30 December 2009

BH DAN UTUSAN BAKAL KENA SAMAN LAGI


Sehari ini dua cukup galak akhbar Berita Harian, Utusan dan yang sewaktu dengannya cuba melaga-lagakan serta memporak perandakan kerajaan pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terkini mereka cuba menggambarkan kepimpinan TGNA di Kelantan sedang bergolak dan berhadapan krisis kepercayaan. Bagi pihak Umno@BN mereka beranggapan situasi ini menggambarkan kemelut politik yang berlaku di Kelantan.

Isu perletakan jawatan dan tamat kontrak Setiausaha politik dan akhbar Menteri Besar Kelantan itu cuba digembar gemburkan serta ditokoh tambah serta disensasikan.

Ternyata apa yang berlaku satu cubaan terdesak dan tidak menggugat kepimpinan TGNA dan kerajaan Pas yang telah dua dekad memacu dalam menegakkan syiar Islam di bumi Serambi Mekah.

Hari ini bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Saiba Yaacob tampil meminta akhbar Berita Harian memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan kenyataan yang dianggap tidak tepat mengenai dirinya.
Malah katanya, wartawan akhbar berkenaan tidak pernah menemuinya sebelum menyiarkan kenyataan dianggap panjang lebar berkaitan dirinya.

“Beberapa laporan yang terdapat dalam akhbar berkenaan semalam bukan sahaja tidak betul, bahkan tidak pernah menghubungi saya untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

“Laporan itu kata saya merancang untuk mengajar di Kias tak betul, nak melanjutkan pengajian di Kuis pun tak betul, sebaliknya saya akan menyambung pengajian di peringkat PhD di UM,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Oleh yang demikian, Mohd Saiba memberi peluang akhbar berkenaan memohon maaf sebelum tindakan lanjut diambil memandangkan berita yang disiar tidak mendapat kebenarannya dan turut dilibat nama Anual Bakri.

“Jadi bagi membersihkan nama saya dengan laporan yang agak kurang manis, ada baiknya akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka sebelum tindakan lanjut diambil,” ujarnya.

Katanya begitu kecewa dan terkejut dengan laporan tersebut dengan memperincikan maklumat mengenainya.

Beliau juga berkata, ekoran laporan tersebut menyebabkan beliau bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

Bagi saya tak pelik agenda jahat milik akhbar pengampu dan penipu yang dibayangi oleh pimpinan Umno@BN. Mungkin kini akhbar berkenaan sekarang mencatat keuntungan berlipat kali ganda dan cukup bermurah hati untuk membayar tuntutan saman fitnah atas penyiaran berita yang tidak bermaruah dan beretika.

YDP BUKIT KATIL @ BLOGGER MUTALIGAT DIMASUKKAN KE HOSPITAL


Berita yang saya baru terima sebentar tadi saudari Sofi Wahab Yang Dipertua Pas Kawasan Bukit Katil yang juga blogger Mutaligat dimasukkan wad 355 Hospital Pantai Ayer Keroh Melaka. Menurut saudara Khairul Che Salleh AJK pemuda Pas Bukit Katil, saudara Sofi sering mengadu sakit perut kebelakangan ini. Kepada sahabat yang berlapangan bolehlah melawat beliau di wad berkenaan.

29 December 2009

MALAYSIA BELI PESAWAT PEJUANG UNTUK PAMERAN?


Langkah Kerajaan untuk menggantikan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) MIG 29N yang akan ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember 2010 menggundang kritikan dari pelbagai pihak. Terkini daripada Tun Dr. Mahathir yang merupakan individu bertanggungjawab urusan pembelian MRCA berkenaan di Malaysia semasa menjadi Perdana Menteri.

Beliau mempertikaikan kemungkinan penglibatan orang tengah yang ambil untung 'atas angin' di sebalik urusan pembelian jet pejuang baru itu nanti.

Dr. Mahathir juga berkata negara lain seperti India yang menggunakan jet tempur jenis yang sama tidak berhadapan dengan sebarang masalah. Alasan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan tidak mampu menanggung kosRM 260 juta untuk baik pulih 17 pesawat sedia ada.

Tambah Dr. Mahathir, walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah berbanding buatan Amerika Syarikat (AS), tetapi sejumlah wang yang besar masih terpaksa dibelanjakan untuk menukar kepada pesawat baru yang sudah pasti akan menelan kos jutaan ringgit.

"Dalam keadaan ekonomi negara sekarang, mampukah kita belanja ratusan juta untuk pesawat ganti?

"Pesawat AS kononnya tahan lebih lama. Tetapi kita perlu ingat apabila duit untuk membeli MiG-29 diguna untuk beli pesawat F/A-18, akhirnya kita tahu syarat ketat yang dikenakan oleh AS," katanya.

Jelas beliau, pihak AS tidak akan memberikan source code atau kod teknikal yang akan mengehadkan kegunaan pesawat F/A-18 itu dan akhirnya digunakan untuk tujuan pameran sahaja.

Inilah juga yang berlaku terhadap pembelian jet pejuang Hawk 100 dan 200 dari Britain yang disifatkan oleh kerajaan terbaik di dunia dalam kelasnya ketika itu. Menurut sumber Kementerian Pertahanan sebelum ini lebih separuh dari pada jet pejuang berkenaan tidak dapat digunakan kerana kesukaran mendapatkan alat ganti.

Saya yakin banyak lagi aset pertahanan yang dimiliki negara mempunyai masalah yang serupa.

Ini bermakna Malaysia mempunyai banyak koleksi pesawat pejuang canggih yang tidak dapat digunakan atau berfungsi seperti sepatutnya dan kini hanya menjadi bahan pameran.

Namun jika terlalu banyak aset ketenteraan yang hendak dipamerkan dan tidak ada ruang atau tempat untuknya, saya yakin di Melaka negeri yang mempunyai berpuluh muzium bersedia untuk menawarkan muzium baru untuk pesawat pejuang milik negara yang tak boleh guna.

Apa yang berlaku menunjukkan sesuatu yang tidak kena terhadap aset pembelian keselamatan negara yang menelan kos bilion ringgit. Kenapa dalam laporan audit negara tidak mendedahkan hal ini? Adakah tidak dapat dikesan atau memang sengaja dirahsiakan kerana faktor keselamatan atau melindungi individu tertentu yang berkepentingan?

Dalam hal ini sebenarnya, Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Menteri Pertahanan ketika itu kena bertanggungjawab dan menjelaskan punca masalah yang berlaku.

28 December 2009

CADANGAN LOGO BARU BN

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangankan agar Barisan Nasional (BN) merintis usaha penjenamaan semula termasuk memperkenalkan logo baru yang lebih menarik serta mempunyai ciri-ciri dan pengertian gagasan 1 Malaysia.

Dalam proses penjenamaan semula itu untuk mendekatkannya dengan hati rakyat.Cadangan itu dinyatakan dalam laman web beliau, www.keruak.com.Untuk lebih tepat dalam situasi BN sekarang yang semakin kronik dengan perpecahan dalaman, krisis, penyelewengan dan skandal maka logo di bawah boleh dipertimbangkan.




27 December 2009

KEMARUKNYA UMNO-BN NAK BERKUASA DI SELANGOR


Pelbagai usaha dilakukan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Dari kepala lembu yang diarak dan dipijak hinggalah isu membawa kepada kematian Teoh Beng Hock. Semuanya dikaitkan dengan usaha merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.

Terkini satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka' penyokong' Pas berdemontrasi mendesak agar Pas keluar dari Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Kalau benar mereka ahli atau penyokong Pas sila istiharkan dari cawangan atau kawasan mana. Orang Pas tulen tak buat kerja pelik-pelik macam tu. Sekali imbas tengok muka-muka yang berdemontrasi itu sah muka-muka penyokong dan ahli Umno. Jika tidak saya cabar sila senaraikan nama yang terlibat dalam demontrasi yang katanya kurang 9980 0rang untuk capai 10000 orang untuk dibuktikan mereka adalah petualang atau tali barut umno@BN. Jika mereka ahli dan penyokong Pas, maka demontrasi itu menjadi sejarah kepada Pas kerana dalam sejarah Pas menyertai demontrasi kerana inilah demontrasi 'yang paling ramai orang hadir'.

Apa yang dilakukan hari ini menunjukkan betapa kecewanya Umno@BN yang seperti sudah kering idea untuk menggugat dan menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat dengan pelbagai taktik kotor dan konspirasi yang sebelum ini menemui kegagalan. Sekaligus apa yang berlaku hari ini menunjukkan betapa kemaruknya Umno@BN untuk kembali berkuasa di Selangor.

26 December 2009

UMNO@BN MAKIN PARAH BERGASAK SESAMA SENDIRI



Tahun baru,pergolakan baru. Itu yang dapat digambarkan apa yang berlaku kepada Umno@BN hari ini. Di Utara belum selesai polemik dan perebutan jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang di antara Umno dan Gerakan. Di Pantai Timur Umno Terangganu yang selama ini 'duduk serumah tetapi bilik lain-lain' berlarutan dengan bercakaran sesama sendiri di dalam sidang DUN Terangganu di antara kumpulan Datuk Ahmad Said dan regu Datuk Idris Jusoh.

Krisis dalam MCA semakin buntu dengan masing-masing cabar mencabar sesama sendiri. Dalam PPP makin haru biru bila Presiden PPP Datuk M.Kayveas menganggap Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah sebagai "timbalan menteri haram" kerana enggan melepaskan jawatannya walaupun telah dipecat dari parti itu Jun lepas.

Di Perak lain pula ceritanya apabila Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia lbrahim mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz meletak jawatan sebagai ketua WHIP BN di parlimen kerana gagal menjalankan tugasnya memastikan kehadiran ahli parlimen BN dalam undian kelulusan Belanjawan 2010 sehingga menyebabkan BN hampir ditumbangkan tanpa pilihanraya umum.

Apa yang berlaku menunjukkan sikap berebut jawatan dan kuasa tanpa memperdulikan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara. Jadi tak peliklah enjin jet yang besar tu pun boleh hilang kerana pemimpin Umno@BN lebih sibuk bercakaran sesama sendiri. Mereka bercakap tentang 1Malaysia, kononnya rakyat didahulukan tetapi sikap mereka sebenarnya lebih mengutamakan kedudukan dan kuasa. Adakah kita hendak membiarkan mereka yang mementingkan diri dan kuasa ini terus berkuasa di negara ini?

25 December 2009

MB TERANGGANU TERBUKTI TAK BERMORAL


Kelmarin beliau bersumpah di Sidang DUN Terangganu menafikan beliau menyeleweng duit rakyat dengan memberi buah kurma dan air zam-zam. Sumpah beliau satu cubaan untuk menggambarkan betapa suci dan murninya dirinya dari sebarang bentuk skandal dan rasuah.

Tetapi semalam tak sampai 24 jam selepas bersumpah, Menteri Besar Terangganu Datuk Ahmad Said secara terang-terang tanpa malu dan berselindung merasuah ibu bapa yang sedang diraikan kerana kecemerlangan anak mereka dalam PMR supaya mengundi dan memangkah Umno@BN dalam pilihanraya akan datang.

Dalam ucapan semalam dalam program Yayasan Terangganu meraikan pelajar cemerlang PMR dan ibu bapa mereka Ahmad Said berkata :

"Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."

Menurut seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN,"

Adakah Ahmad Said fikir duit Yayasan Terangganu adalah duit Umno? Jika ini tidak dinamakan rasuah apa lagi istilah yang sesuai. Adakah SPRM akan siasat? Jika itu berlaku kepada pimpinan Pakatan Rakyat sudah pasti SPRM akan segera bertindak untuk membuktikan betapa efisennya mereka.

GEMPAR!!! KERANA POLITIK UMNO SELURUH AJK SYARAK SURAU/MASJID AN NANJIHIN LETAK JAWATAN SERTA MERTA!

Selepas solat Jumaat sebentar tadi, Imam 1, Imam 2,Bilal 2 dan seluruh jawatankuasa Surau/Masjid An Najihin Taman Merdeka Batu Berendam Melaka meletak jawatan berkuat kuasa serta merta. Kenyataan itu dibacakan oleh Imam Shuib selaku Imam 1 di hadapan kira-kira 1000 jemaah jemaah yang hadir selepas Solat Jumaat. Menurut beliau peletakan jawatan itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dilelakkan.

Namun, semua jemaah tahu bahawa surau An Najihin yang digunakan untuk solat Jumaat mengetahui campur tangan politik umno yang telah sekian lama mencampuri dalam pengurusan surau berkenaan yang didalangi oleh Bilal 1 yang juga pengerusi surau iaitu orang kuat Umno yang selama ini melobi diri sendiri untuk jawatan berkenaan. Campur tangan Umno dalam pengurusan surau berkenaan turut didalangi oleh Pengerusi JKKK Umno yang juga orang kuat Datuk Seri Ali Rustam di tempat berkenaan. Untuk makluman jawatankuasa surau yang telah lama berkhidmat itu tidak menunjukkan kecenderungan kepada mana-mana parti politik.

Peletakan jawatan ini menjadi tamparan hebat pada Umno di tempat berkenaan dan di Melaka yang seringkali menunjukkan sikap mencampuri urusan pengurusan surau dan masjid di Melaka. Timbul tanda tanya siapa yang akan menjadi imam dan jawatankuasa syarak selepas ini memandangkan Imam 1 dan lain-lainnya cukup disenangi penduduk dan kariah serta telah lebih 9 tahun berkhidmat di surau berkenaan. Selepas ini saya yakin surau berkenaan yang sering imarah dengan pelbagai aktiviti akan dipinggirkan oleh majoriti penduduk setempat yang kurang senang dengan campur tangan politik Umno yang gila kuasa di situ.

Suasana pilu menyelubungi di dalam masjid bila jemaah dan jawatankuasa syarak yang meletak jawatan berpelukan sesama sendiri selepas pengumuman perletakan jawatan itu dibuat.

SIAPA DULU AKAN PECAH PERUT?


Biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Itu peribahasa Melayu. Tapi hari ni dah terbalik, biar pecah di mulut jangan pecah di perut.Bagi saya pecah di mulut tak merbahaya berbanding pecah di perut. Macam orang kena penyakit apendiks kronik, selagi tak pecah peluang untuk sembuh dan diselamatkan adalah cerah. Berbanding kalau dah pecah perut, boleh lah panggil ahli keluarga dan sanak saudara untuk tulis wasiat.

Maka bahayanya pecah perut menyebabkan satu Malaysia riuh rendah bila Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak umat Islam khususnya di Kelantan berdoa sehingga mereka yang merampas hak rakyat Kelantan untuk mendapat royalti petroleum sampai pecah perut.Hanya mereka yang faham kiasan sahaja faham apa yang dimaksudkan TGNA 'berdoa sampai pecah perut'.

Maka ramai orang Umno sama ada yang kecil dan besar termasuk 'ulama terompah kayu' mempertikaikan doa TGNA itu. Katanya Islam tak mengajar untuk mendoakan seseorang ditimpa bala. Mereka yang bercakap macam tu sebenarnya mengaji kitab tak habis atau guru mereka mati sebelum habis belajar bab doa!

Hari ini kesan doa TGNA dan rakyat Kelantan serta rakyat Malaysia teraniaya mula terasa tempiasnya walaupun tak sampai lagi pecah perut. Sekurang-kurangnya mereka yang terlibat mula rasa senak perut. Mana tidaknya, isu kehilangan enjin jet F5E sudah cukup menggemparkan bukan sahaja di Malaysia tetapi menjadi lawak jenaka seluruh dunia. Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak kini terus didesak untuk meletak jawatan. Menteri Pertahanan ketika ini, Datuk seri Zahid Hamidi menyifatkan pihak yang bertanggungjawab adalah penderhaka. Kepada siapa ditujukan, Zahid lebih maklum tentangnya.

Begitu jua dengan kemenangan majoriti tipis 3 undi dalam kelulusan Belanjawan 2010 di parlimen baru-baru ni menyebabkan ramai pemimpin Umno@BN hampir pecah perut dan senak perut sampai sekarang.

Saya yakin lebih banyak lagi pendedahan, penyelewengan dan skandal akan dibongkar untuk pengetahuan umum tidak lama lagi. Apa yang berlaku menjadi peringatan kita semua bahawa jangan pandang remeh pada doa mereka yang dizalimi. Nabi. SAW sudah mengingatkan, doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT. Kita tunggu siapa dulu yang akan pecah perut!

23 December 2009

DR YUSOF QARADAWI SEDIA PERTAHANKAN ANWAR


Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah baru-baru ini akan membawa isu pendakwaan qazaf berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum lagi dijalankan ke peringkat antarabangsa.

Kesediaan Dr. Yusuf Al-Qaradawi mempertahankan Anwar dinyatakan semasa berada di negara ini baru-baru ini kerana menyesali kelewatan Mahkamah Syariah di negara ini membicarakan pendakwaan qazaf berkaitan tuduhan liwat terhadap Anwar. Sebaliknya Mahkamah Syariah dikatakan hanya akan memulakan perbicaraan selepas kes liwat berkenaan dibicarakan di mahkamah sivil. Walhal menurut ulama berkenaan persoalan qazaf patut dibicarakan dahulu kerana ia menyentuh kewibawaan dan kredibiliti si penuduh. Kalau ia disabitkan dengan qazaf, maka kata Sheikh Yusuf, persaksian si penuduh tidak boleh diterima selama-lamanya kerana ia termasuk golongan fasiq.

Beliau dikatakan bersedia menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia untuk membawa isu itu ke peringkat antarabangsa dengan mendapatkan pandangan tokoh-tokoh ulama sedunia.

Secara logiknya perbicaraan di mahkamah sivil akan mengambil masa yang lama sekiranya diambil kira segala proses sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Apa yang dibimbangi jika perbicaraan qazaf dibuat di mahkamah syariah?

Semua ini menunjukkan bahawa berlaku kepincangan dalam dwisistem perundangan di Malaysia yang seolah-olah mengikut telunjuk serta diperalatkan oleh pihak tertentu untuk memburukkan imej serta mengaibkan saingan politik mereka.