08 December 2008

MELAKA BAKAL DILANDA BANJIR BESAR?

(KEMASKINI 11.20 am)Hujan lebat melanda Melaka sejak semalam hingga hari ini.Dalam perjalanan beraya ke rumah emak saya dapat melihat beberapa tempat di Melaka telah mula dinaiki air seperti di Bukit Rambai d telah mula dinaiki air. Stesen Petronas di Bukit Rambai juga turut ditutup kerana dinaiki air.

Pasukan Bomba dan penyelamat dilihat bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.Air sungai Melaka di Taman Merdeka sudah mula menghampiri paras tebing. Insyaallah gambar terbaru akan dikemaskini tengahari nanti.

Penduduk di Taman Angkasanuri, Taman Merdeka dan Taman Datuk Tamby Chik Karim berada dalam keadaan bimbang dengan perkembangan yang berlaku.Mereka diminta bersedia menghadapi dengan pelbagai kemungkinan.


RUMAH PENDUDUK YANG DITENGGELAMI AIR

STESEN PETRONAS TURUT TENGGELAM

KAWASAN PERUMAHAN YANG TURUT BANJIR

AIR SUNGAI MELAKA BERADA DI PARAS BAHAYA

PERJUANGAN MENUNTUT PENGORBANAN

Allahu Akhbar...Allahu Akhbar...Allahu Akhbar...
Pada hari ini semua umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidil Adha.
Aidl Adha membawa 1001 pengertian yang cukup besar bagi mereka yang beriman.Semalam umat Islam dari seluruh dunia di Tanah suci mengerjakan wukuf, kemuncak bagi ibadat haji. Mereka datang dari jauh dan dekat berkumpul dan bertemu sebagai simbol pengabadian dan pengorbanan mereka kepada Allah SWT.Kita di negara ini turut sama tidak ketinggalan merai dan merayakannya.

Di Melaka sambutan Aidil Adha tidak semeriah sebagaimana lazim negeri-negeri di Utara dan pantai Timur. Aidil Adha perlu dihayati dan difahami bukan sekadar dari segi makna sahaja tetapi falsafah yang ada di sebaliknya.

Adil Adha bukan hanya sekadar bertakbir dan bertahmid. Bukan juga sekadar menunaikan solat sunat dan mendengar khutbah raya. Juga bukan hanya sekadar binatang qurban semata-mata.

Apa yang lebih penting menghayati pengorbanan umat Islam yang terdahulu yang berkorban segala-galanya untuk memastikan Islam terus subur dan didaulatkan di muka bumi ini. Mereka tidak hanya sekadar bekorban masa, harta dan tenaga malah mempertaruhkan nyawa mereka sebagai galang ganti.

Seperti kata-kata As syahid Sayyid Qutb beberapa ketika sebelum saat kematiannya, Perjuangan ini ibarat mata rantai...Perjuangan ini bukan kita yang memulakannya dan buka kita yang mengakhirinya..

Mari bertanya kepada diri kita apa pengorbanan yang kita lakukan untuk Islam? Pengorbanan kita masih terlalu kecil tetapi dengan keikhlasan dan dilakukan secara konsisten, apa yang kita dan orang lain anggap kecil, nilainya sangat besar di sisi Allah SWT. Berkorbanlah demi agama yang kita sayangi ini mengikut kemampuan masing-masing.


Apa yang pasti satu hari nanti sama ada cepat atau lambat kita pasti akan dipanggil mengadap Allah SWT. Pada ketika itu, hari yang tidak berguna kepada anak pinak, harta benda dan kaum kerabat. Apa yang menjadi taruhan adalah nilai taqwa dan pengorbanan kita selama hidup di dunia di sisi Allah SWT.

Sebesar manapun sekali amalan dan pengorbanan kita, sebenarnya masih tidak melayakkan kita mendapat syurga dari Allah SWT. Hanya kasih sayang dan rahmatNya yang melayakkan kita mendapat anugerah dariNya. Oleh itu, marilah kita terus berjuang dan bekorban dengan penuh keikhlasan agar pengorbanan kita ada nilainya di sisi Allah SWT.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA...Bekorban apa sahaja...Harta ataupun nyawa....Allahu Akhbar...Allahu Akhbar...Allahu Akhbar..

07 December 2008

BERAPA KERAJAAN MELAKA BERHABISAN UNTUK SHAH RUKH KHAN?


Berapa kerajaan Melaka belanjakan duit rakyat untuk majlis Shah Rukh Khan semalam? Kalau samping dipakai SRK je dah bernilai RM 3 ribu,bayangkan berapa banyak duit rakyat dihabiskan semalam. Saya difahamkan dari Kuala Lumpur ke Melaka SRK dibawa dengan helikopter ditempah khas.





Mari kita cuba kira betapa pemurahnya kerajaan Melaka.

1. Kos sewa helikopter RM 2 ribu sejam ( Masa dari 9.30 - 4.30 petang )= RM 14,000.00
2. Jamuan tetamu ( RM 20 X 1000 jemputan ) = RM 20,000.00
3. Kos persiapan tempat dan publisiti = RM 50,000.00 (anggaran )
4. Sewa hotel RM 1000
5. Tambang kapal terbang KLIA - Mumbai (kelas 1 ) = RM 10,000 untuk seorang pergi balik
6. Kos-kos lain ?????

Untuk makluman Ali Rustam, di Melaka terdapat ribuan penduduk yang masih hidup di bawah paras kemiskinan. Malah masih ada rakyat Melaka yang tinggal di daerah Alor Gajah dan Melaka seperti yang didedahkan sebelum ini dalam posting lepas yang tidak mendapat kemudahan bekalan air bersih dan elektrik.

Pengalaman saya terlibat dalam bidang motivasi dan kaunseling masih ramai murid dan pelajar di negeri Melaka yang tidak membawa wang saku dan bekal ke sekolah. Terdapat juga yang gagal membayar yuran persekolahan sehingga akhir tahun. Pada penggal persekolahan tahun depan ramai yang terpaksa memakai uniform dan kasut sekolah yang lusuh dan koyak. Kenapa semua ini berlaku? Tanyalah kaunselor dan pentadbir sekolah-sekolah di Melaka berapa ramai bilangan murid miskin yang ada di sekolah masing-masing? Adakah kerajaan Melaka menghiraukan nasib mereka ini?

Kalau kerajaan Melaka nak beri gelaran datuk pada semua artis sama ada di Hollywood atau Bolyywood berilah. Tak kan nak beri pada SRK seorang je, kecil hati artis luar yang lain nanti. Tetapi sila jawab di Padang Masyar nanti adakah rakyat sendiri mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya dari Ali Rustam dan mereka yang sewaktu dengannya?

Setiap pemimpin pasti akan ditanya amanah yang dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Melaka ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

06 December 2008

TIGA LEPAS HUKUMAN GANTUNG KERANA KESILAPAN BODOH YANG DILAKUKAN OLEH POLIS DAN PENDAKWARAYA


TERTUDUH YANG DIBEBASKAN OLEH MAHKAMAH

Mahkamah Tinggi Ipoh semalam membebaskan tiga tertuduh utama satu kes pengedaran dadah pada tahun 2005 lalu. Semua ini gara-gara kesilapan bodoh yang dilakukan oleh Polis.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh,Muhamad Ideres Rafee memerintahkan Tang Kan Wah, 52, Loi Keen Mun, 28, dan Chu Kwong Nee, 29, dilepaskan tanpa perlu membela diri setelah mahkamah mendapati banyak keraguan dalam kertas pendakwaan.

Katanya, kegagalan tiga anggota polis itu menandatangani borang serbuan, penemuan dan penyerahan barang bukti iaitu dadah kira-kira 61.63 gram menyebabkan mahkamah meragui kes tersebut.

"Bagaimana anggota polis boleh gagal tandatangani borang itu, takkan penat sangat sampai tak sempat (tandatangan).

"Ia menyebabkan mahkamah meragui dan tak boleh terima keterangan yang diberi anggota polis yang melakukan serbuan berkenaan," katanya.

Selain itu, Muhamad Ideres juga menegur pihak pendakwaan yang boleh terlepas pandang kekhilafan alamat premis serbuan dilakukan sehingga tertangkapnya ketiga-tiga tertuduh dan membawa kepada penemuan dadah tersebut pada kertas pertuduhan.

Polis Malaysia dan pejabat Peguam Negara perlu merasa malu dan bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku. Sudahlah imej kedua badan ini semakin merudum, kes ini akan merendahkan imej mereka pada tanggapan umum. Mana pergi slogan 'CEPAT dan BETUL' yang dibanggakan oleh PDRM? Adakah slogan "CEPAT dan BETUL" kerana 'kecepatan' dan 'kebetulan' yang banyak berlaku terutama majlis himpunan aman yang melibatkan Pakatan Rakyat atau hanya pada pemimpin PR sahaja? Tetapi bila kes dan aduan melibatkan pemimpin BN terutamanya Umno kes itu hanya dilihat hanya sebelah mata atau hanya memekakkan telingga sahaja?

Telah acap kali PDRM dan Jabatan Peguam Negara dipertikaikan dalam tindakan mereka. Misalnya kes Nurin Jazlin dan Sharline yang gagal diselesaikan sehingga kini. Begitu juga kes jenayah seperti kes 2 tralier yang sarat dengan komponen elektornik yang bernilai ratusan juta ringgit di Bayan Lepas Pulau Pinang yang gagal diselesaikan oleh Polis hingga kini?

Jabatan Peguam Negara pula tidak kurang kontroversinya, seperti kes tembakan peluru hidup yang dilakukan oleh Polis konon atas alasan mempertahankan diri di Batu Buruk.Orang yang nyaris maut ditembak didakwa, polis yang menembak dilepaskan begitu sahaja. Malah banyak perbicaraan berfrofil tinggi seperti kes pembunuhan Altantuya dan kes liwat 2 melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim mendedahkan watak sebenar sikap dan watak Jabatan Peguam Negara.

Jika beginilah keadaanya, habis punah ranahlah negara ini. Kembalikan lah pada prinsip keadilan dan keluhuran pelembagaan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara. Siapa lagi yang dapat diharapkan untuk menjaga dan memelihara keadilan, keamanan dan keharmonian negara jika dua instiusi penting, polis dan jabatan Peguam Negara hilang wibawa dan kredibilitinya?

05 December 2008

SHAH RUKH KHAN DIRAI, KEMULIAAN BULAN ISLAM DICEMARI..


Satu majlis secara gilang-gemilang akan diadakan esok di Melaka sempena meraikan majlis penganugerahan pingat Datuk kepada Shah Rukh Khan ( SRK ).Khabarnya majlis anugerah tersebut akan dipancarkan secara langsung yang dibiayai oleh kerajaan Melaka.

Sehari suntuk SRK diraikan oleh kerajaan Melaka termasuk sesi fotografi dan bersama peminat. Poster dan banner dinaikkan di tempat strategik di Melaka untuk mempromosi dan mengingatkan orang ramai tentang sambutan besar-besaran yang akan diadakan esok.

Dalam kemeriahan dan promosi besar-besaran itu saya tercari-cari bannner atau poster yang mempromosi atau berkaitan program mengingati peristiwa wukuf dan juga sambutan Aidil Adha yang disambut pada 8 Disember ini.

Dua kali juga saya pusing bandaraya Melaka sehingga ke Banda Hilir hari ini termasuk beberapa kali lalu di hadapan Masjid Al Adzim ( masjid negeri) tapi masih tak berjumpa dengan poster yang dicari.

Bila membaca tulisan LanH dalam Harakah Daily hari ini lidah saya jadi kelu, malu rasanya menjadi anak Melaka.

10 hari pertama bulan Zulhijah adalah saat terbaik untuk mendekati diri kepada Allah SWT. Ketika ini lebih dua juta jemaah sedang berhimpun di Tanah Suci. Pada tanggal 8 Zulhijah (6 Disember), jemaah termasuk lebih 26,000 orang dari Malaysia termasuk orang Melaka akan bertolak ke Arafah.

Pada tanggal 9 Zulhijah (7 Disember), jemaah haji akan wukuf di Arafah. Wukuf adalah rukun haji. Tiada wukuf tiadalah haji. Wukuf atau Hari Arafah adalah sebaik-baik hari untuk seorang Muslim mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.

Saiyidatina 'Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda mafhumnya: "Tidak ada hari yang lebih banyak Allah Taala memerdekaan hamba-Nya daripada api neraka selain daripada Hari Arafah (Hari Wukuf) dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta berfirman apa yang dikehendaki oleh mereka."

Bagi saya tindakan kerajaan negeri Melaka adalah keterlaluan dan boleh saya katakan biadab kerana tidak langsung menghormati bulan yang cukup dimuliakan terutama 10 hari terakhir bulan zulhijjah ini.

Kalau kemaruk sangat nak beri Datuk pada shah Rukh Khan pilihlah hari lain. Adakah tergamak kerajaan negeri mencemari bulan mulia ini hanya semata-mata untuk memenuhi masa dan menjaga hati Shah Rukh Khan? Hormatilah sensitiviti umat Islam di negara ini serta menghargai kaum kerabat kita yang menyahut seruan Ilahi di Tanah Suci. Mereka bersusah payah di sana sebaliknya terdapat kita di sini yang asyik bersuka ria.Sepatutnya juga bulan ini dihiasai dengan program untuk menghayati pahit getir perjuangan dan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS.

Inilah akibatnya apabila Islam dipinggirkan dengan melantik mereka yang jahil tentang Islam memimpin negara. Ada mufti dan pegawai agama hanya jadi pak angguk, takut untuk menyatakan kebenaran. Saya yakin esok ada mufti atau pegawai agama negeri akan membaca doa di majlis istiadat penganugerahan datuk kepada Shah Rukh Khan. Dunia semakin menuju akhir zaman...Islam dipermainkan dan dipersendakan.

PUSAT PELAKON FILEM: RAKYAT BANTAH, ALI RUSTAM SOKONG

Dalam akhbar sinar Harian edisi Melaka hari ini terdapat dua berita tentang filem. Satu sokong dan satu lagi tidak bersetuju.


ALI RUSTAM SOKONG MELAKA JADI PUSAT PELAKON FILEM

RAKYAT MELAKA PULA BANTAH!

Ali Rustam bercita-cita menjadikan Melaka sebagai pusat perfileman antarabangsa. Menurut Ali Rustam penganugerahan Datuk pada Shah Rukh Khan esok merupakan satu usaha ke arah itu.

Sebelum ini Ali Rustam bercadang nak wujudkan perkampungan artis di Melaka Pindah Alor Gajah. Namun tak ada seorang pun artis yang berminat, sebab kawasan tu kawasan tempat 'jin bertendang' iaitu kawasan ladang getah dan kelapa sawit yang ingin dijadikan kampung tersusun. Saya yang pada awalnya diluluskan satu lot tanah di situ menarik diri kerana kawasannya yang agak terpencil.Tapi tak tahulah kalau Ali Rustam cadang nak syorkan buat filem Tarzan kat situ.

Dalam akhbar yang sama hari ini, penduduk di Pulau Sebang menyalahkan unsur ganas dalam filem asing yang menyebabkan kadar jenayah yang semakin menjadi-jadi di situ. Terbaru sederet rumah kedai di Pulau sebang dibakar dipercayai dilakukan remaja dan pemuda nakal dari kampung berkenaan. Penduduk mendakwa ia berpunca dari unsur ganas dan negatif dari filem asing.

Rakyat bantah dan tak setuju, tapi Ali Rustam tetap beria-ia jadikan Melaka pusat perfileman. Walaupun dibantah dan pelbagai pandangan rasa tidak puas hati dinyatakan.Inilah contoh dan sikap pemimpin tidak berjiwa rakyat yang asyik-asyik menyusahkan rakyat sahaja.

04 December 2008

LEBIH 99% HOTEL DI MALAYSIA TAK ADA SIJIL HALAL


Umat Islam yang mengunjungi hotel-hotel di negara ini diminta berhati-hati memandangkan hanya terdapat 18 sahaja hotel daripada sejumlah 2360 hotel di seluruh Malayasia yang mendapat sijil halal daripada Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC).

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Mashitah Ibrahim semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Siti Zailah Yusof dari Pas Rantau Panjang dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perkara ini perlu dipandang serius memandangkan kursus, mesyuarat dan seminar yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta sering dibuat di hotel. Soal makan minum berkaitan halal haram adalah penting bagi kesempurnaan akhlak dan aqidah Umat Islam.

Pengalaman saya yang sering mengikuti kursus di hotel yang dibuat secara pakej, para peserta tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa bertawakal menjamah makanan yang disedia dan dihidangkan oleh pihak hotel.

Kerajaan melalui agensi yang berkaitan perlu tegas dengan memulaukan hotel yang masih tidak memiliki sijil halal dengan tidak melaksanakan sebarang pakej dengan hotel berkenaan. Hanya dengan cara itu sahaja akan menyebabkan pihak pengurusan hotel akan lebih peka dan bertanggungjawab dalam menyediakan hidangan yang 100% halal.

Pendedahan ini sudah pasti sesuatu yang menghairankan bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dengan kerajaan yang mendabik dada melaksanakan pendekatan Islam Hadari di negara ini.

PATUTLAH MAKSIAT KAT MELAKA MENINGKAT SETIAP TAHUN

Sedang saya duduk lepak-lepak dengan komputer buruk di lobi sebuah hotel untuk akses internet percuma sambil tunggu anak habis tuesyen saya dapat panggilan telefon dari jiran di taman perumahan saya mengadu masalah. Maklum le orang penting kat taman katakan...ceh..

Katanya nak buat macam mana sekarang, kat sebuah rumah di taman saya ada penduduk mengadu ada seorang yang bekerja sebagai GRO bawa balik jantan tidur kat rumah. Saya kata saya kat luar, kejap lagi saya ada kuliah dengan pelajar sampai tengahari.

Jiran saya kata tak tahu kat mana lagi nak mengadu untuk ambil tindakan. Telefon pengerusi taman, pengerusi taman kata tak ada kuasa. Telefon JKKK, JKKK sibuk dengan tugas luar. Nak telefon tok imam, imam tak ada kat rumah. Paling sedap bila telefon pejabat Majlis Agama Islam Melaka ( MAIM ), MAIM kata hari ini tak ada operasi! Tunggu ada operasi baru boleh bertindak.

Maknanya buatlah maksiat sesuka hati siang atau malam, pagi atau petang, berkubanglah sepuas hati buat maksiat kat Melaka, MAIM tak akan bertindak sebab tak ada operasi. Patutlah kadar jenayah syariah dan kes anak luar nikah meningkat sekali ganda di Melaka( lihat posting saya sebelum ini ). Pihak penguatkuasaan bersikap sambil lewa. Siapa lagi nak diharap kalau orang jabatan agama tak nak bertindak?

Jika beginilah keadaannya, saya yakin kadar jenayah syariah dan kes buang anak serta anak luar nikah akan terus meningkat pada tahun depan. Kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam tolong peka sedikit masalah ini jangan asyik sibuk dan terhegeh-hegeh serta gegak gempita nak bagi gelaran Datuk pada Shah Rukh Khan aje..

P/S: bila balik saya sempat tanya jiran saya semula macam mana kesudahannya. Jiran saya kata tunggu masa Maim buat operasi je lah baru kita report...3.35 pm

KUALA TERANGGANU BAKAL MEDAN KEMPEN PEMILIHAN UMNO

Pilihanraya kecil P36 Kuala Terangganu bakal menyaksikan semua jentera dari parti yang bertanding akan bertumpu ke sana.

Pakatan Rakyat terutamanya Pas sudah pasti akan menggerakkan semua ahli dan pimpinan untuk melakukan yang terbaik untuk merampas semula kerusi parlimen berkenaan yang tewas dengan majoriti kecil dalam PRU lalu.

Seperti yang lepas-lepas kehadiran petugas dan jentera Pas di semua peringkat dari seluruh pelusuk negara termasuk Sabah dan Sarawak adalah dengan menggunakan duit poket sendiri.Tidak ada sebarang ganjaran dan habuan atau upah dijanjikan kepada semua petugas Pas. Mereka datang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak. Inilah formula dan rahsia Pas dalam mentarbiyyah semua ahli dan penyokongnya.

Berbeza dengan Umno, kehadiran jentera mereka bakal ditaja oleh pihak-pihak tertentu. Bukan sekadar ditampung semua perbelanjaan tetapi turut diberi elaun sepanjang masa bertugas.

Apa yang lebih menarik, pilihanraya P36 ini bukan sahaja pertembungan di antara PAS dan Umno yang mewakili BN tetapi juga medan untuk semua calon yang layak bertanding dalam pemilihan Umno Mac depan untuk melakukan kempen secara agresif.

Wang ringgit bukan sahaja bakal berterbangan untuk meraih undi pengundi Kuala Terangganu tetapi jumlah yang dijangka berkali ganda lebih besar bakal ditabur untuk berkempen dan mendapat 'aku janji' dari perwakilan bahagian-bahagian Umno yang akan berkampung di Kuala Terangganu.Mereka yang bertanding dalam Umno Mac depan pasti tidak akan melepaskan peluang menghantar juru kempen dan perayu mereka dalam pilihanraya kecil ini nanti.

Dijangka semua ini akan memberi kelebihan kepada Pas untuk merampas semual kerusi parlimen ini dari BN. Peluang Pas dilihat lebih cerah memandangkan Umno kini berada dalam keadaan yang cukup lemah akibat pemusuhan dan perpecahan daripada peringkat tertinggi hingga ke akar umbi. Malah Pilihanraya kecil ini bakal dijadikan medan penyokong dan pengikut Idris Jusoh dan Ahmad Said untuk melunaskan dendam masing-masing.

03 December 2008

MAT SABU OK, TAPI ANAK TEMPATAN LAGI BAIK


Pilihanraya kecil Kuala Terangganu sekali lagi bakal menyaksikan pertembungan sengit di antara calon BN ( Umno ) dan PAS. Mungkin ada calon bebas dan dari AKIM. Namun, penyertaan kedua-duanya lebih untuk 'meramaikan majlis' je.

Pelbagai spekulasi dan andaian dibuat tentang calon yang bakal bertanding. Hari ini YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang juga merangkap Mursyidul Am Pas menyatakan sokongan terbukanya kepada Tn. Hj. Muhamad Sabu untuk dicalonkan sebagai calon dalam pilihanraya kecil berkenaan.

Siapa yang tidak kenal dengan Mat Sabu, budak dalam buaian pun kenal. Kepetahan dan pidatonya begitu memikat dan menghiburkan dengan fakta yang tersusun dan jenaka yang mencuit hati. Masa belajar di USM Minden, Pulau Pinang sekitar tahun 90-an,jika ada masa terluang saya tidak akan terlepas mengikuti siri-siri ceramah beliau walaupun terpaksa menaiki motor cabuk dari Pulau Pinang hingga ke Kedah, Perlis dan Perak Utara semata-mata untuk mendengar ceramah beliau. Malah, selapas tamat belajar pun saya tidak ketinggalan dengan kerap mengundang beliau datang berceramah di tempat saya di Pahang.Begitulah hebatnya aura yang ada pada Hj. Md. Sabu kepada saya.

Ketokohan dan komitmen beliau pada Pas tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Begitu juga dengan kesederhanaan hidup yang ditunjukkan. Malah di kalangan ahli biasa dan penyokong Pas malah turut diakui kawan dan lawan , Hj. Md. Sabu mudah mesra dan bergaul walaupun ketika itu pernah menjadi YB.

Dalam senario pilihanraya kecil di parlimen Kuala Terangganu saya merasakan Hj. Md. Sabu mempunyai peluang cerah untuk membantu Pas untuk menawan semula kerusi itu yang sebelum ini pernah dimenangi oleh Pas pada pilihanraya 1999 yang ketika itu diwakili Dr. Syed Azman Nawawi.

Namun begitu, pada pandangan saya jika Pas meletakkan calon anak tempatan bertanding di situ,peluang untuk kemenangan Pas adalah lebih cerah. Semasa pilihanraya ke 12 lalu, wujud suara-suara kurang tidak puas hati di kalangan ahli dan penyokong Pas di Terangganu apabila Hj. Md. Sabu dipilih sebagai calon. Namun begitu, masalah itu hanya masalah kecil yang dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Dalam pilihanraya ke 12 yang lalu sesorang nenek yang bertanding atas calon bebas,Maimun Yusof, 89 tahun yang dianggap tidak mampu memberi dan menjanjikan apa-apa masih mampu mendapat 685 undi. Satu jumlah yang saya kira cukup besar jika hendak dibandingkan dengan fizikal dan kemampuan yang dimiliki. Sesuatu yang perlu diteliti atau dikaji oleh pihak kepimpinan Pas Terangganu sama ada undi yang diperolehi adalah undi simpati atau undi protes sama ada dari ahli dan penyokong Pas atau dari BN? Hanafi Mamat yang bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh atas tiket AKIM tidak mampu menyaingi 'populariti' yang dimiliki oleh sesorang nenek.Di Permatang Pauh lalu, Hanafi hanya mampu mendapt 82 undi sahaja.Lebih-lebih lagi undi yang dimiliki oleh nenek Maimun melebihi majoriti 628 undi yang telah memenangkan calon BN.

Apa-apapun pelbagai andaian dan tafsiran dapat dilakukan berdasarkan analisis keputusan pilihanraya di Kuala Terangganu dan Permatang Pauh sebelum ini. Suasana kini adalah berbeza, mungkin ada sesuatu mesej yang bakal disampaikan oleh pengundi dalam pilihanraya kecil itu nanti.( Cuba lihat posting saya sebelum ini siapa yang bakal dihukum di Kuala Terangganu di

http://angkasanuri.blogspot.com/2008/11/siapa-yang-bakal-dihukum-di-kuala.html

Namun, seperti kata YAB Tuan Guru tentang hasratnya agar Hj. Md. Sabu bertanding di Kuala Terangganu lebih bersifat peribadi begitulah juga dengan pandangan yang saya kemukan. Tetapi kalau nak banding firasat dan pandangan Tok Guru dengan saya memang tak terbanding. Lautan ilmunya dengan saya bukan hanya setakat langit dengan bumi tetapi mungkin kalau nak dibandingkan dari bumi sampai ke planet Pluto!

Apa-apa pun dalam Pas, setiap keputusan adalah bergantung kepada keputusan pimpinan. Saya telah ditarbiyyah agar sentiasa akur dengan segala keputusan jemaah yang lebih arif dan tahu dalam semua hal. Apa yang yang kita rasa baik untuk diri sendiri belum tentu baik kepada jemaah dan Islam . Siapa pun yang bertanding mewakili calon Pas nanti mari kita sama-sama bantu dengan bekorban apa yang mampu untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan perjuangan mendaulatkan negara berkebajikan berlandaskan lunas dan syariat Islam didaulatkan di bumi Malaysia ini.