakikat .

2. MEMILIH PASANGAN SENDIRI

Orang sering memilih pasangan semata mata untuk menggembirakan orang lain - ayah , ibu atau kerana orang menyuruh mereka berkahwin. Tetapi amat penting agar orang yang hendak kahwin itu sendiri gembira dengan pilihannya. Keputusan anda hendaklah dibuat berasaskan keperluan dan impian anda sendiri. Anda juga patut mendengar pendapat sahabat handai dan kaum keluarga dengan teliti, tapi jangan sampai biarkan orang lain memilih pasangan hidup anda.

3. HARAPAN YANG TIDAK WAJAR TENTANG PERKAHWINAN

Kebanyakan rumah tangga gagal kerana tidak mendapat apa yang mereka impikan sebelum berkahwin. Ramai lelaki dan wanita memasuki alam perkahwinan dengan sangkaan bahawa pasangan mereka akan memenuhi semua keperluan mereka dan bahawa perasaan romantik mereka semasa bercinta akan kekal abadi. Sebenarnya rumah tangga yang bahagia memerlukan begitu banyak usaha, kesabaran dan ketabahan.

4. MASALAH KEPERIBADIAN DAN TINGKAH LAKU

Keperibadian dan tingkah laku tidak akan hilang apabila anda berkahwin.Jika terdapat cirri-ciri keperibadian dan tingkah laku pasangan anda yang menimbulkan persoalan, seperti cemburu, panas baran, tidak bertanggungjawab, tidak jujur dan degil. Tanya diri sendiri sama anda sanggup untuk menghabiskan masa anda sehingga ke akhir hayat untuk menangani masalah ini. Nyata sekali ,jika pasangan yang dalam pertimbangan itu menghadapi masalah dadah, kaki botol dan sebagainya ,anda sepatutnya memastikan masalah itu telah diselesaikan jauh lebih awal sebelum perkahwinan anda.

5. BANYAK PENGALAMAN HIDUP

Pemilihan pasangan hidup melibatkan ramalan tentang bagaimana anda berdua akan hidup bersama sepanjang tahun tahun akan datang. Pengalaman disini bukan bermaksud usia .Pengalaman yang dilalui tidak bergantung dengan usia seseorang. Pengalaman lelaki dan wanita mengharungi susah senang bersama amat bermakna dalam perhubungan. Jika boleh lalui waktu waktu susah dan senang bersama pasangan anda.

Ambil contoh yang mudah saja ,misalnya melalui lalu lintas yang sesak, jalan jalan kampung yang becak . Dari situ dia akan menunjukkan siapa dirinya yang sebenarnya.

6. BAYANGAN ORANG YANG INGIN ANDA KAHWINI

Bayangan ini tidak anda sedari pada umumnya , namun ia amat mempengaruhi anda. Bayangkan dengan jelas sifat-sifat orang yang ingin anda kahwini. Fikirlah dengan panjang dan mendalam tentang faktor - penampilan, kepintaran, pendidikan , kerohanian dan sebagainya. Pemikiran bawah sedar anda boleh menghantui sesuatu hubungan . Berpeganglah pada bayangan anda ini, jika tidak anda akan menginginkan orang lain buat selamanya.

7. PASANGAN YANG BERSIFAT SEAKAN AKAN DIRI ANDA

Pasangan yang mempunyai terlalu banyak perbezaan sifat nya , akan memerlukan usaha yang lebih untuk memastikan rumahtangga yang dibina kekal bahagia.Lebih banyak memerlukan toleransi dan pemahaman. Tak ramai pasangan mampu bertindak sebegini.

8. MEMPUNYAI CITA CITA YANG SEIRING

Jika orang yang anda kahwini bercita cita jauh lebih rendah atau lebih tinggi daripada anda, mungkin anda berdua akan kecewa. masalah akan timbul jika anda berusaha mendaki puncak kejayaan tetapi pasangan anda telah berpuas hati dengan apa yang telah anda berdua miliki. Perbezaan sifat mungkin menarik hati ketika sedang melamar, tetapi ia akan menyebabkan banyak kekecewaan sepanjang perkahwinan.

9. KEBOLEHAN BERKOMUNIKASI

Kebolehan berkomunikasi sangat penting demi kebahagian rumah tangga.Kesejahteraan perkahwinan bergantung kepada tahap komunikasi suami isteri. Adalah penting kedua dua pasangan menguasai kemahiran bertutur dan mendengar. Banyak rumah tangga hancur kerana masing masing tidak pandai menyatakan hasrat masing-masing dengan cara yang boleh diterima oleh pasangannya. Hasrat dipendam tanpa komunikasi berkesan.

10. KEBOLEHAN MENYELESAIKAN PERTELINGKAHAN

Pasangan perlu tahu yang mereka berkemampuan untuk menyelesaikan pertelingkahan sebelum mereka berkahwin. Jika pasangan tidak tahu cara yang berkesan untuk menangani perselisihan pendapat antara mereka, Rumah tangga mungkin akan runtuh. Banyak rumah tangga runtuh kerana suami isteri tidak tahu menangani perbezaan diri mereka berbanding sebab sebab lain. Amat perlu menilai kemahiran perdamaian masing masing sebelum berkahwin.

Selamat Mencuba !!!! Sekadar Panduan!!!

03 August 2008

SEMINAR BLOGGERS MELAKA

Greenboc : Web Master Tranungkite


LANH dengan kertas kerja bertajuk Etika Kewartawanan dan Penulisan


Rakan - rakan Bloggers Melaka



3 Ogos 2008,Seminar Bloggers Melaka yang bertempat di Semabok mendapat sambutan yang menggalakkan. Kira – kira 30 orang Bloggers sekitar Melaka hadir ke seminar tersebut. Kesempatan ini digunakan untuk mendapat pelbagai input, tips dan perkongsian maklumat dengan para Bloggers. Di samping dapat mendengar pembentangan kertas kerja dan perkongsian dengar Bloggers terkenal seperti LANH, Greenboc, MMutaligat dan ramai lagi.

02 August 2008

Teguran Mufti Perlis kepada PM meletak bunga dan bertafakur di Tugu Negara


PERBUATAN bertafakur, meletakkan kalungan bunga atau tabik hormat yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.

Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin membuat kenyataan ini ketika mengulas tentang istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan semalam yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah memulakan upacara meletakkan kalungan bunga itu, diikuti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

 
 

"Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin," jelas Dr Asri.

 
 

Terdahulu, Abdullah menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan penghormatan membabitkan 103 anggota dan pegawai Askar Melayu Diraja.

"Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan," jelas Dr Asri.

Kata beliau lagi, perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati.

"Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin," jelas Dr Asri.

Menurut Dr Asri, jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian ruh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas.

"Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar," katanya.

Firman Allah: (maksudnya) "Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Ibrahim sebelum itu jalan yang benar (dalam bertauhid), dan Kami mengetahui akan halnya. Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah patung-patung ini yang kamu berdiri di hadapannya (memujanya)? Mereka menjawab: "Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ibrahim berkata: "Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata". (Surah al-Anbiya 50-54)"

Perbuatan menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara ini juga difahamkan melanggar Fatwa Mufti (Edisi 2008).

Di bawah SubSeksyen 36(1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak mengikut SubSeksyen 39(6) Enakmen menyatakan, " Meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara sempena upacara sambutan Hari Pahlawan dan upacara-upacara lain adalah haram dan hendaklah ditinggalkan

Cara Mengukuhkan Sifat Sabar..





i. Mengenali hakikat hidup di dunia

Manusia kerap hilang kesabarannya kerana salah fahaman tentang hakikat hidup. Dunia ini bukan sebuah syurga yang penuh nikmat dan kekal, tetapi sebuah tempat Allah menguji manusia sebelum manusia ditempatkan ditempat yang kekal iaitu syurga. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;

"Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia berada dalam susah payah."

Surah Al-Balad : Ayat 4

Jelaslah bahawa jika kita sedar dunia ini tempat ujian. Maka kita kenalah bersabar bila kita ditimpa kesusuhan.

ii. Mengenali Diri

Jika kita mengenali diri kita adalah milik Allah dan apa yang ada pada kita adalah anugerah Allah yang sementara. Maka apa juga yang berlaku pada kita dan harta benda kita akan mudah dilalui dengan sabar. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;
"Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, Maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudharatan, Maka Hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan."

Surah An Nahl : Ayat 53

Jika kekayaan dan kuasa yang ada pada kita hilang, maka sebenarnya kita tidak perlu risau kerana Allah yang memberinya dan ia telah mengambil kembali. Dengan itu terbentuklah rasa sabar dan menginsafi diri.

iii. Menyakini Ganjaran Di Sisi Allah

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;
"Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang beriman. bertakwalah kepada Tuhanmu". orang-orang yang berbuat baik di dunia Ini memperoleh kebaikan. dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya Hanya orang-orang yang Bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas."

Surah Az Zumar : Ayat 10

Mereka yang yakin bahawa Allah akan memberikan ganjaran yang besar kepada mereka yang sabar dan akan terus dapat membina rasa sabar.

iv. Yakin Kepada Pertolongan Allah

Orang yang beriman hendaklah yakin akan tiba pertolongan Allah juga. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;
"Oleh itu tetapkan kepercayaanmu, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."

Surah Al Insyiraah : Ayat 6

Dengan menyakini pertolongan Allah akan membolehkan kita membina kesabaran di hati.

v. Memohon Pertolongan Allah

Mohonlah pertolongan Allah untuk bersabar dan untuk mengatasi kesusahan dan ujian Allah. Sesungguhnya hanya Allah yang berkuasa menjadikan kita bersabar dan berjaya menghadapi ujiannya. Dan Allah telah berjanji untuk memberi kemenangan kepada mereka yang bersabar.

vi. Mencontohi Orang Yang Bersabar

Menghayati kisah orang-orang yang diuji oleh Allah dengan ujian yang besar akan menjadikan kita lebih bersabar menghadapi ujian Allah S.W.T.

vii. Menjauhi Penyakit Penghalang Sabar

Antara penghalang kepada sifat sabar ialah :

a) Gopoh dan tergesa-gesa. Firman Allah yang bermaksud ;
"Manusia Telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. kelak akan Aku perIihatkan kepadamu tanda-tanda azab-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku mendatangkannya dengan segera."

Surah Al Anbiyaa' : Ayat 37

b) Marah. Sifat marah menyebabkan manusia hilang sabar, pertimbangan, gelisah dan membawa kepada kekecewaan.

c) Terlampau sedih.

d) Putus asa.

Apa khabar Naik Taraf Gred Jawatan Pensyarah IPG ?

Pada 13.6. 2008 yang lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom mengumumkan peningkatan taraf gred jawatan pensyarah IPG bermula 1 Januari 2008 b. Berita ini disambut gembira semua warga IPG khususnya para pensyarah. Usaha, pengorbanan dan penat lelah mereka selama ini telah diberikan pengkiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya.

Maka, ramailah memasang angan – angan dan merancang dengan gred baru yang diumumkan. Di IPPM pelbagai polemik dan pandangan dikemukakan. Kebanyakkannya menyatakan kegembiraan tetapi terdapat juga yang seolah – olah macam tidak percaya. Terdapat juga segelintir pensyarah yang buat tak kisah dengan berita gembira yang diumumkan. Ada yang mengatakan, pada bulan Julai Lepas semua pensyarah akan menerima surat tawaran rasmi. Ada mengatakan mereka mendapat maklumat dari Kementerian dan rakan rapat di BPG yang mengesahkan berita berkenaan. Malah seperti bertegang urat mempertahankan kesahihan dan berita yang diterima.

Kini, bulan Julai dan berlalu. Apa khabar agaknya berita pensyarah IPG dinaikkan gred jawatan ? Maklumat dari rakan yang kini bergelar YB di parlimen, dia pun tak pasti bila perkara ini akan dibawa ke parlimen untuk dibincang, dibahas untuk mendapat kelulusan dari Dewan Rakyat. Katanya, banyak lagi perkara dan rang undang-undang yang masih belum dibahaskan di Parlimen. Menurut beliau lagi, kerajaan sekarang agak 'sibuk' dengan pelbagai isu sehingga banyak perkara di parlimen yang tertangguh. Silap hari bulan, pensyarah IPG terpaksa menunggu lagi seperti tahun – tahun sebelumnya.

Mungkin selepas 16 September ada berita baru untuk pensyarah IPG.


 

Jangan tunggu lama – lama….Nanti lama – lama….


Pak Lah telah mengumumkan harga minyak akan diturunkan pada 1 Semptember ini. Biasalah kalau nak naik tidak sempat tunggu bulan Ogos, bulan 6 dan naik. Kenapa mesti tunggu hingga sebulan?


 

Apa lagi yang hendak dikaji dan diteliti ? Menaikkan dan menurunkan harga minyak secara yo-yo ini  adalah lebih banyak memberikan kesan spekulasi yang negatif pada pasaran ekonomi.

Kerajaan bercadang akan mengkaji dan mengstrukturkan harga minyak setiap  1 hari bulan. Masih ingatkah lagi Ringgit Malaysia pernah ditambat supaya percaturan ekonomi dapat dilakukan secara rasional? Kaedah tambatan Ringgit pada kadar RM 3.80 telah berjaya menstabilkan ekonomi Malaysia walaupun pada ketika itu berlaku kemelesetan ekonomi dunia yang mana banyak negara membangun telah menjadi mangsa cengkaman hutang IMF.

Apakah harga barang terutamanya sektor pemakanan dapat diturunkan jika kerajaan bercadang menurunkan harga minyak?

Kerajaan juga sepatutnya melakukan harga tambatan minyak supaya perancangan perniagaan berdasrkan pada spekulasi-spekulasi yang hanya boleh menjejaskan ekonomi. Fenomena ini hanya menyumbangkan peningkatan dalam inflasi.

Jelasnya , apabila kerajaan menurunkan harga minyak satu mekanisme penurunan harga makanan perlu dilaksanakan supaya rakyat dapat menikmati kuasa beli yang lebih tinggi seterusnya dapat menjana ekonomi negara.

Jadi tidak perlulah tunggu sehingga sebulan untuk turunkan harga minyak sepatutnya harga minyak diturunkan mulai 1 Ogos 2008."


 

Bagi golongan berpendapatan rendah sederhana mereka sudah cukup menderita dan tertekan dengan kenaikan harga minyak. Semoga kerajaan akan menyegerakan penurunan harga minyak seperti yang dilakukan Negara jiran, Singapura. Jangan tunggu lama-lama….nanti lama – lama….

31 July 2008

Harga Minyak Di Singapura Turun Kali Kelima Dalam 20 Hari !!!


Singapura bukan Negara pengeluar minyak. Malah jauh sekali sebagai pengeksport minyak. Mungkin pada masa akan datang jika Singapura mendapat hak Zon Ekonomi Ekslusif ( EEZ ) di perairan Pulau Batu Putih ada telaga minyak akan ditemui. Buat masa ini, Singapura 100 % terpaksa mengimport minyak untuk keperluan Negara itu. Justeru itu kenaikan harga minyak global baru – baru ini sudah pasti menjejaskan ekonomi Negara dan kehidupan rakyat Negara itu.

Namun begitu ketika Malaysia ( Negara pengeluar dan pengeksport minyak ) mengambil langkah menaikkan harga minyak baru – baru ini sehingga menyebabkan ramai yang ' naik minyak', Singapura tidak mengambil langkah yang sama seperti Malaysia. Di samping itu ingin difokuskan di sini,pendapatan perkapita rakyat Singapura 4 kali ganda lebih tinggi dari pendapatan perkapita penduduk di Negara ini.

Apabila harga minyak global mula menurun, Singapura telah menggambil langkah menurunkan harga minyak Negara itu untuk mengurangkan beban rakyat mereka yang sebenaranya kurang terbeban berbanding rakyat Negara ini. Kenaikan harga minyak telah menyebabkan kuasa beli rakyat Negara ini menurun kesan kenaikan harga barangan pengguna serta kos hidup lain seperti kenaikan tarif elektrik bermula 1 Julai dan kenaikan kadar tambang pengangkutan awam tidak lagi seperti yang diumumkan oleh kerajaan. Di bawah ini, saya lampirkan petikan berita dari akhbar Beita Harian Singapura untuk kita fikirkan bersama. Singapura menurunkan harga minyak untuk kali kelima dalam masa 20 hari !!!


Oleh BHS 
Selasa, 29 Julai 2008

HARGA minyak petrol turun lagi semalam, sebanyak 10 sen setiap liter - penurunan terbesar sejak Ogos 2003. Ini kali kelima harga minyak petrol turun dalam masa 20 hari.

Langkah mengurangkan harga minyak petrol semalam dimulakan Shell, yang kemudian diikuti Caltex, Singapore Petroleum Company (SPC) dan Mobil.

Dengan penurunan harga itu, harga minyak petrol sebelum ditolak diskaun di kedai minyak sekarang adalah $2.110 seliter bagi petrol oktana 98, $2.036 seliter bagi petrol oktana 95 dan $2.003 seliter bagi petrol oktana 92.

Harga minyak petrol premium sebelum ditolak diskaun pula adalah $2.239 seliter bagi Shell V-Power dan $2.236 seliter bagi Caltex Platinum.

Menurut para penganalisis, harga minyak petrol turun kebelakangan ini kerana kebimbangan tentang permintaan minyak semakin reda.

Harga minyak mentah mencecah paras AS$100 setong pada awal tahun ini, sebelum meningkat ke beberapa paras rekod akibat kebimbangan mengenai permintaan minyak yang terus bertambah ekoran ketegangan antara Barat dengan Iran mengenai program nuklear Teheran.

Ketidakstabilan di Nigeria, salah sebuah negara pengeluar minyak Afrika utama, turut menjadi faktor, kata para pengamat.

Harga minyak boleh jatuh ke paras AS$70 dan AS$80 setong jika dolar Amerika terus kukuh dan kebimbangan mengenai Iran berkurangan, kata ketua Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec), Chakib Khelil, Sabtu lalu.


Sumber: Berita harian Singapura

"