26 April 2009

GAGASAN SATU MALAYSIA DAN PEPSI COLA

Presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Awang menyifatkan slogan pembaharuan Satu Malaysia oleh Dato Seri Najib hanya gimik politik seperti pepsi cola.

Pepsi Cola, mungkin budak-budak hari ini tidak lagi mendengar jenama minuman berkarbonat popular satu ketika dulu. Kalau tak silap saya, Micheal Jackson@Mikael Jakson merupakan duta produk ini dengan nilai tajaan puluhan juta ringgit.

Maka ramailah orang meminum pepsi cola kerana tertarik dengan iklan serta gimik yang dibuat oleh Micheal Jackson dalam iklan Pepsi cola sambil menari terkinja-kinja.

Tetapi saya yakin mereka yang pernah minum air Pepsi Cola mengakui rasanya sebenarnya sama je air karbonat lain di pasaran.

Itulah yang mungkin ingin digambarkan oleh Tuan Guru Hj. Hadi Awang, idea Satu Malaysia hanyalah gimik dari DS Najib yang sebenarnya tetap sama dengan apa yang diperjuangkan oleh Umno@BN selama ini. Dasar Umno@BN tetap tidak berubah daripada menggula-gulakan rakyat dengan projek Mee Segera dan pelbagai gimik yang lain.

Maka gimik terus dibuat daripada semasa ke semasa untuk menunjukkan bahawa PM hari ini menggutamakan rakyat. Justeru itu 'pemimpin berjiwa rakyat' ini dapat dilihat bersama dengan orang ramai di Petaling Street hinggalah boleh duduk minum teh tarik di gerai minah endon di Puduraya.

Apakah dengan bersama rakyat di Petaling Street dan Puduraya rakyat di negara ini telah melupakan segala kisah silam DS Najib?

Malah gagasan Satu Malaysia oleh DS Najib sebenarnya telah ketinggalan zaman. Pas telah terlebih dahulu mengenengahkan idea Pas Untuk Semua yang semakin diterima oleh rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini. Malah 15 tahun yang lalu Presiden Pas ketika itu, Almarhum Ustaz Fadzil Nor telah mengutarakan idea 'memasyarakatkan Pas'.

Bermakna idea Satu Malaysia bukan sahaja hanya gimik tetapi juga telah ketinggalan zaman, sama dengan Pepsi Cola!

ISU AGAMA OLEH KABINET, NAJIB MENDERHAKA?


Tindakan Barisan Kabinet Satu Malaysia yang membuat keputusan kontroversi berkaitan soal agama anak yang kekal mengikut agama asal ibu bapa semasa berkahwin bukan sahaja membelakangkan Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi juga kuasa Sultan dan DYMM Agong.

Apa perlu wujudnya Majlis Fatwa Kebangsan sekiranya persoalan berkaitan dengan agama boleh diputuskan oleh wakil Umno, MCA dan MIC serta komponen BN yang lain yang berbilang bangsa dan agama.

Tindakan Kabinet Najib dilihat bukan sahaja bertentangan dengan bidang kuasa yang ada tetapi juga telah mengambil alih kuasa Sultan dan DYMM Agong yang bertanggungjawab dalam hal yang berkaitan dengan adat resam dan agama Islam di negara ini.

Adakah Perdana Menteri Dato Seri Najib dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Major Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharum membincangkan perkara ini dengan DYMM Agong sebelum membuat keputusan yang merobek dan mencabar maruah dan kedaulatan Islam di negara ini?

Perkara ini wajar dijelaskan oleh Najib adakah DYMM Agong telah dimaklumkan dan memperkenankan hal yang berkaitan dengan umat Islam ini? Jika keputusan jemaah menteri ini dibuat tanpa perkenan DYMM Tuanku bermakna Najib dan seluruh anggota kabinet bukan sahaja telah mengambil tugas Majlis Fatwa tetapi juga telah menderhaka!

25 April 2009

PRESIDEN PAS CABAR BN BERTANDING DI PENANTI

Presiden Pas, Tuan Guru Dato' Hj. Abdul Hadi Awang mencabar agar Umno@BN bertanding di Dun Penanti. Cabaran ini dibuat semasa Tuan Guru merasmikan Mesyuarat Agong Pas Kawasan Bachok, Kelantan.

Cabaran ini dibuat memandangkan Umno@BN terus berdolak-dalik dan cuba mencari alasan seperti ingin mengelakkan mereka dihakimi oleh rakyat sekali lagi dalam pilihanraya kecil.

Umno@BN kini bersikap defensif serta cuba 'melakonkan' watak baik kononnya tidak mahu membazirkan duit rakyat dengan menyertai pilihanraya di Penanti

Sejak bila pulak Umno@BN pandai berjimat cermat guna duit rakyat? Bayaran pampasan yang tak sepatutnya kepada konsortium yang membina Jambatan Bengkok yang dibatalkan berjumlah lebih daripada RM 200 lebih daripada cukup untuk mengadakan lima kali pilihanraya umum. Begitu juga dengan pembaziran duit rakyat akibat pampasan yang bakal dibayar oleh kerajaan Umno@BN Pahang sebanyak RM 63 juta kepada sebuah syarikat pembalakan. Semua ini menunjukkan kejayaaan dasar jimat cermat kerajaan Umno@BN memerintah negara.

Banyak lagi kejayaan hasil jimat cermat kerajaan Umno@BN yang tak perlu diungkapkan yang sudah muak kita mendengarnya setiap hari.

Jika Umno@BN selama ini begitu mendabik dada dan angkuh mengatakan mereka masih mendapat sokongan rakyat hasil perubahan dalam umno kenapa takut untuk menyertai pilihanraya di Penanti? Adakah mereka bimbang lebih banyak maklumat atau rahsia penyelewengan dan skandal akan diketahui oleh rakyat? Bukankah mereka menguasai rangkaian syarikat telivesyen dan akhbar untuk menjelaskan 'kebaikan' Umno@BN?

Umno@BN perlu belajar sejarah perjuangan Pas yang tetap bertanding dan meletakkan calon walaupun kawasan yang ditandingi sebelum ini adalah kawasan yang menjadi kubu kuat Umno. Malah dalam beberapa siri piliharaya sebelum ini, Pas sering hilang deposit bagi kawasan yang ditandingi seperti di Johor, Sabah dan Sarawak. Tetapi pernah tak Pas menarik diri daripada tidak bertanding dengan memberi kemenangan percuma?

Oleh itu Umno@BN sebenarnya tidak ada alasan untuk tidak bertanding di Penanti. Kalah menang adalah adat dalam pertandingan. Tetapi mengaku kalah sebelum bertanding melayakkan pemimpin Umno@BN yang ada sekarang lebih afdal duduk di dapur daripada cakap bergegar-gegar sampai bergoyang mikrofon!

KETERBUKAAN PAS ASAS KEKUATAN PAS


Pas yang saya sertai kira-kira 15 tahun lalu ketika itu dianggap parti golongan lebai, berkopiah putih dan bertudung labuh. Amat sukar untuk melihat golongan 'rugged' atau 'mat rock' seperti Saudara Sofi blogger Mutaligat berada dalam Pas. Jauh sekali untuk melihat golongan bukan Islam seperti orang Cina dan India menyokong Pas secara terbuka seperti hari ini.

Sehinggalah muncul gagasan baru yang dibawa oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd. Nor iaitu 'Memasyarakatkan Pas'. Di antara sedutan ucapan Almarhum yang saya masih ingat sampai sekarang ' Pas perlu masuk dan larut ke dalam masyarakat, Pas perlu diwujudkan dan dikenali di di setiap jalan dan setiap lorong...'

Hari ini kesinambungan 'Memasyaratkan Pas' diterjemahkan dalam jenama baru ' Pas For All'. Pas hari ini telah berjaya bukan sahaja merentasi sempadan di antara negeri dan negara tetapi melangkaui perbezaan budaya, bangsa dan agama.

Muktamar Pas yang bakal berlangsung 3 hingga 7 Jun ini terus menterjemahkan tentang keterbukaan dan demokrasi yang cukup subur di dalam Pas. Sesiapa sahaja ahli Pas walaupun yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak atau di Hulu Pahang, Terangganu dan Kelantan boleh bertanding mana-mana jawatan dalam Pas asalkan mendapat pencalonan dari kawasan. Walupun hanya mendapat satu pencalonan!

Maka hari ini ramailah muka baru dan lama dicalonkan untuk jawatan tertinggi parti. Wujudlah senario kononnya persaingan di antara golongan profesional dan ulamak. Siapa yang melabelkan mereka begitu? Tak lain dan tidak bukan adalah dari parti lawan yang cemburu dengan kekentalan dan perpaduan perjuangan Pas selama ini yang mengalami pelbagai pasang surut dalam arus politik negara.

Jurang di antara profesional dan ulama' yang dikatakan wujud ini terutama di kalangan profesional semakin mengecil apabila ciri-ciri ulamak ada pada golongan profesioanal dan ciri-ciri profesional ada pada golongan ulamak. Ini adalah hasil kejayaan pentarbiyahan di dalam Pas selama ini.

Apa yang paling penting sesiapa pun yang terpilih dalam jawatan tertinggi dalam Pas nanti perlu memiliki sifat dan ciri-ciri pemimpin yang dituntut dalam Islam. Jika mereka cukup syarat mereka layak untuk dipilih untuk menjadi pemimpin dan menerajui Pas. Tidak timbul isu mereka golongan 'ulama'' atau 'profesional'. Apa yang lebih penting lagi mereka bersedia melaksanakan amanah dan meneruskan wadah perjuangan Pas dalam era golbalisasi yang semakin mencabar.

24 April 2009

ALI RUSTAM KEKAL DAN DILANTIK MT: TAKZIAH UNTUK ORANG MELAKA...


Datuk Seri Muhd. Ali Rustam dikekalkan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Melaka dan turut dilantik sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno.

Kalau malam semalam Ali Rustam mungkin tidak lena dan tidak puas tidur memikirkan nasibnya dalam Umno, malam ini Ali Rustam mungkin boleh tidur berdengkur!

Inilah baru betul pembaharuan dalam Umno. Satu Malaysia, rakyat didahulukan prestasi diutamakan! Utamakan rakyat? Macam mana perasuah terus disanjung dan dijulang? Seolah-olah pelantikan Ali Rustam menunjukkan amalan rasuah sesuatu perbuatan yang mulia di sisi Umno.

Moral buat pemimpin Umno yang lain, kalau nak dilantik ke jawatan-jawatan penting dalam Umno buat le rasuah banyak-banyak. Begitu juga dengan pelantikan Datuk Rafidah Aziz yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal pemberian saham kepada anak serta menantu dan isu AP turut dilantik sebagai MT Umno.

Takziah buat orang Melaka kerana anda terus diterajui oleh perasuah.....

23 April 2009

MELAKA,PERLIS DAN TERANGGANU AKAN MENDAPAT KETUA BARU?


Tiga negeri Melaka, Perlis dan Terangganu mewakili Selatan, Utara dan Timur Semenanjung dijangka akan mendapat pengerusi perhubungan Umno baru. Keputusan itu dijangkakan akan diumumkan esok selepas Mesyurat Tertinggi Umno di PWTC.

Bermakna Melaka dan Terangganu kemungkinan besar akan diterajui oleh orang baru. Jika ini menjadi kenyataan Dato Seri Muhd. Ali Rustam dan Datuk Ahmad Said boleh memikirkan nasib dan survival politik mereka selepas ini.

Pelantikan pengerusi perhubungan baru yang bukan terdiri daripada Menteri Besar dan Ketua Menteri merupakan isyarat yang cukup jelas daripada Dato Seri Najib untuk membawa 'pembaharuan' dalam Umno seperti yang dicanangkan. Ini bermakna mereka tidak lagi diberi kepercayaan untuk mentadbir negeri. Adalah sesuatu yang janggal seperti di Perlis apabila Menteri Besar tidak dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri. Kesannya berlaku konflik dalaman seperti api dalam sekam. Maka wujud istilah 'produk haram' seperti yang dilabelkan beberapa pemimpin Umno Perlis kepada Dr. Isa Sabu, Menteri Besar sekarang.

Adakah Ali Rustam dan Ahmad Said akan 'sembah derhaka' jika tidak dipilih sebagai pengerusi perhubungan negeri dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi esok? Sama-samalah kita nantikan episod yang seterusnya.

Apa-apapun pembaharuan dan konsep 'Satu Malaysia' yang cuba dibawa dalam Umno melalui Mesyuarat MT esok semua itu sudah terlambat bagi Umno. Tempoh masa yang diberi lebih setengah abad menerajui negara satu tempoh yang sangat lama yang telah dikhianati dengan pelbagai skandal, kezaliman, penyelewengan, penindasan, rasuah yang semakin membarah dalam negara yang terlalu sukar untuk dimaafkan oleh majoriti rakyat di negara ini.

ORANG UMNO SUDAH HILANG SABAR DENGAN DR. MAHATHIR


Kemasukan Tun Dr. Mahathir semula ke dalam Umno semakin tidak disenangi oleh orang Umno sendiri. Terdapat kepercayaan di kalangan orang Umno sendiri, kekalahan Umno@BN dalam pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau sedikit sebanyak disumbangkan oleh 'keceluparan' Dr. Mahathir yang tidak disenangi oleh orang Umno sendiri.

Malah Datuk Ahmad Sabery Chik, Menteri Penerangan sebelum ini dikatakan terselamat daripada terpelanting dari kabinet 'Satu Malaysia' Dato Seri Najib apabila menyiarkan secara langsung ucapan Dr. Mahathir di Bukit Gantang yang dikatakan menghakis kepercayaan pengundi serta menambah kebencian rakyat kepada Umno@BN.

Terbaru apabila Exco Pemuda Umno Pusat yang melompat dari Keadilan, Lokman Nor Adam meminta Dr. Mahathir diam! Ini berikutan kenyataan-kenyataan Dr. Mahathir yang dilihat cuba mempengaruhi pentadbiran Najib. Di antara isu terkini ialah permintaan Dr. Mahathir supaya Umno bertanding di Dun Penanti yang dikatakan bertentangan dengan hasrat Najib dan akar umbi dalam Umno. Mahathir juga secara terbuka menggesa agar kerajaan Umno@BN meneruskan pembinaan Jambatan Bengkok.

Saya yakin kritikan ini akan mewujudkan pergeseran yang akan terus menyebabkan Umno@BN berada dalam keadaan perpecahan yang semakin sukar untuk diselamatkan. Sudah pasti selepas ini terdapat mereka yang menyokong dan mempertahankan Dr. Mahathir dalam Umno

22 April 2009

SPR BERMAIN SILAP MATA KEKOSONGAN KERUSI DUN PENANTI?


Ada yang tak kena apabila SPR terus melewat-lewatkan tentang kekosongan kerusi Dun Penanti. Apa lagi yang SPR tunggu dan hendak siasat setelah kerusi itu diistiharkan kosong oleh Speaker Dun Pulau Pinang.

Perkara ini diumumkan sebentar tadi oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata, Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan membuat pengumuman itu pada sidang media yang akan diadakan pada Isnin ini, jam 10 pagi di Ibu Pejabat SPR di sini.

“SPR yang bermesyuarat hari ini telah membincangkan perkara-perkara berkaitan kekosongan kerusi N.12 Penanti, Pulau Pinang.

“Berkaitan dengan perkara tersebut, sidang media oleh pengerusinya yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini, telah ditunda kepada Isnin depan (27 April 2009) di Ibu Pejabat SPR di sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Adakah SPR mendapat arahan baru daripada pihak tertentu? Mungkinkah ada 'kejutan' yang tidak mengejutkan yang bakal diumumkan oleh SPR pada hari Isnin depan?

Satu Malaysia dah tahu SPR kini seolah-olah menjadi alat kepada Umno@BN. Segala tindak tanduk SPR akhir-akhir ini seperti SPR sebagai komponen BN. Ini semua rentetan daripada kekalahan Umno@BN dalam empat siri Pilihanraya Kecil. Apabila bekas Adun Penanti mengumumkan meletak jawatan, maka Dato Seri Najib menyifatkan ia sebagai helah Pakatan Rakyat. Maka lepas itu para juak-juak dalam Umno menggesa agar Umno memulaukan pilihanraya tersebut.

Apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa Umno@BN begitu trauma untuk berhadapan dengan kebangkitan dan suara rakyat. Maka pelbagai alasan diberi untuk memastikan pilihanraya kecil ini dapat dielakkan. Kita tunggu apa 'silap mata' SPR kali ini pada Isnin depan.

SPEAKER MELAKA TUNJUK KUASA, SPEAKER PERAK MACAM MANA?

Hebat betul dengan speaker Melaka, Datuk Othman Muhamad setelah semalam menolak usul tidak percaya kepada Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Muhd. Ali Rustam hari ini bertindak lebih 'garang' dengan mengarahkan Ketua Pembangkang,Goh Leong San meninggalkan dewan setelah tidak menghiraukan arahan Speaker supaya duduk. Goh diarah keluar dewan kira-kira jam 12.15 tadi.

Berita ini pasti 'menggerunkan' Datuk Zamry Abdul Kadir Menteri Besar Kudeta di Perak tentang kuasa yang ada pada Speaker dalam menghadapi sidang Dun Perak akan datang. Speaker Perak V. Sivakumar sudah pasti tersenyum dengan berita ini.

ALI RUSTAM TERLIBAT MENONTON VCD LUCAH?


Sidang DUN Melaka semalam bukan sahaja 'meriah' dengan isu usul tidak percaya yang cuba dibawa oleh Ketua Pembangkang, Goh Leong San tetapi juga isu gambar dan video membabitkan adun Bukit Lanjan, Elizebert Wong dan teman lelakinya.

Cubaan Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Muhd. Ali Rustam meminta 'fatwa' daripada Adun Kota Laksamana, Betty Chew ternyata akhirnya menikam diri sendiri.

"Adakah tindakan yang betul bagi seorang wakil rakyat wanita tidur dengan teman lelaki Melayunya,"

Mohd Ali kemudiannya bertanya Chew sama ada beliau ada menonton video Wong yang dimaksudkan itu dan Chew menjawab, beliau tidak menontonnya.

Beliau mengulangi soalan itu kepada Chew beberapa kali sehingga seorang ADUN membalas:

"Mengapa anda begitu terpesona dengan Elizabeth Wong dan isu telanjang sehingga membangkitkannya beberapa kali?,"

Ketua Pembangkang, Goh Leong San kemudiannya bangun untuk membela Chew dengan mengatakan Mohd Ali telah melakukan gangguan seksual terhadap Chew dengan bertanyakan soalan itu sehingga Speaker Datuk Othman Muhamad seterusnya cuba meredakan ketegangan itu dengan mengatakan "beliau telah melihat video itu".

Hal itu menyebabkan Goh bertanya jika Mohd Ali telah melihat video itu yang kemudiannya dijawab yang beliau hanya "melihat satu video".

Maka memang wajar sekali Ketua Menteri Melaka ini untuk terus didesak untuk melepaskan jawatannya. Ini kerana bukan sahaja terlibat dengan rasuah seperti yang dibuktikan oleh Lembaga Disiplin sebelum ini tetapi kini terlibat menonton VCD yang tidak bermoral.

Sumber : The Star Online