31 December 2008

ORANG PAS SOKONG HUDUD?UMNO TOLAK HUDUD?DAP TENTANG HUDUD?


Tajuk yang cukup hangat masa kini. Apabila saya membaca media dari pro atau milik BN dan Umno serta media alternatif sama ada versi cetak, online dan digital itulah isu yang diperkatakan.

Isu ini isu lama. Masa saya sekolah rendah lagi walaupun ketika itu masih buta politik isu ini telah berkumandang. Isu yang dilabelkan sebagai "Amanat Hj. Hadi", Peristiwa Memali dan Peristiwa Lubuk Merbau semua sebenarnya menjurus pada isu dan persoalan yang sama.

Apa pasal isu hudud ini secara tiba-tiba dimainkan semula? Adakah isu ini bermula kerana ada pihak yang mendakwa disebabkan 'keceluparan' pemimpin Pas seperti Dato' Husam Musa atau kegarangan Karpal Singh dari DAP yang mengugut agar 'langkah mayatnya terlebih dahulu' kalau nak laksana hudud di Malaysia?

Isu ini pastinya akan ligat diputarkan semasa pilihanraya kecil Kuala Terangganu nanti. Berbalik pada soalan kenapa isu hudud ini ditimbulkan semula? Jawapannya mudah sahaja hanya mereka yang kurang senang dan tidak bersetuju dengan hudud sahaja yang terdesak untuk membangkitkan isu ini?

Sebelum ini ada pihak tertentu yang cuba lagakan orang Melayu dan cina dengan isu perkauman(siapa yang mulakan...sendiri mahu ingat!) tetapi isu ini gagal untuk mewujudkkan ketegangan kaum. Orang sekarang dah cerdik,hari ini bukan lagi zaman mesin taip dan zaman guna enjin sangkut! Mereka fikir isu seperti 13 Mei, isu kampung Rawa serta operasi lalang 1987 dapat disemarakan sekali lagi pada hari ini. Ternyata telahan dan teori mereka meleset...

Jadi isu hudud dicetuskan semula, isu hudud ini akan berjaya? sama-samalah kita tunggu. Tetapi saya cukup yakin pemimpin politik dan rakyat hari ini cukup matang dan cerdik berpolitik. Mereka dapat beza yang mana kaca dan yang mana permata.

Berbalik pada tajuk...PAS SOKONG HUDUD, UMNO TOLAK HUDUD DAN DAP TENTANG HUDUD...apa pasal yang payah sangat nak faham atau buat-buat tak faham? Baca aje lah buku pelembagaan parti masingt-masing! Buat perbandingan.

Tak faham juga, bacalah buku tulisan ulama tersohor, kalau takut bias baca buku ulama Pas atau ulama Umno bacalah buku karangan seperti Dr Yusof Qardhawi, Abu Ala Al Maududi, Ustaz Said Hawa dan sebagainya. Sama ada orang Pas sokong hudud, Umno tolak hudud dan Dap tentang hudud bacalah ulasan ulama berkenaan.

Cuma sebagai ringkasannya kepada mereka yang tak faham atau buat-buat tak faham tentang isu hudud dan kaitan dengan persoalan akidah. Islam atau lebih jelas lagi aqidah seseorang boleh kekal dan gugur melalui tiga cara:

1.PERBUATAN
2.UCAPAN
3.NIAT

Tak faham lagi? Ok mudahnya...betul ada orang Umno yang tidak pernah sebut dia tolak hudud, main judi dan minum arak. Tetapi apa hukumnya memilih atau pangkah pemimpin dalam pilihanraya yang tolak hudud( Siapa? Janganlah bersikap seperti sudah gaharu bertanya pula...), luluskan lesen judi dan luluskan lesen arak???????Adahkah orang berkenaan ada saham sama?

Saya pinjam kata-kata Nabil Juara Raja Lawak musim lalu....PIKIRLAH SENDIRI.....

30 December 2008

ISU KAPAL SELAM AKAN MENENGGELAMKAN NAJIB?

Di atas kertas Najib sudah boleh menarik nafas lega selaku bakal Presiden Umno dan bakal perdana menteri... ( emmm...yang ke berapa ye?).

Tetapi dalam politik Malaysia macam-macam kemungkinan boleh berlaku. Siapa duga dan jangka sebelum ini DSAI yang dinobatkan bakal pengganti Dr. Mahathir boleh merengkok di penjara Sungai Buloh. Berapa kerat pula yang sebelum ini menaruh harapan DSAI boleh kembali dalam persada politik negara? Malah siapa sangka Rahim Tamby Chik yang diselubungi pelbagai skandal boleh jadi MT Umno dan layak bertanding Naib Presiden Mac depan.

Dalam tempoh sebulan dua ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Lebih-lebih lagi apabila kita bercerita tentang Najib yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai skandal dan kontroversi.

Terbaru, bekas ketua Umno Bahagian Petaling Jaya selatan, Datuk Kapt. (B) Zahar Hashim yang kini bersama Pas bakal mendedahkan dokumen terbaru yang didakwa baru diperolehi dari bekas pegawai tinggi TLDM.Beliau berjanji akan mendedahkan dokumen itu dalam masa terdekat.

Adakah dokumen itu akan mengaitkan Najib dalam isu pembelian kapal selam tersebut? Jika sebelum ini Najib dilihat masih mampu bertahan dan menepis segala dakwaan yang dikemukakan, mungkinkah karier politik Najib akan tenggelam dengan pendedahan terbaru ini?

Sama-samalah kita tunggu dan nantikan pendedahan terbaru ini. Apa yang pasti laluan Najib masih berliku untuk ke Putrajaya....Perbicaraan Altantuya pertengahan Januari depan pasti menjadikan mimpi Najib sebagai bakal orang nombor satu bakal terganggu.

LAGI RAMAI CALON BEBAS LAGI BAGUS UNTUK PAS...

Menurut sumber SPR sehingga hari ini telah lima borang pencalonan pilihnraya kecil Kuala Terangganu telah dibeli. Dua daripadanya ialah dari Pas dan Umno yang sejak awal-awal lagi menyatakan kesediaan untuk bertanding.

Dijangkakan sekurang-kurangnya terdapat tiga calon bebas akan bertanding. Manakala Datuk Zaid Ibrahim juga diura-urakan akan turut bertanding.

Bagi saya semakin ramai calon bebas bertanding (sama ada ditaja atau tidak)peluang Pas untuk menang adalah lebih cerah. Mungkinkah calon bebas yang bertanding adalah mereka ditaja oleh pihak Umno tertentu di dalam Umno Terangganu yang kurang senang dengan pemilihan Wan Farid sebagai calon BN?

Perlu diingat permusuhan serta konflik Umno di Terangganu masih wujud khususnya di antara Ahmad Said dan Idris Jusoh. Di luar nampak manis wajah bila bertemu tetapi siapa tahu di dalam hati dendam masih membara. Ibarat api dalam sekam.

Dalam sejarah Pas, siapa pun yang mewakili Pas akan mendapat sokongan di kalangan ahli dan penyokong. Mereka tetap tidak berganjak untuk memangkah Pas dulu kini dan selamanya walaupun pemimpin bertukar ganti.Tidak wujud undi protes di kalangan pengundi Pas kepada mana-mana calon Pas yang bertanding.Mengundi selain daripada calon Pas bererti mereka telah mengkhinati jemaah. Jika ini berlaku mereka dialu-alukan untuk keluar dari Pas.

Jika anda tidak setuju dengan pandangan saya, buatlah analisis di mana-mana DUN atau Parlimen yang ditandingi oleh Pas, bandingkan jumlah undi yang diperolehi oleh Pas dengan jumlah ahli dan penyokong yang ada.Mereka tetap tidak berganjak mengundi Pas walupun siapa calon bertanding dan apa isu yang berlaku. Apa yang berubah dan menjadi penentu sama ada kalah atau menang ialah pengundi atas pagar dan undi 'protes' dari Umno sendiri.

Apabila semakin ramai calon bebas bermakna undi BN bakal berpecah. Setiap calon bebas sudah pasti ada penyokongnya sendiri. Sama ada penyokong tegar di kalangan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai.Walaupun kemungkinan besar calon bebas akan hilang wang deposit tetapi kehadiran mereka sebenarnya akan menghakis peluang BN dan membuka ruang yang lebih besar kemenangan kepada calon Pas.

Isu calon Pas sama ada anak tempatan atau tidak akan menjejaskan undi dan sokongan kepada Pas di kalangan ahli dan penyokong tetapi ia sebenarnya membawa implikasi dari pengundi atas pagar dan BN sendiri yang berada dalam dilemma untuk mengundi dalam pilihanraya nanti.

TAHNIAH BUAT PEMUDA PAS TETAPI...

Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) hari ini mengadakan demontrasi aman di depan kedutaan Amerika. Menurut sumber malaysiakini seramai 500 orang terlibat dalam demontrasi tersebut.

Tahniah dan syabas kepada Pemuda Pas Pusat kerana menjadi pertubuhan pertama di negara ini yang tampil membantah secara terbuka kekejaman rejim haram Israel lakanatullah.

Walau bagaimanapun masa yang dipilih oleh DPPP bagi saya adalah kurang sesuai memandangkan pada hari ini adalah hari waktu bekerja. Sudah pasti ramai lagi yang ingin turut sama tetapi tidak dapat hadir dalam demontrasi pada hari ini.

Mungkin DPPP boleh memilih waktu cuti seperti semalam yang merupakan cuti umum seluruh negara. Tidak semestinya demontrasi perlu diadakan di kedutaan Amerika untuk menyerah memorandum bantahan, mungkin ia boleh dilakukan di tempat terbuka yang menjadi tumpuan umum di tengah ibu kota untuk menunjukkan kepada dunia dan menyedarkan masyarakat sekeliling agar prihatin tentang nasib saudara seagama. Memorandum kepada kedutaan Amerika boleh diserahkan pada hari ini sebagai kesinambungan demontras jika ia diadakan semalam.

Walau bagaimanapun saya yakin DPPP ada hujah dan justifikasi mengadakan demontrasi pada hari ini di depan kedutaan Amerika.Apa-apa pun sekali lagi syabas dan tahniah kepada DPPP Pusat....

PEWARIS MEMBELA ISLAM DAN MELAYU???

Apa perlu Majlis Permuafatan Ummah ( PEWARIS) berarak dan berhimpun serta cuba mengganggu majlis anti Isa malam tadi di Stadium Bangi? Apa motif mereka sebenarnya? Adakah mereka benar-benar membela Islam atau hanya menjadi alat dan kuda tunggangan pihak tertentu?

Bagi saya tindakan mereka tidak lebih hanya mencari publisiti dan mempunyai agenda tersembunyi kepentingan pihak tertentu. Jika benar mereka membela Islam dan Melayu kenapa mereka menyokong ISA undang-undang zalim dan tidak bertamadun? Mana kitab dalam Islam atau pendapat tokoh mana-mana agama dalam dunia yang menjadi rujukan Pewaris membenarkan menangkap tanpa bicara tanpa dibenarkan membela dan mempertahankan diri? Bukankah Isa undang-undang yang bercanggah dengan ketamadunan manusia?

Mana suara Pewaris apabila nyawa umat Islam Palestin sedang diratah oleh rejim haram zionis? Bukankah membela dan mempertahankan saudara seagama adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam? Kenapa tidak ada sepatah pun kenyataan yang keluar dari Pewaris tentang isu umat Islam Palestin?

28 December 2008

DARAH DAN AIR MATA TERUS MENGALIR DI PALESTIN DI AMBANG HIRAH


Sekali lagi nyawa dan darah umat Islam Palestin menjadi santapan dan hidangan rejim zalim zionis Yahudi laknatullah pada saat-saat umat Islam akan menyambut dan memperingati peristiwa hijrah Nabi SAW.

Hampir 200 menjadi korban semalam dalam konflik di Palestin. Angka korban dijangka meningkat kerana ramai yang menjadi mangsa dan serangan yang berterusan sehingga hari ini.

Tetapi berapa ramai yang peduli dan simpati? Barangkali masing-masing sibuk dengan menghabiskan cuti bersama keluarga pada hujung minggu.Mana nilai dan sensitiviti kita pada saudara seagama?

Sabda Nabi SAW:

Tidak Beriman seorang kamu hingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri. ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Wahai saudara dan sahabatku, ayuh bangunlah buatlah yang termampu untuk saudara kita. renungilah kata-kata As Syahid Syed Ahmad Yassin...seorang ulama buta yang tua tidak berdaya yang hanya mampu bergerak dengan kerusi roda di bumi Palestin...Apakah anda semua terlalu bakhil dan tidak berdaya sekurang-kurangnya untuk mendoakan kesejahteraan dan kemenangan kami di sini.....

SALAM HIJRAH.....

Hijrah kita bukan hijrah naik unta,
mencari tempat selamat untuk menyembah Tuhan.
Tetapi hijrah kita hijrah hati
ubah sikap dan baiki diri...

Bukan tempat jadi halangan untuk besarkan Tuhan,
tapi hati yang belum tertempa untuk jinak
dan bermanja dengan Penciptanya.
Hijrah kita tanpa unta,
tanpa perlu berjalan di tengah panas membara,
tanpa perlu takut dikejar musuh durjana,
tapi... Hijrah dari alam gelap ke alam cahaya.

Alam leka ke alam jaga.
Dari fantasi ke alam realiti.
Inilah kehidupan yang sementara
sebelum kita hadir ke alam hakiki yang kekal abadi.
Hijrahlah kita dari sikap tidak baik
kepada sikap yang baik.
Kerana terlalu banyak sikap tak baik
yang kita masih jaga dengan baik.

Di pejabat...
suami/isteri orang pun kita buat macam suami/isteri sendiri
usik sana usik sini
dah tak rasa berdosa lagi
orang Kedah kata dah "mangli"
Sedangkan malaikat tetap tidak peduli
sentiasa mencatit segala amal diri
yang mulia atau keji...

Suka buang masa pun perlu kita hindari
maklum saja zaman IT
dok chatting tak henti
guna komputer yang majikan bagi
soal amanah dah tolak tepi
dah tak ingat mati bila-bila boleh mari.

Hijrah ibarat berpindah ke rumah baru
Benda tak berguna jangan dibawa sama,
tinggalkan di tong sampah selayaknya.
Hanya yang baik-baik
dan yang berguna saja kita bawa.

Demikian penghijrahan diri yang sepatutnya.
sikap-sikap yang berserabut dan berdebu v buanglah jauh-jauh.
Suka merajuk, suka menunjuk, suka menyibuk,
suka menyampuk, suka mengamuk...
janganlah kita simpan lagi
perangai-perangai ini
macam memelihara barang antik
yang kita perasan cantik dan antik,
tapi orang lain rasa benci dan getik.

Mazmumah itu bagaikan penyakit kanser,
semakin dipendam semakin parah.
Kalau kita masih sayang
dan nak sehidup semati dengannya... apakan daya.

Tahun Baru Hijrah yang menjelma,
sambutlah dengan azam dan semangat baru...
dari yang tak baik berhijrahlah kepada yang baik.
Dari yang sudah baik, kepada yang lebih baik.

Minat mengumpul dan menyimpan sikap 'antik',
eloklah diganti dengan usaha memulihkan penyakit,
sebelum hijrah kita yang terakhir...
dari dunia yang fana' ini
ke Alam Baqa yang kekal abadi.
Waktu itu tiada "U-turn" untuk kita lagi!

MUHASABAH DIRI SEMPENA MAAL HIJRAH 1430

'Muhasabah' bermaksud : Perbuatan menilai diri sendiri. Perbuatan ini amat dituntut dan digalakkan supaya di lakukan oleh setiap individu atau kumpulan atau pertubuhan dan malahan termasuk juga pemimpin. Melalui muhasabah kita dapat membuat sesuatu tindakan yang lebih baik bagi menghadapi masa hadapan. Saidina Umar r.a. pernah berpesan : " Hisablah sebelum kamu dihisabkan".

Tujuan utama perbuatan muhasabah ialah bagi mengetahui kekuatan, ancaman, peluang dan yang lebih penting ialah mengenal pasti kelemahan yang wujud, pada masa yang sama mengambil tindakan untuk memperbaikinya. Dalam maksud yang lebih luas kita diajak menoleh ke belakang untuk melihat, adakah setiap perkara yang di lakukan telah mengikut panduan yang di tetapkan oleh Allah s.w.t. dan mengikuti segala amalan yang telah di laksanakan oleh Rasulullah s.a.w.?.

Persoalannya ialah apakah yang kita akan 'muhasabahkan'?.Esok kita akan masuk tahun baru hijrah 1430, kesempatan ini marilah sama-sama kita bermuhasabah supaya menyemak kembali satu persoalan yang sangat asas, iaitu mengenai apakah ertinya kita menganut agama Islam? Ketika menjawab persoalan ini, ia akan merentasi soal aqidah, ibadat, akhlak, keluarga, perjuangan, perpaduan, wawasan, perancangan, strategi serta beberapa perkara lain. Muhasabah menjadi penting kerana ia akan menyentuh kepentingan daya tahan umat Islam, bukan seperti yang berlaku sekarang ini, di mana Islam dan umatnya sering dicemuh, diperbodoh, di beri gelaran yang menghinakan, malahan dipermainkan kesuciannya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, atau oleh pihak yang sengaja ingin menunjukkan kekuatan, keangkuhan dan kesombongan mereka.

Agama Islam dan Ummat Islam sendiri dituduh dengan bermacam-macam dan berbagai fitnah.Semua yang buruk dan semua yang tidak baik dihalakan kepada Islam dan penganutnya.Malah ketua paderi Kristian sendiri Pope benedict ke 16 secara berani membuat tuduhan buruk kepada Islam khususnya dan menghina, mencela Rasulullah saw.Sememangnya musuh Islam sentiasa berusaha mencari jalan dan ruang bagi memburukkan Islam,mereka mengerah fikiran dan sentiasa berusaha merosakkan Islam.Allah swt telah menjelaskan permusuhan golongan terhadap Islam ini dalam Al-Quran :

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah Itulah petunjuk (yang benar)". dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. ( al-baqarah : 120 )

Muhasabah mengajak kita menggunakan masa dan peluang yang ada bagi menilai kembali peranan, tugas dan tanggungjawab mengikut apa yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya. Apakah kita telah menjadi pembela Islam atau turut sama manghina dan mencela seperti orang kafir melakukannya?.

Mungkinkah kita turut menjadi ragu dan keliru terhadap Islam seperti orang-orang kafir, yang memang berusaha sepanjang masa untuk menyesat, melonggar, serta melunturkan keyakinan dan aqidah umat Islam?. Apakah kita juga turut sama merancang dan melaksana pelbagai aktiviti yang nyata bercanggah dengan kehendak syariat, walaupun dalam masa yang sama kita juga melaksanakan aktiviti yang memang selaras dengan tuntutan syariat Islam?.

Kita dapati ramai di antara umat Islam yang terlibat dengan gejala sosial, penagihan dadah, dijangkiti HIV, sumbang mahram, rogol, bunuh anak, menggugurkan kandungan, buang anak, merompak, rasuah, menipu, hiburan melampau,menyeleweng dan lain-lain kemungkaran. Jika ini yang di lakukan, bagaimana Islam akan dapat diteladani oleh masyarakat bukan Islam?, bukankah ini yang di katakan Jahiliah moden?, kerana suasana seumpama inilah yang telah di tempuhi oleh Rasulullah s.a.w. di zaman awal kenabiannya.

"Kefasadan " yang berlaku ini bukan setakat memalukan, tetapi lebih buruk daripada itu ialah umat Islam akan hilang maruah dan jati diri serta tidak mampu berdikari. Jika perkara ini berterusan, sudah tentu umat Islam hilang daya tahan, daya saing serta akan terpinggir dan merempat di negara sendiri.

Menyedari hakikat ini adakah wajar umat Islam yang serba lemah di semua bidang masih mahu berterusan untuk berpecah belah, tuduh-menuduh, mencerca dan berburuk sangka sesama sendiri?. Di manakah hilangnya rasa ukhwah dan kasih sayang yang menjadi tunggak kepada amalan masyarakat Islam?.

Bagaimana mungkin untuk kita menjadi manusia mulia, insan rabbani, berbudi pekerti terpuji, berhemah tinggi, jika dalam hati dan sanubari diri, masih tertanam kukuh berbagai sifat keji, yang di laknati dan tidak di redhai oleh Allah s.w.t.? Bagaimana mungkin kita mampu menjadi umat Islam yang cemerlang dan gemilang jika iman kita,keyakinan kita terhadap islam tidak jelas.Kita sendiri tidak yakin dengan hukum Islam,kita sendiri tidak yakin dengan ajaran Islam.Kita sendiri tidak percaya dengan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.Bagaimana mungkin kita mampu menjadi umat yang maju jika masih wujud pelbagai sifat malas, tiada yakin diri, kurang motivasi, mudah berpuashati serta selesa dengan apa yang ada?.

Bagaimana mungkin kita akan maju di bidang ekonomi, jika tidak berani menghadapi risiko untuk rugi?. Atau bagaimana kita boleh maju di bidang sains dan teknologi, jika kita tidak melakukan penyelidikan dan kajian yang terkini?.

Sesungguhnya tugas umat Islam kini amat besar dan mencabar. Kita mesti menyediakan sebuah generasi yang kuat, bagi mewarisi tugas menyampaikan wahyu Ilahi. Mereka mesti mampu melaksanakannya walaupun akan menghadapi pelbagai ujian. Jika kita tidak melakukan tugas mulia ini, bersedialah kita untuk dipersoalkan nanti, kerana membiarkan generasi umat yang akan datang hidup dalam keadaan serba lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran. Tidakkah kita merasa berdosa kerana membiarkan mereka sebagai zuriat 'Zurriyatan Dhu'afa'(anak-anak yang daif), mengharungi masa depan tanpa bekalan dan kekuatan?.

Demi rasa mahabah dan tanggungjawab yang tinggi ke arah memastikan umat Islam sentiasa mulia dan dihormati, kita mesti berupaya merancang masa depan dan memberi bimbingan ke arah menentu 'survival' umat. Sesungguhnya terlalu banyak persoalan yang perlu di atasi. Ingatlah, jika kita tidak merancang untuk membangunkan umat Islam, maka orang kafir memang akan merancang, tetapi sudah pasti perancangan mereka bukan untuk memajukan kita, tetapi sebaliknya akan menjahanamkan kita.

Oleh yang demikian, wahai para pemimpin yang berjiwa besar, para cendikiawan yang bergelar pakar, para ulama' yang mu'tabar, ahli-ahli politik yang bestari, para pendakwah yang penyabar, para usahawan yang pintar, para perancang yang cekal dan semua pihak yang cerdik akal, ayuh kita bersatu tenaga, menentu hala, melakar rencana, menyedia Wahana, untuk membina kembali martabat umat dan bangsa, memacu negara ke mercu jaya, ke arah yang di redhai oleh Allah s.w.t.

Muhasabah menjadi penting dan amat bermakna untuk di lakukan oleh semua. Masih belum terlewat bagi umat Islam hari ini untuk melupakan segala perbezaan pendapat, perbezaan bangsa dan warna kulit, perbezaan fahaman politik dan apa jua sengketa yang telah melanda, sebaliknya marilah kita bergerak bersama menyusun langkah dan arah, bersatu tenaga dan minda bagi membina umat negara dan agama. Marilah kita bertekad untuk menobatkan negara di persada dunia dalam suasana yang di redhai oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya. Marilah kita menjadi umat yang disegani, dihormati, dicontohi serta diikuti.

Sesungguhnya umat Islam hari ini tidak mempunyai pilihan selain daripada bersatu tenaga, bersatu fikrah, bersatu tujuan, bersatu perasaan, bersatu harapan, bersatu wawasan dan bersatu keyakinan, iaitu demi kegemilangan masa hadapan yang hanya akan terjamin selamat, dengan amalan dan penghayatan syariat Islam sepenuhnya. Marilah kita sentiasa 'bermusyawarah' dan 'bermuhasabah' demi kemajuan umat. Marilah kita jadikan hari ini lebih baik daripada semalam, supaya kita termasuk sebagai golongan orang-orang yang berjaya.

27 December 2008

KALI NI SAYA SOKONG ALI RUSTAM....


Kali ini saya sokong Ali Rustam, bukan sebagai calon timbalan presiden dan bukan juga sebab beri anugerah datuk ke Shah Rukh Khan tetapi kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua menteri Melaka.

Seorang penghidap jantung berlubang di negeri Melaka, Norhasimah Samoan, 20 tahun selamat menjalani pembedahan jantung berlubang kali ke 2 di IJN baru-baru ini. Penderitaan Samoan yang didedahkan media sebelum ini mendapat perhatian kerajaan negeri apabila membiayai semua kos pembedahan yang berjumlah RM 45 ribu. Manakala Majlis Agama Islam Melaka menyumbang RM 1000 untuk kos pergi balik Melaka ke Kuala Lumpur dan kos perbelanjaan di hospital selama seminggu.

Saya mengharapkan Ali Rustam akan lebih prihatin dan membantu golongan yang tidak berkemampuan yang memerlukan perhatian kerajaan negeri.

Apa yang baik saya sokong tetapi kalau sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan, melakukan pembaziran wang rakyat dan bertentangan dengan soal moral, akhlak dan akidah....Tak ada kompromi!

ALI RUSTAM TIMBALAN PRESIDEN, RAHIM TAMBY CHIK NAIB PRESIDEN?


Cuba anda bayangkan apa akan berlaku jika Ali Rustam dan Rahim Tamby Chik kedua-duanya dari Melaka menang jawatan terkanan dalam Umno. Ali Rustam sebagai timbalan presiden Umno dan Rahim Tamby Chik jadi naib.

Sesuatu yang mungkin tidak pernah terfikir di kalangan pemimpin dan penganalisis politik sebelum ini. Tetapi kini ia tidak mustahil akan berlaku. Terkini Rahim Tamby Chik layak bertanding sebagai naib presiden apabila mendapat kuota 20 pencalonan yang diperlukan.

Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Siapa duga dan jangka Ali Rustam bakal jadi timbalan perdana menteri Malaysia dan Rahim Tamby Chik jadi menteri penuh dalam kabinet Najib nanti.

Apa-apa pun sama-samalah kita tunggu sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak. Tapi jauh di sudut hati saya harap ia tidak menjadi kenyataan...harap-harap perwakilan Umno pilih orang lainlah....