18 October 2010

CAWANGAN SEKOLAH MURID MENGANDUNG BAKAL DIBUKA

Berita ini pasti akan menyebabkan KM Melaka, Dato Seri Muhd. Ali Rustam akan senyum sampai ke telinga. Tindakannya menubuhkan Sekolah Harapan untuk pelajar yang mengandung hasil daripada zina akan diikuti oleh negeri jirannya.

Cuma, ia tak dinamakan sekolah tetapi dikenali sebagai Pusat Remaja Hamil. Pusat berkenaan akan dibina di Nilai Negeri Sembilan. Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Perkim Negeri Sembilan, Datuk Siti Rahmah Kassim.

Eloklah tu, bila dah ada cawangan maka selepas ini boleh buat program pertukaran pelajar. Selain itu boleh juga buat pertandingan seperti Bayi Cantik, Bayi Paling Berat, Bayi Paling Putih dan Bayi Paling Hitam. Tetapi yang pastinya ramai bayi yang kulit sawo matang kecoklatan. Siapa lagi kalau bukan anak-anak Melayu yang mengaku Islam dalam surat beranaknya.

Inilah contoh manusia yang berfikir secara logik dalam menyelesaikan masalah ummah. Punca berlakunya maksiat yang membawa kepada gejala zina dan buang bayi tidak disekat. Malah dibiarkan berlaku secara berluasa.Terbaru konsert artis homeseksual dari Barat Adam Lambert yang diluluskan oleh kerajaan 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil 14 Oktober lalu.

Kalau nak tegak hukum Islam tu lagilah jauh. Kita tunggulah apa lagi bala dan azab yang akan menimpa umat di negara ini selagi mereka yang mempermainkan dan mempersenda hukum Allah dan menyuburkan budaya maksiat dibiarkan terus berkuasa. Buatlah perubahan, kalau bukan pun untuk kita tetapi generasi cucu cicit kita pada masa akan datang.

17 October 2010

PRK GALAS: UMNO GANTI 'PROJEK MEE SEGERA' DENGAN PROJEK EKSPRES!

Apabila bekas Adun Pas Dun Galas pulang ke rahmatullah, TPM beritahu bahawa Umno akan bertanding dan berjanji tidak ada sebarang janji projek "mee segera' seperti kelaziman.

Kenyataan ini mudah difahami kerana menyedari janji projek jambatan semasa PRK di Manek Urai masih belum tertunai. Malah banyak lagi janji pembangunan belum mampu dilaksanakan dengan 1001 macam alasan. Umno juga menyedari bahawa rakyat hari ini bukanlah bodoh seperti yang mereka sangka umpama kerbau dicucuk hidung dan burung belatuk yang hanya tahu angguk sahaja.

Tetapi itu cuma retorik sahaja, Umno dan rasuah pilihanraya tak mampu dipisahkan. Apa lagi kempen yang Umno mampu lakukan selain menabur janji, merasuah pengundi dengan pelbagai cara sama ada dalam bentuk 'bantuan', 'duit poket', 'duit belanja sekolah', 'duit zakat' dan sebagainya serta yang paling popular dan paling gila iaitu projek mee segera.

Terkini "projek Perumahan Rakyat' di Galas yang dinyatakan oleh Tengku Razaliegh baru-baru yang akan diumumkan secara rasmi oleh TPM di Galas pada 24 Oktober ini. Ini bukan projek 'mee segera' ke.Ohh saya terlupa 'projek mee segera' dah tak ada...mungkin lepas ni Umno akan guna istilah 'projek Ekspres' pulak!

Bagi saya rakyat Kelantan sudah cukup matang dan cerdik berpolitik..Ingat amanat To Guru dulu...bagi duit ambik...bagi gula kacau..bagi kain pakai...bagi rumah tinggal. Undi pakat-pakat pangkah bulan!

KOS UBAH SUAI RUMAH PM RM 65 JUTA !

Kata kerajaan 1 Malaysia tak ada duit. Kononnya kalau beri bonus pada kakitangan awam perbelanjaan akan melebihi pendapatan. Ok, itu saya boleh terima kalau benar sebagai dasar jimat cermat dan perbelanjaan berhemah kerajaan. Bagi Kementerian, agensi dan jabatan kerajaan, dasar perbelanjaan berhemah diperkenalkan. Tak ada lagi mesyuarat, seminar atau kursus di hotel. Kalau mesyuarat dapat air mineral sebotol itu sudah cukup baik!

Bila kerajaan beri RM 500 pada kakitangan awam gred DG 54 ke bawah ramai berkata kita patut bersyukur kerajaan masih ingat pada kakitangan kerajaan walaupun ketika ekonomi negara sekarang tengah nazak.

Dalam kata kerajaan tak ada duit, rakyat di negara ini dikejutkan dengan pembaziran keterlaluan yang dilakukan oleh PM sendiri apabila melakukan ubah suai kediaman rasmi melebihi kos asal Sri Perdana.


Sri Perdana di Putrajaya mula di bina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya. Bangunan ini diubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta. Keperluan untuk sekali lagi melakukan pengubah suaian kepada Sri Perdana dengan kos RM65 juta dipertikaikan, khususnya apabila rakyat dinasihatkan supaya berbelanja secara berhemah. Pengubahsuaian Seri Perdana dengan peruntukan yang begitu tinggi dianggap satu lagi pembaziran dana rakyat.

Malah kita lihatlah bukan sahaja PM dan konco-konco membazirkan duit rakyat, isteri PM juga ikut tumpang mentiriskan duit rakyat. Contoh paling jelas dan terdekat apabila mengadakan persidangan 'First Lady' baru-baru ini. Persidangan itu hanya dihadiri 'first lady' dari negara dunia ketiga terutamanya dari Benua Afrika. Isteri pemimpin utama negara Asean pun hanya hantar wakil sahaja. Berapa kos untuk adakakan persidangan yang tak perlu ini ketika negara berada dalam ekonomi tak menentu? Berapa pula kos untuk membawa 'first lady' dan rombongannya melawat hampir ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak?

Mengulas isu ini, MP Shah Alam, YB Khalid Samad menyifatkan ia sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangkan kepentingan rakyat.

"Inilah keutamaan pemimpin Umno-BN untuk kepentingan mereka sendiri, keselesaan sendiri ikut citarasa masing masing tanpa memikirkan rakyat jelata yang menghadapi kesusahan untuk membiayai kehidupan seharian. Ramai yang tidak berkerja dan hutang piutang. Tetapi RM65 juta digunakan untuk ubahsuai Sri Perdana ini tindakan yang tidak wajar sama sekali," katanya.

16 October 2010

RUMAH ANAK HARAM LAGI PENTING BERBANDING SURAU ZAMAN UMNO/BN DI MELAKA




1Malaysia dah tahu Melaka merupakan kerajaan pertama di negara ini yang membina rumah remaja perempuan yang berzina yang mengandung anak haram. Sekolah yang diberi nama Sekolah Harapan di Jasin Melaka khabarnya mendapat sambutan hangat. Sekolah itu mendapat bantuan penuh kerajaan Umno/BN dan menjadi kebangaan Datuk Seri Muhd. Ali Rustam walaupun mendapat bantahan dan kritikan.

Kononnya hendak memberi peluang kedua dan mengelakkan pembuangan anak hasil zina yang makin berluasa di Melaka. Sekolah berkenaan mendapat layanan kelas pertama dari Ali Rustam dengan bangunan dua tingkat yang tersergam lengkap dengan pengawal, guru dan peralatan yang lengkap.

Ketika penzina diberi layanan kelas pertama oleh kerajaan Umno/BN di Melaka, mereka bertindak sebaliknya terhadap surau dan Pasti yang menjadi tempat manusia sujud, menuntut ilmu serta berperanan mendidik anak-anak yang masih kecil menjadi generasi Rabbani dan bertaqwa.

Tindakan rakus itu terbukti dengan disulami politik dendam kesumat dan perasaan gusar dengan kebangkitan rakyat di Melaka. Tindakan membina jalan yang asalnya lurus diganti dengan jalan yang bengkang bengkok merentasi bangunan Pasti Jaya Insan dan Surau di Bukit Katil merupakan satu tindakan yang memang disengajakan. Walhal di sebelah surau dan Pasti berkenaan masih ada tanah yang kosong yang jauh lebih sesuai.

Inilah sikap hipokrit dan talam dua muka yang saya cukup yakin didalangi oleh kerajaan Umno/BN di Melaka. Semua ini mudah difahami kerana siapa lagi Adun di tempat berkenaan kalau bukan Ali Rustam sendiri.

Ali Rustam lebih mengutamakan dan berbangga dengan projek hiburan seperti perkampungan artis yang kini terbengkalai daripada menyuburkan kesedaran dan pembinaan akhlak rakyat di Melaka. Ini merupakan tindakan yang cukup terdesak apabila Umno/BN menyedari bahawa kedudukan mereka cukup getir menjelang PRU akan datang. Saya cukup yakin tindakan Umno/BN bukan sahaja akan memakan diri mereka sendiri tetapi ia akan meningkatkan sokongan dan simpati rakyat untuk memastikan Umno/BN berkubur dalam PRU akan datang.
Muslimat yang turut menyatakan bantahan semalam
Sebahagian rakyat berbilang kaum yang hadir menyuarakan protes

15 October 2010

BELANJAWAN 2010 : BELANJAWAN RM (ROSMAH MANSOR) ?

Belanjawan 2010 disifatkan sebagai Belanjawan RM ( Rosmah Mansor ) siapa lagi kalau bukan lagi isteri PM yang dengan tak malu mengaku dirinya 'First Lady' Malaysia.

Paling ketara belum pernah dalam sejarah pembentangan Belanjawan di parlimen, isteri PM mendapat peruntukan khas RM 111 juta melalui program PERMATA yang dianunginya. Sekolah Agama Rakyat ( SAR ) di seluruh negara hanya mendapat RM 95 juta sahaja. Lepas ni pakat-pakat bising masalah sosial remaja dan muda-mudi di negara ini semakin kronik. Terbukti kerajaan 1 Malaysia bersikap sambil lewa dan tidak mengambil berat dalam pembinaan akhlak dan sahsiah golongan muda di negara ini.

Malah penghapusan cukai 300 barangan kegemaran pelancong seperti beg tangan ,minyak wangi, kasut....menunjukkan kerajaan 1Malaysia lebih mengutamakan budaya membeli belah di kalangan rakyat di negara ini dan lebih mengutamakan pelancong dari rakyat di negara ini.

"Pengurangan cukai untuk beg, penyembur rambut, minyak wangi... hadiah Krismas awal Najib untuk Rosmah? Tulis MP Serdang Teo Nie Ching dalam blognya.

05 October 2010

JIKA KU LI CALON BONUS BUAT PAS


Pemimpin Umno nampaknya begitu bersungguh-sungguh untuk meletakkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon BN di Galas. Walaupun yang empunya badan belum kata ya atau tidak pemimpin dan media yang sewaktu dengannya sudah seperti mengesahkan bahawa tidak ada calon lain selain Ku Li. Seolah-olah macam kahwin paksa pulak, yang dipaksa kahwin bukan calang-calang orang, kerabat raja, bekas menteri dan satu-satunya pemimpin Umno yang berani mencabar presiden mereka.

Bagi saya jika Ku Li jadi calon ia sebenarnya satu bonus buat Pas. Pertama sebab ia sebagai satu pengiktirafan besar Umno kepada kekuatan dan pengaruh Pas di Galas khasnya dan Kelantan serta Malaysia amnya. Jika Pas tak kuat maka Umno mungkin akan calonkan mereka yang sekadar lulus darjah enam atau pun calon lain seperti Datuk Awang Adek atau calon proksi jaguh lompat dari Pasir Mas.

Kedua, jika Pas Menang dan Insyaallah memang boleh menang, ia satu kemenangan moral terbesar Pas kerana dapat menewaskan calon Heavy Weight Umno di kubu mereka sendiri. sudah pasti ia memberi tonik terbaik kepada Pas untuk mengekalkan penguasaan di Kelantan dan meneruskan kemaraan di negeri-negeri lain di Malaysia.

Ketiga, jika Ku Li jadi calon dan menang di Galas sebenarnya ia akan meningkatkan konflik dan perpecahan kepada Umno Kelantan yang kini memang sedang teruk bergolak. Pastinya penyokong Ku Li mahukan beliau jadi Ketua Pembangkang di DUN dan dinobatkan bakal Menteri Besar Kelantan jika Umno menang. Maka penyokong Awang Adek, Anuar Musa dan Tok Pa akan berdiam diri dan senang duduk?

Keempat, jika Pas tewas. Pas tewas bukan kerana ditolak pengundi tetapi Pas tewas kerana pengundi dalam dilemma dengan pengaruh Ku Li. Mungkin pengundi di Galas akan mengundi Umno setelah mendapat pelbagai wang saku, bantuan ehsan dan projek mee segera daripada pemimpin Umno yang pastinya akan menjadi sangat-sangat baik hati dan pemurah dalam pilihanraya itu nanti. Bagi mereka jika Ku Li jadi calon dan pangkah Ku Li kerajaan Tok Guru tidak akan terjejas dan kekal stabil.

Oleh itu, kita patut beri galakan dan sokongan kepada Umno untuk calonkan Ku Li kerana ia sebenarnya memberi keuntungan politik yang cukup besar kepada Pas dan Pakatan Rakyat dari segi jangka panjang khususnya dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

30 September 2010

UMNO BARU SEDAR JUDI HARAM ?


Judi dalam apa nama dan bentuk sekali pun ia adalah haram. Tidak ada dalil dan hujah yang boleh menghalalkan judi. Di Pulau Pinang dan akhbar utama yang menjadi 'lidah rasmi' Umno-BN hari ini begitu gegak gempita dengan isu yang didakwa duit judi yang diberi kepada warga emas.

Maka seramai 40 warga emas hari ini bertindak memulangkan duit RM 100 yang diberi oleh kerajaan Pulau Pinang yang menurut ketua pembangkang Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim sebagai duit haram. Dalam masa yang sama warga emas yang memulangkan duit RM 100 mendapat semula gantian RM 100 dari sumber duit 'halal'.

Walaupun telah dijelaskan oleh ramai pihak termasuk bekas mufti Perlis yang kini menjawat jawatan pensyarah kanan di USM, Dr Mohd Asri Zainul Abidin , rakyat yang menerima bantuan kerajaan sebenarnya tidak haram walaupun dana yang diperoleh pihak berkuasa adalah daripada pelbagai sumber termasuk judi — yang menjadi amalan kerajaan pusat dan sesetengah kerajaan negeri.

“Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram, sebabnya mereka bukan berjudi... mereka (hanya) mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.“Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi,”.

YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri menyangkal tohmahan dengan menjelaskan sumber judi hanya untuk bantuan kepada golongan bukan Islam.

Saya bukan nak menyokong Lim Guan Eng atau mempertahankan isu duit judi. Hukum tetap hukum dan yang haram adalah tetap haram.

Hanya orang nyanyuk dan sasau serta gila kuasa sahaja yang tergamak serta sanggup memainkan isu ini. Apakah Umno cukup suci daripada judi?

Mungkin pak cik dan mak cik yang 40 orang itu mereka boleh peralatkan untuk tujuan politik mereka. Tetapi rakyat Malaysia hari ini cukup matang dan bijak serta tahu menilai isu sebenar yang berlaku.

Apakah Umno cukup insaf dengan judi dan hasil judi? Apakah kerajaan Umno boleh menafikan dakwaan bahawa mereka hari ini dapat bertahan dengan hasil judi? Jika berani dedahkan berapa banyak lesen judi yang mereka sudah luluskan sepanjang lebih 50 tahun berkuasa? Dedahkan juga sumber dan kemana semua hasil judi tersebut dibelanjakan.

Kepada pemimpin Umno dan yang sewaktu dengannya kalau nak mainkan isu dan burukkan orang lain cermin-cerminlah diri tu sendiri dahulu. Nanti bimbang bukan meludah ke langit hinggap muka sendiri tetapi segala kuman segala kahak segala penyakit kena pada mereka semula.

26 September 2010

AKHBAR KOSMO TIDAK IKTIRAF TUANKU MUHAMMAD FARIS PETRA SULTAN KELANTAN?


Laporan akhbar Kosmo milik kumpulan Utusan yang selama ini menjadi 'lidah rasmi' Umno jelas mempunyai agenda tersembunyi dan berniat jahat. Dalam laporan berita pada hari ini, akhbar Kosmo seperti telah menghina institusi diraja Kelantan dan rakyat Kelantan seolah-olah Kelantan kini mempunyai dua orang sultan. Dalam laporan itu menyebut....Sultan Ismail berkenan menerima mengadap bekas Perdana Menteri Thailand...Sudah dimaklumkan sebelum ini bahawa dengan pemasyuran Tuanku Muhammad Faris Petra maka gelaran sultan tidak boleh digunakan sebelum ini kepada bekas sultan sebelumnya. Adakah ini satu kesilapan atau memang disengajakan? Walhal semua sedia maklum bahawa Tuanku Muhammad Faris Petra telah dimasyurkan sebagai Sultan Kelantan ke V.

Pelantikan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri.Lainlah kalau pemasyuran itu dibuat di bawah pokok di padang sekolah seperti yang didalangi Umno tidak lama dulu atau pemasyuran itu dibuat oleh mesyuarat JKKK Umno!
Pemasyuran ini sah menurut pelembagaan dan disambut baik oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik. Jelas akhbar Kosmo milik Utusan telah menghina insitusi beraja yang saya yakin didalangi mereka yang berkepentingan di sebalik penyiaran berita ini.

18 September 2010

RAKYAT MELAKA AKAN DAPAT EYE ON MALAYSIA BARU SEBELUM PILIHANRAYA UMUM


Melaka akan menjadi tempat pertama di dunia yang memiliki roda gondola berputar dalam tempoh beberapa tahun sahaja. Eye On Malaysia yang dulunya beroperasi di Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur yang dibawa ke muara sungai Melaka kini menjadi 'besi buruk' yang paling mahal di dunia.

Ini berikutan keputusan mahkamah Tinggi atas saman yang dikemukakan oleh pemilik asal syarikat Fitraco NV dari Belgium terhadap kerajaan Melaka kerana melanggar beberapa syarat perjanjian. Saya difahamkan berikutan saman itu kerajaan Umno@BN Melaka terpaksa membayar jutaan ringgit kepada syarikat berkenaan yang dapat untung atas angin tanpa perlu roda Eye On Malaysia berpusing-pusing seperti kelaziman.

Maka pemimpin Umno@BN pening-pening berpusing-pusing apabila isu berkenaan mendapat bantahan dan kritikan daripada rakyat sehingga di bawa ke dalam sidang DUN Melaka tidak lama dulu. Sehingga kini bantahan berterusan kerana pembaziran duit rakyat kerana 'kecerdikan' pemimpin Umno@BN dalam isu ini.

Maka tidak semena-mena tanpa hujan dan ribut, kelmarin Ketua Menteri Melaka mengumumkan bahawa Melaka bakal memiliki Eye On Malaysia baru dalam tempoh enam bulan akan datang yang ditempah khas berharga RM 7 juta dari sebuah syarikat di China.

Ketua Menteri Melaka cuba menunjukkan "kecerdikannya' dengan mendakwa kerajaan Melaka dapat berjimat separuh duit rakyat berbanding jika menerima tawaran Fitraco NV untuk membeli Eye On Malaysia sedia ada yang disifatkannya sebagai barang terpakai.

Mungkin pada pak cik dan mak cik yang tak reti Matematik mungkin beliau boleh kelentong. Macam mana pula dengan kos saman di mahkamah, prasarana Eye On Malaysia sedia ada yang kini banyak yang rosak seperti gerai jualan, kaunter tiket, tandas yang pastinya memerlukan tambahan kos lagi. Siapa yang bakal buat duit dan siapa yang bakal untung?

Mungkin KM Melaka lupa selama ini Melaka banyak membeli barang terpakai. Bas merah terpakai dari Kota London yang kos awalnya sahaja RM 200 ribu sebuah. Tidak termasuk kos penyelenggaraanya yang selalu tersadai kerana sering rosak. Malah tidak keterlaluan, beliau sendiri merupakan pemimpin kitar semula yang diselamatkan oleh Presiden Umno setelah terlibat dalam rasuah dalam pemilihan Umno!

17 September 2010

HARI INI SEJARAH TERCIPTA LAGI DI BUMI MELAKA


Hari ini rakyat Melaka cukup bertuah kerana satu lagi sejarah tercipta. Sebuah sekolah yang dirasmikan pembukaannya yang tidak ada di mana-mana bumi Malaysia. Mungkin ia satu lagi catatan sejarah sempena Sambutan Hari Malaysia yang buat pertama kalinya disambut semalam.
Maka selepas ini mana-mana pelajar yang berminat boleh berbaris mendapatkan borang permohonan di pejabat ketua menteri. Pastikan anda menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Syaratnya mudah sahaja, pastikan anda telah melakukan zina dan mengandung anak zina! Walaupun niatnya bagus, tetapi tindakannya tak kena. Membantu dan memberi peluang kepada mereka yang terlibat dengan zina untuk mendapat kehidupan baru tetapi dalam masa yang sama membuka peluang dan mengadakan program yang menggalakkan kepada zina. Malah lebih malang lagi dalam masa yang sama berterusan menentang dan memperlekehkan undang-undang Allah untuk mencegah kepada zina. Mencegah lebih baik daripada mengatasi. Selagi manusia menggunakan logik akal untuk mengatasi masalah sosial, masalah tak akan selesai. Allah SWT telah memberi rahmat dan petunjuk serta pedoman kepada manusia untuk semua hal kehidupan. Kembalilah kepada petunjuk dan pedoman daripada Al Quran, Hadis, Qias dan ijmak ulama Ambilah pengajaran yang berlaku akhir-akhir ini sebagai peringatan dari Allah SWT agar tidak berlaku lagi episod menyayat hati berlaku lagi dalam negara ini.