22 November 2008

HIMPUNAN GMI;POLIS BERI AMARAN-MALAYSIAKINI



Amaran demi amaran dikeluarkan oleh polis terhadap Program 'Pelancaran Kempen Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)' dijadualkan di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) esok. Pihak polis dijangka akan tindakan tegas dan keras terhadap program itu jika pihak penganjur meneruskannya.Setakat ini tidak ada tanda-tanda program itu akan ditunda atau dibatalkan.

Sehingga saat ini, polis terus memberi amaran agar perhimpunan tersebut dibatalkan kerana tidak mendapat permit. Polis 'menasihatkan' orang ramai agar tidak menghadiri atau menghampiri perhimpuan tersebut.

Majlis tersebut dijangkakan akan dihadiri oleh Ketua Pembangkang Dato; Seri Anwar Ibrahim dan dilancarkan pada 9 malam esok.Kempen anjuran GMI bersama parti-parti pembangkang itu adalah bagi mendesak kerajaan untuk memansuhkan ISA yang merupakan antara tinggalan zaman penjajahan British lalu.

Selain Anwar, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang dijangka hadir dalam majlis berkenaan beserta pimpinan pelbagai peringkat dalam parti pembangkang dan NGO-NGO

Berdasarkan tindakan dan perkembangan terkini dalam siri-siri himpunan aman baru-baru ini seperti Himpunan Mengingati Himpunan Bersih, pihak polis dilihat sengaja menimbulkan provokasi dengan membuat tangkapan sewenang-wenangnya peserta himpunan walaupun ketika itu sedang menyanyikan lagu Negaraku. Malah terdapat wartawan seperti dari Malaysiakini yang turut tidak terlepas daripada tindakan keras polis itu.

Tindakan pihak polis akhir-akhir ini seolah-olah didesak oleh pemimpin politik dalam kerajaan yang bertujuan untuk mengalih isu kegawatan politik dan ekonomi yang sedang melanda negara.

Dalam hal ini, kerajaan dan polis perlu rasional bahawa dalam sejarah siri himpunan aman yang diadakan belum pernah wujud keganasan yang berlaku seperti di negara lain. Himpunan diadakan bertujuan untuk menyuburkan demokrasi untuk memberi ruang dan hak rakyat untuk bersuara. Malah kecekapan pihak penganjur mengawal lalu lintas dengan kehadiran puluhan ribu peserta himpunan seperti yang dilakukan oleh unit Amal kerap mengundang pujian orang ramai. Hanya provokasi polis yang sengaja menangkap peserta himpunan serta 'hidangan' gas pemedih mata dan semburan air asid dari trak water canon menyebabkan peserta himpunan terpaksa bertempiaran menyelamatkan diri.

Alasan pihak polis bahawa himpunan yang bakal diadakan di tempat terbuka yang menganggu ketenteraman awam dan kesesakan lalulintas adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak masuk akal. Himpunan tersebut dibuat di stadium! Jika begitu semua perlawanan bola sepak yang diadakan dalam stadium di negara ini tidak boleh diadakan kerana dilangsungkan di tempat terbuka. Begitu juga konsert seperti Jom Heboh anjuran TV3 yang sering menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas.

Sikap yang bakal ditunjukkan oleh kerajaan melalui pihak polis pada program esok mencerminkan bahawa kerajaan Umno dan Barisan Nasional masih memerlukan akta zalim ISA ini untuk meneruskan survival dan kuasa politik mereka yang kian terhakis dan pupus. Apa yang lebih dibimbangi penangkapan yang mungkin akan dibuat kepada tokoh utama Pakatan Rakyat yang menghadiri progam esok adalah sesuatu yang sengaja dirancang untuk memberikan imej negatif serta mengalih isu rasuah dan krisis kepimpinan serta isu moral yang sedang melanda kerajaan khususnya dalam Umno.



ISU PERALIHAN KUASA WANITA:SIAPA SEBENARNYA YANG GILA?-MALAYSIAKINI


Rafidah menafikan beliau gila kuasa dan jawatan dalam kabinet sehingga tidak mengikut kehendak akar umbi( ubi kayu?) supaya peralihan kuasa dalam wanita Umno dipercepatkan kepada Shahrizat.

Saya bersetuju dengan Rafidah bahawa beliau tidak gila. Sebaliknya Umno hari ini yang sebenarnya yang semakin gila.Apa tidak gilanya, dalam sekelip mata sokongan padu yang diberikan kepada Rafidah berubah secara tiba-tiba. Akibat gila kuasa Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno tidak menang tangan menerima aduan dan membuat siasatan tentang gejala rasuah yang berluasa. Disebabkan kerana gila kuasa maka berlaku adegan baling kerusi di Mesyuarat Bahagian Umno Seremban. Tidak menghairankan apabila gejala gila kuasa semakin menjadi-jadi dalam Umno, Datuk Rais Yatim mencadangkan jawatan dalam Umno ditender.

Mantan Presiden mereka, Tun Dr. Mahathir meramalkan Umno akan tewas dalam pilihanraya umum akan datang disebabkan penyakit gila kuasa dan rasuah yang semakin tidak terkawal dalam Umno.

Walau bagaimanapun yakinlah, orang gila sama sekali tidak akan mengaku dirinya gila. Begitulah penyakit 'kegilaan' yang sedang melanda Umno sekarang. Jika tidak dirawat, bukan sahaja boleh mengancam diri tetapi yang lebih dibimbangi membahayakan orang lain. Negara berada dalam keadaan bahaya jika mereka yang 'gila kuasa' dalam Umno terus diberi mandat untuk memimpin negara.

ISU BABI DI KEDAH:MEDIA CUBA ALIH ISU-MALAYSIAKINI

Seperti dijangka media massa pengampu seperti TV3, RTM dan Utusan Malaysia serta mereka yang sewaktu dengannya terus memainkan isu dan memperbesarkan isu ladang babi yang dicadangkan dibina secara moden di Kedah. Setelah gagal memainkan isu yang sama di Sepang Selangor mereka masih tidak berputus asa dengan menjadikan Kedah sebagai sasaran terbaru untuk mengalih isu dan memesongkan fakta yang sebenar.

Tindakan media massa yang sekian lama bersekongkol dengan Umno dan Barisan Nasional ini akan menyebabkan majoriti rakyat semakin meluat dan akan terus memboikot media yang tidak bermaruah dan beretika seperti ini. Mereka seperti tidak serik-serik apabila tindakan mereka yang keterlaluan menyebabkan rakyat memberi pengajaran yang berguna dalam Pilihanraya Umum yang lalu dengan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat di enam negeri (termasuk Wilayah Persekutuan).

Pihak media yang selama ini menjadi pengampu kepada Umno sepatutnya malu pada diri sendiri apabila masalah babi di negeri yang dikuasai Umno iaitu Melaka masih berlarutan sehingga hari ini. Malah isu babi di Melaka telah menimbulkan isu sentimen perkauman dan sensitiviti umat Islam di negara ini apabila insiden bangkai babi yang sengaja di buang di kawasan penempatan yang majoriti Melayu. Rakyat sedang menunggu hasil siasatan kedua-dua kes berkenaan sejauh mana kesungguhan kerajaan Barisan Nasional bertindak untuk menyelesaikan kemelut yang telah lama berlarutan.

Tindakan terbaru media dan kerajaan Umno dan Barisan Nasional umpama mendedah pekung di dada sendiri serta ibarat ludah ke langit jatuh ke muka sendiri.

HORMATI KEPUTUSAN MAJLIS FATWA-MALAYSIAKINI


Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini membuat keputusan yang tepat apabila mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

"Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

"Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Abdul Shukor berkata perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Oktober lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.

Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.

Islam memiliki pendekatan yang terbukti lebih berkesan dalam mencari ketenangan kepada umatnya seperti amalan solat, berzikir, bermuhasabah dan membaca Al Quran. Dalam Al Quran juga Allah ada menegaskan perkara ini.

'Orang-orang yang beriman hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah.Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang" (Ar-Rad :26-28)

NGO dan golongan bukan Islam diingatkan agar tidak lagi cuba mencampuri sebarang urusan yang berkaitan dengan umat Islam di negara ini. Mereka perlu menghormati status Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Tindakan mereka sebelum ini mengadakan demontrasi bukan sahaja satu tindakan biadab tetapi juga mencabul pelembagaan negara. Kerajaan diminta bertindak tegas dengan mencari dan menangkap dalang yang terlibat supaya keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini tidak tergugat.

HARGA MINYAK MASIH MAHAL?-MALAYSIAKINI


Ramai menarik nafas lega apabila kerajaan menurunkan harga minyak baru-baru ini. Penurunan kali kelima bermakna kini harga petrol RM 2 dan diesel RM 1.90.

Walau bagaimanapun ramai pengguna tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya membayar lebih mahal daripada harga sepatutnya. Berdasarkan harga minyak di pasaran sekarang di bawah paras $US 50 setong, sepatutnya harga minyak di pasaran global adalah RM 1.60. Kemungkinan besar harga minyak akan diturunkan ke paras berkenaan pada 1 Disember ini selepas Mesyuarat Exco Majlis Ekonomi jika harga minyak kekal di bawah paras $US50 setong.

Bermakna kita membayar lebih 40 sen,itupun berdasarkan dengan harga minyak tanpa subsidi. Perkara ini turut diakui oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Abd. Samad semalam.

Justeru itu rakyat memang berhak mendapat harga minyak yang lebih murah tanpa perlu kerajaan mereka-reka alasan kononnya hasil kejayaan mengurus ekonomi negara. Kenapa dalam keadaan sekarang kerajaan tidak membuat perbandingan dengan harga minyak di negara lain yang harga minyak yang dinikmati penggunanya jauh lebih murah daripada Malaysia.

Memandangkan harga minyak yang dinikmati oleh rakyat di negara ini adalah tanpa subsidi dan malah lebih mahal, keuntungan yang diperolehi dan duit subsidi minyak yang diperolehi sewajarnya digunakan oleh kerajaan untuk memberi subsidi kepada barang keperluan pengguna. Ini sekali gus akan membantu pengguna menikamati harga barang yang lebih murah berbanding sekarang.

Walaupun, harga minyak mungkin turun ke paras RM 1 sekalipun adalah sukar bagi kerajaan untuk mendesak peniaga untuk menurunkan harga barang dan kos perkhidmatan lain. Alasan 'standard' akan diberikan oleh peniaga, harga barang bukan hanya disebabkan faktor harga minyak sahaja.Alasan ini sudah mula kedengaran malah dari syarikat GLC seperti TNB. Inilah padahnya, apabila kajian terperinci tidak dilakukan apabila minyak dinaikkan secara mendadak Mac lalu. Mungkin subsidi minyak yang selama ini 'disimpan' oleh kerajaan juga boleh digunakan untuk membantu pengguna perkhidmatan awam yang bakal berhadapan kenaikan tambang pada tahun depan seperti yang diumumkan oleh Datuk Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Justeru itu kerajaan tidak boleh menunding jari menyalahkan peniaga atau mengharapkan 'keikhlasan' mereka untuk menurunkan harga barang dan kos perkhidmatan lain,melainkan kerajaan sendiri yang bertindak mengawal harga atau memberi subsidi menurunkan beberapa barang tertentu. Jika ini tidak mampu dilakukan, kerajaan sepatutnya berundur atau mengadakan pilihanraya semula untuk memberi peluang rakyat dapat memilih kerajaan yang benar-benar menjaga kebajikan dan memberi keadilan kepada rakyat

21 November 2008

BATAL MOU DENGAN AL AZHAR: SALAH SATU RUKUN ISLAM HADHARI?-MALAYSIAKINI


Ulamak adalah pewaris Nabi. Dalam merealisasikan hasrat itu kerajaan Islam Hadhari seperti yang digembar-gemburkan oleh Pak Lah sepatutnya menyokong sistem pendidikan Islam di negara ini bagi melahirkan lebih ramai ilmuan Islam.

Dalam hal ini telah terbukti, Universiti Al Azhar di Mesir adalah gedung ilmuan Islam yang terulung di dunia yang berjaya melahirkan ribuan golongan ulamak yang tersohor di negara ini.

Mereka inilah yang berbakti dalam menyampaikan ilmu bagi memertabatkan Islam di negara ini.Walau bagaimanapun tindakan kerajaan membatalkan MOU melibatkan kerjasama penghantaran pelajar ke Universiti Al Azhar adalah satu langkah ke belakang, bermotif dendam dan menyerlahkan sikap kurang senang kepada graduan Al Azhar yang telah banyak memberi kesedaran dan membangkitkan kecintaan Islam di negara ini.

Perkara ini didedahkan oleh Naib Ketua Pemuda Pas Pusat yang mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi Al Azhar baru-baru ini untuk menyelesaikan kemelut punca ribuan pelajar gagal melanjutkan pengajian ke Al Azhar.

Naib ketua dewan itu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan universiti itu bahawa pembatalan MoU itu bukanlah atas kehendak universiti tersohor tetapi kerajaan Malaysia sendiri.

"Bila kita berjumpa pengurusan al-Azhar, al-Azhar kata bukan mereka yang batalkan, tetapi kehendak kerajaan Malaysia," jelasnya kepada Malaysiakini selepas menyerahkan memorandum kepada perdana menteri di Putrajaya semalam.

Sebaliknya kerajaan sebelum ini cuba berdalih punca kegagalan ramai pelajar yang gagal ke universiti Al Azhar.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ogos lalu yang mendakwa pembatalan MoU itu akibat pencapaian rendah pelajar Malaysia, terutamanya penguasaan bahasa Arab.

Kerajaan perlu menyedari bahawa kebanyakan pelajar yang ingin ke universiti Al Azhar adalah dengan menggunakan biaya sendiri. Kalau ada pun mereka diberi pinjaman yang perlu dibayar balik dengan faedah yang membebankan, bukan pergi belajar secara percuma dengan menggunakan duit kerajaan.

Kenapa pelajar berkenaan dianiaya sedemikian rupa? Adakah kerana kebanyakan mereka tidak menyokong kerajaan maka kerajaan tergamak membatalkan MOU tersebut. Tindakan kerajaan itu telah menganiaya kira-kira 5000 pelajar dari 18 kampus yang sebelum ini membuat MOU dengan Universiti Al Azhar.

Selain itu kesan pembatalan MOU itu menimbulkan pelbagai implikasi lain. Di antaranya
1. Menimbulkan masalah kepada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan penuntutnya.
2. Membantutkan usaha IPTS melahirkan modal insan seperti hasrat kerajaan.
3. Mengurangkan jumlah pelajar IPTS milik pengusaha Melayu-Islam dan menimbulkan risiko ditutup.
4. Membataskan pilihan mahasiswa Melayu-Islam mendapatkan pendidikan terbaik.

LIM GUAN ENG KURANGKAN JUDI, PEMIMPIN UMNO???-MALAYSIAKINI

Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam agak kecoh semalam apabila ADUN dari BN ( Umno) mempertikaikan cadagan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng untuk mengurangkan cabutan nombor ekor dari 10 kepada 6.

Tindakan wakil rakyat dari DUN Berangan, Dato' Shahbudin Yahya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang ( MAIPP) seperti mendedahkan pekung di dada sendiri.

Menurut Shahbudin, mencegah kemungkaran perlu dilakukan dengan sepenuhnya dan bukan separuh-separuh seperti cadangan Lim Guang Eng.

"Judi adalah haram dan memang tidak boleh kompromi. Ia memang perlu dihapuskan ke tahap zero (sifar) dan bukan hanya mengurangkan bilangannya". Shahbudin dipetik sebagai berkata dalam meminta penjelasan dari Lim Guan Eng dalam sidang DUN semalam.

Dari satu sudut saya bersetuju dengan pandangan Shahbudin tetapi dalam sudut yang lain ternyata kata-kata Shahbudin umpama meludah ke langit yang jatuh ke muka sendiri. Apa yang Shabudin lakukan semasa BN dan Umno masih berkuasa untuk mengurangkan atau mengatasi masalah judi di Pulau Pinag? Malah sehingga hari ini beliau masih menjadi YDP MAIPP yang mempunyai kuasa dan pengaruh untuk mengatasi atau mengurangkan pusat perjudian di Pulau Pinang. Sikap beliau tidak kena masa dan tempat. Shahbudin sengaja nak memalukan diri sendiri dan Umno di Pulau Pinang dengan sikap yang ditunjukkan.

Shahbudin patut merasa malu kerana ada pemimpin bukan Islam yang ada inisiatif untuk mengurangkan kadar perjudian tidak seperti negeri yang masih dikuasai oleh BN dan Umno seperti apa yang berlaku di Genting Higlands dan Bukit Tinggi di Pahang pusat perjudian di situ semakin berkembang pesat ala Macau dan MontleCarlo.

PEMIMPIN BN KENA CONTOHI PEMIMPIN PAKATAN RAKYAT-MALAYSIAKINI


Dalam riuh rendah negara dengan isu rasuah atau politik wang yang berlaku dalam Umno yang semakin menjadi-jadi, sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat memberi petanda bahawa kegawatan yang berlaku dalam negara masih boleh diselamatkan dengan memberi ruang dan peluang Pakatan Rakyat memerintah negara.

Kisah sikap berhemah dan berjimat cermat pemimpin Pakatan Rakyat bukan cerita baru. Sebelum ini kita didedahkan dengan sikap YAB Dato Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat yang tidak mengambil sesen pun elaun rumah dan elaun keraian selama 18 tahun menerajui Kelantan. sebaliknya duit itu diserahkan kepada kerajaan negeri untuk dimanafaatkan dan dinikmati oleh rakyat. Bayangkan selama 18 tahun dengan jumlah yang mungkin menjangkau jutaan ringgit elaun yang tidak dituntut sudah pasti ramai rakyat terutama golongan miskin yang dapat mendapat faedahnya.

Kita juga didedahkan dengan sikap jimat cermat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam menggunakan duit rakyat yang berazam menjadikan kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai panduan.

Hari ini kita didedahkan dengan sikap yang patut menjadi amalan dan ikutan pemimpin BN lain seperti yang ditunjukkan oleh YAB Datuk Seri Azizan Razak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membuat potongan gajinya lebih RM10,000, jumlah paling besar yang pernah dibuat oleh seorang menteri besar, kata seorang pemimpin PAS negeri.

Potongan itu daripada jumlah gajinya RM14,100 dimulakan sejak awal pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS di negeri itu, Mac lalu, namun ia tidak diumumkan secara meluas, kata timbalan pesuruhjaya PAS Kedah, Hassan Abdul Razak.

Jumlah wang yang dipotong itu disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan negeri bagi mencontohi amalan cara hidup sederhana yang selama ini diamalkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hassan mendedahkan amalan Azizan itu bagi menyangkal dakwaan pesuruhjaya PAS itu bermewah-mewah selepas menjawat kerusi nombor satu dalam pentadbiran Kedah.

Hassan menambah, potongan itu diumumkan pertama kali dalam program taklimat dasar-dasar kerajaan kerajaan negeri di ibu negeri apabila dibangkitkan PAS kawasan Alor Star, 14 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak didedahkan sebelum ini kerana "(hendak) membuat kebaikan tidak perlu dihebah-hebahkan".

Ini tidak, nak potong elaun menteri dan timbalan menteri 10% pun riuh rendah seluruh negara. Ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Sebaliknya apa yang diambil sama ada secara sah atau pun sebaliknya tidak pula diheboh-hebohkan.

Berita dan maklumat terdapat 10 orang ahli parlimen BN yang membuat tuntutan hampir RM 1 juta seorang seperti yang didedahkan di parlimen kelmarin menjadi bukti betapa buas dan rakusnya pemimpin BN menggunakan wang rakyat sesuka hati. Ini baru satu jumlah yang sangat kecil berbanding dengan pembaziran dan penyelewengan yang sering dikaitkan dengan pemimpin BN yang lain.

ZAHID HAMIDI KENA CERMIN DIRI-MALAYSIAKINI

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam memberi amaran kepada masyarakat bukan Islam di Negara ini supaya tidak mempertikaikan fatwa yang berkaitan dengan Islam di negara ini. Saya sangat setuju dengan kenyataan ini. Cuma dalam masa yang sama Zahid Hamidi juga perlu cermin diri sendiri sebelum bercakap sesuatu berkaitan Islam dan hukum di negara ini.

Beberapa hari lepas, beliau agak marah-marah bila Raja Petra Kamarudin(RPK) mempertikaikan prosedur tahanan ISA yang tidak dibenarkan sembahyang Jumaat. Zahid dipetik sebagai berkata, siapa RPK yang hendak mempersoalkan tentang sembahayang Jumaat. Beliau meminta RPK cermin diri sendiri sebelum bercakap tentang Islam.

Siapa Zahid Hamidi yang hendak mempertikaikan keislaman orang lain? Adakah beliau yang menjadi penentu amalan seseorang diterima atau pun tidak dan penentu dosa dan pahala ? Hukum adalah tetap hukum tidak boleh dipertikaikan! Jika tiga orang pengebom Bali yang menunggu hukuman mati sekalipun masih dibenarkan sembahyang Jumaat dan sembahyang raya serta boleh berjemaah dengan tahanan lain.Adakah RPK dan tahanan beragama Islam lain di Negara ini tidak boleh dibenarkan melakukan amalan yang dituntut oleh Islam seperti sembahyang Jumaat? Malah lanun yang merampas kapal Malaysia di Teluk Eden Somalia pun masih membenarkan anak kapal beragama Islam sembahyang berjemaah. Lanun pun ada budi bahasa dan budi bicara!

Saya nak mencadangkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamid Albar agar jangan hanya siasat dan ambil tindakan pada NGO yang menentang fatwa sahaja tetapi ambil juga tindakan yang sama pada Zahid Hamidi. Kenyataan beliau jelas menghina dan mempersendakan Islam. Kita tidak mahu keharmonian dan perpaduan rakyat di Negara ini terjejas dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.


 

20 November 2008

CALON KETUA WANITA UMNO:DUA-DUA SAMA JE..-MALAYSIAKINI


Akhirnya Shahrizat menamatkan segala spekulasi dengan mencabar Rafidah sebagai ketua wanita Umno. Pertembungan kali ini dianggap lebih sengit berbanding pertembungan di antara Rafidah dan Siti Zaharah sebelum ini.Ibarat buku bertemu ruas. Rafidah mendapat 117 pencalonan dan Sharizat pula mendapat 73 pencalonan. Jumlah pencalonan yang cukup meyakinkan bagi kedua-dua calon yang bertanding.

Apa kelebihan dan keistimewaan kedua-dua calon ini? Adakah Shahrizat bakal membawa reformasi dalam wanita Umno? Pada pandangan saya dua-duanya sama sahaja.Tidak ada sesuatu yang istimewa kepada gaya kepimpinan Sharizat. Malah siapa pun yang menang akan berhadapan dengan tugas yang sangat berat menyatukan semula wanita Umno yang semakin bergolak dan berpecah. Siapa pun yang menang terpaksa menerima hakikat bahawa akan terpaksa menjadi nakhoda kepada kapal yang hampir nak karam. Silap langkah dengan nakhodanya sekali akan tenggelam.

Pertembungan dan pertarungan yang bakal berlaku merebut jawatan wanita Umno bakal 'menyerikan' lagi kegawatan dan kemelut yang sedang berlaku dalam Umno. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menyifatkan apa yang sedang berlaku dalam Umno akan menyebabkan Umno akan tewas dengan lebih teruk dalam pilihanraya umum akan datang. Rakyat sudak semakin mual dan muak dengan apa yang berlaku. Rakyat bakal memberi pengajaran yang paling berguna kepada Umno bagi memastikan Umno akan terkubur untuk dulu kini dan selamanya.