20 April 2009

DUN TERANGGANU BAKAL BUBAR?

Dato Ahmad Said Menteri Besar Terangganu berhadapan krisis keyakinan yang semakin meruncing apabila jumlah wakil rakyat Umno@BN yang menolak kepimpinan beliau meningkat daripada 10 kepada 18 orang.

Perkara ini didedahkan oleh Setiausaha Kelab Penyokong BN Terengganu, Alias Abdullah mendakwa, sehingga hari ini jumlah ADUN yang menolak Ahmad meningkat daripada 10 kepada 18 orang.Menurutnya, ADUN terbaru menyertai kumpulan mereka termasuklah beberapa exco kerajaan negeri.

Ahmad Said sekarang dalam keadaan begitu tertekan dengan perkembangan terbaru yang berlaku. Beliau boleh menguji dan mengembalikan kredibiliti dan pengaruhnya di DUN Terangganu dengan mendapatkan 'mandat' baru daripada wakil rakyat Umno@BN dengan meminta wakil rakyat Umno@BN yang masih setia bersama beliau membuat usul menyokong kepimpinannya.

Namun begitu dalam keadaan sekarang, saya yakin Ahmad Said tidak akan berani membuat demikian, pilihan yang ada sekarang ialah membuat pertimbangan yang paling serius dengan memohon perkenan pemangku sultan untuk membubarkan dun Terangganu. Tetapi dalam keadaan sekarang saya yakin Perdana Menteri Dato Seri Najib tidak akan merestui tindakan tersebut memandangkan Umno khususnya sedang berdepan krisis keyakinan dan sokongan daripada rakyat.

Namun begitu, pembubaran Dun adalah opsyen terbaik yang ada kepada Ahmad Said untuk menyelamatkan maruah beliau berbanding sekiranya 18 Adun yang 'menderhaka' bertindak terlebih dahulu untuk memohon mengadap Pemangku sultan untuk mendapat perkenan pelantikan Menteri Besar Terangganu yang baru berdasarkan sokongan yang ada sekarang.

Tetapi persoalan yang lain adakah SPR akan 'merestui' jika Dun Terangganu dibubarkan? Dalam kes di Penanti, SPR masih berteka-teki dengan status kekosongan kerusi di dun berkenaan. Malah Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar hari ini berkata bahawa badan itu akan mengkaji status kerusi dun atau parlimen yang dikosongkan dengan sengaja akibat masalah peribadi dan krisis dalaman parti. Adakah Umno@BN terkecuali dalam situasi ini?

Apa yang berlaku bakal merentap keegoan dan kebongkakan tindakan Umno@BN di Perak yang merampas kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat secara sah dalam pilihanraya. Apa yang berlaku di Terangganu ibarat api dalam sekam yang sudah merebak yang tidak dapat dipadamkan yang bakal mempercepatkan lagi kejatuhan era Umno@BN dalam persada politik negara.

19 April 2009

DR MAHATHIR GESA AGAR UMNO BERTANDING DI PENANTI DAN BINA JAMBATAN BENGKOK


Umno@BN kemungkinan besar akan membatalkan hasrat memberi kemenangan percuma kepada PKR dalam pilihanraya kecil Penanti. Mantan PM, Tun Dr Mahathir yang kini menjadi 'mentor' dan 'penasihat' kepada Dato Seri Najib mengesa agar Umno@BN tidak mengangkat bendera putih di Penanti.

Umno@BN akhir-akhir ini dilihat begitu fobia dengan pilihanraya kecil setelah ditolak oleh majoriti rakyat dalam 4 siri pilihanraya kecil. Jadi pelbagai alasan diberi untuk 'menghalalkan' agar Umno tidak bertanding di Penanti.

Saya melihat penyertaan Umno dalam pilihanraya kecil itu semakin pasti apabila wujud gesaan dari Dr Mahathir. Ini telah terbukti apabila semua 'nasihat' Mahathir sebelum ini pasca era Pak Lah sebagai PM akan dituruti khususnya oleh DS Najib. Walaupun tidak dinyatakan secara terbuka seperti pelantikan Muhriz dan tidak melantik Khairy di dalam kabinet serta beberapa isu lain.

Dalam satu isu yang lain, pembinaan Jambatan Bengkok menyeberangi Tambak Johor yang dibatalkan di bawah era Pak Lah bakal menjadi kenyataan di bawah pimpinan DS Najib. Ini telah saya jangkakan sejak awal lagi apabila DS Najib menjadi PM maka wujud gesaan daripada pelbagai pihak agar pembinaan Jambatan Bengkok itu diteruskan. Saya siarkan komen seorang pembaca dalam posting saya sebelum ini bawah tajuk 'Sudah-sudahlah dengan Jambatan Bengkok tu...' untuk penilaian pembaca.

Orang bodoh saja buat jambatan bengkok.

Jarak terdekat antara poin A dan poin B adalah garisan lurus. Kalau bengkok jaraknya adalah lebih panjang. Tentunya kos buat jambatan lebih panjang lebih tinggi.Siapa yang untung??

Perlu sangatkah jambatan ini? Kalau tak ada jambatan ini rugikah kita? Kalau ianya untuk keperluan pengangkutan untuk mengekspot barangan hasil industri kita melalui pelabuhan singapura seperti dulu kala, bukankah kita dah ada pelabuhan yang hebat di tanjung pelepas dan johor port.

Tak terfikirkah oleh mereka yang inginkan jambatan ini risiko-risiko pembinaan jambatan ini? Nak cakap buat kajian dulu kan lebih baik dari mengikut emosi dan sokongan buta tuli.

Pakar kejuruteraan menyebut walaupun dibina jambatan merentasi selat tebrau kapal-kapal dgang tidak boleh juga menggunakannya kerana selat ini cetek. Kalau kita nak dalamkannya untuk laluan kapalpun, kerja-kerja mengorek perlu dilakukan setiap hari kerana akan berlaku mendapan berterusan akibat hakisan tebing dan pantai Johor dan Singapura. Berapa pula kos untuk kerja-kerja mendalamkan selat dan kerja-kerja maintenance ini?

Berapakah ketinggian jambatan ini, bahasa kejuruteraannya 'air draft' untuk laluan kapal? 24 meter kalau tak silap saya. Selat ini kecil sahaja. Kalau nak buat jambatan yang midsapnnya setinggi 24 meter dari aras laut, bayangkan kecerunan jambatan tersebut. Sebab itulah dicadangkan bengkok. tak logik lansung.

Apakah kerajaan kena belanja berbilion duit rakyat lagi untuk memuaskan hati seorang tua dan impiannya?

iR Nisarr

15/4/09 2:44 PM

18 April 2009

UMNO BUAT PROGRAM JUDI DALAM MAJLIS PERASMIAN SURAU

Hari ini berlangsung majlis Perasmian Surau dan Balairaya Taman Angkasa Nuri. Program ini di bawah Japerun Durian Tunggal dan JKKK Gangsa (Umno le tu..) .Tuan rumah hanya menyediakan tempat dan yang lain-lainnya dikendalikan oleh Japerun dan JKKK.

Pelbagai acara disusun di antaranya pertandingan azan, mewarna kanak-kanak tadika, memasak ikan sungai, pameran dan pemeriksaan kesihatan. Acara pada mulanya berjalan elok dicemari dengan program berunsur judi. Pihak penganjur telah membuat pertandingan meneka berat buku dan jumlah muka surat. Nak teka tak salah, yang jadi salah apabila bayaran dikenakan sebanyak 50 sen untuk sekali teka. Judi le tu, sama macam sport toto dan 4 nombor ekor, cuma hadiahnya berbentuk hamper.

Saya difahamkan perkara itu pernah ditegur dalam mesyurat, tetapi memang dah perangai Umno tak kira bab halal dan haram. Perasmian surau pun diadakan majlis unsur judi.

Apa yang lebih memualkan saya, program perasmian surau ini telah digunakan untuk kempen borang pendaftaran ahli Umno. Siapa yang memperalatkan surau dan masjid? Orang Umno tolong jawab? Tak percaya datanglah sekarang di majlis itu yang sedang berlangsung...

UMNO@BN SEMBUNYI FAKTA UNTUK ADAKAN SIDANG DUN HARAM 7 MEI INI

Patutlah dalam sidang akhbar selepas keputusan mahkamah Persekutuan kelmarin,Datuk Zamry abdul Kadir Menteri Besar Kudeta, beliau nampak tidak ceria. Rupa-rupanya ada fakta yang disembunyikan tentang apa yang berlaku sebenarnya dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan berkenaan.

Semua ini menujukkan Umno@BN khususnya di Perak berusaha menyekat kebangkitan rakyat dan memulihkan imej yang tercalar dengan cuba untuk menipu rakyat.

Umno@BN sekali lagi bermain-main dengan istilah 'perkenan Sultan' untuk menghalalkan tindakan haram mereka untuk mengadakan sidang Dun Perak 7 Mei ini.

Terbukti Umno@Bn sengaja ingin mewujudkan suasana kalut dan kacau bilau di Perak. Buatlah apa pun, majoriti rakyat Perak telah menolak mereka. Kesalahan yang mungkin tidak dimaafkan sehingga tujuh keturunan walaupun mereka cuba menarik simpati untuk 'memohon restu' rakyat...

Nak tahu apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan kelmarin sila klik

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=020372&Itemid=85

17 April 2009

SPR TERUS BERSIKAP 'SENGET SEBELAH'

Sejak dulu kini dan selamanya SPR sering kali dilihat bersikap senget sebelah dalam mengendalikan pilihanraya di negara ini khususnya apabila melibatkan pembangkang.

SPR dilihat sering menjadi alat dan hanya mengikut telunjuk Umno@BN dalam melaksanakan hal-hal berkaitan dengan pilihanraya di negara ini.

Terkini menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yuso, badan itu sedang memikirkan dengan serius untuk menghadkan bilangan penyokong sewaktu hari penamaan calon. Ini berikutan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat yang jauh berlipat kali ganda menenggelamkan 'gelombang biru' yang cukup dimegahkan oleh Umno@BN. Kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu dan lima pilihanraya kecil selepas itu ternyata cukup menggerunkan Umno@BN.

Maka pelbagai tuduhan dilemparkan dengan mengatakan penyokong Pakatan Rakyat tidak terkawal, ganas dan membuat provokasi. Andai kata penyokong Umno@BN mengatasi kehadiran penyokong Pakatan Rakyat semasa hari penamaan calon saya yakin SPR tidak berani untuk bertindak atau mengakaji untuk menghadkan kehadiran penyokong.

Jika SPR benar-benar adil dan telus, SPR sepatutnya bertindak tanpa menyebelahi mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang. Kenapa Umno@BN dibiarkan memanipulasi dan memonopoli media dan jentera kerajaan tanpa sebarang tindakan dari SPR? Begitu juga dengan gejala rasuah yang melibatkan Umno@BN tidak termasuk sogokan lain seperti projek 'mee segera' yang dilihat sebelah mata sahaja oleh SPR.

MAHKAMAH MALAYSIA MENJADI BAHAN LAWAK JENAKA

Mahkamah Persekutuan semalam membuat keputusan sebulat suara bahawa tindakan Speaker Perak V. Sivakumar menggantung Menteri Besar Kudeta Datuk Zamry Abdul Kadir dan enam 'exco' sebagai tidak sah dan menyalahi peruntukan undang-undang.

Sejak bila pulak V. Sivakumar menggantung mereka? Keputusan menggantung Zamry dan 'Exco' adalah dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun Perak pada 18 Febuari dan kemudian disahkan oleh sidang Dun Perak pada 3 March lalu. V.Sivakumar tidak pernah membuat keputusan menggantung mereka! Ringkasnya, tindakan menggantung Zamry dan yang lain adalah mengikut prosedur Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.

Bagaimana kes begini penting tidak disedari oleh Peguam Negara, sebagai Ketua Pendakwaraya? Bagaimana mahkamah boleh membuat keputusan dengan fakta kes yang silap? Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menunjukkan kejahilan Umno@BN dalam memahami undang-undang di peringkat negeri dan persekutuan.Memang layaklah mereka terus ditolak oleh majoriti rakyat di negara ini.

KENAPA WUJUD LAYANAN BERBEZA DI ANTARA KES ZAMRY DAN KES NIZAR DI MAHKAMAH ?

Pernah tak kita terfikir kenapa perbicaraan yang melibatkan saman dan injuksi yang dikemukakan oleh Dato Seri Ir Nizar Jamaludin dan Speaker V. Sivakumar agak lewat dan bertangguh-tangguh? Manakala kes yang yang melibatkan Datuk Zamry dibicara dan diputuskan begitu cepat dan efisen?

Kes Nizar dan Sivakumar masih lagi diperingkat mahkamah Tinggi manakala kes Zamry terus sahaja dibicarakan di Mahkamah Persekutuan? Adakah ini satu kebetulan atau konspirasi terancang?

Akhbar perdana yang dikuasai oleh Umno@BN begitu mendabik dada dengan keputusan semalam. Menyifatkan sebagai keputusan bersejarah dan menyelesaikan krisis pelembagaan di Perak. Adakah mereka fikir semudah itu? Apakah mereka fikir Speaker yang dipilih hanya tunggul kayu? Bagaimana pula dengan Keputusan Persidangan Dun Perak pada 3 March lalu? Bagaimana pula dengan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan? Apa yang diputuskan oleh mahkamah semalam sebenarnya hanya menambah lagi kekalutan di tengah-tengah keributan krisis yang melanda Perak sekarang.

Memetik kata-kata Pengerusi DAP Perak,

Mahkamah tidak membuat apa-apa keputusan mengenai 'Persidangan Bawah Pokok' yang dibuat pada 3 Mac 2009. Dalam persidangan itu, keputusan Jawatankuasa Hak & Kebebasan untuk menggantung 7 orang ahli Dewan Negeri itu telah diterima dan diluluskan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan menimbulkan lebih banyak keraguan kerana ianya telah campur tangan dalam prosiding Dewan Negeri.

Menurutnya lagi, apa sahaja keputusan yang dibuat pada hari ini boleh diabaikan oleh Dewan Negeri kerana ia hanya merupakan satu deklarasi dan bukannya mandamus atau certiorari. Beliau menegaskan bahawa deklarasi itu hanyalah pendapat yang tidak menguatkuasakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Dewan Negeri mempunyai undang-undang tersendiri. Undang-undang itu hanya boleh ditafsirkan oleh Speaker. Samada Speaker bertindak secara betul ataupun tidak, hanya dewan sahaja yang boleh membincangkan hal ini melalui usul yang dibawa. Keputusan Speaker hanya boleh dicabar dalam Dewan itu sendiri.

Dato' Ngeh juga mengatakan bahawa Mahkamah telah mentafsir kuasa -kuasa Speaker, adalah tidak baik jika Dewan Negeri juga memberi pendapatnya mengenai keputusan-keputusan Mahkamah. Beliau mengatakan bahawa deklarasi yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan adalah 'akademik dan tidak perlu'.

( dipetik dari http://idhamlim.blogspot.com )

16 April 2009

ZAMRY CADANG ADAKAN SIDANG DUN 9 ATAU 10 MEI? TIDAK SEMUDAH ITU...

Selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan membatalkan keputusan Speaker Perak, Menteri besar Kudeta, Datuk Zamry Abdul Kadir bercadang untuk mendapat perkenan Sultan Perak pada 9 atau 10 Mei ini. Menurut Zamry sidang Dun Perak perlu diadakan sebelum 13 Mei ini menurut Pelembagaan Negeri Perak.( Dun mesti bersidang dalam tempoh 6 bulan)

Zamry mungkin terlupa atau buat-buat terlupa kuasa untuk memanggil sidang Dun adalah hak mutlak speaker Dun. Dalam hal ini sidang Dun adalah tidak perlu kerana Dun Perak baru sahaja bersidang ' di bawah pokok' pada 3 March lalu. Sidang tersebut menurut pakar Pelembagaan Negara Profesor Dr. Aziz Bari adalah sah di sudut pelembagaan. Jika keputusan speaker dianggap tidak sah, bagaimana pula keputusan jawatankuasa Hak dan kebebasan Dun Perak? Bagaimana pula dengan keputusan Sidang Dun tergempar 3 March lalu yang mengesahkan keputusan speaker, V. Sivakumar dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan?

Siapa yang akan jadi Speaker Dun jika V.Sivakumar tetap dengan pendirian untuk tidak mempengerusikan Dun Perak? Umno@BN Perak akan lantik pengerusi JKKK untuk ganti Speaker Dun?

Walaupun mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan hari ini, ia tetap tidak mampu untuk merungkai kemelut politik dan krisis pelembagaan di Perak.Lagipun ada beberapa kes yang sedang dibicarakan di mahkamah yang belum ada sebarang keputusan.Masalah ini akan terus berpanjangan kecuali kembali dengan mendapat mandat baru dari rakyat melalui pembubaran Dun Perak.

UMNO FOBIA DENGAN PILIHANRAYA KECIL?

Seperti dijangka bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Muhammad Fairus Khairudin meletak jawatan sebagai Adun Penanti. Bermakna satu lagi pilihanraya kecil lagi akan diadakan. Insyallah kemenangan di Permatang Pauh, Kuala Terangganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau akan menyusul pula di Penanti.

Umno@BN seakan-akan fobia bila mendengar pilihanraya kecil kerana Umno@BN telah tewas 4-1 secara agregat. Kemenangan yang bakal menyusul di Penanti akan mengesahkan lagi penolakan rakyat kepada Umno@BN dan kepimpinan Dato seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.. Jika di kawasan kubu dan lubuk Umno boleh ditewaskan inikan pula kawasan yang telah sekian lama dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Insyaallah...

MAJORITI RAKYAT PERAK TETAP TIDAK RESTU ZAMRY SEBAGAI MB DAN KERAJAAN HARAM!

Mahkamah Persekutuan hari ini 'membebaskan' penggantungan Datuk Zamry Abdul Kadir dan enam ahli exconya daripada penggantungan yang dibuat oleh jawatankuasa Kebebasan dan Hak DUN Perak yang diketuai oleh Speaker V.Sivakumar selama 18 bulan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara ini bakal menyaksikan bermulanya sejarah dalam sistem perundangan negara bahawa kuasa Dewan Rakyat dan DUN tidak lagi mempunyai imuniti dan kekebalan khususnya kuasa speaker kerana boleh dicabar dan dipertikaikan di mahkamah.

Bermakna selepas ini, mana-mana wakil rakyat boleh mencabar keputusan speaker dalam dewan yang mulia di mahkamah. Misalnya penggantungan Gobind Singh Deo oleh speaker Dewan Rakyat selama setahun. Persoalan timbul adakah mahkamah bakal mengambil alih fungsi dan kuasa speaker selepas ini? Sudah pasti kes ini akan dijadikan rujukan dalam kes yang berkaitan pada masa akan datang.

Walaupun mahkamah telah membebaskan Zamry dan 6 exco yang lain, majoriti rakyat Perak tetap menolak mereka sebagai wakil rakyat dan menubuhkan kerajaan haram di Perak. Ini telah dibuktikan dalam Pilihanraya Kecil Bukit Gantang bahawa rakyat telah menolak 'mohon restu' dan menghantar referendum dengan memberi kemenangan besar kepada Menteri Besar Rakyat Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin.Umno@BN tidak akan berani untuk berhadapan dengan suara dan kehendak rakyat Perak yang menuntut satu pilihanraya semula diadakan.

Dalam masa yang sama, Zamry masih belum boleh mendabik dada sebagai MB Perak kerana perbicaraan status beliau sebagai MB masih di peringkat perbicaraan di mahkamah. Di samping itu saya yakin V. Sivakumar akan merayu dan mencabar keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan hari ini. Kemelut di Perak tetap akan berpanjangan selagi DUN tidak dibubarkan untuk mendapat mandat dan restu dari rakyat Perak.