20 September 2008

KEMELUT EKONOMI DAN POLITIK : KERAJAAN BERTANGGUNGJAWAB

Masalah ekonomi dan politik Negara berada dalam situasi yang semakin membimbangkan. Indeks Komposit di BSKL berada di bawah paras 1000 mata. Kedudukan terendah selepas negara mengalami kegawatan ekonomi pada tahun 1997 lalu. Sementara itu, pelabur luar beralih atau menangguhkan pelaburan mereka ke negara ini. Mereka bersikap tunggu dan lihat perkembangan yang berlaku dalam Negara.

Suasana politik pula semakin tidak menentu dengan kedudukan kerajaan semakin goyah berikutan desakan demi desakan supaya kerajaan yang ada mengadakan sidang tergempar parlimen seperti yang didesak oleh Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim. Walau bagaimanapun, hasrat ini buntu apabila Perdana Menteri berkeras tidak mahu adakan sidang tersebut. Langkah susulan telah diambil dengan mengutus surat kepada DYMM Agung untuk Pimpinan Pakatan Rakyat memohon mengadap untuk melaporkan kesediaan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

Semalam, Menteri Kesenian dan Pelancongan Datuk Rais Yatim berkata DSAI mempunyai agenda dan hubungan dengan Amerika berhubung usaha untuk membentuk kerajaan baru. Kenyataan ini tidak membantu sebaliknya hanya satu tohmahan tanpa bukti dan hanya mengeruhkan lagi suasana dalam negara. Langkah menukar portfolio Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan di antara PM dan TPM tidak banyak membantu. Malah makin memburukan keadaan ekonomi Negara. Ini jelas apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menyifatkan Datuk Seri Najib tidak mampu mengurus dan menyelesaikan masalah ekonomi Negara.

Pada pandangan saya, selagi kerajaan melambatkan sidang parlimen yang dituntut oleh Pakatan Rakyat masalah ekonomi dan politik Negara tidak akan berkesudahan. Kerajaan di bawah Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu bimbang untuk mengadakan sidang tergempar parlimen ini sekiranya Pak Lah benar-benar yakin bahawa dakwaan DSAI bahawa terdapat 35 ahli parlimen BN untuk menyertati Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang karut dan tidak masuk akal. Inilah masanya mereka ingin membuktikan serta menanam keyakinan kepada rakyat dan pelabur asing bahawa kerajaan yang ada adalah kukuh dan stabil.

Kebimbangan suasana politik dan ekonomi menyebabkan terdapat sebilangan penduduk di negara ini yang membuat 'belian panik' kerana wujud kebimbangan senario politik negara yang tidak menentu. Ini berdasarkan sembang –sembang dengan rakan yang terdiri dari golongan professional. Malah suasana ini wujud di kalangan golongan bawahan dan penduduk kampung.

Sekiranya rakyat Negara sendiri tidak yakin dengan keadaan dalam negara, bagaimana kita hendak mengharapkan orang luar meyakini keadaan negara kita ? Tindakan ISA dan akta Hasutan kepada pihak tertentu akan semakin menghakis keyakinan pelabur dan pelancong asing untuk datang ke Negara ini. Justeru itu, bagi saya kerajaan yang ada tidak mempunyai banyak pilihan selain mempercepatkan sidang parlimen untuk membuktikan kerajaan yang ada benar-benar mantap dan stabil.


 

19 September 2008

MATEMATIK DAN SAINS DIAJAR DALAM BAHASA MELAYU TAHUN DEPAN ?

Setelah enam tahun diselubungi dengan pelbagai desakan dan kontraversi, Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI ) dijangka akan kembali semula kepada Bahasa Melayu mulai tahun depan.

Menurut sumber dari Kementerian Pelajaran proses kembali semula menggunakan bahasa kebangsaan sedang berjalan. Di antaranya, buku teks matematik dan Sains telah siap dicetak dalam bahasa Melayu. Di samping itu, semua Institut Perguruan seluruh Malaysia tidak lagi menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi pengajaran di dalam kelas bagi guru pelatih yang mengambil opsyen matematik dan sains mulai tahun 2009.

Saya menyambut baik langkah kerajaan untuk kembali menggunakan bahasa kebangsaan. Walaupun bagaimanapun sudah pasti ramai pihak yang terkilan kerana projek PPSMI yang diperkenalkan semasa era kepimpinan Tun Dr. Mahathir telah menelan kos lebih RM 5 bilion.

Inilah natijahnya apabila sesuatu pelaksanaan dasar tidak dibuat secara teliti tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang terlibat dengan dunia pendidikan. Malah pihak berkenaan hanya 'melihat sebelah mata' dan memekakkan telinga walaupun mengetahui wujud pelbagai masalah sepanjang dasar tersebut diperkenalkan seperti yang didedahkan oleh tokoh-tokoh akademik dan politik.

Bayangkan dengan jumlah wang sebanyak itu, saya yakin tidak ada rakyat di Malaysia ini yang hidup merempat tidak mempunyai rumah. Mungkin juga dengan wang sebanyak itu kerajaan boleh memberi pendidikan yang 'betul-betul' percuma kepada semua rakyat Malaysia. Jika tidak pun duit itu digunakan untuk menampung subsidi minyak untuk memastikan harga minyak tidak membebankan seperti sekarang.

AHLI PARLIMEN SEPUTEH DIBEBASKAN DARI ISA


Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini selepas disiasat selama seminggu.

Beliau dibebaskan di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur jam 1 petang.

DAP memaklumkan satu sidang media berhubung pembebasan itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Petaling Jaya jam 3.30 petang.

Pembebasan ini menunjukkan kerajaan mengalami tekanan ekoran desakan pelbagai pihak yang menuntut ISA tidak dijadikan alat kepentingan pihak tertentu.

Walau bagaimanapun tidak ada sebarang maklumat tentang nasib yang menimpa Raja Petra Kamarudin yang masih ditahan di bawah ISA.

18 September 2008

PAS KOMITMEN PADA PERUBAHAN KERAJAAN


Kota Sarang Semut, Alor Star Kedah. Presiden Pas, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS bersetuju menyertai kerajaan baru yang bakal terbentuk sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

PAS akan menyertai perubahan kerajaan ini dengan syarat. Syaratnya ialah kerajaan ini mestilah dipandu oleh Islam. Dipandu oleh orang-orang Islam. Ini syarat yang dikenakan oleh PAS," tegas beliau yang disambut dengan laungan takbir.
Menurut beliau, jika syarat ini tidak dipenuhi, PAS tidak akan menyertai perubahan tersebut. Pun begitu, katanya, sehingga hari ini PAS melihat tanda-tanda awal bahawa syarat itu hendak diterima.

Ini merupakan kenyataan pertama presiden PAS secara terbuka berhubung pembentukan kerajaan baru. Semasa Muktamar lalu, Tuan Guru Hj. Hadi telah membayangkan kesediaan PAS menyertai kerajaan yang ingin dibentuk asalkan Islam mesti dominan.
Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat di Negara ini tidak perlu bimbang dengan propaganda sesetengah pihak bahawa orang Melayu dan Islam akan terpinggir dengan pembentukan kerajaan baru.

Pengumuman ini sudah pasti dapat melenyapkan tanda –tanya tentang pendirian PAS berhubung peralihan kuasa kerajaan baru. Sebelum ini PAS banyak bersikap tunggu dan lihat dengan isu yang berlaku.

Kenyataan ini semakin menguatkan keyakinan bahawa kerajaan baru akan terbentuk dalam masa terdekat. Apa –apa pun sama –samalah kita nantikan sama ada ia benar –benar dapat diterjemahkan.

MAKNA HARI RAYA


Hari ini kebanyakan orang semakin sibuk cerita tentang raya. Masing -masing sibuk dengan kuih raya, baju raya, langsir raya, tiket balik beraya dan nak beraya di mana. Segala -galanya tentang raya.

Walhal, hari ini umat Islam di negara ini baru berada pada 18 Ramadhan. Hendak masuk Fasa ketiga Ramadhan yang dikatakan, pembebasan dari api neraka.

Sepatutnya, masjid dan surau semakin berduyun -duyun orang datang untuk solat waktu dan tarawikh berjemaah. Sepatutnya juga masing-masing sibuk mengira berapa juzuk Al Quran yang tinggal untukk khatam pada Ramadhan kali ini. Bertanya sejauh mana bangun untuk berqiamullail. Setidak -tidaknya pun bertanya adakah Ramadhan kali ini lebih baik berbanding Ramadhan sebelumnya.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya, orang lebih ramai berduyun -duyun di kompleks membeli belah atau bazar untuk membuat persiapan raya berbanding berbanding untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dengan amalan yang dituntut. Buktinya, masjid dan surau semakin lenggang. Pada awal-awal Ramadhan masjid dan surau melimpah hingga ke luar. Hari ini senario itu tidak berlaku lagi. Jumlah saff yang bersembahyang Tarawikh semakin 'meningkat' ke depan.

Memandangkan kebanyakan orang dalam 'mood raya', hari ini saya nak berkongsi tentang makna raya.

Sempena menyambut hari raya ini, marilah kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.

2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan

3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka

4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka

5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala


Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.
Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari raya bagi kita.

Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati. Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita. Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.

Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.
Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hariraya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya. Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hariraya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak.

SELAMAT 'BERHARI RAYA'.

17 September 2008

SELEPAS NI ROSMAH 'SHOPPING' SAKAN

Hari ini berlaku 'peralihan kuasa' antara Najib dan Pak Lah. Tukar suka sama suka. Pak Lah ambil Kementerian Pertahanan dan Najib ambil Kementerian Kewangan. Saya tak mahu mengulas tentang sebab serta agenda petukaran 2 portfolio penting ini. Banyak blog lain dah mengulasnya. Dalam keresahan dan kerisauan senario politik terkini, saya kira orang yang paling seronok apabila berlakunya perubahan pos ini sudah pastilah isteri TPM, Datin Rosmah Mansor. Selepas ini boleh le shopping puas-puas. Suami tercinta dah pegang 'peti duit' negara. Sebelum ini semasa bercuti di luar negeri, Datin Rosmah hanya sempat shopping barang-barang peribadi 6 kereta je...selepas ni boleh le borong sehingga 6 trailer pulak. Tak tahulah apa akan berlaku pada nasib rakyat dan negara ini jika golongan seperti ini berkuasa. Harta negara 'difaraid' macam milik mereka sendiri. Mungkin macam klip cerita Nujum Pak Belalang di bawah.

ANWAR AKAN DITAHAN ISA ?

Seribu satu kemungkinan akan berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan wujud desakan dan kebimbangan di kalangan pemimpin BN berikutan kenyataan DSAI yang semakin mengancam kuasa dan pengaruh kerajaan BN. Mengulas sidang akhbar dan desakan DSAI semalam, Perdana menyifatkan DSAI sebagai ancaman kepada Negara.

Beliau juga menyifatkan Anwar sebagai  "satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara".

"Saya tidak akan nyatakan apakah rancangan saya," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap Anwar.

Mungkinkah alasan keselamatan Negara digunakan untuk menahan DSAI di bawah ISA. Apa –apa kemungkinan, sama-sama kita nantikan. Tempoh 24 jam ini semakin mendebarkan.

16 September 2008

BN MENANTI UNTUK DITALKINKAN


Kebimbangan jelas tergambar dari riak semua pemimpin BN terutamanya dari UMNO hari ini selepas sidang akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi.. Masing –masing sudah mula 'kecut' dengan penumuman DSAI yang mengulangi dan menegaskan beliau sudah cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Walaupun, masing –masing cuba menyembunyikannya tetapi kegelisahan itu tidak dapat mereka sembunyikan dari pengetahuan umum. Apa perlu mereka melatah dan 'meraban' yang bukan –bukan kalau isu lebih 31 ahli parlimen BN akan menyertai Pakataran Rakyat tidak berasas. Buat tak tahu sudah lah ! DSAI berkata media yang bersekongkol dengan kerajaan seperti Utusan Malaysia, RTM dan TV 3 tak payahlah menuduh dan buat cerita yang bukan-bukan kerana beliau sudah cukup kekuatan untuk membentuk kerajaan baru.

Keenganan Pak Lah berjumpa dengan DSAI menunjukkan bahawa tidak mungkin peralihan kuasa akan berlaku secara rundingan atau secara diplomasi. Jika dalam beberapa siri pilihanraya umum yang lalu pelbagai taktik jahat dan kotor digunakan untuk mengekalkan kuasa mana mungkin BN akan menyerah 'mudah-mudah' kepada Pakatan Rakyat.

Sebagai alternatif, DSAI berkata rombongan pimpinan Pakatan Rakyat akan memohon perkenan mengadap DYMM Agong secepat mungkin untuk membentuk kerajaan baru.

Pilihan lain yang ada ialah membawa usul tergempar tidak percaya kepada kerajaan yang ada. Seperti dalam posting sebelum ini, saya mengharapkan BN menyerahkan kuasa secara terhormat sebelum mendapat 'malu besar' pada sidang parlimen nanti. Bayangkan usul kelulusan belanjawan yang dibentangkan baru baru ini tidak mendapat 'majoriti mudah' dari Dewan Rakyat. Bagaimana kerajaan hendak meneruskan kuasa tanpa ada suara majoriti di parlimen.

Pada hari ini, kerajaan yang ada hanya kelihatan 'gagah' di dada akhbar dan rangkaian telivesyen yang dimiliki oleh mereka tetapi hakikatnya mereka sedang menunggu untuk ditalkinkan.

PERALIHAN KUASA PASTI BERLAKU


Datuk Seri Anwar sebentar tadi baru selesai mengadakan sidang akhbar di Pejabat Keadilan di Petaling Jaya.

Beliau mengumumkan 31 orang ahli parlimen BN dari Semenajung, Sabah dan sarawak bersedia menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam satu soalan wartawan tentang kemungkinan peralihan kuasa tidak akan berlaku beliau menegaskan bahawa ia sesuatu yang pasti berlaku.

DSAI sedang menunggu jawapan dari Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan tentang proses peralihan kuasa supaya berlaku dengan aman tanpa sebarang masalah.

Pada pandangan saya, ini merupakan satu tindakan bijak. Sasaran 16 September tidak penting yang paling utama adalah perubahan dalam kerajaan. Penubuhan kerajaan merupakan satu perkara yang serius tanpa perlu melayan sebarang provokasi dan suara -suara sumbang yang menyatakan pelan peralihan kuasa hanya omomg -omong kosong.

Beliau juga menggesa BN tidak menggunakan ISA untuk menangkap ahli parlimen BN yang ingin menyertai Pakatan Rakyat dan juga kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain

Walau bagaimanapun saya percaya BN di bawah Pak Lah akan melakukan apa sahaja untuk menggagalkan proses peralihan kuasa ini.

USTAZ HASHIM JASIN DIISTIHAR MENANG DI SANGLANG


Ustaz Hashim Jasin diisytiharkan pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya hari ini.

Panel tiga orang hakim sebulat suara memutuskan kerusi itu dimenangi wakil rakyat itu, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, dan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu dibatalkan.

Hakim-hakim memutuskan satu pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.

Ustaz Hashim memperolehi kerusi tunggal PAS itu sejak pilihanraya umum 1999 tetapi akibat kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dalam pilihanraya umum lalu, beliau diisytiharkan tewas di tangan Abdullah.

Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kangar mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas menerima permohonan petisyen yang dikemukakan oleh Hashim.
Bagaimanapun, mahkamah pilihanraya itu menolak permohonannya untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi DUN tersebut.

Mahkamah itu bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihanraya kecil perlu diadakan serta bila akan diadakan.

Ustaz Hashim kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya beliau diisytiharkan pemenang di Sanglang.

Ustaz Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN Datuk Mastika Junaidah Husin.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, PAS melalui calonnya Rus'selle Ezlan menguasai satu lagi kerusi, Simpang Empat, dengan majoriti 53 undi.