28 December 2008

DARAH DAN AIR MATA TERUS MENGALIR DI PALESTIN DI AMBANG HIRAH


Sekali lagi nyawa dan darah umat Islam Palestin menjadi santapan dan hidangan rejim zalim zionis Yahudi laknatullah pada saat-saat umat Islam akan menyambut dan memperingati peristiwa hijrah Nabi SAW.

Hampir 200 menjadi korban semalam dalam konflik di Palestin. Angka korban dijangka meningkat kerana ramai yang menjadi mangsa dan serangan yang berterusan sehingga hari ini.

Tetapi berapa ramai yang peduli dan simpati? Barangkali masing-masing sibuk dengan menghabiskan cuti bersama keluarga pada hujung minggu.Mana nilai dan sensitiviti kita pada saudara seagama?

Sabda Nabi SAW:

Tidak Beriman seorang kamu hingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri. ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Wahai saudara dan sahabatku, ayuh bangunlah buatlah yang termampu untuk saudara kita. renungilah kata-kata As Syahid Syed Ahmad Yassin...seorang ulama buta yang tua tidak berdaya yang hanya mampu bergerak dengan kerusi roda di bumi Palestin...Apakah anda semua terlalu bakhil dan tidak berdaya sekurang-kurangnya untuk mendoakan kesejahteraan dan kemenangan kami di sini.....

SALAM HIJRAH.....

Hijrah kita bukan hijrah naik unta,
mencari tempat selamat untuk menyembah Tuhan.
Tetapi hijrah kita hijrah hati
ubah sikap dan baiki diri...

Bukan tempat jadi halangan untuk besarkan Tuhan,
tapi hati yang belum tertempa untuk jinak
dan bermanja dengan Penciptanya.
Hijrah kita tanpa unta,
tanpa perlu berjalan di tengah panas membara,
tanpa perlu takut dikejar musuh durjana,
tapi... Hijrah dari alam gelap ke alam cahaya.

Alam leka ke alam jaga.
Dari fantasi ke alam realiti.
Inilah kehidupan yang sementara
sebelum kita hadir ke alam hakiki yang kekal abadi.
Hijrahlah kita dari sikap tidak baik
kepada sikap yang baik.
Kerana terlalu banyak sikap tak baik
yang kita masih jaga dengan baik.

Di pejabat...
suami/isteri orang pun kita buat macam suami/isteri sendiri
usik sana usik sini
dah tak rasa berdosa lagi
orang Kedah kata dah "mangli"
Sedangkan malaikat tetap tidak peduli
sentiasa mencatit segala amal diri
yang mulia atau keji...

Suka buang masa pun perlu kita hindari
maklum saja zaman IT
dok chatting tak henti
guna komputer yang majikan bagi
soal amanah dah tolak tepi
dah tak ingat mati bila-bila boleh mari.

Hijrah ibarat berpindah ke rumah baru
Benda tak berguna jangan dibawa sama,
tinggalkan di tong sampah selayaknya.
Hanya yang baik-baik
dan yang berguna saja kita bawa.

Demikian penghijrahan diri yang sepatutnya.
sikap-sikap yang berserabut dan berdebu v buanglah jauh-jauh.
Suka merajuk, suka menunjuk, suka menyibuk,
suka menyampuk, suka mengamuk...
janganlah kita simpan lagi
perangai-perangai ini
macam memelihara barang antik
yang kita perasan cantik dan antik,
tapi orang lain rasa benci dan getik.

Mazmumah itu bagaikan penyakit kanser,
semakin dipendam semakin parah.
Kalau kita masih sayang
dan nak sehidup semati dengannya... apakan daya.

Tahun Baru Hijrah yang menjelma,
sambutlah dengan azam dan semangat baru...
dari yang tak baik berhijrahlah kepada yang baik.
Dari yang sudah baik, kepada yang lebih baik.

Minat mengumpul dan menyimpan sikap 'antik',
eloklah diganti dengan usaha memulihkan penyakit,
sebelum hijrah kita yang terakhir...
dari dunia yang fana' ini
ke Alam Baqa yang kekal abadi.
Waktu itu tiada "U-turn" untuk kita lagi!

MUHASABAH DIRI SEMPENA MAAL HIJRAH 1430

'Muhasabah' bermaksud : Perbuatan menilai diri sendiri. Perbuatan ini amat dituntut dan digalakkan supaya di lakukan oleh setiap individu atau kumpulan atau pertubuhan dan malahan termasuk juga pemimpin. Melalui muhasabah kita dapat membuat sesuatu tindakan yang lebih baik bagi menghadapi masa hadapan. Saidina Umar r.a. pernah berpesan : " Hisablah sebelum kamu dihisabkan".

Tujuan utama perbuatan muhasabah ialah bagi mengetahui kekuatan, ancaman, peluang dan yang lebih penting ialah mengenal pasti kelemahan yang wujud, pada masa yang sama mengambil tindakan untuk memperbaikinya. Dalam maksud yang lebih luas kita diajak menoleh ke belakang untuk melihat, adakah setiap perkara yang di lakukan telah mengikut panduan yang di tetapkan oleh Allah s.w.t. dan mengikuti segala amalan yang telah di laksanakan oleh Rasulullah s.a.w.?.

Persoalannya ialah apakah yang kita akan 'muhasabahkan'?.Esok kita akan masuk tahun baru hijrah 1430, kesempatan ini marilah sama-sama kita bermuhasabah supaya menyemak kembali satu persoalan yang sangat asas, iaitu mengenai apakah ertinya kita menganut agama Islam? Ketika menjawab persoalan ini, ia akan merentasi soal aqidah, ibadat, akhlak, keluarga, perjuangan, perpaduan, wawasan, perancangan, strategi serta beberapa perkara lain. Muhasabah menjadi penting kerana ia akan menyentuh kepentingan daya tahan umat Islam, bukan seperti yang berlaku sekarang ini, di mana Islam dan umatnya sering dicemuh, diperbodoh, di beri gelaran yang menghinakan, malahan dipermainkan kesuciannya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, atau oleh pihak yang sengaja ingin menunjukkan kekuatan, keangkuhan dan kesombongan mereka.

Agama Islam dan Ummat Islam sendiri dituduh dengan bermacam-macam dan berbagai fitnah.Semua yang buruk dan semua yang tidak baik dihalakan kepada Islam dan penganutnya.Malah ketua paderi Kristian sendiri Pope benedict ke 16 secara berani membuat tuduhan buruk kepada Islam khususnya dan menghina, mencela Rasulullah saw.Sememangnya musuh Islam sentiasa berusaha mencari jalan dan ruang bagi memburukkan Islam,mereka mengerah fikiran dan sentiasa berusaha merosakkan Islam.Allah swt telah menjelaskan permusuhan golongan terhadap Islam ini dalam Al-Quran :

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah Itulah petunjuk (yang benar)". dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. ( al-baqarah : 120 )

Muhasabah mengajak kita menggunakan masa dan peluang yang ada bagi menilai kembali peranan, tugas dan tanggungjawab mengikut apa yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya. Apakah kita telah menjadi pembela Islam atau turut sama manghina dan mencela seperti orang kafir melakukannya?.

Mungkinkah kita turut menjadi ragu dan keliru terhadap Islam seperti orang-orang kafir, yang memang berusaha sepanjang masa untuk menyesat, melonggar, serta melunturkan keyakinan dan aqidah umat Islam?. Apakah kita juga turut sama merancang dan melaksana pelbagai aktiviti yang nyata bercanggah dengan kehendak syariat, walaupun dalam masa yang sama kita juga melaksanakan aktiviti yang memang selaras dengan tuntutan syariat Islam?.

Kita dapati ramai di antara umat Islam yang terlibat dengan gejala sosial, penagihan dadah, dijangkiti HIV, sumbang mahram, rogol, bunuh anak, menggugurkan kandungan, buang anak, merompak, rasuah, menipu, hiburan melampau,menyeleweng dan lain-lain kemungkaran. Jika ini yang di lakukan, bagaimana Islam akan dapat diteladani oleh masyarakat bukan Islam?, bukankah ini yang di katakan Jahiliah moden?, kerana suasana seumpama inilah yang telah di tempuhi oleh Rasulullah s.a.w. di zaman awal kenabiannya.

"Kefasadan " yang berlaku ini bukan setakat memalukan, tetapi lebih buruk daripada itu ialah umat Islam akan hilang maruah dan jati diri serta tidak mampu berdikari. Jika perkara ini berterusan, sudah tentu umat Islam hilang daya tahan, daya saing serta akan terpinggir dan merempat di negara sendiri.

Menyedari hakikat ini adakah wajar umat Islam yang serba lemah di semua bidang masih mahu berterusan untuk berpecah belah, tuduh-menuduh, mencerca dan berburuk sangka sesama sendiri?. Di manakah hilangnya rasa ukhwah dan kasih sayang yang menjadi tunggak kepada amalan masyarakat Islam?.

Bagaimana mungkin untuk kita menjadi manusia mulia, insan rabbani, berbudi pekerti terpuji, berhemah tinggi, jika dalam hati dan sanubari diri, masih tertanam kukuh berbagai sifat keji, yang di laknati dan tidak di redhai oleh Allah s.w.t.? Bagaimana mungkin kita mampu menjadi umat Islam yang cemerlang dan gemilang jika iman kita,keyakinan kita terhadap islam tidak jelas.Kita sendiri tidak yakin dengan hukum Islam,kita sendiri tidak yakin dengan ajaran Islam.Kita sendiri tidak percaya dengan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.Bagaimana mungkin kita mampu menjadi umat yang maju jika masih wujud pelbagai sifat malas, tiada yakin diri, kurang motivasi, mudah berpuashati serta selesa dengan apa yang ada?.

Bagaimana mungkin kita akan maju di bidang ekonomi, jika tidak berani menghadapi risiko untuk rugi?. Atau bagaimana kita boleh maju di bidang sains dan teknologi, jika kita tidak melakukan penyelidikan dan kajian yang terkini?.

Sesungguhnya tugas umat Islam kini amat besar dan mencabar. Kita mesti menyediakan sebuah generasi yang kuat, bagi mewarisi tugas menyampaikan wahyu Ilahi. Mereka mesti mampu melaksanakannya walaupun akan menghadapi pelbagai ujian. Jika kita tidak melakukan tugas mulia ini, bersedialah kita untuk dipersoalkan nanti, kerana membiarkan generasi umat yang akan datang hidup dalam keadaan serba lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran. Tidakkah kita merasa berdosa kerana membiarkan mereka sebagai zuriat 'Zurriyatan Dhu'afa'(anak-anak yang daif), mengharungi masa depan tanpa bekalan dan kekuatan?.

Demi rasa mahabah dan tanggungjawab yang tinggi ke arah memastikan umat Islam sentiasa mulia dan dihormati, kita mesti berupaya merancang masa depan dan memberi bimbingan ke arah menentu 'survival' umat. Sesungguhnya terlalu banyak persoalan yang perlu di atasi. Ingatlah, jika kita tidak merancang untuk membangunkan umat Islam, maka orang kafir memang akan merancang, tetapi sudah pasti perancangan mereka bukan untuk memajukan kita, tetapi sebaliknya akan menjahanamkan kita.

Oleh yang demikian, wahai para pemimpin yang berjiwa besar, para cendikiawan yang bergelar pakar, para ulama' yang mu'tabar, ahli-ahli politik yang bestari, para pendakwah yang penyabar, para usahawan yang pintar, para perancang yang cekal dan semua pihak yang cerdik akal, ayuh kita bersatu tenaga, menentu hala, melakar rencana, menyedia Wahana, untuk membina kembali martabat umat dan bangsa, memacu negara ke mercu jaya, ke arah yang di redhai oleh Allah s.w.t.

Muhasabah menjadi penting dan amat bermakna untuk di lakukan oleh semua. Masih belum terlewat bagi umat Islam hari ini untuk melupakan segala perbezaan pendapat, perbezaan bangsa dan warna kulit, perbezaan fahaman politik dan apa jua sengketa yang telah melanda, sebaliknya marilah kita bergerak bersama menyusun langkah dan arah, bersatu tenaga dan minda bagi membina umat negara dan agama. Marilah kita bertekad untuk menobatkan negara di persada dunia dalam suasana yang di redhai oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya. Marilah kita menjadi umat yang disegani, dihormati, dicontohi serta diikuti.

Sesungguhnya umat Islam hari ini tidak mempunyai pilihan selain daripada bersatu tenaga, bersatu fikrah, bersatu tujuan, bersatu perasaan, bersatu harapan, bersatu wawasan dan bersatu keyakinan, iaitu demi kegemilangan masa hadapan yang hanya akan terjamin selamat, dengan amalan dan penghayatan syariat Islam sepenuhnya. Marilah kita sentiasa 'bermusyawarah' dan 'bermuhasabah' demi kemajuan umat. Marilah kita jadikan hari ini lebih baik daripada semalam, supaya kita termasuk sebagai golongan orang-orang yang berjaya.

27 December 2008

KALI NI SAYA SOKONG ALI RUSTAM....


Kali ini saya sokong Ali Rustam, bukan sebagai calon timbalan presiden dan bukan juga sebab beri anugerah datuk ke Shah Rukh Khan tetapi kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua menteri Melaka.

Seorang penghidap jantung berlubang di negeri Melaka, Norhasimah Samoan, 20 tahun selamat menjalani pembedahan jantung berlubang kali ke 2 di IJN baru-baru ini. Penderitaan Samoan yang didedahkan media sebelum ini mendapat perhatian kerajaan negeri apabila membiayai semua kos pembedahan yang berjumlah RM 45 ribu. Manakala Majlis Agama Islam Melaka menyumbang RM 1000 untuk kos pergi balik Melaka ke Kuala Lumpur dan kos perbelanjaan di hospital selama seminggu.

Saya mengharapkan Ali Rustam akan lebih prihatin dan membantu golongan yang tidak berkemampuan yang memerlukan perhatian kerajaan negeri.

Apa yang baik saya sokong tetapi kalau sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan, melakukan pembaziran wang rakyat dan bertentangan dengan soal moral, akhlak dan akidah....Tak ada kompromi!

ALI RUSTAM TIMBALAN PRESIDEN, RAHIM TAMBY CHIK NAIB PRESIDEN?


Cuba anda bayangkan apa akan berlaku jika Ali Rustam dan Rahim Tamby Chik kedua-duanya dari Melaka menang jawatan terkanan dalam Umno. Ali Rustam sebagai timbalan presiden Umno dan Rahim Tamby Chik jadi naib.

Sesuatu yang mungkin tidak pernah terfikir di kalangan pemimpin dan penganalisis politik sebelum ini. Tetapi kini ia tidak mustahil akan berlaku. Terkini Rahim Tamby Chik layak bertanding sebagai naib presiden apabila mendapat kuota 20 pencalonan yang diperlukan.

Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Siapa duga dan jangka Ali Rustam bakal jadi timbalan perdana menteri Malaysia dan Rahim Tamby Chik jadi menteri penuh dalam kabinet Najib nanti.

Apa-apa pun sama-samalah kita tunggu sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak. Tapi jauh di sudut hati saya harap ia tidak menjadi kenyataan...harap-harap perwakilan Umno pilih orang lainlah....

26 December 2008

RM 300 SEBULAN KAMI NAK MAKAN APA???


Itulah keluhan penoreh getah dan peneroka di seluruh negara berikutan kejatuhan teruk harga komoditi tersebut. Harga sawit hari ini sekitar RM 200 setan manakala harga getah merudum hingga 60 sen sekilogram. Hujan dan musim tengkujuh sekarang di beberapa tempat di negara ini semakin menyukarkan kehidupan serta menjejaskan mata pencarian.

Keadaan ini semakin memilukan apabila penggal persekolahan yang bakal dibuka tidak lama lagi. Yuran persekolahan mungkin boleh di tangguh, tetapi bagaimana dengan buku sekolah, alat tulis dan uniform sekolah anak-anak? Tetapi dalam keadaan sekarang, keperluan makan minum mengatasi segala-galanya. Itupun masih tidak mencukupi...

Kepada siapa mereka hendak mengadu nasib dan kesusahan yang menimpa? Adakah wajar mereka dipersalahakan kerana tidak beringat sewaktu harga getah dan sawit mahal? Sebelum menghukum mereka kita perlu menyedari dan berlaku adil, harga sawit dan getah yang melambung ketika itu hanya untuk beberapa bulan sahaja.

Minggu hadapan ramai peneroka boleh menarik sedikit nafas lega kerana dijanjikan bonus oleh kerajaan Felda. Tetapi bukan semua, hanya mereka yang mengikuti skim tanam semula melalui Felda dan menjual hasil kepada Felda sahaja yang akan menerima bonus. Satu lagi malang bakal menimpa, pembahagian bonus pun didiskriminasikan!

Ada pihak yang kurang senang dan marah-marah bila saya menyalahkan kerajaan. Habis tu nak salahkan siapa? Salahkan presiden Bush dan bakal presiden Barrack Obama di Amerika? Jika tidak pun salahkan presiden Bangladesh atau Presiden Indonesia?

Siapa yang tidak beringat dan berjimat cermat? Rakyat atau kerajaan? Siapa yang banyak buat projek membazir dan membuang duit rakyat begitu sahaja?

Contoh, pembatalan pembinaan jambatan Indah atau jambatan bengkok di Tambak Johor, kerajaan rugi hampir RM 300 juta bayaran pampasan kepada pemaju projek.Tak ada satu tiang jambatan pun dinaikkan ! Rugi atas angin!

PPSMI yang kontroversi dan ditentang hari ini kerajaan dah habis lebih RM 5 bilion! Mana tidaknya, laptop yang harga tak sampai RM 3 ribu sebuah jadi lebih RM 6 ribu yang disediakan oleh pembekal! Sila siasat siapa yang dapat projek tu? Bukan kroni?Saya buat tuduhan melulu? Tak payah susah-susah, boleh tanya pihak sekolah berhampiran tempat anda tanya segi harga dan kualitinya....hancus!Itu baru sebuah laptop, LCD dan lain-lain? Ini juga tidak termasuk, software pengajaran dalam bahasa Inggeris yang menelan kos jutaan ringgit tetapi tidak dapat digunakan.

Semalam dalam perjalanan bercuti dari Pahang Ke Johor Baharu saya melalui Mersing, saya tunjukkan kepada isteri di sebelah, kompleks kuarters polis baru Mersing yang lengkap dengan dewan dan masjid yang bernilai puluhan juta ringgit. Apa yang berlaku? Projek itu telah dihentikan,sekarang telah dinaiki semak samun dan banyak atap yang pecah serta dinding yang rosak. Kuarters telah dibina sejak awal tahun 2000(laluan Kuantan-JB adalah laluan saya setiap minggu semasa sambung belajar di UTM Skudai)yang telah hampir siap tetapi tidak dapat digunakan? Apakah itu bukan pembaziran?

Ini baru sekelumit kisah pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan. Ada pembaca blog ini mengatakan blog ini tak ada kerja lain, apa yang kerajaan buat semua salah, semua bangkang! Soalan saya mudah sahaja, kalau dah benda tak betul, salah, membazir dan bertentangan dengan Islam, nak sokong juga?????Pernah ke saya kata semua kerajaan buat salah?

Bayangkanlah pembaziran berjumlah bilion ringgit yang dilakukan oleh kerajaan, adakah kerajaan tidak mampu untuk membantu semua peneroka dan penoreh getah seluruh Malaysia yang sedang menderita sekarang ini? Kepada mereka yang jiwa,hati,darah, nafas serta nadinya Umno dan BN anda tanyalah diri sendiri?

24 December 2008

UMNO SEMAKIN MEREPUT : PAS TIDAK BOLEH LEKA...


Sudah pasti ramai yang masih dalam Umno tidak setuju dengan artikel ini. Tetapi hakikatnya itulah yang sedang berlaku dalam Umno sekarang. Politik wang, pergaduhan dan percakaran sesama sendiri seperti sudah sebati dalam Umno. Apa yang berlaku sudah terlalu kronik, seperti pesakit kanser Tahap 4. Apa kata doktor? Anda hanya ada peluang hidup.....je lagi.Hanya penawar dan tonik yang luar biasa sahaja yang mampu menyelamatkan Umno. Adakah Najib memiliki tonik tersebut? Atau tonik tersebut ada pada Mukhriz, Shahrizat, Muhyiddin atau Khairy? Sama-samalah kita tunggu kesudahnnya nanti.

Dalam pilihanraya umum atau kecil sebelum ini, berita tentang pemimpin pembangkang dan ahli serta penyokong menyertai BN dan Umno begitu gegak gempita dicanang dan digembar gemburkan oleh media milik BN. Seolah-olah berita kemasukan dalam Umno ketika itu, Pas khususnya bakal hanya tinggal Mursyidul Am dan Presiden je, yang lain habis masuk Umno!

Hari ini apa yang berlaku? Mana berita orang Pas atau PKR dan DAP menyertai BN dan Umno? Kenyataan Setiausaha Agung Umno, bahawa Umno sedang memproses 'beratus ribu' keahlian baru tidak lebih hanya lawak menjelang tahun baru. Hari ini, kalau di tempat saya nak mengaku ahli Umno pun tersipu malu-malu.

Kemasukan bekas ketua Umno Petaling Jaya Selatan,Kapten (B) Zahar Hashim bersama 28 ketua cawangan dan 13 ajk bahagian menjadi bukti nyata bahawa Umno semakin terpinggir hari ini. Saya yakin ramai lagi hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengistiharkan diri keluar dari Umno seperti yang pernah dinyatakan oleh Tuan Guru Dato' Hj. Abdul Hadi Awang sebelum ini yang mengesahkan memang telah terdapat wakil rakyat BN yang telah menyertai Pakatan Rakyat!Cuma masa dan keadaan sahaja yang tidak mengizinkan mereka mengistiharkan secara terbuka.

Apa-apa pun ini tidak bermakna Pas akan mendapat laluan mudah dan selesa di Pilihanraya Kecil Kuala Terangganu. Kelekaan jentera Pas dan Pakatan Rakyat akan membawa padah! Kegagalan dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Pendang tidak lama dahulu perlu diajadikan pengajaran. Pada ketika itu Pas begitu yakin menang selesa, tetapi apa yang berlaku kesudahannya? Akhirnya Pas tewas di kubu kuatnya sendiri!

Di pihak kepimpinan Pas khususnya kena mengambil kesempatan dan peluang yang ada untuk terus memertabatkan perjuangan Pas. Semoga selepas ini tidak ada lagi tindakan atau kenyataan yang membuka ruang kepada musuh yang sentiasa menunggu peluang untuk menyerang dan memburuk-burukkan Pas.

Kereputan yang sedang melanda Umno hari ini sepatutnya dijadikan momentum dan semangat kepada jentera Pas di semua peringkat untuk memastikan imej dan mesej perjuangan Pas dapat diterima oleh setiap lapisan masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.

IJN DIKOPRAT RAKYAT BAKAL MELARAT


Tun Musa Hitam, Pengerusi Sime Darby memberi jaminan pengambilalihan 51% saham IJN oleh syarikat itu tidak akan menjejaskan golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan dan khidmat terbaik di hospital berkenaan.

Sementara itu,kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato seri Najib yang mengumumkan kerajaan menangguhkan pengswastaan IJN membawa maksud tersirat di sebaliknya. Tangguh bermakna bukannya batal atau mansuh. Cuma masa sahaja yang tidak mengizinkan. Lebih-lebih lagi BN bakal berhadapan pilihanraya kecil di Kuala Terangganu. Tidak mustahil, dasar pengswastaan IJN yang diwujudkan sejak tahun 1992 akan diteruskan jika BN menang dengan mandat yang besar di Kuala Terangganu.

Sikap hipokrit kerajaan yang kononnya membela rakyat telah terbukti sebelum pilihanraya umum lalu. Bukankah kerajaan BN berjanji ketika itu tidak menaikkan harga minyak? Tapi apa yang berlaku selepas itu? Minyak bukan sahaja naik dengan kadar munasabah tetapi naik dengan begitu terlampau, sehingga ramai pengguna yang naik minyak! Walaupun harga minyak telah turun lebih murah berbanding sebelum ini
(Mac 2008), bahananya tetap ditanggung oleh rakyat sehingga hari ini. Serba serbinya melambung!Ehhh.... meleret pasal minyak pulak!

Ok, berbalik pada pengkopratan IJN yang 'ditangguhkan' sejak bila dasar pengkopratan kerajaan sebelum ini, kerajaan mengotakan segala janjinya? Apa yang berlaku pada pengkopratan kemudahan elektrik dan air di negara ini? Kononnya, ketika itu kerajaan memberi jaminan, golongan bawahan tidak akan diabaikan. Apa yang berlaku pada hari ini? Rakyat khususnya golongan bawahan dan miskin terus terbeban dengan kadar tarif yang tinggi dinaikkan sesuka hati, kononnya syarikat mengalami kerugian!Pantang lewat sedikit bayar, bekalan dah dipotong!

Begitu juga dengan pengkopratan universiti. Apa yang berlaku pada hari ini? Ramai di kalangan golongan miskin yang mendapat keputusan cemerlang tidak mampu melanjutkan pengajian disebabkan kos yang tinggi dan sentiasa mneningkat. Memamg ada disediakan pinjaman, khususnya dari PTPN tetapi apa yang berlaku, PTPN yang ditubuhkan juga bermotifkan untuk mengaut untung!

Mari kita tanya dan selidik mana ada syarikat dalam dunia ini yang tidak bermotif mengaut keuntungan? Apabila motifnya keuntungan, bermakna tanggungjawab sosial sudah jatuh nombor dua atau nombor 3. Misalnya jika anda atau ahli keluarga anda berada dalam saat kecemasan dan dibawa ke hospital swasta berhampiran, apa yang akan ditanya dahulu oleh pihak hospital swasta berkenaan? Siapa yang nak bayar deposit? Ada kad insurans? Nak rawatan percuma atau rawat dulu bayar kemudian...jangan mimpilah!

Inilah realiti yang bakal berlaku, saya tidak nafikan dari segi kualiti perkhidmatan mungkin akan meningkat tetapi apa yang berlaku kepada nasib mereka yang kurang atau tidak berkemampuan? Memang wujud tabung yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk pesakit kronik yang tidak berkemampuan tetapi birokrasinya?????Mungkin pesakit akan mati dahulu baru dapat kelulusan kerajaan!

Justeru itu, sangat wajar pengkopratan IJN ditentang dan dihalang. Kita tidak mahu rakyat bawahan dan golongan miskin terpaksa melarat dan mengemis semata-mata untuk menagih ehsan dan simpati mendapat rawatan....

23 December 2008

ISU HUDUD: UMNO MASUK PERANGKAP?

Apa sahaja isu yang cuba Umno bangkitkan serba serbi tidak menjadi. Ibarat meludah ke langit jatuh ke muka sendiri. Umno terkial-kial mencari isu untuk menyerang Pas lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya kecil Kuala Terangganu 13 Januari nanti.

Isu hudud yang cuba dimanipulasi tidak menjadi kenyataan. Setakat ini isu hudud telah memberi kredit kepada Pas menjelang pilihanraya di Kuala Terangganu.

Kenyataan Naib Presiden Pas, Dato' Husam Musa yang mengatakan Pas tetap akan melaksanakan hudud cuba diputar belit oleh media milik BN. Mereka cuba menggambarkan Pas sebuah parti yang ekstrim. Pemimpin BN dan media cuba memainkan isu ini bertujuan untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS,PKR dan DAP.

Bagi pengundi di Terangganu, mereka sudah cukup faham tentang isu hudud ini. Isu hudud tidak akan memberi impak kepada perubahan pengundi di Kuala Terangganu khususnya daripada pengundi cina di sekitar bandar Kuala Terangganu.

Kenyataan Husam semalam, pelaksanaan hudud akan dilaksanakan jika PAS mendapat mandat besar dalam pilihanraya umum, dalam situasi sekarang rancangan Pas untuk melaksanakan hudud akan dikemukakan jika mendapat persetujuan dari PKR dan DAP.Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa sikap keterbukaan Pas dan menghormati kerjasama dalam Pakatan Rakyat tanpa mengadai prinsip asal perjuangan Pas.

Bukan sahaja pemimpin Umno biasa terperangkap dengan isu hudud ini, Najib juga terlupa dengan kenyataan yang sebenar apabila bercakap seolah-olah orang yang hilang ingatan. Kenyataan Najib yang mencabar Pas supaya melaksanakan hudud di Kelantan dan Terangganu yang diperintah oleh Pas sebelum ini menunjukkan betapa Najib memang tidak layak menjadi pengganti kepada Pak Lah.

Apakah Najib lupa siapa yang menentang Deraf Enakmen Hudud yang dibentangkan oleh kerajaan Pas di Kelantan dan Terangganu?

Pilihanraya kecil Kuala Terangganu yang semakin hampir menyebabkan BN khususnya Umno semakin terdesak untuk berhadapan dalam pilihanraya itu. Tanda-tanda perpecahan dalam umno dengan pemilihan Wan Farid sebagai calon BN semakin jelas.

Malah BN seolah-olah bermain psikologi dengan bersifat 'under dog' dalam pilihanraya ini bertujuan untuk meraih undi dan simpati dari pengundi.

Kepada BN dan Umno, rakyat Kuala Terangganu masih lagi tidak dapat melupakan bagaimana insiden dan tindakan ganas polis menggunakan peluru hidup membuat provokasi dalam satu majlis ceramah Pas sehingga nyaris ada yang terbunuh di Batu Buruk. Siapa petualang di sebalik kejadian berkenaan? Pesuruhjaya Pas, Tn Hj. Mustafa Ali secara terbuka menyebut Wan Farid adalah sebagai dalangnya? Tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang tindakan atau pun usaha menjawab atau menyaman kenyataan Pesuruhjaya Pas itu.

Saya menjangkakan Umno yang diketuai oleh Najib akan bermatian-matian untuk memastikan kemenangan Umno di Kuala Terangganu. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mendapat kemenangan. Kemenangan BN bermakna kemenangan kepada Najib. Kekalahan BN bermakna nasib Najib sebagai bakal PM dan Presiden Umno semakin tidak menentu pada Mac depan.

22 December 2008

KESELAMATAN NEGARA RAPUH

Pendedahan akhbar Kosmo Online hari ini tentang betapa mudahnya kawalan keselamatan di pintu masuk dan keluar di LCCT ( Terminal Tambang Murah Antarabangsa) wajar diberi perhatian semua pihak agar tidak ada sesuatu yang buruk berlaku.

Bagaimana salah satu pintu masuk negara serta kawasan berisiko tinggi seperti itu diabaikan keselamatannya? Pengalaman beberapa kali menggunakan kemudahan terminal tersebut menjelaskan apa yang didedahkan ada kebenarannya. Apakah pihak keselamatan lupa bahawa pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika ada pihak ingin mengambil kesempatan? Adakah kerajaan hendak menunggu KLCC dirempuh pesawat seperti peristiwa 11 September 2001 di Pusat Dagangan Dunia di New York baru hendak bertindak? Ketika itu penyesalan sudah terlambat dan tidak ada gunanya.

Kelemahan dan kerapuhan sistem keselamatan negara terutama keluar masuk di sempadan negara bukan isu baru. Buktinya ratusan ribu dan mungkin lebih jutaan pendatang asing yang ada di negara ini mendedahkan kepincangan yang berlaku.

Begitu juga dengan pendedahan sebelum ini bahawa banyak terdapat motorsikal di negara ini digunakan secara berluasa di negara jiran dengan masih menggunakan plat pendaftaran negara ( khususnya Melaka) di kawasan negara jiran seperti Dumai dan Pulau Rupat Indonesia mendedahkan bahawa betapa longgarnya isu keselamatan keluar masuk negara. Isu keluar masuk sempadan negara seolah-olah menjadi bahan lawak jenaka pendatang asing yang sering berulang alik ke negara ini.

Jika motorsikal negara ini begitu banyak boleh 'dieksport' ke negara jiran seperti Indonesia dengan menggunakan tongkang dan bot pancung, ada kemungkinan senjata api diseludup sama? Saya kira pembaca ada jawapannya.

Kerajaan perlu bertindak segera mencari jalan menangani isu ini sebelum keadaan bertambah parah dan kronik. Jangan perjudikan keselamatan negara ini. Peningkatan kadar jenayah yang melibatkan warga asing menggunakan senjata api canggih semakin berluasa akhir-akhir ini.Keadaan aman tidak boleh dijadikan sandaran untuk pihak keselamatan bersikap sambil lewa isu yang berlaku. Langkah segera serta merta merta perlu diambil. Jika perlu pihak keselamatan negara perlu ditingkatkan dari segi bilangan anggota dan aset yang canggih dan moden.Kelengkapan yang sudah layak disimpan di muzium seperti helikopter Nuri sepatutnya telah lama diganti. Malangnya isu ketelusan dan penyelewengan menyebabkan pembelian helikopter baru ditangguh. Bagi saya isu kegawatan ekonomi hanya alasan kerajaan untuk menutup kepincangan yang berlaku. Isu keselamatan tidak ada kompromi dan tidak perlu dipolitikkan serta disensasikan. Jangan biarkan rakyat di negara ini hidup dalam ketakutan.