30 October 2008

BARU BEBERAPA BULAN OPERASI DAH ROSAK


Hari ini anak saya yang berumur 4 tahun mengikuti rombongan tadikanya melawat sekitar Melaka dengan menaiki bas merah dua tingkat yang diimport khas dari Kota London. Di antara tempat yang akan dilawati ialah Menara Taming Sari.

Seronok betul anak saya lebih-lebih lagi bila dapat tahu cikgunya akan bawa naik menara Taming Sari. Tetapi masa balik dari lawatan tadi, anak saya marah-marah. 'Cikgu kata nak naik menara Taming Sari, tapi kenapa tak naik ?". Lalu saya bertanya pada cikgunya sebab tak naik menara Taming Sari.

Rupa-rupanya menara Taming Sari rosak! Untuk dapat kepastian saya saja menghubungi pihak pengurusan menara. Confirm, memang rosak dari semalam lagi. Menurut pihak pengurusan, kejadian ini bukan pertama kali dah selalu berlaku.

Maknanya semalam Shah Rukh Khan yang menerima anugerah Datuk dan dijadualkan akan dibawa menaiki Menara Taming Sari untuk mempromosikan produk pelancongan Melaka yang terkini itu kempunan tak dapat merasai bagaimana menara tersebut berputar menuju ke atas melihat panorama bandaraya Melaka.

Menara berkenaan baru sahaja beroperasi pada 18 April lalu tetapi telah banyak mendatangkan masalah kepada pengunjung. Kosnya yang mencecah RM 23 juta memang tidak berbaloi dalam usaha kerajaan negeri menarik pengunjung ke Melaka. Lebih memalukan apabila Shah Rukh Khan turut menjadi mangsa masalah yang dialami. Harap-harap, Shah Rukh Khan tidak menceritakan masalah menara tersebut kepada masyarakat luar kerana bimbang anugerah Datuk yang diterimanya akan ditarik balik !

APA AKAN BERLAKU JIKA BELANJAWAN 2009 TIDAK MENDAPAT KELULUSAN DEWAN RAKYAT ?

Pembentangan Belanjawan oleh Pak Lah pada 29 Ogos lalu kini sedang dibahaskan di parlimen yang telah bersidang dari 18 Ogos dan berakhir pada 11 Disember 2008 ini.
Belanjawan yang dibentangkan perlu mendapat kelulusan dari Dewan Rakyat sekurang-kurangnya dengan majoriti mudah.

Apa akan berlaku sekiranya belanjawan yang dibentangkan gagal mendapat majoriti mudah? Adakah parlimen akan dibubarkan atau ketika itu akan dikemukan usul undi tidak percaya kepada kerajaan hari ini?

Walaupun, ramai yang tidak lagi menaruh harapan tinggi kerajaan baru akan dibentuk oleh Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah misi 16 dan 23 September gagal menepati sasaran, sasaran baru sebelum Hari Raya Aidil Adha yang dijangka akan disambut oleh umat Islam negara ini pada 8 Disember merupakan tarikh yang realistik.

Maklumat yang diterima, semua ahli parlimen PKR di larang ke luar sehingga arahan seterusnya diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi PKR menguatkan lagi berita bahawa ada sesuatu akan berlaku dalam perkembangan politik negara dalam kehangatan suam-suam kuku pemilihan Umno yang sedang berlangsung.

29 October 2008

JAMBATAN NAK ROBOH UNTUK RAKYAT, JAMBATAN CANGGIH UNTUK PELANCONG


Dalam posting semalam saya ada menyiarkan bahawa kerajaan Negeri Melaka bakal merobohkan jambatan-jambatan yang merentangi sungai Melaka bagi membolehkan bot pelancong yang lebih besar melalui di bawah jambatan baru itu nanti. Projek yang dijangka menelan kos puluhan juta ringgit sebahagian daripada pakej projek pengindahan sungai Melaka bagi menarik lebih banyak pelancong ke Melaka.

Dalam keghairahan menyediakan infrastruktur jambatan baru untuk pelancong, rakyat di negeri sendiri berdepan risiko setiap hari menggunakan jambatan usang di kampung Sungai Limau Masjid Tanah Melaka dalam menjalani kehidupan harian. Ibarat kata pepatah Melayu, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

ALI RUSTAM TAK DAPAT BEZA DI ANTARA MAKNA DEBAT, FORUM DAN TEMU RAMAH


Datuk Ali Rustam menyifatkan bahawa forum dan temu ramah juga merupakan satu debat. Menurut beliau, tak kisah sama ada debat akan diadakan ataupun tidak sebab dah dua kali beliau berforum serta ditemuramah di stesen TV berkaitan pencalonan sebagai Timbalan Presiden Umno. Itu pun debat juga !

Kepada YAB Datuk, saya cadangkan sila rujuk kamus Dewan apa makna debat, forum dan temuramah. Jangan buat malu kat orang Melaka je.

Teringin juga sebagai anak jati Melaka hendak melihat ketua menteriku berdebat dengan Muhyiddin Yassin atau Md Taib siapa yang lebih hebat segi berhujah. Ini kerana kita bakal menyaksikan bakal pemilihan Timbalan Presiden Umno dan bakal Timbalan Perdana Menteri bukan pemilihan Timbalan JKKK atau timbalan pengerusi tetap cawangan.

28 October 2008

TUNDA PEMBELIAN EUROCOPTER: AMARAN PAK LAH KEPADA NAJIB?


Kerajaan hari ini mengumumkan menangguhkan pembelian helikopter EC-725 keluaran Eurocopter yang bernilai RM1.67 bilion menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan hari ini.

Alasan yang diberikan ialah sebagai langkah berjimat-cermat berikutan krisis kewangan global, kata perdana menteri.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga menteri pertahanan berkata, kerajaan juga memutuskan bahawa sebarang pembelian baru helikopter bagi menggantikan Nuri akan dilakukan selewat-lewatnya sebelum 2011.

Menurut beliau, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco Majlis Ekonomi Kebangsaan yang dipengerusikan beliau pada 13 Oktober lalu.

Walau bagaimanapun menurut pandangan saya, tindakan Pak Lah merupakan satu isyarat kepada Najib yang bakal mengambil alih jawatan perdana Menteri dan presiden Umno agar tidak terlalu ghairah dan bersikap cuba lawan 'towkey'. Najib perlu ingat, walaupun pelan peralihan kuasa telah diumumkan pada Mac depan, pada ketika dan saat ini Pak Lah masih lagi Perdana menteri Malaysia. Bermakna beliau masih berpengaruh dan mempunyai kuasa. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Justeru itu pelbagai kemungkinan dan tafsiran dapat dibuat berdasarkan tindakan Pak Lah ini. Lebih-lebih lagi, Pak Lah dikhabarkan kurang senang dengan perkembangan terkini dalam senario politik negara yang seolah-olah cuba memencilkan beliau dari arus politik perdana. Kenyataan dari Muhyiddin Yassin calon favourite Timbalan Presiden yang menjadi regu Najib baru-baru ini dikhabarkan telah menimbulkan kemarahan Pak Lah. Mungkinkah Pak Lah akan menggunakan 'senjata' yang merupakan rahsia Najib dan menteri kabinet lain untuk memastikan beliau kekal berkuasa ? Sama-samalah kita nantikan perkembangan yang seterusnya.

SEMAKAN DAFTAR PEMILIH BARU

Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku ketiga 2008 dipamerkan mulai hari ini hingga 3 Nov depan di 985 tempat seluruh negara selaras dengan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.


 

Pegawai perhubungan awam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabri Said berkata ia akan dipamerkan di pejabat pilihanraya negeri, pejabat pos berkomputer, pejabat Kerajaan, pejabat daerah, pejabat tanah, majlis daerah atau perbandaran serta dewan serbaguna, rukun tetangga, balai raya dan balai penghulu.


 

Penyemakan daftar pemilih baru ini adalah sangat penting bagi memastikan tidak wujud sebarang penyelewengan dan penipuan sekiranya daftar pemilih baru ini digunakan dalam PRU ke 13 yang dijangka boleh diadakan pada bila-bila masa selepas pemilihan Umno pada Mac tahun depan.


 

Kemungkinan PRU ke 13 akan diadakan lebih awal adalah berdasarkan Tsunami Politik yang melanda BN pada PRU ke 12 lalu sehingga buat pertama kali dalam sejarah BN hilang majoriti 2/3 dan tewas di enam negeri ( termasuk Wilayah Persekutuan ). Di samping itu isu pembentukan kerajaan baru oleh Pakatan Rakyat dan kesan kemelesetan ekonomi yang sedang melanda negara turut boleh menjadi alasan PRU ke 13 akan diadakan dalam tempoh terdekat.


 

Setiap cawangan dan kawasan dan jentera parti dalam Pakatan Rakyat perlu memberi perhatian kepada semakan daftar pemilih ini. Apa yang dibimbangkan kelekaan menyaksikan pergolakan yang sedang berlaku di dalam Umno menyebabkan tugas semakan ini tidak diberi perhatian.


 

Semakan daftar pemilih baru juga boleh dilakukan dengan melayari laman web spr di :

http://www.spr.gov.my

BANDAR AYA MELAKA BAKAL MENGHADAPI KESESAKAN TERUK


JAMBATAN HANG JEBAT YANG TELAH PUN DIROBOHKAN


JAMBATAN HANG TUAH YANG BAKAL DIROBOHKAN

Projek pengindahan sungai Melaka yang sebelum ini menerima pelbagai kritikan pelbagai pihak akan memasuki fasa yang seterusnya. Di antara pakej projek ini ialah merobohkan jambatan-jambatan yang merentangi sungai Melaka bagi memberi laluan bot pelancong yang lebih besar melalui di bawah jambatan baru yang bakal dibina.

Siapnya projek berkenaan nanti, bot-bot pelancong akan menyusuri sungai Melaka dari Bandar Hilir sehingga ke Melaka Sentral.

Di antara jambatan yang telah dan akan dirobohkan ialah Jambatan Hang Jebat ( dulu dikenali Jambatan Bailey ) dan Jambatan Hang Tuah. Jambatan Hang Jebat yang telah pun dirobohkan menyebabkan pengguna kenderaan sering mengalami kesesakan teruk terutama pada waktu pergi dan pulang dari pejabat. Apa yang lebih menghairankan, Jambatan Hang Jebat baru sahaja dibina tak sampai 10 tahun dan kini telah dirobohkan semula bagi membina jambatan baru !Inilah satu bukti pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Melaka.

Tidak lama lagi, Jambatan Hang Tuah yang terletak di antara Plaza Inn dan panggung Cathay lama di jalan Hang Tuah pula akan dirobohkan. Bayangkan apa yang bakal berlaku pada laluan utama di bandaraya Melaka ini ? Walaupun jambatan sementara akan dibina tetapi ini tidak mampu untuk mengelakkan kesesakan teruk yang bakal berlaku di tengah pusat Bandaraya Melaka. Apa perlunya jambatan baru sedangkan jambatan sedia ada masih kukuh dan elok lagi. Begitu juga yang berlaku pada jambatan Hang Jebat.

Semata-mata untuk mengindahkan Sungai Melaka yang hasilnya tidak seberapa, pengguna kenderaan di bandaraya ini bakal menjadi mangsa dengan kesesakan teruk yang bakal ditempuhi bertahun-tahun lamanya. Rasanya lebih memadai jambatan sedia ada dikekalkan kerana pada ketika ini bot-bot pelancong masih dapat melalui jambatan berkenaan.

Lebih wajar peruntukan yang pastinya bernilai puluhan jutaan ringgit digunakan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur yang membawa manafaat kepada penduduk Melaka secara keseluruhannya dan lebih utama seperti menaik taraf kemudahan hospital Melaka yang kini semakin kritikal yang tidak mampu lagi menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah.

26 October 2008

SIAPA SELEWENG DUIT DERMA ?

Harapkan pagar, pagar makan padi ! Itulah yang berlaku kepada seorang nenek, Salmah Mahmud di Alor Gajah Melaka yang menaruh harapan kepada tabung yang diwujudkan oleh Biro Kebajikan Umno Kuala Linggi bagi membawa pulang anak dan lima cucunya di Lombok Indonesia.

Tabung yang dilancarkan kira-kira dua bulan lalu berjaya mengumpul sekitar RM seribu ringgit hasil derma dan simpati orang ramai. Malangnya, tabung itu hanya tinggal RM 450 tanpa diketahui ke mana duit tersebut dibelanjakan.

Malah, nenek itu yang juga ibu tunggal, Salmah Mahmud, 67, dari Kampung Bukit Darat, Kuala Sungai Baru, dekat sini, tidak pernah menerima sesen pun wang berkenaan walaupun tabung itu ditubuhkan bagi membantu membawa anak keempat dan lima cucunya pulang ke negara ini selepas ada di Lombok kerana mengikut menantunya enam tahun lalu.

Salmah pernah bertanya mengenai jumlah duit dalam tabung itu, tetapi jawapan diberi sungguh mengecewakan dan kini dia tidak lagi mahu mengharapkan bantuan biro berkenaan.

“Biar saya cari wang sendiri. Saya tidak harapkan wang dari biro itu lagi. Cukuplah apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi.

SELAMAT DATANG DATUK SHAH RUKH KHAN


Hari Rabu ini ( 29 Oktober 2008), Shah Rukh Khan artis Bollywood yang banyak menabur jasa kepada bumi Melaka akan menerima Darjah Gemilang Seri Melaka ( DGSM ) yang membawa gelaran Datuk.

Rakyat Melaka wajib berbangga dengan kesudian tokoh berkenaan untuk menerima anugerah berkenaan walaupun pada awalnya dia sendiri terkejut dengan anugerah yang bakal diterima.

Memandangkan jasanya yang tidak terhingga kepada bumi Melaka ini berbanding tokoh-tokoh lain yang tak layak dapat anugerah Datuk, marilah kita beramai-ramai berkumpul dan berbaris sepanjang jalan menuju ke Istana Melaka sebagai menghargai sumbangan yang tidak terkira Datuk Shah Rukh Khan kepada negeri ini.

Andai kata,Datuk Shah Rukh Khan tidak membuat filemnya di Melaka maka sudah pasti terjejas teruk industri pelancongan di Melaka terutama dalam menarik kehadiran pelancong dari bumi kelahiran Datuk Shah Rukh Khan.

Sekiranya anda tidak berkesempatan untuk datang , anda tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri Melaka sedang berusaha untuk mengadakan majlis gilang gemilang itu secara langsung di kaca TV anda. Tahniah pada Datuk Shah Rukh Khan dan Takziah pada orang Melaka !

SEORANG LAGI MENTERI LIDAH BERCABANG



Masa harga minyak naik pada pertengahan tahun ini, Tenaga Nasional Berhad mendesak kerajaan untuk menaikkan kadar tarif letrik. Maka menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang menjaga kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan tarif letrik sebanyak 10%.

Semasa pengumuman itu, menteri lidah bercabang ini berkata TNB tidak mampu menyerap kos akibat kenaikan harga bahan api berkenaan.

Semalam, dalam satu kenyataan menteri ini berkata tidak akan membuat semakan untuk menurunkan kadar tarif letrik. Apa menteri ini kata ? Semakan kadar baru tarif letrik hanya boleh dibuat setahun sekali iaitu setiap bulan Julai. Maka sebarang perubahan harga tarif letrik hanya boleh dibuat pada Julai tahun depan ( 2009 ). Lagipun TNB menurut beliau hanya menggunakan 40 % sumber minyak dan 60 % lagi menggunakan gas yang lebih murah untuk stesen janakuasanya.Jadi penurunan harga minyak di pasaran global tidak banyak menjejaskan kos operasi TNB.

Masa naikkan tarif letrik tak pula menteri ini kata demikian.Minyak naik kos operasi meningkat ! Minyak turun kos operasi ? Sekarang lain pula alasannya. Maknanya walaupun minyak di bawah paras $US 50 setong sekalipun kerajaan hanya akan menurunkan tarif letrik pada Julai tahun depan walaupun 60 % sumber tenaga TNB bergantung kepada gas !