11 September 2008

RETAK MENANTI BELAH


Kemelut yang melanda UMNO bertambah meruncing. Terbaru, Pak Lah meluahkan rasa kesal dan terkejut dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan peralihan kuasa 2010 yang disifatkan terlalu perlahan.

``Saya terkejut kerana dia adalah sebahagian daripada ahli Kabinet saya,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksana Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan menggesa Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.
Muhyiddin mendakwa, pelan peralihan yang telah diumumkan dua bulan lalu itu kini telah `tenggelam' dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.

Apa tujuan atau motif Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu tidak diketahui. Mungkinkah Muhyiddin merasakan ini waktu yang terbaik untuk menunjukkan taringnya ?
Adakah Muhyiddin termasuk dalam senarai yang akan menyeberang ke Pakatan Rakyat ? Mungkin ini yang dikatakan kejutan yang berlaku pada 16 September nanti.

Apa pun tujuan dan agenda di sebalik kenyataan Muhyiddin in, apa yang pasti masalah yang berlaku dalam UMNO telah memasuki episod baru. Jika sebelum ini wujud suara-suara protes tidak puas hati di peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian kini bertambah parah apabila melibatkan orang nombor tiga dalam UMNO.

Senario ini semakin menghakis kepercayaan orang Melayu kepada UMNO yang dilihat sebelum ini begitu dominan kepada kuasa politik orang Melayu. Apa yang berlaku menunjukkan UMNO terpaksa menghitung dan meratapi nasib yang bakal dilalui pada masa akan datang khususnya dalam tempoh beberapa hari dari sekarang

BILA HARGA MINYAK DI MALAYSIA NAK TURUN ?


Harga minyak mentah dunia jatuh di bawah paras AS$100 (RM346) setong buat pertama kali dalam tempoh lima bulan di London apabila Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sebulat suara memutuskan untuk menurunkan pengeluaran minyak kepada 520,000 tong sehari.

Walau bagaimanapun harga minyak di Malaysia masih lagi menggunakan harga lapuk yang tidak mengikut pasaran semasa. Cuma Perdana Menteri ada menurunkan 15 sen pada Ogos lalu dan dan berjanji 15 sen lagi penghujung tahun ini.

Tak tahulah…Malaysia guna pasaran atau sistem harga minyak yang mana satu hingga susah sangat nak turunkan harga minyak. Masa naik minyak hari tu, para pemimpin Negara sampai ‘berbuih mulut’ mempertahankan bahawa harga minyak dinaikkan kerana harga minyak pasaran dunia meningkat. ( Ketika dinaikkan RM.70 sen untuk petrol dan RM 1 bagi diesel harga pasaran minyak dunia ketika itu melebihi AS $ 130 setong ).

Tetapi bila harga pasaran dunia turun…tak ikut pula… Mungkin harga minyak tak dapat diturunkan disebabkan dah berhabisan-habisan masa pilihanraya kecil Permatang Pauh lalu. Di samping terpaksa menanggung ‘Program Cuti-cuti di Taiwan’ 49 ahli parlimen di Taipei.

ISU PERKAUMAN DICIPTA SUPAYA KEKAL BERKUASA


 

Akhir –akhir ini begitu kerap akhbar arus perdana seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia dan media elektronik seperti TV 1 dan TV 3 memainkan isu perkauman. Isu perkauman dilihat senjata ampuh untuk mewujudkan satu suasana panik sekaligus dapat 'menghalalkan' tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat.

Dalam hal ini yang menjadi mangsa bukannnya mereka yang duduk di dalam kerajaan tetapi dihalakan kepada Pakatan Rakyat. Isu perkauman dijadikan sebagai senjata untuk menutup kelemahan dan menyelamatkan kerajaan yang ada bukan perkara baru. Operasi Lalang pada tahun 1987 merupakan bukti jelas apabila ramai pemimpin pembangkang ketika itu ditangkap di bawah ISA. Walhal isu tersebut berpunca daripada perbalahan yang berlaku di antara UMNO dan MCA.

Kebelakangan ini, skrip yang sama seolah-olah wujud. Bermula dengan ucapan Datuk Ahmad Ismail yang 'terlampau' menyentuh sensitiviti kaum sehinggalah respon segera yang berbentuk ugutan dari GERAKAN dan MCA. Wujud desakan agar Ahmad Ismail dikenakan ISA dan sehinggalah Gerakan di Pulau Pinang memutuskan 'tali persaudaraan' dengan UMNO. Seterusnya membawa kepada penggantungan selama 3 tahun keahlian UMNO oleh Majlis Tertinggi UMNO semalam.

Pada pandangan saya dalam isu ini kes Datuk Ahmad Ismail hanyalah ' kambing hitam' untuk survival pihak tertentu.

Terbaru, malam tadi kenyataan tegas Timbalan Ketua Polis Negara yang berkata Polis memberi amaran keras kepada mereka yang mencetuskan konflik perkauman termasuk kepada laman –laman blog. Justeru itu saya menasihatkan rakan-rakan bloggers berhati-hati apabila menyentuh isu perkauman agar kita tidak menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.

10 September 2008

PEGUAM NEGARA WAJAR DIPECAT


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wajar memecat Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail kerana engkar arahan supaya tidak terlibat dalam perbicaraan kes liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sebutan kes liwat itu hari ini, Ghani Patail dilihat terlibat secara langsung apabila menandatangani surat agar kes DSAI dipindahkan ke mahkmah tinggi.

Tindakan untuk memindahkan kes ini ke mahkamah tinggi apabila terdapat pihak tertentu yang merasa kurang senang cara Hakim Mahkamah Seksyen, SM Komathy Suppiah yang bepegang kepada kebebasan dan kedaulatan intitusi kehakiman yang tidak cenderung kepada mana –mana pihak.

Walau bagaimanapun, cubaan ini dicabar oleh Peguam Bela DSAI yang diketuai Datuk Sulaiman Abdullah yang menyebabkan kes ini dipinda pada 24 September untuk didengar semula.

DI SEBALIK PENGGANTUNGAN DATUK AHMAD ISMAIL


Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat petang tadi mengambil keputusan untuk menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera , Datuk Ahmad Ismaill selama 3 tahun.

Pada pandangan saya tindakan yang diambil sebenarnya mempunyai agenda tertentu. Lebih –lebih lagi di tengah kehangatan isu pembentukan kerajaan baru pada 16 September nanti.

Tindakan ini sebenarnya bertujuan untuk memujuk dan ‘melembutkan hati’ komponen Barisan Nasional ( BN ) agar terus kekal dengan pakatan.

Keputusan ini lebih kepada tindakan terdesak apabila wujud suara lantang dari parti Gerakan dan MCA baru –baru ini yang ‘mengertak’ untuk keluar dari BN sekiranya isu yang dianggap menghina orang cina dilakukan Datuk Ahmad Said tidak diambil tindakan tegas. Malah wujud gesaan supaya Ahmad Ismail dikenakan ISA.

Tindakan ini dilihat akan menyebabkan wujud protes di kalangan pimpinan UMNO sendiri terutama UMNO Pulau Pinang yang dilihat sebelum ini ‘bermati-matian’ mempertahankan tindakan Ahmad Ismail.

Langkah ini sebenarnya akan lebih menguatkan keazaman dan tekad ahli parlimen UMNO yang dikatakan sebelum ini hendak ‘beralih angin’ untuk menyeberang ke Pakatan Rakyat.Apa –apapun sama –samalah kita tunggu nanti.Wallahu’alam.

CUMA SEKEJAP


Hari ini genap 10 hari umat Islam di negara ini berpuasa di bulan Ramadhan. Begitu pantas masa berlalu. Bermakna kita akan melepasi Fasa Pertama Ramadhan yang ada disebutkan dalam hadis Nabi SAW… yang ada menjelaskan bahawa permulaan Ramadhan sebagai rahmat, dipertengahannya keampunan dan diakhirnya dilepaskan dari api neraka.

Marilah sama –sama kita merenung dan bermuhasabah sejauh mana Fasa Pertama Ramadhan yang kita lalui benar-benar membawa rahmat kepada kita semua.

Adakah amalan dan ibadah kita semakin meningkat atau sebaliknya ? Berapa helai lembaran Al Quran yang kita dah baca ? Adakah masa kita lebih banyak digunakan membaca surat khabar dan bahan bacaan picisan daripada membaca Al Quran ? Bagaimana dengan masa kita ? Adakah lebih banyak dihabiskan dengan ‘shopping raya’ atau mencari ‘pembuka selera’ untuk berbuka puasa di bazar-bazar Ramadhan daripada berikhitkaf di masjid atau duduk di tikar sejadah ?

Mungkin juga ada yang merasakan tak mengapa, di akhir Ramadhan nanti boleh ‘pulun sakan’ mencari malam Lailatul Qadar. Itupun kalau sempat….Mungkin kematian terlebih dahulu menjemput kita. Mana tahu mungkin esok atau lusa.

Berita yang saya terima hari ini seorang rakan sejawat mendapat penyakit kanser tahap 4 membuatkan saya termenung dan terkesima. Beliau sebelum ini agak baik dengan saya dan begitu ceria. Benarlah seperti kata seorang doktor yang pernah menjemput saya semasa satu majlis ceramah tak lama dulu, kanser ini adalah satu ‘anugerah’ yang kadang –kadang datang tanpa disangka-disangka. Tanpa tanda-tanda dan isyarat yang jelas. Begitulah juga dengan kematian…

Justeru itu selagi nadi masih berdetik, gunakalah masa yang ada sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Hujah sibuk bukan alasan. Pandai –pandailah ‘curi ‘ masa untuk membaca dan berusaha untuk menghayati Al Quran dan melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi kita semua.

09 September 2008

BAYARAN COLA DITAMATKAN PADA TAHUN 2009

Saya kira ramai kakitangan awam tidak menyedari dalam keseronokan bakal menerima bonus sebulan gaji iaitu mulai tahun 2009, Cola RM 200 kepada kakitangan awam yang dibayar sebelum ini akan ditamatkan. CUEPACS sedang membuat tuntutan agar bayaran cola ini dikekalkan. Sekiranya keputusan kerajaan kekal,maka bonus sebulan gaji seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan baru –baru ini tidak membawa apa –apa makna.

Keaadaan ini pasti menyukarkan terutama kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Ini akan menyebabkan tekanan hidup yang bertambah parah dan meruncing akan lebih dirasai berikutan kenaikan harga minyak, peningkatan kadar inflasi ( 8.5 % ) serta peningkatan kos sara hidup yang lain.

Justeru itu, kita berharap agar kerajaan yang masih berkuasa mengkaji semula langkah untuk memberhentikan pemberian cola ini . Jika kerajaan yang berkuasa tetap dengan keputusannya, besarlah harapan perubahan kerajaan yang diuar-uarkan akan memberi semula bayaran cola yang dinikmati sektor awam sebelum ini. Di samping turut mengkaji tuntutan gaji minimum RM 900 dan bayaran cola untuk pekerja sektor swasta.

08 September 2008

PENDUDUK DAH TAK TAHAN HIDU BAU BUSUK SETIAP HARI


Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam Dalam lawatannya semalam ke tapak Pelupusan Sampah dan Sisa Pepejal di Krubong semalam menutup hidung kerana tidak tahan bau busuk dari tapak berkenaan.

Untuk makluman YAB Datuk, penduduk di taman dan perkampungan berhampiran seperti Taman Merdeka, Taman Datuk Tamby Chik Karim, Taman Angkasanuri dan kampung gangsa dah 12 tahun menghidu bau busuk berkenaan sejak tahun 1996.

Ketua Menteri dalam temuramah dengan pihak TV 9 menyalahkan kelewatan Pihak Kementerian Alam Sekitar sebagai punca kelewatan membina insinerator moden di Sungai Udang bagi menggantikan tapak sedia ada.

Inilah punca apabila pihak kerajaan negeri tidak teliti apabila merancang membina pusat pelupusan sampah di Krubong tahun 1996 dahulu . Pada ketika itu, kawasan di sekitarnya sudah wujud taman perumahan dan kampung tradisional yang hanya kira-kira 1 Kilometer dari tapak berkenaan. Mengapa tetap diluluskan juga ?

Sikap kerajaan negeri yang seolah –olah menyalahkan pihak lain dalam isu ini adalah sesuatu yang amat dikesali. Sepatutnya pihak kerajaan negeri perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya atas masalah yang berlaku.

BERHATI-HATI APABILA BERKUNJUNG KE KEDAI KEK ITALY DI MELAKA


Para pengguna Islam di Melaka di minta berhati –hati apabila membeli di kedai Kek Italy yang mempunyai banyak cawangan di Melaka.
Kedai Kek ini mendapat Sijil Pengesahan Halal Dari Jabatan Agama Islam Malaysia. Tetapi, perlu diingatkan bukan semua produk atau kek yang dijual di situ yang mendapat tanda pengesahan halal.

Dari penilitian saya pada sijil halal tersebut ,hanya lebih kurang 15 jenis produk sahaja yang mendapat pengiktirafan sijil halal JAKIM. Saya yakin ramai yang tidak menyedari perkara ini. Justeru itu, berhati –hatilalah agar tidak termakan makanan yang diragui kesuciannya. Alangkah malangnya, sewaktu berbuka puasa nanti ada umat Islam yang mengisi perut dengan makanan yang diragui atau haram.

SATU LAGI PROJEK 'GAJAH PUTIH' DI MELAKA


Melaka Digital Mall, satu lagi pembangunan yang bernilai jutaan ringgit yang menjadi projek ‘gajah putih’ di tengah Bandaraya Melaka. Walaupun telah siap sejak tahun lepas lagi, tinjauan saya mendapati hanya terdapat sebuah restoran makanan segera dan beberapa kedai menjual telefon bimbit yang ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’.
Bangunan yang pada peringkat awalnya ingin dijadikan Plaza ‘ Low Yatt Melaka’ yang menjual pelbagai peralatan dan aksesesori komputer dan telefon bimbit tidak menjadi kenyataan.

Menurut seorang pengedar dan penjual barang komputer di bandar ini berkata di antara punca peniaga-peniaga komputer tidak berminat menjalankan operasi di bangunan ini kerana sewanya yang mahal dan masalah tempat letak kereta yang dilihat menyukarkan pengguna untuk berkunjung ke sini.

Nampaknya bertambah lagi koleksi projek ‘gajah putih’ di negeri Melaka. Selepas Melaka terkenal dengan projek gajah putih bernilai ratusan juta ringgit di Pulau Melaka dan Stadium Hang Jebat.

Selepas ini saya akan mendedahkan pula siapa ‘makmum’ Masjid Selat di Pulau Melaka yang bernilai puluhan juta ringgit.