29 January 2009

TARIK TALI ISU LETAK JAWATAN BUKTI UMNO TERUK BERGOLAK



Isu perletakan jawatan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak semakin memeningkan. Kejap kata letak jawatan tiba-tiba tak semena-mena orang empunya diri menafikannya. Tetapi tak sungguh tak melata…Tak kan akhbar utama sanggup letak berita muka depan kalau maklumat tu tak sahih. Kalau betul hanya sekadar khabar angin akhbar terus letak muka depan memang layak pun akhbar tu hanya layak dijadikan alas tempat duduk masa ceramah atau alas untuk jemur ikan masin!


Jika betul tidak letak jawatan apa perlu Majlis Tertinggi Umno bincangkan itu sebagai salah satu agenda malam ini? Dalam satu kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Umno masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pengganti Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak.


Bagaimanapun Najib berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis Tertinggi Umno yang akan diadakan malam ini.


"Belum ada apa-apa keputusan lagi...beliau hanya gambarkan hasratnya (letak jawatan)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Jika Tajol Rosli benar-benar tidak meletak jawatan atau menarik balik niat untuk letak jawatan, siapa yang sebenarnya yang beria-ia mahukan beliau meletakkan jawatan? Adakah Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya Pas perak yang minta beliau letak jawatan atau MB Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin yang desak beliau letak jawatan? Mungkinkah juga Pengerusi DAP Perak Dato' Ngeh Koo Ham yang paksa Tajol Rosli yang letak jawatan?


Semua ini menjadi persoalan bahawa Umno Perak kini sedang menghadapi pergolakan yang parah. Dalam keadaan begini saya yakin akan ada berita lagi Adun Umno menyertai pakatan Rakyat.

ADAKAH NAJIB AKAN LETAK JAWATAN JUGA?


Tindakan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak adalah tepat. Ini membuktikan sikap dan rasa bertanggungjawab kerana merasakan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab beliau.

langkah ini dipercayai berkait rapat dengan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim, keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagi saya beliau sepatutnya meletak jawatan itu lebih awal lagi apabila Umno dimalukan dalam pilihanraya umum lalu apabila Perak berjaya dikuasai oleh Pakatan Rakyat.Walau bagaimanapun tindakan beliau menunjukkan sikap bertanggungjawab untuk memulihkan keyakinan rakyat dan meredakan sedikit pergolakan yang sedang melanda Umno Perak.

Kita menunggu adakah ada lagi pemimpin Umno akan mengambil sikap yang serupa dilakukan oleh Tajol Rosli? Bagaimana dengan Khir Toyo? Sebelum ini acah nak letak jawatan tetapi tak lama lepas itu ubah pendirian dengan alasan sokongan daripada 'akar umbi' atau 'ubi kayu' yang mahukan beliau kekal dengan jawatannya sekarang.

Begitu juga dengan Najib, tak rasa apa-apa ke apabila BN khususnya Umno dimalukan di Permatang Pauh dan Kuala Terangganu serta pergolakan yang berlaku dalam Umno sekarang?

Adakah Najib akan meletak jawatan jika ada wakil rakyat di peringkat parlimen yang mewakili BN dan Umno menyertai Pakatan Rakyat?

Jika Pak Lah yang meletak jawatan saya rasa tak membawa apa-apa makna kerana Pak Lah memang akan meletak jawatan dengan 'rela hati' pada Mac nanti sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

Dalam hal ini, Najiblah yang sepatutnya menanggungnya dengan memikul segala tanggungjawab kerana beliau yang kelihatan begitu berkuasa pada ketika ini walaupun belum secara rasmi ditabal sebagai presiden umno dan perdana menteri.

Tetapi kepada semua saya rasa eloklah lupakan andaian atau mimpi Najib akan letak jawatan secara sukarela. Lihatlah betapa 'selamba' je Najib berhadapan dengan kontroversi yang berlaku atas dirinya. Tidak ada sebab Najib akan letak jawatan kecuali beliau sudah tidak ada pilihan lain apabila semakin ramai orang berbondong-bondong meninggalkan BN dan Umno!

28 January 2009

PECATLAH RAMAI LAGI SUPAYA ORANG SEMAKIN BENCI DENGAN UMNO!


Imam Ramlag Porigi yang didakwa menjadi saksi sumpah laknat Saiful Bukhari Azlan mangsa yang mendakwa diliwat begitu sadis akhirnya dipecat.


Ramlang Porigi, yang ditukar serta-merta ke JAKIM September lalu selepas berucap dalam satu kempen ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh, mendapat surat pemecatan itu minggu lalu. Dalam surat tersebut yang bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu dipecat kerana "mencemarkan nama perkhidmatan awam" selepas terlibat dalam kempen Anwar pada 24 Ogos lalu.


Tindakan memecat Ramlag walaupun dilakukan oleh Jakim tapi umum mengetahui ia didalangi oleh pemimpin Umno. Saya buat tuduhan liar? Orang yang beranggapan begitu ibarat sudah gaharu bertanya pula...Dah tahu buat-buat tanya pula...


Saya yakin Ramlag akan mendapat pembelaan dari Pakatan Rakyat. Tindakan memecat Ramlag sebenarnya akan menambah kebencian kepada Umno yang kini sedang menghitung hari-hari akhirnya. Tindakan memecat ini sebenarnya akan memberi kelebihan dan kemenangan moral pada Pakatan Rakyat khususnya Dato Seri Anwar Ibrahim bahawa tuduhan liwat ke 2 adalah konspirasi yang tidak terancang dan caca marba.


SUMPAH vs IKRAR POLITIK

Bila sebut bab ikrar ni, teringat masa sekolah dulu setiap kali perhimpunan hari Isnin ada majlis baca ikrar yang diketuai oleh ketua pengawas. Masing-masing begitu bersemangat melafazkan ikrar. Ikrar dalam erti kata lain kita berjanji untuk taat dan patuh kepada apa yang diucapkan.

Tetapi selang beberapa minit lepas baca ikrar, pelajar di dataran perhimpunan mula buat onar. Ada yang usik kawan dan mula buat bising. Itu baru lepas baca ikrar. Walaupun guru bertugas atau guru disiplin terjerit-jerit di depan perhimpunan ada yang buat dek aje...Lepas perhimpunan dan sepanjang sesi persekolahan macam-macam lagi peraturan sekolah yang dilanggar. Pada hal baru je berikrar pada sebelah pagi.

Bagi saya sama lah seperti ikrar yang dilafazkan oleh Adun Umno Perak dalam pertemuan dengan Najib semalam. Hanya sebagai formaliti yang tidak menjamin apa-apa.Sekadar mengikut arahan yang dikeluarkan.

Jika 'Sumpah Keramat' pun dipermainkan, inikan pula sekadar baca ikrar! Begitu juga sebelum ini mudah-mudah je orang bersumpah mengalahkan sifat sesumpah!

Terbukti ikrar dilafazkan semalam tidak membawa apa-apa makna.Hari ini wujud angin yang semakin bertiup kencang bahawa ada lagi Adun Umno dari Perak yang akan menyertai Pakatan Rakyat kerana perasaan tidak puas hati dengan pergolakan yang sedang berlaku dalam umno sekarang.

Terkini wakil rakyat Lintang pula Datuk Ahmad Fakeh Adam sedang menimbang untuk meninggalkan Umno "beberapa hari lagi"."Ketika ini 50-50. (Niat) nak kekal (dalam Umno) dengan masuk pembangkang sama banyak."Orang PAS, PKR dan DAP hari-hari telefon dan hantar SMS. Yang dah datang jumpa pun ada, yang nak jumpa pun ada lagi," katanya kepada satu kenyataan hari ini.Beliau bagaimanapun belum memutuskan parti pembangkang yang bakal disertainya jika meninggalkan BN.

Kita tunggu apakah selepas ini ada lagi majlis ikrar atau upacara bersumpah. Rasanya mungkin ada tapi sekadar nak menyedapkan hati sahaja. Tapi dalam hati cukup berdebar-debar bila menyaksikan perkembangan yang berlaku. Adakah ini semua petanda-petanda awal bahawa Najib tidak sempat menjadi perdana menteri?

27 January 2009

PEWARIS NASIHATKAN SAMY VELLU JANGAN KASI ORANG INDIA DEMONTRASI?!?

Macam biasa je dengar nama Pewaris ni. Kat Mana ye? Emmm...Baru ingat.... Pewaris (Majlis Pemuafakatan Ummah) yang melakukan beberapa siri demontrasi di antaranya suruh kekalkan kuasa Melayu, pertahankan DEB dan minta kerajaan kekalkan ISA. Terkini Pewaris dilihat begitu bersemangat dalam berdemontrasi dalam isu babi di Melaka.

Ada jugalah dengar nama Pewaris dalam isu Palestin, itu saya sokong 100%.

Tetapi kenapa menarik sangat dengan Pewaris?Malah ada kawan-kawan komen apa pasal macam marah kat Pewaris? Tak marah tapi kadang-kadang agak loya dengan sikap yang ditunjukkan oleh Pewaris.

Hari ini Pewaris dalam satu kenyataan meminta agar Presiden MIC, Datuk Samy Vellu nasihat kat orang India supaya jangan demontrasi dan jangan mainkan isu perkauman dalam kematian dan pengekebumian A.Kugan esok.

Timbalan Pengerusi II Pewaris, Rahimuddin Md Harun berkata, ini perlu bagi membuktikan bahawa Samy Vellu serta dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah dan Datuk K. Devamany, merupakan pemimpin yang peka dengan sensitiviti perkauman di negara ini.

“Mereka perlu membuat pengisytiharan itu kepada masyarakat India agar tidak berkumpul beramai-ramai atau berarak sehingga menimbulkan huru-hara pada majlis pengebumian mendiang esok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini

Pewaris nak nasihatkan orang lain tak berdemontrasi dan jangan mainkan isu perkauman??? Soalan saya siapa yang bermain dengan api perkauman? Siapa yang berdemontrasi dalam isu babi yang sengaja mengapi-apikan orang Melayu agar seperti membenci dan memusuhi orang Cina?Saya tak kata demontrasi tak boleh, tapi dalam bab isu perkauman dan nasihatkan orang lain Pewaris kena tengok diri sendiri dulu.

PAS MELAKA OK,CUMA TAK MENANG JE LAGI

Saya tertarik dengan tulisan rakan-rakan tentang Pas Melaka. Menurut mereka Pas Melaka perlu melakukan perubahan kalau hendak mencapai kejayaan.

Bagi saya Pas Melaka tidak jauh ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain yang telah berjaya menghantar wakil ke DUN dan Dewan Rakyat. Tidak adanya wakil di sidang Dun dan Dewan Rakyat menyebabkan Melaka kini mendapat jolokan sebagai kubu umno yang paling kuat dalam dunia yang sebelum ini disandang oleh Johor dan Negeri Sembilan. Sehingga ada lawak dari kawan-kawan, kalau Umno letak tunggul kayu bertanding di Melaka pun boleh menang!

Sebenarnya dalam beberapa aspek, Pas Melaka agak mendahului negeri-negeri lain.Program tarbiyyah juga agak mantap. Misalnya usrah Pas kawasan di tempat saya berjalan dengan baik sekali mengikut jadual. Setiap hujung minggu apabila saya hadir bersama keluarga ke kuliah dhuha mingguan yang diadakan oleh Ustaz Zulkifli , Ketua Dewan Ulama Pas Melaka di Baitul Qura kehadiran ahli dan penyokong Pas begitu menggalakkan terutama golongan muda dan profesional.Begitu juga dengan aktiviti pemuda yang banyak melibatkan program kemasyarakatan dan menjadi pelopor dalam isu kemasyarakatan dan isu semasa. Misalnya isu babi di Paya Mengkuang dan isu Palestin. Malah dalam beberapa aspek lebih baik berbanding dengan negeri-negeri lain. Misalnya aktiviti pengedaran risalah dan misi dakwah pada malam ambang kemerdekaan. Begitu juga dengan aktiviti riadah untuk golongan muda seperti kejohanan bowling yang diadakan baru-baru ini.

Persoalannya kenapa Pas Melaka tak menang atau payah nak menang dalam pilihanraya? Apa yang saya perhatikan Pas Melaka memiliki gabungan yang mantap adunan di antara golongan profesional dan orang lama atau veteran dalam Pas. Cuma apa yang saya perhatikan gerak kerja Pas Melaka masih lagi kurang berfokus. Strategi taktikal dan ilmu pilihanraya masih lagi jauh ketinggalan. Misalnya penculaan dan latihan kepada petugas pilihanraya sudah ketinggalan zaman. Pas Melaka masih terumbang-ambing dalam gerak kerja pilihanraya yang sistematik.

Di samping itu apa yang saya perhatikan kepimpinan Pas Melaka segelintir daripada mereka masih berada dalam zon selesa dan masih mengekalkan gaya kepimpinan 1980-1990-an yang tidak sesuai dengan senario masyarakat sekarang. Untuk membuat perubahan besar Pas Melaka perlu berani membuat perubahan. Perubahan sikap, perubahan organisasi, perubahan strategi dan perubahan dari segi cara dan gaya berfikir. Wallaualam.


 

26 January 2009

ALI RUSTAM DAH KERING MODAL


Dalam sibuk-sibuk berita orang Umno masuk ke Pakatan Rakyat , Ali Rustam menggunakan pendekatan yang berbeza untuk menonjolkan pengaruh dan popularitinya.

Ali Rustam masih menggunakan pendekatan 'tradisional' untuk menonjolkan imej menjelang pemilihan jawatan timbalan presiden umno yang ditandinginya.

Masih ingat 'zaman dulu-dulu' media pro Umno akan menyiarkan berita hampir setiap hari berita pemimpin dan ahli Pas masuk Umno terutama menjelang pilihanraya sama ada umum atau kecil. Beratus-ratus kadang kala beribu-ribu angka yang dikemukakan. Tetapi strategi itu tidak digunakan lagi sekarang. Malah satu yang 'ajaib' dalam sibuk-sibuk orang semakin menolak Umno ada orang yang masih sudi dan teringin masuk Umno.

Hari ini Utusan Online melaporkan ketua dan 40 ahli cawangan Pas Kampung Musai di Melaka telah menyertai Umno dan borang permohonan keahlian telah diserahkan pada Ali Rustam.

Ali Rustam mungkin boleh temberang orang yang tinggal di luar Melaka, tetapi tidak orang Melaka seperti saya. Malah Kampung Musai adalah 'port' saya minum setiap pagi kalau tak out station. Mana ada cawangan Pas kat Kampung Musai???? Kalau ada cawangan dan ahli Pas kat situ, itu adalah ahli hantu! Saya cabar Ali Rustam atau mana-mana pihak untuk mengesahkan di Pejabat Agong Pas di Jalan Raja Laut wujud atau tidak cawangan Pas Kampung Musai.

Kepada Ali Rustam saya nasihatkan gunakanlah taktik lain untuk pancing undi dan bina pengaruh. Buat malu kat orang Melaka je...

GILIRAN ARIF SHAH OMAR PULA SERTAI PKR?


Dato Seri Najib, TPM menafikan akan berlaku lagi wakil rakyat BN yang akan melompat ke PKR atau mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.

Kemasukan Datuk Nashrudin Hashim Adun Bota ke PKR disifatkan oleh Najib sebagai sesuatu yang tidak diduga. Kalau tak diduga ringkas kata tak pernah terfikir langsung akan berlaku. Jika yang tak terduga dan terfikir sudah pun berlaku bagaimana pula sesuatu yang telah diduga?

Khabar dari Utara melaporkan bahawa Adun Bayan Baru, Datuk Arif Shah Omar sedang mempertimbangkan secara serius dengan tawaran yang dikemukan oleh PKR. Semalam dalam satu wawancara beliau menyatakan kekesalan yang amat sangat apabila dipencilkan oleh Umno Permatang Pauh walaupun telah 20 tahun berkhidmat di bahagian berkenaan.

Jika ini berlaku, BN bukan sekadar seperti sudah jatuh ditimpa tangga tetapi turut dihempap pasu bunga! Saya tetap optimis dan yakin banyak lagi berita yang tidak diduga akan diterima oleh Umno menjelang perhimpunan agung mereka Mac ini.

TAJOL ROSLI KENA BUKTIKAN PKR MERASUAH ADUN BOTA!

Dalam sidang akhbar malam tadi di kediaman Tan Sri Tajol Rosli Ghazali , beliau mendakwa bahawa adun Bota telah dirasuah oleh PKR. Saya kira tuduhan yang perlu beliau laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seberapa segera. Jika tiada laporan dan bukti dikemukakan, Tajol Rosli bermakna telah melemparkan fitnah dan membuat tuduhan jahat tanpa bukti. Beliau kena kemukan bukti bila dan berapa jumlah sogokan yang diterima oleh Adun Bota itu.

Jika tidak Tajol Rosli hanya pandai baling batu sembunyi tangan dan tidak layak menjadi ketua pembangkang di Perak. Ini akan menyebabkan imej BN khususnya Umno akan semakin buruk di mata masyarakat. Sebelum ini beliau begitu angkuh dan sombong bahawa kerajaan PR Perak akan tumbang sebelum 31 Ogos tahun lepas. Tetapi apa yang berlaku sekarang? Beliau terpaksa menelan kembali kata-kata yang pernah dilontarkan. Dijangkakan kemasukan Nasarudin ke dalam PKR akan merintis jalan penghijrahan lebih ramai adun dan ahli parlimen BN ke dalam PR.Jadi tidak hairanlah kenapa Najib cukup bimbang dengan perkembangan terkini yang berlaku.

25 January 2009

OBAMA AKAN TERUS MEMUSUHI UMAT ISLAM?

Osama Bin Laden dilabel musuh nombor satu Amerika oleh presiden Amerika ketika itu Geogre W.Bush selepas tragedi rempuhan pesawat yang meranapkan World Trade Centre. Serangan ke atas Afganistan dilancarkan untuk memusnahkan kekuatan dan rangkaian Al Qaeda yang didakwa menjadikan negara itu sebagai pengkalan.

Sehingga hari ini bayang-bayang Osama pun masih belum ditemui menyebabkan Amerika dan sekutunya sentiasa hidup dalam ketakutan.

Barack Obama yang baru menjadi presiden Amerika dilihat tidak akan membawa apa-apa perubahan drastik berkaitan isu Osama. Malah sebelum mengangkat sumpah sebagai presiden mengistiharkan Osama kekal sebagai musuh utama Amerika.

Ini semua membayangkan gerakan ketenteraan yang dilabel sebagai memburu pengganas akan terus menjadi dasar Obama.

Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh Obama untuk memulihkan imej Amerika di peringkat antarabangsa. Penutupan kem Guatanamao Bay sebelum penghujung tahun ini seperti yang diumumkan tidak lebih daripada tindakan populis untuk meraih publisiti dan sokongan.

Malah sikap Obama tidak banyak bezanya dengan presiden Amerika sebelum ini terutama dalam isu Palestin. Adakah Obama mengecam tindakan regim zionis yang telah membunuh lebih 1300 rakyat Palestin? Obama berterusan menyatakan sokongan padunya bahawa Amerika akan terus membantu dan menjadi sekutu rapat Israel.

Gesaan Obama kepada Raja Abdullah, pemerintah Arab Saudi agar membantu menyekat penyeludupan senjata ke Palestin merupakan satu tindakan yang berat sebelah. Rakyat Palestin hanya ingin mempertahankan diri dan hak kedaulatan mereka! Kenapa Israel tidak dikecam dan diminta untuk melakukan perkara yang sama? Adakah Obama berani meminta Ehud Olmert presiden pengganas Israel untuk melucutkan senjata nuklear yang dipercayai memiliki simpanan nuklear di antara yang terbesar di dunia.

Kepada semua Negara yang majoriti umat Islam diminta bersatu dan mengenepikan segala perbezaan ideologi politik dalam isu Palestin. Hanya umat Islam yang mampu menyelamatkan nasib saudara seagama. Tindakan bergantung harap kepada Amerika dan PBB membuktikan sikap umat Islam yang terus rela dipermainkan oleh mereka yang memusuhi Islam.