05 December 2008

SHAH RUKH KHAN DIRAI, KEMULIAAN BULAN ISLAM DICEMARI..


Satu majlis secara gilang-gemilang akan diadakan esok di Melaka sempena meraikan majlis penganugerahan pingat Datuk kepada Shah Rukh Khan ( SRK ).Khabarnya majlis anugerah tersebut akan dipancarkan secara langsung yang dibiayai oleh kerajaan Melaka.

Sehari suntuk SRK diraikan oleh kerajaan Melaka termasuk sesi fotografi dan bersama peminat. Poster dan banner dinaikkan di tempat strategik di Melaka untuk mempromosi dan mengingatkan orang ramai tentang sambutan besar-besaran yang akan diadakan esok.

Dalam kemeriahan dan promosi besar-besaran itu saya tercari-cari bannner atau poster yang mempromosi atau berkaitan program mengingati peristiwa wukuf dan juga sambutan Aidil Adha yang disambut pada 8 Disember ini.

Dua kali juga saya pusing bandaraya Melaka sehingga ke Banda Hilir hari ini termasuk beberapa kali lalu di hadapan Masjid Al Adzim ( masjid negeri) tapi masih tak berjumpa dengan poster yang dicari.

Bila membaca tulisan LanH dalam Harakah Daily hari ini lidah saya jadi kelu, malu rasanya menjadi anak Melaka.

10 hari pertama bulan Zulhijah adalah saat terbaik untuk mendekati diri kepada Allah SWT. Ketika ini lebih dua juta jemaah sedang berhimpun di Tanah Suci. Pada tanggal 8 Zulhijah (6 Disember), jemaah termasuk lebih 26,000 orang dari Malaysia termasuk orang Melaka akan bertolak ke Arafah.

Pada tanggal 9 Zulhijah (7 Disember), jemaah haji akan wukuf di Arafah. Wukuf adalah rukun haji. Tiada wukuf tiadalah haji. Wukuf atau Hari Arafah adalah sebaik-baik hari untuk seorang Muslim mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.

Saiyidatina 'Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda mafhumnya: "Tidak ada hari yang lebih banyak Allah Taala memerdekaan hamba-Nya daripada api neraka selain daripada Hari Arafah (Hari Wukuf) dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta berfirman apa yang dikehendaki oleh mereka."

Bagi saya tindakan kerajaan negeri Melaka adalah keterlaluan dan boleh saya katakan biadab kerana tidak langsung menghormati bulan yang cukup dimuliakan terutama 10 hari terakhir bulan zulhijjah ini.

Kalau kemaruk sangat nak beri Datuk pada shah Rukh Khan pilihlah hari lain. Adakah tergamak kerajaan negeri mencemari bulan mulia ini hanya semata-mata untuk memenuhi masa dan menjaga hati Shah Rukh Khan? Hormatilah sensitiviti umat Islam di negara ini serta menghargai kaum kerabat kita yang menyahut seruan Ilahi di Tanah Suci. Mereka bersusah payah di sana sebaliknya terdapat kita di sini yang asyik bersuka ria.Sepatutnya juga bulan ini dihiasai dengan program untuk menghayati pahit getir perjuangan dan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS.

Inilah akibatnya apabila Islam dipinggirkan dengan melantik mereka yang jahil tentang Islam memimpin negara. Ada mufti dan pegawai agama hanya jadi pak angguk, takut untuk menyatakan kebenaran. Saya yakin esok ada mufti atau pegawai agama negeri akan membaca doa di majlis istiadat penganugerahan datuk kepada Shah Rukh Khan. Dunia semakin menuju akhir zaman...Islam dipermainkan dan dipersendakan.

PUSAT PELAKON FILEM: RAKYAT BANTAH, ALI RUSTAM SOKONG

Dalam akhbar sinar Harian edisi Melaka hari ini terdapat dua berita tentang filem. Satu sokong dan satu lagi tidak bersetuju.


ALI RUSTAM SOKONG MELAKA JADI PUSAT PELAKON FILEM

RAKYAT MELAKA PULA BANTAH!

Ali Rustam bercita-cita menjadikan Melaka sebagai pusat perfileman antarabangsa. Menurut Ali Rustam penganugerahan Datuk pada Shah Rukh Khan esok merupakan satu usaha ke arah itu.

Sebelum ini Ali Rustam bercadang nak wujudkan perkampungan artis di Melaka Pindah Alor Gajah. Namun tak ada seorang pun artis yang berminat, sebab kawasan tu kawasan tempat 'jin bertendang' iaitu kawasan ladang getah dan kelapa sawit yang ingin dijadikan kampung tersusun. Saya yang pada awalnya diluluskan satu lot tanah di situ menarik diri kerana kawasannya yang agak terpencil.Tapi tak tahulah kalau Ali Rustam cadang nak syorkan buat filem Tarzan kat situ.

Dalam akhbar yang sama hari ini, penduduk di Pulau Sebang menyalahkan unsur ganas dalam filem asing yang menyebabkan kadar jenayah yang semakin menjadi-jadi di situ. Terbaru sederet rumah kedai di Pulau sebang dibakar dipercayai dilakukan remaja dan pemuda nakal dari kampung berkenaan. Penduduk mendakwa ia berpunca dari unsur ganas dan negatif dari filem asing.

Rakyat bantah dan tak setuju, tapi Ali Rustam tetap beria-ia jadikan Melaka pusat perfileman. Walaupun dibantah dan pelbagai pandangan rasa tidak puas hati dinyatakan.Inilah contoh dan sikap pemimpin tidak berjiwa rakyat yang asyik-asyik menyusahkan rakyat sahaja.

04 December 2008

LEBIH 99% HOTEL DI MALAYSIA TAK ADA SIJIL HALAL


Umat Islam yang mengunjungi hotel-hotel di negara ini diminta berhati-hati memandangkan hanya terdapat 18 sahaja hotel daripada sejumlah 2360 hotel di seluruh Malayasia yang mendapat sijil halal daripada Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC).

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Mashitah Ibrahim semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Siti Zailah Yusof dari Pas Rantau Panjang dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perkara ini perlu dipandang serius memandangkan kursus, mesyuarat dan seminar yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta sering dibuat di hotel. Soal makan minum berkaitan halal haram adalah penting bagi kesempurnaan akhlak dan aqidah Umat Islam.

Pengalaman saya yang sering mengikuti kursus di hotel yang dibuat secara pakej, para peserta tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa bertawakal menjamah makanan yang disedia dan dihidangkan oleh pihak hotel.

Kerajaan melalui agensi yang berkaitan perlu tegas dengan memulaukan hotel yang masih tidak memiliki sijil halal dengan tidak melaksanakan sebarang pakej dengan hotel berkenaan. Hanya dengan cara itu sahaja akan menyebabkan pihak pengurusan hotel akan lebih peka dan bertanggungjawab dalam menyediakan hidangan yang 100% halal.

Pendedahan ini sudah pasti sesuatu yang menghairankan bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dengan kerajaan yang mendabik dada melaksanakan pendekatan Islam Hadari di negara ini.

PATUTLAH MAKSIAT KAT MELAKA MENINGKAT SETIAP TAHUN

Sedang saya duduk lepak-lepak dengan komputer buruk di lobi sebuah hotel untuk akses internet percuma sambil tunggu anak habis tuesyen saya dapat panggilan telefon dari jiran di taman perumahan saya mengadu masalah. Maklum le orang penting kat taman katakan...ceh..

Katanya nak buat macam mana sekarang, kat sebuah rumah di taman saya ada penduduk mengadu ada seorang yang bekerja sebagai GRO bawa balik jantan tidur kat rumah. Saya kata saya kat luar, kejap lagi saya ada kuliah dengan pelajar sampai tengahari.

Jiran saya kata tak tahu kat mana lagi nak mengadu untuk ambil tindakan. Telefon pengerusi taman, pengerusi taman kata tak ada kuasa. Telefon JKKK, JKKK sibuk dengan tugas luar. Nak telefon tok imam, imam tak ada kat rumah. Paling sedap bila telefon pejabat Majlis Agama Islam Melaka ( MAIM ), MAIM kata hari ini tak ada operasi! Tunggu ada operasi baru boleh bertindak.

Maknanya buatlah maksiat sesuka hati siang atau malam, pagi atau petang, berkubanglah sepuas hati buat maksiat kat Melaka, MAIM tak akan bertindak sebab tak ada operasi. Patutlah kadar jenayah syariah dan kes anak luar nikah meningkat sekali ganda di Melaka( lihat posting saya sebelum ini ). Pihak penguatkuasaan bersikap sambil lewa. Siapa lagi nak diharap kalau orang jabatan agama tak nak bertindak?

Jika beginilah keadaannya, saya yakin kadar jenayah syariah dan kes buang anak serta anak luar nikah akan terus meningkat pada tahun depan. Kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam tolong peka sedikit masalah ini jangan asyik sibuk dan terhegeh-hegeh serta gegak gempita nak bagi gelaran Datuk pada Shah Rukh Khan aje..

P/S: bila balik saya sempat tanya jiran saya semula macam mana kesudahannya. Jiran saya kata tunggu masa Maim buat operasi je lah baru kita report...3.35 pm

KUALA TERANGGANU BAKAL MEDAN KEMPEN PEMILIHAN UMNO

Pilihanraya kecil P36 Kuala Terangganu bakal menyaksikan semua jentera dari parti yang bertanding akan bertumpu ke sana.

Pakatan Rakyat terutamanya Pas sudah pasti akan menggerakkan semua ahli dan pimpinan untuk melakukan yang terbaik untuk merampas semula kerusi parlimen berkenaan yang tewas dengan majoriti kecil dalam PRU lalu.

Seperti yang lepas-lepas kehadiran petugas dan jentera Pas di semua peringkat dari seluruh pelusuk negara termasuk Sabah dan Sarawak adalah dengan menggunakan duit poket sendiri.Tidak ada sebarang ganjaran dan habuan atau upah dijanjikan kepada semua petugas Pas. Mereka datang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak. Inilah formula dan rahsia Pas dalam mentarbiyyah semua ahli dan penyokongnya.

Berbeza dengan Umno, kehadiran jentera mereka bakal ditaja oleh pihak-pihak tertentu. Bukan sekadar ditampung semua perbelanjaan tetapi turut diberi elaun sepanjang masa bertugas.

Apa yang lebih menarik, pilihanraya P36 ini bukan sahaja pertembungan di antara PAS dan Umno yang mewakili BN tetapi juga medan untuk semua calon yang layak bertanding dalam pemilihan Umno Mac depan untuk melakukan kempen secara agresif.

Wang ringgit bukan sahaja bakal berterbangan untuk meraih undi pengundi Kuala Terangganu tetapi jumlah yang dijangka berkali ganda lebih besar bakal ditabur untuk berkempen dan mendapat 'aku janji' dari perwakilan bahagian-bahagian Umno yang akan berkampung di Kuala Terangganu.Mereka yang bertanding dalam Umno Mac depan pasti tidak akan melepaskan peluang menghantar juru kempen dan perayu mereka dalam pilihanraya kecil ini nanti.

Dijangka semua ini akan memberi kelebihan kepada Pas untuk merampas semual kerusi parlimen ini dari BN. Peluang Pas dilihat lebih cerah memandangkan Umno kini berada dalam keadaan yang cukup lemah akibat pemusuhan dan perpecahan daripada peringkat tertinggi hingga ke akar umbi. Malah Pilihanraya kecil ini bakal dijadikan medan penyokong dan pengikut Idris Jusoh dan Ahmad Said untuk melunaskan dendam masing-masing.

03 December 2008

MAT SABU OK, TAPI ANAK TEMPATAN LAGI BAIK


Pilihanraya kecil Kuala Terangganu sekali lagi bakal menyaksikan pertembungan sengit di antara calon BN ( Umno ) dan PAS. Mungkin ada calon bebas dan dari AKIM. Namun, penyertaan kedua-duanya lebih untuk 'meramaikan majlis' je.

Pelbagai spekulasi dan andaian dibuat tentang calon yang bakal bertanding. Hari ini YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang juga merangkap Mursyidul Am Pas menyatakan sokongan terbukanya kepada Tn. Hj. Muhamad Sabu untuk dicalonkan sebagai calon dalam pilihanraya kecil berkenaan.

Siapa yang tidak kenal dengan Mat Sabu, budak dalam buaian pun kenal. Kepetahan dan pidatonya begitu memikat dan menghiburkan dengan fakta yang tersusun dan jenaka yang mencuit hati. Masa belajar di USM Minden, Pulau Pinang sekitar tahun 90-an,jika ada masa terluang saya tidak akan terlepas mengikuti siri-siri ceramah beliau walaupun terpaksa menaiki motor cabuk dari Pulau Pinang hingga ke Kedah, Perlis dan Perak Utara semata-mata untuk mendengar ceramah beliau. Malah, selapas tamat belajar pun saya tidak ketinggalan dengan kerap mengundang beliau datang berceramah di tempat saya di Pahang.Begitulah hebatnya aura yang ada pada Hj. Md. Sabu kepada saya.

Ketokohan dan komitmen beliau pada Pas tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Begitu juga dengan kesederhanaan hidup yang ditunjukkan. Malah di kalangan ahli biasa dan penyokong Pas malah turut diakui kawan dan lawan , Hj. Md. Sabu mudah mesra dan bergaul walaupun ketika itu pernah menjadi YB.

Dalam senario pilihanraya kecil di parlimen Kuala Terangganu saya merasakan Hj. Md. Sabu mempunyai peluang cerah untuk membantu Pas untuk menawan semula kerusi itu yang sebelum ini pernah dimenangi oleh Pas pada pilihanraya 1999 yang ketika itu diwakili Dr. Syed Azman Nawawi.

Namun begitu, pada pandangan saya jika Pas meletakkan calon anak tempatan bertanding di situ,peluang untuk kemenangan Pas adalah lebih cerah. Semasa pilihanraya ke 12 lalu, wujud suara-suara kurang tidak puas hati di kalangan ahli dan penyokong Pas di Terangganu apabila Hj. Md. Sabu dipilih sebagai calon. Namun begitu, masalah itu hanya masalah kecil yang dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Dalam pilihanraya ke 12 yang lalu sesorang nenek yang bertanding atas calon bebas,Maimun Yusof, 89 tahun yang dianggap tidak mampu memberi dan menjanjikan apa-apa masih mampu mendapat 685 undi. Satu jumlah yang saya kira cukup besar jika hendak dibandingkan dengan fizikal dan kemampuan yang dimiliki. Sesuatu yang perlu diteliti atau dikaji oleh pihak kepimpinan Pas Terangganu sama ada undi yang diperolehi adalah undi simpati atau undi protes sama ada dari ahli dan penyokong Pas atau dari BN? Hanafi Mamat yang bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh atas tiket AKIM tidak mampu menyaingi 'populariti' yang dimiliki oleh sesorang nenek.Di Permatang Pauh lalu, Hanafi hanya mampu mendapt 82 undi sahaja.Lebih-lebih lagi undi yang dimiliki oleh nenek Maimun melebihi majoriti 628 undi yang telah memenangkan calon BN.

Apa-apapun pelbagai andaian dan tafsiran dapat dilakukan berdasarkan analisis keputusan pilihanraya di Kuala Terangganu dan Permatang Pauh sebelum ini. Suasana kini adalah berbeza, mungkin ada sesuatu mesej yang bakal disampaikan oleh pengundi dalam pilihanraya kecil itu nanti.( Cuba lihat posting saya sebelum ini siapa yang bakal dihukum di Kuala Terangganu di

http://angkasanuri.blogspot.com/2008/11/siapa-yang-bakal-dihukum-di-kuala.html

Namun, seperti kata YAB Tuan Guru tentang hasratnya agar Hj. Md. Sabu bertanding di Kuala Terangganu lebih bersifat peribadi begitulah juga dengan pandangan yang saya kemukan. Tetapi kalau nak banding firasat dan pandangan Tok Guru dengan saya memang tak terbanding. Lautan ilmunya dengan saya bukan hanya setakat langit dengan bumi tetapi mungkin kalau nak dibandingkan dari bumi sampai ke planet Pluto!

Apa-apa pun dalam Pas, setiap keputusan adalah bergantung kepada keputusan pimpinan. Saya telah ditarbiyyah agar sentiasa akur dengan segala keputusan jemaah yang lebih arif dan tahu dalam semua hal. Apa yang yang kita rasa baik untuk diri sendiri belum tentu baik kepada jemaah dan Islam . Siapa pun yang bertanding mewakili calon Pas nanti mari kita sama-sama bantu dengan bekorban apa yang mampu untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan perjuangan mendaulatkan negara berkebajikan berlandaskan lunas dan syariat Islam didaulatkan di bumi Malaysia ini.

NAJIB AKAN KEMPUNAN JADI PM?


Mantan Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir menyifatkan Najib tidak semestinya akan menjadi Perdana Menteri walaupun akan mengambil alih jawatan presiden Umno pada Mac depan.

Menurut Dr. Mahathir, ini bukan sesuatu yang mustahil akan berlaku. Perkembangan ini dijangka sesuatu yang menarik kerana belum pernah presiden Umno tidak menjadi PM.Walaupun ia adalah biasa kepada Pembangkang atau Pakatan Rakyat iaitu presiden parti tidak mengetuai pentadbiran kerajaan.Misalnya, Dato' Seri Anwar dan Lim Kit Siang tidak menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri walaupun menjadi teraju utama parti masing-masing.

Menurut Dr. Mahathir bahawa terdapat tanda-tanda bahawa Pak lah masih berminat mengekalkan jawatan PM yang disandangnya sekarang kerana mendapat sokongan kuat daripada orang yang rapat disekelilingnya yang selama ini mendapat faedah daripada pelantikan Pak Lah.

Bagi saya ada logiknya juga sebab Pak Lah hanya bersetuju menyerahkan kuasa sebagai presiden Umno sahaja tetapi tidak pernah menyebut untuk menyerahkan jawatan PM kepada Najib. Hanya Najib sahaja yang sekarang ini yang sedang berangan-angan menduduki kerusi PM selepas Mac nanti.

Jika ini berlaku, Najib pasti akan menerima aib dengan permainan dan strategi politik Pak Lah. Malah hanya DYMM Dipertuan Agong sahaja yang mempunyai kuasa untuk menentukan siapa PM di Malaysia. Adakah Najib berani dan terdesak untuk mengadap Agong jika Pak Lah enggan menyerahkan jawatan PM kepada beliau?

Kita bakal melihat percaturan politik yang bijak yang akan dilakukan oleh Pak Lah. Mungkin inilah masanya yang akan digunakan oleh Pak Lah untuk memalukan dan membalas dendam kepada Najib yang dilihat agak gelojoh dan mengkhianati kepercayaan Pak Lah kepadanya selama ini.

Pak Lah juga mungkin mempunyai opsyen atau alasan yang lain tidak menyerahkan jawatan PM kepada Najib. Perbicaraan kes Altantuya akan bersambung pada pertengahan Januari depan. Mungkin ada sesuatu yang akan berlaku dalam perbicaraan yang kini masuk dalam prosiding membela diri. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Untuk menyelamatkan diri dari tali gantung, kedua-dua tertuduh akan melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri.Mungkin pada ketika itu, mereka akan mendedahkan siapa perancang atau dalang sebenar di sebalik pembunuhan itu. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa Najib dan isterinya dikaitkan dengan kes pembunuhan itu.

GILIRAN SIAPA PULA LEPAS INI AKAN DIPECAT?


Akhirnya seperti dijangka, Dato' Zaid Ibrahim dipecat dari Umno. MT umno membuat keputusan pemecatan itu dalam mesyuaratnya malam tadi. Tindakan pemecatan itu berkuatkuasa serta merta dan Zaid juga tidak boleh merayu keputusan pemecatan itu.

Marah betul nampaknya Umno kepada Zaid, berbeza dengan tindakan pemecatan yang dilakukan oleh Umno sebelum ini masih terdapat ruang ahli yang dipecat untuk merayu.

Dato' Zaid kini bebas untuk menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat untuk meneruskan prinsip perjuangannya. Pakatan Rakyat pasti tidak mempunyai sebarang masalah dan halangan untuk menerima Zaid. Pintu untuk beliau begitu terbuka luas.

Kita yakin ramai lagi ahli Umno akan mengikuti jejak Zaid. Giliran siapa pula selepas ini? Semua sekarang ini menungggu apa pula yang bakal terjadi kepada bekas calon Umno di pilihanraya kecil Permatang Pauh, Dato' Arif Shah Omar yang dikatakan turut berminat dan sedang mempertimbangkan opsyen untuk menyertai Pakatan Rakyat kerana kecewa dengan apa yang berlaku dalam umno sekarang.

Begitu juga kepada Dato Rais Yatim yang akhir-akhir ini begitu lantang mengkritik apa yang sedang berlaku dalam umno. Terbaru semalam beliau menyatakan tidak setuju dengan pelaksanaan Program Pembelajaran Matematik Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) iaitu dasar yang didokong dan diputuskan oleh Umno yang berada dalam BN.

Kita tunggu dan lihat siapa lagi yang akan keluar atau dipecat dalam umno. Kita minta Umno ambil tindakan seterusnya kepada pemimpin-pemimpin mereka yang lantang mengkritik dasar Umno. Lepas ini siapa yang mengkritik Umno mungkin bakal menerima nasib yang serupa dengan Zaid.

02 December 2008

UMNO BAKAL MENERIMA NASIB SEPERTI PPP DI THAILAND?


Bukan rahsia lagi pergolakan dan perpecahan semakin menjadi-jadi dalam Umno. Senario ini diburukkan lagi dengan pengaruh rasuah dan politik cantas dan tikam dari belakang yang berlaku dalam Umno.

Apa yang cuba dilakukan oleh pemimpin Umno yang diterajui oleh Pak Lah serba tak menjadi. Usaha nak mengalihkan isu dan meredakan kekalutan dan ketegangan dalam Umno seperti isu ketuanan Melayu pula seolah-olah boleh diramalkan skrip dan jalan cerita dan kesudahannya.

Mungkinkah Umno bakal menerima nasib seperti Parti Kuasa Rakyat (PPP) memerintah Thailand yang telah dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan hari ini menyebabkan Perdana Menteri Somchai Wongsawat dan Kabinetnya yang menghadapi tekanan pembangkang hilang kelayakan?

Ramalan ini tidak mustahil jika Umno terus dengan agendanya seperti hari ini. Bukan sahaja ahli dan penyokong malah pemimpin heavyweight dalam Umno sendiri seperti Rais Yatim, Zaid Ibrahim dan Arif shah Omar juga merasa muak menyaksikan apa yang berlaku dalam Umno.

Pilihanraya umum ke 13 bakal mencipta sejarah bahawa Umno akan menerima balasan daripada apa yang dilakukan selama ini. Kekalahan di 6 buah negeri dalam pilihanraya yang lalu masih tidak mampu menginsafkan pemimpin umno yang terus menerus mendera rakyat dengan pembaziran dan penyelewengan dilakukan seperti yang selalu didedahkan.

Ada penjenguk blog ini yang saya yakin di kalangan kawan-kawan yang terlibat secara aktif dalam Umno mengatakan bahawa blog ini tak ada kerja lain asyik nak membangkang aja. Pada mereka, cuma satu sahaja saya nak beritahu kalau umno berubah benar-benar memperjuangkan Islam, menjaga kebajikan dan berlaku adil kepada semua serta pemimpinnya boleh dijadikan contoh dan tauladan seperti dalam Al Quran dan hadis Nabi SAW,saya merupakan orang yang terawal beratur di depan pejabat Umno untuk mengisi borang ahli umno!

SIAPA YANG AKAN DENGAR RAYUAN PAK LAH?


Pak Lah sekali lagi dengan nada mendayu-dayu meminta agar peniaga menurunkan harga barang. Minyak dah turun jadi peniaga menurutnya kenalah turunkan harga barang terutama barang keperluan pengguna.

Pak lah berkata demikian semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri.Dalam masa yang sama Pak Lah merayu agar sistem perkhidmatan kakitangan awam dan pembayaran kepada kontraktor dipertingkatkan.

Siapa yang akan dengar dan ikut seruan Pak Lah? Dalam keadaan dirinya semakin dipencilkan dan hilang taring, menunggu hari-hari akhir sebagai perdana menteri kata-kata Pak Lah ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Semasa mengumumkan 'persetujuan' peralihan kuasa kepada Najib beliau berjanji akan menubuhkan beberapa suruhanjaya untuk meningkatkan perkhidmatan kerajaan di negara ini. Sehingga hari ini tidak ada sebarang tanda-tanda ia akan menjadi kenyataan.

Tapi, itu tak pelik kalau janji akan tinggal janji. Kalau bercakap sebelum ini pun selalu bohong, mana lagi rakyat nak percaya. Masih ingat kata-kata Pak Lah apabila ditanya tentang tarikh pilihanraya umum ke 12 dan mengulas kes Anwar dalam 'projek Liwat 2"?Malah banyak dalam isu lain seperti tahanan Isa dan isu Hindraf.

Kata-kata Pak Lah akhir-akhir ini hanyalah sebagai formalliti, tak lebih dari itu. Orang dengar hanya sekadar nak ambil hati. Itulah padahnya kalau mandat dan kepercayaan rakyat sebelum ini dikhianati.

Asalnya nak bawa pendekatan Al Ghazali dan As Shafie...tapi hari ini hanya tinggal lidah dan gusi. Jenayah menjadi-jadi, harga barang semakin tinggi dan dalam Umno asyik bergaduh sesama sendiri. Tak tahulah, kitab mana dan bab mana karangan As Shafie dan Al Ghazali yang dikaji. Islam hadhari juga tidak menjadi.

Semua ini menjadi bukti, walaupun siapa yang menjadi pengganti Umno kini hanya menghitung hari-hari untuk menerima hukuman dan balasan seterusnya atas dosa dan kesalahan yang dilakukan kepada rakyat selama ini.