06 February 2009

SIAPA PENDERHAKA? SIAPA PENGKHIANAT?

MAKSUD DERHAKA MENGIKUT KAMUS ORANG UMNO IALAH APABILA SESEORANG ITU MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PELEMBAGAAN. BAGI MEREKA YANG MELANGGAR UNDANG-UNDANG, MENGKHIANATI RAKYAT DAN MELAKUKAN RASUAH DAN PENYELEWENGAN SERTA TERLIBAT DENGAN SKANDAL ITULAH RAKYAT YANG SETIA DAN PATUH PADA RAJA.

TETAPI.......


KENAPA RAKYAT MARAH SEHINGGA ORANG YANG DIKATAKAN SETIA KEPADA RAJA MENERIMA ANUGERAH INI? FIKIR-FIKIRKANLAH....













POLIS MULA BERTINDAK GANAS

polis mula bertindak ganas dengan melepaskan gas pemedih mata dan menangkap peserta himpunan aman di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar membantah tindakan Umno menggunakan taktik keji dan kotor untuk merampas dan menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat Di Perak.

Sememangnya ini sudah dijangka lebih awal lagi tindakan Umno yang berselindung di sebalik kuasa polis dan semua jentera kerajaan untuk menghalalkan tindakan mereka. Ini semua dilakukan untuk mewujudkan suasana huru hara dan kemudian menunding jari kepada PR.

Ternyata inilah yang dimahukan oleh mereka untuk menutup kepincangan, krisis dan konflik yang berlaku kepada Umno dan dalam negara. Tetapi yakinlah kebenaran tetap kebenaran. Kebatilan akan hancur dan binasa.

Katakanlah kebenaran telah datang dan kebatilan telah lenyap. Sesungguhnya sesuatu yang batil itu pasti akan lenyap. Surah Al Israq : 81

Kepada mereka yang membuat kezaliman ingatlah doa orang yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT.

UMNO AKAN DIMALUKAN KERANA KEGELOJOHAN SENDIRI

Jam tiga petang ini, Majlis angkat sumpah 'menteri besar' baru Perak akan diadakan. Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Perak awal-awal lagi menyatakan akan memboikot majlis tersebut. Satu tindakan yang tepat berdasarkan Pelembagaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Apa perlu mereka hadir jika majlis yang diadakan tidak mengikut pelembagaan. PR Perak hanya menunggu majlis angkat sumpah itu diadakan untuk selepas ini mencabar dan memfailkan injuksi perintah mahkamah untuk mengesahkan bahawa apa yang dipertahankan oleh MB Perak Dato Seri Nizar Jamaludin adalah tidak bertentangan dengan prinsip perundangan. ( Sila rujuk posting saya sebelum ini untuk mengetahui prosedur pelantikan MB Perak mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak).

Prosedur melantik MB Perak adalah berbeza dengan untuk meminta MB sedia ada melepaskan jawatan.

Umno hanya memainkan isu 'derhaka' kepada Nizar dan PR tetapi mereka tidak mampu berhujah dari sudut perundangan. Saya cukup yakin isu 'derhaka' ini akan dimainkan oleh media dan Umno untuk menutup tindakan tidak bermaruah dan ala samseng mereka untuk merampas kerajaan PR yang diberi mandat oleh rakyat.

Tengku Razaleigh sendiri menyifatkan tindakan Umno sesuatu yang memalukan kerana menggunakan pendekatan yang bakal merugikan Umno sendiri apabila kes ini akan dibawa ke mahkamah.

Tun Dr Mahatihir sendiri menyifatkan tindakan Umno menyebabkan imej Umno semakin merudum di kalangan rakyat. Lebih-lebih lagi menerima mereka yang terlibat dengan tuduhan rasuah dan skandal seks ke dalam Umno.

Apa yang lebih memalukan tindakan Umno juga tidak dipersetujui oleh parti komponen mereka sendiri seperti MCA dan MIC. Ada kita dengar kenyataan pemimpin MCA dan MIC menyokong Umno dalam isu di Perak?

Apa yang dilakukan oleh Umno ibarat hanya menang sorak, untung secupak bakal rugi seguni.

Dalam isu ini, PR perlu berhati-hati dan sentiasa bersikap matang dan rasional. Saya cukup yakin ada pihak sengaja ingin mencetuskan suasana gawat dan huru-hara di Perak dan negeri-negeri lain di bawah PR. Appabila wujud huru-hara mereka pasti akan menunding jari dan meletakkan apa yang berlaku kepada PR.

Dalam keadaan sekarang Umno cukup gerun untuk berhadapan dengan pilihanraya sama ada pilihanraya kecil atau umum kerana mereka sudah dapat menduga apa yang bakal berlaku. Umno hanya boleh menang dan berkuasa dengan pintu belakang tanpa mengikut lunas-lunas perundangan dan pelembagaan negara.

Semua pihak dalam PR di semua peringkat terutama jentera pilihanraya perlu bersiap sedia tentang kemungkinan besar pilihanraya kecil di Perak atau umum diadakan. PR tidak perlu melayan setiap provokasi dan helah Umno sebaliknya perlu fokus untuk memantapkan PR dalam setiap aspek untuk mendapat kepercayaan dan mandat dari rakyat.

05 February 2009

KRISIS POLITIK DI PERAK BAKAL BERLARUTAN

Menurut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, terdapat tiga cara untuk menukar kerajaan.

Pertama, melalui pembubaran Dun. Menteri Besar Perak menasihati Paduka Seri Sultan Perak supaya membubarkan Dun bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan dan memberi mandat rakyat memilih kerajaan yang baru.

Kedua Menteri Besar Perak dan semua Exco meletakan jawatan dan menyerahkan jawatan kepada parti yang mendapat kerusi majoriti memerintah Perak.

Ketiga melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Sekirnya pilihan pertama dan kedua tidak berlaku, rakyat kena menunggu sidang Dewan Undangan Negeri dipanggil bagi membolehkan Usul Undi tidak percaya dibentangkan.

Justeru, selagi Sidang Dun belum bersidang dan Usul Undi Tidak Percaya dibentangkan dan mendapat undi majoriti, selagi itulah Kerajaan Pakatan Rakyat kekal memerintah.

Dalam erti kata lain kerajaan PR masih kekal di Perak. Ternyata taktik kotor dan jijik yang digunakan bertujuan untuk menghuru-harakan keadaan di Perak masih buntu. Sekaligus kononnya dapat mengalihkan perhatian terhadap pergolakan yang berlaku dalam Umno.

Ini juga bermakna, mana-mana menteri besar yang mengangkat sumpah tanpa melalui peruntukan undang-undang di atas dianggap terbatal dan tidak sah dari segi pelembagaan.

Di samping untuk memulihkan maruah Najib yang semakin tercemar teruk pada pandangan umum. Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terangganu menjadikan Najib semakin tertekan dan tidak keruan untuk memulihan imej dan kredabilitinya. Rasuah dan politik wang serta pelbagai skandal yang tak perlu dihuraikan satu-satu.Kita menunggu siapakah 'kambing hitam' yang dimaksudkan oleh Sirul Azhar dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya kelmarin.

Kepada semua penyokong PR diharap bertenang dan bersabar tidak bertindak luar dugaan dengan mengikut semua arahan pimpinan. Tidak terpedaya dengan mainan kotor yang sedang dilakukan sekarang.

Semua akhbar seperti The Star, Utusan, Berita Harian tidak layak dibaca hanya berguna untuk dijadikan alas tempat duduk dalam majlis "Himpunan dan Munajat 100 ribu Rakyat' malam ini.

KERAJAAN TIDAK BERMARUAH TERBENTUK DI PERAK?

ORANG YANG TIDAK ADA MARUAH,BOLEH DILELONG DAN DIJUAL BELI

Hari ini DYMM Sultan Perak akan membuat keputusan tentang kemelut politik di Perak. Apa juga keputusannya nanti semua pihak perlu akur dan rasional.

Pakatan Rakyat Perak tidak perlu merasa kecewa, mereka telah menjalankan tugas dengan cukup cemerlang sepanjang 11 bulan di Perak. Mereka bukan ditolak oleh rakyat tetapi mereka disingkirkan dengan gaya samseng oleh pemimpin yang tidak bermaruah.

Dalam hal ini saya berpendirian jika DUN tidak dibubarkan, senario politik di Perak akan kekal tidak stabil. Jika BN berkuasa, adakah BN mampu bertahan? Kes rasuah 2 adun lompat akan dibicarakan pada 10 Febuari. Tetapi saya cukup yakin akan berlaku silap mata dalam kes ini.

Kerajaan PR Perak pasti akan membawa kes ini ke mahkamah ekoran krisis perundangan dan juga tindakan pelik SPR yang melangkaui bidang kuasanya.Semua ini bakal membawa suasana tidak menentu di Perak.

Tetapi saya yakin, Najib tak fikir itu semua kerana dia cukup terdesak sekarang ini untuk membuktikan kuasa dan pengaruhnya. Jika Perak boleh diambil secara samseng dan tidak bermaruah bolehkah negeri-negeri PR yang lain mengalami senario yang sama?

Mereka sanggup buat apa sahaja tanpa mengira dosa pahala serta halal haram. Ini semua telah dibuktikan dengan macam-macam peristiwa pelik dan tak masuk akal yang berlaku dalam negara.

Lihatlah betapa biadab dan kurang ajarnya pemimpin Umno dan BN bukan sahaja pada rakyat tetapi DYM Sultan Perak dengan mengistiharkan BN menguasai kerajaan perak sebelum DYM Sultan Perak membuat keputusan pada hari ini.

Dalam hal ini PR perlu lebih bersedia dengan menyusun persiapan dan strategi yang lebih mantap dan tersusun. Saya cukup yakin dan optimis sokongan dan simpati rakyat kepada PR melonjak berkali ganda dengan isu yang berlaku hari ini.

Biarlah pihak Umno dan BN bertepuk tangan dan bersorak gembira pada hari ini. Apa yang penting PR perlu bijak dan matang dalam menangani apa yang berlaku agar momentum sokongan dan simpati rakyat pada PR terus berkekalan.


04 February 2009

PERAK AKAN MEMPERCEPATKAN LAGI KEJATUHAN NAJIB DAN UMNO

Segala kemungkinan boleh berlaku esok. Saya agak sedikit ketinggalan untuk menulis tentang politik semasa khususnya di Perak kerana tuntutan tugas yang tak dapat dielakkan. Tetapi sungguh pun macam tu ramai kawan-kawan dekat dan jauh telefon dan sms tanya perkembangan berita di Perak . Dalam hati saya berkata macam aku ni pulak Menteri Besar Perak!

Apapun yang berlaku esok di Perak bagi saya akan terus meningkatkan sokongan rakyat dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat untuk mempercepatkan kejatuhan Umno dan Barisan Nasional.

Umno sebenarnya semakin terdesak kerana semakin ditolak oleh rakyat. Bagi saya tidak ada yang mengejutkan sekiranya itu taktik Najib untuk mewujudkan huru hara, provokasi dan pelbagai tindakan tidak bermaruah. Lebih-lebih lagi dilakukan oleh pemimpin yang dipalit pelbagai skandal dan isu moral.

Najib sebenarnya telah melakukan kesilapan yang paling besar. Tidak mustahil apa yang berlaku di Perak akan merealisasikan semua teori bahawa Najib akan gagal dalam misi menjadi Perdana menteri. Jika tindakan tidak bermaruah ini dilakukan pada tahun 1970-an dan 1980-an bagi saya tidak membawa kesan yang besar dalam senario politik negara.

Tetapi tindakan tidak bermoral ini dilakukan ketika PR berada dalam perpaduan yang cukup mantap dan menerima sokongan rakyat yang cukup menggalakkan. Apa pun yang berlaku di Perak adalah hanya bersifat sementara. PR akan mendapat sokongan dan kuasa yang lebih kuat pada masa akan datang.

Bagi Pas ia merupakan satu tarbiyyah yang cukup berkesan. Manakala bagi PKR dan DAP ia akan lebih mematangkan mereka dalam berpolitik. Cuma saya berharap apa yang berlaku, PR tidak terperangkap dengan mainan dan politik kotor Umno dan BN. Mereka memang suka kalau ada suasana huru hara dan kacau bilau. Mereka cukup gembira kalau rakyat turun ke jalan raya. Bukankah sebelum ini mereka merancang untuk mengistiharkan 'darurat'?

Apa yang pasti apa yang berlaku di Perak semakin menambahkan kebencian majoriti rakyat kepada Umno. Ingatlah akan firman Allah SWT yang bermaksud :

"Mereka merancang Allah juga merancang, tetapi perancangan Allah yang paling baik"

03 February 2009

SPR WAJAR TUKAR NAMA

Keputusan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telah diketahui. Seperti yang saya jangkakan itulah keputusannya. Walaupun penasihat undang-undang dari UIAM iaitu Dr. Aziz Bari berhujah bahawa notis speker Perak adalah sah. Timbalan speker Dewan Rakyat pun kata sah, jika surat dua adun 'bebas' Perak terbukti tak ada unsur paksaan masa turunkan tanda tangan . Malah bekas pengerusi SPR pun kata sah notis yang dikemukakan oleh speker Perak. Mereka meminta hal berkaitan undang-undang adalah tertakluk bidang kuasa mahkamah dan bukan SPR!

Cuma SPR sahaja yang kata tak sah. Tak sah bermakna tak cukup rukun yang sepatutnya. Tapi SPR tak sebut pula rukun mana yang tidak sempurna atau ada rukun yang tertinggal.

Jadi apa tugas speaker? Adakah selepas ini jika speaker dewan rakyat atau dun hantar notis bubar dewan rakyat dan dun SPR akan jawab tak boleh juga. Maka Dewan Rakyat dan Dun boleh sambung sepenggal dua lagi.

Elok rasanya, SPR tukar nama kepada SPRM ( Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dan Mahkamah) tetapi nanti marah pulak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM juga). Kalau macam elok je gabung Suruhanjaya Pilihanraya dan Pencegahan Rasuah Malaysia.Barulah apa tindakan SPR nanti akan dianggap sah tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak.

TEKA TEKI PILIHANRAYA KECIL BAKAL TERJAWAB HARI INI


SPR hari ini akan membuat keputusan sama ada pilihanraya kecil akan diadakan atau tidak di Perak. Walau bagaimanapun berdasarkan peruntukan undang-undang dan pelembagaan pilihanraya kecil di Changkat Jering dan Behrang sudah hampir pasti kecuali berlaku sesuatu di luar dugaan.

Apa-apapun bagi saya pilihanraya kecil adalah sesuatu yang tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku. Duit dan masa rakyat akan terbuang. Ada baiknya peruntukan yang menelan jutaan ringgit tidak termasuk rasuah dan sogokan jika pilihanraya kecil itu diadakan digunakan untuk membantu umat Islam di Gaza di Palestin.

Ini semua gara-gara mereka yang tamak dan rakus tanpa memikirkan nasib dan hak rakyat.

Tetapi itu semua tidak dapat dielakkan untuk mempertahankan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan memberi pengajaran kepada mereka yang terdesak dan gila kuasa agar tidak bertindak sewenang-wenangnya.

Apa yang berlaku dan akan berlaku di Perak akan memberi petunjuk tentang masa depan senario politik negara dalam tempoh terdekat. Kita tunggu dan lihat saja apa yang bakal berlaku nanti.

CADANGAN MUKHRIZ YANG TAK MASUK AKAL


YB Jerlun, Mukhriz Mahathir mencadangkan agar Pas menyertai Umno.Kenyataan ini sebagai menjawab gesaan YB Zulkifli Nordin agar Umno menyertai Pas. Bagi saya kenyataan yang sama sekali tak masuk akal. Ada ke patut Umno sedang berhadapan dengan pergolakan dan perpecahan serta menghitung hari untuk 'dimuziumkan' menggesa Pas menyertai mereka. Ibarat mengajak Pas terjun gaung bersama mereka!

Dalam keadaan sekarang barulah Umno sedar siapa diri mereka. Sebelum ini mereka begitu angkuh dan takbur bahawa monopoli kuasa politik mereka sukar digugat. Tetapi hari ini tempat yang selama ini dianggap 'kubu' dan 'sarang' Umno sekalipun merupakan kawasan tidak selamat bagi mereka. Umno lupa bahawa kuasa rakyat adalah lebih kuat daripada keangkuhan pemimpin mereka yang masih lagi bermimpi di siang hari.

Mukhriz juga terlupa dengan fakta sejarah bahawa Pas pernah menyertai Umno pada tahun 1978 atas nama menjaga kepentingan politik Melayu. Apa yang berlaku? Pas dikhianati dan Umno memungkiri janji. Hanya orang yang hilang akal sahaja akan dipatuk ular di lubang yang sama. Mukhriz juga perlu menyedari sejarah bahawa Pas tidak pernah mengkhianati rakannya dalam pemuafakatan politik.

Perpaduan dan pemuafakatan Melayu hanyalah alasan terdesak Umno untuk meneruskan sisa-sisa hayat mereka yang semakin ditolak oleh rakyat dan dipinggirkan oleh sebahagian pemimpin dan ahli mereka sendiri.

02 February 2009

DSAI :2 HILANG 200 LAGI AKAN MENYUSUL!

Dato Seri Anwar Ibrahim memberi dan peringatan yang cukup tegas kepada mereka yang ingin menggugat kerajaan Pakatan Rakyat di lima negeri khususnya di Perak bahawa 2 adun PR yang hilang akan menyusul 200 yang lain.

Secara sepintas lalu kita akan anggap ini mustahil, tak kan le sampai sebanyak tu? Tetapi bagi mereka yang faham tentang cakap politik, kenyataan DSAI mempunyai maksud tersirat yang tidak sukar untuk difahami.

Ternyata hari ini BN dan Umno mula terjerat dan terperangkap dengan permainan politik mereka sendiri. DSAI ternyata telah dapat menghidu apa yang bakal berlaku dengan menyusun strategi yang tidak diduga oleh BN dan Umno.

Sekiranya BN dan Umno di bawah Pak Lah dan Najib boleh 'menghalalkan' tindakan adun PKR menyertai Umno adakah mereka boleh berpendirian serupa jika ada ahli parlimen dan adun BN menyertai PR?

Pihak tertentu begitu ghairah untuk merampas dan menumbangkan kerajaan PR di Perak sehinggakan mereka terlupa bahawa kedudukan mereka juga goyah di beberapa negeri dan di peringkat pusat. Di Negeri Sembilan dan Pahang difahamkan ada wakil rakyat BN sedang menunggu masa yang sesuai untuk menyertai PR.

Mungkinkah hasrat terpendam wakil rakyat BN yang menangguhkan hasrat menyertai projek 13 September akan diteruskan berdasarkan perkembangan yang berlaku? Pak Lah sendiri beritahu, tidak ada salahnya jika ada wakil rakyat yang hendak menyertai parti lain. Kita ingat dan pegang kata-kata Pak Lah ini!

Jika mereka merancang untuk menumbangkan kerajaan PR ketika PR berada dalam keadaan bergolak dan bergaduh sesama sendiri kemungkinan misi jahat itu boleh terlaksana. Tetapi mereka bertindak ketika perpaduan dan kerjasama dalam PR begitu ampuh. Malah mood sokongan rakyat juga begitu jelas memihak kepada PR. Jadi tindakan mereka cuba menjatuhkan kerajaan PR di Perak adalah tidak kena masanya.

Mereka yang ghairah untuk melihat kejatuhan kerajaan PR di Perak umpama mengejar bayang-bayang. Nanti yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran..