03 November 2008

ADEGAN YANG TAK INGIN DILIHAT...

Dalam satu perbicaraan di mahkamah negeri Pasir Dua Butir melibatkan satu kes pembunuhan seorang warga Gonggolia yang dibunuh menggunakan bom EX5. Dua orang tertuduh merupakan anggota polis khas yang menjadi pengiring pemimpin kanan tokoh politik negeri Pasir Dua Butir.

Hakim : Awak berdua telah dituduh dibawah seksyen 007 Kanun Keseksaan kerana terlibat dengan niat membunuh mangsa pada tarikh 31 Oktober 2006. Apa pengakuan kamu?

Tertuduh 1 dan 2 : Tidak bersalah Yang Arif ( hampir serentak )

Hakim : Ada apa-apa yang kamu nak perkatakan tentang tuduhan ini ?

Terduduh 1 : Saya diarahkan oleh isteri dan pemimpin kanan negeri Pasir Dua Butir Yang Ariff?

Hakim : TAK RELEVAN...Tertuduh 2, ada apa-apa kenyataan dari kamu ?

Tertuduh 2 : Timbalan Perdana Menteri negeri Pasir Dua Butir yang arahkan untuk bunuh Yang Ariff ?

Hakim : TAK RELEVAN...( sambil batuk-batuk dan membuka plastik gula Hacks lalu dimasukkan ke mulutnya ). Pihak pembela ada apa-apa yang anda hendak hujahkan terhadap tuduhan kepada anak guaman awak ?

Peguam Bela : Saya memohon untuk memanggil isteri TPM negeri Pasir Dua Butir sebagai saksi.

Hakim : TAK RELEVAN...kemukakan cadangan saksi lain ?

Peguam Bela : Kalau macam tu, saya cadang nak panggil TPM negeri Pasir Dua Butir sebagai saksi.

Hakim : TAK RELEVAN...OK..ada bukti baru yang awak hendak kemukakan dalam perbicaraan ini ?

Peguam bela : Pihak kami hendak kemukakan gambar TPM negeri Pasir Dua Butir yang pernah makan malam di Peris bersama dengan mangsa dan tertuduh ?

Hakim dan pendakwaraya : TAK RELEVANNNNN....( hampir serentak )

02 November 2008

CONFIRM ! SUDAH ADA PIMPINAN UMNO MASUK PAKATAN RAKYAT

Tidak ada berita yang paling mengembirakan pada hari ini selain membaca kenyataan Presiden Pas YB Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang yang mengesahkan bahawa sudah ada pimpinan Umno yang telah menyertai Pakatan Rakyat.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan, sudah ada pemimpin Umno yang menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di peringkat Pusat sebagaimana yang diuar-uarkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sebelum ini.

"Kita sedang tunggu perubahan ahli-ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional yang lain, tidak mustahil ia (perubahan kerajaan peringkat pusat) akan berlaku,

"walaupun sukar, tidak mustahil ia berlaku dengan perpecahan yang berlaku kepada Umno sekarang,"kata beliau dalam sidang media yang diadakan selepas beliau merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu Kali Ke-12 yang diadakan di Dewan Dato' Seri Amar DiRaja, Chukai, dekat sini semalam.


Jika kenyataan itu datang dari DSAI mungkin ada yang pertikaikan tetapi bila kenyataan itu datang dari YB Tuan Guru saya yakin 100%. Kepada Man Kanan, penjenguk blog ini yang sering memperlekehkan berita pimpinan Umno masuk Pakatan Rakyat harap dapat bersabar dan kalau anda ada penyakit lemah jantung, pastikan anda mengambil ubat pada masa yang ditetapkan !

JANGAN TIKAM BELAKANG : SIAPA YANG PAK LAH MAKSUDKAN ?


KOTA KINABALU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, 'politik tikam belakang' sesama sendiri perlu dihapuskan kerana ia hanya merugikan semua pihak.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-23 di Magellan Sutera Harbour di sini semalam.

Dalam kerancakan pemilihan Umno peringkat bahagian dan proses pelan peralihan kuasa, kepada siapa ucapan tersebut ditujukan ?

Akhir-akhirnya ini jika kita perasan, nama Pak lah semakin terpinggir dalam arus politik perdana. Berita tentang Pak Lah semakin jarang mendapat tempat di muka depan akhbar atau menjadi tajuk utama berita. Sebaliknya berita tentang Najib yang disebut sebagai pengganti beliau semakin kerap mendapat tempat di muka depan akhbar. Adakah ini disengajakan atau Pak Lah yang meminta agar berita tentang beliau tidak lagi diberi liputan meluas ?

Di samping itu, beliau dilaporkan kurang senang dengan Muhyiddin yang setakat ini mengungguli pencalonan jawatan timbalan presiden yang disifatkan sedikit 'celupar' tentang isu peralihan kuasa. Kebanyakan pimpinan Umno lain lebih selesa dengan sikap berdiam diri dengan isu yang berlaku. Hanya kuda tua dalam Umno, seperti Rais Yatim dilihat cuba menunjukkan simpati dengan mempertahankan Pak Lah.

Berbalik pada persoalan awal siapa yang Pak Lah maksudkan yang cuba menikam beliau dari belakang ? Ali Rustam ? Tak mungkin..Ali Rustam walaupun banyak menimbulkan isu kontroversi dalam pentadbirannya...beliau dilihat mengamalkan politik 'lalang'. Mengikut arus, siapa yang kuat dan berpengaruh serta berkuasa. Di situlah kita akan saksikan Ali Rustam berada dalam kelompok itu.Malah wujud cakap-cakap politik, Ali Rustam mendapat sokongan kuat Pak Lah untuk merebut jawatan timbalan presiden bagi melenyapkan impian Muhyiddin menjadi orang nombor dua. Ini jelas, selepas Pak lah meluahkan rasa kurang senang pada Muhyiddin, pencalonan yang diterima Ali Rustam naik mendadak dari bahagian-bahagian Umno yang dilihat pengaruh Pak Lah masih kuat. Sehingga kini Ali Rustam telah dapat 26 pencalonan hanya tingga 13 pencalonan lagi untuk bersaing untuk jawatan nombor dua. Pada firasat saya, sekiranya Ali Rustam mendapat cukup pencalonan beliau akan menjadi calon favourite jawatan timbalan presiden dan bukannya Muhyiddin. Dalam politik Umno macam-macam boleh berlaku.

Jadi siapa yang Pak Lah maksudkan ? Muhyiddin saya kira salah seorang darinya. Najib pula bagaimana ? Saya rasa tidak mustahil ucapan beliau ditujukan kepada Najib yang sebelum ini dianggap oleh Pak Lah teman sewaktu susah dan senang. Tindakan Pak Lah menangguhkan pembelian Eurocopter merupakan salah satu isyarat amaran awal kepada Najib. Lebih-lebih lagi perbicaraan kes Altantuya bakal memasuki pusingan akhir pada November nanti. Mungkinkah Pak Lah akan menggunakan sisa-sisa kuasa yang ada untuk melenyapkan sebarang impian Najib dalam kes ini. Saya kira ramai penganalisis politik tanah air melihat isu Altantuya merupakan titik tolak hidup mati karier politik Najib. Sama-samalah kita nantikan....

31 October 2008

SIAPA NAK RM 1000 ? ( BACAAN UNTUK LELAKI SAHAJA )

MELAKA: Lelaki di negeri ini yang sudah berkahwin bakal dihadiahkan wang tunai RM1,000 oleh kerajaan negeri jika memilih ibu tunggal miskin sebagai isteri kedua.

Langkah itu diharap dapat membantu golongan itu memulihkan kehidupan mereka yang selama ini tidak diberi perhatian.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang mencadangkan pemberian imbuhan itu, bagaimanapun menegaskan hadiah wang tunai itu mempunyai syarat tertentu seperti tidak menceraikan isteri pertama.

Katanya, langkah terbabit bukan menggalakkan lelaki berpoligami tetapi mengurangkan beban ibu tunggal yang selama ini hanya bergantung harap dengan bantuan kebajikan daripada pelbagai pihak.


Selain mendapat hadiah berkenaan, beliau berkata, mereka boleh memperoleh pahala daripada Allah swt kerana berkahwin dan membantu ibu tunggal miskin yang memerlukan belaian dan penjagaan seorang lelaki.

“Lelaki yang berhasrat berbuat demikian perlu mematuhi syarat tertentu seperti tidak menceraikan isteri pertama kerana dianggap terkeluar daripada tujuan program dilaksanakan.

emmmm...Apa kata kita cadangkan Ali Rustam mulakan dulu supaya dapat dijadikan ikutan rakyat Melaka yang lain. Kepimpinan melalui teladan.Cuma saya nak tanya kalau yang kahwin andartu tak dapat apa-apa ke dari kerajaan Melaka?

SISTEM PERUNDANGAN MALAYSIA TERUS DIPERSENDAKAN...

Hari ini berlangsung perbicaraan dua kes berprofil tinggi iaitu melibatkan kes pembunuhan Altantuya dan kes liwat yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Razak Baginda telah pun dibebaskan, manakala bekas chief Inspektor Azilah dan koperal Sirul Azhar diminta membela diri. Sebentar lagi perbicaraan permohonan pindahan kes DSAI oleh pendakwaraya dari mahkamah seksyen ke mahkamah tinggi akan dibicarakan.

Semalam, sistem perundangan negara menerima tamparan dengan peletakan jawatan Datuk Ian Chin bermula 1 Disember sebagai hakim mahkmah tinggi. Terlebih dahulu, pelantikan Tun Zaki sebagai ketua Hakim Negara mendominasi kontroversi sistem perundangan negara pada minggu ini.

Apa yang berlaku sehari dua ini menceritakan tentang betapa kelam dan suramnya sistem perundangan di negara kita. Mahkamah di negara kita semakin tidak dihormati. Apa juga keputusan mahkamah tidak mampu mengubah persepsi negatif kepada sistem kehakiman negara kita.

Sisem kehakiman kita sering menjadi bahan lawak jenaka, seolah-olah boleh dijual beli. Masalah ini tidak akan selesai selagi kerajaan yang ada terus menerus memperalatkan sistem kehakiman untuk kepentingan politik sempit. Langkah terbaik untuk memulihkan sistem kehakiman dan perundangan negara di antaranya ialah institusi perundangan dan eksekutif( kerajaan ) perlu dipisahkan. Pelantikan hakim perlu dirombak dengan mewujudkan suruhanjaya kehakiman di bawah kuasa DYMM Agong agar benar-benar bebas dan telus. Hanya reformasi menyeluruh sahaja yang mampu mengangkat dan memertabatkan sistem perundangan negara ke tahap dihormati dan dikagumi.

30 October 2008

TURUNKAN HARGA MINYAK : RAKYAT BUKAN PENGEMIS


Nampaknya Datuk Sharil Samad selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna seolah-olah cuba memperlekehkan dan memperbodohkan orang ramai dalam isu penurunan harga minyak.

Menurut beliau, sebarang penurunan harga minyak akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekiranya mendapat persetujuan daripada kalangan Jemaah Menteri yang bermesyuarat esok.

"Memang kerajaan berhasrat menurunkan harga minyak. Tetapi ia (umum) mungkin esok, lusa atau dua minggu lagi," katanya pada pemberita selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga Barang oleh pasar raya Tesco di sini, hari ini.

Dalam hal ini beliau bersikap berdolak dalik dan seperti cuba mempermainkan orang ramai dalam isu harga minyak. Apa yang saya hendak beritahu pada Datuk Sharil, rakyat Malaysia bukan pengemis atau peminta sedekah yang terlalu kemaruk meminta harga minyak diturunkan.Tuntutan rakyat adalah berasas dengan fakta bahawa harga minyak yang rendah di pasaran global sepatutnya dapat dinikmati oleh rakyat negara ini. Malangnya apa yang berlaku pada hari ini di negara kita pengguna yang memberi subsidi kepada kerajaan bukan sebaliknya.

Apa yang dituntut oleh majoriti rakyat negara ini ialah hak mereka dalam menikmati hasil masul negara dari disonglap dan dilesapkan tak tentu pasal demi kepentingan pihak tertentu. Ini jelas seperti apa yang berlaku tindakan kerajaan yang tidak mendapat izin dan restu penyimpan KWSP menggunakan simpanan mereka sebanyak RM 5 bilion untuk menyelamatkan syarikat kroni yang bermasalah kesan merudumnya ekonomi negara.

BARU BEBERAPA BULAN OPERASI DAH ROSAK


Hari ini anak saya yang berumur 4 tahun mengikuti rombongan tadikanya melawat sekitar Melaka dengan menaiki bas merah dua tingkat yang diimport khas dari Kota London. Di antara tempat yang akan dilawati ialah Menara Taming Sari.

Seronok betul anak saya lebih-lebih lagi bila dapat tahu cikgunya akan bawa naik menara Taming Sari. Tetapi masa balik dari lawatan tadi, anak saya marah-marah. 'Cikgu kata nak naik menara Taming Sari, tapi kenapa tak naik ?". Lalu saya bertanya pada cikgunya sebab tak naik menara Taming Sari.

Rupa-rupanya menara Taming Sari rosak! Untuk dapat kepastian saya saja menghubungi pihak pengurusan menara. Confirm, memang rosak dari semalam lagi. Menurut pihak pengurusan, kejadian ini bukan pertama kali dah selalu berlaku.

Maknanya semalam Shah Rukh Khan yang menerima anugerah Datuk dan dijadualkan akan dibawa menaiki Menara Taming Sari untuk mempromosikan produk pelancongan Melaka yang terkini itu kempunan tak dapat merasai bagaimana menara tersebut berputar menuju ke atas melihat panorama bandaraya Melaka.

Menara berkenaan baru sahaja beroperasi pada 18 April lalu tetapi telah banyak mendatangkan masalah kepada pengunjung. Kosnya yang mencecah RM 23 juta memang tidak berbaloi dalam usaha kerajaan negeri menarik pengunjung ke Melaka. Lebih memalukan apabila Shah Rukh Khan turut menjadi mangsa masalah yang dialami. Harap-harap, Shah Rukh Khan tidak menceritakan masalah menara tersebut kepada masyarakat luar kerana bimbang anugerah Datuk yang diterimanya akan ditarik balik !

APA AKAN BERLAKU JIKA BELANJAWAN 2009 TIDAK MENDAPAT KELULUSAN DEWAN RAKYAT ?

Pembentangan Belanjawan oleh Pak Lah pada 29 Ogos lalu kini sedang dibahaskan di parlimen yang telah bersidang dari 18 Ogos dan berakhir pada 11 Disember 2008 ini.
Belanjawan yang dibentangkan perlu mendapat kelulusan dari Dewan Rakyat sekurang-kurangnya dengan majoriti mudah.

Apa akan berlaku sekiranya belanjawan yang dibentangkan gagal mendapat majoriti mudah? Adakah parlimen akan dibubarkan atau ketika itu akan dikemukan usul undi tidak percaya kepada kerajaan hari ini?

Walaupun, ramai yang tidak lagi menaruh harapan tinggi kerajaan baru akan dibentuk oleh Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah misi 16 dan 23 September gagal menepati sasaran, sasaran baru sebelum Hari Raya Aidil Adha yang dijangka akan disambut oleh umat Islam negara ini pada 8 Disember merupakan tarikh yang realistik.

Maklumat yang diterima, semua ahli parlimen PKR di larang ke luar sehingga arahan seterusnya diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi PKR menguatkan lagi berita bahawa ada sesuatu akan berlaku dalam perkembangan politik negara dalam kehangatan suam-suam kuku pemilihan Umno yang sedang berlangsung.

29 October 2008

JAMBATAN NAK ROBOH UNTUK RAKYAT, JAMBATAN CANGGIH UNTUK PELANCONG


Dalam posting semalam saya ada menyiarkan bahawa kerajaan Negeri Melaka bakal merobohkan jambatan-jambatan yang merentangi sungai Melaka bagi membolehkan bot pelancong yang lebih besar melalui di bawah jambatan baru itu nanti. Projek yang dijangka menelan kos puluhan juta ringgit sebahagian daripada pakej projek pengindahan sungai Melaka bagi menarik lebih banyak pelancong ke Melaka.

Dalam keghairahan menyediakan infrastruktur jambatan baru untuk pelancong, rakyat di negeri sendiri berdepan risiko setiap hari menggunakan jambatan usang di kampung Sungai Limau Masjid Tanah Melaka dalam menjalani kehidupan harian. Ibarat kata pepatah Melayu, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

ALI RUSTAM TAK DAPAT BEZA DI ANTARA MAKNA DEBAT, FORUM DAN TEMU RAMAH


Datuk Ali Rustam menyifatkan bahawa forum dan temu ramah juga merupakan satu debat. Menurut beliau, tak kisah sama ada debat akan diadakan ataupun tidak sebab dah dua kali beliau berforum serta ditemuramah di stesen TV berkaitan pencalonan sebagai Timbalan Presiden Umno. Itu pun debat juga !

Kepada YAB Datuk, saya cadangkan sila rujuk kamus Dewan apa makna debat, forum dan temuramah. Jangan buat malu kat orang Melaka je.

Teringin juga sebagai anak jati Melaka hendak melihat ketua menteriku berdebat dengan Muhyiddin Yassin atau Md Taib siapa yang lebih hebat segi berhujah. Ini kerana kita bakal menyaksikan bakal pemilihan Timbalan Presiden Umno dan bakal Timbalan Perdana Menteri bukan pemilihan Timbalan JKKK atau timbalan pengerusi tetap cawangan.