07 February 2009

PANDANGAN "PEGUAM KITA" TENTANG ISU DI PERAK

Saya tertarik dengan pandangan sahabat saya saudara Fadzli Bin Mohd. Ramly seorang peguam tentang isu di Perak dari aspek perundangan dan pelembagaan. Saya petik artikel ini dari blog beliau di : http://peguamkita.blogspot.com/

Saya sebenarnya cuba mengelak diri dari menyentuh soal politik dalam blog saya ini. Tapi keadaan semasa seolah-olah membuatkan saya rasa berdosa dan seperti 'syaitan bisu' sekiranya saya diam membatu. Saya gagal melawan runtunan jiwa dan warna sebenar saya.

Tidak dapat saya nafikan bahawa isu yang berlaku di Perak adalah merupakan persoalan perlembagaan dan isu perundangan. Tetapi saya amat berkeyakinan dan menegaskan bahawa isu sebenar di Perak adalah kuasa eksekutif dan sistem beraja telah 'merompak' kerajaan negeri dari rakyat Perak!

Isu pertama adalah adalah kuasa sultan untuk mengarahkan perletakkan jawatan Menteri Besar dari Nizar. Saya bersedia untuk bertanggungjawab menyatakan bahawa tindakan Sultan adalah salah di sisi undang-undang! Perlembagaan Negeri Perak memperuntukkan bahawa Menteri Besar tidak memegang jawatan tersebut dengan perkenan Sultan.
Artikel 16(6) Perlembagaan Perak menyebut :

If Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council.
Soalan saya: Bagaimana hendak menentukan bahawa MB telah hilang keyakinan di DUN? Siapa yang berhak menentukan kehilangan keyakinan tersebut? adakah Sultan berhak menentukannya? atau dimana kita hendak mengukur bahawa MB telah kehilangan mandat negeri?

Yang berlaku: satu sidang akhbar Najib bersama-sama ADUN-ADUN yang dikatakan melompat dan diistiharkan bahawa BN telah memperolehi majoriti yang cukup untuk tubuh kerajaan negeri! Saya nak tegaskan bahawa perkara ini adalah tidak sah untuk mengesahkan bahawa MB telah hilang keyakinan di DUN Perak! Malah ianya adalah salah sama sekali di sisi undang-undang! Hanya satu cara iaitu dibuat di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Cara untuk mengarahkan MB meletakkan jawatan adalah melalui Undi Tak Percaya di DUN. Sultan tidak boleh hanya mengarahkan MB mengosongkan jawatan begitu sahaja!

Kedua: Siapakah sebenarnya memegang majoriti di DUN Perak? Menjawab isu ini adalah perlu untuk kita melihat terhadap kedudukan 3 anggota "Bebas". Terdapat pertikaian terhadap perletakan jawatan mereka. Justeru, dapatkah kita menyimpulkan siapa yang memiliki majoriti? Kita mungkin akan menghujahkan bahawa SPR telahpun menolak surat perletakan jawatan ketiga-tiga ADUN tersebut. Persoalannya adakah SPR mempunyai bidangkuasa menolak surat perletakan jawatan tersebut yang diserahkan oleh Speaker DUN Perak kepada mereka?

Dari aspek perundangan, saya nak tegaskan bahawa SPR tidak mempunyai apa-apa kuasa melalui samada Perlembagaan Persekutuan, Akta SPR 1957 mahupun Akta Pilihanraya 1958. SPR telah melangkaui kuasanya yang sedia ada! Yang ada hanyalah, peruntukan apabila Speaker DUN memaklumkan SPR kekosongan kerusi DUN terbabit, terima dan laksanakan Pilihanraya Kecil di kawasan terbabit. Saya sangat percaya bahawa SPR telah jadi "tapir tunggangan" apabila membelakangkan arahan Speaker tersebut!

Dengan berkeadaan 28 kerusi Pakatan, 28 kerusi BN dan 3 Bebas, keadaan Perak amat tidak menentu. Bagaimana pula 3 Bebas kembali menyokong Pakatan? Tak ke haru jadinya..Oleh itu cara terbaik adalah serahkan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya negeri! Nasib dan mandat rakyat Perak tidak harus diserahkan hanya kepada pemimpin korup dan seorang Sultan.

Saya berhujah di sini bukanlah berniat untuk menderhakai Sultan dan sistem Raja Berpelembagaan negara ini. Saya percaya bahawa hujah saya ini adalah amat konstitutional dan mengikut peruntukan undang-undang yang ada.
Saya hanya penderhaka kepada sistem yang khianat kepada rakyat!

DERHAKA PADA ALLAH VS DERHAKA PADA SULTAN

Sehari dua ini ramai betul yang cakap bab derhaka. Orang itu derhaka, orang ini derhaka. Begitu bersemangat dan berapi-api mereka yang bercakap tentang derhaka ini. Sehingga sanggup sinsing lengan dan hunus keris(tidak bersarung) untuk bertindak kepada mereka yang digelar si penderhaka.


Tetapi dalam sibuk-sibuk bercakap soal derhaka kepada sultan mereka ini seperti lupa tentang perbuatan menderhaka yang lebih besar. DERHAKA KEPADA ALLAH!


Mereka sanggup buat apa sahaja yang mendatangkan kemurkaan Allah tanpa mengira dosa dan pahala. Mereka ini adalah PENDERHAKA KEPADA ALLAH.


Apa hukumnya mereka yang menggunakan taktik kotor seperti rasuah dan mengugut orang lain untuk berkuasa - MEREKA ADALAH PENDERHAKA KEPADA ALLAH!


Apa hukumnya mereka yang memerintah dengan cara yang menipu dan mengkhianati amanah rakyat- MEREKA ADALAH PENDERHAKA KEPADA ALLAH!


Apa hukumnya dengan memfitnah dan bercakap bohong - MEREKA ADALAH PENDERHAKA KEPADA ALLAH!


Apa hukumnya menzalimi orang Islam yang tidak berdosa- MEREKA ADALAH PENDERHAKA KEPADA ALLAH!


Kepada mereka yang berbuat zalim, melakukan kemurkaan kepada Allah, ingatlah.... kamu mungkin selamat di dunia tetapi hukuman kepada mereka yang MENDERHAKA KEPADA ALLAH azabnya tidak terperi di akhirat nanti.

BOLEH SAMAN SULTAN : TUN DR MAHATHIR


Undang-undang membolehkan seseorang Sultan untuk dibawa ke mahkamah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

"Dari segi etika, ia tidak baik tetapi dari segi perundangan, tiada siapa yang boleh dihalang daripada menyaman (Sultan)... ini undang-undang," katanya.

Berhubung soalan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) sewajarnya telah dibubarkan, bekas Presiden umno itu memberitahu, DUN Perak seharusnya telah bertemu dan memutuskan undi tidak percaya ke atas Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kerana ia satu-satunya cara untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinannya.

"Bagaimanapun jika Menteri Besar (Nizar) enggan mengadakan sidang DUN, tiada siapa yang boleh memaksa beliau," katanya.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir yang pernah berhadapan dengan isu krisis Perlembagaan Persekutuan semasa kepimpinannya menjelaskan, dalam keadaan seumpama itu Nizar tidak boleh berbuat demikian untuk tempoh yang lama kerana DUN perlu bersidang untuk membentangkan bajet dan sebagainya.

Ketika ditanya sama ada orang Melayu akan kecewa dengan tindakan saman seumpama itu, Dr. Mahathir berkata, beliau sebagai seorang Melayu tidak bersetuju dengan langkah tersebut tetapi ramai orang Melayu yang menyokong Karpal.

"Inilah Melayu moden, saya ini orang tua," kata Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003 ini ketika ditemui wartawan di Seri Kembangan hari ini.

ISU SAMAN SULTAN: UTUSAN MELOYA DAN BERITA HAIRAN TERBUKTI PENIPU!!!!

Namapun dah kambing, Tak ada akal !!!!!!

Akhbar Berita Hairan dan Utusan Meloya melaporkan bahawa Menteri Besar Perak Dato seri Nizar Jamaludin akan menyaman sultan Perak kerana melantik Zombie sebagai MB Kudeta.

Ternyata semua kenyataan itu palsu dan satu tuduhan jahat!

Mengulas tindakan saman terhadap Sultan Perak yang bakal dikemukakan Pengerusi DAP, Karpal Singh di Mahkamah Tinggi Ipoh Selasa depan, Muhammad Nizar menafikan sekeras-kerasnya beliau terlibat sama dalam perkara itu.

Katanya, tidak pernah terniat langsung di hatinya untuk menyaman Sultan Perak sebaliknya mendakwa apa yang di laporkan itu adalah satu fitnah.

"Saya hendak nyatakan saya menafikan sekeras-kerasnya niat untuk menyaman Tuanku. Ini satu pembohongan besar, satu fitnah.

"Di dunia akhirat saya akan tuntut kerana tidak ada langsung dalam hati saya terniat untuk menyaman atau ambil tindakan terhadap Tuanku," katanya.

Di Kuala Lumpur, Karpal berkata akan akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak di Mahkamah Tinggi Ipoh Selasa ini kerana mendakwa baginda bertindak melampaui bidang kuasanya untuk mengisytiharkan kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini sebagai tidak sah.

Karpal berkata, dalam saman tersebut, Sultan Perak akan dinamakan sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri BN di negeri ini sebagai defendan kedua.

Sebaliknya ujar Nizar, beliau sebenarnya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar yang baru mengangkat sumpah, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang didakwa sebagai Menteri Besar tidak sah.

Katanya, saman tersebut akan difailkan melalui peguam Raja Aziz Addruse di Mahkamah Tinggi Ipoh seawal-awalnya petang ini atau selewat-lewatnya Selasa ini.

Mengenai tindakan untuk terus mendiami kediaman rasmi Menteri Besar
Nizar berkata beliau akan terus tinggal di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Tambun di sini, dirinya masih menjawat jawatan ketua eksekutif kerajaan negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, tiada sebab mengapa beliau perlu berpindah keluar kerana sehingga semalam, tiada langsung dokumen rasmi menyatakannya bukan lagi Menteri Besar yang sah apatah lagi beliau sendiri masih belum meletakkan jawatannya.

"Saya akan keluar sekiranya saya keluarkan surat peletakan jawatan atau hilang majoriti dalam satu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) khas yang disaksikan oleh orang ramai," kata beliau pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini lewat petang semalam.

Dalam pada itu, Nizar mendakwa keengganan beliau untuk akur kepada titah Sultan Perak adalah kerana ingin mengembalikan martabat institusi diraja supaya dihormati rakyat.

Katanya, ini kerana beliau tidak mahu rakyat melihat Sultan Perak menyebelahi mana-mana parti politik dalam menentukan siapa bakal menjadi Menteri Besar dan kerajaan negeri.

"Saya sebenarnya sedaya upaya cuba membela institusi Diraja. Saya tidak letak jawatan dan mohon dibubarkan DUN semata-mata kerana menghormati institusi diraja," katanya

REFORMASI KEDUA







Setelah lebih sepuluh tahun reformasi berkaitan pemecatan Anwar Ibrahim, kali ini berlaku peristiwa seumpamanya berkaitan pemecatan tidak sah Nizar Jamaluddin.

Jika gelombang reformasi tahun 1998 berlaku di Kuala Lumpur kemudian merebak ke seluruh negara, reformasi kali ini berlaku di Kuala Kangsar dan bakal merebak ke seluruh Perak, malah mungkin ke seluruh negara. Sekiranya reformasi sebelum ini kerana tidak puas hati dengan Dr Mahathir Mohamad, reformasi kali ini disebabkan tidak puas hati dengan Sultan Perak dan pimpinan Umno. Yang sama, kedua-dua reformasi itu tercetus disebabkan rasa tidak puas hati rakyat yang membuak-buak terhadap ketidakadilan.

Dalam reformasi tahun 1998, Dr Mahathir yang mengukir nama baiknya hampir 18 tahun sekali tersalah tindakannya, nama beliau menjadi busuk dan dibenci oleh ramai rakyat Malaysia.
Demikianlah juga Sultan Perak yang telah memerintah hampir 25 tahun sebagai Sultan yang dihormati, sekali beliau bertindak secara tidak adil rakyat Perak kiri dan kanan sudah mula mencemuh.

Dikatakan Sultan Perak dan Raja Muda begitu terkejut dengan reaksi rakyat Perak menentang tindakan baginda.

Baginda menyangka bahawa rakyat Perak akan akur dengan keputusannya, tetapi peristiwa di Kuala Kangsar ini sememangnya di luar dugaan baginda. Kedudukan baginda sama seperti kedudukan Dr Mahathir pada tahun 1998.

Baginda Raja Muda Nazrin yang menaiki takhta dengan melangkaui giliran pastinya terkejut keretanya telah dibaling batu oleh para penunjuk perasaan. Baginda yang sejak sehari dua ini bertitah dengan tulus dan mulus menyatakan peranan Raja yang mesti mendukung keadilan, dapat melihat sendiri apabila rakyat memberontak setelah dirasakan Raja tidak adil dan berpihak.

Sehari dua ini kalau baginda turun kepada rakyat, tidak mustahil peristiwa yang berlaku kepada Bush akan turut berlaku kepada baginda. Cuma rakyat Perak mungkin tidak baling kasut sebab ramai di kalangan mereka yang tidak berkasut cuma berselipar. Kalau rakyat Perak membaling selipar apalagi jenis selipar jamban, maka sudah tentu Raja Nazrin akan rasa lebih terhina.

Demikianlah juga ayahanda Baginda Sultan Azlan, baginda juga pasti terkejut apabila rakyat sudah berani mempertikaikan kewibawaan baginda. Dalam laman-laman web kutukan demi kutukan telah dilempar kepada Sultan Azlan. Malah lebih mengejutkan lagi dalam web rasmi Sultan Perak, rakyat telah mencaci nista baginda di dalam buku pelawat web tersebut.
Perkataan-perkataan yang dilempar kepada Dr Mahathir, kini dilemparkan pula kepada Sultan Azlan. Sambutan 25 tahun baginda di atas takhta telah dicemari dengan kemarahan rakyat. Sepanjang 25 tahun baginda dihormati, kali ini rakyat tidak lagi menghormati baginda malah dicaci nista oleh mereka.

Dalam artikel kami yang lalu, kami telah menyatakan kalau Sultan Perak memilih untuk untuk menerima pandangan BN, maka sejarah hitam akan terpalit dalam 25 tahun pemerintahan baginda. Rakyat sekarang bukan lagi rakyat yang tidak bijak. Mereka telah mendapat ilmu setaraf dengan baginda, malah mungkin lebih.

Rakyat hari ini telah menolak propaganda media sebagaimana yang dilakukan dalam pilihan raya umum dan dua pilihanraya kecil yang lalu. Mereka telah mendapat berita dari pelbagai sumber.

Minda politik mereka telah beranjak kepada minda politik kelas pertama seperti di negara maju. Golongan yang sebaya dengan Baginda Sultan Perak ramai yang telah kembali menemui Allah, justeru rakyat baginda sekarang benar-benar telah berubah.

Peringatan yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS, supaya Sultan Perak meneliti keputusan baginda supaya selaras dengan kehendak rakyat seharusnya diberi perhatian. Sekiranya tidak peristiwa yang berlaku hari ini adalah natijahnya. Lebih daripada itu, sebagaimana yang disebutkan oleh Mursyidul Am PAS, kemungkinan sistem beraja di negara ini akan turut menjadi sejarah sebagaimana yang telah berlaku di negara-negara lain.

Tindakan baginda dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk di kalangan vateran Umno sendiri seperti Dr Mahathir, Tengku Razaleigh dan Rais Yatim. Demikian juga dengan SUHAKAM, turut mempertikaikan pembentukan kerajaan BN yang tidak sah ini.

Reformasi kali kedua ini mewarisi semangat reformasi kali pertama. Rakyat bangun menyatakan bantahan atas ketidakadilan. Kali ini mereka tidak mempedulikan siapa, kerana jelas kemarahan mereka ditujukan kepada Sultan Perak selain daripada pimpinan Umno.
Biarpun media massa memainkan peranan untuk mengelirukan rakyat bahawa Nizar dan penentang keputusan Sultan ini sebagai derhaka, hari ini telah diterima umum derhaka kepada kezaliman itu sesuatu yang mulia.

Zaman feudalisme dunia dan negara ini telah lama berlalu. Sekiranya Hang Tuah dan Hang Jebat menjadi calon Menteri Besar Perak sekarang, rakyat hari ini akan memilih Hang Jebat.
Sebagaimana propaganda media memburuk Anwar dan mewajarkan tindakan Dr Mahathir semasa reformasi 1998 tidak ditelan oleh rakyat, maka dipercayai propaganda media pada kali ini juga tidak akan berkesan.

Betapa lagi kalau Pakatan Rakyat bertindak bijak sepertimana tindakan mereka tahun 1998 yang lalu. Kalaupun kerajaan haram BN tidak tumbang, nama pemimpin mereka termasuklah nama Istana Perak akan terus buruk di mata rakyat.

Hari ini bukan sekadar zaman feudal telah berlalu, tetapi zaman politik perkauman juga hampir tamat. Faktor ini akan menjadikan reformasi kali kedua ini mungkin lebih berjaya. Cuma mungkin bahangnya hanya dirasai di Perak tidak di negeri yang lain.

sumber : Harakah Daily

06 February 2009

SIAPA PENDERHAKA? SIAPA PENGKHIANAT?

MAKSUD DERHAKA MENGIKUT KAMUS ORANG UMNO IALAH APABILA SESEORANG ITU MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PELEMBAGAAN. BAGI MEREKA YANG MELANGGAR UNDANG-UNDANG, MENGKHIANATI RAKYAT DAN MELAKUKAN RASUAH DAN PENYELEWENGAN SERTA TERLIBAT DENGAN SKANDAL ITULAH RAKYAT YANG SETIA DAN PATUH PADA RAJA.

TETAPI.......


KENAPA RAKYAT MARAH SEHINGGA ORANG YANG DIKATAKAN SETIA KEPADA RAJA MENERIMA ANUGERAH INI? FIKIR-FIKIRKANLAH....













POLIS MULA BERTINDAK GANAS

polis mula bertindak ganas dengan melepaskan gas pemedih mata dan menangkap peserta himpunan aman di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar membantah tindakan Umno menggunakan taktik keji dan kotor untuk merampas dan menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat Di Perak.

Sememangnya ini sudah dijangka lebih awal lagi tindakan Umno yang berselindung di sebalik kuasa polis dan semua jentera kerajaan untuk menghalalkan tindakan mereka. Ini semua dilakukan untuk mewujudkan suasana huru hara dan kemudian menunding jari kepada PR.

Ternyata inilah yang dimahukan oleh mereka untuk menutup kepincangan, krisis dan konflik yang berlaku kepada Umno dan dalam negara. Tetapi yakinlah kebenaran tetap kebenaran. Kebatilan akan hancur dan binasa.

Katakanlah kebenaran telah datang dan kebatilan telah lenyap. Sesungguhnya sesuatu yang batil itu pasti akan lenyap. Surah Al Israq : 81

Kepada mereka yang membuat kezaliman ingatlah doa orang yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT.

UMNO AKAN DIMALUKAN KERANA KEGELOJOHAN SENDIRI

Jam tiga petang ini, Majlis angkat sumpah 'menteri besar' baru Perak akan diadakan. Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Perak awal-awal lagi menyatakan akan memboikot majlis tersebut. Satu tindakan yang tepat berdasarkan Pelembagaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Apa perlu mereka hadir jika majlis yang diadakan tidak mengikut pelembagaan. PR Perak hanya menunggu majlis angkat sumpah itu diadakan untuk selepas ini mencabar dan memfailkan injuksi perintah mahkamah untuk mengesahkan bahawa apa yang dipertahankan oleh MB Perak Dato Seri Nizar Jamaludin adalah tidak bertentangan dengan prinsip perundangan. ( Sila rujuk posting saya sebelum ini untuk mengetahui prosedur pelantikan MB Perak mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak).

Prosedur melantik MB Perak adalah berbeza dengan untuk meminta MB sedia ada melepaskan jawatan.

Umno hanya memainkan isu 'derhaka' kepada Nizar dan PR tetapi mereka tidak mampu berhujah dari sudut perundangan. Saya cukup yakin isu 'derhaka' ini akan dimainkan oleh media dan Umno untuk menutup tindakan tidak bermaruah dan ala samseng mereka untuk merampas kerajaan PR yang diberi mandat oleh rakyat.

Tengku Razaleigh sendiri menyifatkan tindakan Umno sesuatu yang memalukan kerana menggunakan pendekatan yang bakal merugikan Umno sendiri apabila kes ini akan dibawa ke mahkamah.

Tun Dr Mahatihir sendiri menyifatkan tindakan Umno menyebabkan imej Umno semakin merudum di kalangan rakyat. Lebih-lebih lagi menerima mereka yang terlibat dengan tuduhan rasuah dan skandal seks ke dalam Umno.

Apa yang lebih memalukan tindakan Umno juga tidak dipersetujui oleh parti komponen mereka sendiri seperti MCA dan MIC. Ada kita dengar kenyataan pemimpin MCA dan MIC menyokong Umno dalam isu di Perak?

Apa yang dilakukan oleh Umno ibarat hanya menang sorak, untung secupak bakal rugi seguni.

Dalam isu ini, PR perlu berhati-hati dan sentiasa bersikap matang dan rasional. Saya cukup yakin ada pihak sengaja ingin mencetuskan suasana gawat dan huru-hara di Perak dan negeri-negeri lain di bawah PR. Appabila wujud huru-hara mereka pasti akan menunding jari dan meletakkan apa yang berlaku kepada PR.

Dalam keadaan sekarang Umno cukup gerun untuk berhadapan dengan pilihanraya sama ada pilihanraya kecil atau umum kerana mereka sudah dapat menduga apa yang bakal berlaku. Umno hanya boleh menang dan berkuasa dengan pintu belakang tanpa mengikut lunas-lunas perundangan dan pelembagaan negara.

Semua pihak dalam PR di semua peringkat terutama jentera pilihanraya perlu bersiap sedia tentang kemungkinan besar pilihanraya kecil di Perak atau umum diadakan. PR tidak perlu melayan setiap provokasi dan helah Umno sebaliknya perlu fokus untuk memantapkan PR dalam setiap aspek untuk mendapat kepercayaan dan mandat dari rakyat.

05 February 2009

KRISIS POLITIK DI PERAK BAKAL BERLARUTAN

Menurut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, terdapat tiga cara untuk menukar kerajaan.

Pertama, melalui pembubaran Dun. Menteri Besar Perak menasihati Paduka Seri Sultan Perak supaya membubarkan Dun bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan dan memberi mandat rakyat memilih kerajaan yang baru.

Kedua Menteri Besar Perak dan semua Exco meletakan jawatan dan menyerahkan jawatan kepada parti yang mendapat kerusi majoriti memerintah Perak.

Ketiga melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Sekirnya pilihan pertama dan kedua tidak berlaku, rakyat kena menunggu sidang Dewan Undangan Negeri dipanggil bagi membolehkan Usul Undi tidak percaya dibentangkan.

Justeru, selagi Sidang Dun belum bersidang dan Usul Undi Tidak Percaya dibentangkan dan mendapat undi majoriti, selagi itulah Kerajaan Pakatan Rakyat kekal memerintah.

Dalam erti kata lain kerajaan PR masih kekal di Perak. Ternyata taktik kotor dan jijik yang digunakan bertujuan untuk menghuru-harakan keadaan di Perak masih buntu. Sekaligus kononnya dapat mengalihkan perhatian terhadap pergolakan yang berlaku dalam Umno.

Ini juga bermakna, mana-mana menteri besar yang mengangkat sumpah tanpa melalui peruntukan undang-undang di atas dianggap terbatal dan tidak sah dari segi pelembagaan.

Di samping untuk memulihkan maruah Najib yang semakin tercemar teruk pada pandangan umum. Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terangganu menjadikan Najib semakin tertekan dan tidak keruan untuk memulihan imej dan kredabilitinya. Rasuah dan politik wang serta pelbagai skandal yang tak perlu dihuraikan satu-satu.Kita menunggu siapakah 'kambing hitam' yang dimaksudkan oleh Sirul Azhar dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya kelmarin.

Kepada semua penyokong PR diharap bertenang dan bersabar tidak bertindak luar dugaan dengan mengikut semua arahan pimpinan. Tidak terpedaya dengan mainan kotor yang sedang dilakukan sekarang.

Semua akhbar seperti The Star, Utusan, Berita Harian tidak layak dibaca hanya berguna untuk dijadikan alas tempat duduk dalam majlis "Himpunan dan Munajat 100 ribu Rakyat' malam ini.

KERAJAAN TIDAK BERMARUAH TERBENTUK DI PERAK?

ORANG YANG TIDAK ADA MARUAH,BOLEH DILELONG DAN DIJUAL BELI

Hari ini DYMM Sultan Perak akan membuat keputusan tentang kemelut politik di Perak. Apa juga keputusannya nanti semua pihak perlu akur dan rasional.

Pakatan Rakyat Perak tidak perlu merasa kecewa, mereka telah menjalankan tugas dengan cukup cemerlang sepanjang 11 bulan di Perak. Mereka bukan ditolak oleh rakyat tetapi mereka disingkirkan dengan gaya samseng oleh pemimpin yang tidak bermaruah.

Dalam hal ini saya berpendirian jika DUN tidak dibubarkan, senario politik di Perak akan kekal tidak stabil. Jika BN berkuasa, adakah BN mampu bertahan? Kes rasuah 2 adun lompat akan dibicarakan pada 10 Febuari. Tetapi saya cukup yakin akan berlaku silap mata dalam kes ini.

Kerajaan PR Perak pasti akan membawa kes ini ke mahkamah ekoran krisis perundangan dan juga tindakan pelik SPR yang melangkaui bidang kuasanya.Semua ini bakal membawa suasana tidak menentu di Perak.

Tetapi saya yakin, Najib tak fikir itu semua kerana dia cukup terdesak sekarang ini untuk membuktikan kuasa dan pengaruhnya. Jika Perak boleh diambil secara samseng dan tidak bermaruah bolehkah negeri-negeri PR yang lain mengalami senario yang sama?

Mereka sanggup buat apa sahaja tanpa mengira dosa pahala serta halal haram. Ini semua telah dibuktikan dengan macam-macam peristiwa pelik dan tak masuk akal yang berlaku dalam negara.

Lihatlah betapa biadab dan kurang ajarnya pemimpin Umno dan BN bukan sahaja pada rakyat tetapi DYM Sultan Perak dengan mengistiharkan BN menguasai kerajaan perak sebelum DYM Sultan Perak membuat keputusan pada hari ini.

Dalam hal ini PR perlu lebih bersedia dengan menyusun persiapan dan strategi yang lebih mantap dan tersusun. Saya cukup yakin dan optimis sokongan dan simpati rakyat kepada PR melonjak berkali ganda dengan isu yang berlaku hari ini.

Biarlah pihak Umno dan BN bertepuk tangan dan bersorak gembira pada hari ini. Apa yang penting PR perlu bijak dan matang dalam menangani apa yang berlaku agar momentum sokongan dan simpati rakyat pada PR terus berkekalan.