05 March 2009

NAJIB TAK SEMPAT JADI PM?


Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Itu yang sering diungkapkan. Jika beberapa hari lalu ramai pihak beranggapan agak mustahil untuk menghalang Najib menjadi bakal PM Malaysia yang keenam.

Namun sehari dua ini, perkembangan yang berlaku cukup menggusarkan Najib. Pertama berkaitan dengan permohonan injuksi mahkamah yang difailkan oleh dua ahli Umno untuk menghalang Mesyuarat Agong yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Mac ini. Persoalannya adakah dua ahli Umno itu bertindak sendiri tanpa ada pihak yang menyokong di belakangnya?

Hari ini, berita yang disiarkan oleh yang diterbitkan di Perancis di dalam keluarannya hari ini mendakwa timbalan perdana menteri pernah bertemu mangsa bunuh Altantuya Shaariibuu di sebuah kelab di Paris pada 2005 bersama Abdul Razak Abdullah Baginda.Datuk Seri Najib Razak didakwa pernah bergambar bersama mereka berdua, yang didakwa pasangan kekasih, bertentangan dengan penafian tokoh politik itu sebelumnya.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution, hari ini mengemparkan Dewan Rakyat apabila menimbulkan perkara tersebut yang mana laporan itu dikatakan diperolehi dari sumber yang bocor dari polis Malaysia. Saifuddin telah membaca petikan kisah bagaimana Altantuya telah memohon bantuan dimana dikatakan mangsa waktu itu sedang mengandung sebelum dia ditembak mati.

Jika laporan akhbar tersebut palsu, saya menyarankan agar Najib menyaman akhbar tersebut kerana ia merupakan satu laporan yang berat lebih-lebih lagi melibatkan soal kepentingan negara! Jika tidak ada sebarang tindakan pada akhbar tersebut saya merayu kepada Pak Lah agar memikirkan semula cadangan untuk menyerahkan kuasa kepada Najib. Kita tidak mahu nasib negara diperjudikan dengan melantik Najib menerajui negara.

Jika tidak pun, proses peralihan kuasa wajar ditangguhkan oleh Pak Lah sehingga nama Najib dapat dibersihkan dari laporan akhbar Peranchis yang sangat berat ini.


04 March 2009

KERAJAAN 'PASOLA' DI PERAK

Pernah menonton cerita Laksamana Do Re Mi, lakonan Allahyarham P. Ramlee? Saya menontonnya masa masih di bangku sekolah rendah lagi.

Di antara adegan dalam cerita tersebut ialah kisah Raja Pasir Dua Butir yang terpaksa 'bersidang' di bawah pokok kerana gara-gara diserang oleh Raja Pasola dari Negeri Pasir Berdengung.

Ceritanya mencuit hati menyebabkan ramai yang ketawa geli hati. Ingatkan cerita itu hanya cerita komedi biasa yang mustahil berlaku dalam zaman moden. Ternyata andaian saya dan ramai pihak silap.

Hari ini, skrip dalam cerita itu seperti berulang kembali. Gara-gara rampasan kuasa, maka Speaker DUN Perak, 27 wakil rakyat dan Menteri Besar Perak Dato Seri Ir Nizar Jamaludin terpaksa 'bersidang' di bawah pokok.

Cuma dalam skrip ini, tidak ada 'pertumpahan darah' berlaku. Persidangan 'kerajaan buangan' di bawah pokok ini disebabkan terdapat pihak yang terlalu kemaruk untuk berkuasa. Rampasan kuasa yang dilakukan oleh 'Raja Pasola' dari negeri Pasir Berdengung begitu caca marba sehingga menjadi lawak jenaka dan perhatian dunia. Pertembungan yang melibatkan kuasa dan maruah.

Sekali lagi saya nak kemukakan soalan kepada 'kerajaan Raja Pasola' di Perak, kenapa takut dengan sidang DUN? Kenapa takut untuk membubarkan DUN? Tidakkah anda mempunyai maruah dan harga diri. Menjadi kerajaan yang menjadi bahan kejian dan kutukan rakyat? Tidak malukah kalian? Atau kalian memang tidak mempunyai maruah dan harga diri?

Buktikan secara 'anak jantan' bahawa kerajaan "Raja Pasola' di Perak mendapat sokongan rakyat. Hanya mereka yang dayus dan bacul sahaja yang tidak berani bersemuka dengan rakyat melalui dalam pilihanraya! Mereka tenyata telah melakukan kesilapan besar dengan merampas kuasa tanpa perancangan yang teratur dan teliti. Hanya pilihanraya dengan pembubaran DUN Perak sahaja yang dapat menebus dosa dan kesilapan yang telah dilakukan.

Jika DUN tidak dibubarkan maka selepas ini dunia akan menyaksikan lebih banyak persidangan DUN di bawah pokok macam dalam cerita Laksamana Do Re Mi. Mungkin akan datang bakal diadakan di bawah pokok durian atau pokok ketapang pula!

02 March 2009

BERAPA LAMA BN BOLEH BERTAHAN DI PERAK?

Macam-macam yang cuba dilakukan oleh Umno dan BN Perak untuk mengagalkan sidang Dun di Perak. Terbaru notis dikeluarkan oleh pejabat setiausaha kerajaan Negeri bahagian pengurusan yang memaklumkan pintu utama Bangunan Perak Darul Riduan yang menempatkan dewan persidangan Dun Perak ditutup.

Tak cukup dengan itu menteri besar haram Perak berusaha untuk mendapatkan injuksi mahkamah untuk menggagalkan sidang tergempar yang dijadualkan esok.

Jika BN dapat halang sidang DUN esok tetapi sampai bila ? Adakah BN akan buat undang-undang baru buat sidang Dun tanpa kehadiran speaker? Jika tidak pun BN akan buat undang-undang baru dengan buat sidang DUN guna notis yang ditandatangani setiausaha DUN? JIka tidak pun BN akan buat undang-undang baru untuk pecat speaker DUN? Siapa yang mempunyai kuasa, setiausaha DUN atau Speaker DUN?

Siapa yang terdesak di Perak sekarang, BN atau PR? BN kata mempunyai cukup majoriti di DUN Perak, tetapi kenapa takut dan gementar dengan sidang DUN? Semua ini benar-benar membuktikan bahawa apa yang BN buat di Perak adalah salah dan bertentangan dengan peraturan dan pelembagaan malah dengan tabie manusia.....

01 March 2009

APA GUNA ADA UNDANG-UNDANG DAN PELEMBAGAAN?

Umum mengetahui Najib bakal ambil alih jawatan PM daripada Pak Lah. Itu atas kertas, tetapi dalam politik macam-macam boleh berlaku. Mungkin ada sesuatu yang mengejutkan di saat-saat akhir. Ini satu spekulasi yang tak mustahil berlaku. Saya yakin Najib masih menunggu dengan berdebar-debar apakah dia akan meneruskan legansi bapanya menjadi PM Malaysia.

Tetapi perkembangan yangberlaku serta kenyataan-kenyaatan Najib akhir-akhir ini menyebabkan saya berfikir apakah Pak Lah akan meneruskan hasratnya untuk menyerahkan kuasa kepada Najib.

Banyak kenyataan yang dikeluarkan Najib tidak menggambarkan mentaliti seorang bakal Perdana Menteri.

Apabila terdapat dua adun Pakatan Rakyat mendedahkan mereka cuba disogok RM 20 juta dengan membuat laporan polis, apa reaksi Najib?

"Mana -mana pihak yang membuat laporan palsu akan dikenakan tindakan"

Macam mana Najib boleh tahu bahawa tuduhan itu sama ada benar atau palsu? Najib dah buat sisatan sendirikah? Nampak gayanya Najib lebih cepat dan pantas berbanding polis, SPRM dan mahkamah dalam menentukan kesahihan laporan yang dibuat.

Kalau macam tu, elok sangatlah kalau Najib dilantik jadi Ketua Polis Negara, Pengerusi SPRM atau ketua Hakim Negara kerana kecekapan dan kepantasan Najib menyelesaikan sesuatu kes tak sampai 24 jam! Hebatkan?

Begitu juga apabila Speaker Dun Perak, V. Sivakumar mengemukakan notis untuk mengadakan sidang tergempar DUN pada 3 March ini? Apa kata Najib?

Sidang Dun Perak tidak boleh diadakan selagi mahkamah belum buat keputusan tentang status 3 'wakil rakyat bebas' yang diistiharkan mengosongkan jawatan oleh Speaker. Mahkamah juga belum membuat keputusan tentang saman dan injuksi mahkamah yang dikemukakan oleh MB Perak yang sah.

Kalau macam tu, apa peranan speaker DUN? Bila mahkamah akan selesai perbicaraan kes ini? Jika mahkamah tinggi membuat keputusan adakah keputusan itu muktamad tidak boleh dirayu ke mahkamah rayuan dan persekutuan? Berapa lama Dun Perak terpaksa menunggu untuk bersidang? Setahun? Dua tahun???????

Adakah selepas ini ada peraturan baru, mana-mana Dun yang ingin mengadakan sidang Dun perlu dapat perkenan dari Najib sebelum sidang boleh diadakan?

Apakah Najib berminat untuk mengambil alih tugas speaker DUN Perak?

Macam mana orang seperti ini boleh diberi kepercayaan untuk jadi orang nombor satu negara? Tafsir undang-undang dan pelembagaan ikut akal dan kehandak sendiri. Habis punah ranah negara. Apa guna negara ada undang-undang, peraturan dan pelembagaan kalau dengan mudah-mudah je ia dicabuli dan dikhianati?

28 February 2009

SUDAH DAPAT 'ILHAM' PILIHANRAYA DI PERAK?

Dr. Mahathir dan Pak Lah saya kira ada persamaan yang menarik. Apabila ditanya kepada keduanya semasa menjadi PM tentang tarikh pilihanraya umum, mereka menjawab 'belum dapat ilham'.

Nampaknya, ia turut berlaku di Perak. Sehingga hari ini sultan belum lagi 'dapat ilham' untuk bubar DUN Perak.

Namun, perkembangan di Perak yang semakin merumitkan mungkin akan memaksa DYMM Sultan Perak untuk membubarkan DUN walaupun belum dapat ilham.

Kemelut dan krisis di Perak akan berpanjangan dan menjadi tontonan dunia selagi DUN tidak dibubarkan.

Keputusan pilihanraya kecil di Bukit Gantang nanti bakal memberi gambaran tentang sikap dan suara rakyat tentang apa yang berlaku dalam tragedi rampasan kuasa di Perak. Tetapi perlu disedari biarpun mana-mana parti yang bertanding sama ada Pas atau BN akan menang dengan majoriti yang besar tetapi ia tidak akan menamatkan krisis yang berlaku.

Majoriti rakyat Perak seperti kajian badan bebas Merdeka Centre dan poll yang dijalankan di kebanyakan blog dan media mahukan pilihanraya semula. Tidak wujud cara penyelesaian lain yang lebih munasabah.

Selagi pilihanraya kecil di seluruh Perak tidak dijalankan akan wujud lagi pelbagai cerita pelik, lucu dan mungkin tidak masuk akal akan berlaku. Tetapi rakyat hari ini bukannya seperti 'lembu dicucuk' hidung seperti pihak tertentu di negara ini.

Saya perhatikan rakyat Malaysia semakin matang dalam berpolitik khususnya dalam memilih pemimpin.Istilah rasuah kain batik, kain pelikat, beras sekampit dan gula sekilo untuk meraih undi sudah lama berlalu. Malah orang asli yang tinggal di pedalaman pun sudah semakin cerdik dalam memilih pemimpin. Inilah sebenarnya yang dibimbangi oleh pihak yang merasa tergugat khususnya pihak BN jika pilihanraya diadakan. Justeru itu, BN akan seberapa daya dan pelbagai usaha akan memastikan agar tidak berlaku pembubaran DUN Perak.Pelbagai alasan dan helah akan diberikan untuk menghalang pilihanraya diadakan.

Ini kerana BN khususnya Umno menyedari, perkembangan yang berlaku menyukarkan mereka untuk memenangi mana-mana pilihanraya di negara ini. Pilihanraya kecil yang bakal di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai sebenarnya memberi igauan ngeri kepada Umno dan BN.

27 February 2009

SULTAN PERAK TERIMA UGUTAN BUNUH???

Maklumat terkini dari TV 1 melapor DYMM sultan Perak menerima ugutan bunuh! Difahamkan mufti Perak Dato' Harussani Zakaria membuat laporan polis ekoran ugutan yang diterima oleh Sultan Perak.

Tetapi....Adakah rakyat di negara ini sanggup dan tergamak melakukan ugutan demikan? Hanya orang hilang akal sahaja yang sanggup buat demikian. Kalau tidak pun tindakan 'budak-budak nakal' macam ribuan panggilan palsu yang diterima oleh talian 999. Jika tidak pun ada pihak tertentu yang sengaja mengada-adakan isu ini. Untuk apa saya beranggapan demikian? Saya yakin anda ada jawapannya....Fikirlah sendiri....

26 February 2009

TOL NAIK LAGI! 'HADIAH' BN KEPADA RAKYAT

Ramai yang marah-marah dan mengeluh dengan kenaikan tol yang diumumkan oleh kerajaan BN di kebanyakan lebuhraya utama di Malaysia. Kenaikan kali ini adalah sehingga 33%.

Saya tidak terkejut dengan kenaikan tol 'terlampau' yang berlaku. Malah semua penduduk Malaysia perlu menyedari bahawa kenaikan 'terlampau' ini bukan kenaikan yang terakhir! Ini akan terus berlaku selagi kerajaan BN terus diberi mandat dalam pilihanraya akan datang. Mereka lebih menjaga kepentingan kroni daripada membela dan mengambil berat nasib rakyat.

Sepatutnya kerajaan perlu mengambil kira kemelut ekonomi yang berlaku. Sekurang-kurangnya jika kenaikan ini tak dapat dielakkan kerana perjanjian 'berat sebelah' dengan pemilik konsesi lebuhraya dengan menangguhkan ke satu tempoh sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.

Kenaikan ini pasti akan memburukkan kegawatan ekonomi yang berlaku. Selepas ini kita akan meyaksikan 'pesta' kenaikan harga barang pula. Para pembekal dan pengedar sudah pasti terpaksa meningkatkan harga barang untuk menyerap kos pengangkutan yang meningkat. Melainkan para pembekal memilih atau mencari alternatif menggunakan sampan dan tongkang!

Kejatuhan barang komoditi seperti kelapa sawit dan getah sudah cukup memeritkan kehidupan rakyat. Keadaan diburukkan dalam sektor industri yang saban minggu ribuan kehilangan kerja. Bagi yang masih dikekalkan dalam sektor industri tidak ada lagi kerja overtime seperti dulu. Malah waktu bekerja disingkatkan dari 5 atau 6 hari seminggu kepada 3 hari je seminggu. Bermakna gaji mereka terpaksa dipotong! Bermakna mereka hilang sehingga sebahagian pendapatan bulanan mereka.

Bagaimana mereka nak bayar ansuran kereta, sewa rumah, bayar pada pengasuh dan membeli barang keperluan? Kini mereka terpaksa menanggung kos tol yang dinaikkan begitu luar biasa! Kenaikan tol ini pasti akan memeritkkan pekerja industri dan semua pengguna yang berulang alik mengunakan lebuh raya ke tempat kerja dan pelbagai urusan lain.

Apakah kerajaan tidak fikirkan itu semua? Malah kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamad hari ini semasa mengumumkan kenaikan tol dengan menyifatkan kenaikan yang sangat kecil sebagai kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang menggambarkan keegoan pemimpin BN yang tidak mementingkan kehidupan serta nasib rakyat.

25 February 2009

SULTAN SELANGOR MAKIN DIKAGUMI DAN DIHORMATI...


Tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menolak campur tangan berhubung kedudukan exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong yang mahu meletak jawatan itu dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan telah mengangkat martabat baginda sebagai payung negeri yang dikagumi dan dihormati.

Inilah contoh dan amalan yang wajar diikuti oleh institusi istana di negeri negeri lain bagi menjunjung konsep raja berlembagaan.

Menurut kenyataan Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani di sini hari ini, keputusan tersebut dibuat kerana Sultan Selangor sememangnya bersikap berkecuali dalam hal ehwal yang membabitkan politik.

Malah, kes Elizabeth itu masih lagi dalam siasatan pihak polis selain melibatkan kedudukannya sendiri dalam politik.

Namun apa yang berlaku di Perak adalah sebaliknya. Tindakan instusi beraja telah menghakis dan mengurangkan perasaan hormat terhadap institusi yang mulia ini. Sultan dilihat dipengaruhi oleh 'tangan-tangan ghaib' yang kononnya ingin mempertahankan institusi beraja. Sebaliknya, berniat serong kerana kerakusan dan kegelojohan dalam berpolitik.

Orang Melayu memang terkenal dengan budi bahasa dan menyanjungi sistem beraja. Namun kebangkitan suara rakyat di Perak wajar dijadikan renungan oleh semua. Kenapa rakyat bangun dah menyatakan protes kepada istana? Siapa yang memperalatkan istana? Apakah punca pihak istana seolah-olah terpaksa tunduk kepada pengaruh politik sehingga mengabaikan prinsip undang-undang dan pelembagaan?

Tetapi apa yang berlaku di Selangor wajar membuka mata semua bahawa rakyat khususnya orang Melayu begitu menyayangi dan menyanjungi institusi istana dengan sikap yang ditunjukkan oleh baginda DYMM Sultan Selangor. Benarlah kata-kata " Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah'.

SPRM MENJADIKAN KHIR TOYO SUCI DARI RASUAH?


Pelbagai laporan dan aduan dah dibuat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan bekas MB Selangor kepada BPR kini SPRM.

Semua laporan disertakan dengan dokumen yang menyokong aduan dibuat. Dari rasuah membabitkan lembu korban sampailah rasuah yang membabitkan nilai jutaan ringgit. Terbaru membabitkan laporan Khir Toyo menerima bayaran RM17 juta daripada seorang individu hasil jualan tujuh unit hartanah Al Marwa Tower di Makkah, Arab Saudi.

Pembayaran tanpa sebarang resit rasmi itu diterima hasil jualan tujuh daripada 12 unit hartanah yang dibuat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Makkah.

Sudah berlambak dan laporan yang dibuat.....Apa yang berlaku akhirnya? SPRM akan beritahu..... kita kekurangan bukti, saksi tak cukup, laporan tak lengkap.....Tetapi bila melibatkan MB Selangor sekarang.... Dalam masa yang cukup singkat....SPRM kata apa????Kita mempunyai bukti yang cukup dan kuat tentang kes rasuah dan penyelewengan serta salah guna kuasa...SPRM akan menyerahkan kertas siasatan pada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya...SPRM ada Prima facie dalam kes ini...Kes ini akan disegerakan kerana melibatkan kepentingan umum....Ini apa cerita???


24 February 2009

PILIHANRAYA TIGA BUKIT SATU BATANG


Pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau sudah pasti. Bukit Lanjan 99.99% bakal menyusul. Terkini negara bakal berhadapan dengan satu lagi pilihanraya kecil di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Ai, Dublin Untini meninggal dunia jam 1.25 pagi tadi akibat angin ahmar.

Maka dengan ini pilihanraya kecil kali ini melibatkan tiga bukit dan satu batang.
Kita sama-sama tunggu parti mana yang berjaya menawan tiga bukit atau bakal dihempap oleh tiga bukit dan satu batang! Senario yang menarik dan jarang-jarang berlaku dalam politik negara.