26 August 2008

ANALISIS AWAL KEPUTUSAN PILIHANRAYA PERMATANG PAUH



Keputusan Rasmi

  1. Dato Seri Anwar Ibrahim     -    31,195 undi
  2. Dato' Arif Shah Omar        -    15524 undi
  3. Hanafi Mamat             -    92 undi


     

    MAJORITI             -    15671 UNDI

    KELUAR MENGUNDI 81 %

    Penyandang/Incumbent:Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail(PKR)
    Undi diperolehi/Votes Polled:2008:30,348
    Majoriti/Majority:13,398


Analisis Awal Kemenangan Dato seri Anwar Ibrahim dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

  1. Majoriti rakyat tidak mempercayai isu Liwat terhadap Dato seri Anwar
  2. Media Massa milik kerajaan seperti NST, Berita Harian, Utusan Malaysia, TV1, TV3,TV 7 dan TV 9 semakin hilang pengaruh dan tidak dipercayai.
  3. Media alternatif seperti laman web, blog dan akhbar bercetak alternatif semakin berpengaruh berbanding media masa
  4. Majoriti rakyat mempercayai bahawa kerajaan terbaru akan terbentuk sebelum 16 September
  5. Majoriti rakyat cukup terhimpit dengan kesan kenaikan harga minyak.
  6. Sumpah – sumpah sebelum pilihanraya Permatang Pauh akan jadi ' sesumpah'
  7. Majoriti rakyat tidak bersetuju dengan sebarang taktik kotor atau menghina atau mengaibkan individu secara terbuka.
  8. Kemungkinan dalam tempoh terdekat ada ahli parlimen beralih kepada Pakatan Rakyat
  9. Kemungkinan Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh terdekat pada bila – bila masa.
  10. Kemungkinan Kerajaan akan mengistiharkan Mageran / darurat jika keadaan tidak terkawal dan ramai ahli Parlimen beralih ke pakatan Rakyat.


 

25 August 2008

Apa Nak Jadi Dengan Orang Melayu Hari Ini..


Berita Utama TV 9 malam ini menyiarkan bahawa bangsa Melayu merupakan peratus paling tinggi di Penjara, sekolah Pemulihan Akhlak, Pusat Tahanan, Pusat Serenti dan sekolah Henry Gurney.

Sekiranya tidak disiarkan pun, orang ramai dah sedia maklum bahawa dulu,kini dan selamanya orang Melayu memegang 'rekod' penghuni teramai di tempat – tempat berkenaan.

Dalam slot berita itu, seolah – olah menyalahkan pemimpin politik Melayu yang asyik bertelagah dan berebut kuasa menyebabkan nasib orang Melayu terabai.

Saya tidak menafikan wujudnya hakikat ini pada segelintir pemimpin Melayu yang gila kuasa, menyalah gunakan amanah dan mempunyai kepentingan politik sempit yang menyumbang kepada berlakunya masalah ini.

Misalnya, Dato' Seri Hamid Albar, Menteri Dalam Negeri merangkap ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi sendiri membayangkan bahawa pemilihan Bahagian UMNO kali ini merupakan yang paling kotor dipalit dengan rasuah dan paling teruk dalam sejarah kewujudan UMNO.

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh ? Amat jelik dan memalukan !pemimpin dan media seluruh dunia terarah di sini dengan senario politik yang berlaku. Golongan tertentu sanggup lakukan apa sahaja tanpa mengira batas dosa dan pahala gara – gara fobia, takut kehilangan kuasa.

Namun, pihak TV 9 yang juga anak syarikat TV 3 kadang –kadang terlupa bahawa mereka juga antara penyumbang terbesar menyebabkan orang Melayu kekal menjadi 'juara' penghuni teramai di Penjara dan tempat – tempat yang sewaktu dengannya.

Mungkin mereka terlupa siapa yang banyak menyiarkan dan menganjurkan program yang melalaikan orang Melayu.

Misalnya siapa yang menganjurkan JOM Heboh ? satu ketika dulu dikenali SURE HEBOH. Namun, apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan program ini ditukar nama untuk 'dihalalkan' kepada nama JOM HEBOH.

Selain itu contoh lain ialah program Akademi Fantasia yang menyebabkan orang Melayu hanyut dan terpaku depan TV yang disulami dengan drama linangan air mata apabila terdapat artis yang tersingkir.

Malah banyak lagi seperti rancangan BOLYWOOD, Telenovela dan terkini orang Melayu jadi 'ketagih' dengan drama – drama dari Seberang.

Rancangan yang memberi input, pengetahuan dan bermanafaat hanya boleh dikira dengan jari.

Terbaru, kerajaan meluluskan konsert artis rock wanita Avril Lavigne
di Stadium Merdeka pada 28 Ogos ini. Agak – agak siapa penonton teramai ? sudah pasti Melayu….

Sebelum ini, Kerajaan membenarkan Konsert Ratu Dangdut Indonesia, Inul. Namun, disebabkan wujudnya bantahan konsert tersebut dibatalkan dari dianjurkan di Stadium Pasir Gudang dan Stadium Merdeka. Hanya diadakan di kedutaan Indonesia sempena Hari Kemerdekaan republik itu. Sekiranya diteruskan, tak tahulah apa yang akan berlaku.

Tak lama lagi sambutan Kemerdekaan, sudah menjadi satu tradisi yang tidak sihat pada malam kemerdekaan akan disajikan konsert sehingga ke dinihari. Siapa lagi yang paling ramai kalau bukan muda – mudi Melayu. Termasuklah di sini anak – anak Melayu yang masih hingusan yang terkinja – kinja sampai ke pagi.

Semua ini boleh turut menyumbang berlakunya pelbagai masalah sosial dalam masyarakat .Justeru itu tak hairanlah kes – kes seperti juvana, jenayah, masalah rumah tangga dan penagihan dadah khususnya di kalangan orang Melayu terus meningkat saban tahun.

Justeru itu tidak hairanlah orang Melayu akan terus mendominasi 'carta ' dan 'rekod ' teramai di penjara, pusat tahanan, pusat serenti dan sekolah Henry Gurney selagi sikap tunding menunding terus diamalkan oleh pemimpin yang ada sekarang dan pihak media.

Dalam konteks ini semua pihak terutamanya kerajaan yang ada perlu berubah dengan dasar yang lebih memfokuskan pembinaan sahsiah dan melahirkan warganegara yang berakhlak mulia. Sekiranya tidak, mereka perlu sedia berhadapan dengan kemungkinan untuk diubah.

Begitu juga peranan semua pihak seperti ibu bapa, guru dan masyarakat serta media perlu sentiasa berkerjasama dalam menangani dan mencari penyelesaian masalah yang berlaku. Hentikan sikap saling menyalahkan dan tuduh menuduh. Setiap orang ada peranan dan tanggungjawabnya. Sesuai dengan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.


 


 


 


 


 

    

7,328 Penyarah Institut Perguruan dan Guru Naik Pangkat

KUALA LUMPUR: Lembaga Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) yang bersidang hari ini meluluskan pemangkuan dan kenaikan pangkat 7,328 guru.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, kelulusan itu antara lain membabitkan kenaikan pangkat Gred DG41 ke DG44 secara Khas Untuk Penyandang (KUP) melalui "time based' seramai 3,091 orang, pemangkuan Gred DG41 ke DG44 secara KUP sebagai Guru Cemerlang (705 orang) dan pemangkuan Gred DG41 ke gred DG44 di Bahagian Pendidikan Guru dan Institut-Institut Perguruan (793 orang).

Sidek berkata pelaksanaan urusan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pelajaran dilaksanakan sepanjang masa menerusi pertimbangan oleh LKPPP yang bersidang sebulan sekali.

"Dalam tempoh bermula Januari hingga bulan lalu, LKPPP meluluskan pemangkuan dan kenaikan pangkat seramai 5,812 orang pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah meliputi pelbagai gred jawatan kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) serta gred utama," katanya.

Beliau berkata selain kenaikan pangkat yang diumumkan itu, semua urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat berdasarkan insentif penambahbaikan akan dinikmati pegawai perkhidmatan pelajaran sebelum 31 Disember ini.


 

Musim Sumpah @ Sesumpah…



 

Awal Bulan lalu seluruh negara hangat memperkatakan tentang sumpah Saiful Bukhari Azlan 15 Ogos lepas yang mendakwa dirinya diliwat ( terliwat ) oleh mantan Timbalan Perdana Menteri Dato seri Anwar Ibrahim.

Semasa sibuk – sibuk piliharaya kecil Permatang Paum Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pula bersumpah di Masjid Bertam Pulau Pinang menafikan beliau kenal dengan gadis Mongolia, Altantuya Sharibu yang diletupkan dengan bom C 4 di Puncak Alam, Selangor.

Semalam, mantan Menteri Besar Perak, Dato' seri Tajul Rosli Ghazali pula bersumpah menafikan beliau terlibat dalam konspirasi yang didakwa oleh Menteri Besar Perak, Ir. Dato seri Nizar Jamaludin tentang tangkapan 2 Exco Perak oleh Badan Pencegah Rasuah ( BPR ).

ANTARA BANNER KEMPEN PILIHANRAYA KECIL PERMATANG PAUH

Nampaknya, keadaan cuaca yang tidak menentu akhir – akhir ini menyebabkan musim 'sesumpah' keluar dari sarangnya. Kita tunggu lagi 'sesumpah' yang keluar dari sarang seterusnya.

24 August 2008

Konsert Avril Lavigne : Kemuliaan Sambutan Ramadhan dan Kemerdekaan Dicemari



Keputusan Kabinet semalam melululuskan permit konsert Avril Lavigne, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka, 29 Ogos ini merupakan satu penghinaan kepada umat Islam dan penduduk yang bakal menyambut kedatangan bulan Ramadhan dan Kemerdekaan Negara ke 51.Sekaligus mencemari kesucian bulan ibadah dan penuh kemuliaan kepada umat Islam dan bulan mengingati pembebasan Negara dari penjajah.

Keputusan membenarkan artis kelahiran Kanada ini beraksi di Malaysia merupakan sesuatu yang menunjukkan bahawa mereka yang terlibat tidak peka dengan sensitiviti perasaan umat Islam di Negara ini yang sedang bersiap untuk menyambut Ramdhan.Sekali gus mencemari sambutan Kemerdekaan Negara ke 51 yang akan disambut pada 31 Ogos ini.

Dalam Negara sedang bergelut dengan pelbagai masalah keruntuhan akhlak dan peningkatan kadar jenayah serta kes salah laku remaja seperti zina, menularnya budaya penyelewengan akidah dan kes - kes juvana, konsert ini dilihat akan menyumbang kepada berlakunya lebih banyak gejala tidak sihat dan menyuburkan budaya liar di kalangan anak muda.

Adakah mereka yang terlibat, tidak menyedari betapa parah dan kroniknya gejala sosial yang melanda Negara ? Adakah mereka hanya melihat sebelah mata atau hanya memejamkan mata dan memekakkan telinga melihat dan mendengar apa yang berlaku di sekeliling mereka ?

Avril Lavigne,artis rock simbol seks yang sering mengenakan pakaian seksi menjolok mata yang menjadi ikon kegilaan remaja merupakan model yang bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat Negara ini, lebih – lebih lagi bertentangan dengan prinsip ajaran Islam.

Dalam hal ini, tidak bermakna kita menentang artis dan hiburan. Namun, konsert atau persembahan yang ingin diadakan mestilah sesuai dengan nilai budaya masyarakat Negara ini dan tidak bercanggah dengan prinsip kesopanan dan tatasulila serta nilai – nilai murni masyarakat. Apa yang lebih penting sesuai dengan prinsip moral dan tuntutan agama Islam. Terdapat ramai lagi artis yang sesuai yang boleh diundang untuk membuat persembahan di Negara ini. Kenapa perlu menjemput Avril Lavigne ? Seolah-olah mereka terlibat dan beria – ia menjemput artis ini mempunyai agenda tertentu untuk merosakkan masyarakat di Negara ini.


Sekiranya berlaku masalah keruntuhan akhlak remaja dan muda mudi mereka ini sepatutnya dipersalahkan. Malangnya apa sering yang terjadi , ibu bapa dan guru yang sering menjadi mangsa. Seolah – olah ibu bapa tidak pandai mendidik anak di rumah dan guru tidak pandai mengajar di sekolah. Adilkah begitu ? Walhal, merekalah antara penyumbang saham terbesar kepada masalah keruntuhan akhlak dan moral yang berlaku.

Alasan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kelulusan itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin, berdasarkan 'budi bicara' adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima.

Justeru itu, sebagai rakyat yang prihatin saya menyeru dan mengesa pihak berkenaan supaya mengakaji dan menarik balik semula permit konsert yang diberikan. Hormatilah perasaan umat Islam yang bakal menyambut Ramadhan. Di samping itu, hormatilah juga rakyat di Negara ini yang bakal menyambut Kemerdekaan ke 51.

Apa ertinya sambutan kemerdekaan jika minda dan fikiran masih belum merdeka dan dijajah. Marilah kita bersama – sama membebaskan diri kita dari penjajahan alaf baru dengan menyuarakan pandangan dan luahan perasaan tidak bersetuju dengan konsert yang bakal diadakan sebagai menandakan kita benar – benar merdeka. Bulan Ramadhan, merdeka dari godaan syaitan dan seksaan api neraka. 31 Ogos merdeka dari penjajah.



23 August 2008

Ramadhan Bulan Kemenangan



"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana
diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu
bertakwa.," 2:185.


 

Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Ramadhan adalah bulan yang suci di mana Allah SWT menguji hamba-Nya dan memberikan mereka peluang untuk mencapai rahmat-Nya. Salah satu ujian penting bagi Ramadhan yang mulia ini, ialah ia disambut pada masa yang sama di mana peperangan telah diisytiharkan ke atas Islam dan umat Islam oleh Amerika dan Britain dan bagaimana keimanan dan umat Islam menyesuaikan diri di mean pertempuran di bawah kepimpinan Islam yang ikhlas dan jujur.

Rasulullah SAW dan para sahabat baginda RA telah melalui sembilan Ramadhan bersama selepas Hijrah. Mereka dipenuhi dengan berbagai-bagai peristiwa yang berlaku dalam bulan Ramadhan dan menjadikan contoh pengorbanan dan penyerahan kepada Allah SWT dalam usaha untuk meninggikan kalimah-Nya.

Peristiwa Masjid ad-Dhirar

Dalam tahun pertama selepas Hijrah, Rasulullah SAW telah menghantar bapa saudaranya Saidina Hamzah ibn Abdul Muttalib bersama tiga puluh sahabat yang lain ke Saif al-Bahr untuk menyiasat mengenai tiga ratus orang Quraisy yang telah berkemah di kawasan berkenaan. Umat Islam hampir menyerang golongan kafir tersebut, tetapi mereka telah dihalang oleh Majdy ibn Umar al-Juhany. Seorang munafiq dari Madinah, dengan harapan untuk memecahkan kesatuan umat Islam dan telah membina sebuah masjidnya sendiri yang dikenali sebagai Masjid ad-Dhirar. Rasulullah SAW telah mengarahkan para sahabat agar merobohkan masjid tersebut dalam bulan Ramadhan, selepas beliau kembali dari Ghazwah Tabuk.

Peperangan Badar

Pada tujuh belas haribulan Ramadhan, tahun kedua Hijrah, Allah SWT telah memisahkan di antara kebenaran dan kebathilan dalam peperangan Badar yang agong. Allah SWT yang Maha Berkuasa telah menganugerahkan kejayaan yang cemerlang pada hari tersebut dalam bulan Ramadhan kepada Islam yang tidak dapat dilupai.

"Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?," 3:123 & 124

Peperangan Badar merupakan peperangan besar pertama bagi umat Islam. Rasulullah SAW telah meninggalkan Madinah bersama 313 sahabat, dua ekor kuda dan tujuh puluh ekor unta menuju ke Badar. Pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah mereka berjaya mengalahkan tentera musryikin yang berjumlah 1,000 orang, 100 ekor kuda dan 700 ekor unta yang datang dari Mekah di bawah pimpinan Abu Jahl sendiri.

Dalam peperangan Badar, Allah SWT telah memberi inspirasi kepada Rasulullah SAW.

"Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut." 8:9

Rasulullah bereht seketika setelah penat menerima wahyu dan kemudiannya baginda mengangkat kepalanya kegembiraan dan bersabda, "Wahai Abu Bakar, sampaikanlah berita gembira, sesungguhnya kemenangan dari Allah semakin hampir, Demi Allah! aku melihat malaikat Jibrail dan angkatannya datang seperti ribut pasir yang besar."

Bagi kita hari ini, terdapat banyak hadith yang menjelas kejayaan dan kemenangan yang serupa bukan sahaja terhadap orang-orang Yahudi tetapi juga mengenai dominasi Islam ke atas seluruh dunia. Kita mestilah berdoa untuk kejayaan tersebut tanpa henti. Sebagai umat Islam, kita juga hendaklah bertindak secara kolektif sebagai satu ummah, melalui penubuhan sebuah negara Islam yang sebenar.

Peperangan Badar telah menunjukkan kekuatan keimanan umat Islam dan merupakan kemenangan penentuan yang menghancurkan kekuatan tentera kufur dan terbentuknya sebuah negara baru di Madinah sebagai sebuah yang kuat dari segi soiritual, politik dan ketenteraan.

Peperangan Wadi al-Qura

Dalam tahun keenam Hijrah, Zaid bin Harithah telah dihantar ke Wadi al-Qura untuk menghadapi Fatimah bintu Rabiah, seorang permaisuri di kawasan tersebut. Fatimah sebelum ini telah menyerang sebuah kabilah yang diketuai oleh Zaid dan telah berjaya merampas barangan yang dibawa. Beliau dikenali sebagai seorang wanita yang paling dilindungi di Tanah Arab, kerana beliau telah mengantung sebanyak lima puluh pedang saudara terdekatnya di rumahnya. Beliau juga terkenal kerana penenangan secara terbuka terhadap Islam. Beliau telah terbunuh dalam pertempuran menentang Islam dalam bulan Ramadhan.

Pembukaan Kota Mekah dan pemusnahan patung berhala

Dalam bulan Ramadhan kelapan Hijrah, perjanjian Hudaibiyah telah dikhianati dan tentera Islam sedang bertempur dengan tentera Bizentin di Utara. Nabi Muhammad SAW merasakan perlu bagi umat Islam melakukan serangan besar-besaran ke atas golongan kufur di Semenanjung Tanah Arab dan menawan kota Mekah dalam bulan Ramadhan. Tarikh ini merupakan tarikh yang terpenting dalam sejarah umat Islam, kerana setelah peristiwa tersebut Islam telah berjaya disebarkan ke seluruh Semenanjung Tanah Arab. Dalam bulan dan tahun yang sama, selepas menghancurkan semua berhala di Mekah, tentera Islam telah dihantar ke pusat kekufuran utama untuk menghancurkan berhala al-Lat, al-Mamat dan as-Suwa dan beberapa berhala besar dan dihancurkan.

Itulah beberapa peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan di zaman Rasulullah SAW. Bulan Ramadhan adalah bulan pembersihan, menikmati kebaikan, mencegah yang mungkar dan berkorban diri dan harta bagi meninggikan kalimah Allah SWT dan menjadikan Islam sebagai ad-Deen yang dominan. Selepas wafatnya Rasulullah SAW, umat Islam meneruskan Sunnah dan Allah SWT telah memberi kemenangan kepada umat Islam. Ramadhan terus menjadi bulan di mana umat Islam terus diuji sebagaimana yang dapat kita saksikan pada hari ini di Asia Tengah dan Afghanistan.

Penaklukan Sepanyol

Sembilan puluh dua tahun selepas Hijrah dan dalam bulan Ramadhan, Musa ibn Nusair gabernor Khalifah Umaiyah di Afrika Utara dan Jeneral perangnya yang berani, Tariq ibn Ziyad telah berjaya membebaskan keseluruhan Sepanyol, Sicily dan sebahagian dari Peranchis, bermula dari al-Andalus di mana umat Islam telah memerintah selama 700 tahun.

Kejayaan menentang tentera Salibiyah

Dalam tahun 682 Hijrah, Salahuddin al-Ayyubi, selepas bertempur dengan tentera Salibiyah selama satu tahun, akhirnya berjaya menghalau mereka keluar dari Syria dan membebaskan keseluruhan tanah jajahan di bulan Ramadhan. Pada masa itu juga umat Islam telah menghadapi cabaran yang paling hebat.

Kejayaan ke atas tentera Mongol

Dalam abad ketujuh Hijrah, tentera Mongol telah menyapu bersih dan menghapuskan apa sahaja yang merintangi di hadapan mereka di seluruh Asia. Jenghis Khan menamakan dirisendiri sebagai "Cemeti Tuhan yang dikirimkan untuk menghukum mereka yang berdosa." Dalam tahun 617 Hijrah, Samarkand, Ray dan Hamdantelah menyaksikan seramai 700,000 manusia dibunuh atau ditawan. Dalam tahun 656 Hijrah, Hulagu Khan, cucu kepada Jenghis Khan meneruskan kezaliman tersebut. Sehinggakan Baghdad sendiri, bandaraya terunggul bagi negara Islam, telah diranapkan. Ada yang menganggarkan bahawa seramai 1,800,000 umat Islam telah dibunuh dalam kekejaman yang hebat itu. Penganut agama Kristian disuruh memakan babi dan meminum arak secara terbuka manakala umat Islam yang masih hidup dipaksa meminum arak. Arak-arak dicurahkan di dalam masjid dan seruan azan tidak dibenarkan.

Setelah bangkit dari malapertaka besar itu dan dengan tindakan yang sama telah ditimpakan ke atas seluruh umat Islam, Allah SWT telah membangkitkan dari ummah ini Saifuddin Qutz, yang telah menyatukan seluruh tentera Islam dan menghadapi tentera Mongol di Ain Jalut pada 26 Ramadhan 648 Hijrah. Walaupun mereka begitu tertekan, umat Islam dengan pertolongan daripada Allah SWT, umat Islam telah berjaya menghancurkan tentera Mongol dan menghancurkan mereka. Seluruh dunia menyaksikan dengan penuh takjud dan merasa lega di atas kejayaan yang dicapai oleh anak-anak Islam yang Ikhlas kepada Allah SWT.

Inilah semangat Ramadhan yang memberi kejayaan kepada moyang kita dalam menghadapi segala jenis ujian.

Hari ini

Hari ini, umat Islam sedang berhadapan dengan penjajah imperialis, keganasan ketenteraan, penyelewengan yang merebak dan pemimpin yang menindas. Berlakunya budaya fitnah, mempermainkan sumpah ( sesumpah ) dan budaya rasuah berluasa.

Peperangan ke atas Islam dan umat Islam dilancarkan habis-habisan. Oleh itu, maka bangkitlah wahai umat Islam dan aturkanlah langkah kamu menurut langkah yang pernah ditunjukkan oleh Nabi kesayangan kita, Nabi Muhammad SAW, atau contohilah para sahabah, Tariq ibn Ziyad, Qutuz, Salahuddin dan beberapa lagi wira Islam. Berusahalah untuk menjadi orang-orang yang benar-benar beriman, yang bersikap berbaik-baik dan menghormati orang-orang yang beriman; Umat Islam yang benar-benar berpuasa untuk mencapai keredhaan Allah SWT dan bukannya mereka yang berpuasa hanya untuk mendapatkan lapar dan dahaga sahaja.

Semoga Allah SWT menjadikan kita satu generasi umat Islam yang mewujudkan kembali sistem Khilafah yang dijanjikan dan membawa Islam ke keempat-empat penjuru dunia ini. Semoga Allah SWT memberi kepada kita semua kekuatan dan kejayaan untuk membina asas yang baik bagi kerajaan Islam bagi generasi akan datang dan menjadikan kita orang yang akan melaksanakan keseluruhan arahan Islam dalam bulan Ramadhan ini dan selepasnya. Amin!

Pengambilan Guru KPLI Dikurangkan




Jumlah pengambilan guru bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) akan dikurangkan berikutan keputusan kerajaan membenarkan Institut Pendidikan Perguruan (IPG) mengeluarkan guru lepasan ijazah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata Parlimen sudah meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Akta 1996 dan satu daripada perkaranya adalah memberi peluang kepada IPG untuk mengeluarkan guru berkelulusan ijazah.

"Sebenarnya KPLI hanya program sementara kerana apabila IPG dibenarkan melahirkan guru lepasan ijazah, kita akan kurangkan pengambilan KPLI.

"Sekarang, IPG hanya mengeluarkan guru lepasan diploma dan sijil, namun semalam (kelmarin) kita mendapat kelulusan untuk mengeluarkan guru lepasan ijazah. Kami menjangkakan menjelang 2011 institut itu akan mula mengeluarkan guru berijazah," katanya selepas mewakili Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail merasmikan Konvensyen Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Sekolah Seri Puteri, di sini, semalam.

22 August 2008

Harga Minyak Turun Mulai Esok…



Harga minyak turun juga akhirnya. 15 sen bagi petrol dan 8 sen untuk diesel. Ini bermakna harga petrol ( RO97 )turun dari RM 2.70 kepada RM 2.55 dan harga diesel dari RM 2.58 kepada RM 2.50.

Namun, penurunan ini masih dianggap masih kecil dan tidak setimpal dengan beban kenaikan harga minyak yang ditanggung oleh pengguna bermula pada bulan Jun lalu. Sebelum ini kerajaan menaikkan harga minyak petrol dari RM 1.92 kepada RM 2.70 dan harga diesel dari RM 1.58 kepada RM 2.58.

Dari segi peratus penurunan harga yang diumumkan hanya 19.23 % bagi petrol dan 8 % sahaja bagi diesel dari jumlah kenaikan yang berlaku pada bulan Jun lalu.

Penurunan ini dijangka hanya memberi kesan yang sangat sedikit kepada kadar inflasi dan kos sara hidup pada jangka masa pendek atau panjang. Semasa harga minyak dinaikkan pada Jun lalu, kita sendiri dapat menyaksikan 'pesta' kenaikan harga barang yang tidak terkawal dan dapat dibendung. Berita terbaru, pengusaha bas sekolah akan menaikkan tambang bas sebanyak 50 % dalam masa terdekat.

Begitu juga dengan harga barangan pengguna lain yang menunjukkan 'trend' peningkatan harga dari semasa ke semasa. Saya mengakui tidak dapat mengemukakan fakta yang tepat tentang kenaikan harga barangan ekoran kenaikan harga minyak . Namun, secara umumnya berdasarkan pengalaman setiap minggu membeli barangan keperluan dapur dan barang keperluan lain sama ada di pasar awam, pasar borong atau di hyper Market dan kedai runcit biasa, hakikat kenaikan harga barang ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Kenaikan yang paling ketara ialah kenaikan harga beras, barang basah seperti ikan, ayam dan daging serta sayur – sayuran dan minyak masak. Begitu juga dengan harga susu tepung untuk bayi dan kanak – kanak.

Misalnya, harga beras wangi yang dulunya boleh diperolehi di bawah harga RM 30 untuk sekampit kapasiti 10 kilogram, kini hanya mampu dibeli dengan harga sekurang – kurangnya RM 40 ke atas. Harga ayam dari RM 5.20 / RM 5.40 sebelum ini telah meningkat kepada RM 6. Begitu juga dengan harga minyak masak seberat 5 Kilogram sebelum kenaikan harga minyak dapat dibeli di bawah harga RM 12 kini mencecah sehingga RM 13.50 ke RM 14.50.

Persoalannya di sini, adakah kita dapat memastikan pihak pengeluar dan pengimport barangan keperluan akan menurunkan harga bila harga minyak diturunkan 15 sen dan 8 sen ? Saya yakin, anda ada jawapannya.

Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan penurunan harga minyak ini sedikit sebanyak akan dapat mengubat kegelisahan dan keperitan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Kita berharap, kerajaan dapat menurunkan harga minyak kepada kadar yang lebih munasabah pada masa terdekat sesuai dengan kejatuhan harga minyak di peringkat global dan slogan kerajaan menjaga dan membela kebajikan rakyat.

Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan jika rakyat terpesona dengan janji Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak serta merta sebanyak 70 sen sekiranya peralihan kuasa benar – benar berlaku kepada Pakatan Rakyat sebelum 16 september 2008 seperti yang diwar-warkan. Sama – sama kita tunggu, hanya kira – kira 25 hari dari sekarang.

KOMANDO, UTK KAWAL PERMATANG PAUH


BUKIT MERTAJAM 21 Ogos – Polis menggunakan khidmat Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando 69 untuk mengawal keselamatan di Permatang Pauh berikutan pelbagai ancaman yang mungkin dihadapi apabila kawasan itu mula dibanjiri orang luar.

Pegawai Perhubungan Media Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri, Supritendan Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, langkah berkenaan diambil bagi menunjukkan polis memandang serius aspek keselamatan menjelang hari mengundi pada 26 Ogos nanti. Utusan.

Kebetulan, Tak Sengaja atau Disengajakan ?


Akhir – akhir ini apabila menatap dan menonton berita sama ada dari media milik kerajaan atau alternatif seperti Website dan blog tertentu kita berdepan dengan pelbagai input, maklumat dan laporan yang sama sekali berbeza dan kadang kala mengelirukan. Ada kalanya yang kecil dibesar –besarkan, yang besar dikecil –kecilkan yang tiada diada-adakan dan yang ada disembunyi – sembunyikan.Malah kadang – kadang seperti skrip cerita Tamil dan Hindustan yang terdapat banyak watak dan adegan yang muncul dan berlaku secara kebetulan. Adakah ini berlaku secara tidak sengaja atau disengajakan ?

Ini jelas melalui berita – berita muktahir yang khususnya berlaku dalam Negara seperti isu L…T yang melibatkan tokoh ternama, isu sumpah ( sesumpah ), Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, isu naik turun harga minyak dan terbaru isu rasuah yang didakwa melibatkan EXCO dari Perak.

Dalam hal ini sebenarnya kita tidak perlu memeningkan kepala untuk mencari siapa yang betul dan siapa yang salah. Di dalam Al Quran jelas memberi panduan dan peringatan kepada kita semua. Sesuatu kebenaran lambat laun pasti akan terserlah kebenarannya. Manakala yang batil ( palsu ) akan lebur dan binasa. Firman Allah SWT yang bermaksud :

Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap." Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. ( Al Isra' : 81 )

Begitu juga apabila kita menerima sesuatu berita, Al Quran juga telah mengajar kita untuk meneliti dan berhati – hati apabila mendengar sesuatu berita :

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. ( Al – Hujurat : 6 )

Justeru itu, selain daripada pertimbangan akal yang waras serta ilmu yang ada, bimbingan wahyu Ilahi akan dapat membimbing dan memberi panduan kepada kita untuk memahami isu dan persoalaan serta teka teki yang berlaku. Sekaligus dapat mengenepikan pandangan dan tanggapan yang lebih banyak dikuasai oleh nafsu dan pemikiran sempit yang mempunyai kepentingan tertentu.