
Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah ekoran kegagalan wakil rakyatnya menghadiri dua persidangan dewan itu berturut-turut. ADUN kawasan itu, Datuk Abu Hassan Sarif tidak hadir persidangan pada 19 April dan 9 Ogos lalu tanpa memaklumkan terlebih dahulu sebabnya kepada Speaker DUN Kedah.
Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.
"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya ketika menyampaikan keputusannya pada 5.30 petang tadi.
Keputusan ini pastinya satu tamparan yang cukup hebat kepada SPR yang sering campur tangan dan mengambil alih tugas speaker dan mahkamah. Keputusan ini juga sebagai isyarat cukup jelas kepada kerajaan kudeta Datuk Zambry Abd. Kadir di Perak bahawa mereka hanya menunggu masa untuk ditumbangkan pada bila-bila masa berdasarkan keputusan mahkamah ini. Ia jelas membuktikan bahawa kuasa yang ada pada speaker adalah kuasa istimewa yang tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah.
Melalui keputusan ini juga sebagai satu tamparan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin yang sebelum ini mengarahkahkan bekas Adun Kota Seputeh untuk hadir sidang DUN esok walaupun speaker telah membuat keputusan melarang adun berkenaan hadir dan mahkamah belum membuat apa-apa keputusan. Arahan Muhyiddin sebelum ini dilihat sebagai satu tindakan tidak menghormati kuasa speaker dan mendahului mahkamah iaitu mengatasi sistem perundangan negara.
Muhyiddin dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, walaupun Speaker menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai Adun, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh SPR bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.
“Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan Speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu.
“SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa Speaker itu saya tak tahu”.
Sekaligus keputusan ini memberi peringatan kepada Umno@BN supaya tidak mempermain dan memperlekeh serta memperolokkan dengan melantik speaker haram di Perak.
Keputusan ini memberi isyarat yang cukup jelas bahawa segala penipuan dan pembohongan Umno@BN dan media milik mereka tentang tugas dan kuasa speaker seperti kes di Perak dan Selangor akan terbongkar tidak lama lagi.