10 August 2009

UMNO WAJAR BUAT 'GENCATAN SENJATA' DI PERMATANG PASIR


Pilihanraya Kecil Permatang Pasir bakal berlangsung pada 25 Ogos iaitu bulan Ramadhan.Sempena Ramadhan al Mubarak, bulan yang diharamkan berperang di dalamnya saya mencadangkan agar Umno@BN membuat 'gencatan senjata' untuk menghormati dan memuliakan bulan yang penuh keberkatan. Oleh itu wajar Umno menarik diri untuk bertanding di Permatang Pasir sekaligus dapat menjimatkan duit rakyat dalam suasana kegawatan ekonomi. Bukan itu sahaja dapat mengelakkan dari kemungkinan tersebarnya wabak Demam Selsema Babi@Influeza A@H1N1 jika orang ramai berkumpul semasa hari penamaan calon, majlis ceramah dan aktiviti kempen. Bukankah Perdana Menteri ada menasihatkan orang ramai supaya majlis-majlis keramaian yang melibatkan orang ramai perlu dielakkan?

Alangkah bagusnya duit yang sering ditabur kepada pengundi termasuk projek 'mee segera' disalurkan untuk disedekahkan kepada fakir miskin atau disumbangkan kepada surau dan masjid untuk dimanafaatkan dan diimarahkan sempena bulan Ramadhan. Bukan sahaja pahala dilipat ganda malah terselamat dari perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah lebih-lebih lagi jika digunakan untuk merasuah pengundi di bulan Ramadhan.

Sekaligus bukan sahaja rakyat didahulukan tetapi keredhaan Allah diutamakan...Wallahualam.

09 August 2009

TIGA JUTA PELAJAR ‘TERKORBAN’ KERANA DASAR ‘BODOH’ KERAJAAN!

Sewaktu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan 1Malaysia bersetuju memansuhkan PPSMI pada 2011 maka ramai pemimpin Umno@BN dan juga kaki angguk dalam kerajaan menyifatkan langkah itu tepat dan sebagai langkah 'bijak'. Bermakna tindakan kerajaan Umno@BN di bawah Tun Dr Mahathir meluluskan dasar PPSMI sebelum ini adalah adalah langkah 'bodoh'.

Pelbagai pihak yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak bersetuju dengan dasar ini. Kemuncaknya ialah demontrasi membantah PPSMI tidak lama dulu di tengah ibu kota. Maka ramai yang ditangkap dan bakal didakwa di mahkamah. Tidak terkecuali kanak-kanak, golongan tua dan wanita turut merasa perit dan sesak nafas kerana gas pemedih mata dan semburan air asid.

Tindakan mereka berdemontrasi sebagai langkah terakhir untuk membela dan mempertahankan kedaulatan dan maruah Bahasa Melayu dari terus dihina dan dipinggirkan. Mereka adalah pejuang bahasa yang sebenar dan bukan menjadi alat untuk kepentingan mana-mana pihak. Mereka datang secara sukarela dari jauh dan dekat tanpa sebarang habuan dan upah. Sebaliknya mereka dipersenda kerana menyebabkan pelabur dan pelancong lari. Peniaga kerugian (khabarnya berpuluh juta).

Ternyata segala tindakan dan pengorbanan mereka tidak sia-sia dan terjawab apabila Muhyiddin mengakui dasar PPSMI menyebabkan kira-kira 3 juta pelajar menjadi korban. Tercicir dari persekolahan kerana gagal mendapat sijil kerana gagal dalam Bahasa Inggeris.

Jadi apa tunggu lagi? Kenapa perlu tunggu sehingga 2011 untuk mansuhkan PPSMI? Siapa yang hendak bertanggungjawab terhadap 'dosa' yang menyebabkan ramai pelajar tercicir? Pastinya ramai yang tercicir ini adalah mereka yang tinggal di luar bandar yang pastinya majoriti mereka adalah anak-anak Melayu. Maka bila ramai yang tercicir maka ramailah golongan yang tidak mampu bersaing terpaksa 'melepak' kerana gagal mendapat pekerjaan.Lebih-lebih lagi dalam suasana kegawatan ekonomi sekarang. Bila ramai yang tercicir sekaligus menyumbang kepada pelabagai gejala sosial yang semakin menjadi-jadi sekarang. Sekaligus kerajaan Umno@BN mempunyai 'saham' terhadap peningkatan masalah moral dan gejala sosial yang kronik pada hari ini. Jadi apa yang berlaku pada hari ini kerajaan Umno@BN tidak boleh cuci tangan macam tu aja. Kerajaan Umno@BN kena bertanggungjawab sepenuhnya tanpa menunding jari kepada pihak lain.

07 August 2009

GULA DI MALAYSIA HILANG DALAM JEREBU?


Seluruh negara agak panik apabila bekalan gula kehabisan. Terutama tidak lama lagi menjelang bulan Ramadhan dan Hari Raya. Gula adalah bahan wajib untuk penyediaan juadah berbuka puasa dan membuat pelbagai kuih muih raya. Maka tidak hairanlah ramai yang sanggup membuat 'ekspedisi' dari pasaraya ke pasaraya untuk mendapatkan bekalan gula. Tetapi ramai yang pulang hampa.

Minggu lepas saya berkesempatan dalam satu program di Perlis,negeri yang terkenal sebagai pengeluar gula terbesar di Malaysia. Dalam perjalanan pulang dari Padang Besar melalui ladang tebu yang menghasilkan gula di Chuping. Ladang tebunya saujana mata memandang seperti kawasan sawah padi di Pendang, sayup mata memandang. Tetapi, di Perlis bekalan gula juga kehabisan! Ini mengingatkan saya tentang kisah tak lama dulu apabila bekalan minyak masak kehabisan. Bukan sahaja di kawasan bandar tetapi di kawasan Felda yang di kelilingi pokok kelapa sawit yang menghasilkan minyak masak yang terbesar di dunia!Kalau fikir-fikir balik memang tak masuk akal tetapi itulah yang berlaku.

Apa dah jadi sebenarnya? Adakah disebabkan sikap tamak pengeluar dan pembekal yang berjiwa kapitalis yang tamak haloba untuk mengaut keuntungan? Adakah ia berpunca dari langkah penguatkuasaan yang lemah atau sambil lewa? Barangkali gula di Malaysia ghaib hilang dalam jerebu yang sedang melanda negara.

06 August 2009

PEMIMPIN PRO ISA PENIPU!


1 Ogos mencatat sejarah apabila kononnya akan berlaku pertembungan besar di antara kumpulan anti ISA ( Gerakan Mansuhkan ISA-GMI) dan pro ISA. Datuk Ibrahim Ali, penyokong kumpulan ini membayangkan akan berlaku huru hara kerana pertembungan dua kumpulan yang berlainan ideologi.

Pada hari dijanjikan, kumpulan Gerakan Mansuhkan ISA melangkah gagah menenggelamkan kepikukan warga kota dengan puluhan ribu penyokong mereka membentuk lautan hitam membanjiri ibu kota. Ramai yang ditangkap, dibelasah, disembur air asid dan ditembak dengan gas pemedih mata.

Manakala kumpulan pro ISA hanya mampu mengumpulkan beberapa kerat penyokong mereka di celah sebuah bangunan kerana 'kecut perut' dengan kehadiran ribuan anggota polis. Mereka mendakwa mereka membatalkan himpunan kerana mematuhi arahan polis....Pirahhhhh... Sebelum ini cakap bergegar-gegar macam nak darurat dibuatnya.

Hari ini tembelang kumpulan pro Isa ini pecah lagi. Salah seorang jurucakap kumpulan berkenaan yang juga seorang peguam Mohd Khairul Azam Abd Aziz yang mendakwa sebagai ahli PAS di Selangor tenyata memakan diri. Semakan yang dibuat oleh Ibu Pejabat Agong Pas menunjukkan bahawa tidak wujud ahli PAS yang bernama Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz. Mungkin ahli hantu barangkali...

Bagaimana kumpulan ini nak berjuang kononnya untuk membela rakyat kalau pemimpin mereka sendiri adalah penipu? Ternyata dakwaan beliau sebelum ini berniat jahat bertujuan untuk memburuk-burukkan Pas di mata umum. Masyarakat boleh menilai sendiri kalau orang seperti ini menjadi pemimpin mereka.

MELAKA TERUS CATAT KEMATIAN KES H1N1


Melaka terus mencatat kematian kes demam selsema babi@Influeza A@H1N1 apabila murid yang berusia 12 tahun meninggal dunia kelmarin akibat wabak berkenaan.

Kematian ketiga H1N1 di negeri ini melibatkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dari Taman Pulai Indah, Jasin. Murid berkenaan Amir Akram Nor Azman dari Sekolah Kebangsaan Serkam meninggal dunia hanya setelah mengalami demam dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Manakala kes kematian keempat H1N1 berlaku pada hari yang sama, kali ini melibatkan remaja lelaki berusia 20 tahun dari Ayer Paabas, Alor Gajah, di sini.

Mangsa dimasukkan ke wad Hospital Melaka pada 2 Ogos lalu dan meninggal dunia pada keesokkan hari kira-kira pukul 2.30 petang. Menurut sumber, remaja berkenaan merupakan seorang pekerja sebuah pasaraya besar yang terkenal di negeri ini. Walau bagaimanapun pasaraya berkenaan masih terus beroperasi sehingga hari ini.

05 August 2009

RONIE VS HASSAN: SATU LAGI WAYANG POLITIK?

Hubungan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat diuji sekali lagi. Kali ini melibatkan dua Exco Datuk Dr. Hassan Ali dari Pas dan Ronie Liu dari DAP.Isunya bermula apabila pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam membuat serbuan dan rampasan arak di sebuah premis yang menyebabkan dakwaan wujud unsur campur tangan Ronie menghalang rampasan berkenaan.

Ternyata isu ini menarik minat pemimpin Umno@BN yang sebelum ini menyifatkan 'pergeseran' atau 'pergolakan' dalam Pakatan Rakyat hanyalah sebagai satu strategi politik.

Bagi saya isu ini boleh diselesaikan dengan baik tanpa membawa kepada pergolakan yang boleh menyebabkan keretakan hubungan dalam Pakatan Rakyat. Jika masalah pusat sembelihan babi di Alor Star yang digembar-gemburkan oleh media Umno@BN dapat diselesaikan dengan suasana harmonis kenapa tidak isu ini? Menteri Besar Kedah menyifatkan apa yang berlaku umpama 'ribut dalam cawan' mengulas apa yang berlaku di Kedah sebelum ini.

Apa yang berlaku mungkin disebabkan salah faham atau isu lain yang sebenarnya boleh diselesaikan di meja rundingan. Isu ini merupakan isu sensitif jika gagal ditangani dengan baik.Isu ini perlu diselesaikan segera agar Umno@BN tidak mengambil kesempatan lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya kecil Permatang Pasir. Kemenangan tipis Pas di Manek Urai lalu dikatakan mempunyai kaitan dengan pergeseran di antara PAS-DAP di Kedah ketika itu.

KES UGUT BUNUH PENGARAH SPRM CUBAAN ALIH ISU KEMATIAN TEOH BENG HOCK?


Hari ini bersambung kembali inkues menyiasat punca kematian pembantu Exco Selangor Teoh Beng Hock. Tumpuan pasti terarah kepada penemuan dua DNA misteri di tubuh simati.

Tidak semena-mena hari ini secara 'mengejut' Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) melaporkan beliau menerima ugutan bunuh berdasarkan surat misteri. Ternyata berita berkenaan telah menenggelamkan inkues yang bersambung hari ini.

Adakah ini bertujuan untuk mengalih isu kematian Teoh Beng Hock. Wallahu'alam.

KANAK-KANAK 3 TAHUN MANGSA KEMATIAN KEDUA H1N1 DI MELAKA


Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun yang baru menyambut hari lahirnya 26 Julai lalu merupakan kes kedua kematian berkaitan H1N1 di Melaka.

Menceritakan detik-detik menyedihkan itu,bapa mangsa Samsuddin Abdul Hamid, 27, beliau telah merujuk anaknya ke klinik pakar dan sebuah hospital swasta di Ayer Keroh, Khamis lalu.

Beliau berkata, anaknya itu kemudian dimasukkan ke wad sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka.

''Saya langsung tidak menyangka anak saya dijangkiti H1N1 kerana tidak pernah membawanya keluar kecuali menyerahkan kepada pengasuh di Taman Bertam Jaya, Cheng dekat sini Februari lalu,'' katanya.

Samsuddin yang ditemui bersama isterinya, Siti Suhaila Ahmad, 27, berkata, masih terngiang-ngiang suara Iffah Syazwina menyanyikan lagu selamat hari jadi seminggu sebelum dia diserang demam tersebut.

Katanya, kali terakhir beliau membawa anaknya bersiar-siar adalah pada Februari lalu dan langsung tidak menyangka dia meninggal dunia semalam akibat jangkitan virus selesema babi.

Menurut beliau, dia hanya mengetahui anaknya itu positif influenza A (H1N1) setelah disahkan doktor menerusi khidmat pesanan ringkas malam Ahad lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, keadaan Iffah dilaporkan semakin tenat sebelum meninggal dunia pada pukul 4.30 petang di Hospital Melaka, semalam.

"Memang sukar untuk saya terima kenyataan itu kerana tidak pernah membawa arwah ke mana-mana kerana bimbang dijangkiti H1N1," katanya ketika ditemui di rumah keluarga isterinya, di Kampung Parit Putat Benteng, Sungai Rambai di sini, hari ini.

Iffah Syazwina merupakan mangsa kesembilan maut akibat wabak itu setakat ini.

04 August 2009

ADA SESUATU YANG DISEMBUNYIKAN DI SEBALIK H1N1?


Di Melaka kira-kira sepuluh buah sekolah lagi ditutup hari ini akibat wabak H1N1. Antara sekolah berkenaan ialah sekolah Batu Berendam 1 dan 2, SK Peringggit, SK Ayer Keroh, SMK Tun Tijah dan SMKA Sharifah Rodziah.

Sesuatu yang 'misteri' berkaitan wabak H1N1 ini ialah adakah ia hanya melibatkan institusi pendidikan sahaja? Setakat ini kita hanya mendengar institusi pendidikan tinggi, kolej,pusat latihan dan sekolah sehaja yang diarah tutup. Kilang-kilang industri dan gedung perniagaan berstatus 'hyper market' yang mempunyai ribuan pekerja masih lagi 'kebal' dengan wabak ini. Saya mendapat maklumat dari rakan-rakan dan sumber yang sahih bahawa terdapat beberapa kes melibatkan industri dan gedung perniagaan. Tetapi kenapa kes ini tidak dihebahkan kepada pengetahuan umum? Adakah keuntungan syarikat atau industri lebih penting dari keselamatan dan nyawa manusia.

Menurut seorang rakan yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang tersohor di Melaka berkata di tempatnya bekerja ada pekerja yang mempunyai simptom H1N1 tetapi pihak kilang hanya mengarahkan pekerja terbabit pulang berehat di rumah atau mendapatkan rawatan di klinik.

Sehingga hari ini kerjaan masih merasakan tidak perlu jawatankuasa khas ataupun sidang tergempar parlimen untuk membincangkan wabak H1N1 kerana keadaan masih terkawal. Terkawal????? Jika di Melaka sahaja hari ini banyak sekolah ditutup agak-agaknya bagaimana dengan negeri lain?

03 August 2009

JOM BERDEMO DI STADIUM BUKIT JALIL


Perdana Menteri, Datuk seri Najib Tun Razak berkata kerajaan 1Malaysia bersedia menyediakan tempat seperti stadium untuk Pakatan Rakyat berdemontrasi dan bertempik sampai pagi.

Lepas ini sama-sama kita pakat-pakat demo di Stadium Bukit Jalil. Jangan lupa pakai topeng muka Altantuya bawa poster,banner dan bahan lain yang sesuai dan jangan lupa model kapal selam.

Masa dan hari akan dimaklumkan kemudian...

P/S : Mungkin Najib terlupa bahawa Pakatan Rakyat pernah anjur demo di Stadium MPPJ tentang isu harga minyak naik tetapi polis buat sekatan kepung dan halang orang ramai berdemo.