05 October 2008

PROGRAM RUMAH TERBUKA: TERJEMAHKAN ‘PAS FOR ALL’


Hari ini kita telah memasuki 5 Syawal. Suasana kemeriahan hari raya masih dirasai di mana-mana. Masing-masing mengambil kesempatan menziarahi keluarga dan sahabat handai sama ada yang dekat atau jauh di mata. Tidak kurang yang menganjurkan rumah terbuka untuk menjamu selera dan beramah mesra. Saban tahun, Pas di Melaka sama ada peringkat negeri, Kawasan, MTD dan cawangan juga tidak ketinggalan mengadakan majlis rumah terbuka.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pas di semua peringkat yang mengadakan majlis sebegini. Cuma apa yang sering saya perhatikan dan menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Pas di negeri ini sama ada peringkat atasan atau bawahan, majlis rumah terbuka yang diadakan agak 'tertutup'. Kebiasaannya diadakan di premis atau markas milik parti, kehadirannya 99.9% adalah pemimpin, ahli dan penyokong 'fanatik' Pas. Kehadiran golongan atas pagar dan kaum lain sangat-sangat mendukacitakan. Jauh sekali kehadiran golongan dari parti lawan seperti UMNO,MCA dan MIC.

Justeru itu, saya mencadangkan agar majlis rumah terbuka yang ingin diadakan dibuat tempat yang agak strategik yang menjadi tumpuan ramai. Kita perlu menyedari tidak semua orang berani datang ke markas atau premis milik Pas. Malah di kalangan ahli sendiri pun masih yang terdapat yang 'takut-takut' nak datang ke markas. Apakah lagi mereka yang bukan ahli dan sebagainya. Mungkin, majlis yang sama boleh diadakan di restoran, kawasan lapang, rumah milik persendirian atau tempat yang difikirkan sesuai.

Sementara itu, jemputan perlu di pelbagaikan dengan menjemput pimpinan dan ahli dari Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP serta mengutamakan kepada masyarakat setempat di mana majlis tersebut ingin diadakan. Mereka nak datang atau tidak itu nombor dua, apa yang penting usaha ke arah itu perlu diadakan untuk menepati konsep 'Pas For All' yang menjadi slogan Pas hari ini serta memenuhi hasrat dan aspirasi 'Memasyarakatkan Pas' yang dipelopori oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor satu ketika dulu.

BANJIR LAGI !

Bukan di Kelantan dan juga bukan di Terangganu, tetapi di Melaka ! Tahun ini sahaja dah kerap kali kawasan-kawasan di Melaka dilanda banjir. Nak kata musim tengkujuh atau angin monsun, belum sampai masa lagi. Ini tidak, hujan beberapa jam sahaja adalah kawasan di Melaka yang ditenggelami air. Terbaru, hari ini beberapa perkampungan di Batu Berendam dinaiki air sehingga ke paras pinggang. Banjir terbaru ini merencatkan suasana Raya pada tahun ini. Bukan sekali banjir berlaku, sudah banyak kali. Saya juga berpeluang meredah laluan banjir dalam perjalanan dari Durian Tunggal ke Batu Berendam . Mujur juga air dah mula surut. Tetapi di tepi jalan ada beberapa buah kereta yang tersadai kerana enjin dimasuki air.

Setiap kali banjir, maka adalah janji ditabur untuk mengatasi masalah supaya tidak berulang. Penyelesaiannya ? Bila hujan berlaku lagi banjir ! Ini lah padahnya apabila isu penderitaan dan masalah rakyat turut sama dipolitikkan, yang menjadi mangsa adalah rakyat dan golongan bawahan.

Kepada kerajaan negeri khususnya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam selesaikanlah masalah rakyat di negeri sendiri sebelum berangan-angan besar hendak bertanding timbalan presiden UMNO.

04 October 2008

LALUAN BERLIKU MENANTI PAK LAH, NAJIB DAN DSAI


Dalam tempoh seminggu dua ini suasana dalam negara terutamanya dari segi politik dijangka kembali hangat setelah agak sedikit reda sepanjang Ramadhan yang lalu. Ada beberapa faktor saya menjangkakan ini berlaku :
Pak lah sedang membuat pertimbangan sama ada tunduk kepada desakan MT dan akar umbi dalam UMNO untuk menyerahkan kuasa kepada Najib atau tetap dengan pendiriannya untuk kekal mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Sudah pasti kem Pak Lah yang disokong oleh 'menantu kesayangan' akan bermati-matian untuk memastikan Pak Lah tidak menyerahkan kuasa kepada Najib. Sekiranya Pak Lah tunduk pada tekanan untuk menyerahkan kuasa kepada Najib sudah pasti maruah dan imej beliau akan tercalar. Di samping itu, mereka yang selama ini bergantung kepada Pak Lah akan terjejas dengan pelan peralihan kuasa ini. Justeru itu, mereka juga akan bergabung tenaga untuk memastikan Pak lah terus kekal berkuasa. Lagipun, belum pernah berlaku dalam sejarah UMNO seorang presiden terpaksa meletak jawatan akibat desakan dari dalam UMNO. Pengumuman dijangka akan dibuat selewat-lewatnya Khamis ini.


 

  • Najib yang disebut-sebut menggantikan Pak Lah sudah pasti akan mendapat tentangan sengit dari Tengku Razaleigh Hamzah yang masih 'bermimpi' kerusi presiden UMNO. Perlu diingat, jika Pak Lah menyerahkan tugas kepada Najib sebagai Pemangku Presiden UMNO, beliau masih perlu melalui ujian getir menjelang pemilihan UMNO pada bulan Mac tahun depan ? Khairy dan kem Pak Lah yang lain akan berdiam diri ? Sehingga bulan Mac tahun depan dijangka berlaku peperangan sengit dalam UMNO . Dalam masa yang sama perlu diingat, jika Najib menjadi Pemangku Presiden UMNO dan Perdana Menteri tindakan tersebut dialu-alukan oleh Pakatan Rakyat, seperti yang dikatakan oleh Naib Presiden Pas, Tn. Hj. Md. Sabu. Apa maknanya itu ? Bermakna Najib akan berhadapan dengan serangan bukan hanya dalam UMNO tetapi juga dari Pakatan Rakyat ? Isu Altantuya, komisen kapal selam serta banyak isu moral yang melibatkan Najib masih hangat diperkatakan.


     

  • DSAI mempunyai masa yang semakin suntuk untuk membentuk kerajaan baru. Peluang terdekat ialah pada 13 Oktober ini pada sidang parlimen akan datang untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada kerajaan BN. Ada kemungkinan ahli parlimen BN yang sebelum ini dipinggirkan oleh Pak Lah sama ada dalam pembentukan Kabinet atau kepentingan lain yang bercadang untuk menyertai Pakatan Rakyat akan mengubah semula keputusannya untuk terus kekal dalam BN jika Pak Lah menyerahkan kuasa kepada Najib pada 9 Oktober ini . Justeru itu, satu tugas yang agak sukar bagi DSAI untuk menyakinkan mereka agar kekal dengan keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat atau menganggotai kerajaan baru yang ingin dibentuk.

  •  

    Secara langsung atau tidak langsung semua ini akan mewujudkan ketidakstabilan dalam negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Senario ini pasti akan menyebabkan Indeks Komposit dan saham-saham utama di BSKL berada dalam keadaan tidak menentu. Para pelabur dalam dan luar sudah pasti akan menangguh buat sementara waktu membuat pelaburan baru sehingga suasana dalam negara kembali reda.Adalah sesuatu yang kurang bijak jika terdapat pelabur yang melabur dalam skala yang besar dalam tempoh ini. Sudah pasti mereka akan memikirkan risiko yang terpaksa ditanggung. Kehadiran pelancong luar juga dijangka terjejas sehingga suasana dalam negara benar-benar pulih dan stabil.

    Walau bagaimanapun, keadaan tidak menentu dalam sosiopolitik dan ekonomi negara diramalkan tidak menjejaskan keutuhan dan sokongan kepada PAS dan DAP dalam persada politik negara. Apa-apa pun kita tunggu dan lihat adakah ramalan ini akan berlaku atau berlaku sesuatu di luar kotak pemikiran kita.Wallahualam.

    RUMAH TERBUKA MEDAN MENUNJUKKAN PENGARUH ?

    Saya yakin selepas ini ramai lagi akan menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan tertinggi dalam UMNO pada pemilihan akan datang. Maka selepas ini masing –masing sibuk mengulas siapa dan apa akan berlaku dalam UMNO bila calon –calon ini mengumumkan kesediaan atau memberi bayangan untuk bertanding. Bagi saya apa yang berlaku dalam UMNO hari ini hanyalah satu sandiwara untuk mengalihkan isu sebenar.Kita tunggu ajelah pada 9 Oktober ini Pak Lah kata akan buat keputusan sama ada mempertahankan jawatan Presiden UMNO atau pun tak.

    Tapi bila menyaksikan 100 ribu atau 200 ribu ? yang datang ke rumah terbuka beliau di PWTC kelmarin dan dijangka lebih 100 ribu hari ini di majlis yang sama di Kepala Batas ini sebenarnya akan menguatkan azam Pak Lah untuk kekal bertanding .

    Sudah pasti sambutan hangat ini menyebabkan Pak Lah 'perasan' bahawa beliau masih lagi popular sama ada di kalangan rakyat atau pun dalam UMNO. Sekaligus memberi amaran kepada mereka yang berangan-angan untuk bertanding melawan beliau agar berfikir masak-masak berdasarkan sambutan hebat di majlis rumah terbuka beliau. Sebab tu lah akhbar milik kumpulan NST cuba mengambarkan bahawa bilangan yang hadir ke rumah terbuka Pak Lah adalah sesuatu di luar jangkaan serta luar biasa.

    Kepada semua pemimpin dan penyokong serta mereka yang bersimpati kepada Pakatan Rakyat, semoga tidak leka dan berhati-hati dengan apa yang berlaku dalam UMNO sehingga kita juga 'hanyut' dari isu yang lebih besar iaitu peralihan kuasa kerajaan baru yang diperkatakan sebelum ini. Isu ini semakin 'tenggelam' kerana masing-masing 'seronok' apa yang berlaku dalam UMNO. Seolah-olah mereka yang berkobar-kobar dan begitu bersemangat dengan isu pembentukan kerajaan baru turut 'mabuk' lemang dan ketupat yang dimakan bersama rendang dan kuah kacang sempena hari Raya.

    03 October 2008

    MANA SATU YANG BETUL ?

    Akhbar Utusan Melayu melaporkan di muka depan 100 ribu orang hadir di rumah terbuka PM dan menteri Kabinet di PWTC pada 1 Syawal lalu. Sila rujuk

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

    Sementara itu Berita Harian dan Harian Metro lebih hebat lagi iaitu kira-kira 200 ribu orang

    http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081003085123/Article/index_html

    http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/BeritaUtama/20081002232457/Article

    Nampaknya akhbar-akhbar pengampu ni tak habis lagi mabuk ketupat dengan rendang ?

    BIADAP DAN TAK BERTAMADUN: MANA LEBIH TERUK ?


    Tindakan penyokong Hindraf dan kumpulan anti ISA mengadakan protes secara senyap semasa 1 Syawal di rumah terbuka PM dan menteri kabinet semalam menyebabkan kumpulan ini dillabelkan sebagai biadap dan mencemari kesucian 1 Syawal.

    Kira –kira 200 penyokong Hindraf dan 40 orang kumpulan anti ISA yang diketuai oleh Koordinator Kebangsaan Ideologi Hindraf, W. Sambulingam hadir ke rumah terbuka berkenaan di PWTC. Menurut W.Sambulingam mereka cuma ingin menyerahkan patung beruang dan kad yang ditandatangani lebih 300 penyokong Hindraf untuk menarik simpati dan merayu agar tahanan Hindraf yang ditahan di bawah ISA dibebaskan. Menurut beliau lagi, langkah ini terpaksa dilakukan setelah semua rayuan dan permohonan mereka untuk bertemu dengan PM tidak dilayan sebelum ini.

    Itu pun salah ke ? Ok lah..kalau tindakan mereka dianggap tak beradab, apa pula hukumnya menahan seseorang tanpa bicara, dinafikan hak membela diri dan dipisahkan dari keluarga tersayang di sebalik tirai besi tanpa sebarang tuduhan di mahkamah ? Bukankah ini bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan dan satu tindakan tidak bertamadun ? Hanya mereka yang tidak bertamadun saja yang tergamak membuat apa sahaja tanpa perasaan belas kasihan dengan mengenepikan nilai kemanusiaan dan hak individu. Sewajarnya ISA telah lama dimansuhkan tanpa ada perlu sebarang kajian dan polemik. Negara memiliki sistem undang-undang yang cukup untuk menjaga kemananan dan keselamatan Negara. ISA merupakan undang-undang rimba yang dipertahankan oleh pihak yang bimbang kehilangan kuasa dan mempunyai agenda peribadi.

    Sempena, Syawal yang mulia ini bebaskanlah mereka yang masih ditahan di bawah ISA. Sekiranya cukup bukti dakwa mereka di mahkamah terbuka. Tindakan menahan dengan ISA, merupakan tindakan golongan pengecut yang tidak sanggup berdepan dengan kebenaran dan keadilan.

    02 October 2008

    CAKAP-CAKAP POLITIK SAMBIL MAKAN KETUPAT DAN KUIH RAYA...

    Sepanjang berhari raya di Rompin, antara cerita yang cukup hangat diperkatakan ialah tentang Dato' Jamaludin Jarjis ( JJ ) bekas Menteri merangkap ketua UMNO dan Ahli Parlimen Rompin.

    Setelah diketepikan oleh Pak Lah dalam kabinet baru yang caca marba dan isu meraba yang dikaitkan dengan beliau tak lama dulu, nama JJ kini agak tenggelam sama ada di persada politik negara atau di parlimen beliau sendiri. Berbeza sewaktu negara sibuk dengan Syed Muzaffar yang pergi buat experimen makan rendang dengan baju batik dengan roket Soyuz di ISS. Boleh kata hari-hari muka beliau keluar kat TV dan surat khabar.

    Jika dulu sepanjang Ramadhan dan Syawal JJ merupakan orang yang paling sibuk dan 'pemurah'. Boleh katakan setiap masjid di parlimen Rompin beliau sponsor dengan menghantar imam hafiz. Warga tua dan golongan miskin turut mendapat habuan dari beliau.Jutawan le katakan... Boleh kata seminggu sekali, bila dengar enjin helikopter, orang Rompin tahu JJ datang melawat kawasan.Kalau hari Raya macam ni, sudah pasti beliau akan buat rumah terbuka paling kurang di dua tiga tempat. Sama ada di rumah beliau di Muadzam Shah atau di dewan orang ramai di bandar Rompin dan Felda Keratong.

    Kini...bukan sekadar bunyi enjin helikopter, kipas helikopter pun tak nampak. Menurut sumber saya, jika datang pun secara senyap-senyap dan kemudian ghaib begitu aja. Tak ada lagi majlis-majlis penyerahan 'bantuan' dan 'zakat' serta lawatan ke kawasan-kawasan macam tahun-tahun sebelumnya.

    Menjelang pemilihan bahagian UMNO, JJ sudah mula mengambil pendekatan 'berdamai' dengan musuh politiknya sebelum ini iaitu Dato Hassan Ariffin, bekas ketua Bahagian Rompin dan mantan Timbalan MB Pahang.Pendekatan ini dikatakan tidak disenangi oleh penyokong beliau dan penyokong Hassan Ariffin.

    Menurut sumber saya lagi, beliau sudah mula menasihatkan orang-orang yang rapat dengannya agar bersikap berbaik-baik dengan orang PAS di Rompin. Entah apa tujuannya, saya tak pasti. Tetapi apa yang saya tahu, beliau agak rapat dengan salah seorang pimpinan tertinggi PAS di peringkat pusat.

    Para pengampu beliau sebelum ini semakin menjauhkan diri apabila merasakan beliau semakin hilang pengaruh. Mereka yang sebelum ini mendapat kuasa dan limpahan kekayaan dari beliau sudah mula menikam dari belakang.

    Semua ini cukup menarik untuk melihat UMNO bertelagah sesama sendiri menjelang pemilihan bahagian tak lama lagi. Mungkin sebab itulah Pak Lah terpaksa menangguhkan pemilihan UMNO apabila beliau sudah dapat merasakan betapa gawatnya UMNO hari ini seperti yang berlaku di Rompin.

    Kepada Dato JJ dan Dato Hassan Ariffin pintu Pakatan Rakyat sentiasa terbuka untuk kalian berdua walaupun ramai ahli dan penyokong PAS dan PKR di Rompin yang sukar melupakan 'dosa-dosa' dilakukan sebelum ini.

    Kepada sahabat-sahabat seperjuangan di Rompin dan seluruh negara, kita jangan le seronok sangat dengan apa yang berlaku dan UMNO dan mereka yang sewaktu dengannya yang sedang bergolak dan berperang sesama sendiri.Hindari sikap hanya semata-mata bergantung kepada kelemahan musuh untuk menjadi kuat sehingga melupakan tugas,amanah dan tanggungjawab yang belum dan tak akan selesai. Sebaliknya kita perlu membina dan membentuk kekuatan sendiri. Bagi saya kelemahan musuh hanya bersifat sementara dan mungkin akan menjadi 'parasit' dan wabak bahaya kepada perjuangan jika kita terlalai.

    Keadaan ini mungkin akan menjadikan kita leka dan alpa untuk memantapkan perjuangan sehingga merasakan tidak perlu lagi program tarbiyyah atau hadir ke program-program ilmu dan ceramah. Percayalah jika kita leka lambat laun kita juga akan luput dan pupus dari sejarah politik tanah air seperti yang bakal berlaku kepada UMNO dan mereka yang sama waktu dengannya.

    01 October 2008

    BINGKISAN BUAT TEMAN SEPERJUANGAN DI MTD TIOMAN

    Hari ini seperti dua belas tahun yang lalu setiap kali Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya AidilAdha jika balik ke kampung isteri saya akan menunaikan solat raya di Markas Pas di Kampung Sepakat , Rompin Pahang yang juga merupakan markas utama MTD Tioman.

    Sebelum ini setiap kali solat sunat raya, suasana di markas ini cukup meriah dengan kehadiran pimpinan, ahli dan penyokong PAS di sini. Jemaah kadang-kadang melimpah sehingga ke luar markas. Namun kali ini suasana cukup berbeza berbanding tahun –tahun sebelumnya. Suasana kali ini nampak lesu dan tidak bermaya. Bilangan yang datang jauh merosot berbanding tahun sebelumnya.

    Suasana di luar dan di dalam markas kelihatan tidak terurus, seperti telah lama ditinggalkan. Tambah memburukkan keadaan dengan dinding bangunan markas yang sudah kelihatan pudar dan kusam.Khutbah raya juga sudah kurang ‘umphh’ berbanding sebelumnya. Jemaah yang datang hnya terdiri dari golongan ‘hard core’ atau ‘otai’ dalam PAS di sini. Adalah seorang dua muka-muka yang tidak dikenali. SB kot ? Mana pergi yang lain ? Di Mana silapnya ?

    Seolah –olah ada sesuatu yang tidak kena berlaku di sini yang perlu setiap pimpinan dan ahli bermuhasabah untuk membetulkan keadaan supaya situasi ini tidak berlarutan. Dari sembang –sembang dengan rakan seperjuangan di sini, wujud perpecahan yang agak membimbangkan. Ada golongan yang merajuk dan cuba ‘tunjuk pandai’ hingga wujud suasana tidak sihat dalam jemaah.

    Apa-apa pun yang berlaku satu formula dan penyelesaian perlu dicari dengan segera agar kekalahan dengan majoriti yang agak besar dalam PRU lalu tidak berlarutan. Buang yang keruh ambil yang jernih. Ketepikan segala agenda dan kepentingan peribadi dengan mengutamakan jemaah mengatasi segala-galanya. Sayangilah perjuangan dan jemaah yang sama-sama kita gerakkan. Kepada teman –teman seperjuangan di sini ingatlah setiap amalan dan tindakan kita akan ditanya di Hari Pengadilan kelak. Ambillah semangat ukhuwah dalam Aidilfitri ini untuk memantapkan perjuangan dengan menghayati konsep amal jamai’e.

    SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI…MAAF ZAHIR DAN BATIN.

    30 September 2008

    DUIT RAYA KERAJAAN PAKATAN RAKYAT VS DUIT RAYA KERAJAAN BN


    Orang ramai semalam menyerbu Wisma Darul Aman di Alor Star Kedah apabila tersebar risalah dan SMS pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan negeri akan memberi duit raya kepada penduduk di negeri ini.

    Dalam risalah berkenaan dikatakan kerajaan akan memberi sebanyak RM 50. Kerajaan negeri menafikan mengeluarkan risalah dan menyebarkan SMS berkenaan. Walau bagaimanapun orang ramai yang berkumpul sejak awal pagi tidak pulang hampa kerana kerajaan negeri memberi duit raya RM 20 seorang. Menteri Besar, Datuk seri Azizan Razak menyifatkan penyebaran risalah dan sms itu sebagai perbuatan ‘nakal’ seperti April Fool.

    Saya memuji langkah kerajaan negeri yang tetap memberi ‘duit raya‘walaupun berita yang disebarkan adalah palsu. Bagi saya tindakan mereka yang tidak bertanggunjawab ini bertujuan mencemarkan imej kerajaan negeri telah gagal sebaliknya rakyat semakin menghormati dan mengkagumi tindakan berhemah kerajaan negeri menghadapi situasi ini.

    Tak mengapalah, sekurang –kurangnya duit itu dapat kepada rakyat sendiri daripada dihabiskan tak tentu pasal seperti yang berlaku kepada negeri yang dipimpin oleh kerajaan BN. Misalnya apa yang berlaku kepada kerajaan negeri Pahang yang memberi ‘ duit raya’ sebayak RM 60 juta kepada sebuah syarikat pembalakan iaitu Syarikat Seruan Gemilang Makmur.

    Jumlah wang sebanyak itu diperintahkan oleh Mahkmah Persekutuan baru-baru ini kerana melanggar kontrak yang dimeterai antara kerajaan negeri dengan syarikat terbabit. Apa yang lebih menghairankan masalah itu melibatkan tanah milik UMNO di Pekan Pahang tetapi kerajaan negeri yang terpaksa membayarnya. Apa yang lebih menghairankan bagaimana UMNO begitu mudah-mudah mendapat tanah yang begitu luas dan kemudian dijual kepada syarikat berkenaan.Bayangkan berapa ramai rakyat miskin yang dapat duit raya dengan nilai RM 60 juta ? Bayangkan juga berapa banyak rakyat yang tidak mempunyai tanah akan mendapat sekurang-kurangnya sebuah tapak rumah dengan keluasan ribuan hektar yang ‘dianugerahkan’ kepada UMNO ? Kenapa BPR tak siasat ?

    Inilah masalahnya apabila kepentingan rakyat diketepikan. Pemimpin yang dilantik hanya sibuk mengumpul kekayaan. Tahniah kepada rakyat Pahang yang telah memilih kerajaan yang “ Selamat, Aman dan Makmur”. Takziah pula kepada rakyat Kedah yang telah memilih kerajaan yang menjaga amanah dan kebajikan rakyat.

    SEPERTI YANG DIJANGKA...


    Beberapa stesen minyak sekitar Lembah Kelang dan Johor Bharu kelmarin mengalami kehabisan bekalan minyak. Menteri Perdagagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sharil Samad menafikan ia berpunca daripada perbuatan sabotaj para pengusaha stesen minyak.Sebaliknya mendakwa berpunca daripada permintaan tinggi dan cuti hujung minggu.

    Beliau seolah –olah menafikan bahawa kerajaan tidak ada kena mengena dalam hal ini. Dalam posting yang lepas saya sudah menjangkakan sikap kerajaan yang sebelum ini berteka teki tentang harga minyak menyebabkan pengusaha stesen minyak berada dalam dilema untuk menambah bekalan menjelang musim perayaan untuk mengelakkan kerugian.

    Ternyata ramalan itu berlaku, dalam hal ini kerajaan tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggung jawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku. Dalam hal ini yang menjadi mangsa adalah para pengguna terutama pada saat yang sangat memerlukan untuk pulang bercuti dan berhari raya.

    Inilah padahnya apabila isu berkaitan kehidupan harian dan keperluan rakyat dipolitikkan untuk kepentingan pihak tertentu yang telah lama memerintah negara. Sering kali rakyat yang tidak bersalah menjadi mangsa dan menanggung kesusahan