30 September 2009

BAGAN PINANG: KUBUR UNTUK ISA ATAU UMNO?


Pagi tadi saya bersarapan dengan isteri di sebuah restoran berhampiran dengan Universiti Teknikal Melaka (Utems). Di meja sebelah berberapa orang pensyarah Utems rancak berborak dalam bahasa Inggeris tentang pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon di Bagan Pinang.

Apa yang mereka bualkan hampir sama dengan apa yang dinyatakan dalam blog ini dan kebanyakan blog lain. Umno tak ada pilihan selain mencalonkan Isa dan Umno tak boleh kalah lagi dalam pilihanraya kecil walaupun orang tahu Isa terlibat dengan rasuah. Umno terpaksa melutut untuk memilih Isa yang suku sakat, ahli keluarga dan penyokongnya cukup ramai di Bagan Pinang.Biarlah Umno dikatakan parti rasuah atau membela perasuah. Itu tak jadi hal, apa yang penting Isa ada peluang lebih besar untuk menang berbanding dengan calon-calon lain.

Benarkah begitu? Adakah pengundi Bagan Pinang hanya tunggul kayu yang akan memilih siapa sahaja calon tanpa mengira latar belakangnya? Adakah pengundi pos dari tentera yang berjumlah kira-kira 4 ribu orang akan termakan dengan pengistiharan Port Dicksons Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri semalam?

Adakah pemilihan Isa bertujuan untuk menguburkan kerjaya politik Isa buat selama-lamanya? Isa dilihat mempunyai impian untuk mendapatkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini. Pemilihan Isa merupakan satu perjudian besar dilakukan oleh Umno. Pemilihan Isa sebenarnya menjadikan persaingan dalam pilihanraya kecil di Bagan Pinang adalah seimbang walaupun undi pos merupakan penentu kepada Pas atau Umno.

Bagi Pas yang mencalonkan Persuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Bin Omar yang mendapat sokongan padu dari Pas dan Pakatan Rakyat, ketokohan calon akan membantu meningkatkan sokongan pengundi di Bagan Pinang. Jika Isa mampu ditewaskan maka bermakna 'tsunami' politik kedua melanda Umno@BN. Lebih-lebih lagi Umno cukup bermegah bahawa Bagan Pinang adalah kubu kuat mereka ( sebenarnya sebab ada undi pos). Jika Pas berjaya mengurangkan majoriti Umno@BN di situ itu sudah cukup sebagai satu kemenangan Pas dan Pakatan Rakyat.

Sekiranya semua pihak dalam Pas dan Pakatan Rakyat berkerja kuat untuk kemenangan calon Pas atau dapat mengurangkan majoriti undi Umno@BN yang diperolehi dalam pilihanraya umum lalu sebelum ini, ia sudah cukup jelas sebagai isyarat bahawa kerjaya politik Isa dan hayat politik Umno akan dikuburkan.

29 September 2009

RASUAH PUN RASUAHLAH ASALKAN TAK KALAH DI BAGAN PINANG


Tidak ada yang terkejut atau kena serangan jantung apabila Tan Sri Isa Samad dipilih menjadi calon di Bagan Pinang. Umno sebenarnya tidak ada pilihan melainkan terpaksa memilih Isa yang didesak oleh akar umbi (ubi kayu) Umno di Bagan Pinang. Memilih selain daripada Isa bermakna risiko untuk kalah adalah lebih besar.

Umno kini terpaksa kembali menjilat ludah dan nanah dengan meletakkan orang yang terlibat dengan skandal rasuah. Semua ini jelas menunjukkan hanya perasuah atau kaki rasuah adalah sesuatu yang 'halal' dalam Umno dan menjadi prasyarat penting untuk dipilih menjadi pemimpin. Lihatlah sanjungan yang diterima oleh Datuk Muhd. Ali Rustam kerana rasuah yang dilakukannya.

Walau apa pun keputusan dalam pilihanraya kecil ini nanti Umno sebenarnya awal-awal lagi telah tewas apabila secara langsung mengiktiraf perasuah sebagai pemimpin. Pemilihan Isa mungkin akan memberikan kemenangan Umno di Bagan Pinang ( maklumlah undi Pos hampir 40%) tetapi pemilihan ini sebenarnya mengesahkan bahawa Umno akan menjadi pembangkang selepas pilihanraya umum ke 13 nanti.

MEE SEGERA PENGGANTI KETUPAT DAN LEMANG DI BAGAN PINANG


Ketika umat Islam di negara ini sibuk dengan rumah terbuka menjamu lemang dan ketupat kepada tetamu yang hadir, penduduk di Bagan Pinang pula dihidangkan dengan menu yang berbeza dan sungguh istimewa.

Hidangan ini cukup istimewa kerana disediakan bukan calang-calang chef. Menunya sangat istimewa kerana hanya muncul semasa musim pilihanraya terutama pilihanraya kecil. Walaupun pernah 'diharamkan' oleh Perdana Menteri 1Malaysia ia tetap menjadi hidangan utama atau menu wajib. Bertuah penduduk Bagan Pinang kerana dapat merasa 'air tangan' Timbalan Perdana Menteri, Menteri, timbalan dan Menteri Besar sendiri. Kepada penduduk Bagan Pinang selamat menikmati hidangan 'projek mee segera'.....selamat menjamu selera...

28 September 2009

‘RIBUT DALAM CAWAN’ MELANDA SELANGOR PULA

Saya melihat terdapat usaha yang berterusan untuk menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Tidak dinafikan memang wujud masaalah di Selangor tetapi ia umpama ribut dalam cawan. Perbezaan pendapat dan pandangan adalah lumrah. Masaalahnya adah pihak yang mudah melatah dan melenting terikut-ikut dengan rentak musuh yang memang suka mengapi-api dan melaga-lagakan agar wujud perpecahan dan keretakan dalam Pakatan Rakyat.

Mana yang kurang akan ditambah perisa dan ditokok tambah dan digaulkan supaya kelihatan lebih lazat dan enak walaupun sebenarnya rasanya pahit dan payau. Lihatlah cerita tentang lembu sahaja boleh dibuat beberapa siri dan episod di Selangor tetapi tidak di tempat lain. Mula-mula cerita lembu korban, kepala lembu dan hari ini cerita lembu berdemontrasi pulak.

Isu yang berlaku menyebabkan isu yang lebih besar tenggelam. Orang Selangor dan di tempat lain tidak lagi bercakap tentang isu duit BALKIS,hadiah mahal dan percutian mewah di Paris dan Disneyland melibatkan Datuk Dr. Khir Toyo sebelum ini.Malah cerita kehebatan istana Khir Toyo juga semakin dilupakan. Malah isu penyelewengan yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat di The Port Klang Free Zone (PKFZ) semakin dilupakan sekarang ini.

Sebaliknya isu yang diperbesar-besarkan kini ialah isu perbezaan dan perselisihan pendapat. Masaalah yang menjurus kepada isu-isu teknikal yang berkaitan dengan dasar pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat. Saya melihat isu-isu ini mencerminkan fokus dan keperihatian semua pihak untuk memastikan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat adalah lebih baik dari era pentadbiran Umno@BN.

Bagi saya isu yang berlaku adalah isu kecil remeh temeh yang tidak perlu diperbesarkan. Semua pihak dalam Pakatan Rakyat perlu lebih matang dan terbuka dalam menerima pandangan dan kritikan. Pandangan dan krtikan yang baik perlu diterima dengan terbuka dan bukan bertujuan untuk menjatuhkan maruah atau mengaibkan orang lain. Kerajaan Pakatan Rakyat perlu lebih berani dan telus dan bukan hanya bersikap kaki angguk atau pak turut yang sudah sinonim dengan budaya dalam Umno@BN.

Walaupun isu yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Rakyat hari ini isu-isu teknikal dan kecil tetapi suka diingatkan orang tidak jatuh dengan melanggar bukit bukau dan gunung ganang. Tetapi biasanya orang terjatuh dengan terlanggar batu-batu kecil....

KAEDAH TERBAIK ATASI KESESAKAN DI PLAZA TOL DI MUSIM PERAYAAN


Setiap kali musim perayaan pengguna jalanraya akan menghadapi kesesakan teruk terutama ketika ingin memasuki plaza tol pintu masuk dan keluar dari Kuala Lumpur. Plaza tol telah dibesarkan, kaunter tambahan telah dibuka, Touch N Go dan Smart Tag telah diperkenalkan tetapi semuanya gagal mengatasi kesesakan teruk yang berlaku. Hanya satu cara sahaja untuk menyelesaikan masaalah ini. Hapuskan TOL!!!! Bila tol dihapuskan jadi tak perlu lagi plaza tol. Bila dah tak ada plaza tol tak ada lah lagi kesesakan di Plaza Tol...

BUKAN TOK GURU NIK AZIZ YANG MAKSUM, ALI RUSTAM YANG MAKSUM


Datuk Mohd. Ali Rustam dalam kenyataannya di Majlis Rumah Terbuka di sungai Rambai Melaka semalam menyifatkan Tuan Guru Dato Nik Abd. Aziz Nik Mat sebagai 'maksum' kerana menganggap sebagai tidak boleh ditegur. Maksum dalam bahasa yang mudah bebas dari kesalahan dan dosa. Sebagai manusia biasa kita tidak sunyi dari melakukan kesilapan dan kesalahan.

Dalam hal ini Ali Rustam sebenarnya yang 'maksum'.Walaupun telah dibuktikan bersalah terlibat dengan rasuah tetapi masih dianggap 'bersih dan suci'. Tan Sri Isa Samad digantung 3 tahun dan disingkirkan dari jawatan Naib Presiden Umno kerana rasuah iaitu kesalahan yang sama dengan Ali Rustam. Tetapi Ali Rustam terbukti 'maksum' hanya diberi amaran dan hanya hilang kelayakan bertanding tetapi mendapat anugerah kekal sebagai Ketua Menteri Melaka, dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan terus dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno dan Barisan Nasional Melaka .

Isa Samad kena berguru dan menuntut ilmu dengan Ali Rustam supaya mendapat status 'maksum' dalam Umno dan seterusnya boleh dipilih menjadi calon pilihanraya kecil Bagan Pinang.

27 September 2009

KERAJAAN 1 MALAYSIA 'HALALKAN' KONSERT KERANA BEYONCE MENUTUP AURAT?

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tidak ada sebab untuk menghalang penyanyi terkenal dari Amerika Syarikat, Beyonce mengadakan persembahan di negara ini.

Menurut beliau lagi "Sekiranya beliau menunjukkan aurat dan sengaja melanggar peraturan yang dikenakan pihak berkuasa maka beliau tidak dibenarkan," katanya kepada pemberita selepas menganjurkan majlis rumah terbuka beliau malam tadi.

Maknanya konsert Beyonce 25 Oktober ini dibenarkan oleh kerajaan 1Malaysia kerana kejayaan kerajaan Umno@BN mentarbiyyah Beyonce menutup aurat seperti di bawah ni????

Mungkin juga Beyonce berpakaian sopan menutup aurat seperti ini????
Inilah contoh pemimpin Umno yang tak faham atau memang jahil bab aurat seperti yang dituntut dalam Islam. Maka tak peliklah kalau isteri Rais Yatim boleh berpakaian menutup aurat seperti ini...
Kepada mufti dan kadi serta ustaz yang ada dalam Umno tolong beritahu pada pemimpin Umno bab aurat dalam Islam sebelum mendakwa Umno parti Islam.Budak PASTI yang umur 5 dan 6 tahun pun reti bab aurat Kalau bab aurat pun tak faham macam mana nak dakwa Umno parti Islam?

26 September 2009

DR MAHATHIR AKAN KELUAR UMNO SEKALI LAGI JIKA ISA JADI CALON?

Bincang siapa jadi calon?

Akhir-akhir ini kenyataan-kenyataan Tun Dr. Mahathir seolah-olah beliau masih presiden Umno. Terbaru berkaitan dengan siapa calon Umno di pilihanraya kecil Bagan Pinang. Berita dan ulasan yang berkaitan dengan Dr. Mahathir kebelakangan ini seperti mengulangi episod 'perang dingin' Dr. Mahathir-Pak Lah tidak lama dulu yang membawa kepada keluarnya beliau dari Umno. Hari ini beliau mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Seri Kembangan. Media memberi promosi yang baik kepada majlis rumah terbuka yang diadakan. Sudah pasti ini merupakan satu lagi ruang dan peluang untuk Dr. Mahathir membuktikan bahawa beliau masih lagi kuat dan cukup berpengaruh dalam senario dalam negara.

Umno masih lagi terkial-kial dan berteka-teki siapa calon di Bagan Pinang. Sebelum ini Umno Bahagian Telok Kemang hanya mencalonkan Ketua bahagiannya Tan Sri Isa Samad sebagai calon tunggal. Tak semena-mena hari ini Umno bahagian dalam satu kenyataan akhbar semalam mengumumkan mereka sudah mempunyai tiga nama.Bermakna Umno Telok Kemang mula berdiplomasi kerana penolakan massa kepada Isa.

Tetapi dalam Umno macam-macam boleh berlaku. Adakah Umno akan mencalonkan Isa sebagai calon? Tindakan yang pastinya akan mengecewakan Dr. Mahathir kepada Umno sekali lagi. adakah ini akan membawa kepada pengisytiharan Dr. Mahathir keluar dari Umno? Jika itu keadaannya Dr. Mahathir tidak perlu gundah gelana kerana beliau masih lagi meneruskan kelantangannya paling tidak pun jadi penasihat kepada parti Makkal Sakhti yang dirasmikan 10 Oktober depan!

25 September 2009

RUMAH TERBUKA PM: SOKONGAN KEPADA NAJIB MERUDUM?


Majlis rumah terbuka Perdana Menteri seolah-olah sudah menjadi tradisi di negara ini sama ada dalam suasana ekonomi yang memberansangkan atau ketika gawat. Semasa era Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Badawi Perdana Menteri akhbar melaporkan bahawa kehadiran di rumah terbuka kedua-dua mantan Perdana Menteri berkenaan mencecah ratusan ribu orang. Malah, dalam senario Tun Abdullah Badawi berhadapan kritikan dari dalam dan luar Umno@BN tahun-tahun terakhirnya sebagai Perdana Menteri akhbar melaporkan kehadiran mencecah 200 ribu tetamu.

Ketika itu, akhbar melaporkan 'Hari Raya disambut sederhana'. Tahun ini, tahun pertama Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri kehadiran di rumah terbuka beliau yang kembali ke Seri Perdana setelah lima tahun hanya 50 ribu tetamu yang hadir. Akhbar melaporkan 'Hari Raya disambut meriah'. Nak kata sebab berubah tempat, zaman Tun Dr. Mahathir pun pernah buat di Seri Perdana tapi angka tetamu yang hadir masih lagi sekitar ratusan ribu orang.

Semua ini sebagai satu isyarat yang cukup jelas sokongan kepada Najib dan Umno@BN semakin merudum tetapi siapa yang nak mengaku ye tak? Hilang lima negeri pun masih perasan popular. Undi popular Umno dalam pilihanraya umum ke 12 tak sampai 50% masih lagi cakap bergegar-gegar. Kalah di tujuh pilihanraya kecil pasca pilihanraya ke 12 masih lagi tidak berpijak di bumi nyata. Apa yang pasti majoriti rakyat semakin tidak sabar menunggu detik pembubaran parlimen untuk pilihanraya umum ke 13 untuk mencipta sejarah dalam politik negara.

23 September 2009

KEHADIRAN DR MAHATHIR DI RUMAH MB NS ISYARAT UNTUK ISA

Budaya kunjung mengunjung ziarah menziarahi mengeratkan silaturrahim sangat dituntut dalam Islam lebih-lebih lagi dalam suasana lebaran ini. Tetapi kehadiran mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di rumah terbuka Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hassan semalam bukan sekadar kunjungan biasa yang boleh ditafsirkan 1001 makna.

Jika sebelum ini, Dr. Mahathir mengeluarkan kenyataan agar Umno menolak calon rasuah kenyataan itu ditegaskan lagi dengan kehadiran di rumah terbuka Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan.

Pelantikan Mohamad Hassan sebelum ini sebagai Menteri Besar pada zaman Dr Mahathir sudah cukup menggambarkan hubungan erat mereka berdua. Dalam erti kata lain, Mohamad Hassan masih lagi tidak lupa segala jasa dan budi Dr Mahathir selama ini kepada beliau.

Kehadiran Dr. Mahathir sudah cukup menggambarkan bahawa peluang Tan Sri Isa Samad untuk menjadi calon di Bagan Pinang seolah-olah sudah tertutup rapat. Walaupun segala keputusan siapa calon adalah di tangan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tetapi pengaruh dan kuasa Dr. Mahathir dan Mohamad Hassan pasti menjadi pertimbangan utama untuk memastikan Isa Samad sekali lagi terpaksa berputih mata untuk kembali dalam arena politik negara.