11 February 2009

UMNO TERUS 'MEMPERKUDAKAN' POLIS:KALI INI PERMIT CERAMAH DIBEKUKAN

Umno sekali lagi bertindak bacul kali ini dengan menggunakan polis untuk membekukan permit ceramah umum di seluruh Perak selama dua minggu. Alasan yang diberikan agar suasana 'panas' yang dicipta oleh Umno reda. Arahan itu dikeluarkan oleh KPN Tan sri Musa Hassan kepada ketua polis Perak.

Nampaknya Umno semakin takut dan bimbang dengan perkembangan yang berlaku iaitu kebangkitan luar biasa rakyat Perak membantah rampasan kuasa kerajaan pakatan Rakyat.

Apa yang mereka takutkan? Bimbang rakyat dapat maklumat sebenar? Bangkai gajah nak tutup dengan daun pisang? Apakah mereka bimbang satu persatu pembohongan mereka terdedah?

Pemimpin Umno kena ingat rakyat mendapat maklumat di hujung jari. Kalau nak sekat maklumat senang saja, saya cadangkan Umno tutup semua akses internet, haramkan astro, tamatkan semua talian mudah alih dan hanya benarkan rakyat menonton TV1, TV2 dan TV 3 sahaja! Selain itu haramkan Harakah, Suara Keadilan, Siasah dan semua media yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan Umno@BN yang membingungkan.

Sejarah tamadun manusia moden telah membuktikan sekatan kerajaan yang melampau kepada rakyat merupakan isyarat yang cukup jelas kerajaan tersebut bakal ditumbangkan.

AYUH TINGKATKAN 'PEPERANGAN' DI ALAM 'CYBER'.

Umno semakin mencabuli hak demokrasi! sudahlah kerajaan Perak dirampas secara tak bermaruah. Hak rakyat berhimpun disekat! Penyokong Umno berhimpun di seluruh negara tak apa pulak? Terkini kebebasan akhbar turut disekat. Sehari dua ini akhbar Harakah dan Keadilan menjadi mangsa kerakusan pemimpin Umno yang berlindung atas nama Undang-undang dan penguatkuasaan KDN.

Apakah kerajaan BN masih mendabik dada mengatakan mereka menjunjung demokrasi? Mana nak letak muka apabila Malaysia disiasat oleh PBB kerana melanggar hak asasi manusia dalam undang-undang ISA?

Tak mengapa nak rampas, rampaslah selagi mereka berkuasa. Tetapi ingat!hak menulis, memberi pandangan, hak bersuara mereka tidak akan mampu disekat.

Yakinlah, dengan sekatan terbaru ini akan melahirkan lebih ramai bloggers yang simpati dan pro pada Pakatan Rakyat! Apakah mereka fikir dengan merampas akhbar Harakah dan Keadilan akan melariskan 'akhbar Umno' seperti Utusan Meloya dan Berita Hairan! Pemimpin Umno kena muhasabah kenapa dalam 'suasana panas' politik negara 'akhbar Umno' makin berlambak-lambak tidak laku?

Kepada semua bloggers yang simpati dan pro pada Pakatan Rakyat dan cintakan keadilan ayuh mari kita tingkatkan usaha untuk menyampaikan mesej pada rakyat. Kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang ada blog tetapi jarang atau lambat update, rajin-rajinlah update. Rakyat di luar sana cukup dahagakan maklumat dari anda semua. Siapalah kami berbanding maklumat dan input yang datang dari pimpinan sendiri. Maklumat anda pasti lebih 'umphh' berbanding apa yang dicatatkan oleh blogger yang biasa-biasa macam saya ni.

10 February 2009

SOGOK 5 JUTA :KENAPA SPRM MEMBISU?

Bekas Adun Bukit Selambau, V Aramugam mendedahkan punca beliau meletak jawatan sebagai Exco dan Adun kerana tidak tahan dengan pelbagai ugutan terhadap keluarganya. Beliau juga mendedahkan bahawa ditawarkan RM 5 juta supaya melompat ke dalam BN.

Peliknya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti membisu dan memekakkan telinga dalam isu ini. Walhal jelas itu kenyataan yang didedahkan oleh bekas Adun berkenaan. Bukan sahaja diumpan RM 5 juta malah lebih dasyat lagi keluarga beliau juga turut dijadikan sasaran dan mangsa.

Apa dah jadi dengan SPRM? Adakah SPRM juga bermain wayang dan politik? Kalau nak bermain wayang dan politik seperti isu rasuah yang melibatkan 'bekas adun' Behrang dan Changkat Jering saya cadangkan SPRM memohon untuk menjadi komponen BN. Mana tahu kot-kot nasib baik boleh letak calon di Bukit Gantang atau Bukit Selambau dalam pilihanraya kecil nanti.

APA PULA SELEPAS INI?

Perak telah pun dirampas secara haram. Adun Selambau pula telah meletak jawatan kerana tidak tahan dengan pelbagai ugutan dan umpanan rasuah untuk menyertai BN.

Hari ini dilaporkan di Selangor dan beberapa tempat di negara ini akhbar Harakah dan Keadilan dirampas oleh KDN di bawah arahan Hamid Albar.

Puak-puak pengampu dalam Umno terus mendesak agar MB Perak yang sah ditahan bawah ISA serta gelaran Dato Seri ditarik balik.

Menyaksikan gelagat Umno dan BN menjadi bukti bahawa mereka sebenarnya yang terdesak dan tertekan. Tindakan merampas Perak telah meningkatkan kebencian orang ramai kepada Umno.

Pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau begitu menggerunkan Umno kerana mereka menyedari rakyat akan memberi pengajaran kepada Umno yang memperalatkan raja serta menggunakan taktik ugutan dan rasuah untuk berkuasa.

Takdir Allah yang begitu hebat, siapa sangka pilihanraya kecil akan berlaku di Bukit Gantang. Dun Changkat Jering yang adunnya belot dan dikaitkan dengan pelbagai skandal rasuah terletak dalam parlimen Bukit Gantang.

Saya begitu optimis pilihanraya Bukit Gantang bukan pilihanraya kecil terakhir di Perak pada tahun ini.

Apa lagi yang Umno mampu lakukan selepas ini? Apa pula tindakan Najib selepas ini?

09 February 2009

DIALOG SPEKER DEWAN DAN SBR

Speker Dewan : Saya dengan ini ingin memaklumkan bahawa kerusi Parlimen Gunung Segantang telah kosong berikutan kematian wakil rakyatnya.

SBR : Ada surat?

Speker Dewan : Ada, beserta sijil kematian yang ditanda tangani oleh doktor untuk mengesahkan kematiannya.

SBR: Doktor tu tanda tangan secara sukarela atau dipaksa?


Speker Dewan : Itu tuan kena tanya doktor tu sama ada dipaksa atau tidak.


SBR: Ok tak pe, nanti pihak kami akan siasat. Satu lagi kenapa surat ni tak ada tarikh?

Speker Dewan :!?#$!?!#$?

PILIHANRAYA KECIL DI BUKIT GANTANG: NIZAR CALON PAS?

Al Fatihah atas kepulangan ke rahmatullah Ahli Parlimen Bukit Gantang Perak dari Pas, Hj. Roslan Shahrom yang meninggal dunia kerana serangan jantung. Semoga Allah SWT mencucuri roh beliau dan ditempatkan di kalangan orang yang mendapat ganjaran nikmat berserta roh orang yang solleh.

Adakah SPR akan mengadakan pilihanraya di Bukit Gantang, Perak? SPR boleh membuat sisatan seperti kes dua adun tak bermoral dari Behrang dan Changkat Jering sama ada perlu atau tidak pilihanraya kecil diadakan. Bukankah SPR ada kuasa untuk menerima dan menolak notis dari speker dewan sama ada pilihanraya kecil perlu diaadakan ataupun tidak?

Jika pilihanraya kecil diadakan, Menteri Besar Perak yang sah, Dato Seri Nizar Jamaludin wajar menjadi pilihan utama PAS untuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu nanti. Walau bagaimanapun ini semua terserah kepada keputusan Pakatan Rakyat dan kepimpinan tertinggi Pas untuk membuat keputusan.

Alasan saya kenapa Nizar perlu menjadi calon Pas di Bukit Gantang :

1. Untuk membuktikan adakah rakyat menolak 'penderhaka' yang digembar-gemburkan oleh pemimpin Umno dan media pro umno.

2. Memberi peringatan kepada Umno bahawa rakyat memprotes tindakan mencabuli undang-undang Tubuh Kerajaan Perak dengan merampas kuasa dari kerajaan yang sah.

3. Mengekalkan momentum dan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat sebelum mahkamah membuat keputusan status kerajaan BN haram di Perak.

4. Memberi amaran bahawa rakyat tidak terpengaruh dengan provokasi dan propaganda media dan pemimpin Umno.

5. Memastikan 'mood' kebangkitan rakyat dapat dikekalkan sebelum berhadapan dengan pilihanraya kecil seluruh Perak dan pilihanraya umum ke 13.

MANSUH PILIHANRAYA DAN GANTI DENGAN SISTEM DIKTATOR

Perkembangan yang semakin memualkan dalam amalan demokrasi di Malaysia sedang berlaku. Setelah mandat diberi oleh majoriti rakyat Perak dikhianati dengan tindakan tidak bermaruah mereka terus berusaha dengan agenda samseng dan tidak bertamdun untuk menafikan suara demokrasi terus subur di Malaysia.

Mereka, orang-orang yang khianat dan tidak bermoral dan berakhlak sedang cuba untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan negeri-negeri lain yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Terbaru ugutan demi ugutan yang dibuat mungkin memaksa Adun Selambau di Kedah untuk tunduk pada tekanan dengan meletak jawatan untuk pilihanraya kecil diadakan di sana.

Adakah ini suasana yang mereka inginkan? Inikah contoh pemimpin yang hendak menerajui negara? Apakah rakyat hanya tahu melihat dan tidak berbuat apa-apa sedangkan mereka bertepuk tangan serta bersorak gembira?

Kenapa mereka begitu takut dan bacul untuk berlawan dalam arena demokrasi? Adakah mereka tahu rakyat semakin menolak mereka lantaran taktik samseng dan ala lanun digunakan?

Mereka ini tidak akan puas selagi nafsu serakah mereka untuk berkuasa tidak terlaksana. Mereka akan buat apa sahaja ibarat beraja di mata bersultan dihati. Apa yang berlaku jelas adalah kerana dendam kesumat setelah rakyat mendedahkan pelbagai skandal dan menelanjangi watak sebenar mereka yang berlindung dari imej membela Melayu dan memertabat institusi beraja.

Jika begini lagak dan watak mereka mansuhkan sahaja pilihanraya secara demokrasi di negara ini dan buat sistem pemerintahan ala diktator atau gaya sosialis serta komunis. Jangan menipu rakyat dengan bertopeng slogan demokrasi dan mengormati institusi raja. Rakyat hari ini semakin cerdik dan intelek dapat membezakan yang mana kaca dan yang mana permata.

08 February 2009

ORANG CINA DAN INDIA TIDAK "MENDERHAKA"?

Dalam media pro Umno seolah-olah hanya orang Melayu dalam Pakatan Rakyat sahaja yang menentang tindakan Umno merampas kerajaan Perak.

Gambar orang melayu baring depan kereta, merempuh sekatan FRU dan berarak digembar-gemburkan oleh media. Lalu mereka dicap sebagai penderhaka dan biadab.

Apa yang menghairankan tidak perlu ditunjukkan gambar orang Cina dan India turut sama protes membantah apa yang berlaku di Perak. Hanya Karpal Singh seorang sahaja yang di kalangan bukan melayu disebut sebagai penderhaka. Kenapa media tak berani sebut orang Cina dan India juga menderhaka menentang sultan dan tindakan tak bertamadun Umno di Perak? Ada apa-apa ke?

Tetapi yakinlah walaupun media dan pemimpin Umno hanya menunding jari pada orang Melayu dalam Pakatan Rakyat sahaja yang menderhaka, majoriti orang Cina dan India hari ini bukan sahaja di Perak tetapi seluruh Malaysia semakin benci meluap-luap kepada Umno. Mereka tidak boleh menyembunyikan kebangkitan rakyat yang disebut sebagai reformasi kedua. Apa yang lebih menarik kebangkitan rakyat dalam reformasi kedua hari ini merentasi budaya dan kaum di negara ini. Inilah yang semakin merunsingkan Umno hari ini. Mereka tidak mampu untuk menutup bangkai gajah!

Jadi Umno akan buat apa sahaja untuk memastikan tidak ada pilihanraya kecil atau umum akan diadakan dalam tempoh terdekat kerana tahu nasib yang bakal menimpa mereka.

Orang Melayu hari ini pun sudah semakin cerdik tidak seperti zaman dalam kitab Sejarah Melayu atau zaman Hang Tuah yang hanya taat secara membuta tuli walaupun sultan ketika zaman itu beraja di mata bersultan di hati. Orang Melayu hari ini sudah moden kata Tun Dr. Mahathir.

Jadi raja-raja Melayu menjadi talian hayat Umno untuk memastikan mereka dapat bertindak untuk mengekalkan kuasa dan merampas hak dan pilihan rakyat walaupun terpaksa 'melanun'.

KARPAL SINGH AKAN MELOMPAT MENYERTAI BN?

Belum pun reda isu hendak saman sultan Perak berkaitan dengan rampasan kuasa di BN di Perak, YB Bukit Gelugor Karpal Singh buat kejutan lagi kali ini meminta agar Dato Seri Anwar Ibrahim berhenti memimpin Pakatan Rakyat dan bertaubat.

Beliau menyalahkan ketua umum PKR itu kerana mempromosikan budaya lompat parti serta mencetuskan masalah dalam gabungan tersebut.

Bercakap dalam sidang akhbar di Georgetown, Karpal berkata tindakan mengalu-alukan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Bota melompat menyertai Pakatan, sebelum beliau balik semula ke BN, telah mencetuskan ketegangan dalam Pakatan sehingga menyebabkan Perak jatuh ke tangan BN.

Pemimpin DAP itu berkata, Anwar telah menimbulkan cukup masalah dan sudah tiba masanya bagi beliau (Anwar) bertaubat.

Ini bukan kali pertama Karpal Singh mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan keputusan PR. Ini termasuklah dalam isu negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas yang ditentang oleh beliau. Namun kenyataan itu lebih bersifat peribadi dan tidak melambangkan pendirian DAP dalam pakatan Rakyat.

Dalam situasi begini adalah tidak sesuai untuk masing-masing tuduh menuduh di antara satu sama lain. Semua pimpinan PR perlu bergabung dan bersatu untuk terus mendesak dan mencabar BN yang telah menubuhkan kerajaan 'Jack Sparrow' di Perak.

Mungkinkah ini merupakan peluang BN untuk memujuk Karpal Singh menyertai mereka? Mana tahu semua kemungkinan boleh berlaku dalam musim lompat melompat ini.Tapi saya yakin, kata-kata Karpal Singh hanya sekadar meluahkan perasaan geram dan marah yang teramat sangat kepada BN yang membuat onar di Perak.

Dalam kuliah Dhuha oleh Ketua Dewan Ulama Pas Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail pagi tadi beliau menjelaskan hanya perjuangan yang berpaksi kepada aqidah dan ilmu sahaja yang mampu bertahan dan berhadapan dengan semua cabaran dan rintangan. DAP dan PKR perlu belajar daripada Pas bagaimana Pas mendidik sesama pimpinan dan ahlinya dalam memberi teguran kepada pimpinan iaitu penuh dengan adab dan tertib. Wallahualam.

MANA HUJAH DAN FAKTA "KERAJAAN BN' SAH?

Sehingga hari ini saya masih belum menemui dan membaca sebarang hujah dan fakta bahawa 'kerajaan BN' di Perak adalah sah. Semua media dan blog pro umno sehingga hari ini masih belum dan gagal mengemukakan fakta dan peruntukan undang-undang serta pelembagaan tentang 'keabsahan' 'kerajaan BN' di Perak. Setakat ini hanya logik akal dan pandangan yang bersifat emosional sahaja untuk mengesahkan 'kerajaan BN' di Perak.

Kalau setakat berhujah, Sultan dah restu dan BN dapat lebih kerusi itu hujah budak-budak sekolah. Begitu juga kalau setakat berkata, rakyat tak boleh menderhaka pada raja-raja Melayu itu hujah dalam kitab Sejarah Melayu yang saya belajar dulu!

Cabaran saya kepada mereka yang mengatakan 'kerajaan BN' adalah sah sila nyatakan dan kemukakan hujah berdasarkan undang-undang dan pelembagaan.

Jadi apa lagi yang ingin dipertahankan? Mereka tidak boleh melenting kalau dikatakan 'kerajaan BN' di Perak kerajaan Lanun, kerajaan zionis, kerajaan samseng atau menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai kerajaan haram kerana BN dan Umno sehingga hari ini masih tidak mampu berhujah dari segi fakta dan pelembagaan untuk menghalalkan tindakan mereka di Perak.

Syabas dan tahniah kepada media alternatif dan bloggers yang dapat berhujah dengan fakta dan ilmiah.