04 September 2008

Buat Malu Orang Melaka Je..

Minggu lepas Berita TV 9 memfokuskan tentang isu ' couple' muda mudi Melayu beragama Islaam yang berluasa di Pantai Klebang. Hari ini, sekali lagi Melaka terkenal seluruh Malaysia apabila pihak Berita TV 9 menyiarkan operasi Jabatan Agama Islam Melaka ( JAIM ) terhadap restoran yang menjadi tumpuan orang Melayu Islam menjamu selera di Bulan Ramadhan.

Semalam, semasa pergi ke sebuah kedai komputer di Bandar Melaka, saya terserempak dengan beberapa orang Melayu yang saya yakin beragama Islam di kad pengenalannya sedang asyik 'menikam' nombor ekor.

Pendedahan ini menggambarkan betapa kroniknya masalah umat Islam di bumi Melaka. Saya yakin banyak lagi masalah moral dan akidah umat Islam yang menyimpang yang tidak didedahkan. Justeru itu, kepada pemimpin yang berkuasa berilah perhatian kepada rakyat di negeri sendiri daripada sibuk – sibuk jaga 'tepi kain' orang lain.

Inilah juga balasannya, apabila agama Islam dipersendakan dan pemimpin yang ada tidak ambil berat masalah moral dan akhlak rakyat yang rosak dan punah ranah. Justeru itu, tidak peliklah kalau sebelum ini ada pemimpin negeri ini dalam temuramah dengan TV 3 baru – baru mencadangkan kalau boleh program jom Heboh dibuat tiap – tiap minggu di Melaka. Mungkin jika cadangan yang tak masuk akal ini dilaksana, kita akan dapat menyaksikan berita – berita negatif tentang Melaka setiap hari keluar dalam TV.

Adakah pemimpin yang ada masih kurang berpuas hati kadar kelahiran anak luar nikah di Melaka pada tahun ini meningkat sekali ganda berdasarkan perangkaan JAIM berbanding tahun sebelumnya ?

Pembinaan Kompleks Penjara yang terbesar di Malaysiayang sedang rancak sekarang di Sungai Udang seolah –olah menunjukkan betapa gawatnya masalah sosial dan jenayah di Melaka.

Mungkin ini mesej yang ingin disampaikan , 'Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia'. Pelawat atau pelancong tak perlu ke tempat lain untuk melihat kegawatan sosial dan kroniknya masalah jenayah di Malaysia. Datang ajalah ke Melaka. Di Melaka ada Sekolah Henry Gurney, dua pusat serenti, penjara pra bebas, sekolah pemulihan akhlak Tunas Bakti dan tak lama lagi ada penjara terbesar di Malaysia.


 

APA YANG TERSIRAT DI SEBALIK ANGKA 15 OLEH PAK LAH

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan bersedia menurunkan minyak sebanyak 15 sen lagi sekiranya harga minyak di pasaran dunia yang sekarang $ AS 109 terus turun.

Nampaknya Pak Lah cukup suka dengan angka 15 ni. Sebelum itu, beliau telah menurunkan harga minyak sebanyak 15 sen sewaktu pilihanraya umum Permatang Pauh. Kini bercadang turun lagi 15 sen. 15 ₊ 15 = 30.

Macam kebetulan pula dengan angka 30 ni. Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa beliau memerlukan 30 kerusi parlimen dari BN untuk bentuk kerajaan baru. Sekarang DSAI cukup yakin beliau mempunyai lebih 30 kerusi untuk bentuk kerajaan baru.

Pengumuman Pak Lah menurunkan harga minyak 15 sen dulu dan 15 sen akan datang seolah –olah satu simbolik pada DSAI untuk merealisasikan pembentukan kerajaan baru menjelang 16 September nanti. Turun minyak sejumlah 30 sen bakal menyaksikan angka keramat 30 kerusi parlimen yang diperlukan oleh DSAI akan terlaksana menjelang fajar 16 September.

Minyak Akan Turun Harga sebelum Raya

Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Sharil Samad berkata minyak dijangka akan turun harga sebelum raya.

Emmm…macam tahu –tahu je..mungkin ada apa – apa kot ?Sebab Datuk Seri Anwar berkata, apabila kerajaan baru terbentuk pada 16 September, minyak akan diturunkan 70 sen pada keesokan harinya. Jadi rakan rakan –rakan yang ingin beralih pada NGV mungkin boleh fikir dan tunggu dulu…Kita tunggu peralihan kuasa yang dijangka berlaku…

03 September 2008

Batalkan Serta Merta Surcaj 30 % Tambang Bas Musim Perayaan


Kabinet hari ini bersetuju supaya kuota subsidi diesel untuk bas ekspres sepanjang musim perayaan bermula 15 September ini hingga 15 Oktober depan dinaikkan sehingga 9,000 liter berbanding hanya 2,500 liter sebelum ini.

Justeru itu langkah kerajaan melalui Menteri Pembangunan Usahwan dan Koperasi Datuk Noh Omar sebelum ini untuk mengenakan surcaj 30 % selama sebulan mulai 15 september ini untuk semua bas ekspres dan bas henti –henti perlu dihentikan serta merta.

Dalam hal ini, tidak ada alasan lagi kerajaan ingin membenarkan pengusaha syarikat bas Ekspres dan bas henti –henti meneruskan surcaj 30 %. Bagi penumpang yang telah membeli tiket dengan harga tambahan surcaj 30 % perlu dikembalikan semula wang mereka.

Pihak kerajaan perlu menyedari, mereka yang menjadi pengguna pengangkutan awam sudah pasti majoritinya golongan berpendapatan rendah dan sederhana selain daripada para pelajar. Justeru itu, langkah membatalkan surcaj 30 % dapat mengurangkan bebanan para pengguna yang terpaksa menanggung kos yang tinggi kerana menggunakan perkhidmatan awam ini.


 

YAB TUAN GURU YAKIN AKAN BERLAKU PERALIHAN KUASA


YAB Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat meyakini kerajaan baru akan terbentuk tidak lama lagi. Menurut beliau perubahan ini bukan disebabkan oleh tarikh 16 September 'date line' yang ditetapkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim tetapi dasar dan pemikiran kerajaan yang ada memang perlu diubah.

Malah, Ketua PKR Sarawak, Dominique Ng memberitahu sidang akhbar di Kuching bahawa Pakatan Rakyat kini menjangka lebih 40 ahli parlimen akan melompat dari Barisan Nasional (BN).

Terbaru, 43 ahli parlimen telah menyatakan komitmen untuk 'beralih angin' pada 16 September ini. Dalam 43 orang ini, salah seorangnya adalah seorang bekas menteri yang berada dalam jangkaan saya.

Keyakinan ini berdasarkan maklumat yang saya terima dari seorang rakan yang rapat dengan bekas Menteri berkenaan pada petang tadi. Lama juga kami bersembang dalam telefon membincangkan kemungkinan yang berlaku. Menurut rakan saya, bekas menteri itu lebih cenderung menyertai PAS berbanding dengan Parti Keadilan Rakyat.

Apa –apapun sama –sama lah kita tunggu kedatangan 16 September nanti…


 


 

RAMADHAN: 'PESTA IBADAH' ATAU 'PESTA MAKAN -MAKAN' ?


Ramadhan datang lagi. Bagi mereka yang memahami dan meyakini tentang kelebihan bulan ini, ketibaan Ramadhan adalah sesuatu yang begitu dinantikan.

Pada bulan ini, pahala dilipat-gandakan selain pelbagai tawaran dan gajaran seperti yang disebut dalam Al Quran dan hadis Nabi SAW. Selain itu berlaku pelbagai peristiwa penting kepada umat Islam.Di antaranya bulan ini Al Quran diturunkan, berlakunya Badar Al Kubra dan peristiwa Lailatul Qadar.

Justeru itu, kedatangan Ramadhan disambut dengan penuh kegembiraan dan sepanjang sebulan Ramadhan dijadikan sebagai ‘pesta ibadah’. Pada bulan ini dihiasai denganpelbagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan bacaan al Quran, solat sunat tarawikh, Qiamulail dan berzikir dengan tujuan mencari keredhaan Allah SWT.

Bagi yang merasa diri berdosa, bulan ini adalah bulan yang sesuai untuk menyucikan diri dari dosa –dosa lalu dengan meningkatkan permohonan keampunan kepada Allah SWT.

Bagi mereka yang mempunyai hajat tertentu, bulan ini adalah sangat ditunggu –tunggu untuk memperbanyakkan doa dengan penuh syahdu memohon dari Allah SWT supaya hajat mereka diperkenankan.

Bagi mereka yang berkemampuan, bulan ini digunakan untuk memperbanyakkan sedekah dan infaq kepada mereka yang memerlukan. Di samping itu, terdapat mereka merebut peluang dengan mengerjakan umrah di bulan Ramadhan.
Namun, tidak semua orang menjadikan Ramadhan sebagai ‘Pesta Ibadah’ sebaliknya lebih terserlah sebagai bulan ‘Pesta Makan –makan’.

Bulan ini digunakan untuk menjamu selera dengan makanan yang enak –enak. Sewaktu berbuka puasa, segala macam lauk pauk dan kuih muih memenuhi meja. Tidak termasuk pelbagai jenis air yang pelbagai rupa dan warna.

Akhirnya, bila dah kekenyangan dan beberapa kali sendawa, juadah berlebihan akan ‘disimpan’ di dalam tong sampah. Apabila dah kekenyangan , tersandar di kerusi atau balik pintu.Solat Maghrib mula dillewat-lewatkan. Solat Tarawikh ? Tengok kepada kelaratan.

Ramadhan bulan keberkatan berlalu begitu sahaja. Pada hari pertama atau minggu pertama, surau dan masjid penuh hingga melimpah keluar orang bersolat tarawikh. Malangnya, pada minggu kedua, ketiga dan berikutnya saf orang bersolat bertarawikh makin ada ‘peningkatan’. Mungkin daripada tujuh dan lapan saf, ‘meningkat’ jadi satu saf terutama di hujung –hujung Ramadhan. Tak percaya, tengoklah nanti.

Kita lihat, orang lebih sibuk di bazar – bazaar Ramadhan yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Tak salah…Tapi biarlah berpada –pada. Ini tidak, membeli sampai melebihi keperluan dan kemampuan diri. Akhirnya dibuang, membazir begitu sahaja.
Selain itu, pada minggu kedua dan berikutnya orang mula sibuk berbuka puasa di hotel atau restoran atau memenuhi undangan berbuka. Di samping mula sibuk dengan persiapan juadah hari raya. Semuanya tentang ‘makan –makan’.

Walhal, pada pertengahan dan penghujung Ramadhan adalah waktu kemuncak untuk dilipat gandakan ibadah dan amalan untuk meraih keampunan dan keredhaan dari Allah SWT.
Justeru itu, marilah sama –sama kita merenung dan menghayati bulan Ramadhan yang baru bermula. Semoga amalan yang kita lakukan tidak menjadi adat dengan ‘pesta makan –makan’.sebaliknya Ramadhan dijadikan sebagai ‘Pesta Ibadah’. Mana tahu, Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir bagi kita semua.

02 September 2008

HARAPAN MALAYSIA BARU TERUS BERSEMARAK


Selepas sambutan Kemerdekaan ke 51 pada 31 Ogos lalu harapan dan fokus rakyat Malaysia terarah kepada tarikh 16 september 2008. Sasaran yang ditetapkan oleh Ketuan Pembangkang dan YB Permatang Pauh yang baru , Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru Malaysia.
Tanda –tanda kearah itu semakin jelas dan terus memarakkan harapan majoriti rakyat Malaysiayang cintakan pemerintahan kerajaan yang adil dan telus. Terkini, satu pertemuan sulit dijangka berlaku di ibu kota hari ini melibat DSAI dengan ahli Parlimen BN dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Mungkin ada sesuatu berita atau pengumuman penting selepas pertemuan itu. Sama –samalah kita nantikan.
Apa yang pasti perkembangan muktahir dalam negara seperti penyelewengan dan rasuah, salah guna kuasa,isu integriti badan kehakiman, menularnya budaya fitnah, pendakwaan terpilih BPR dan peningkatan kadar inflasi menyebabkan majoriti rakyat sudah mula bosan dan hilang kepercayaan pada kerajaan yang ada.
Walaupun kerajaan menawarkan pelbagai tawaran ‘menarik’ dalam pembentangan Belanjawan pada 29 Ogos lalu, ia tidak mampu mengubat dan merawat luka serta memujuk hati majoriti rakyat Malaysia.
Walau bagaimanapun, perasaan bimbang tetap wujud. Sudah pasti kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan sisa – sisa kuasa yang masih ada. Ini jelas seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapan di akhir pembentangan Belanjawan.Beliau akan memastikan ‘mandat’ yang diperolehi oleh BN akan dipertahankan.
Kita berharap, peralihan kuasa yang diuar –uarkan berlaku akan terus mewujudkan keharmonian dan kestabilan kepada Negara. Walaupun begitu, saya tidak menafikan sesuatu perubahan yang diinginkan memerlukan sedikit pengorbanan.

01 September 2008

Apabila Perut Mula 'Berkeroncong'.....


Akhir –akhir ini amat kurang berita dan maklumat tentang nasib umat Islam seantero dunia. Khususnya, tentang perjuangan serta penderitaan dan cerita darah dan air mata umat Islam di Palestin.
Apakah sensitiviti kita sudah semakin hilang atau kita lebih sibuk dengan cerita dan isu sekeliling kita dalam negara ?
Dalam Al Quran dan hadis Nabi SAW banyak menyentuh tentang konsep persaudaraan dalam Islam.

Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. ( Al Hujurat :10 )

"Mukmin yang satu terhadap Mukmin yang lain itu bagaikan bangunan yang mengikat antara sebagian dengan sebagian yang lainnya." HR. Muttafaqun 'Alaih

"Barangsiapa bersaudara dengan seseorang kerana Allah, maka Allah mengangkatnya satu darjat di syurga, yang tidak didapatnya dengan sesuatu amalan lainnya". ( Hadis Nabi SAW )

Ada tiga perkara yang barangsiapa dalam dirinya terdapat ketiga perkara itu, dia pasti merasakan manisnya iman, iaitu Allah dan RasulNya lebih dicintainya daripada yang lain; mencintai seseorang tiada lain hanya kerana Allah; dan tidak ingin kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah sebagaimana dia tidak ingin kalau dicampakkan ke dalam api." ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )


Dalam kesibukan kita membicarakan masalah dalam negara, harap – harap kita tidak melupakan nasib saudara kita seagama. Masalah umat Islam bukan hal sampingan. Sebaliknya, sesuatu yang perlu kita beri perhatian dan menunjukkan rasa solidariti dan persaudaraan.
Semoga ujian lapar dan dahaga dalam Ramadhan ini akan lebih menginsafkan kita bahawa perjuangan dan pengorbanan yang kita lakukan dalam memastikan kebenaran dan keadilan terlaksana masih terlalu kecil dan sedikit berbanding dengan perjuangan saudara kita di luar sana.

Ramadhan : Sejarah, Kelebihan dan Amalan


Sejarah Ramadhan
1) Ramadhan: ertinya panas terik
2) Bulan di turunkan Al Quran dan disebut (syahru ramadhana)
3) Berlakunya perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan.
4) Bulan dimana nabi mengambil balik Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala.
5) Di dalamnya dipilih ada malam al-qadar yakni lebih baik drpd 1000 bulan.
6) Di pilih untuk ibadat puasa.
7) Di pilih untuk ibadat-ibadat lain (tadarus Al Quran)

Kelebihan Bulan Ramadhan
1) Kamu akan di naungi Ramadhan. (bagi yg telah meninggal dunia terlepas dari siksa kubur)
2) Bulan penuh keberkatan
3) Di malamnya ada lebih baik drpd 1000 bulan
4) Amal sunat sama dengan solat fardhu
5) Manakala solat fardhu mendpt 70 kali ganda
6) Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga
7) Bulan menambah rezeki
8) Memberi buka banyak pahala
9) Bulan keampunan -* doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa.* juga doa pada sepertiga malam.
10) 10 hari pertama adalah mulanya rahmat, 10 hari pertengahan - pengampunan, 10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.

Amalan-amalan di bulan Ramadhan

1) Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan
2) Menempah pakaian untuk Ramadhan
3) Niat puasa sebulan pd permulaan Ramadhan
4) Hendak tidur bacalah 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi(ayat 107-110) supaya dapat bangun malam
5) Berazam melakukan Terawih 20 rakaat (bukan 8 rakaat)
6) Bertadarus secara bersemak (bukan sendirian)
7) Solat berjemaah setiap waktu
8) Solat jemaah di masjid/surau
9) Amalkan Qiyamulail walaupun pendek
10) Sahur diwaktu akhir
11) Sahur - utk mengelakkan makanan tidak hadam elakkan makanan pedas dan tutup sahur dengan air susu
12) Mandi Janabat sebelum Imsak
13) Kurangkan tidur
14) Tunaikan Solat sunat fajar (Solat Sunat Subuh)
15) Tunaikan Solat Dhuha
16) Tidur waktu cuti (satu jam sebelum Zohor)
17) Tunaikan solat Rawatib
18) Jaga pacaindera
19) Elakkan gosok gigi pd waktu petang
20) hadiri majlis ilmu
21) Buat baik pd ibubapa
22) Isteri hendaklah taat pd suami
23) Banyakkan bersedekah
24) Berbuka dgn 3 biji kurma dan air yg belum dipanaskan oleh api
25) Berbuka bersama org tua
26) Jemput tetamu berbuka
27) Kurangkan berat badan
28) Banyakkan i’tikaf di masjid (lelaki sahaja)
29) Baiki hubungan suami isteri
30) Baiki hubungan jiran
31) Isteri jauhi drpd keluar memakai mekap & perhiasan
32) Elakkan berbelanja berlebihan
33) Kuatkan kesabaran
34) Banyakkan selawat,istighfar,bertasbih
35) Berazam beramal (pada malam Lailatul Qadar)
36) Mengejut anak dan isteri di mlm Lailatul Qadar
37) Elakkan menonton TV yg mengandungi nafsu
38) Elakkan mendengar radio berunsur hiburan
39) Berdoa dgn nada lembut dan merayu
40) Jauhkan bercumbu dgn suami/isteri
41) Mendoakan ibu bapa samaada hidup atau yg meninggal dunia
42) Melazimkan solat waktu
43) Elakkan sebelum berbuka bersiar2 yg menjadikan pandangan liar
44) Elakkan banyak berhutang
45) Melepaskan perasaan sedih melepaskan Ramadhan ditakuti tidak bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang
46) Tunaikan zakat fitrah

Apabila Manusia Menolak Agama…


Saya tertarik dengan kenyataan seorang pegawai polis iaitu Pegawai Hal Ehwal Awam, Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Chif Inspektor Chong Kean Heng, bila seseorang mengerjakan perbuatan terbaik dalam agamanya lazimnya orang itu tidak akan terdedah dengan berbagai gejala yang merugikan masa depan bangsa dan agamanya.

"Gejala jenayah hanya boleh diatasi dengan cara mengerjakan sembahyang mengikut budaya agama masing-masing, Tanpa tunduk pada tuhan seseorang itu boleh berkelakuan 'kurang ajar' atau lebih membimbangkan wujudnya Gengsterism di kalangan remaja sekolah, " tambahnya.

Di sini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pendekatan agama merupakan cara terbaik dalam menyelesaikan masalah jenayah yang semakin membimbangkan akhir –akhir ini. Dalam konteks ini, Islam merupakan agama terbaik untuk penganutnya untuk meneliti dan menghayati serta mentaati setiap ajarannya.

Masalah yang berlaku dalam negara, sama ada peningkatan kadar jenayah, salah laku remaja, kecelaruan politik, kemelesetan ekonomi malah kadar kemalangan di jalan raya di negara adalah berpunca dari sikap manusia atau mereka yang berkuasa tidak melihat agama Islam sebagai alternatif dalam mencari punca dan mengatasi semua masalah.

Sebagai contoh, apa yang berlaku dalam negara. Dalam kekalutan masalah salah laku dan sosial di kalangan muda –mudi , pihak Kabinet masih meluluskan konsert artis rock dari Barat, Avril Lavigne yang boleh merosakkan golangan remaja kepada budaya tidak sihat.

Begitu juga dengan sambutan Kemerdekaan malam semalam, persembahan artis-artis tidak senonoh yang berpakaian tidak sopan dengan persembahan yang memualkan masih lagi menjadi 'menu' utama dalam sambutan ambang kemerdekaan di banyak tempat dalam negara.

Semua ini menunjukkan bahawa pihak tertentu yang berkuasa tidak peka kepada tuntutan agama Islam. Dalam hal ini saya memuji tindakan mufti Perlis yang agak konsisten dan vokal dalam menyentuh isu yang sensitif kepada umat Islam. Terbaru, beliau menyelar pihak yang membenarkan dan menganjurkan Konsert Avril Lavigne di Stadium Merdeka kelmarin

Bagaimana dengan mufti – mufti yang lain ? Di mana pula suara 'lantang' tokoh akademik seperti Naib Cancelor UUM dan UiTM ? Kenapa senyap seribu bahasa ? Adakah isu ini tidak berkaitan dengan maruah, moral dan agama ? Adakah isu ini tidak berkaitan dengan isu hak Melayu yang kononnya mereka perjuangkan.

Semoga dengan kenyataan Chif Inspektor Chong Kean Heng, akan membuka mata pihak –pihak lain. Adalah amat memalukan, seorang pegawai polis yang bukan beragama Islam melihat pendekatan agama adalah cara terbaik dalam menangani masalah jenayah. Namun, tokoh –tokoh agama dalam kerajaan hanya melihat 'sebelah mata' atau 'pejam mata' dengan masalah yang berlaku.