16 September 2009

MAKNA HARI RAYA DALAM ISLAM


Sempena menyambut hari raya tak lama lagi, marilah kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad saw. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 masa: (status hadith ini mintak sahabat yang pakar check semula).

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.

2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan

3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka

4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka

5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala

Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.


Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari raya bagi kita.


Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati.

Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita. Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.

Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.

Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hariraya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya. Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hariraya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak.

15 September 2009

FORMULA 1 DAN 1 MALAYSIA....AIR CINCAU DAN SIRAP BANDUNG


Kerajaan 1 Malaysia hari ini mengumumkan akan menubuhkan pasukan bercirikan 1Malaysia dalam sukan Formula 1. Sukan yang paling berprestij di dunia. Sekali dengar memang hebat dan mengkagumkan.

Menurut Datuk Seri Najib pasukan ini akan mengabungkan kepakaran syarikat tempatan seperti Naza Motor, Air Asia,Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM).

"Ini pasukan Malaysia. Kereta direka bentuk di SIC, dikeluarkan di SIC, diuji di SIC dan kereta buatan Malaysia. Kumpulan pitstop pun rakyat Malaysia," katanya. Mengulas lanjut Beliau berkata pasukan 1Malaysia itu akan mengenal pasti pemandu Malaysia yang sesuai, sambil menambah, projek tersebut dapat meningkatkan imej negara di persada antarabangsa.

Najib berkata Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telah menerima permohononan Malaysia untuk menyertai kejohanan F1 dunia tahun depan.

Atas kertas semua nampak hebat....Tapi bagaimana pula segala modal untuk menyertai Formula 1 ini. Menurut Najib "pelaburan kerajaan Malaysia adalah melalui Proton". Apa syarikat Proton yang tiap-tiap tahun rugi tu????

Menyertai Formula 1 bukan masuk pertandingan lari dalam guni...paling koman pun modal diperlukan ratus-ratus juta...Bukan nak perlekeh tapi lihatlah apa yang berlaku kepada pasukan ditaja oleh Sauber Petronas yang guna pemandu mat salleh dan pelumba Formula 1 yang pernah dilahirkan oleh Malaysia seperti Alex Yong semua tak ke mana...

Dalam keadaan banyak pasukan ternama seperti Ferrari, Mercedez, Toyota dan Honda ingin menarik diri dari Formula 1 tahun depan pengumuman penyertaan Malaysia adalah sesuatu yang sukar diterima akal. Lebih-lebih lagi ketika kegawatan ekonomi hari ini....

Satu lagi katakanlah pasukan 1Malaysia Formula 1 menang tempat podium dalam pelumbaan tu nanti, pelumba Malaysia tu nak goncang botol air cincau atau botol sirap bandung? Maklumlah kalau sebelum ni pelumba mat salleh yang menang duduk goncang botol arak tapi disebabkan hendak berjiwa Malaysia kena juga cadangkan agar goncang botol air cincau dan sirap bandung pulak untuk menunjukkan identiti Malaysia...Malaysia boleh!!!

PM KATA YA...MB PAHANG KATA TIDAK


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata hari ini beliau tidak akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini kerana bimbang dengan penularan selesema babi atau influenza A (H1N1) yang disifatkannya kini berada ditahap serius.

Eloklah tu bukan sahaja kerana musim penyakit tetapi sekurang-kurangnya dapat menjimatkan duit rakyat yang sedang bergelut dengan kegawatan ekonomi yang sedang melanda. Duit itu boleh digunakan untuk bantuan kepada fakir miskin, anak yatim atau ibu tunggal yang bilangannya bukan sedikit di Pahang.

Walau bagaimanapun berbeza dengan Perdana Menteri 1 Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak yang tetap akan menganjurkan rumah terbuka di Sri Perdana bermula jam 11 pagi pada hari raya pertama dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam. Perkhidmatan bas percuma juga bakal disediakan untuk ke rumah terbuka tersebut untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Kata nak berjimat cermat kerajaan membuat perbelanjaan berhemat...bonus untuk kakitangan kerajaan tak diberi kerajaan tak cukup duit....Rakyat kena berjimat...Buat rumah terbuka boleh pulak? Oh yaa....Rakyat didahulukan....

14 September 2009

GURU TERANIAYA

Mungkin ramai yang beranggapan kerjaya guru adalah beruntung dan bertuah. Cuti banyak dan gaji pun boleh tahan. Cuma tahun ni bonus je tak de...Ops ada...Bantuan khas....Guru Gred DG 41 ke atas melepas walaupun gaji mereka lebih kecil dari guru DG 32 yang dapat merasa bantuan khas tersebut.

Tetapi ramai yang tidak menyedari walaupun guru didakwa banyak cuti tetapi kerja di sekolah terpaksa di bawa ke rumah kadang-kadang terpaksa disiapkan sehingga lewat malam. Itu belum termasuk tugas-tugas kerani dan pembantu tadbir yang terpaksa dilakukan oleh guru. Nak buat macam mana itu merupakan 'pakej' standard guru Malaysia.

Tetapi apa yang saya nak fokuskan kali ini ialah masa cuti guru pada hujung tahun yang semakin singkat. Jika sebelumnya cuti hujung tahun adalah hampir 2 bulan kini tinggal tak sampai 45 hari. Apa yang lebih malang kali ini tarikh peperiksaan dibuat dua minggu sebelum cuti persekolahan. Bermakna pada masa cuti guru tak boleh bercuti lagi kena menanda kertas peperiksaan akhir tahun yang segala urusan seperti penandaan, analisis markah dan sebagainya kena disiapkan dalam tempoh dua minggu dari tarikh akhir peperiksaan.

Sudah ada arahan dari pihak sekolah yang tidak membenarkan guru pada dua minggu pertama cuti semester agar tidak keluar dari 'kawasan'. Guru perlu 'on call' dan boleh dipanggil bila-bila masa oleh pihak sekolah pada waktu cuti. Inilah malang nasib guru hari ini....Apa-apa pun tahniah dan syabas kepada mereka yang benar-benar ikhlas memilih kerjaya guru.

13 September 2009

UMNO PARTI ISLAM: BANNER RAMADHAN DAN ARAK TAK TAHU NAK BEZA

Perdana Menteri 1Malaysia mendakwa Umno parti Islam sebab memperjuangkan Islam di negara ini. Inilah buktikanya banner sambutan Ramadhan dan banner arak boleh diletakkan bertindihan antara satu sama lain. Gambar yang diambil dari blog http://dppmuar.blogspot.com/ yang diletakkan di sebuah kedai cina Simpang empat Sungai Mati oleh Umno Bahagian Ledang.

Mungkin inilah gambaran parti Islam yang didakwa oleh Umno sehingga arak dan judi dikilang dan dijual berluasa di negara ini.

11 September 2009

CUBA RETAKAN PAKATAN RAKYAT, BN YANG BERDERAI!


Apa yang berlaku dalam BN hari ini umpama dikendung tak dapat yang dikejar berkeciciran. Itulah sibuk sangat jaga tepi kain orang sehingga tak sedar kain sendiri yang dipakai koyak rabak berlubang sini sana.

Secara terang-terang media pengampu dan penipu dimanipulasi untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat khususnya di antara PAS dan DAP. Dari isu pusat sembelihan babi di Kedah, isu penjualan arak di Selangor hinggalah isu pembinaan kuil di Seksyen 23 semuanya digembar-gemburkan secara tidak bertamadun.

Sebaliknya kerjasama dalam Pakatan Rakyat terus mantap dan utuh. Perbezaan pendapat dan salah faham sikit-sikit tu biasalah sedangkan lidah lagi tergigit.

Tetapi apa yang berlaku dalam BN bertambah haru biru dan mengharukan. Di Terangganu Umno bergaduh sesama sendiri. MCA bertambah kalut dengan perang antara Chua Soi Lek-Ong Tee Kiat. MIC seperti tidak mahu ketinggalan dalam drama perpecahan di dalam BN apabila Samy Vellu bakal bertempur dengan calon timbalan presiden MIC S Subramaniam. Itu belum masuk perkelahian dalam PPP antara M. Murugiah K Kayveas.

Kita tunggu apa lagi skrip dan babak yang seterusnya. Semua ini menjadi petanda yang cukup kuat gabungan yang dibangga oleh BN selama bakal menunggu masa untuk pecah berderai.

MAHLIGAI DI PARLIMEN PEKAN :RAKYAT DIDAHULUKAN...


Gambar ini bukan diambil dari parlimen atau Dun yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Gambar ini adalah rumah seorang rakyat dalam parlimen yang wakilnya adalah Perdana Menteri 1Malaysia di Parlimen Pekan.

Apa yang lebih menyedihkan Mohamad Hassan, 62 yang tinggal di Kampung Peramu pinggir sungai Pahang hanya mampu berbuka puasa dengan air masak sahaja kerana tidak ada juadah untuk dijamah. Juadah berbuka dengan nasi berlauk ayam atau daging mungkin satu hidangan impian kepada dia kerana jika dapat makan nasi sekali pun, ia tidak lebih sekadar berlauk ikan yang ditangkap sendiri atau pemberian orang ramai.

Keperitan dan kemalaratan hidup itu telah dilalui lebih 20 tahun lalu tetapi kesempitan dan kemiskinannya tidak pernah menjadi penghalang untuk meninggalkan ibadah puasa.

ISA SAMAD MENGIDAM JADI CALON DI BAGAN PINANG

Sehari dua ni kenyataan-kenyataan Tan Sri Isa Samad menggambarkan beliau cukup berminat menjadi calon Umno@BN di Bagan Pinang. Maklumlah ketua Bahagian le katakan...Mana le nak letak muka orang popular tak boleh jadi calon...

Isa Samad membidas Pakatan Rakyat yang membangkitkan isu moralnya untuk menyekat beliau menjadi calon.

"Saya tengok, pembangkang keluar penjara pun jadi calon. Ada dalam penjara pun boleh jadi calon. Jadi apa masalahnya?" Kata Isa...

Cuma nak tanya Isa Samad siapa pimpinan Pembangkang yang masuk penjara dan keluar penjara tu? Datuk seri Anwar Ibrahim dan M. Mahimoran? Mereka masuk penjara sebab apa? Mereka dipenjara atas tuduhan politik yang direka untuk menyekat dan mematikan karier politik mereka. Tak payah cerita banyak-banyak 1 satu dunia dan 1Malaysia dah tahu...Orang kampung saya pun tahu.

Isa Samad patut cermin diri, beliau memang le tidak dipenjarakan tetapi bukan bermakna beliau suci. 1Malaysia sudah tahu cerita beliau disingkir dari jawatan Naib Presiden dan digantung selama 3 tahun kerana rasuah. Rasuah adalah jenayah yang salah dari undang-undang mana-mana negara pun seluruh dunia dan amat dikeji dalam Islam. Cuma SPR (BPR) ketika tu tak menganggapnya jenayah...

Tetapi kalau Isa tetap berminat jadi calon di Bagan Pinang ia amat-amat dialukan supaya seluruh dunia dan 1Malaysia tahu bahawa Umno@BN mengiktiraf perasuah sebagai pemimpin.

09 September 2009

INI TAK ADIL!


Pengumuman kerajaan 1Malaysia di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bantuan khas sebanyak RM 500 kepada 860 ribu kakitangan kerajaan kumpulan sokongan dengan terpaksa membuat bayaran sebanyak 2 kali mengesahkan bahawa kerajaan 1Malaysia berada dalam keadaan gawat. Politik gawat, ekonomi gawat...Masalah sosial lagi gawat.

Pemberian sebelah pihak ini ternyata menyebabkan kira-kira 400 ribu kakitangan kerajaan merasa hampa dan kecewa kerana tidak mendapat sebarang imbuhan, bantuan atau bonus dari kerajaan.

Langkah ini bukan sahaja dilihat pelik tetapi juga buat pertama kalinya dalam sejarah pemberian bantuan atau bonus berat sebelah diperkenalkan oleh kerajaan. Mana perginya slogan rakyat didahulukan? Adakah lebih 400 kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional tidak layak mendapat apa-apa imbuhan? Bagi saya kalau nak beri beri semua...Kalau tak nak beri sebab tak mampu jangan beri semua...Adakah ini dasar baru kerajaan 1Malaysia mewujudkan diskriminasi dalam pemberian imbuhan?

Adakah kegawatan ekonomi hanya dirasai oleh kumpulan sokongan? Adakah hanya kumpulan sokongan yang merasai kenaikan harga minyak? Adakah hanya kumpulan sokongan yang terbeban untuk menyambut hari raya dan persiapan anak sekolah sesi tahun depan?

Bagi golongan kumpulan sokongan jumlah RM 250 yang dibayar sebelum hari raya ini tidak mampu menyelesaikan masalah kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi sekarang. Silap hari bulan nak beli kuih raya pun tak cukup...Baki RM 250 hujung tahun ini pula mungkin cukup bayar yuran sekolah lima orang anak yang kerajaan kata percuma tu...

Apa yang pasti pemberian imbuhan khas ini sedikit sebanyak akan menyebabkan golongan peniaga yang berjiwa kapitalis akan menaikkan harga barang. Tapi tak mengapa kenaikan ini hanya dirasai oleh kumpulan sokongan je...Manakala golongan pengurusan dan profesional terkecuali....Gaji mereka kan besar...Syabas 1Malaysia!

HANYA DUN DIKUASAI UMNO@BN BOLEH BUAT KEPUTUSAN MUKTAMAD?

Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menyingkirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh dari DAP, V Sivakumar, sebagai Speaker DUN adalah muktamad dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah.

Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azahar Mohamed, selepas membatalkan saman Sivakumar terhadap Speaker DUN, Datuk R Ganesan, di sini semalam.

Azahar berkata, mahkamah tidak boleh mencampuri keputusan yang dibuat pada sidang DUN Perak, 7 Mei lalu kerana ia diputuskan secara betul mengikut Perkara 72, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan urusan persidangan DUN dijalankan secara sah dan tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah.

Mungkin hakim boleh menambah hujahnya bahawa keputusan ini hanya tertakluk kepada mana-mana Dun yang dikusai oleh Umno@BN manakala Dun yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat kuasa Dun berkenaan bukan sahaja boleh dipertikaikan di mahkamah tetapi juga boleh diubah oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Sekian dimaklumkan.