07 October 2008

HARGA BARANG NAIK MELAMBUNG

Harga barang keperluan, terutama barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran melambung sehingga 50 % di seluruh Negara. Harga barang keperluan ini dijangka akan meningkat lagi berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.

Dalam hal ini Kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya tanpa menyalah dan menunding jari kepada mana –mana pihak seperti pembekal dan pengusaha syarikat pengangkutan.

Kesan kenaikan harga minyak ' terlampau' menyebabkan para pembekal dan pengusaha tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga untuk menyerap pertambahan kos pengeluaran.

Keadaan bertambah buruk dengan kelemahan agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Maklumlah Pak Menteri sedang sibuk menjelang pemilihan UMNO akan datang sehingga tak ada masa untuk memantau apa yang berlaku .

Seperti biasa yang menjadi mangsa adalah pengguna dan orang ramai terutama golongan bawahan berpendapatan rendah yang terpaksa 'mengikat perut' untuk meneruskan kehidupan harian. Sebailknya golongan pemimpin yang memegang kuasa sibuk dengan jamuan bermewah-mewah di majlis rumah terbuka yang mempunyai agenda serampang dua mata untuk melobi menjelang pemilihan UMNO akan datang.

APABILA ALI RUSTAM BERBICARA SOAL AGAMA

Al fadhil Sahibul Samahah Ketua menteri Melaka semalam mengeluarkan 'fatwa' bahawa tindakan penyokong PKR di Batu Caves yang menaikkan replika DSAI sebagai tindakan mendewa dewakan pemimpin. Secara sinis beliau bertanya adakah pembinaan replika tersebut mendapat keizinan dari Pas. Di samping berkata tindakan tersebut satu tindakan yang membazir.

Inilah masalahnya, kalau mengambil pandangan orang yang tak cermin diri sendiri. Jalanlah sekitar Melaka, kita pasti akan menemui billboard besar yang tersergam gambar Ali Rustam. Termasuk yang belum diturunkan sejak PRU yang lalu. Adakah itu tak membazir Datuk ? Alangkah baiknya kos yang mencecah ribuan ringgit itu disedekahkan pada fakir miskin dan golongan tidak bernasib baik.

Sebelum keluarkan apa-apa 'fatwa' tentang patung atau replika sila buang dulu patung-patung yang terdapat di sekitar Melaka. Misalnya patung lembu di Dataran MBMB, patung kancil di depan bangunan Stadhyus, patung di atas bukit St. Paul dan banyak lagi. Harap mufti Melaka tolong nasihatkan Ketua menteri yang sedang bermimpi nak jadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.


 

NAIB PRESIDEN UMNO SETARAF JKK ?


Mohamad Hanapi, Ketua Umno Cawangan Kampung Ubai di Pekan semalam mengumumkan menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan akan datang.

Sama ada secara serius atau pun sinis, kesediaan mencalonkan diri sebagai Naib Presiden menunjukkan bahawa golongan bawahan termasuk JKK dan cawangan sudah hilang kepercayaan pada calon-calon peringkat pusat dan dalam MT yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding.

Di samping itu, inilah sebenarnya standard pimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat setaraf dengan JKK je…

05 October 2008

AKIBAT TERLEBIH MENGAMPU...

Saya memang sangat jarang membeli akhbar versi bercetak, lebih-lebih akhbar yang bersikap 'pengampu' yang telah lama hilang etika kewartawanan dan profesionalisme penulisan.

Entah macam mana tergerak beli Sinar Harian yang saya rasa sedikit ok berbanding akhbar lain. Sila teliti kenyataan Speaker DUN Melaka, Datuk Othman Mohamad.



Nak mengampu punya pasal sampai terlupa bahawa Parlimen Kota Melaka dimenangi oleh DAP dalam pilhanraya ke 12 yang lalu. Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP, Sim Tong Him mesti senyum kalau baca berita ini

PROGRAM RUMAH TERBUKA: TERJEMAHKAN ‘PAS FOR ALL’


Hari ini kita telah memasuki 5 Syawal. Suasana kemeriahan hari raya masih dirasai di mana-mana. Masing-masing mengambil kesempatan menziarahi keluarga dan sahabat handai sama ada yang dekat atau jauh di mata. Tidak kurang yang menganjurkan rumah terbuka untuk menjamu selera dan beramah mesra. Saban tahun, Pas di Melaka sama ada peringkat negeri, Kawasan, MTD dan cawangan juga tidak ketinggalan mengadakan majlis rumah terbuka.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pas di semua peringkat yang mengadakan majlis sebegini. Cuma apa yang sering saya perhatikan dan menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Pas di negeri ini sama ada peringkat atasan atau bawahan, majlis rumah terbuka yang diadakan agak 'tertutup'. Kebiasaannya diadakan di premis atau markas milik parti, kehadirannya 99.9% adalah pemimpin, ahli dan penyokong 'fanatik' Pas. Kehadiran golongan atas pagar dan kaum lain sangat-sangat mendukacitakan. Jauh sekali kehadiran golongan dari parti lawan seperti UMNO,MCA dan MIC.

Justeru itu, saya mencadangkan agar majlis rumah terbuka yang ingin diadakan dibuat tempat yang agak strategik yang menjadi tumpuan ramai. Kita perlu menyedari tidak semua orang berani datang ke markas atau premis milik Pas. Malah di kalangan ahli sendiri pun masih yang terdapat yang 'takut-takut' nak datang ke markas. Apakah lagi mereka yang bukan ahli dan sebagainya. Mungkin, majlis yang sama boleh diadakan di restoran, kawasan lapang, rumah milik persendirian atau tempat yang difikirkan sesuai.

Sementara itu, jemputan perlu di pelbagaikan dengan menjemput pimpinan dan ahli dari Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP serta mengutamakan kepada masyarakat setempat di mana majlis tersebut ingin diadakan. Mereka nak datang atau tidak itu nombor dua, apa yang penting usaha ke arah itu perlu diadakan untuk menepati konsep 'Pas For All' yang menjadi slogan Pas hari ini serta memenuhi hasrat dan aspirasi 'Memasyarakatkan Pas' yang dipelopori oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor satu ketika dulu.

BANJIR LAGI !

Bukan di Kelantan dan juga bukan di Terangganu, tetapi di Melaka ! Tahun ini sahaja dah kerap kali kawasan-kawasan di Melaka dilanda banjir. Nak kata musim tengkujuh atau angin monsun, belum sampai masa lagi. Ini tidak, hujan beberapa jam sahaja adalah kawasan di Melaka yang ditenggelami air. Terbaru, hari ini beberapa perkampungan di Batu Berendam dinaiki air sehingga ke paras pinggang. Banjir terbaru ini merencatkan suasana Raya pada tahun ini. Bukan sekali banjir berlaku, sudah banyak kali. Saya juga berpeluang meredah laluan banjir dalam perjalanan dari Durian Tunggal ke Batu Berendam . Mujur juga air dah mula surut. Tetapi di tepi jalan ada beberapa buah kereta yang tersadai kerana enjin dimasuki air.

Setiap kali banjir, maka adalah janji ditabur untuk mengatasi masalah supaya tidak berulang. Penyelesaiannya ? Bila hujan berlaku lagi banjir ! Ini lah padahnya apabila isu penderitaan dan masalah rakyat turut sama dipolitikkan, yang menjadi mangsa adalah rakyat dan golongan bawahan.

Kepada kerajaan negeri khususnya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam selesaikanlah masalah rakyat di negeri sendiri sebelum berangan-angan besar hendak bertanding timbalan presiden UMNO.

04 October 2008

LALUAN BERLIKU MENANTI PAK LAH, NAJIB DAN DSAI


Dalam tempoh seminggu dua ini suasana dalam negara terutamanya dari segi politik dijangka kembali hangat setelah agak sedikit reda sepanjang Ramadhan yang lalu. Ada beberapa faktor saya menjangkakan ini berlaku :
Pak lah sedang membuat pertimbangan sama ada tunduk kepada desakan MT dan akar umbi dalam UMNO untuk menyerahkan kuasa kepada Najib atau tetap dengan pendiriannya untuk kekal mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Sudah pasti kem Pak Lah yang disokong oleh 'menantu kesayangan' akan bermati-matian untuk memastikan Pak Lah tidak menyerahkan kuasa kepada Najib. Sekiranya Pak Lah tunduk pada tekanan untuk menyerahkan kuasa kepada Najib sudah pasti maruah dan imej beliau akan tercalar. Di samping itu, mereka yang selama ini bergantung kepada Pak Lah akan terjejas dengan pelan peralihan kuasa ini. Justeru itu, mereka juga akan bergabung tenaga untuk memastikan Pak lah terus kekal berkuasa. Lagipun, belum pernah berlaku dalam sejarah UMNO seorang presiden terpaksa meletak jawatan akibat desakan dari dalam UMNO. Pengumuman dijangka akan dibuat selewat-lewatnya Khamis ini.


 

  • Najib yang disebut-sebut menggantikan Pak Lah sudah pasti akan mendapat tentangan sengit dari Tengku Razaleigh Hamzah yang masih 'bermimpi' kerusi presiden UMNO. Perlu diingat, jika Pak Lah menyerahkan tugas kepada Najib sebagai Pemangku Presiden UMNO, beliau masih perlu melalui ujian getir menjelang pemilihan UMNO pada bulan Mac tahun depan ? Khairy dan kem Pak Lah yang lain akan berdiam diri ? Sehingga bulan Mac tahun depan dijangka berlaku peperangan sengit dalam UMNO . Dalam masa yang sama perlu diingat, jika Najib menjadi Pemangku Presiden UMNO dan Perdana Menteri tindakan tersebut dialu-alukan oleh Pakatan Rakyat, seperti yang dikatakan oleh Naib Presiden Pas, Tn. Hj. Md. Sabu. Apa maknanya itu ? Bermakna Najib akan berhadapan dengan serangan bukan hanya dalam UMNO tetapi juga dari Pakatan Rakyat ? Isu Altantuya, komisen kapal selam serta banyak isu moral yang melibatkan Najib masih hangat diperkatakan.


     

  • DSAI mempunyai masa yang semakin suntuk untuk membentuk kerajaan baru. Peluang terdekat ialah pada 13 Oktober ini pada sidang parlimen akan datang untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada kerajaan BN. Ada kemungkinan ahli parlimen BN yang sebelum ini dipinggirkan oleh Pak Lah sama ada dalam pembentukan Kabinet atau kepentingan lain yang bercadang untuk menyertai Pakatan Rakyat akan mengubah semula keputusannya untuk terus kekal dalam BN jika Pak Lah menyerahkan kuasa kepada Najib pada 9 Oktober ini . Justeru itu, satu tugas yang agak sukar bagi DSAI untuk menyakinkan mereka agar kekal dengan keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat atau menganggotai kerajaan baru yang ingin dibentuk.

  •  

    Secara langsung atau tidak langsung semua ini akan mewujudkan ketidakstabilan dalam negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Senario ini pasti akan menyebabkan Indeks Komposit dan saham-saham utama di BSKL berada dalam keadaan tidak menentu. Para pelabur dalam dan luar sudah pasti akan menangguh buat sementara waktu membuat pelaburan baru sehingga suasana dalam negara kembali reda.Adalah sesuatu yang kurang bijak jika terdapat pelabur yang melabur dalam skala yang besar dalam tempoh ini. Sudah pasti mereka akan memikirkan risiko yang terpaksa ditanggung. Kehadiran pelancong luar juga dijangka terjejas sehingga suasana dalam negara benar-benar pulih dan stabil.

    Walau bagaimanapun, keadaan tidak menentu dalam sosiopolitik dan ekonomi negara diramalkan tidak menjejaskan keutuhan dan sokongan kepada PAS dan DAP dalam persada politik negara. Apa-apa pun kita tunggu dan lihat adakah ramalan ini akan berlaku atau berlaku sesuatu di luar kotak pemikiran kita.Wallahualam.

    RUMAH TERBUKA MEDAN MENUNJUKKAN PENGARUH ?

    Saya yakin selepas ini ramai lagi akan menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan tertinggi dalam UMNO pada pemilihan akan datang. Maka selepas ini masing –masing sibuk mengulas siapa dan apa akan berlaku dalam UMNO bila calon –calon ini mengumumkan kesediaan atau memberi bayangan untuk bertanding. Bagi saya apa yang berlaku dalam UMNO hari ini hanyalah satu sandiwara untuk mengalihkan isu sebenar.Kita tunggu ajelah pada 9 Oktober ini Pak Lah kata akan buat keputusan sama ada mempertahankan jawatan Presiden UMNO atau pun tak.

    Tapi bila menyaksikan 100 ribu atau 200 ribu ? yang datang ke rumah terbuka beliau di PWTC kelmarin dan dijangka lebih 100 ribu hari ini di majlis yang sama di Kepala Batas ini sebenarnya akan menguatkan azam Pak Lah untuk kekal bertanding .

    Sudah pasti sambutan hangat ini menyebabkan Pak Lah 'perasan' bahawa beliau masih lagi popular sama ada di kalangan rakyat atau pun dalam UMNO. Sekaligus memberi amaran kepada mereka yang berangan-angan untuk bertanding melawan beliau agar berfikir masak-masak berdasarkan sambutan hebat di majlis rumah terbuka beliau. Sebab tu lah akhbar milik kumpulan NST cuba mengambarkan bahawa bilangan yang hadir ke rumah terbuka Pak Lah adalah sesuatu di luar jangkaan serta luar biasa.

    Kepada semua pemimpin dan penyokong serta mereka yang bersimpati kepada Pakatan Rakyat, semoga tidak leka dan berhati-hati dengan apa yang berlaku dalam UMNO sehingga kita juga 'hanyut' dari isu yang lebih besar iaitu peralihan kuasa kerajaan baru yang diperkatakan sebelum ini. Isu ini semakin 'tenggelam' kerana masing-masing 'seronok' apa yang berlaku dalam UMNO. Seolah-olah mereka yang berkobar-kobar dan begitu bersemangat dengan isu pembentukan kerajaan baru turut 'mabuk' lemang dan ketupat yang dimakan bersama rendang dan kuah kacang sempena hari Raya.

    03 October 2008

    MANA SATU YANG BETUL ?

    Akhbar Utusan Melayu melaporkan di muka depan 100 ribu orang hadir di rumah terbuka PM dan menteri Kabinet di PWTC pada 1 Syawal lalu. Sila rujuk

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

    Sementara itu Berita Harian dan Harian Metro lebih hebat lagi iaitu kira-kira 200 ribu orang

    http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081003085123/Article/index_html

    http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/BeritaUtama/20081002232457/Article

    Nampaknya akhbar-akhbar pengampu ni tak habis lagi mabuk ketupat dengan rendang ?

    BIADAP DAN TAK BERTAMADUN: MANA LEBIH TERUK ?


    Tindakan penyokong Hindraf dan kumpulan anti ISA mengadakan protes secara senyap semasa 1 Syawal di rumah terbuka PM dan menteri kabinet semalam menyebabkan kumpulan ini dillabelkan sebagai biadap dan mencemari kesucian 1 Syawal.

    Kira –kira 200 penyokong Hindraf dan 40 orang kumpulan anti ISA yang diketuai oleh Koordinator Kebangsaan Ideologi Hindraf, W. Sambulingam hadir ke rumah terbuka berkenaan di PWTC. Menurut W.Sambulingam mereka cuma ingin menyerahkan patung beruang dan kad yang ditandatangani lebih 300 penyokong Hindraf untuk menarik simpati dan merayu agar tahanan Hindraf yang ditahan di bawah ISA dibebaskan. Menurut beliau lagi, langkah ini terpaksa dilakukan setelah semua rayuan dan permohonan mereka untuk bertemu dengan PM tidak dilayan sebelum ini.

    Itu pun salah ke ? Ok lah..kalau tindakan mereka dianggap tak beradab, apa pula hukumnya menahan seseorang tanpa bicara, dinafikan hak membela diri dan dipisahkan dari keluarga tersayang di sebalik tirai besi tanpa sebarang tuduhan di mahkamah ? Bukankah ini bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan dan satu tindakan tidak bertamadun ? Hanya mereka yang tidak bertamadun saja yang tergamak membuat apa sahaja tanpa perasaan belas kasihan dengan mengenepikan nilai kemanusiaan dan hak individu. Sewajarnya ISA telah lama dimansuhkan tanpa ada perlu sebarang kajian dan polemik. Negara memiliki sistem undang-undang yang cukup untuk menjaga kemananan dan keselamatan Negara. ISA merupakan undang-undang rimba yang dipertahankan oleh pihak yang bimbang kehilangan kuasa dan mempunyai agenda peribadi.

    Sempena, Syawal yang mulia ini bebaskanlah mereka yang masih ditahan di bawah ISA. Sekiranya cukup bukti dakwa mereka di mahkamah terbuka. Tindakan menahan dengan ISA, merupakan tindakan golongan pengecut yang tidak sanggup berdepan dengan kebenaran dan keadilan.