05 November 2008

ISU LADANG BABI: ALI RUSTAM DISARAN CONTOHI LIM GUAN ENG-MALAYSIAKINI

Operasi lapan ladang ternakan babi di kawasan milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Batu Maung akan dihentikan sepenuhnya hujung tahun ini.

"Ada lapan ladang dan kira-kira 800 ternakan yang terlibat. Operasi itu akan dihentikan sepenuhnya hujung tahun ini," kata Ketua Menteri, yang juga pengerusi PDC, Lim Guan Eng.

"Semua penternak akan diberi pampasan," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini, demikian menurut Bernama.

Menurutnya, PDC akan mengambil semula tanah seluas 4.8 hektar yang dijadikan tapak kumbahan ternakan babi untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian.

Lim berkata, kawasan milik PDC yang terletak di Batu Maung itu telah 16 tahun dijadikan tapak kumbahan bagi ternakan babi.

"Ia diberikan secara sah oleh PDC kepada penternak untuk dijadikan tapak kumbahan yang sistematik bagi ladang ternakan itu," katanya

Bagaimana pula dengan ladang ternakan babi di Melaka ? Khususnya di Paya Mengkuang, Kuala Sungai Baru Melaka. sehingga hari ini masih tidak jalan penyelesaian konkrit bagi mengatasi masalah pencemaran yang telah lama dihadapi oleh penduduk di sekitar kawasan berkenaan seperti di Telok Gong.

Masalah yang berlarutan menunjukkan kelemahan kerajaan negeri yang bersikap acuh tak acuh mengatasi masalah yang berlaku. Sebaliknya Datuk Ali Rustam selaku ketua menteri Melaka lebih sibuk dengan ladang babi di selangor berbanding masalah yang sama di negeri sendiri.Tahniah dan syabas diucapkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Lim Guan Eng. Semoga langkah meniru cara pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz akan diteruskan.

RAKYAT MALAYSIA TERIMA SIASATAN PAC?-MALAYSIAKINI

Timbalan perdana menteri berkata tuduhan bahawa kerajaan berbelanja besar bagi pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC-725 bernilai RM1.604 bilion ternyata meleset dan tidak berasas berdasarkan penilaian Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Maknanya tuduhan awal itu meleset sama sekali dan terbukti tidak ada asas. Sebab itulah kita buka proses itu kepada PAC.

"Walaupun daripada segi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) soal keselamatan negara sebenarnya tidak wajar didedahkan kepada terlalu ramai pihak.

"Namun oleh kerana (ia) sudah dijadikan sebagai satu isu besar oleh parti pembangkang jadi kita ambil langkah membenarkan PAC membuat penyiasatan,"

Saya nak tanya Datuk Seri Najib berapa ramai rakyat Malaysia yang mempercayai siasatan yang dilakukan oleh PAC? Adakah dengan siasatan PAC, Najib telah menjadi seorang yang dilihat suci dan bersih?Jika berani saya cadangkan boleh buat undian secara SMS melalui Buletin TV 3, akhbar atau undian yang dilakukan oleh rangkaian web atau blog terpilih untuk membuktikan berapa kerat rakyat yang mempercayai siasatan yang dijalankan oleh PAC. Saya yakin kita sudah dapat menduga akan keputusan undian itu nanti.

Najib dengan megahnya memberitahu kerajaan mempunyai sistem dan peraturan yang diguna pakai dalam prosedur pembelian yang dijalankan. Bagaimanapun dengan laporan audit yang dijalankan kepada pentadbiran kementerian di bawah kerajaan pada tahun lepas? Jelas menunjukkan berlaku banyak kepincangan dan keraguan tetapi senyap sunyi begitu sahaja. Inikah sistem dan peraturan yang dimaksudkan?

Sekali lagi saya mengulangi gesaan hanya sisatan Suruhanjaya Diraja sahaja yang mampu membersihkan imej Najib yang tercalar dalam isu Eurocopter dan pembelian peralatan ketenteraan lain. Nak harap pada BPR? Apa yang berlaku pada laporan yang berjela-jela dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat kepada BPR? Silap hari bulan telah 'disejuk bekukan'.

Rakyat sudah lama bersabar dan terlalu banyak berkorban dalam kemelut ekonomi yang melanda negara. Kenaikan minyak, meningkatnya harga barang, pengangguran dan inflasi. Dalam keadaan rakyat terpaksa bersusah payah berhadapan situasi ekonomi yang merumitkan ini,penyelewengan yang melibatkan nilai berbilion ringgit adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima.

SIAPA YANG GEMBIRA KEMENANGAN OBAMA?-MALAYSIAKINI


Calon presiden dari parti Demokrat, Barrack Obama menang untuk menjadi presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat.

Sehingga jam 12.20 tengah hari ini, Obama mendahului dengan kutipan 297 undi berbanding calon Republik, John McCain yang memperoleh 145 undi.

Calon memerlukan sejumlah 270 undi untuk menang.

Kemenangan terbesar bagi Obama ialah apabila beliau diisytiharkan pemenang di Ohio dan Pennsylvania - tempat berlakunya kempen yang paling panas dan sengit antara kedua-dua calon tersebut.

Pemerhati telah meramalkan bahawa McCain sukar untuk menang kerana Obama merupakan calon pilihan pengundi.

Di Malaysia siapa yang gembira dengan kemenangan Obama? Adakah ada di kalangan kita masih menaruh harapan Obama akan membawa perubahan khususnya pada umat Islam seluruh dunia dan di negara ini?

Kita mungkin terlupa dengan apa yang dilakukan oleh kuasa Amerika di seluruh dunia. Apa yang dilakukan di Iraq, Afghanistan dan yang paling ketara bersekongkol dengan rezim zionis Yahudi menzalimi rakyat Palestin merupakan sesuatu yang tidak dapat dimaafkan sama sekali. Adakah dengan kemenangan Obama, tahanan tanpa bicara (macam ISA) di Teluk Guatanamao akan dibebaskan? Adakah tentera Amerika akan berundur dari Iraq dan Afghanistan? Di samping itu, kemelesetan ekonomi yang teruk dirasai pada hari ini turut disebabkan oleh kerakusan dan ketamakan golongan kapitalis dan imperalis di Amerika.

Walaupun Obama dengan slogan perubahan yang dilaungkan, beliau tidak boleh bertindak bersendirian. Setiap keputusan perlu mendapat kelulusan senat Amerika yang mempunyai sentimen kebencian kepada umat Islam.

Firman Allah SWT :

Orang yahudi dan Nasara tidak akan redha selagi kamu tidak masuk ke dalam agama mereka. (Al Baqarah : 120)

MENARA TAMING SARI : RAKYAT SEMAKIN KELIRU-MALAYSIAKINI


Pihak pengurusan Menara Taming Sari semalam mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa Menara Taming Sari pernah mengalami kerosakan seperti yang pernah disiarkan di dalam bolg ini.

Menurut pengurusan pemasaran dan jualannya, Mohd. Husni Husin apa yang berlaku merupakan prosedur biasa penyelenggaraan bangunan tiga kali setiap bulan. Setiap proses penyelenggaraan mengambil masa satu ke dua hari. Dia turut menafikan bahawa pengunjung menara tidak pernah merungut sepanjang menara tersebut beroperasi.

Maklumat yang diterima adalah berdasarkan daripada pihak Menara Taming Sari sendiri. selain melalui panggilan telefon, guru-guru pengiring yang terlibat dalam lawatan ke Menara Taming Sari membawa pelajar turut dimaklumkan perkara yang sama. Menara rosak bukannya diselenggara!Malah rombongan dari sekolah lain dari dalam dan luar Melaka dimaklumkan perkara yang sama oleh pihak menara. Menara Taming sari rosak!

Apa yang menimbulkan kemusykilan, kenapa menara tersebut kena diselenggara tiga kali setiap bulan? Berapa pula kos penyelenggaraannya? Bagaimana pula kos yang terpaksa ditanggung untuk 'menyelenggara' selepas tempoh setahun ? Adakah kutipan RM 2.5 juta yang dinyatakan tak sampai setahun beroperasi berbaloi dengan kos RM 23 juta yang dibelanjakan oleh kerajaan negeri? Berapa pula kos operasinya termasuk kos 'penyelenggaraan'?

Penjelasan yang dibuat oleh pihak pengurusan Menara Taming Sari sebenarnya lebih banyak menimbulkan persoalan dan kekeliruan. Dalam hal ini pihak kerajaan negeri dan pengurusan menara perlu penjelasan lanjut kepada orang ramai khususnya kepada penduduk negeri Melaka yang telah banyak berkorban. Ini kerana penduduk Melaka terpaksa 'berkorban' kerana memberi laluan kepada projek pelancongan seperti Menara Taming Sari di negeri ini. Misalnya penduduk Melaka terpaksa'berkorban' menghadapi banjir setiap kali hujan lebat akibat sistem perparitan yang tidak sempurna. Pesakit dan pelawat di Hospital Besar Melaka terpaksa 'berkorban' bersesak-sesak kerana jumlah wad yang tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit dan tempat letak kereta yang tidak mencukupi.Akibatnya ada yang terpaksa 'berkorban' disaman gara-gara meletak kereta di bahu jalan di kawasan hospital Melaka kerana ruang yang sangat terhad untuk meletak kereta.

SETELAH TERUK DIKRITIK ALI RUSTAM TERPAKSA MINTA SHAH RUKH KHAN BUAT PENJELASAN - MALAYSIAKINI


Masih lagi tak habis cerita tentang Shah Rukh Khan (SRK).Dalam satu kenyataan dikeluarkan melalui agen pelakon popular itu, Shah Rukh Khan sendiri menyedari tentang isu tersebut yang hangat diperkatakan di negara ini, baru-baru ini. Namun, buat masa ini, dia enggan untuk memberikan sebarang komen.

Kritikan rakyat Malaysia yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan gelaran Datuk yang diberikan kepada Shah Rukh Khan akan cuba dijelaskan sendiri oleh bintang Bollywood itu apabila dia berkunjung ke Melaka bagi acara penganugerahan itu pada 29 November ini.

Bagaimanapun, pelakon yang pernah popular menerusi filem Kuch Kuch Hota Hai ini tidak menolak untuk memberikan pandangannya sendiri berhubung gelaran yang dianugerahkan kepadanya itu kelak.

Pelakon berusia 43 tahun itu dianugerahkan pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk sempena dengan Hari Jadi yang ke-70 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob pada 11 Oktober lalu.

Apa pasal pulak SRK yang kena buat penjelasan?Siapa dia yang hendak beri penjelasan dan mempertahankan gelaran yang diberi? Adakah SRK yang melobi untuk dapat gelaran Datuk tersebut sehingga terpaksa buat penjelasan untuk menjernihkan keadaan?Seolah-olah SRK yang tergila-gila untuk dapat gelaran ini.

Apa penjelasan yang akan dibuat oleh SRK nanti? Mungkin SRK akan memberitahu bahawa dia telah banyak menabur jasa dan mengharumkan nama Melaka seantero dunia. Meningkatkan jumlah pelancong berlipat kali ganda ke Melaka. Jasanya lebih besar berbanding semua seniman yang ada di Malaysia. Sumbangannya lebih besar daripada semua tokoh yang ada di Melaka. Lakonannya telah memberikan sumbangan dalam meningkatkan sahsiah khususnya golongan muda-mudi di negeri Melaka.

Inilah jadinya kalau pemimpin yang ada tidak boleh ditegur dan menerima pandangan dan nasihat orang lain. Walaupun perkara yang dilakukan tidak masuk akal atau tidak boleh diterima. Dalam hal ini, saya memuji sikap dan tindakan Menteri Besar Perak, Ir Datuk Nizar Jamaludin yang begitu merendah diri mengambil sikap memohon maaf kepada pihak istana atas isu penukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak tidak lama dulu.Berapa ramai pemimpin BN yang mengambil pendekatan serupa, memohon maaf apabila melakukan kesilapan?

04 November 2008

DEMONTRASI TAK BETEMPAT-MALAYSIAKINI


Pulau Pinang, kumpulan yang menggelar diri mereka Gabungan Graduan Muda Melayu (GGMM) mengadakan perarakan sebelum memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi membantah langkah kerajaan Pulau Pinang menggunakan papan tanda jalan pelbagai bahasa di Tapak Warisan Georgetown.

Berita TV 9 sebentar tadi turut menyiarkan demontrasi tersebut. Begitu berkobar-kobar bersemangat sekali mereka . Maklumlah tak ada trak water canon dan gas pemedih mata.

Ketika ditemui pemberita di luar perkarangan mahkamah, Pengerusi GGMM Khairul Azam Abdul Aziz berkata perjuangan gabungan itu bertujuan mempertahankan ketuanan Melayu yang kian tercabar.

Amboi-amboi jaga ketuanan melayu konon !Mana dia suara ketuanan Melayu anda semua apabila ada pemimpin Umno yang mencadangkan DEB dikaji semula dari segi pemilikan ekuiti bumiputera. Malah suara kumpulan ini sunyi sepi apabila matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggeris satu ketika dulu.

Ini bukanlah bermaksud saya menyokong 100% langkah kerajaan Pulau Pinang. Tetapi kalau nak berdemontrasi tu biarlah bertempat...

PAKEJ EKONOMI RM 7 BILION : RAKYAT BAWAHAN TERUS MENDERITA -MALAYSIAKINI

Seperti yang dijangka tidak ada yang istimewa di sebalik pakej ekonomi bernilai RM 7 bilion oleh Datuk seri Najib, selaku Menteri Kewangan.

Dalam strategi merangsang pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara melalui pakej diumumkan tidak ada satu pun langkah yang dilakukan untuk mengatasi kesan inflasi khususnya dihadapi oleh golongan bawahan berikutan kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan lain.

Saya menjangkakan pada awalnya kerajaan akan mengumumkan formula untuk membendung kenaikan harga barang pengguna untuk meningkatkan kuasa beli rakyat bawahan untuk menjana ekonomi negara.

Sebaliknya langkah kerajaan lebih kepada untuk melindungi dan membela mereka yang berkepentingan dan pihak kroni yang terjejas teruk akibat kesan kegawatan ekonomi global.Misalnya langkah memperuntukkan RM 1.2 bilion untuk pembinaan rumah kos sederhana dan rendah dan penurunan harga besi dan simen serta menghapuskan AP untuk import keluli lebih bertujuan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat pembinaan yang terjejas.

Adakah dalam keadaan rakyat terpaksa mengikat perut akibat kenaikan barang keperluan harian mereka mampu untuk membeli rumah? Nilai sebuah rumah murah yang dikategorikan 'murah'di antara RM 30 ribu - RM 40 ribu merupakan satu angka yang besar bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Begitu juga peruntukan sebanyak RM 400 juta untuk kemudahan internet jalur lebar berkelajuan tinggi. Walaupun saya bersetuju kemudahan ini disediakan tetapi ia sesuatu yang tidak perlu disegerakan dan diberi keutamaan dalam situasi sekarang.Lagipun berapa ramai golongan yang berpendapatan rendah yang mendapat manafaat dari kemudahan tersebut?

Walaupun ada insentif untuk meningkatkan kemudahan infrasturktur seperti hospital dan jalan raya namun pakej ekonomi yang diumumkan ini tidak memberi perhatian kepada kesan langsung masalah inflasi yang dialami oleh rakyat di negara ini.

JIKA ALI RUSTAM MENANG TIMBALAN PRESIDEN : SIAPA BAKAL KM BARU MELAKA ? DI MANA PILIHANRAYA KECIL AKAN DIADAKAN? - MALAYSIAKINI


Ali Rustam dah pun mendapat 31 pencalonan bahagian, hanya 8 pencalonan lagi untuk melayakkan beliau bertanding jawatan timbalan presiden Umno. Ali Rustam diramalkan akan mendapat laluan selesa untuk merebut jawatan nombor dua. Lebih-lebih lagi sokongan yang ditunjukkan oleh kem Pak Lah. Najib dikatakan lebih berminat menjadikan ali Rustam sebagai regunya berbanding Muhyiddin yang lantang dan berani. Silap haribulan Muhyiddin dilihat boleh melawan 'towkey'. Begitu juga Md Taib pemimpin yang diselubungi dengan pelbagai skandal.

Saya tertarik dengan posting senior merangkap kawan serumah masa di USM dulu blogger MMutaligat, di http://mutaligat.blogspot.com/ yang meramalkan satu pilihanraya kecil akan diadakan jika Ali Rustam menang jawatan Timbalan Presiden Umno. Timbalan Presiden secara automatiknya akan menjadi Timbalan Perdana menteri. Nak jadi TPM mesti jadi ahli Dewan Rakyat. Hanya dua pilihan je yang ada dilantik jadi senator atau bertanding pilihanraya kecil.Pilihan pertama mungkin tidak digemari oleh Ali Rustam.

Rakan saya MMutaligat meramalkan Datuk Sirat Abu ahli parlimen Bukit Katil akan mengosongkan kerusinya dan akan mengambil kerusi dun Bukit Baru yang diwakili Ali Rustam sekarang.
Kemungkinan itu tetap ada.

Tetapi berdasarkan sumber saya yang agak rapat dengan Ali Rustam, dia mengatakan sebaliknya. Datuk Mat Sirat Abu tidak akan memberi laluan kepada Ali Rustam, lagipun parlimen Bukit Katil dimenangi oleh BN dengan majoriti yang sedikit pada PRU ke 12 lalu.BN hanya menang dengan majoriti 1,758 sahaja mengalahkan calon PKR. Ali Rustam pasti tidak mahu mencari penyakit dengan bertanding di parlimen Bukit Katil.


Jadi parlimen mana akan menjadi pilihan beliau ? Menurut sumber saya Ali Rustam lebih berminat bertanding di Parlimen Tangga Batu yang sekarang ini diwakili oleh Datuk Idris Haron Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Parlimen Tangga Batu dianggap kawasan selamat dan kubu BN. Dalam PRU lalu dimenangi dengan majoriti 14,500.

Selain itu, Idris Haron merupakan anak didik Ali Rustam yang semakin dilihat lebih menyerlah dan berkebolehan untuk menggantikan tempat Ali Rustam sebagai Ketua Menteri Melaka. Jadi adalah sesuatu yang lebih mudah untuk ' tukar suka sama suka' jika Ali Rustam berhajat bertanding di Parlimen Tangga Batu jika menang jawatan timbalan presiden pada Mac nanti.

Lagipun, Parlimen Tangga Batu bukanlah asing kepada Ali Rustam yang pernah bertanding di Dun Sungai Udang ( sekarang ini dikenali dun Pantai Kundor ) dalam beberapa siri pilihanraya lalu yang terletak dalam Parlimen Tangga Batu.

Apa-apapun sama-samalah kita tunggu sehingga Ali Rustam mendapat cukup pencalonan dan memenangi jawatan Timbalan presiden Umno pada Mac nanti. Dalam politik Umno macam-macam boleh berlaku.

ISU EUROCOPTER : SIASATAN PAC MENAMBAHKAN LAGI KEKELIRUAN-MALAYSIAKINI


Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mendapati tidak berlaku sebarang penyelewengan dalam urusan pembelian helicopter Eurocopter yang telah digantung, kata Pengerusinya, Datuk Azmi Khalid hari ini.

Beliau memberitahu pemberita di Parlimen bahawa mesyuarat PAC mendapati tidak berlaku sebarang penyelewengan prosedur dalam proses tender pembelian Eurocopter.

Bagaimanapun, PAC memandang berat pemeriksaan fizikal tidak dilakukan ke atas 12 helikopter Eurocopter yang hendak dibeli oleh kerajaan itu.

Kalau bukan penyelewengan, apa istilah yang lebih sesuai? Tersilap kira ? Tak sengaja atau tersasul ?

Siasatan yang diumumkan oleh PAC menyebabkan keadaan bertambah keliru dan memeningkan. Rakyat ingin tahu bagaimana yang dikatakan tidak wujud sebarang penyelewengan jika helikopter yang ingin dibeli oleh Malaysia berharga dua kali ganda lebih mahal berbanding model yang sama dibeli oleh negara Brazil?

Brazil membeli helikopter Eurocopter EC-725 dengan harga yang lebih murah RM82 juta sebuah, sedangkan Malaysia bakal membayar dengan harga RM193 juta.Brazil telah menandatangani kontrak pembelian 50 buah helikopter Cougar yang bernilai US$1.2 bilion ataupun RM4 bilion. Manakala Malaysia pula telah menandatangani kontrak berjumlah RM2 bilion hanya untuk 12 buah helikopter Cougar.

Dua negara ini bagi sebuah helikopter dengan model yang sama sebanyak RM111 juta atau RM1.2 bilion bagi kontrak membeli 12 buah unit. Perbezaan kira-kira RM1.2 bilion. Adakah helikopter yang dibeli ingin dibeli oleh Malaysia disadur dengan emas tulen sehingga harganya berlipat kali ganda?

Dalam hal ini satu Suruhanjaya Diraja wajib diwujudkan bagi menyiasat tentang kemungkinan wujudnya unsur khianat dan cubaan menggelapkan wang milik negara. Saya sebagai rakyat Malaysia sudah tidak lagi yakin kepada Badan Pencegah Rasuah ( BPR ) untuk menyelesaikan isu yang berlaku.

Sekiranya rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat tidak membangkitkan isu ini, saya yakin pembelian Eurocopter ini akan diteruskan. Alasan kegawatan ekonomi hanyalah bertujuan untuk menutup agar isu ini tidak terus diperdebat dan dihebahkan kepada orang ramai lebih-lebih lagi ia melibatkan Najib yang disebut-sebut bakal perdana menteri.

Satu siasatan segera perlu dijalankan kerana dalam masa yang sama kita tidak mahu lagi menyaksikan lebih ramai nyawa anggota tentera yang terkorban kerana menggunakan pesawat Nuri yang telah layak dikategorikan sebagai pesawat antik yang sepatutnya telah lama disimpan di muzium.

PELAN PEMULIHAN EKONOMI ALA NAJIB -Malaysiakini