16 October 2008

BANJIR LAGI...

Semalam sekali lagi beberapa tempat di Melaka di landa banjir kilat kali ini melibatkan beberapa kampung di Asahan, Jasin Melaka. Di antara kampung yang terlibat ialah kampung Rim sehingga menyebabkan air naik hingga ke paras pinggang di rumah penduduk kampung. Banjir yang berlaku semalam menyebabkan sepanjang jalan ke kampung Rim hingga ke Asahan ditenggelami air.

Kepada Datuk Ali Rustam lupakanlah hasrat cita-cita besar untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Umno dengan terlebih dahulu menyelesaikan masalah banjir yang semakin kerap melanda Melaka akhir-akhir ini

BERPULUH KENDERAAN YANG TERKANDAS

RUMAH PENDUDUK KAMPUNG YANG DINAIKI AIR

15 October 2008

NAJIB TAK SEMPAT JADI PERDANA MENTERI ?


Sewaktu Pak Lah dalam proses membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak jawatan Presiden Umno, di sekitar Lembah Kelang sudah mula terdapat banner yang dinaikkan mengecam Najib sebagai penjenayah yang terlibat dalam pembunuhan Altantuya.

Beberapa hari lepas melalui sumber dalam kerajaan sendiri, surat tawaran berkaitan pembelian helikopter Eurocopter yang boleh dikategorikan sulit disebarkan kepada umum yang membabitkan keraguan dan penyelewengan yang dilakukan oleh Najib semasa berada di Kementerian Pertahanan.

Semalam, dalam perbahasan belanjawan DSAI mengemukakan fakta dan maklumat yang disifatkan oleh sesetengah ahli parlimen BN dan menteri kabinet sebagai input yang didedahkan oleh sumber dalaman kerajaan sendiri.

Dalam masa yang sama skrip sms yang didakwa di antara Najib dan peguam Datuk shafee Abdullah tersebar luar yang membuktikan Najib terlibat secara langsung dalam misteri pembunuhan Altantuya.Maklumat itu dikatakan dibocorkan oleh orang dalam di syarikat Maxis Communication Sdn. Bhd.

Apa yang berlaku merupakan satu usaha terancang untuk memastikan Najib yang sehingga hari ini calon tunggal jawatan presiden Umno dan bakal perdana Menteri akan kempunan untuk menduduki kerusi no. 1 negara.

Apa yang pasti segala maklumat dan fakta berkaitan isu-isu panas yang dibongkarkan bukan datang dari Pakatan Rakyat, tetapi maklumat itu diperolehi dari sumber terdekat dalaman Umno dan kerajaan sendiri.

Najib sekarang mula terasa bahang dan dijangka akan terus berdepan dengan pelbagai pendedahan skandal dan penyelewengan melibatkan beliau. Musuh-musuh beliau dalam Umno hanya menunggu masa untuk meledakkan bom C4 untuk memastikan impian beliau ke Sri Perdana akan berkubur.

14 October 2008

KADAR BARU HARGA MINYAK MASIH MEMBEBANKAN


Kerajaan mengumumkan untuk menurunkan harga minyak mulai malam ini pada kadar 15 sen untuk petrol RON 97, 10 sen untuk petrol RON 92 dan 20 sen untuk diesel mulai tengah malam ini.Apa yang lebih menghairankan kenapa kerajaan mengambil pendekatan menurunkan secara beransur-ansur harga minyak berbanding kenaikan mendadak yang dilakukan pada Jun lalu walaupun harga minyak pada hari ini telah berada jauh lebih rendah berbanding kenaikan terlampau pada bulan Jun lalu ( Ketika itu harga minyak di pasaran dunia $ US 130 -135 setong ) jauh lebih rendah pada hari ini iaitu harga minyak di bawah paras US $ 75 setong.

Kadar baru ini masih membebankan kerana menurut penganalisis ekonomi negara, harga minyak di negara ini sepatutnya telah diturunkan di bawah RM 2 berdasarkan harga minyak di pasaran dunia sekarang.

Penurunan harga minyak ini dijangka tidak mampu untuk membantu kerajaan mengawal atau membendung pesta kenaikan harga barang yang berlaku sekarang. Begitu juga langkah ini tidak berupaya mempengaruhi penurunan kadar inflasi 8.5 % yang sedang dialami oleh negara.


 


 

ISU 'DATUK' SHAH RUKH KHAN : ALI RUSTAM SENGAJA CARI PENYAKIT ?


Undian melalui sms di TV3 melalui Buletin Utama malam tadi mendapati 91 % tidak bersetuju anugerah datuk diberikan kepada Shah rukh Khan manakala 9 % lagi bersetuju. Sementara itu, Persatuan SENIMAN yang diketuai oleh Datuk Mustapha Maaruf turut mengutuk dan mengecam pemberian gelaran berkenaan dalam kenyataan kepada media.

Setakat ini belum ada lagi kenyataan mana-mana pemimpin UMNO yang menyatakan sokongan atau mempertahankan tindakan kerajaan negeri Melaka yang diketuai oleh Ali Rustam menganugerahkan gelaran tersebut.

Dalam suasana hangat-hangat suam pemilihan UMNO sekarang yang menyaksikan Ali Rustam turut menawarkan diri bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO, tindakan mencetuskan isu kontraversi ini sekaligus akan menutup segala peluang beliau untuk mendapat lebih pencalonan daripada bahagian-bahagian Umno yang lain. Kecuali bahagian Umno berkenaan turut sama tidak cerdik atau dua kali lima macam Ali Rustam.

Apa yang dilakukan oleh Ali Rustam ibarat membunuh kerjaya politiknya sendiri dalam UMNO. Pasti Tan Sri Muhyidin dan Tan Sri Md Taib adalah orang yang paling gembira sekarang dengan isu yang berlaku. Dalam kata lain Ali Rustam sengaja cari penyakit atau menambah penyakit dari pelbagai penyakit yang sedang menyerang Melaka sekarang. Mungkin dalam isu ini akan turut menutup peluang beliau untuk dicalonkan sebagai anggota Majlis Tertinggi. Melainkan beliau akan mendapat kuota simpati untuk menjadi ahli Majlis Tertinggi dari presiden Umno selepas tamat pemilihan nanti.

13 October 2008

MASALAH KEKURANGAN WAD DAN PARKING SEMAKIN KRITIKAL DI HOSPITAL MELAKA


Dalam seminggu ini dua kali saya berurusan di Hospital Besar Melaka. Pertama disebabkan anak yang kecil demam sehingga terpaksa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut selama dua hari dan hari ini emak pula dimasukkan ke hospital kerana masalah kekurangan gula kritikal dalam badan.

Sepanjang berada di Hospital Besar Melaka saya mendapati masalah kekurangan wad dan parking semakin kritikal. Jumlah katil dan wad yang tidak mencukupi menyebabkan ramai pesakit yang tidak mendapat rawatan yang sempurna.

Dalam kunjungan yang pertama kebetulan saya bertemu rakan saya, Hj. Salamat S/U Kawasan Pas Bukit Katil yang membawa emaknya ke hospital ini memberitahu saya dia dah dua hari terpaksa berulang alik dari rumah ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana tidak ada katil kosong di wad. Malah ada pesakit yang masih belum sembuh sepenuhnya telah diarahkan balik oleh pihak hospital bagi memberi laluan kepada pesakit yang baru tiba. Ramai lagi pesakit yang mengadapi masalah yang serupa.

Emak saya pula masih 'tersadai' di wad kecemasan dari pagi tadi kerana masalah yang sama. Saya dimaklumkan oleh doktor yang bertugas ada pesakit dah beberapa hari terpaksa menunggu di bahagian kecemasan kerana masalah wad yang kritikal. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa selain memberi rawatan yang terbaik sementara menunggu katil di wad kosong.

Di samping itu, perkarangan parking Hospital Melaka juga semakin sesak sehingga berlaku 'jammed' di dalam kawasan hospital terutamanya pada waktu melawat. Ada pengunjung terpaksa meletak kereta beberapa kilometer dari kawasan hospital disebabkan masalah parking ini. Tadi saya sempat melihat banyak kereta disaman oleh Polis Trafik kerana meletak kereta di bahu jalan dan garisan kuning.

Dalam hal ini, pemilik kenderaan tidak harus disalahkan 100%. Saya dapati mereka tidak ada pilihan akibat parking yang disediakan adalah sangat terhad. Justeru itu, tindakan menyaman adalah sesuatu yang kurang wajar. Lainlah, kalau parking dah disediakan masih meletak kenderaan secara sesuka hati.

Apa penyelesaian Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri? Jika di Hospital Tunku Jaafar Seremban, masalah parking selama ini diatasi dengan pembinaan sebuah parking bertingkat bernilai lebih 200 juta ringgit, di Hospital Melaka Kerajaan Melaka khususnya seolah-olah hanya melihat sebelah mata terhadap masalah yang berlaku.

Begitu juga dengan masalah kekurangan wad, apa tindakan kementerian kesihatan dan apa inisiatif kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini ?

Alangkah baiknya,jika peruntukan projek-projek yang tidak berfaedah dan tidak perlu disegerakan seperti pembinaan Eye On Malaysia di Melaka, Aerospace dome dan skrin air terbesar dunia bernilai 43 juta ringgit, pembinaan muzium-muzium baru yang tidak perlu disegerakan digunakan dan disalurkan untuk projek pembangunan yang dapat meningkatkan dan membaiki kemudahan di Hospital Melaka atau ditempat -tempat lain.

Tapi itu pandangan saya, sebaliknya kerajaan Melaka lebih sibuk dengan projek-projek mega yang hanya membawa keuntungan dan manafaat kepada pihak tertentu seperti penambakan laut di pantai Klebang, Projek Pulau Melaka yang kini terbengkalai dan projek pengindahan sungai Melaka yang setiap satunya bernilai ratusan juta ringgit daripada melaksanakan projek dan pembangunan yang dapat dinikamati oleh semua rakyat Melaka.

12 October 2008

EYE ON MALAYSIA...SATU LAGI PEMBAZIRAN DI BAWAH ALI RUSTAM


Eye On Malaysia yang sebelum ini di Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur

Eye On Malaysia yang sebelum ini beroperasi di Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur kini sedang rancak dipasang di Bandar Hilir Melaka dan dijangka mula beroperasi pada 18 Oktober ini.

Apa yang menjadi persoalan, siapakah yang terpaksa menanggung semua kos yang berkaitan dengan pemindahan Eye On Malaysia dari Kuala Lumpur ke Melaka ? Bagaimana pula dengan nasib Menara Taming Sari yang bernilai RM 26 juta yang juga terdapat di Bandar Hilir Melaka iaitu hanya beberapa ratus meter dari tapak Eye On Malaysia yang sedang dipasang. Secara logiknya, pelancong dari dalam dan luar akan memilih salah satu daripadanya kerana kos menaikinya yang mahal.Kadar Menara Taming Sari ialah RM 20 untuk dewasa dan RM 10 untuk kanak-kanak manakala untuk Eye On Malaysia ialah RM 18 untuk dewasa dan RM 9 untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Lagipun kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama iaitu untuk melihat pemandangan menarik sekitar Bandar Hilir dan Bandaraya Melaka.

Jumlah pengunjung yang menaiki Menara Taming Sari yang ada sekarang ini pun dah mula merosot.Jika tak percaya anda boleh memerhatikan sendiri apabila berkunjung ke Bandar Hilir. Malah pada hari-hari biasa kecuali hujung minggu Menara Taming Sari ini seakan-akan tidak berfungsi kerana terlalu kurang mendapat sambutan. Awal-awal dulu memang le ramai.

Satu perkara lagi, apa perlunya Eye On Malaysia di Melaka bukankah Melaka sudah mempunyai Eye On Melaka di tepi sungai Melaka?
Eye On Melaka

Selain Eye On Malaysia, sebuah Skrin Air Terbesar di dunia dan 'aerospace dome' yang bernilai RM 43 juta yang sedang dalam pembinaan di tempat yang berhampiran.

Ini semua menunjukkan pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang seolah-olah tidak mengambil pengajaran daripada kegagalan projek-projek mega di Melaka sebelum ini yang akhirnya menjadi projek gajah putih. Di antaranya ialah projek Pulau Melaka yang bernilai bilion ringgit yang kini menjadi sarang maksiat dan tempat melepas gian penagih dadah. Ali Rustam juga tidak mengambil ikhtibar daripada kegagalan projek 'Suara dan Bunyi' yang bernilai jutaan ringgit yang sekarang tanpa suara dan bunyi kini semakin sunyi sepi.

KALAU DAH NAMANYA UMNO...

Baru beberapa hari persidangan mesyuarat Umno peringkat pemuda,wanita, puteri dan bahagian berlangsung dah macam-macam kekalutan berlaku.

Di Bukit Bintang semalam mesyuarat Puteri Umno ditunda saat-saat akhir hingga menyebabkan ahli puteri di situ hampir berselising lengan.Perasaan tidak puas hati berlaku apabila segala persediaan seperti tempat, makanan dan jemputan tidak dapat digunakan akibat pembatalan saat-saat akhir mesyuarat tersebut.

Aksi menarik Ketua Puteri Umno Bukit Bintang dengan seorang perwakilan

sementara itu di Sempurna Sabah mesyuarat perwakilan peringkat Perwakilan Pemuda terpaksa dirujuk kepada Perhubungan Umno negeri kerana lebihan kertas undi dalam pemilihan ketua pemuda. Tetapi yang ini tak pelik, isu lebihan kertas undi dan pengundi hantu ini sudah sinonim dan seringkali dikaitkan dengan Umno sama ada dalam PRU atau pemilihan di peringkat bahagian dan pusat.

Lagipun, bab lebih melebih ni adalah perkara biasa bagi Ketua Bahagiannya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sehinggakan harga barang keperluan di negara ini semasa kementerian ini diterajui oleh beliau sentiasa naik melebih-lebih !

Selepas ini kita akan dihidangkan lebih banyak episod menarik dalam pemilihan Umno.Sama-sama kita nantikan episod yang seterusnya.

HARGA MINYAK, KRISIS EKONOMI DAN POLITIK DI MALAYSIA

Setiap hari harga minyak di pasaran global menunjukkan kadar penurunan. Walau bagaimanapun harga minyak di Malaysia masih lagi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan diturunkan.

Harga minyak ditutup di bawah AS$78 setong (RM273.78) hari ini ekoran pelabur kini lebih bersikap pesimistik terhadap persekitaran ekonomi global yang dijangka menghadapi kegawatan.

Minyak mentah berkualiti Light Sweet untuk penghantaran bulan November ditutup rendah pada AS$77.70 (RM272.72) setong di New York Mercantile Exchange.

Ini merupakan harga terendah yang dicatatnya bagi kontrak hadapan sejak 10 September 2007.

Di London, minyak Brent rugi sebanyak AS$8.57 (RM30.08) untuk ditutup pada $74.09 (RM260.06) setong di ICE Futures Exchange.

Menurut penganalisis, harga minyak kini semakin murah diniagakan di pasaran antarabangsa sejak 13 bulan lalu dengan penurunan sebanyak 47 peratus daripada paras tertingginya yang menghampiri rekod AS$150 (RM526.50) setong, iaitu $147.27 (RM516.92) setong, pada 11 Julai lalu.

Presiden Tenaga Strategik dan Kajian Ekonomi dari Winchester Massachusetts, Michael Lynch berkata, pelabur kini begitu bimbang dan situasi tersebut memberi tekanan terhadap pasaran minyak.

''Selagi krisis kewangan ini berterusan, kami jangkakan harga minyak akan terus turun pada paras AS$60 (RM210.6) setong,'' katanya.

Apa –apa pun kita menunggu janji Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna yang berkata kerajaan akan menurunkan harga minyak terutama petrol kepada RM 1.92 jika harga minyak di bawah AS $ 72 setong seperti yang dikatakan kelmarin.

Jadi, kalau kita mahu menikmati semula harga RM1.92 seliter itu pada hari ini, maka harga minyak dunia perlu cecah AS$72 setong. Harga minyak dunia semakin menurun dan penurunan harga boleh berlaku sekiranya kurang permintaan di negara maju seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat," katanya. Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian selepas merasmikan bangunan kilang zip, YKK (Malaysia) Sdn Bhd, bernilai RM6.4 juta, di Larkin di sini, semalam.

Apa yang menyebabkan kerajaan payah sangat nak turunkan harga minyak ? Adakah dengan menurunkan harga minyak akan menyebabkan pendapatan negara akan terjejas sehingga mewujudkan kegawatan kepada ekonomi negara ? Logiknya, pendapatan cukai daripada hasil minyak merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ). Kita mungkin terlupa dengan hakikat ini, penurunan harga minyak di pasaran dunia akan menyebabkan Malaysia dijangka berhadapan dengan krisis ekonomi yang lebih teruk. Hal ini kerana Malaysia terlalu bergantung kepada sumber minyak yang dikuasai oleh Petronas.

Apakah kerajaan mampu untuk menangani masalah kemelesetan ekonomi yang sedang melanda dunia hari ini ? Mungkin ini yang menyebabkan kerajaan sukar untuk menurunkan harga minyak di negara ini.

Rakyat di Negara ini dijangka akan berhadapan krisis ekonomi yang lebih hebat berbanding yang pernah dialami pada tahun 1997 lalu. Keadaan ini dijangka bertambah meruncing dengan susutnya rizab simpanan negara dari semasa ke semasa , kelemahan matawang dan juga kelemahan pengurusan kewangan negara. Lantaran itu, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah mengesa agar matawang negara ditambat seperti yang pernah dilakukan oleh beliau sebelum ini bagi mengelakkan krisis,manipulasi dan spekulasi berterusan yang boleh menjejaskan ketahanan dan kemampuan ekonomi negara menghadapi kemelesetan ekonomi dunia.

Justeru itu, tindakan Pak Lah menyerahkan pos kementerian kewangan kepada Najib dengan mengambil alih Kementerian Pertahanan merupakan satu tindakan bijak agar kegawatan dan kemelesetan ekonomi negara kesan iklim kejatuhan ekonomi dunia yang melanda sekarang akan diletakkan di bahu Najib dan bukan lagi kepada beliau. Sekaligus ini menyebabkan Najib akan dilihat lemah dan gagal dalam mengurus dan menjana ekonomi negara. Maka ramalan Najib menjadi 'kambing hitam' dan mangsa pecaturan politik Pak Lah seperti analisis beberapa tokoh politik dan ekonomi negara adalah sesuatu yang kita tidak boleh dipandang remeh.

Keadaan ini juga pastinya akan menjejaskan populariti Najib pada tanggapan umum. Maka adalah sesuatu yang tidak mustahil jika ini menjadi kenyataan, maka kegagalan Najib mengurus dan menghadapi kegawatan ekonomi negara akan dijadikan alasan oleh Pak Lah untuk menangguhkan atau menyebabkan berlaku proses 'U Turn' dalam proses peralihan kuasa seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.


 


 

11 October 2008

ALI RUSTAM PERTAHAN BERI GELARAN DATUK PADA SHAH RUKH KHAN

Setelah teruk dikritik kerana memberi gelaran "Datuk' kepada pelakon sensasi Bollywood Shah Rukh Khan, hari ini Ketua Menteri Melaka Datuk Ali Rustam mempertahankan langkah kerajaan negeri menganugerahkan gelaran tersebut.

Menurut beliau Penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan adalah berdasarkan sumbangannya mempromosi negeri ini melalui filem lakonannya yang ditonton jutaan peminat seluruh dunia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata Shah Rukh Khan pernah datang ke Melaka membuat penggambaran filemnya bertajuk "One Two Ka Four" di A Famosa Resort, Alor Gajah beberapa tahun lepas.

"Salah satu lagu dalam filem berkenaan dibuat penggambaran di A Famosa Resort di Alor Gajah. Ini telah menyebabkan jutaan orang yang menonton filem itu mengenali Melaka," katanya.

Saya memuji langkah Ali Rustam kerana kesan daripada filem tersebut yang ditayangkan di seluruh dunia tak lama dulu maka ramai 'pelancong' dari seluruh dunia tertarik untuk datang ke Melaka terutama mat bangla, mat dan minah Indon dan tidak ketinggalan dari Myanmar dan Vietnam yang semakin ramai berkunjung ke Melaka. Tahniah sekali lagi kepada Ali Rustam.

        

MALUNYA JADI ANAK MELAKA….

Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia, terpampang di pintu gerbang di Ayer Keroh pintu masuk ke Melaka selepas plaza tol Ayer Keroh. Sepintas lalu menunjukkan kehebatan dan kemasyuran yang terdapat di Melaka. Hakikatnya indah khabar dari rupa. Lebih-lebih lagi bila dapat pemimpin yang menerajui negeri sekarang yang tidak cerdik. Tak habis-habis memalukan anak Melaka dengan tindakan dan ucapan yang kontraversi dan tak masuk akal.

Selepas ini orang akan mengingati Melaka bukan kerana tinggalan sejarahnya. Tetapi orang akan ingat Melaka kerana pemimpin kerajaannya yang diterajui oleh Datuk Seri Ali Rustam yang sepatutnya telah lama 'dimuziumkan' sebagai tinggalan dan pengajaran kepada generasi akan datang supaya mengambil ikhtibar tidak melakukan perkara yang sama.

Dalam kesibukan dunia menganugerahkan Hadiah Nobel kepada tokoh dunia yang berjasa, Melaka mengambil langkah pelik memberi gelaran 'Datuk' kepada Shah Rukh Khan. Artis Bollywood yang banyak membawa budaya negatif kepada masyarakat yang kini semakin dilupakan.

Semasa negeri lain khususnya diterajui Pakatan Rakyat menolak menganjurkan Program Jom Heboh yang melalaikan golongan muda-muda, Ali Rustam mencadangkan agar program Jom Heboh kalau boleh dibuat tiap-tiap minggu di Melaka semasa berucap merasmikan program Jom Heboh beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, Ali Rustam mengkritik YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana tak pandai memerintah sebab tu selalu berlaku banjir di Kelantan. Hari ini, orang Kelantan tersenyum sinis apabila banjir di Melaka berlaku hampir setiap bulan tanpa mengikut musim akibat 'kepandaian' ketua menteri dan pemimpinnnya yang lain memerintah negeri.

Minggu ini Ali Rustam menawarkan diri untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO dan bakal Timbalan Perdana Menteri. Bercakap pada akhbar 'Melaka Hari Ini' kelmarin. Misinya jika menang ialah untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu. Tetapi orang Melaka tahu…siapa yang menyebabkan golongan nelayan miskin di Limbungan dan Klebang yang hampir seratus peratusnya Melayu hilang mata pencarian ? Orang Melaka juga tahu siapa yang menghalau dan merobohkan gerai dan kedai milik peniaga –peniaga Melayu di tengah-tengah kepesatan Bandar Melaka ? Tak perlu tipu orang Melaka berapa ramai peniaga Melayu yang mendapat lesen dan premis perniagaan di Pasar Besar Melaka dan Melaka Sentral ?

Malah banyak lagi kisah dan peristiwa yang 'menconteng arang' ke muka anak Melaka dilakukan oleh pemimpinnya hari ini.Kepada Ali Rustam dan mereka yang sewaktu dengannya, cermin-cerminkanlah diri dulu, jangan hanya asyik memalukan orang Melaka aje…