24 May 2008

KAUNSELING SECARA ON LINE

Tidak dapat dinafikan teknologi maklumat melalui internet mencorak senario politik di negara ini.

Internet juga boleh mencorak budaya masyarakat di negara ini. Masyarakat dewasa ini dilanda dengan pelbagai penyakit masyarakat antaranya masalah sosial, penagihan dadah, konflik rumah tangga, dan masalah akidah.

Internet juga digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan. Yang kerap menjadi mangsa golongan yang lemah dan mudah terpedaya terutamanya para remaja dan golongan wanita.

Tidak dapat dinafikan pihak jabatan agama Islam serta majlis agama Islam telah pun mempunyai khidmat kaunseling secara konvensional.

Akan tetapi dengan perkembangan teknologi terkini serta cabaran masa kini yang menyebabkan ramai remaja hanyut dengan kelekaan dan kealpaan, tidak dapat tidak, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta majlis agama Islam negeri serta jabatan agama Islam negeri haruslah mengambil inisiatif untuk mengadakan perkhidmatan kaunseling dalam talian (online) secara percuma.

Perkhidmatan kaunseling maya ini penting kerana, budaya masa kini, kita dapati golongan remaja kurang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada para ustaz dan ustazah di masjid, surau atau pejabat agama.

Mereka lebih gemar mendapatkan khidmat nasihat daripada kawan-kawan mereka secara dalam talian melalui ruang sembang di alam siber, e-mel dan sebagainya.

Jakim, dan jabatan-jabatan agama Islam tidak seharusnya menumpukan usaha dakwah dan khidmat nasihat di masjid semata-mata.

Mereka haruslah keluar daripada kepompong pendekatan konvensional dengan mengikuti perkembangan teknologi masa kini, demi menyelamatkan generasi umat Islam ketika ini yang hanyut dibawa arus pemodenan, hedonisma, hiburan melampau, pergaulan bebas dan sebagainya.

Apa yang menyedihkan terdapat laman web jabatan agama yang tidak dikemaskini dari masa ke semasa seperti laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (http://www.ns.gov.my/jabatan/jheins/).

Kegagalan ini menunjukkan agensi kerajaan yang berkaitan untuk menjaga kepentingan umat Islam di negara ini tidak begitu bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjaga kepentingan umat Islam.

Jakim bawah kepimpinan menteri yang baru iaitu Datuk Ahmad Zahid Hamidi haruslah mengorak langkah untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan untuk kepentingan umat Islam agar umat Islam dapat dijadikan contoh kepada penganut agama lain di negara ini secara khusus dan dunia secara amnya.


 

    Dalam menyahut cabaran perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat saya turut menyediakan sesi kaunseling secara online ( melalui yahoo messeger atau hotmail messenger – boleh dilaksanakan melalui sidang video ) anda boleh membuat temu janji untuk mengadakan sesi secara on line. Para pelawat blog ini boleh emailkan sebarang masalah dan kemuskilan melalui email : khairul_ippm@hotmail.com atau khairulippm@gmail.com .

ISU UNIFORM SEKOLAH...IPPM MACAM MANA ?










Cadangan dan gesaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ) terhadap Kementerian Pelajaran agar menukar baju putih yang menjadi uniform pelajar sekolah sebelum ini kepada pakaian berwarna agar tidak menarik perhatian mata lelaki yang mengundang jenayah seksual adalah suatu yang sangat baik dan wajar .  Saya menyokongan yang tinggi terhadap cadangan tersebut dan berharap agar pihak Kementerian Pelajaran segera mengambil tindakan sesuai dengan tuntutan agama yang mendidik agar kita senantiasa menutup apa jua ruang dan peluang yang menghela ke arah jenayah dan mungkar .

Peningkatan jenayah dan gangguan seksual dikalangan pelajar sekolah semakin parah dan membarah. Pihak Kementerian tidak sewajarnya memandang sebelah mata dan hanya mengeluh setiap kali kes baru membabitkan jenayah seksual pelajar sekolah dilaporkan.  Islam telah menggariskan etika berpakaian dan imej penampilan bagi mengurang dan mengelakkan jenayah seksual ini berlaku secara berleluasa.  Menutup aurat dan berpakaian sopan serta sesuai agar tidak menampakkan bentuk tubuh dan bayang pakaian dalam , adalah suatu yang asas dalam Islam bagi menjamin ketenangan dan keselamatan kaum wanita itu sendiri .  saya merasa sangat yakin bahawa apa yang telah dicadangkan oleh PKPIM itu bukan sahaja telah didahului oleh kajian dan penelitian terhadap kes yang berlaku tetapi juga mewakili keresahan dan kegelisahan ibubapa berkait dengan peningkatan kes cabul , zina ,salah laku dan rogol yang melibatkan pelajar sekolah .  

Uniform Baju putih sememangnya perlu dinilai semula kerana kini menjadi trend oleh sebahagian pelajar perempuan mengenakan pakaian dalam berwarna dan menyerlahkan bayang pakaian dalam mereka dan ia menarik perhatian lelaki yang rosak akhlak, bahkan terdedah kepada risiko berlakunya jenayah seksual ke atas diri mereka. Perkara seperti tidak boleh dianggap remeh dan dipandang kecil kerana ia boleh mengundang musibah .  Pihak Kementerian Pelajaran digesa membuat kajian semula terhadap uniform pelajar sekolah dengan mengambil kira cadangan dan pandangan dari pelbagai pihak . Saya mencadangkan agar Kementerian merujuk kepada para mufti atau ulama' untuk mendapatkan nasihat dalam perkara ini.  Bukan sahaja melibatkan soal pakaian tetapi sebaliknya turut menggesa agar satu langkah berkesan diambil oleh pihak Kementerian secara menyeluruh bagi menangani peningkatan kes gangguan dan jenayah seksual dikalangan pelajar sekolah.  Ianya pasti sahaja melibatkan soal pendidikan agama dan penghayatan serius terhadap amal Islami mesti diterapkan kepada pelajar sekolah disamping menyediakan persekitaran yang selamat dan aman dari anasir maksiat dan mungkar dikalangan pelajar.



Saya juga merasakan telah tiba masanya uniform kuning air pelajar IPPM turut ditukar..hal ini kerana isunya sama seperti di atas..walaupun guru pelatih golongan dewasa dan boleh berfikir bagaimana untuk mengelakkan agar pakaian mereka itu tidak kelihatan jarang...tetapi ada antaranya seperti sengaja seolah - olah ingin menayangkan koleksi baju dalam yang mereka miliki....Sebagai seorang bakal guru semestinya menunjukkan bukan sahaja tingkah laku dan akhlak yang mulia tetapi juga pakaian yang turut mencerminkan peribadi dan kualiti seorang bakal guru. Malah dari pemerhatian saya masih ada guru pelatih yang memakai 'baju adik' masa di dalam dan luar kampus IPPM walaupun tidak sampai peringkat nampak 'pusat bandar' dan 'Alor Gajah'.

NIPISNYA IMAN KENEGARAAN KITA….





 


MUNGKIN tidak ada seorang pun dari kira-kira 26 juta rakyat Malaysia menangis setelah menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang telah memutuskan bahawa Pulau Batu Putih kini sudah menjadi milik Singapura.


 

Bahkan mungkin ada rakyat Malaysia yang tidak menahu mengenai apa yang belaku di The Hague di Belanda hari ini. Apa itu Batu Puith atau Perda Blanca, atau di mana terletaknya South Ledge (Terumbu Karang Selatan) dan Middle Rock (Terumbu Karang Tengah).

Sebaliknya mungkin ada di kalangan rakyat negara ini yang tumpang bergembira dengan keputusan ICJ yang memberi hak kedaulatan Batu Putih kepada Singapura itu?

Rakyat negara kita bagaikan tidak peduli berhubung pertikaian ke atas pulau berkenaan yang berlaku sejak 28 tahun lalu. Generasi muda maupun generasi tua seakan membiarkan saja pertikaian itu kepada pihak kerajaan bersendirian tanpa ada usaha dan komitmen bersepadu daripada seluruh rakyat.

Misalnya kita tidak pernah terdengar rakyat negara ini bangkit menyatakan keprihatian mereka ke atas pulau berkenaan baik menerusi aksi fizikal maupun secara berdoa. Tidak ada apa-apa reaksi dalam hal ini.

Untuk sama-sama ke The Hague bagi mendengar perbicaraan tidak mungkin. Orang kita bukan saja miskin kewangan tetapi juga miskin semangat. Adakah mana-mana NGO kita yang kononnya kuat berjuang untuk nusa dan wangsa menghantar wakil ke Belanda?

Saya terkesan keimanan kita dalam menjaga watan ini sangat nipis dan naif. Bukan saja dari kalangan rakyat, tetapi pihak Kerajaan sendiri juga. Misalnya sebelum keputusan dibuat di Belanda petang tadi umat Islam yang baligh dan mukalaf ke masjid untuk sembahyang Jumaat tidak pun digerakkan untuk memberi sedikit perhatian kepada isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih itu.


 

Sepatutnya khutbah hari ini menyentuh mengenai apa yang bakal berlaku di Belanda itu. Para khatib patut membaca khutbah mengenai kedaulatan negara dan kasih kita kepada watan tujuannya memberi semangat dan rangsangan.


 



 

Tajuk khutbah di hari ini ialah "Cinta Terlarang" menghuraikan bahaya dan jijiknya cinta terlarang. Teks itu tidak sedikitpun menyentuh apa yang berlaku di Belanda. Khatib juga di dalam doanya sebelum mengakhiri khutbah tidak sedikitpun mendoakan meminta agar keputusan berpihak kepada kita.


 

Inilah yang saya katakan bangsa kita terlalu miskin iman terhadap negara baik di kalangan mat rempit maupun yang menjadi penunggu masjid. Keimanan masing-masing senipis kulit bawang? Apa salahnya kalau masjid mengajurkan solat hajat memohon agar keputusan ICJ berpihak kepada kita. Namun ini tidak pernah berlaku dan lupa untuk dilakukan. Apakah kita semua sudah tidak percaya kepada doa dan usaha secara kerohanian?

23 May 2008

‘MENUJU PUNCAK’


Hari ni keluar berita yang agak 'luar biasa' dari biasa. Kebanyakan orang ramai telah tahu tentang satu sindeket yang bertopeng kepada peraduan Akademi Fantasia ( AF ) yang kononnya ditaja oleh Astro. Boleh dikatakan, hampir semua bank di Malaysia memberi amaran tentang bahaya sendiket ini.

Ingatkan bila promosi dan peringatan besar-besaran tentang bahaya peraduan yang menggunakan nama AF ni tidak ada lagi yang tertipu dan terpedaya. Namun hari ni...ada lagi yang terpedaya. Bukan calang – calang orang tetapi Imam Masjid Negeri Perlis yang 'melayang' RM 240 gara – gara terpesona dengan peraduan ini...Rupa – rupanya dalam dunia akhir zaman Tok Imam pun minat pada 'Akademi Fantasia'...MENUJU PUNCAK ... Ramli M.S pengetua AF mesti tersenyum baca berita ni...

22 May 2008

INFO…

Mulai Jun 2008 melalui pekekliling terbaru KSU Perbendaharaan Semua pakej atau kursus yang melibatkan semua Kementerian dan jabatan kerajaan hanya dibenarkan dibuat di dalam negeri sahaja. Ini merupakan langkah terbaru bagi menangani krisis kewangan dan bebanan kerajaan menanggung peningkatan subsidi minyak dan krisis kekurangan bekalan makanan. Terbaru harga minyak dilaporkan meningkat hampir USD 140 setong , tertinggi dalam sejarah.

Hal ini secara langsung dan tidak langsung memberi kesan kepada semua aktiviti yang dirancang yang perlu diteliti dan diubahsuai berdasarkan pekeliling terbaru ini. Misalnya satu pakej yang diuruskan saya melalui Program Sekolah Dalam Institiut ( SDI ) yang dijadualkan di Tropical Inn Johor Bahru terpaksa dipinda segi tarikh dan tempat. Walau bagaimanapu ini tidak melemahkan semangat saya. Tujuan setiap kursus atau program seperti kem kaunseling yang dianjurkan adalah bertujuan untuk membimbing dan memberi latihan secukupnya kepada guru pelatih dan mereka yang terlibat. Jadi tak kisahlah buat di mana – mana pun.

Program yang dibuat bukan tujuan untuk 'suka – suka' atau 'buat program nak bagi ada program' atau apa – apa agenda seperti yang dimaksudkan pihak – pihak tertentu. Jadi kurangkanlah kerenah birokrasi atau pun apa – apa tindakan untuk 'menunjuk kuasa'. Dalam segala tindakan kita perlu sentiasa rasional dan profesional bukannya bertindak secara emosional.

19 May 2008

USRAH…TINJAUAN SEMULA…







Berdasarkan pengalaman, biasanya majlis usrah lebih berkesan untuk meningkatkan ilmu, iman dan amal serta menyeimbang dan mengistiqmahkannya berbanding majlis-majlis pengajaran di masjid-masjid. Tentu saja ia lebih berkesan daripada majlis-majlis yang diadakan sesekali seperti ceramah maulidurrasul, forum perdana, israk mikraj dan lain-lain. Ceramah kadang-kadang memang menaikkan semangat tapi habis ceramah, sebagaimana cepatnya naik sebegitulah cepatnya turun. Lebih baik kuliah bersiri berbanding ceramah. Begitulah kebiasaannya namun ia bergantung juga kepada kecekapan naqib usrah menjayakan majlisnya.

ATURCARA USRAH YANG DISARANKAN

1. MUQADDIMAH

Naqib membuka majlis dengan kata-kata aluan, bacaan al-Fatihah, suntikan motivasi (agar peserta rasa kehadiran mereka sebenarnya menguntungkan) ataupun lain-lain yang dirasakan sesuai. Fadhail amal sangat sesuai sebagai pembuka langkah. Sangat baik jika naqib mengimbas kembali dapatan-dapatan penting dalam usrah sebelum ini sebagai pengukuhan.

2. TILAWAH


Setiap ahli membaca sejumlah ayar al-Quran secara menatapnya sambil disaksikan oleh ahli-ahli lain. Ayat-ayat ini dibaca bersambung-sambung bermula dari surah al-Baqarah dan seterusnya. Selepas semua tamat membaca, perbincangan dibuka, pembetulan dan pemurnian bacaan akan dilakukan bersama-sama terutamanya oleh naqib ataupun ahli yang ada ilmu tajwid.

3. TADABBUR

Naqib ataupun ahli yang tahu akan menyentuh satu dua ayat yang sudah dibaca dalam tilawah tadi dan menghuraikannya ataupun memberi apa-apa refleksi tentangnya.

Perbincangan dibuka.

4. HAFAZAN

Setiap yang ada mempamerkan hafazan mereka sambil disemak oleh yang lain, sama ada ayat-ayat pilihan sendiri ataupun ayat-ayat yang telah ditentukan oleh naqib (ataupun jemaah).

5. TAZKIRAH

Satu ataupun dua orang ahli yang sampai gilirannya akan menyampaikan tazkirah masing-masing sebagai satu latihan.

Perbincangan dibuka.

6. PENGISIAN

Naqib menyampaikan bahan utama usrah sama ada bahan pilihannya sendiri, bahan yang dipersetujui bersama ataupun lebih baik adalah bahan yang ada dalam sukatan/ silibus usrah sebagimana yang ditetapkan oleh jemaah. Contohnya buku-buku tertentu, bahan bercetak susunan jemaah, kitab tafsir seperti Fi Zilalil Quran ataupun bahan-bahan utama lain. Oleh kerana masa berusrah terhad, bahan utama ini boleh diselang-selikan pada setiap minggu.

Perbincangan dibuka.

HAL-HAL LAIN


Naqib mengumumkan info terkini tentang program-program jemaah. Setiap peserta boleh meluahkan apa saja yang berkaitan seperti isu semasa, hal ehwal usrah, perkongsian masalah, perancangan program dan sebagainya.

PENUTUP

Peringatan-peringatan ringkas, tarikh usrah akan datang dan rumusan usrah kali ini oleh naqib. Ditutup dengan Tasbih Kifarah dan surah al-Asr.

*BONUS


Jamuan ringan jika ada. Sekiranya berusrah di kediaman ataupun bilik, biasanya 'tuan rumah' yang menyediakannya. Jamuan tidak termasuk dalam agenda usrah, ia bukan satu kemestian.

Turutan agenda di atas boleh diubah mengikut kesesuaian.

USRAH YANG KURANG BERKESAN


 Naqib tidak membuat perancangan langsung. Pengisian usrah bergantung kepada apa yang terfikir ketika itu.

 Ahli usrah ramai. Saya cadangkan seorang naqib mengendalikan 3-5 orang peserta sahaja agar setiap individu berada dalam pemantauan si naqib dan perjalanan usrah terkawal lagi lancar.

 Usrah dijalankan dalam bentuk pengajian seperti di masjid-masjid. Tok guru bercakap dari awal hingga akhir, peserta lebih banyak mendengar.

 Penglibatan anak buah minima. Bakat mereka tidak diasah dengan tugasan-tugasan sebagai pengisian usrah. Pandangan mereka diminta hanya pada penghujung majlis usrah dan bukannya untuk setiap agenda.

 Jangka masanya terlalu singkat ataupun terlalu panjang. Terlalu singkat- bateri peserta tidak cukup dicas. Terlalu panjang- peserta bosan dan tidak memberi tumpuan.

 'Wajibat' (amalan-amalan yang perlu dilangsaikan) tidak diberi penekanan oleh naqib.

MEMAKSIMAKAN KESAN USRAH

 Selain naqib, sekurang-kurangnya ada seorang 'orang lama' dalam kalangan peserta. Lebih baik jika 'orang lama' ini ilmu dan kebolehannyanya lebih kurang ataupun hampir sama dengan ilmu dan kebolehan naqib. Paling tidakpun, dia seorang yang sudah biasa sangat dengan usrah. Orang ini tugasnya sebagai pembantu dan pengukuh kepada naqib serta contoh kepada peserta.

 Naqib hendaklah memelihara dan meningkatkan kredibiliti diri.

 Isi usrah yang lalu disentuh sepintas lalu pada permulaan usrah.

KOMUNIKASI BERKESAN….SAMBUNGAN…


















Petua menangani rasa gemuruh dalam pengucapan awam ( Ceramah, pidato dll… )

  1. Menyelesaikan hal – hal diri sebelum memulakan ucapan ( ke tandas, makan minum dll )
  2. Datang lebih awal sebelum sesi bermula ( bersalam dan berkenalan dengan VIP, audien yang hadir )
  3. Lihatkan keyakinan anda ( penampilan diri ,gaya bercakap, cara berdiri,cara duduk dan cara berjalan dll…)
  4. Tekadkan melakukan yang terbaik ( walau bagaimanapun anda kena mengakui bahawa setiap orang tidak sempurna ).Kebiasaannya kita merasa gemuruh apabila meletakan harapan kerana ingin membuat penampilan / penyampaian yang terbaik ( Ini akan member tekanan kepada anda ) Kita tidak akan dapat berfikir dan berkomunikasi dengan baik kalau kita berada dalam tekanan.
  5. Elakkan member penghormatan yang terlalu tinggi pada auiden atau VIP yang hadir ( Ini menyebabkan anda merasa rendah diri )- beritahu pada diri anda bahawa majlis ini ialah majlis perkongsian ilmu dan pengalaman.
  6. Analisis dan dapatkan maklumat siapa audien anda (untuk disesuaikan dengan gaya ucapan )
  7. Bagi yang beragama Islam – sebelum ucapan ( berselawat pada Nabi SAW dan amalkan zikir-zikir ) lakukan di dalam hati tanpa menggerakkan bibir.
  8. Semasa memulakan ucapan – memberi salam, dan memanjatkan puji –pujian kepada Allah SWT, Nabi SAW…selitkan dengan petikan ayat Al Quran berkaitan ( jika relevan ) dengan isi ucapan.
  9. Mulakan dengan terimakasih – kepada pengacara majlis
  10. Gaya tersendiri
  11. Adakan hubungan dengan audiens (repo, bertanya khabar atau bertanya soalan yang berkaitan ) wujudkan komunikasi atau interaksi dua hala.Misalnya Tanya pada pandangan dan perkongsian pengalaman.
  12. Tunjukkan Senyuman, ceria
  13. Mulakan ucapan tanpa memandang nota ( nota hanya catatan ringkas- cadangan isi-isi utama, cerita atau unsur lucu yang anda ingin selitkan )
  14. Perkenalkan diri, kumpulan
  15. Nyatakan perasaan, harapan dan jangkaan terhadap pendengar
  16. Kurangkan Komunikasi sehala – ( cadangan – tayangan video klip, slide, lagu yang berkaitan )
  17. Di antara cadangan lain – banyakkan latihan asertif seperti bercakap di hadapan cermin atau meminta orang lain mendengar dan memberi pandangan tentang gaya ucapan kita )
  18. Penting !!!! Elakkan membuat persiapan saat akhir…

18 May 2008

TIPS…..







5 ETIKA MENGKRITIK

  1. Jangan sesekali mengkritik di depan orang lain. Tindakan anda akan memalukan dirinya, dan dianggap tidak profesional, malah ini boleh mengundang rasa tidak puas hati orang lain terhadap anda juga.


     

  2. Cuba mulakan teguran anda dengan pujian atau kata-kata yang membina dahulu.


     

  3. Ciptakan suasana 'bersahabat' sebelum anda memulakan 'serangan'.


     

  4. Kritik hanya pada tindakan/perbuatan/perangai, bukan orangnya.


     

  5. Ikhlas ketika mengkritik. Bukan untuk menunjukkan kuasa atau siapa lebih pandai.


 

KOMUNIKASI BERKESAN…..















PANTANG LARANG DALAM PENGUCAPAN AWAM :

  1. ELAKKAN UNGKAPAN SEPERTI :
  • "Terlebih dahulu saya minta maaf kalau …"
  • "Sepatutnya orang lain membentang, tetapi kerana orang itu pergi ke ada hal tak dapat dielakkan ..
  • Ehh..!! "Saya sebenarnya tak pandai berucap.."
  • Saya tidak bercadang untuk bercakap hari ini.
  • Saya tak bercadang bercakap panjang…
  • Saya Cuma nak menyampaikan sepatah dua kata
  • Inilah kali pertama saya bercakap
  • Saya hanyalah bidan terjun..
  • Minta maaf kerana tertinggal nota
  • Minta maaf gambar tak keluar kat skrin…
  • Seperti yang sedia kita maklum…seperti yang kita ketahui…
  1. ELAKKAN PERBUATAN SEPERTI
  • Tidak bergayut pada rostrum
  • Berdiri senget, menenggek
  • Berpeluk tubuh, tangan dalam poket ,pergerakkan melampau
  • Tidak bergerak terlalu kerap
  • Menggaru, gosok hidung, patah jari,
  • menggaru misai / janggut, memperbetulkan pakaian, rambut, menggaru kepala ,
  • bermain lidah / bibir
  • Bermain dengan alatan menulis
  • Kerap menyelakkan nota
  • Membuat gimik yang terkelaluan
  • Merenung tepat pada wajah audien


 

Bersambung…..


 


 


 


 


 


 

17 May 2008

PERANAN GURU ANTARA REALITI DAN FANTASI

Guru merupakan insan mulia kerana menurunkan ilmu kepada anak-anak muridnya dengan sepenuh hati, walau bagaimanapun keberkesanan penyampaian ilmu bergantung kepada sejauh mana kesungguhan dan niatnya yang baik.

Islam sentiasa memberi panduan kepada para guru agar memperkasa dan memperbaiki diri agar menjadi golongan pendidik yang betul-betul memenuhi tuntutan seperti yang difirmankan oleh Allah SWT menerusi ayat 122 surah at-Taubah yang bermaksud : Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan (di kalangan umat Islam) di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya (masyarakat) apabila mereka telah kembali kempangkuan mereka, supaya mereka (masyarakat) itu lebih berwaspada.

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menekankan dua perkara utama kepada golongan guru (yang menunutut ilmu) bagi mencapai keberkesanan penggarapan ilmu yang dipelajari:

  1. Arahan Allah untuk memperdalami dan bukannya kekadar belajar.
  2. Arahan Allah selepas proses penggarapan ilmu, menyedarkan masyarakatnya dengan memberi peringatan dan bukannya mengajar.

Kedua-dua konsep itulah yang meletakkan seseorang yang menuntut ilmu itu mencapai status pendidik iaitu satu kedudukan yang lebih tinggi daripada seorang guru.

Ini kerana, pendidik bukan sekadar mengajar atau mencurahan ilmu kepada pelajarnya, malah memastikan para pelajarnya benar-benar mempraktikkan segala ilmu yang digarap, di tambah pula peranan pendidik mampu menjiwai permasalahan yang dihadapi oleh pelajarnya serta mengadakan program susulan jangka panjang (long term follow up planning).

Berbeza dengan tugas seorang guru, kerana ada di antara mereka hanya sekadar mengajar dan mungkin juga tidak mempedulikan aspek program susulan, baginya yang penting mereka telah menyampaikan ilmu, tetapi sebenarnya keberkesanan sesuatu ilmu itu bergantung kepada lima perkara untuk mencapai status pendidik yang berdedikasi dan komited terhadap kerjayanya seperti yang pernah dilontarkan persoalan ini oleh Syeikh Prof dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya yang bertajuk "Rasul dan ilmu pengetahuan".

Di mana beliau ada menegaskan, bahawa apabila seorang pendidik itu mampu merealisasikan lima perkara berikut, nescaya dia melonjakkan kedudukan sebagai pendidik atau pewaris nabi-nabi, lima perkara itu adalah seperti berikut :

  1. Perasaan tanggungjawab terhadap agama, pelajar, masyarakat dan negara.
  2. Amanah keilmuan yang digarap, dalam erti kata, dia akan mengharamkan apa yang diharamkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, bukan sebaliknya, kerana ia adalah satu amanah yang besar yang akan disoal di akhirat nanti.
  3. Mengembalikan 'Izzah (kemuliaan) Islam yang dicerobohi oleh tangan-tangan pengkhianat dan perosak Islam dengan meletakkannya di tempat yang paling tinggi dalam kehidupan masyarakat.
  4. Ada perasaan tawadu' (rendah diri) terhadap orang lain.
  5. Beramal dengan kesesuaian ilmu yang digarap, dalam erti kata tidak menyanggah tindakan dengan penghayatan ilmu.

Sehubungan itu baginda Rasulullah s.a.w ada bertanya kepada Malaikat Jibril, berhubung siapakah golongan pendidik (ahli ilmu sebenar)?, Jibril menjawab : Sesungguhnya mereka ibarat pelana umatmu di dunia dan akhirat, beruntunglah mereka yang mengenali dan menghormati mereka dan nerakalah bagi mereka yang membenci serta menyanggah mereka (ahli ilmu/pendidik).

Konsep penghormatan kepada golongan pendidik

Jelas daripada hadis di atas, baginda telah menggariskan satu tindakan yang berkesan bagi meletakkan penghormatan sewajarnya kepada mereka.

Pengamalan dalam masyarakat umat Islam dalam negara kita yang berpaksikan nilai-nilai penghormatan terhadap golongan pendidik/guru adalah dijelmakan oleh fahaman barat, iaitu mereka diberikan hadiah tertentu walaupun pada masa yang sama para pelajar sebenarnya tidak bersetuju atau mengkritik guru-guru mereka atau mungkin juga berlaku biadap terhadap mereka, tindakan ini disifatkan menyalahi tuntutan ayat di atas yang sepatutnya mereka (pelajar) mendapat peringatan agar tidak meniru-niri gaya hidup masyarakat barat dan sebagainya.

Tetapi bagi menutup kesalahan dan kelemahan mereka, para pendidik/guru diraikan pada satu hari yang dikenali dengan 'hari guru', pelajar yang tidak menerima nasihat pun menghulurkan hadiah kerana inilah peluang bagi menyekat kemarahan atau kebencian guru terhadap mereka, pelajar yang datang dari keluarga berada walaupun tidak memiliki akhlak yang baik, mampu mengadiahkan gurunya pelbagai bentuk hadiah yang menarik, ini menyebabkan gurunya bias terhadapnya, rasa nak marah pun hilang dari mindanya.

Sedangkan pelajar yang benar-benar menepati ayat di atas tetapi kerana kemiskinan serta tidak mampu untuk menghadiahkan gurunya sebarang bentuk hadiah, dipinggirkan daripada minda dan sanubari guru, persoalannya di sini hadiah yang diterima oleh guru boleh disifatkan satu bentuk rasuah cara moden.

Inilah kejayaan musuh Islam bagi merenggangkan golongan pendidik/guru dengan para pelajarnya yang dihormati hanya pada satu hari iaitu "hari guru", sedangkan pada hari-hari yang lain mereka sudah tidak dihormati apatah lagi untuk melaksanakan arahan mereka untuk menjadi individu cemerlang, akibatnya mereka tidak sanggup untuk menegur atau memberi nasihat kepada para pelajar kerana disebaban hadiah yang diterima.

Akhirnya institusi pendidikan di kalangan umat Islam tidak mampu melahirkan individu-individu seperti Imam hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, al-Ghazali, Ibnu Sina dan ramai lagi.

Marilah kita sama-sama kembalikan maruah golongan pendidik/guru/ahli ilmu dengan menghormati mereka dengan bentuk yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu mendengar nasihat mereka, mengenali serta melaksanakan segala ajaran mereka dan bukannya membenci mereka apatah lagi menyanggah mereka dengan tindakan yang tidak sepatutnya.