07 February 2009

PANDANGAN "PEGUAM KITA" TENTANG ISU DI PERAK

Saya tertarik dengan pandangan sahabat saya saudara Fadzli Bin Mohd. Ramly seorang peguam tentang isu di Perak dari aspek perundangan dan pelembagaan. Saya petik artikel ini dari blog beliau di : http://peguamkita.blogspot.com/

Saya sebenarnya cuba mengelak diri dari menyentuh soal politik dalam blog saya ini. Tapi keadaan semasa seolah-olah membuatkan saya rasa berdosa dan seperti 'syaitan bisu' sekiranya saya diam membatu. Saya gagal melawan runtunan jiwa dan warna sebenar saya.

Tidak dapat saya nafikan bahawa isu yang berlaku di Perak adalah merupakan persoalan perlembagaan dan isu perundangan. Tetapi saya amat berkeyakinan dan menegaskan bahawa isu sebenar di Perak adalah kuasa eksekutif dan sistem beraja telah 'merompak' kerajaan negeri dari rakyat Perak!

Isu pertama adalah adalah kuasa sultan untuk mengarahkan perletakkan jawatan Menteri Besar dari Nizar. Saya bersedia untuk bertanggungjawab menyatakan bahawa tindakan Sultan adalah salah di sisi undang-undang! Perlembagaan Negeri Perak memperuntukkan bahawa Menteri Besar tidak memegang jawatan tersebut dengan perkenan Sultan.
Artikel 16(6) Perlembagaan Perak menyebut :

If Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council.
Soalan saya: Bagaimana hendak menentukan bahawa MB telah hilang keyakinan di DUN? Siapa yang berhak menentukan kehilangan keyakinan tersebut? adakah Sultan berhak menentukannya? atau dimana kita hendak mengukur bahawa MB telah kehilangan mandat negeri?

Yang berlaku: satu sidang akhbar Najib bersama-sama ADUN-ADUN yang dikatakan melompat dan diistiharkan bahawa BN telah memperolehi majoriti yang cukup untuk tubuh kerajaan negeri! Saya nak tegaskan bahawa perkara ini adalah tidak sah untuk mengesahkan bahawa MB telah hilang keyakinan di DUN Perak! Malah ianya adalah salah sama sekali di sisi undang-undang! Hanya satu cara iaitu dibuat di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Cara untuk mengarahkan MB meletakkan jawatan adalah melalui Undi Tak Percaya di DUN. Sultan tidak boleh hanya mengarahkan MB mengosongkan jawatan begitu sahaja!

Kedua: Siapakah sebenarnya memegang majoriti di DUN Perak? Menjawab isu ini adalah perlu untuk kita melihat terhadap kedudukan 3 anggota "Bebas". Terdapat pertikaian terhadap perletakan jawatan mereka. Justeru, dapatkah kita menyimpulkan siapa yang memiliki majoriti? Kita mungkin akan menghujahkan bahawa SPR telahpun menolak surat perletakan jawatan ketiga-tiga ADUN tersebut. Persoalannya adakah SPR mempunyai bidangkuasa menolak surat perletakan jawatan tersebut yang diserahkan oleh Speaker DUN Perak kepada mereka?

Dari aspek perundangan, saya nak tegaskan bahawa SPR tidak mempunyai apa-apa kuasa melalui samada Perlembagaan Persekutuan, Akta SPR 1957 mahupun Akta Pilihanraya 1958. SPR telah melangkaui kuasanya yang sedia ada! Yang ada hanyalah, peruntukan apabila Speaker DUN memaklumkan SPR kekosongan kerusi DUN terbabit, terima dan laksanakan Pilihanraya Kecil di kawasan terbabit. Saya sangat percaya bahawa SPR telah jadi "tapir tunggangan" apabila membelakangkan arahan Speaker tersebut!

Dengan berkeadaan 28 kerusi Pakatan, 28 kerusi BN dan 3 Bebas, keadaan Perak amat tidak menentu. Bagaimana pula 3 Bebas kembali menyokong Pakatan? Tak ke haru jadinya..Oleh itu cara terbaik adalah serahkan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya negeri! Nasib dan mandat rakyat Perak tidak harus diserahkan hanya kepada pemimpin korup dan seorang Sultan.

Saya berhujah di sini bukanlah berniat untuk menderhakai Sultan dan sistem Raja Berpelembagaan negara ini. Saya percaya bahawa hujah saya ini adalah amat konstitutional dan mengikut peruntukan undang-undang yang ada.
Saya hanya penderhaka kepada sistem yang khianat kepada rakyat!

1 comment:

timangbanjar said...

Saya pacal yang hina menyokong pendapat peguamkita 100 peratus.