08 January 2010

UMNO PERTAHANKAN KALIMAH ALLAH TETAPI KHIANAT RUMAH ALLAH

Hari ini isu perkataan Allah dalam The Herald sedang hangat dipolemikkan. Hari ini rakyat di negara ini dikejutkan dengan tindakan provokasi membakar gereja oleh pihak tidak bertamadun dan bertanggungjawab.

Isu perkataan Allah menjadikan Umno seperti juara yang kononnya bangun mempertahankan Islam. Tetapi itu propaganda media dan politik murahan Umno. Di Selatan tanah air di bumi Melaka yang dikatakan tempat bermulanya penyebaran Islam di negara ini, Umno terus bermaharajalela mengkhianati rumah Allah.

Bertempat di surau An Najihin di Taman Merdeka tempat ribuan penduduk mengerjakan solat Jumaat masih lagi dalam konflik yang tidak berkesudahan. Akibat politik rakus Umno di situ memaksa seluruh jawatankuasa syarak terdiri daripada imam, bilal, noja dan lainnya meletak jawatan secara mengejut. Walaupun genap dua minggu berlalu masih belum nampak jalan penyelesaian masalah terutamanya dalam mencari imam yang berkelayakan.

Jika minggu lalu imam 2 dari dari Masjid bersebelahan terpaksa diimport untuk membaca khutbah dan mengimamkan solat Jumaat hari ini Ustaz Arif, Timbalan Ketua penolong pengarah bahagian surau dan masjid Jabatan Agama Islam Negeri Melaka terpaksa turut padang.

Walaupun ada pengganti, jemaah terus tertanya-tanya kesudahan krisis yang berlaku. Apa yang pasti jemaah hari ini merasa kehilangan dengan kepetahan dan kelantangan bekas Imam 1 dan 2 yang menyampaikan khutbah.

Bukan hendak merendahkan kewibawaan ilmu, tetapi penyampaian khutbah oleh Imam import ternyata tidak dapat menandingi imam sebelumnya. Walaupun hari ini saya perkena kopi Radix sebelum bersolat Jumaat ternyata ia tidak dapat membantu untuk menyebabkan saya ' khusyuk' dan 'tawadhuk' sewaktu mendengar khutbah tadi.

Jadi kepada semua berhati-hati dengan tembelang Umno yang kononnya membela Islam tetapi hakikatnya mereka telah sekian lain menjadikan dasar perjuangan menjadikan Islam sebagai aksesori dan kosmetik sahaja.

07 January 2010

NAJIB SOKONG RAKYAT DEMONTRASI


Berita baik untuk semua, Perdana Menteri hari ini berkata Kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di masjid-masjid selepas solat Jumaat esok bagi membantah mingguan Katholik menggunakan nama 'Allah'.

Dilaporkan selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan bantahan di seluruh negara, sebuah lagi persatuan berpengaruh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) juga akan menganjurkan bantahan yang sama.

Harap-harap kerajaan 1Malaysia tidak akan bersikap double standard terhadap mana-mana kumpulan, parti politik atau pertubuhan yang ingin mengadakan demontasi aman. Dijadualkan esok satu demontrasi anjuran Dewan Pemuda Pas Pusat akan diadakan esok di hadapan kedutaan Mesir membantah tindakan kerajaan Mesir menghalang misi bantuan kemanusiaan ke Palestin. Demontrasi anjuran Pemuda Pas Pusat dijadualkan akan berlangsung serentak dengan demontrasi membantah kalimah Allah.

Adakah pihak polis dan FRU akan memberi layanan adil kepada kedua-dua demontasi esok? Apa yang pasti tuduhan yang dilemparkan oleh Khairy Jamaludin yang menggelar peserta demontrasi BERSIH sebelum ini sebagai beruk kini kena atas batang hidung mereka sendiri. Rasanya Umno dan mereka yang sewaktu dengannya sekarang yang paling banyak mengadakan demontrasi berbanding dengan Pakatan Rakyat.

Saya juga berharap layanan yang adil akan diberi kepada mana-mana demontasi aman di negara ini kerana demontasi merupakan satu kaedah yang dibenarkan kepada negara yang menjunjung prinsip demokrasi.

06 January 2010

BUKAN PREBET, SARJAN YANG LARIKAN ENJIN JET


Teka teki siapa yang disyaki terlibat melarikan enjin jet pesawat pemintas F5E TUDM terjawab hari ini apabila Seorang sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan seorang pengarah syarikat didakwqa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

Sarjan berkenaan N. Tharmendran 42 dan ahli perniagaan Rajandran Prasad 37 tidak mengaku salah dalam dakwaan yang dikemukakan di mahkamah seksyen hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail malam tadi berkata siasatan menunjukkan bahawa kedua-dua enjin F5 itu dibawa keluar dari Gudang Material Udara 1 (Matra 1) Kuala Lumpur hasil persuhabatan sarjan, dan keterangan juga menunjukkan seorang pengarah syarikat menolong melupuskan kedua-dua enjin pesawat itu yang diketahuinya merupakan harta curi.

Abdul Gani berkata jika sabit kesalahan, anggota tentera itu boleh dihukum bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, manakala bagi kesalahan menolong melupuskan harta curi pengarah syarikat itu boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Isu di sini bukan pangkat askar yang melarikan enjin jet itu tetapi isu yang lebih besar adalah berkaitan dengan isu keselamatan, ketelusan dan apa yang lebih penting adalah maruah negara ini. Walaupun kemungkinan sarjan dan pengarah syarikat berkenaan yang akan didakwa hari ini dan dihukum ia masih tidak meyakinkan rakyat terhadap kepimpinan negara pada hari ini. Lebih-lebih lagi seolah-olah ada agenda tersembunyi apabila rahsia kehilangan enjin jet berkenaan disembunyikan oleh Kementerian Pertahanan dan kerajaan lebih dari dua tahun.

Apa yang berlaku memungkinkan bahawa wujud lebih banyak penyelewengan yang berlaku berkaitan soal pentadbiran dan pengunaan duit rakyat yang dilakukan oleh kerajaan. Justeru itu, satu suruhanjaya diraja perlu diwujudkan untuk menjelaskan kepada rakyat apa yang sebenarnya yang berlaku.




05 January 2010

DULU BANTAH PERKATAAN ISLAM SEKARANG SOKONG KALIMAH ALLAH

Sehari dua ini negara ini cukup meriah dengan demontrasi di sana sini. Semua ini kerana perasaan tidak puas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar The Herald gereja Khatolik di negara ini menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan mereka.

Dalam isu penggunaan Allah ini saya menyerahkan kepada mereka yang ahli dalam menyelesai dan menjawab segala polemik yang timbul. Tetapi apa yang berlaku, isu ini seperti sengaja dijadikan kontroversi dan provokasi tanpa nas serta hujah dan kadang kala secara membuta tuli.

Nasihat saya kalau kita kurang jelas dan tidak cukup ilmu dalam membincangkan isu ini lebih baik kita diam. Itu lebih baik daripada bila kita bercakap dan menulis tanpa hujah, bukti dan nas yang akan menyerlahkan kebodohan dan kebangangan diri sendiri. Itu tak apa lagi, silap hari bulan boleh jejas akidah tak pasal-pasal nanti kena mengucap syahadah semula.

Tetapi kalau tak silap saya ada ramai di kalangan mereka yang kini bersinsing lengan, bertakbir macam nak gempa bumi mempertahankan kalimah Allah adalah mereka yang sama bersungguh-sungguh mendesak nama Islam digugurkan dari mana-mana persatuan dan pertubuhan. tidak lama dulu Tak ke pelik tu? Sokong pertahankan kalimah Allah tapi benci kepada perkataan Islam?

Harap-harap kita tak lupa tentang demontrasi dan memorandum yang mereka hantar untuk mendesak kerajaan ketika itu mengharamkan perkataan Islam. Jadi kita jangan terperangkap atau diperangkap dengan sentimen dan isu yang sengaja diperbesarkan untuk agenda politik tertentu. Mereka hari ini bangkit kononnya mempertahankan Islam tetapi mereka jugalah yang paling kuat mempersenda dan menentang hukum Islam. Mereka jugalah yang menarik bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat yang banyak melahirkan ulama dan generasi ilmuan yang mengimarahkan rumah Allah.

Mereka ini jugalah yang memecat ulama dan mufti apabila golongan ini mempertahankan Islam. Mereka jugalah yang menggunakan pelbagai peraturan dan undang-undang yang sengaja direka untuk menghalang tokoh-tokoh agama yang tak sehaluan dengan mereka menyampaikan ilmu di surau dan masjid. Mereka juga yang 'merampas' surau dan masjid dengan menafikan hak khariah melantik jawatankuasa pilihan mereka. Akhirnya banyak masjid dan surau kini lesu kerana campur tangan politik yang akhirnya mengundang perpecahan umat Islam.

Kes Kartika yang terkini menjelaskan watak sebenar mereka yang sebenarnya benci dan anti Islam. Isu penggunaan nama Allah dijadikan batu loncatan untuk meraih sokongan dan populariti kononnya merekalah juara umat Islam di negara ini tetapi hakikatnya mereka juga dua kali lima bukan sekadar menangguk di air keroh tetapi turut mencampak lumpur!

03 January 2010

TANDA KEJATUHAN UMNO?

Papan tanda ibu pejabat Umno tinggal NO je bila jatuh dari PWTC...adakah ini merupakan tanda kejatuhan UMNO? Katakan "NO" kepada UMNO.

02 January 2010

JASA -JASA AGUSTINE PAUL


1. Jasa terbesar Augustine Paul ialah telah menjatuhkan hukuman bersalah kepada Datuk Seri Anwar pada 14 April 1999 dalam satu perbicaraan yang mencipta rekod dunia perkataan 'tak relevan' paling banyak diucapkan di mana-mana mahkamah dunia. Hukuman itu berhubung tuduhan Anwar menyalahguna kuasanya untuk mengganggu siasatan polis dalam kes liwat yang menyebabkan Anwar merengkok di penjara Sungai Buloh selama 6 tahun.

2. Satu-satunya hakim dalam dunia yang membenarkan tilam bertompok-tompok dijadikan bahan bukti DNA Anwar walaupun dalam keterangan di mahkamah, seorang pakar DNA berkata 10 daripada 13 kesan air mani menyamai DNA Anwar. Peguambela pula berhujah bahawa contoh DNA Anwar telah diletak pada tilam tersebut.Augustine bagaimanapun menerima keterangan DNA tersebut.

3. Augustine juga dikritik kerana berulangkali enggan menerima pengemukaan bukti oleh peguambela dan menolaknya sebagai 'tidak relevan' dalam kes tersebut sambil batuk-batuk ala iklan gula Hacks.

4. Penghakiman Augustine setebal 320 halaman untuk kes tersebut, dianggap sebagai yang terpanjang dalam sejarah negara ini dan mungkin terpanjang di dunia.

5. Mengenang jasa-jasanya maka Agustine menerima kenaikan pangkat dari Pesuruhjaya kehakiman ke jawatan Hakim Mahkamah Tinggi 1998, Hakim Mahkamah Rayuan 2003 dan Mahkamah Persekutuan 2005.


HAKIM AGUSTINE PAUL MENINGGAL DUNIA...


Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri S. Augustine Paul yang menjadi perhatian dalam kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim 12 tahun yang lalu meninggal dunia hari ini pada jam 3.15 petang tadi di Hospital Selayang pada usia 64 tahun.Punca kematian tidak diketahui tetapi mendiang telah terlantar sakit untuk tempoh yang lama.

Bermakna ramai yang terlibat dalam konspirasi tahun 1998 itu ditimpa pelbagai misteri dan bala serta musibah. Masih ingat lagi apa yang berlaku kepada Tan Sri Mohtar Abdullah, Dr. Qistina, Azizan (bekas pemandu Anwar) dan Datuk Aziz Shamsudin. Masihkah lagi ada yang beranggapan semua ini secara kebetulan? Tak relevan?

Ingatlah mereka yang kini merancang konspirasi kedua dalam kes liwat terhadap Anwar tentang doa orang yang dizalimi. Wallahualam.

KRISIS BERLARUTAN: IMPORT IMAM UNTUK SOLAT JUMAAT

Isu perletakan jawatan semua pegawai syarak Surau an Najihin Taman Merdeka yang digunakan untuk solat Jumaat minggu lepas secara mengejut dan serentak terus berlarutan. Walaupun mereka yang meletak jawatan dipanggil berbincang dengan Majlis Agama Islam Melaka minggu lepas itu tetap tidak mengubah pendirian mereka untuk terus meletak jawatan kerana tidak menyenangi campur tangan politik Umno di surau berkenaan walaupun mereka tidak menyebelahi mana-mana parti poltik.

Natijahnya, dalam solat Jumaat semalam imam 2 dari Masjid Taman Merdeka terpaksa diimport untuk mengimamkan solat Jumaat dan membaca khutbah. Itu semua tidak pelik memandangkan Bilal 2 yang juga Pengerusi Surau yang gila kuasa dan disokong kuat oleh Umno tidak mempunyai kelayakan langsung untuk mengimamkan solat Jumaat apa lagi membaca khutbah. Itu belum lagi nak disuruh berkhutbah. Kalau nak suruh Pengerusi JKKK, yang dikenali sebagai Md. Zin jauh panggang dari api. Tetapi kalau nak bagi projek besar surau atau untuk buat longkang surau itu dah memang kerja dia sebagai kontraktor yang bernaung di bawah Umno.

Malah di khariah berkenaan memang tidak ada mereka yang dalam puak Umno di situ yang berkelayakan untuk menjadi imam di surau berkenaan. Jadi sampai bila perkara ini akan dibiarkan berlarutan? Adakah sepanjang masa surau berkenaan kena mengimport imam setiap kali Jumaat. Mungkin dengan cara ini sahaja dapat memuaskan hati puak Umno di tempat berkenaan yang sering kali campur tangan dalam pengurusan suara di tempat berkenaan.

Untuk makluman khariah dari surau An Najihin terdiri daripada penduduk Taman Merdeka, Taman Merdeka Jaya, Taman Datuk Tambi Chik Karim dan Taman Angkasanuri mewakili ribuan rumah penduduk beragama Islam di situ. Gugusan perumahan ini adalah yang terbesar di Melaka. Dalam pilihanraya umum yang lalu dalam tahun 2008, Dun Ayer Keroh di situ dimenangi oleh DAP dan Parlimen Bukit Katil, PKR hanya tewas tak sampai 1800 undi berbanding lebih 20 ribu majoriti berbanding pilihanraya 2004.

Situasi yang berlaku di Surau An Najihin yang melibatkan campur tangan Umno akan menjadi titik tolak kemungkinan besar Parlimen Bukit Katil akan dikuasai oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang kerana khariah di sekitar surau berkenaan mewakili lebih daripada 10 ribu pengundi. Apa yang ingin digambarkan ahli khariah yang sebelum ini menjadi penyokong Umno dan atas pagar dalam pilihanraya lalu mungkin akan beralih angin menyokong Pakatan Rakyat kerana sudah cukup meluat dengan tindak tanduk Umno di kawasan berkenaan.

artikel sebelum ini :

http://angkasanuri.blogspot.com/2009/12/gempar-kerana-politik-umno-seluruh-ajk.html

01 January 2010

YDP MAINPP BARU PENYOKONG PERJUANGAN PAS


Ustaz Ellias Zakaria nama yang tidak asing bagi pelajar USM Minden Pulau Pinang. Kuliah dan giliran berkhutbah Jumaat di Masjid Al Malik Khalid USM memang sentiasa dinantikan oleh warga kampus. Walaupun telah lebih 18 tahun meninggalkan bumi Minden tazkirah dan ceramah beliau masih tergiang-giang sehingga hari ini. Beliau juga seorang 'low profile' dan begitu dihormati oleh warga USM. Sebagai bekas pelajar beliau saya cukup mengkagumi ketokohan dan kelimuan yang ada padanya.

Pelantikan Ustaz Ellias sebagai YDP MAINPP yang baru saya kira memang kena pada tempatnya. Ustaz Salleh Man, Adun Pengkalan Pasir yang sebelum ini dijanjikan jawatan itu tidak dilantik ke jawatan berkenaan tetapi tetap dilantik sebagai timbalan YDP MAINPP. Namun pemilihan Ustaz Ellias saya yakini akan diterima baik oleh semua pihak terutama ahli dan penyokong Pas di Pulau Pinang.

Ini kerana bagi mereka yang mengenali latar belakang Ustaz Ellias mengetahui bahawa beliau merupakan seorang yang menyokong perjuangan Pas walaupun jarang dizahirkan secara terbuka. Namun bagi yang lama mengenalinya mengetahui dalam pilihanraya umum era 1980-an dan awal 1990-an van Toyota Delicanya penuh dengan poster bulan.Sudah pasti jawatannya sebagai pensyarah dan kemudian dilantik sebagai Pengarah Pusat Islam USM tidak mengizinkan beliau menyatakan politik kepartian secara terbuka.

Justeru itu saya mendoakan pelantikan beliau sebagai YDP MAINPP akan meningkatkan syiar Islam di Pulau Pinang dalam memastikan rakyat Pulau Pinang mendapat maklumat dan gambaran lebih jelas tentang keindahan dan kesyumulan Islam berbanding sewaktu era Umno-BN di Pulau Pinang.

31 December 2009

ENJIN JET DILARIKAN ASKAR PANGKAT RENDAH JE..


Apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengumumkan hasil siasatan polis bahawa tidak ada pegawai tinggi TUDM terlibat melesapkan enjin pesawat pemintas F5E mungkin ramai yang menarik nafas lega. Ini kerana tidak ada pegawai tinggi TUDM yang jadi petualang dan pengkhianat kepada negara.

Tetapi pengumuman ini sesuatu yang lebih malang dan mengejutkan. Ini bermakna enjin pesawat yang begitu besar sentiasa dikawal rapi dengan sistem keselamatan yang ketat diperlekehkan oleh askar biasa je.Agaknya mungkin askar pangkat prebet dan lans koperal aje yang terlibat. Jika begitu keadaannya satu hari nanti bukan sekadar enjin jet sahaja yang hilang selepas ini dengan jet-jet pun boleh dilarikan.

Tidak mustahil juga askar yang berpangkat rendah yang didakwa terlibat melarikan enjin jet ini sengaja dijadikan kambing hitam untuk menyelamatkan mereka yang lebih berkuasa di atas sana. Oleh itu saya menyokong satu Siasatan Diraja diwujudkan untuk menyiasat semua aspek dan pihak yang mungkin terlibat dalam kes ini.

Hanya Suruhanjaya Diraja sahaja yang dapat menyakinkan rakyat apa yang berlaku. Nak harapkan Jabatan Peguam Negara dan polis, lihatlah masing-masing hari ini macam main tarik tali. Peguam Negara kata kertas laporan tak lengkap, polis pulak kata maklumat tak lengkap. Jika macam tu lah keadaannya entah sampai bila nak selesai kes.