01 September 2008

Ramadhan : Sejarah, Kelebihan dan Amalan


Sejarah Ramadhan
1) Ramadhan: ertinya panas terik
2) Bulan di turunkan Al Quran dan disebut (syahru ramadhana)
3) Berlakunya perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan.
4) Bulan dimana nabi mengambil balik Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala.
5) Di dalamnya dipilih ada malam al-qadar yakni lebih baik drpd 1000 bulan.
6) Di pilih untuk ibadat puasa.
7) Di pilih untuk ibadat-ibadat lain (tadarus Al Quran)

Kelebihan Bulan Ramadhan
1) Kamu akan di naungi Ramadhan. (bagi yg telah meninggal dunia terlepas dari siksa kubur)
2) Bulan penuh keberkatan
3) Di malamnya ada lebih baik drpd 1000 bulan
4) Amal sunat sama dengan solat fardhu
5) Manakala solat fardhu mendpt 70 kali ganda
6) Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga
7) Bulan menambah rezeki
8) Memberi buka banyak pahala
9) Bulan keampunan -* doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa.* juga doa pada sepertiga malam.
10) 10 hari pertama adalah mulanya rahmat, 10 hari pertengahan - pengampunan, 10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.

Amalan-amalan di bulan Ramadhan

1) Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan
2) Menempah pakaian untuk Ramadhan
3) Niat puasa sebulan pd permulaan Ramadhan
4) Hendak tidur bacalah 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi(ayat 107-110) supaya dapat bangun malam
5) Berazam melakukan Terawih 20 rakaat (bukan 8 rakaat)
6) Bertadarus secara bersemak (bukan sendirian)
7) Solat berjemaah setiap waktu
8) Solat jemaah di masjid/surau
9) Amalkan Qiyamulail walaupun pendek
10) Sahur diwaktu akhir
11) Sahur - utk mengelakkan makanan tidak hadam elakkan makanan pedas dan tutup sahur dengan air susu
12) Mandi Janabat sebelum Imsak
13) Kurangkan tidur
14) Tunaikan Solat sunat fajar (Solat Sunat Subuh)
15) Tunaikan Solat Dhuha
16) Tidur waktu cuti (satu jam sebelum Zohor)
17) Tunaikan solat Rawatib
18) Jaga pacaindera
19) Elakkan gosok gigi pd waktu petang
20) hadiri majlis ilmu
21) Buat baik pd ibubapa
22) Isteri hendaklah taat pd suami
23) Banyakkan bersedekah
24) Berbuka dgn 3 biji kurma dan air yg belum dipanaskan oleh api
25) Berbuka bersama org tua
26) Jemput tetamu berbuka
27) Kurangkan berat badan
28) Banyakkan i’tikaf di masjid (lelaki sahaja)
29) Baiki hubungan suami isteri
30) Baiki hubungan jiran
31) Isteri jauhi drpd keluar memakai mekap & perhiasan
32) Elakkan berbelanja berlebihan
33) Kuatkan kesabaran
34) Banyakkan selawat,istighfar,bertasbih
35) Berazam beramal (pada malam Lailatul Qadar)
36) Mengejut anak dan isteri di mlm Lailatul Qadar
37) Elakkan menonton TV yg mengandungi nafsu
38) Elakkan mendengar radio berunsur hiburan
39) Berdoa dgn nada lembut dan merayu
40) Jauhkan bercumbu dgn suami/isteri
41) Mendoakan ibu bapa samaada hidup atau yg meninggal dunia
42) Melazimkan solat waktu
43) Elakkan sebelum berbuka bersiar2 yg menjadikan pandangan liar
44) Elakkan banyak berhutang
45) Melepaskan perasaan sedih melepaskan Ramadhan ditakuti tidak bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang
46) Tunaikan zakat fitrah

Apabila Manusia Menolak Agama…


Saya tertarik dengan kenyataan seorang pegawai polis iaitu Pegawai Hal Ehwal Awam, Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Chif Inspektor Chong Kean Heng, bila seseorang mengerjakan perbuatan terbaik dalam agamanya lazimnya orang itu tidak akan terdedah dengan berbagai gejala yang merugikan masa depan bangsa dan agamanya.

"Gejala jenayah hanya boleh diatasi dengan cara mengerjakan sembahyang mengikut budaya agama masing-masing, Tanpa tunduk pada tuhan seseorang itu boleh berkelakuan 'kurang ajar' atau lebih membimbangkan wujudnya Gengsterism di kalangan remaja sekolah, " tambahnya.

Di sini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendekatan agama merupakan cara terbaik dalam menyelesaikan masalah jenayah yang semakin membimbangkan akhir –akhir ini. Dalam konteks ini, Islam merupakan agama terbaik untuk penganutnya untuk meneliti dan menghayati serta mentaati setiap ajarannya.

Masalah yang berlaku dalam negara, sama ada peningkatan kadar jenayah, salah laku remaja, kecelaruan politik, kemelesetan ekonomi malah kadar kemalangan di jalan raya di negara adalah berpunca dari sikap manusia atau mereka yang berkuasa tidak melihat agama Islam sebagai alternatif dalam mencari punca dan mengatasi semua masalah.

Sebagai contoh, apa yang berlaku dalam negara. Dalam kekalutan masalah salah laku dan sosial di kalangan muda –mudi , pihak Kabinet masih meluluskan konsert artis rock dari Barat, Avril Lavigne yang boleh merosakkan golangan remaja kepada budaya tidak sihat.

Begitu juga dengan sambutan Kemerdekaan malam semalam, persembahan artis-artis tidak senonoh yang berpakaian tidak sopan dengan persembahan yang memualkan masih lagi menjadi 'menu' utama dalam sambutan ambang kemerdekaan di banyak tempat dalam negara.

Semua ini menunjukkan bahawa pihak tertentu yang berkuasa tidak peka kepada tuntutan agama Islam. Dalam hal ini saya memuji tindakan mufti Perlis yang agak konsisten dan vokal dalam menyentuh isu yang sensitif kepada umat Islam. Terbaru, beliau menyelar pihak yang membenarkan dan menganjurkan Konsert Avril Lavigne di Stadium Merdeka kelmarin

Bagaimana dengan mufti – mufti yang lain ? Di mana pula suara 'lantang' tokoh akademik seperti Naib Cancelor UUM dan UiTM ? Kenapa senyap seribu bahasa ? Adakah isu ini tidak berkaitan dengan maruah, moral dan agama ? Adakah isu ini tidak berkaitan dengan isu hak Melayu yang kononnya mereka perjuangkan.

Semoga dengan kenyataan Chif Inspektor Chong Kean Heng, akan membuka mata pihak –pihak lain. Adalah amat memalukan, seorang pegawai polis yang bukan beragama Islam melihat pendekatan agama adalah cara terbaik dalam menangani masalah jenayah. Namun, tokoh –tokoh agama dalam kerajaan hanya melihat 'sebelah mata' atau 'pejam mata' dengan masalah yang berlaku.


 

31 August 2008

Kemerdekaan Yang Semakin Hilang Serinya…


Saya berada di Kuala Rompin Pahang sejak semalam di kampung isteri. Sepanjang perjalanan dari Melaka ke Rompin saya dapat melihat suasana muram dan 'lesu' Sambutan Kemerdekaan ke 51 yang diraikan hari ini.

Bangunan kerajaan dan premis persendirian yang memasang bendera sangat sedikit hanya ala kadar sahaja. Suasana di Bandar Tangkak, Segamat, Muadzam dan Kuala Rompin sendiri suasana kemerdekaan tidak seperti tahun –tahun sebelumnya. Malah papan tanda sambutan kemerdekaan di Bandar Kuala Rompin yang dipasang tahun lepas masih tidak digantikan dengan yang baru.

Lebih mengejutkan, tahun ini tidak ada upacara perbarisan kemerdekaan peringkat daerah Rompin seperti tahun – tahun sebelum ini. Untuk makluman sebelum berhijrah ke Melaka ( balik kampung ) kira –kira 5 tahun lalu saya telah tinggal lebih 7 tahun di Rompin. Suasana kemerdekaan ternyata berbeza.

Kenderaan yang memasang bendera Malaysia atau negeri , hanya boleh dikira dengan jari bermula di Lebuh Raya PLUS Ayer Keroh – Tangkak hinggalah sampai di Kuala Rompin.

Cuma, malam tadi ada 'sambutan kemerdekaan' oleh anak –anak muda golongan mat rempit sambil menunggang motor yang membingitkan telinga.

Jelas di sini, senario yang berlaku dalam Negara terutama kegawatan ekonomi dan 'teori' peralihan kuasa' menyebabkan suasana kemerdekaan ke 51 tahun ini begitu lesu dan suram.

Semoga pada 16 September rakyat Malaysia kembali ceria dengan sambutan 'Pembentukan Malaysia'.

Peringatan Menjelang Ramadhan


Hari ini kita berada di penghujung bulan Shaaban, bulan yang sepatutnya telah digunakan sebagai persiapaan menjelangnya bulan Ramadan. Pada bulan Shaaban ini, sepatutnya seorang Muslim telah mencuba untuk berpuasa sunat, bagi mempersiapkan fizikal dan mental sebelum datangnya bulan Ramadan.

Ibadah puasa pada bulan Ramadan mestilah dilakukan di dalam keadaan kita faham akan maksud dan tujuannya. Allah SWT menyebut di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa (Ramadan) itu telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.”

Di dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa, ibadah puasa pada bulan Ramadan itu adalah dengan matlamat untuk menghasilkan sifat Taqwa. Sifat taqwa ini adalah darjat ketinggian yang sempurna bagi seorang Muslim kerana ia bermaksud melaksanakan sepenuhnya perintah Allah dan meninggalkan sepenuhnya laranganNya.

Sifat taqwa itu menjadi syarat untuk kita hidup sebagai orang yang berjaya. Firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5:

“Alif Laam Mim, Demikianlah (Al-Quran), Kitab yang tidak ada sebarang keraguan di dalamnya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitulah mereka yang beriman dengan perkara-perkara yang ghaib serta mendirikan solat dan menafkahkan apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka. Juga mereka yang beriman dengan apa yang telah diturunkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah diturunkan sebelum engkau. Mereka itu juga yakin dengan Akhirat. Mereka itulah yang berada di atas petunjuk dari Tuhan mereka, dan golongan inilah merupakan golongan yang berjaya”

Sifat taqwa ini juga adalah sifat yang boleh menarik keberkatan Allah kepada kehidupan di sesebuah negeri. Firman Allah SWT:

“Dan sekiranya penduduk suatu negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami akan bukakan bagi mereka keberkatan dari langit dan bumi. Akan tetapi mereka itu sendiri yang mendustakan (Allah) dan kerana itulah Kami hukum mereka di atas apa yang mereka sendiri lakukan.”


Apabila penduduk suatu negeri itu beriman dan bertaqwa dalam erti kata yang sebenar, maka barulah Allah SWT memberkati kehidupan mereka di dunia. Barakah ini adalah suatu situasi yang hanya difahami oleh orang-orang yang beriman. Keberkatan pada rezeki, menjadikan hasil yang kita perolehi melalui pekerjaan itu cukup dan mendatangkan ketenangan hidup. Keberkatan pada umur menjadikan usia hidup dijadikan kesempatan untuk beribadah kepada Allah SWT sama ada ketika tubuh badan sihat, mahu pun ketika terlantar sakit di pembaringan. Dalam erti kata yang lain, jika kehidupan kita diberkati Allah, maka umat Islam dan manusia semuanya dapat hidup dalam suasana yang aman tenteram.

Akan tetapi, bilamana iman dan taqwa diketepikan, kehidupan kita akan menjadi porak peranda. Kita bekerja siang dan malam tetapi rezeki tidak pernah cukup sehingga terjebak kepada pencarian yang haram. Kita berkahwin untuk menyempurnakan agama, tetapi rumah tangga kita sentiasa didatangi masalah dan penceraian menjadi suatu kebiasaan. Kita menambah zuriat untuk meramaikan lagi hamba-hamba Allah yang taat, tetapi anak-anak kita menjadi beban dan dukacita yang tiada kerehatan. Akhirnya, individu tidak sejahtera, keluarga porak peranda, masyarakat dibelenggu jenayah dan maksiat dan negara menuju kehancuran. Semuanya ini adalah kerana tiada iman dan tiada taqwa.

Alangkah berhajatnya kita kepada taqwa. Taqwa sebagai menarik berkat dari Allah SWT, taqwa sebagai penemu jalan keluar kepada masalah yang membelenggu kita hari ini. Dan ibadah puasa yang bakal kita jalani ini, adalah salah satu wasilah kepada menghasilkan taqwa.

Ibadah puasa bukan sekadar hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata. Ibadah puasa itu adalah madrasah tempat kita melatih diri mengikis sifat-sifat yang keji. Sabda Nabi SAW:

“Barangsiapa yang (ketika berpuasanya itu) tidak meninggalkan kata-kata dan perbuatan yang keji, maka tiadalah Allah memperdulikan usahanya berlapar dahaga meninggalkan makan dan minumnya itu” Riwayat al-Bukhari

Umat Islam juga mesti memahami prioriti ibadahnya. Amat jelek dan ganjil sekali apabila ramai umat Islam yang apabila menjelang Ramadan mereka berpuasa, tetapi mereka meninggalkan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga selama lebih separuh hari, tetapi tidak pula bersedia meluangkan masa beberapa minit untuk mengerjakan solat. Nabi SAW telah bersabda:

"Pemisah di antara kita dan mereka (orang kafir) adalah solat. Barangsiapa meninggalkannya maka sungguh dia telah kafir." (HR. Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai dan Ibnu Majah).

Sesungguhnya ini adalah ancaman yang amat besar dari Nabi SAW. Sifat lengah dan malas terhadap solat amat berbeza daripada sifat seperti itu terhadap ibadah yang lain. Solat adalah tali Allah, memutuskannya bererti memutuskan hubungan dengan Allah. Solat adalah tiang agama, meninggalkannya bererti meruntuhkan agama.
Manakala bagi mereka yang bersolat, perlulah pula memahami prioriti
perlaksanaannya. Suatu keganjilan yang berlaku di dalam masyarakat, umat Islam boleh datang ke masjid untuk solat Tarawih yang sunat, tetapi tidak boleh datang ke masjid untuk solat lima waktu yang wajib..

Ucaplah kalimah Syahadah, dirikanlah solat lima waktu sehari semalam, berpuasalah pada bulan Ramadan, keluarkanlah zakat sebagaimana yang disyara’kan, dan berusahalah kepada menunaikan ibadat haji, nescaya sempurnalah tiang-tiang yang membina agama kamu

30 August 2008

‘Umpan’ Bonus Sebulan Gaji Tidak Mampu Menyelesaikan Kemelut Ekonomi Negara

Saya menyambut baik langkah kerajaan memberi bonus sebulan gaji atau minimum RM 1000 kepada kakitangan awam seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan budget 2009 semalam. Pemberian bonus ini sudah pasti dapat membantu meringankan beban kakitangan kerajaan menghadapi tekanan ekonomi implikasi daripada kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang melambung.

Namun, langkah pemberian bonus ini hanya memberi faedah kepada kira –kira 1.2 juta kakitangan kerajaan sahaja. Bagaimana dengan nasib pekerja sektor swasta dan penduduk kampung ? Walhal mereka turut mengalami keperitan ekonomi kesan kenaikan harga minyak dan peningkatan kadar inflasi yang paling tinggi dalam sejarah seperti yang diumumkan oleh Gabenor Bank Negara.

Sementara itu, pemberian bonus sebulan gaji kepada semua kakitangan kerajaan tanpa mengia gred jawatan adalah sesuatu yang kurang bijak.Misalnya bagi mereka yang bergaji lebih RM 10 ribu seperti pegawai Jusa C, Jusa B dan Jusa A, kenaikan harga minyak dan inflasi kurang memberi kesan kepada mereka. Ke mana –mana atas nama tugas rasmi, mereka boleh menggunakan kereta jabatan. Jika mereka guna kenderaan sendiri mereka boleh buat tuntutan perjalanan lebih daripada cukup.

Dalam hal ini, saya berpendapatan kerajaan sepatutnya memikirkan satu mekanisme dalam budget 2009 yang boleh memberi manafaat kepada semua rakyat. Misalnya, daripada memberi bonus sebulan gaji kepada kakitangan kerajaan adalah lebih wajar wang yang berbilion ringgit untuk membayar bonus ini digunakan untuk menampung subsidi minyak. Justeru itu, kerajaan dapat menurunkan harga minyak kepada kadar yang lebih munasabah.

Mungkin juga, wang berkenaan boleh digunakan untuk memberi subsidi untuk mengurangkan harga barang keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak dan gula. Langkah ini sudah pasti akan lebih adil dan dapat dinikmati oleh semua rakyat.

Apa yang pasti, pemberian bonus ini satu berita gembira kepada kakitangan kerajaan tetapi menyebabkan pekerja sektor swasta dan penduduk kampung terus ' melopong' dan terus mengalami kesan ekonomi yang berlaku dalam Negara.

Apa –apa pun terima kasihlah kepada kerajaan, kerana saya salah seorang yang bakal mendapat bonus…he..he..he…


 

29 August 2008

Tanda-tanda Pembentukan Kerajaan Baru Semakin Nyata


Dalam posting sebelum ini saya ada menyatakan bahawa teori pembentukan kerajaan baru pada atau sebelum 16 September seperti yang diuar –uarkan adalah agak mustahil dan sukar untuk dilaksanakan.Namun, perkembangan muktahir senario dalam Negara menyebabkan saya menjangkakan bahawa teori ini semakin hampir untuk direalisasikan.

Bermula dari Keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh sehingga pembentangan Belanjawan oleh Perdana Menteri pada hari ini semakin menguatkan ramalan bahawa Kerajaan Baru Bakal Terbentuk sebelum 16 September.

Tanda –tandanya :

  1. Terdapat ahli parlimen BN menghantar SMS kepada DSAI selepas kemenangan di Permatang Pauh.
  2. 20 Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak membuat aku janji untuk setia bersama BN dan kerajaan yang ada
  3. Beberapa jam kemudian Anwar mengadakan pertemuan dengan kira –kira 10 orang ahli parlimen BN dari Sabah dan Sarawak di ibu kota.
  4. Dalam pembentangan 'Budget 2009' sebelum mengakhiri ucapannya Pak Lah menegaskan


    'Saya tidak akan membenarkan mandat rakyat dirampas daripada parti BN yang telah menang majoriti pilihanraya umum secara sah dan mengikut lunas demokrasi," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi


    Tak sungguh tak melata…Tak sungguh orang tak kata…Kalau tak ada angin tak kan pokok bergoyang…Wallahu'alam

Kita Masih Dijajah..


Merdeka, suara keramat yang bergema setiap kali tiba tanggal 31 Ogos. Merupakan hari yang cukup istimewa kepada Negara terutama mereka yang terlibat dalam perjuangan membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

Merdeka, bermakna bebas. Namun, kebebasan dalam erti kata merdeka sering disempitkan skopnya iaitu bermaksud bebas dari penjajahan dari ditakluk dan diperintah oleh negara lain sahaja.

Walhal, makna bebas dan merdeka adalah sangat luas dari erti dan nilainya. Apa erti merdeka, sekiranya pemikiran masih dijajah, kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan di sekat dan hak berhimpun secara aman tidak dibenarkan dalam Negara yang mendakwa telah merdeka.

Pelbagai akta dan undang –undang yang merantai kebebasan diperkenalkan. Misalnya ISA,OSA, AUKU dan Ordinan Darurat diperkenalkan kononnya untuk menjaga keamanaan, perpaduan dan keharmonian.

Terkini, kebebasan menyatakan pandangan dan pendapat serta menyuarakan rasa tidak setuju melalui dunia siber cuba disekat. Misalnya, pengendali blog Penarik Beca dan Malaysia Today baru –baru ini ditahan kerana pandangan dan hujah kritis yang dikemukakan kepada pihak tertentu dalam kerajaan. Malah Blog Malaysia Today disekat aksesnya oleh Syarikat TM Net atas arahan pihak tertentu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk seri syed Hamid Albar turut bersetuju langkah yang dikenakan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM ) menyekat blog Raja Petra Kamarudin ( RPK ). Malah sebelum ini sering kali memberi amaran kepada pengendali blog lain yang tidak sehaluan dengan kerajaan untuk bersedia dikenakan tindakan. Merdekakah ini namanya ?

Walaupun Negara bakal meraikan kemerdekaan ke 51 beberapa hari lagi, sebenarnya kita masih dibelenggu dan dirantai dengan penjajahan alaf baru. Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara ke 51 !

Pelajar 'Kung Fu' di MRSM di Melaka

Melaka, Lima orang pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara di Melaka dibuang sekolah Isnin lalu kerana terlibat perbuatan 'ragging' ala kung Fu terhadap pelajar baru.

Kelima -lima pelajar tingkatan Empat dari MRSM berkenaan dibuang sekolah apabila perbuatan mereka dirakamkan melalui telefon bimbit dan disiarkan di laman You Tube. Ini bukan kejadian pertama, sebelum ini terdapat kes di sekolah yang sama seorang pelajar hampir lumpuh dibelasah oleh 15 orang pelajar.

Peristiwa ini menggambarkan terdapat kelemahan dan kepincangan dalam sistem pendidikan di negara ini yang perlu diperbaiki. Dalam masa yang sama pihak kerajaan tidak boleh lepas tangan dalam hal ini. Mereka turut bertanggungjawab dengan memberi kebenaran kepada program hiburan melalaikan dan berunsur ganas di stesen - stesen TV yang merosakan golongan remaja dan anak muda. Malah, malam ini kerajaan meluluskan konsert artis simbol seks, Avril Lavigne di Stadium Merdeka walaupun mendapat bantahan dari pelbagai pihak sama ada NGO,pertubuhan agama dan parti Politik.

Di samping, jangan lupa kerajaan turut sama terlibat 'memeriahkan' sambutan Malam Kemerdekaan pada 31 Ogos ini dengan program-program hiburan keterlaluan yang menyebabkan golongan remaja dan muda mudi terus leka dan hanyut. Saksikan klip video berkenaan :

28 August 2008

TEROWONG SMART YANG TIDAK SMART


KUALA LUMPUR: Semalam sekali lagi sekitar Bandaraya Kuala Lumpur di tenggelami banjir.Beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar raya ini mengalami kesesakan luar biasa berikutan hujan lebat dan banjir kilat sejak jam 3 petang, semalam.

Hujan lebat turut menyebabkan beberapa kawasan perumahan di sekitar ibu kota dilanda banjir kilat sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda.

Antara jalan yang terjejas termasuk Jalan Mahameru, Jalan Bangsar, Jalan Tun Perak, Jalan Cheras, Jalan Sungai Besi, Jalan Ampang dan Jalan Kuching.

Kesesakan jalan raya yang teruk juga dilapor berlaku di sepanjang Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak serta Puduraya.

Di manakah efisennya Terowong Smart yang bernilai RM 1.8 Bilion ( $ US 514.6 million ) ? Nampaknya masalah banjir kilat yang sering melanda warga kota tiada kesudahan.

Apa yang berlaku seolah –olah menunjukkan kerajaan tidak teliti dan membuat kajian terperinci dalam menangani masalah banjir di Kuala Lumpur.

Masalah yang berlaku menyebabkan warga kota mengalami 'trauma' setiap kali berlaku hujan lebat. Keadaan yang berterusan bukan sahaja membawa kepada kerugian dari segi harta benda tetapi boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Masalah yang gagal diatasi oleh pihak berwajib menyebabkan warga kota menjadi bosan dengan janji –janji kerajaan.Natijah diterjemahkan dalam Pilihanraya ke 12 yang lalu.

Justeru itu, peralihan kuasa yang dijangka berlaku seperti yang diwar –warkan akan membawa harapan dan dimensi baru kepada warga kota terhadap kerajaan baru yang bakal terbentuk untuk membela dan menjaga kebajikan dan keharmonian rakyat


 
 

Bila Dah Kalah...


Nak tergelak pun ada, simpati pun ada, bila membaca komen Menteri Penerangan Dato Shabery Chik yang 'berbuih mulut' mengatakan bahawa BN tidak kalah dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

Beliau berkata tidak ada sebab bagi anggota BN untuk bersedih atau menganggap kemenangan yang sudah dijangka itu sebagai "kekalahan" kepada BN kerana Anwar bertanding di kubu kuatnya.

Ahmad Shabery berkata majoriti undi yang diperoleh Anwar pada pilihan raya kecil itu juga tidak begitu besar berbanding apa yang diuar-uarkan sebelum ini.

"Saya rasa kalau dilihat daripada hari penamaan calon di mana kehadiran penyokong dia (Anwar) 50,000...sepatutnya undi yang dia dapat pun 50,000 ataupun mendapat majoriti sekurang-kurangnya 20,000.

"Tetapi dengan majoriti 15,000 perbezaannya adalah terlalu sedikit dengan apa yang diperoleh Azizah (isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail)... tak banyak beza," katanya.

Beliau berkata upacara angkat sumpah Anwar sebagai anggota Parlimen tidak akan disiarkan secara langsung pada hari ini.

"Kita siarkan seperti biasa yang bermula dengan sesi soal jawab, tidak ada tradisi baru akan dibuat," katanya.

Mungkin Dato' Shabery Chik terlupa dengan fakta bahawa Barisan Nasional dan Umno bukan sahaja ditolak oleh majoriti pengundi Permatang Pauh. Sebenarnya Barisan Nasional dan UMNO ditolak oleh ahli mereka sendiri.

Ahli BN Permatang Pauh sebanyak 26,942 dari jumlah itu ahli Umno saja sebanyak 19,442 orang. Undi yang diperolehi Ariff Shah hanya 15,524. Bermakna kurang separuh ahli BN/Umno tidak mengundi atau tidak keluar mengundi.

Sepatutnya beliau dan pemimpin BN dan UMNO lain kena merenung dan meramal nasib yang bakal berlaku dengan kekalahan besar dengan majoriti 15,671 berbanding 13,398 dalam Pilihanraya Umum 8 Mac. Mereka kena mencari punca kenapa pengundi dan ahli mereka sendiri tidak menyokong dan mengundi BN / UMNO.Membuat post Mortem dengan penuh tanggungjawab dan profesional. Melihat kelemahan sendiri tanpa menyalahkan pihak lain.