12 March 2010

PERINGATAN BUAT YANG SERING MEMPERSENDAKAN MUNAJAT MEREKA YANG DIZALIMI


Hari ini di bumi Kelantan berlaku satu peristiwa yang wajar menjadi renungan mencetuskan keinsafan serta meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT. Solat sunat Istisqa yang diimamkan oleh YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memohon hujan ditunjukkan tentang tanda dan kebesaran Allah SWT.

Seramai kira-kira 2000 jemaah yang turut serta dalam sunat itu mengalami peristiwa yang menakjubkan apabila hujan mula turun sebaik sahaja bacaan surah Al Fatehah dimulakan. Peristiwa ini memberi isyarat yang cukup jelas bahawa doa dan munajat mereka yang ikhlas sentiasa berserah diri mengharapkan pertolongan Allah akan diperkenankan oleh Allah SWT. Cuma masa sahaja yang menentukan.

Sebelum ini seringkali pemimpin Umno mempersendakan apabila puluhan ribu rakyat Kelantan bermunajat seperti dalam isu royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan Pas Kelantan. Malah ada suara-suara sumbang ulama Umno yang memperleceh munajat rakyat Kelantan agar pemimpin Umno yang menafikan hak rakyat Kelantan ditimpa bala.

Pemimpin Umno-BN mungkin boleh mengarahkan pihak polis untuk menghalang program Pas dan Pakatan Rakyat. Mereka juga boleh berlindung dengan mengarahkan polis untuk menangkap pemimpin PR seperti yang dialami oleh Mazlan Aliman. Mereka juga boleh menggunakan semua institusi yang di bawah telunjuk mereka daripada polis, SPRM dan mahkamah untuk mereka cerita dan bukti untuk memalukan pemimpin PR. Mereka juga boleh menggunakan segala bentuk media untuk menghalalkan segala tindak tanduk mereka. Tetapi mampukah Umno-BN menghalang kekuasaan Allah SWT?

Peristiwa yang berlaku di Kelantan hari ini memberi ingatan kepada bekas ahli parlimen dari Pakatan Rakyat yang melompat seperti YB Bagan Serai,Mohsin Fadzli Samsuri yang telah tamat tempoh meletak jawatan yang diberikan oleh Ustaz Ahmad Awang untuk berhadapan solat hajat selama dua minggu. Datuk Jamil Khair dan ustaz dan Tan Sri Harussani mufti Perak boleh mempertikaikan solat hajat berkenaan tetapi mampukah mereka berdua menghalang jika Allah SWT memperkenankan munajat berkenaan?

Maka kepada semua pemimpin Umno-BN yang sering mempersendakan munajat mereka yang tertindas dan dizalimi....tunggulah masa dan ketikanya. Lambat atau cepat balasannya pasti tiba...

11 March 2010

ISU DEBAT ZULKIFLI NORDIN-KHALID SAMAD : HANYA BUDAK HINGUSAN YANG TAKUT BERDEBAT

Kalau tak silap saya sudah dua tiga hari YB Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam mencabar YB Zulkifli Nordin untuk berdebat isu kalimah Allah. Isu yang mencetuskan konflik mereka berdua sehingga membawa kepada pemecatan Zulkifli Nordin dari PKR.


Tetapi sehingga hari ini belum terdengar sebarang jawapan dari Zulkifli Nordin yang cukup lantang di depan media sehari dua ini. Sebelum ini pelbagai istilah diberi kepada pemimpin Pakatan Rakyat dari anak firaun sehinggalah ke budak hingusan semua terpacul dari mulut beliau. Beliau sebelum ini cuba menggambarkan bahawa dirinya seorang yang berprinsip dan tidak akan menggadaikan prinsipnya. Jadi gelanggang debat adalah medan yang terbaik untuk membuktikan keberanian dan prinsip yang dipertahankan.

Sudah pasti ramai yang menunggu kehadiran dan jawapan beliau dalam sesi debat nanti. Kita tunggu adakah beliau bersedia berdebat atau sebaliknya. Bagi saya hanya budak hingusan sahaja yang tidak berani berdepan dan berdebat di depan khalayak ramai.

10 March 2010

APA KHABAR NASIR SAFAR?


Sudah lebih sebulan kes hasutan melibatkan Datuk Nasir Safar orang kepercayaan Perdana Menteri 1Malaysia terhadap orang cina dan India dalam satu program di Melaka berlalu.Berpuluh laporan polis sudah dibuat. Ketua Polis Melaka sebelum ini mengumumkan polis sudah melengkapkan siasatan.

Tetapi yang peliknya kes itu kini seolah-olah cuba disenyapkan. Sehingga hari ini tidak ada perkembangan susulan kes berkenaan. Boleh jadi Jabatan Peguam Negara sangat sibuk dengan kes liwat Dato seri Anwar Ibrahim sehingga tak sempat untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah. Berbeza dengan kes Blogger Aduka Taruna sepantas kilat semua pihak terlibat dari polis sehingalah Jabatan Peguam Negara membawa kes berkenaan ke mahkamah. Apakah istimewanya Nasir Safar? Adakah mereka bimbang kes berkenaan akan memberi kesan kepada Umno atau lebih tepat lagi kepada bekas bos Nasir Safar? Semua ini menguatkan dakwaan bahawa institusi undang-undang di negara ini hanya mengikut telunjuk pemerintah. Jika begitu situasinya maka kita tidak boleh menyalahkan rakyat jika mereka hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman di negara ini. Jadi apa pilihan yang ada untuk menegakkan keadilan dan undang-undang? Pilihanraya? Jalanraya?

07 March 2010

PECAT ZULKIFLI NORDIN BUKTI PKR DAN PR KUAT


Akhirnya skrip Zulkifli Nordin ahli parlimen Kulim Bandar Baru ditamatkan dalam PKR dan Pakatan Rakyat. Maka berakhirlah episod cerita ' Firaun Kecil' di dalam PKR. Tindakan memecat Zulkifli Nordin merupakan tindakan tepat dan wajar kerana tindakan sumbang beliau yang bertentangan dengan prinsip organisasi.

Pemecatan Zulkifli Nordin membuktikan bahawa tidak ada kompromi kepada mereka yang mengkhianati perjuangan serta bertindak melampaui batas serta tidak memahami etika perjuangan.

Apa yang lebih penting pemecatan Zulkifli Nordin membuktikan bahawa PKR khasnya dan PR amnya jauh lebih kuat berbanding dengan Umno-BN. Umno tidak berani memecat Datuk Seri Ali Rustam dan Khairy Jamaludin walaupun mereka berdua bergelumang dengan rasuah.Umno bimbang sokongan dan pengaruh Ali Rutsam dan Khairy akan menyebabkan perpecahan dan pergolakan dalam Umno.

Umno juga tidak berani memecat malah hanya memekakkan telinga, membutakan mata serta membatukan diri apabila Tengku Razaleigh berada di pentas kerajaan Pas Kelantan memperjuangkan isu royalti minyak. Begitu juga Umno tidak berani bertindak apabila semua Adun Umno Kelantan menyokong usul membawa royalti minyak ke mahkamah yang bertentangan dengan pendirian Umno Kelantan berhubung isu ini.

Umno juga tidak berani bertindak apabila Datuk Idris Jusoh dan kuncu-kuncunya di Terangganu secara terbuka dan tersembunyi menunjukkan sikap penentangan terhadap kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terangganu.ganu.Maka hari ini Umno terpaksa menyimpan 'biawak hidup' serta membiarkan api dalam sekam terus membakar dari dalam Umno.

Dalam situasi yang lain dalam kompoenen BN seperti MCA dan PPP mereka tidak mampu melakukan apa-apa walaupun berlaku penentangan dan pergolakan secara terbuka dalam parti.

Maka dengan keberanian dan ketegasan PKR memecat Zulkifli Nordin membuktikan siapa yang lebih kuat dan berprinsip?

06 March 2010

KEMARUK 2/3 SEHINGGA TERLUPA UMNO-BN SEDANG CACA MARBA

Pemimpin Umno-BN dan mereka yang sewaktu dengannya pastinya cukup seronok dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Sudah ada tiga ahli parlimen yang melompat jadi 'wakil bebas'. Bermakna Umno-BN mendapat 3 kerusi parlimen tanpa perlu pilihanraya kecil. Kemungkinan dalam tempoh terdekat parlimen Kulim Bandar Baru akan masuk dalam senarai berkenaan.

Stituasi ini menyebabkan Umno-BN semakin kemaruk dengan misi untuk kembali mendapat majoriti 2/3 di parlimen. Adakah semudah itu? Dalam sibuk-sibuk mencari atau mengenal pasti serta mencari mana lagi ahli parlimen yang goyah dan tidak bermoral serta diselubungi masasalah peribadi atau kewangan untuk diajak dalam pesta lompat melompat ini, Umno-BN terlupa bahawa mereka kini semakin parah dan kronik.

Pergolakan dan MCA dan PPP sudah tidak boleh diselamatkan. Budaya tikam belakang dalam Umno serta komponennya terus berlaku dan berluasa.

Melihat sokongan kepada program Dato Seri Anwar Ibrahim di dua tempat berbeza di Melaka malam tadi yang dihadiri oleh lautan manusia cukup memberikan gambaran bahawa pengaruh dan sokongan terhadap Pakatan Rakyat bukan sahaja tidak tergugat malah semakin semakin mendapat sokongan.

Dalam masa yang sama program lain Pakatan Rakyat seperti di Melaka melalui program ceramah, program sambutan Tahun Baru Cina memberi isyarat yang cukup jelas yang menggerunkan Umno-BN bahawa mereka bakal tersungkur dalam pilihanraya umum akan datang.

Jadi biarkanlah mereka bergembira dan berseronok seketika menjaga tepi kain orang sehingga mereka lupa apa yang berlaku dalam kain sendiri. Kepada pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat lipat gandakan usaha untuk misi yang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang.

03 March 2010

UMNO -BN SEBENARNYA YANG TERDESAK!

Sehari dua ini mungkin pemimpin Umno bersorak dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Bagi saya biarkanlah mereka bertepuk tangan, berkeroncong dan berdondang sayang.

Biarkan mereka bergembira seketika supaya mereka terlupa porak peranda dan tsunami yang bakal melanda mereka. Mereka fikir dengan cara itu rakyat akan memaafkan 'dosa-dosa' mereka selama memerintah negara.

Apakah mereka fikir rakyat akan lupa kegawatan politik ciptaan mereka di Perak? Apakah mereka fikir pengundi di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor akan kembali untuk mengundi Umno-BN kembali? Apakah mereka fikir rakyat akan lupa apa yang berlaku pada Altantuya? Apakah mereka fikir rakyat lupa tentang misteri kehilangan enjin pesawat? Apakah mereka fikir rakyat lupa tentang tragedi kapal selam yang tak boleh tenggelam?Apakah mereka fikir rakyat terhibur dengan berita propaganda media ketika rakyat sedang mengikat perut? Adakah mereka fikir rakyat akan percaya bulat-bulat Dato Seri Anwar meliwat si Saiful yang lebih gagah daripadanya?

Jika itu yang mereka percayakan silalah buat pilihanraya sekarang. Berdasarkan perkembangan sekarang saya cukup yakin rakyat semakin tidak sabar untuk menumbangkan Umno-BN dalam pilihanraya umum akan datang. Saya melihat sokongan yang semakin meningkat terhadap Pakatan Rakyat terutama daripada pengundi cina di seluruh negara. Saya yakin Umno-BN menyedarinya, sokongan pengundi cina kepada Umno-BN semakin merudum. Hakikat itu cukup digeruni oleh Umno-BN.

Maka terdapat teori mengatakan Umno-BN amat terdesak untuk mendapat undi 2/3 di parlimen. Hanya undi 2/3 di parlimen sahaja yang membolehkan Umno-BN membuat persempadanan semula kawasan pilihanraya. Jika persempadanan semula dibuat sudah pasti ada pertambahan kawasan parlimen yang majoriti Melayu kerana mereka tidak yakin di parlimen yang mempunyai ramai pengundi cina. Andaiannya, pengundi Melayu umpama tunggul kayu yang mudah ditipu yang diangggap secara tradisi menyokong parti penipu dan pengampu.

Maka berdasarkan perkembangan yang berlaku, Umno-BN yang sebenarnya yang terdesak dan bukannya PAS,PKR dan DAP atau Pakatan Rakyat. Kepada Pakatan Rakyat buatlah yang terbaik untuk memastikan cita-cita Umno-BN mendapat undi 2/3 di parlimen tidak kesampaian. Terjemahkan perpaduan dan kekuatan supaya kemaraan ke Putrajaya selepas PRU ke 12 akan menjadi kenyataan.

AHLI PKR YANG MELOMPAT UMPAMA ANAI-ANAI

Hari ini seorang lagi ahli parlimen PKR melompat menjadi ahli parlimen bebas ( Umno le tu ). Kali ini ahli parlimen dari Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri. Kemungkinan selepas ini ada lagi ahli parlimen PKR yang 'gelap mata' bakal melompat untuk melaksanakan teori BN 2/3 di parlimen sebelum PRU umum menjadi kenyataan. Apa yang pasti ada 'projek khas' yang bakal dilaksanakan jika BN dapat sokongan 2/3 di parlimen.

Mohd. Fairuz Khairudin bekas adun Penanti yang melompat memberi amaran agar menghentikan segala serangan peribadi kepada beliau. Menurutnya sarang tebuan jangan dijolok. Bagi saya Fairus dan mereka yang sewaktu dengannya yang telah melompat dari Pakatan Rakyat bukannya sarang tebuan tetapi sarang anai-anai yang wajib dibinasa dan dimusnahkan. Jika anai-anai ini dibiarkan membuat dan membesarkan sarangnya lambat laun ia boleh menyebabkan bangunan pencakar langit pun boleh menyembah bumi.

Maka tindakan mereka keluar dari Pakatan Rakyat dan PKR perlu dibiarkan dan dilihat secara positif sebagai langkah pembersihan anasir-anasir yang boleh merosakkan Pakatan Rakyat pada masa kini dan akan datang. Tindakan mereka keluar sama ada ke dalam Umno atau 'bebas' sebenarnya akan lebih memantapkan Pakatan rakyat pada masa depan apa yang penting rakyat akan menterjemahkan sokongan mereka kepada Pakatan rakyat melalui kertas undi pada pilihanraya umum akan datang. Jika Umno-BN merasa mereka cukup kuat dan mendabik dada dapat 'membeli' atau 'memujuk' Adun atau ahli parlimen menyertai mereka beranikah mereka untuk membubarkan DUN atau parlimen?

BATAL LALUAN LTDL DI NEGERI PAKATAN RAKYAT ATAU...

Pelumbaan Le Tour D Langkawi yang dikatakan berprestij di rantau Asia mengundang kontroversi baru-baru ini. Ini berpunca tindakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr.Awang Adek Hussin melanggar protokol dan bertindak di luar kebiasaan apabila melepaskan pelumba walaupun pihak penganjur sebelum ini telah bersetuju dan dimaklumkan kehadiran Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melepaskan pelumba.

Ada pihak seperti pihak penganjur meminta agar isu ini tidak diperbesarkan dan diterima dengan semangat kesukanan. Hujah dan alasan dangkal yang tidak bertanggungjawab. Ini bukan soal semangat kesukanan tetapi soal maruah dan tindakan serta cubaaan untuk mengaibkan seorang ketua kerajaan negeri di khalayak umum.

Umpama kita bertandang ke rumah orang, kena jaga adab-adabnya. Tuan rumah perlu dihormati dan tetamu perlu diraikan. Tetapi dalam isu pelepasan pelumba LTDL di Kota Bharu, tetamu cuba belagak menjadi tuan rumah!

Siapa yang sebenarnya mempolitikkan isu ini? Jika begitu sikap biadab penganjur dan pemimpin politik kerajaan 1Malaysia dalam isu ini apa kata saya mencadangkan agar kerajaan Pakatan Rakyat membatalkan semua laluan dan sama ada tempat pelepasan dan penamatan pelumbaan LTDL ini? Biarkanlah LTDL berlegar-legar di negeri yang dikuasai Umno-BN.

Oleh itu saya menggesa Awang Adek dan penganjur perlu memohon maaaf secara terbuka ataupun bersedia menerima kesan penganjuran pertandingan ini pada masa ini atau akan datang. Ini bukan tindakan kebudak-budakan tetapi ia pendekatan terbaik untuk mereka yang kurang ajar dan biadab serta tidak tahu mengormati orang lain.

01 March 2010

PEMIMPIN UMNO YANG TAK CERDIK, SOMBONG DAN BIADAB


Umno boleh terus melupakan untuk menawan Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang. Ini bukan sahaja disebabkan sokongan padu majoriti rakyat Kelantan kepada kepimpinan YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tetapi juga disebabkan Umno Kelantan kini dipimpin oleh mereka yang kurang cerdik,sombong dan biadab.

Tak cerdik kerana tak dapat membezakan di antara nilai RM 2 bilion dan RM 20 juta duit royalti minyak yang sepatutnya menjadi hak rakyat Kelantan. Selain itu juga Umno Kelantan juga tidak cerdik kerana mereka cuba memburukkkan imej Tok Guru sebagai perasuah seperti Datuk Seri Muhd. Ali Rustam. Ali Rustam dan Tok Guru umpama langit dan bumi!Dakwa dan cubalah penjarakan Tok Guru atau burukkan imej Tok Guru sebagai makan rasuah kalau Umno rasa itu tindakan dan idea yang paling cerdik yang ada dalam pemikiran pemimpin Umno.

Umno hari ini bukan sahaja tidak cerdik tetapi juga sombong. Tindakan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang duduk di pentas utama ketika pemimpin VIP lain berdiri ketika kehadiran Tok Guru di pentas utama program pelepasan peserta Le Tua D langkawi menunjukkan tahap kesombongan terlampau pemimpin Umno ini. Tok Guru memang tidak meminta disanjung atau dihormati tetapi untuk jadi pemimpin orang Kelantan cukup peka dengan budi bahasa dan adab sopan pemimpin mereka.Jauh sekali untuk memilih pemimpin yang bukan sahaja biadab tetapi kurang ajar.

Sikap berkenaan bukan sahaja meunjukkan kesombongan tetapi menunjukkan betapa Umno gagal mendidik pemimpinnya tentang adab dan budi bahasa. Kebiadapan Awang Adek terus terserlah apabila melanggar protokol dengan melepaskan pelumba Le Tua D Langkawi di Kota Bharu hari ini. Boleh jadi Awang Adek dah pula perasan atau dah terlalu gian nak jadi Menteri Besar. Jika begitu keadaannya kepada Umno lupakalah Kelantan tunggu hukuman rakyat Kelantan dalam pilihanraya akan datang.

28 February 2010

UMNO PARTI KITAR SEMULA


Saya yakin penyertaan Mohd. Fairus Khairudin bekas Adun Penanti yang bermasalah ke dalam Umno tidak menyebabkan gelombang jauh sekali tsunami kepada Pakatan Rakyat. Malah langkah beliau menyertai Umno adalah dialu-alukan untuk menambah koleksi pemimpin bermasalah di dalam Umno. Bila ramai yang bermasalah di dalam Umno maka lebih mudah Umno ditamatkan riwayatnya.

Umno hanya layak bagi mereka yang bermasalah, hipokrit dalam perjuangan dan mengharapkan ganjaran dan habuan dunia. Usahlah berlindung atas alasan kononnya membela agama dan bangsa untuk 'menghalalakan' tindakan menyertai Umno kerana sejarah telah membuktikan selama Umno berkuasa orang Melayu makin terpinggir dan Islam terus dihina dan dipersenda.

Fikir dan lihatlah siapa yang menyertai Umno daripada Pakatan Rakyat sebelum ini semuanya diselubungi rekod buruk dan pelbagai masaalah. Saya yakin ada beberapa orang lagi yang bakal menyusul untuk 'memperjuangkan agama dan bangsa di dalam Umno'.

Bagi saya biarkan mereka, pengundi dan rakyat lebih arif siapa mereka. Apa yang pasti Umno kini menjadi parti kitar semula. Bagi saya slogan 'Fikir dulu sebelum buang' kena ditukar kepada ' jangan fikir-fikir buang aje'...