10 September 2008

PEGUAM NEGARA WAJAR DIPECAT


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wajar memecat Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail kerana engkar arahan supaya tidak terlibat dalam perbicaraan kes liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sebutan kes liwat itu hari ini, Ghani Patail dilihat terlibat secara langsung apabila menandatangani surat agar kes DSAI dipindahkan ke mahkmah tinggi.

Tindakan untuk memindahkan kes ini ke mahkamah tinggi apabila terdapat pihak tertentu yang merasa kurang senang cara Hakim Mahkamah Seksyen, SM Komathy Suppiah yang bepegang kepada kebebasan dan kedaulatan intitusi kehakiman yang tidak cenderung kepada mana –mana pihak.

Walau bagaimanapun, cubaan ini dicabar oleh Peguam Bela DSAI yang diketuai Datuk Sulaiman Abdullah yang menyebabkan kes ini dipinda pada 24 September untuk didengar semula.

DI SEBALIK PENGGANTUNGAN DATUK AHMAD ISMAIL


Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat petang tadi mengambil keputusan untuk menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera , Datuk Ahmad Ismaill selama 3 tahun.

Pada pandangan saya tindakan yang diambil sebenarnya mempunyai agenda tertentu. Lebih –lebih lagi di tengah kehangatan isu pembentukan kerajaan baru pada 16 September nanti.

Tindakan ini sebenarnya bertujuan untuk memujuk dan ‘melembutkan hati’ komponen Barisan Nasional ( BN ) agar terus kekal dengan pakatan.

Keputusan ini lebih kepada tindakan terdesak apabila wujud suara lantang dari parti Gerakan dan MCA baru –baru ini yang ‘mengertak’ untuk keluar dari BN sekiranya isu yang dianggap menghina orang cina dilakukan Datuk Ahmad Said tidak diambil tindakan tegas. Malah wujud gesaan supaya Ahmad Ismail dikenakan ISA.

Tindakan ini dilihat akan menyebabkan wujud protes di kalangan pimpinan UMNO sendiri terutama UMNO Pulau Pinang yang dilihat sebelum ini ‘bermati-matian’ mempertahankan tindakan Ahmad Ismail.

Langkah ini sebenarnya akan lebih menguatkan keazaman dan tekad ahli parlimen UMNO yang dikatakan sebelum ini hendak ‘beralih angin’ untuk menyeberang ke Pakatan Rakyat.Apa –apapun sama –samalah kita tunggu nanti.Wallahu’alam.

CUMA SEKEJAP


Hari ini genap 10 hari umat Islam di negara ini berpuasa di bulan Ramadhan. Begitu pantas masa berlalu. Bermakna kita akan melepasi Fasa Pertama Ramadhan yang ada disebutkan dalam hadis Nabi SAW… yang ada menjelaskan bahawa permulaan Ramadhan sebagai rahmat, dipertengahannya keampunan dan diakhirnya dilepaskan dari api neraka.

Marilah sama –sama kita merenung dan bermuhasabah sejauh mana Fasa Pertama Ramadhan yang kita lalui benar-benar membawa rahmat kepada kita semua.

Adakah amalan dan ibadah kita semakin meningkat atau sebaliknya ? Berapa helai lembaran Al Quran yang kita dah baca ? Adakah masa kita lebih banyak digunakan membaca surat khabar dan bahan bacaan picisan daripada membaca Al Quran ? Bagaimana dengan masa kita ? Adakah lebih banyak dihabiskan dengan ‘shopping raya’ atau mencari ‘pembuka selera’ untuk berbuka puasa di bazar-bazar Ramadhan daripada berikhitkaf di masjid atau duduk di tikar sejadah ?

Mungkin juga ada yang merasakan tak mengapa, di akhir Ramadhan nanti boleh ‘pulun sakan’ mencari malam Lailatul Qadar. Itupun kalau sempat….Mungkin kematian terlebih dahulu menjemput kita. Mana tahu mungkin esok atau lusa.

Berita yang saya terima hari ini seorang rakan sejawat mendapat penyakit kanser tahap 4 membuatkan saya termenung dan terkesima. Beliau sebelum ini agak baik dengan saya dan begitu ceria. Benarlah seperti kata seorang doktor yang pernah menjemput saya semasa satu majlis ceramah tak lama dulu, kanser ini adalah satu ‘anugerah’ yang kadang –kadang datang tanpa disangka-disangka. Tanpa tanda-tanda dan isyarat yang jelas. Begitulah juga dengan kematian…

Justeru itu selagi nadi masih berdetik, gunakalah masa yang ada sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Hujah sibuk bukan alasan. Pandai –pandailah ‘curi ‘ masa untuk membaca dan berusaha untuk menghayati Al Quran dan melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi kita semua.

09 September 2008

BAYARAN COLA DITAMATKAN PADA TAHUN 2009

Saya kira ramai kakitangan awam tidak menyedari dalam keseronokan bakal menerima bonus sebulan gaji iaitu mulai tahun 2009, Cola RM 200 kepada kakitangan awam yang dibayar sebelum ini akan ditamatkan. CUEPACS sedang membuat tuntutan agar bayaran cola ini dikekalkan. Sekiranya keputusan kerajaan kekal,maka bonus sebulan gaji seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan baru –baru ini tidak membawa apa –apa makna.

Keaadaan ini pasti menyukarkan terutama kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Ini akan menyebabkan tekanan hidup yang bertambah parah dan meruncing akan lebih dirasai berikutan kenaikan harga minyak, peningkatan kadar inflasi ( 8.5 % ) serta peningkatan kos sara hidup yang lain.

Justeru itu, kita berharap agar kerajaan yang masih berkuasa mengkaji semula langkah untuk memberhentikan pemberian cola ini . Jika kerajaan yang berkuasa tetap dengan keputusannya, besarlah harapan perubahan kerajaan yang diuar-uarkan akan memberi semula bayaran cola yang dinikmati sektor awam sebelum ini. Di samping turut mengkaji tuntutan gaji minimum RM 900 dan bayaran cola untuk pekerja sektor swasta.

08 September 2008

PENDUDUK DAH TAK TAHAN HIDU BAU BUSUK SETIAP HARI


Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam Dalam lawatannya semalam ke tapak Pelupusan Sampah dan Sisa Pepejal di Krubong semalam menutup hidung kerana tidak tahan bau busuk dari tapak berkenaan.

Untuk makluman YAB Datuk, penduduk di taman dan perkampungan berhampiran seperti Taman Merdeka, Taman Datuk Tamby Chik Karim, Taman Angkasanuri dan kampung gangsa dah 12 tahun menghidu bau busuk berkenaan sejak tahun 1996.

Ketua Menteri dalam temuramah dengan pihak TV 9 menyalahkan kelewatan Pihak Kementerian Alam Sekitar sebagai punca kelewatan membina insinerator moden di Sungai Udang bagi menggantikan tapak sedia ada.

Inilah punca apabila pihak kerajaan negeri tidak teliti apabila merancang membina pusat pelupusan sampah di Krubong tahun 1996 dahulu . Pada ketika itu, kawasan di sekitarnya sudah wujud taman perumahan dan kampung tradisional yang hanya kira-kira 1 Kilometer dari tapak berkenaan. Mengapa tetap diluluskan juga ?

Sikap kerajaan negeri yang seolah –olah menyalahkan pihak lain dalam isu ini adalah sesuatu yang amat dikesali. Sepatutnya pihak kerajaan negeri perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya atas masalah yang berlaku.

BERHATI-HATI APABILA BERKUNJUNG KE KEDAI KEK ITALY DI MELAKA


Para pengguna Islam di Melaka di minta berhati –hati apabila membeli di kedai Kek Italy yang mempunyai banyak cawangan di Melaka.
Kedai Kek ini mendapat Sijil Pengesahan Halal Dari Jabatan Agama Islam Malaysia. Tetapi, perlu diingatkan bukan semua produk atau kek yang dijual di situ yang mendapat tanda pengesahan halal.

Dari penilitian saya pada sijil halal tersebut ,hanya lebih kurang 15 jenis produk sahaja yang mendapat pengiktirafan sijil halal JAKIM. Saya yakin ramai yang tidak menyedari perkara ini. Justeru itu, berhati –hatilalah agar tidak termakan makanan yang diragui kesuciannya. Alangkah malangnya, sewaktu berbuka puasa nanti ada umat Islam yang mengisi perut dengan makanan yang diragui atau haram.

SATU LAGI PROJEK 'GAJAH PUTIH' DI MELAKA


Melaka Digital Mall, satu lagi pembangunan yang bernilai jutaan ringgit yang menjadi projek ‘gajah putih’ di tengah Bandaraya Melaka. Walaupun telah siap sejak tahun lepas lagi, tinjauan saya mendapati hanya terdapat sebuah restoran makanan segera dan beberapa kedai menjual telefon bimbit yang ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’.
Bangunan yang pada peringkat awalnya ingin dijadikan Plaza ‘ Low Yatt Melaka’ yang menjual pelbagai peralatan dan aksesesori komputer dan telefon bimbit tidak menjadi kenyataan.

Menurut seorang pengedar dan penjual barang komputer di bandar ini berkata di antara punca peniaga-peniaga komputer tidak berminat menjalankan operasi di bangunan ini kerana sewanya yang mahal dan masalah tempat letak kereta yang dilihat menyukarkan pengguna untuk berkunjung ke sini.

Nampaknya bertambah lagi koleksi projek ‘gajah putih’ di negeri Melaka. Selepas Melaka terkenal dengan projek gajah putih bernilai ratusan juta ringgit di Pulau Melaka dan Stadium Hang Jebat.

Selepas ini saya akan mendedahkan pula siapa ‘makmum’ Masjid Selat di Pulau Melaka yang bernilai puluhan juta ringgit.

07 September 2008

HARGA BARANG DI PASAR BESAR MELAKA NAIK MELAMBUNG !

Berikut adalah harga barang yang biasa saya beli di Pasar Besar Melaka yang naik dalam masa seminggu berdasarkan tinjauan saya hari ini

Jenis            Harga Minggu Lepas            Harga sekarang

  1. Ayam /kg         RM 6.00                 RM 7.00
  2. Daging/kg         RM 18.00                 RM 20 / 22
  3. Kerang/kg         RM 1.50-2.00              RM 2.50 -4.00
  4. Ikan tenggiri/kg    RM 17.00-18.00            RM 20.00 –RM 22

Bayangkan ini baru 4 jenis barang basah di pasar yang saya selalu beli. Bagaimana agaknya dengan barang keperluan lain. Apa peranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahril Samad dalam menangani masalah ini ? Selepas, pengumuman kenaikan harga minyak pada Jun lalu, Datuk berkata akan mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang menaikan harga barang secara sesuka hati. Mana janji –janji itu ?

Bagi saya, kadar inflasi yang diumumkan oleh Menteri Kewangan kedua tempohari bukan 8.5 % tetapi lebih tinggi dari itu berdasarkan perkembangan ekonomi semasa. Sudahlah rakyat terbeban dengan kenaikan harga minyak kini rakyat terus dihimpit dengan pelbagai kenaikan harga barang. Para peniaga menaikan harga barang secara sesuka hati dan bermaharajalela tanpa penguatkuasaan yang tegas dan konsisten.

Begitu juga yang berlaku dengan kenaikan tambang bas hingga melebihi 100 % untuk musim perayaan seperti yang didedahkan berlaku di Melaka Sentral. Menunjukkan kelemahan kelemahan ketara agensi –agensi penguatkuasaan.

Semua ini seolah –olah menunjukkan kerajaan yang ada semakin lemah dan tidak stabil sehingga kelihatan tidak berupaya menangani masalah yang berlaku.

'SULTAN MELAKA' KEMBALI...


Setelah dua tahun menghilang, kini ‘sultan Melaka’ kembali dengan dengan dakwaan dan tuntutan untuk diiktiraf sebagai sultan Melaka ke 44. Raja Noor Jan Shah Raja Tuah, 53 yang merupakan ahli perniagaan mendakwa sebagai keturunan Sultan Muzaffar Shah kali ini tampil dengan membawa bukti baru iaitu sepasang tiara ( mahkota ) yang didakwa milik Sultan Muzaffar Shah.

Beliau sebelum ini pernah menjadikan sebuah rumah di Padang Temu sebagai ‘istana hinggap’ yang disewa RM 300 dari penduduk kampung selain menggunakan ‘kenderaan rasmi’ sebuah motorsikal dengan plat yang tertera ‘sultan Melaka’.

Pada ketika negeri Melaka mengalami masalah kegawatan masalah sosial, peningkatan kadar jenayah, pertambahan sekali ganda anak luar nikah dan kenaikan kadar inflasi yang diselubungi pelbagai isu yang kontroversi seperti isu babi di Paya Mengkuang yang tak selesai –selesai, mungkin pada ketika ini rakyat Melaka memerlukan seorang ‘sultan’ atau pemimpin yang dapat memerintah dengan adil dan saksama serta dapat membawa kemakmuran kepada negeri Melaka yang dapat dinikmati oleh semua penduduk tanpa sebarang diskriminasi politik atau penindasan.

Apa –apa pun kemunculan ‘Sultan Melaka’ ini tidak berkait sama ada yang masih hidup atau meninggal dunia dengan peralihan kuasa yang dijangka berlaku pada 16 September ini. Wallahu’alam

06 September 2008

APABILA GERAKAN DAN MCA BERSUARA...


Semalam Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyatakan hasrat keluar dari Barisan Nasional ( BN ) sekiranya BN kekal dengan dasarnya yang ada sekarang. Hari ini BN sekali lagi menerima tekanan salah satu dari parti komponen utamanya, MCA. Ketua Pemuda MCA Perak,Datuk Tan Chin Meng mendesak agar MCA keluar dari BN.

Gesaan ini dibuat ekoran, kenyataan yang dianggap sebagai menghina orang cina di Malaysia yang dibuat oleh Ketua UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang menganggap orang cina di Malaysia sebagai ‘penumpang’ semasa satu ceramah dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Dalam isu ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan tidak sehaluan dan sependapat. Pak Lah, menggesa supaya Datuk Ahmad Ismail memohon maaf. Sebaliknya, Najib kelihatan bersetuju dengan pendirian Ahmad Ismail enggan memohon maaf.

Isu ini menyebabkan orang cina sama ada dari BN dan Pakatan Rakyat seolah –olah ‘bersatu’ dengan menunjukkan rasa marah dan kurang senang dengan sikap dan kenyataan Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera ini.

Hal ini sudah pasti sesuatu yang bukan yang diinginkan oleh Pak Lah di tengah –tengah kerancakan spekulasi dan teka –teki bahawa menjelang 16 September terdapat ahli parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam saat –saat sukar seperti ini,beliau sudah pasti mengharapkan sokongan padu daripada pimpinan komponen BN untuk memastikan cita –cita pembentukan kerajaan baru tidak terlaksana.Namun, sekarang lain pula jadinya.

Perkembangan terbaru ini mungkin menyebabkan Pak Lah dan pemimpin BN yang lain terpaksa memikirkan strategi dan tindakan yang sesuai untuk mengekalkan kuasa pemerintahan ada. Mungkin mereka sedang mengira dan mencongak nasib kemungkinan yang akan berlaku pada 16 September atau melakukan apa –apa sahaja dalam masa terdekat yang mungkin di luar jangkaan kita