15 November 2009

PENGHINAAN UMNO KELANTAN KEPADA TOK GURU NIK AZIZ


Saya mencadangkan agar pemimpin Umno Kelantan dan negeri-negeri lain membanyakkan demontrasi untuk menghina Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Terbaru hari ini Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, Anuar Sapian mengadakan demontrasi dan menghantar memorandum kepada Penolong Pengarah SPRM Kelantan, Muhamad Hafiz Hamzah pada kira-kira pukul 11.30 pagi di pejabat SPRM negeri di Wisma Persektuan, di sini.

Kalau boleh buat setiap hari. Insyaallah demontrasi dan penghinaan seperti ini akan meningkatkan kebencian rakyat Kelantan khususnya kepada Umno dan meningkatkan simpati dan sokongan kepada kepimpinan Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat. Sekaligus memastikan Kelantan terus kekal di bawah kepimpinan Pas.


" Tak apalah, saya tak pergi walaupun rindu sangat nak beribadat di sana, harap-harap mereka yang dapat pergi, guna peluang itu sebaik-baiknya" (TGNA - Sinar Harian 14/11/09)

HAKIM KES KOTA SEPUTEH DITUKAR SECARA MENGEJUT

Belum apa-apa lagi sudah wujud tangan ghaib dalam kes Adun Kota Seputeh. Semua maklum bahawa keputusan berkaitan kedudukan adun berkenaan akan ditentukan esok. Perkara berkenaan didedahkan oleh Ustaz Nashrudin Tantawi melalui email yang diedarkan oleh Majlis Peguam dan peguam Pas.

Apakah alasan Hakim Mahkamah Tinggi yang mengendalikan kes berkenaan sebelum ini iaitu Alizatul Khair digantikan dengan Datuk Apandi Ali?

BAI'AH MENJADIKAN PAS DIGERUNI HARI INI


Sama macam cerita Tuan Guru Nik Aziz(TGNA) ke Mekah cerita tentang bai'ah telah disensasikan terutama oleh media milik Umno@BN dan mereka yang sewaktu dengannya. Bagi mereka yang mempertikaikan amalan bai'ah dalam Pas adalah mereka yang buta dengan Sirah Nabi SAW. Amalan bai'ah wujud sebelum hijarahnya Nabi SAW ke Madinah. Bacalah Sirah Nabi SAW tulisan seperti Muhamad Sa'id Ramadhan Al Buti kita pasti akan menemui Ba'iah yang berlaku di zaman Nabi SAW. Cuma bai'ah talak tiga seperti yang didedahkan mungkin lebih kepada individu tertentu dan tidak menjadi pra syarat untuk menyertai perjuangan Pas. Itu adalah kehendak individu itu sendiri.

Semasa di universiti dahulu saya juga terlibat dengan bai'ah setelah berakhirnya Tamrin Qiyadi (pimpinan) di Markas Tarbiyyah Pas Taman Melewar pada sekitar tahun 1990-an. Masa itu tamrin itu telah dihadiri dan diberi pengisian oleh pimpinan tertinggi Pas antaranya Allamarhum Ustaz Fadzil Nor, Ustaz Hassan Shukri, Tn Guru Jaliludin Wahid dan ramai lagi. Saya masih menyimpan 'sijil bai'ah' berkenaan dan dijaga dengan elok sehingga hari ini.

Bai'ah ini menjadikan saya Insyallah kekal dalam Pas dan tidak mengkhianati parti sampai bila-bila.Selepas meninggalkan pengajian di universiti, dalam pilihanraya umum 1999 di Pahang misalnya , pada malam penamaan calon saya dan sahabat ditawarkan ratusan ribu ringgit oleh agen bekas timbalan Menteri Besar Pahang ketika itu ( Datuk Hassan Ariffin ) untuk mengkhianati parti dengan memberi kemenangan percuma kepada Umno. Tugasnya cukup mudah, cuma sengaja lakukan kesilapan pada borang penamaan calon. Tetapi dengan berkat tarbiyyah dan bai'ah bersama Pas menjadikan kami menyedari batas dosa pahala dan halal haram. Malah banyak lagi tawaran yang menyusul selepas itu.

Tawaran yang diterima oleh saya jauh sangat kecil berbanding tawaran yang kadang-kadang mencecah jutaan ringgit seperti yang diterima oleh wakil rakyat Pas di Kelantan misalnya selepas pilihanraya umum 2004 untuk menumbangkan kerajaan TGNA. Apa yang saya nak nyatakan di sini bai'ah menjadi Pas cukup digeruni pada hari ini. Menjadikan Pas kekal kuat dan utuh hari ini. Terlalu jarang-jarang kita mendengar pimpinan Pas mengkhianati parti berbeza dengan parti lain.

Peringatan saya buat Umno@BN bahawa orang Pas tidak gelap mata dengan kuasa dan harta yang dimiliki oleh mereka , buatlah tohmahan, fitnah dan sensasikannya pimpinan dan ahli Pas yang ditarbiyyah dan melalui proses bai'ah tidak akan sama sekali tergugat. Malah pimpinan dan ahli Pas tulen bukan sahaja sanggup berkorban harta malah nyawa untuk mendaulat dan menegakkan keadilan dan keindahan Islam di muka bumi ini.

14 November 2009

ORANG MELAKA KENA KELENTONG LAGI..


Masih lagi tentang cerita Datuk Shah Rukh Khan (SRK). 1Malaysia malah 1dunia gempar bila Melaka melalui Ketua Menteri, Datuk seri Muhd. Ali Rustam mempertahankan gelaran Datuk kepada artis Bollywood ini.

Walaupun mendapat tentangan dan kritikan, akhirnya Shah Rukh Khan artis pertama Bollywood dan mungkin di dunia yang mendapat gelaran Datuk. Alasan Ali Rustam ialah untuk membantu promosi pelancongan di Melaka dan yang lebih utama SRK telah berjanji akan membina studio perfileman di Perkampungan Artis di Melaka Pindah dan menghasilkan filem di sini. Ketika itu Ali Rustam beritahu perkara itu akan terlaksana pada penghujung tahun ini.

Maka ramailah yang melopong dan tumpang semangkuk merasa bangga dengan penjelasan dari kerajaan Melaka. Maka masing-masing mempertahankan kewajaran gelaran yang diberi kepada SRK.

Ternyata SRK tidaklah sebodoh seperti yang disangka. Malah kenyataannya baru-baru ini seperti membodoh-bodohkan orang yang mempertahankan gelaran Datuk kepadanya. SRK memang le setuju datang pada hujung tahun ini tetapi bukan atas urusan membina studio perfileman atau shooting filem di Melaka tetapi untuk buat konsert di Stadium Hang Jebat. SRK kata dia begitu sibuk untuk komitmen pada studio filem dan buat filem di Melaka seperti yang dipersetujui sebelum ini. Kalau tak silap saya, Ali Rustam sendiri ke India pertengahan tahun ini berjumpa SRK dan mengadakan perbincangan ke arah itu.

Kalau sekadar nak buat konsert nak menghiburkan rakyat Melaka menonton aksi artis Bollywood tak perlu le susah-susah nak bagi Datuk. Artis Bollywood hari-hari boleh tengok dalam TV. Ramai lagi artis luar yang datang tanpa dijanjikan gelaran Datuk. Lebih malang lagi SRK menyatakan dia hanya bersetuju dengan konsert itu jika ia ditaja sepenuhnya. Maka Ali Rustam 'mendesak' syarikat Mamee Double Deccker menaja konsert berkenaan.

Apakah tak cukup lagi masalah sosial yang berlaku di Melaka akibat budaya negatif yang direstui oleh kerajaan Melaka melalui pelbagai persembahan dan budaya negatif? Apakah Ali Rustam nak mengiburkan dan melalaikan rakyat Melaka yang agaknya tak puas lagi menyaksikan pusat dan gelekan artis Bollywood saban hari dalam telivesyen? Apakah Ali Rustam nak beri lebih kepuasan kepada rakyat Melaka?

Mungkin inilah agaknya slogan rakyat didahulukan...Bayangkan berapa juta yang terpaksa bakal hangus jika konsert itu menjadi kenyataan. Berapa ramai lagi khasnya anak Melayu yang bakal rosak dengan konsert yang bakal diadakan? Berapa banyak lagi anak haram yang bakal dilahirkan di Melaka kesan dari konsert berkenaan? Kepada semua yang bersetuju terlibat secara langsung atau tidak langsung termasuk kaki angguk anda jawablah di Padang Masyar nanti...

13 November 2009

TOK GURU BATAL TUNAI HAJI: MEREKA YANG BERNIAT JAHAT TANGGUNGLAH...


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasrat menunaikan fardhu Haji ke Mekah bersama dengan anggota keluarganya pada tahun ini. Perkara itu diumumkan dalam kuliah Jumaat di Bangunan Pas Kelantan hari ini.

Kepada yang sengaja bersangka buruk dan berniat jahat dengan berita-berita yang disiarkan sehingga menyebabkan Tuan Guru membatalkan hasrat menunaikan fardhu haji tahun ini maka anda tanggunglah sendiri. Maksiat dan dosa di sekeliling buat tak nampak dan tak kisah tetapi apabila ada orang nak buat ibadah dan kebajikan dipandang serong.

langkah Tuan Guru saya kira tepat dan wajar untuk mengelakkan pihak musuh terus membawa cerita dan menabur fitnah setelah isu pemergian haji beliau pada tahun ini telah disensasikan. Ternyata kepentingan jemaah lebih didahulukan dalam isu yang berlaku.Saya yakin persiapan telah dilakukan oleh Tuan Guru untuk mengerjakan ibadah Haji. Saya mendoakan agar Tuan Guru dipanjangkan umur untuk menjadi tetamu Allah pada masa akan datang.

PETANDA UMNO@BN PERAK BAKAL TUMBANG?

Tembok bangunan Perak Darul Ridzuan yang turut dikenali sebagai bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Ipoh runtuh selepas hujan lebat malam tadi menyebabkan sebahagian Jalan Istana ditutup kepada lalu lintas.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira 9 malam itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim berkata sebahagian tembok sepanjang kira-kira 24 meter dan setinggi 2 meter itu dipercayai runtuh akibat tekanan air.

Bercakap kepada pemberita semasa meninjau kerja-kerja pembersihan yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau berkata siasatan awal mendapati longkang di sebelah tembok berkenaan tersumbat dan air yang bertakung telah menolak tembok itu.

Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000, katanya.

Mungkinkah ini sebagai petanda kepada tumbangnya Kerajaan kudeta Umno@BN di Perak setelah merampas kuasa pilihanrayat kira-kira 10 bulan lalu. Mahkamah Persekutuan bakal membuat keputusan dalam tempoh terdekat siapa Menteri Besar Perak yang sah. Kepada Datuk Zambry Bin Abd. Kadir mungkin boleh cari kotak dan sewa lori untuk pindah barang dari pejabat. Wallahualam

JAMBATAN BENGKOK MELAKA KE DUMAI ?


Apabila bercerita tentang jambatan di antara negara teringatlah cerita tentang jambatan bengkok di Tambak Johor menghubungkan Malaysia dan Singapura. Cadangan itu senyap seketika tetapi tidak bermakna tidak akan dilaksanakan. Dalam erti kata lain ditangguhkan kerana wujudnya bantahan dan beberapa persoalan berkaitan dengan undang-undang.

Kini muncul pula cerita jambatan Melaka - Dumai yang mungkin dulu hanya mitos dan ilusi. Pembinaannya semakin hampir untuk dilaksanakan apabila bank dari China, Exxim Bank bersetuju membiayai ( bukan bagi percuma pastinya dalam bentuk pinjaman yang ada kadar bunga dan faedahnya) 85% dari kos RM 44 bilion projek berkenaan. Jika dengan kos itu ia mampu untuk bina jambatan bengkok dari pelbagai arah menghala ke tengah Tambak Johor di perairan atau sempadan milik Singapura.

Cita-cita Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Muhd. Ali Rustam ini jika terlaksana pastinya nama beliau akan dikenang sepanjang zaman seperti zaman Tun Dr. Mahathir dengan pelbagai projek meganya.

Beliau juga akan dikenang kerana lebih mengutamakan dan tergila-gilakan Jambatan Melaka-Dumai dari menyelesaikan masalah berkaitan rakyat. Di Ayer Molek sebuah jambatan dan bertahun-tahun terbengkalai yang mengakibatkan saluran air tersumbat dan banjir kilat. Kalau jambatan yang tak sampai sejuta pun tak boleh nak siap kini bermimpi pula dengan jambatan seperti mitos jambatan dalam cerita permintaan Puteri Gunung Ledang bina jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka.

Saya tidak menafikan jambatan Melaka Dumai boleh memangkin ekonomi dan merancakkan pembangunan di Melaka. Tetapi jika betul rakyat didahulu dan diutamakan selesaikan dahulu isu banjir kilat yang gagal diselesaikan hingga hari ini. Begitu juga masalah kekurangan wad dan parking di Hospital Melaka yang kini berhadapan masalah yang sangat kritikal. Selesaikan juga masalah kesesakan yang semakin teruk melanda Melaka terutama pada waktu hujung minggu seperti di sekitar Bandar Hilir dan Bandaraya Melaka. Bayangkan dengan duit RM 44 bilion saya cukup yakin ia lebih daripada cukup untuk menyelesaikan masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Melaka. Jika semua isu dan masalah rakyat sudah diselesaikan nak bina Jambatan ke Jakarta pun saya setuju!

12 November 2009

1MALAYSIA: LAGI BUKTI RAKYAT DIBODOHKAN

Selama ini rakyat miskin pastinya merasa sedikit lega kerana pengumuman Skim Baucar Subsidi Beras (SUBUR) seperti yang diumumkan oleh Kerajaan 1Malaysia. Maka bermacam-macam pujian bahawa ini bukti kerajaan mengutamakan dan mendahulukan rakyat.

Tetapi semua itu rupa-rupanya hanya retorik dan satu lagi agenda membodohkan rakyat. Tembelang itu pecah apabila wakil Rakyat Pas Titiwangsa Dr. Lo'Lo Ghazali mempertikaikan keperluan mendapatkan tanda tangan Ketua Bahagian Umno dalam borang SUBUR.

Pendedahan ini menyebabkan berlaku perang mulut di antara Datuk Noh Omar Kementerian yang bertanggungjawab program Subur dengan wakil dari Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) turut mempertikaikan syarat berkenaan dengan bangun menunjukkan borang dan mendakwa di kawasan Taiping, permohonan baucer Subur hanya akan diluluskan kepada orang Umno sahaja.

Apakah Umno sudah terlalu mabuk kuasa atau takut hilang kuasa dan sokongan rakyat sehingga terpaksa guna kaedah ini untuk memaksa rakyat menyokong mereka? Apakah Umno tak tahu nak beza duit kerajaan daripada pembayar cukai dengan duit Umno?

Awal-awal lagi saya menjangkakan bahawa idea 1Malaysia cuma retorik dan idea terdesak untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno@BN. Lihatlah apa yang Datuk seri Najib beritahu pada Cuepacs bila kerajaan tak nak beri bonus. Ekonomi gawat, kerajaan perlu berjimat cermat...Untuk berbilion ringgit untuk Pasukan Formula 1Malaysia ada pulak duit...Oh ya lupa...1Malaysia....Rakyat didahulukan....

MUHYIDDIN ARAH LAWAN SPEAKER


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif supaya menghadiri sidang DUN Kedah yang dijadualkan Selasa ini.

Katanya walaupun Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail menganggap Abu Hasan hilang kelayakan sebagai ADUN, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

"Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa speaker itu saya tak tahu,"

Arahan ini jelas satu penghinaan kepada sistem demokrasi di negara ini. Setelah mencemar sistem demokrasi di Perak, Umno kini cuba mengalih serangan dan cuba mencabul kuasa speaker di Kedah pula. Adakah pemimpin Umno fikir kuasa speaker sama macam Pengerusi Tetap Umno? Adakah mereka tak dapat beza antara jawatan speaker dan pengerusi JKKK?

Saya melihat arahan terbaru daripada Muhyiddin ini sekali lagi satu usaha untuk mengalih isu dan usaha untuk mencemar imej kerajaan Pakatan Rakyat. Apa yang menghairankan kenapa Muhyiddin gelojoh sangat? Bukankah Mahkamah sedang bersidang untuk menentukan status adun Kota Seputeh? Tindakan Muhyiddin ini menunjukkan beliau seolah-olah sudah mengetahui keputusan Mahkamah dan lebih berkuasa daripada mana-mana hakim di negara ini berkaitan persoalan undang-undang dan pelembagaan.

Kickdefella : SEPERTI MELEPASKAN ANJING YANG TERSEPIT...

Saya melihat ada usaha berterusan dan terancang untuk memburukkan imej kepimpinan dan Pas secara keseluruhan menjelang pilihanraya umum ke 13. Pihak tertentu cuba menggambarkan imej Pas yang bertelagah sesama sendiri, menyimpang dari landasan Islam dan lebih jelik lagi kononnya terlibat dengan makan rasuah, skandal dan penyelewengan.

Dalam menjayakan misi ini mereka menggunakan pelbagai sumber misalnya maklumat 'orang dalam' untuk meyakinkan masyarakat.

Serangan ini cuba dilakukan bertubi-tubi setelah usaha memecah belah dan melaga-lagakan kepimpinan Pas menemui kegagalan.

Terkini, selang sehari dengan mendakwa Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat mendapat 'rasuah haji' dari VVIP tertentu perhatian dialihkan pula kepada menantu beliau Mohd Ariffahmi Abd Rahman yang juga Pengerusi Eksekutif Pejabat Perbadanan Menteri Besar.

Kali ini tindakan itu dilakukan oleh senior saya masa di USM dulu Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella. Semalam beliau mengancam dan mengugut untuk mendedahkan segala 'penyelewengan' yang berlaku dalam PMBK. Kenyataan itu keluar setelah beliau dipecat dari jawatannya Pegawai perhubungan korporat di situ.

Tindakan pemecatan itu adalah wajar kerana tindakan untuk memburukkan imej PMBK yang dinaungi oleh Kerajaan Negeri Pas Kelantan di bawah anak syarikatnya. Tindakan yang saya sifatkan lebih kepada didorong oleh pihak tertentu dan mempunyai agenda peribadi untuk membalas dendam dan umpama melepaskan anjing yang tersepit.

Sebelum ini ketika beliau ditahan reman dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan dengan isu kempen kibar bendera Malaysia terbalik, Kerajaan Negeri yang bersusah payah dalam urusan jaminan dan menyediakan khidmat guaman terbaik untuk beliau.

Isu penyelewengan ini sengaja dicipta untuk memburukkan imej Pas dan pimpinan mereka khususnya Tuan Guru Nik Aziz agar rakyat hilang kepercayaan kepada Pas dalam pilihanraya umum akan datang. Cerita ini samalah dengan cubaan memburukkan EXCO dan ADUN Pas di Kelantan sebelum ini seperti yang dialami oleh Datuk Husam Musa yang akhirnya wakil rakyat Umno terlibat terpaksa memohon kemaafan kepada Husam kerana keceluparan mulut mereka yang menuduh tanpa asas dan bukti yang jelas.

Akhirnya saya ingin mengingatkan semua pihak dalam Pas di semua peringkat agar berhati-hati dengan agenda musuh ini untuk memberi imej negatif dalam usaha untuk menewaskan Pas dan pakatan rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.Apa yang dilakukan ini tidak lebih dari usaha untuk mengalih pandangan dan perhatian masyarakat tentang skandal, perpecahan dan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan Umno@BN semakin gawat dan kronik.